Berikut laporan akhbar rasmi PAS Harakah pada 19 April lalu:
KEMAMAN: “Dalam ilmu Allah, bukan ilmu saya,” tegas Presiden
PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang ketika menjawab pertanyaan media
berhubung masa depan Pakatan Rakyat berikutan usaha Kerajaan Kelantan untuk
melaksanakan undang-undang jenayah syariah termasuk hukum hudud.
Beliau menjelaskan, ini kerana pelaksanaan hukum hudud
merupakan agenda perjuangan PAS dan bukannya Pakatan Rakyat.
Begitupun, Ahli Parlimen Marang itu optimis mereka yang
memahami undang-undang jenayah syariah itu boleh menerimanya termasuk daripada
kalangan bukan Islam.
Menurutnya, terdapat dalam kalangan masyarakat bukan Islam
yang boleh menerima pelaksanaan undang-undang tersebut termasuk hukum hudud.
Sehubungan itu, katanya PAS menunggu keikhlasan semua pihak
berhubung usaha Kerajaan Kelantan untuk melaksanakan undang-undang tersebut
yang telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri (Dun) pada 1993.
“Kita terima positif perkara yang berkait dengan Kelantan
ini dan kita serah ikut cara Kelantan.
“PAS Pusat sokong sepenuhnya apa yang diusahakan oleh
Kelantan itu,” tegasnya pada sidang media selepas merasmikan Ijtimak Kepimpinan
PAS Negeri Terengganu di Kemasik, tengah hari tadi.
Berikutan pengumuman PAS Pusat dan Menteri Besar Kelantan
bahawa usaha akan diambil di Dewan Rakyat bagi memastikan Undang-undang Hudud
dapat dilaksanakan di negeri Kelantan, ramai pihak bangkit bersuara.
Umno dikatakan akan menyokong usaha berkenaan manakala
anggota komponan BN khasnya MCA, Gerakan dan MIC termasuklah beberapa parti di
Sabah dan Sarawak terang-terangan menyatakan akan menentangnya.
Yang menarik, rakan-rakan PAS yang membentuk Pakatan Rakyat,
iaitu PKR dan terutamanya DAP telah menyatakan tentangan mereka terhadap hasrat
PAS itu dan malah kalangan pimpinan DAP secara terbuka menggesa PAS agar keluar
meninggalkan Pakatan Rakyat.
Demikianlah ujian dan cabaran yang dihadapi oleh PAS hari
ini setelah lebih 60 tahun mengenggam cita-cita mahu melaksanakan Islam sebagai
Ad Deen ataupun cara hidup. Bukannya baru semalam PAS menggenggam cita-cita ini
tetapi PAS telah berjuang jatuh bangun, senang dan susah, pahit dan manis berpuluh
tahun konsisten dengan niat dan matlamat perjuangan yang sama.
PAS tidak pernah sembunyikan agenda perjuangannya. PAS tidak
pernah meminda, melupakan atau memadamkan cita-citanya. Samada dengan kawan
mahupun ketika berhadapan dengan lawan.
Konsistennya PAS itu sehingga pada tahun 1993 melalui proses
demokrasi, PAS telah berjaya meluluskan enakmen Hudud di Dewan Undangan Negeri
Kelantan dan kemudiannya mendapat perkenan Tuanku Sultan untuk menjadi
undang-undang. Begitu juga apabila menguasai Negeri Trengganu pada tahun 1999.
PAS tidak mengajukan cita-citanya dengan membelakangkan kaedah
demokrasi berparlimen, tidak juga mengangkat senjata mahupun mengancam
menggunakan kekerasan. Ianya terlaksana atas “sokongan” rakyat yang PAS wakili.
Dan kini atas semangat Perlembagaan yang sama, PAS mahu membawa perkara ini ke Parlimen
bagi mendapatkan kelulusan sehingga menungkinkan undang-undang yang di sokong
rakyat Kelantan itu akhirnya melalui kelulusan Parlimen dapat terlaksana di
Negeri Serambi Mekah berkenaan.
PAS telah memikirkan dan menimbang suasana serta rupa bentuk
masyarakat sehingga menyarankan agar undang-undang itu nanti hanya terkena dan
terpakai ke atas rakyat beragama Islam sahaja sebagaiaman segala peruntukkan
dan peraturan yang melibatkan undang-undang syarak negeri-negeri dan Wilayah
Persekutuan hanya terpakai ke atas orang Islam sahaja.
Secara umumnya di Kelantan, orang Islam yang rata-rata
berbangsa Melayu menyokong perlaksanaan undang-undang ini. Ianya “expansion”
atau perluasan dari segala Enakmen yang ada yang berkaitan orang Islam di
Kelantan.
Hak dan kepentingan masyarakat atau rakyat bukan Islam di
Kelantan sedikit pun tidak terjejas oleh undang-undang ini. Mengapa komponan BN
dan mengapa komponan PR khasnya DAP dan PKR melenting mahu menolaknya. Tidakkah
penolakkan itu sendiri membelakangkan suara majoriti atau suara ramai di
Kelantan sekaligus menafikan hak rakyat.
Rakyat di Kelantan mahukan undang-undang ini dan mereka di
Dewan Negeri di wakili oleh ADUN-ADUN PAS dan Umno, tiada MCA, tiada MIC, tiada
Gerakan dan tiada DAP mewakili suara mereka di DUN Kelantan.
