Tuesday, June 29, 2010

Angin Khir sangka beruk...........

Ramai yang memberi berbagai telahan dan bacaan terhadap rombakan kecil yang berlaku dalam PKR Selangor baru-baru ini. Sdr Azmin Ali, ahli parlimen Gombak/ ADUN Bukit Antarabangsa dilantik sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Selangor.

Sesungguhnya rombakan dalam parti adalah perkara biasa bagi mana-mana parti pun. Ia berlaku apabila ada usaha menyeragam atau mengemaskinikan jentera dan pentadbiran parti bagi memastikan kelancaran untuk tugas dan tanggungjawab yang lebih besar.

Bagi parti lawan sudah pastilah apa sahaja yang bergerak dan bergoyang dalam parti saingannya akan menjadi bahan dan terjahan politik. Manalah tahu silap-silap terjah boleh jatuh.

Begitu jugalah kalau kita lihat reaksi mantan MB Selangor, Khir Toyo terhadap perkembangan yang berlaku dalam PKR Selangor.

Dendam kesumat Khir terus membara dalam dirinya. Maklumlah tersungkur jatuh ketika sedang tidur lena. Hilang takhta pada malam 8 Mac 2008 lalu adalah mimpi ngeri yang tidak padam-padam dan terus menghantui hidup beliau hingga hari ini.

Lalu apabila melihat pohon PKR bergoyang, berkecamuklah nafsu serakah Khir, terus sahaja beliau mencapai senapang “buruknya” sebab percaya ada beruk sedang melonjak-lonjak atas pohon berkenaan sehingga ia bergoyang. Walaupun hakikatnya pohon itu sebagaimana pohon-pohon lain bergoyang lantaran deruan angin yang memukulnya.

Katalah apa pun pada Khir, beruk juga yang dicarinya!

Berbalik pada rombakan dalam PKR Selangor. Kata Khir kini pasukan bolasepak PKR Selangor ada tiga kapten. Lantas kucar-kacirlah pentadbiran negeri akibatnya. Tiga kapten yang dimaksudkan adalah Dato Seri Anwar kerana dilantik sebagai Penasihat Ekonomi Negeri sebelum ini, Tan Sri Khalid sebagai MB dan Azmin Ali sebagai Ketua PKR Selangor yang baru.

Memang Khir berhak mengulas dan memberi komen apa sahaja. Kenapa tak katakan Selangor ada dua lagi kapten cukupkan lima semua sekali iaitu Pengerusi DAP dan Pesuruhjaya PAS Selangor!

Dalama keghairahan beliau meninjau-ninjau beruk atas pokok, rupanya Khir tak nampak gajah besar di depan batang hidungnya! Umno Selangor apa kurangnya! Kalau PKR dan Pakatan Rakyat begitu, padanlah kerana kami parti memerintah. Umno yang pembangkang di Selangor macam mana?

Kapten Najib, Kapten Noh Omar, Kapten Khir dan baru-baru ini penjaga gol Satim Diman meninggalkan gawang golnya! Jangan-jangan beruk yang Khir cari-cari itu sedang menari-nari atas pohon Umno Selangor!

Bagi keluarga Pakatan Rakyat di Selangor, masing-masing parti berhak merombak pimpinan parti masing-masing demi kebaikan bersama. Urusan parti kawan tidak wajar dicampuri parti kawan yang lain. Semangat setiakawan menuntut kita menerima dan terus bekerja ke arah agenda bersama iaitu mempertahankan Selangor dengan menempa kemenangan yang lebih besar dan selesa serta menyumbang kearah penawanan Putrajaya.

Biarlah Khir dengan beruk-beruknya!



KENYATAAN AKHBAR
PAS SELANGOR ALU-ALUKAN YB AZMIN ALI

PAS Selangor mengalu-alukan perlantikan YB Azmin Ali sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Negeri Selangor yang baru. Perlantikan ini diyakini akan dapat memantapkan lagi jentera PKR Negeri Selangor selain menyumbang ke arah memperkasakan lagi jentera Pakatan Rakyat Negeri Selangor khasnya dalam menghadapi pilihan raya umum ke 13 nanti.

PAS Selangor turut yakin YAB Tan Sri Dato’ Seri Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Pakatan Rakyat Selangor akan dapat menumpukan lebih perhatian ke arah membangunkan Negeri Selangor dengan memberi fokus kepada agenda Merakyatkan Ekonomi Negeri Selangor (MES) setelah melepaskan jawatan parti kepada YB Azmin Ali.

Sesungguhnya YB Azmin Ali memiliki pengalaman yang luas dalam bidang politik dan malah sudah pun menjalin hubungan kerja dengan PAS Selangor sejak beliau dan 4 orang ADUN PAS diketuai Dato Dr Hasan Mohd Ali memenangi kerusi di DUN Selangor pada Pilihan Raya Umum 1999 lalu. PAS Selangor akan terus memberikan kerjasama sepenuhnya kepada beliau selaku Ketua PKR Negeri.

Selain itu PAS Selangor akan mengaturkan pertemuan segera dengan beliau bagi menyelaraskan gerak kerja politik antara kedua-dua parti selain menantikan kehadiran beliau dalam mesyuarat Pakatan Rakyat peringkat Negeri Selangor.

Pertemuan dengan Tan Sri Khalid Ibrahim selaku Menteri Besar juga akan diaturkan dalam waktu terdekat bagi menyatakan sokongan dan keyakinan PAS Selangor terhadap kepimpinan beliau sebagai Ketua Pentdabir Negeri.