Kenapa mereka perlu tunduk pada suara minoriti, suara yang
tidak diwakili di Kelantan?
Kelantan bukan Pulau Pinang, bukan juga Sabah mahupun
Sarawak. Mengapa ada pihak mahu menafikan hak rakyat Kelantan dalam menentukan
nasib dan masa hadapan mereka?
Negara kita telah ada dwi sistem perundangan sejak sebelum Merdeka
lagi dan ianya bukan sesuatu yang baru. Mahkamah Syariah telah wujud disisi
Mahkamah Sivil sekian lama. Begitu juga sebenarnya Mahkamah Anak Negeri di
Borneo yang membicarakan kes-kes berkenaan adat anak tempatan di sana.
Isabella Bird dalam catatannya “The Golden Chersonese” (1883)
ketika mencatat pemerhatiannya di Negeri Melaka pada 21 – 23 Januari 1879
menulis (m/s 135-136):
(Terjemahan) “ Mereka (orang-orang Melayu Melaka ketika itu)
diperintah oleh undang-undang al Quran, kecuali apabila Imam, yang
menterjemahkan kanun al Quran, memutuskan (tidak pada kebiasaannya)
bertentangan dengan ekuiti, Majistret Inggeris akan mengiakan keputusan
berkenaan. Malah udang-undang Mohammedan (undang-undang Islam) dan
undang-undang adat dalam kes-kes sivil serta Imam-imam Masjid mebantu hakim
dalam keputusan mereka.”
Oleh itu sewajarnya PAS diberi laluan untuk membawa rang
undang-undang ini di Parlimen, dan jika memperoleh sokongan yang cukup,
kerajaan Kelantan sewajarnya diberi keyakinan untuk melaksanakan undag-undang
berkenaan.
Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato Nik Abd Aziz Nik Mat (yang
semasa beliau MB Kelantan lah Enakmen ini diluluskan) pernah menyatakan:
Ke-semua ahli Parlimen beragama Islam tanpa mengira parti
wajib menyokong rang undang-undang persendirian yang akan dibentangkan PAS di
Dewan Rakyat bagi melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 atau
hudud di negeri itu.
Usaha Pas untuk melaksanakan hudud di negeri ini telah
mendapat sokongan penuh ADUN BN dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan
dan semua pihak ter-utamanya yang beragama Islam wajib mengikut jejak yang sama
Enakmen ini tidak bertentangan dengan Perlembagaan
Persekutuan dan malah ianya diluluskan menurut proses yang ditunjukkan oleh
Perlembagaan berkenaan. Rang undang-ndang yang mahu dikemukakan bertujuan menyelaraskan
Enakmen berkenaan agar menepati tuntutan Perlembagaan Persekutuan.
Harus disedari bahawa Perlembagaan Persekutuan bukanlah al
Quran yang tidak boleh dipinda-pinda. Ianya hidup dan boleh dipinda selagi mana
menepati pertrauran yang terkadnung di dalamnya.
Bagi umat Islam dan bangsa Melayu yang merupakan penganut
Islam majoriti dalam Negara, undang-undang ini adalah berdasarkan tuntutan
aqidah sebagaimana di perintah oleh Allah swt dan Rasulnya Muhammad s.a.w..
Ianya jangan dilihat sebagai “political” iaitu undang-undang “PAS” atau
seumpamanya. KIni ada usaha yang sedang dilakukan untuk memungkinkan tuntutan
agama ini terlaksana, maka sebagai Muslim yang bertanggungjawab sewajarnyalah
kita memberi sokongan tanpa mengira fahaman atau ideologi politik.
Bagi ahli-ahli Parlimen yang bukan Islam, memandangkan
undang-undang ini merupakan “expansion” dari undang-undang syariah yang
terpakai yang sedia ada yang hanya terkena ke atas orang-orang Islam sahaja,
sewajarnyalah laluan diberikan. Sepatutnya hujah dan pandangan diberikan agar
kepentingan masyarakat bukan Islam terus terjamin dan terpelihara bukannya
berkeras menolak undang-undang ini.
Adakah menolak rang undang-undang ini kelak dilihat sebagai
menentang Islam, kalau demikianlah keadaannya, memang benar, mana-mana parti
atau pihak yang menolaknya khasnya di Parlimen kelak terang-terangan secara tak
langsung menyatakan “protes” nya terhadap Islam dan perlaksanaan Islam.
Kalau PAS diseru agar ditolak oleh masyrakat bukan Islam (atas
pandangan orang politik dari BN dan PR) semata-mata kerana mahu memperjuangkan
hak orang Islam, maka mereka juga yakni orang politik BN dan PR yang
menyarankan demikian mesti bersedia ditolak oleh pengundi Islam kerana mereka
menolak “Islam” di Parlimen.
Kesimpulannya berbaik sangkalah kita, PAS mahu melaksana
sesuatu yang wajib atas orang Islam, dan mereka punya suara majoriti di
Kelantan, izinkanlah mereka berbuat demikian dan kita beramai-ramai menjadi
saksi atas kejayaannya atau tidak.
Saya Muslim saya sokong Hudud di Kelantan.