PAS Selangor terus komited untuk memastikan kejayaan Pakatan Rakyat bukan hanya dalam mempertahankan Negeri Selangor dengan lebih mantap lagi malah menyumbang ke arah kejayaan untuk menawan Putrajaya pada pilihanraya umum akan datang.


29 Jun, 2010/ 16 Rejab 1431

Saturday, June 26, 2010

Ulamak cari jalan mudah

Dari angka 100 turun 40. Itulah bilangan ulamak yang menyertai Umno semalam. Tak mengapalah bilangannya kurang 60 tetapi hakikatnya memang ada ulamak yang masuk Umno semalam.

Antaranya yang mengenalkan diri adalah Fathul Bari Mat Jahya dan Fadlam Mohd Othman..

Menurut akhbar Utusan:

Wakil kumpulan ulama itu, Dr. Fadlan Mohd. Othman, 35, berkata, penyertaan mereka bertujuan untuk bekerjasama dengan parti itu dalam perkara yang berkaitan keagamaan dan kerohanian.

Baguslah jika itu niat mereka. Siapa pun tidak berhak menyekat mana-mana individu memilih dan menyertai mana-mana parti politik. Dengan penyertaan mereka ini ternyata aspek keagamaan dan kerohanian tandus dalam Umno, maklumlah Umno bukan sebuah badan siasah yang meletakkan Islam sebagai agenda perjuangannya.

Yang terbukti sampai hari ini mempertahankan agenda perjuangan Islam adalah PAS. Samada dalamkeadaan menang atau tidak memerintah satu negeri pun itulah dasar dan matlamat perjuangan PAS dari dahulu sehingga hari ini dan insyallah sampai bila-bila.

Mengapa mereka tidak menyertai PAS?

Salah seorang jurucakap itu mengatakan PAS dah ramai ulamak.

Bagi saya mungkin Umno nampak lebih gagah, punya kuasa besar, memegang tampuk pemerintahan peringkat pusat. Maka sudah pastilah mengambil kira perhtiungan dunia, Umno lah pilihan terbijak tambah kebanyakkan mereka punya jawatan dalam kerajaan.

Sekurang-kurangnya masa depan mereka terjamin. Anak-anak mereka nanti mudah nak dapat bantuan. Keluarga mereka juga.

Mengapa mengambil jalan susah, megapa mahu pikul risiko,mengapa cari nahas.

Kalau cari susah itu Rasulullah. Ditawarkan menjadi Raja, ditawarkan kedudukan, isteri yang cantik-cantik, hidup senang dan mewah, tetapi Rasulullah memilih untuk terus menerajui perjuangan ini kerana mengharapkan redha Allah swt.

Saya memetik ucapan Dato Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang (yang dibukukan dalam: Islam – Fikrah, Harakah dan Daulah, terbitan DPF) lebih 30 tahun lalu sempena Sambutan Abad ke 15 Hijrah di Kuala Terengganu:

Sebab Rasulullah saw menaolak semua tawaran itu ialah yang pertama kerana golongan-golongan jahiliyah yang dipimpin oleh Abu Jahal itu mensyaratkan Rasulullah saw iaitu:

Wahai Muhammad awak bolehmenerima jawatan menjadi raja. Awak boleh menerima harta. Awak boleh menerima pangkat. Syaratnya awak hendaklah mendiamkan diri terhadap kemungkaran, jahiliyah, kekufuran yang berlaku di Makkah ini. Awak nak sembahyang…..bersembahyanglah. Nak berpuasa………..puasalah. Nak tawaf di Kaabah…..tawaflah. Nak mengerjakan haji……..kerjakanlah haji. Tapi kami minum arak jangan ganggu. Kami berjudi jangan ganggu. Kami menyembah berhala jangan ganggu. Kami melakukan kufur dan jahiliyah jangan ganggu.


Semoga banyak perkara berkaitan keagamaan dan kerohanian dapat diterapkan dalam Umno melalui penyertaan kawan-kawan kita itu. Selamat mencuba.

Friday, June 25, 2010

Kerana judi Umno bertelagah

Saya terima email dank omen dan rakan-rakan nakal pro Umno yang marah-marah dengan posting saya berkenaan judi bolasepak.

Apa pun alasan, hakikatnya Umno sendiri berpecah dalam isu ini. Kalau Tun Dr Mahathir, Rafidah, Rais Yatim dan sekutunya sokong mati-matian lesen diberi kepada sahabat karib mereka Vincent Tan, yang lain nampaknya menentang.

Dilaporkan dalam akhbar semalam Umno Perak memutuskan menentang pemberian lesen judi ini. Hari ini Umno Kedah pula merakamkan penentangan yang sama. Demikian juga Pergerakan Pemuda Umno.

(Umno Selangor macam manatanya orang. Umno Selangor sendiri entahkan ada entahkan tidak, kerana itulah tak mampu keluar komen…………..)

Jelas nampak Umno bertelagah sesama sendiri.

Kata jurucakap Umno Kedah mereka menentang kerana kesan buruk dari kegiatan judi itu manakala Khairy Jamaluddin mengatakan alasan kawalan tidak dapat diterima kerana pihak PDRM mampu membenterasnya.

Katalah apa sahaja, walau berat mulut nak mengatakan kerana hukumnya haram, asalkan tentang maka kira boleh diterimalah.

Kini tinggal pada Najib samada mahu ikut Tun Dr M dan konco-konconya (malah ada seorang yang pro judi bertaraf Menteri sehingga mengatakan Malaysia bukan Negara Islam), atau bagaimana?

Kalau kita berfikiran sebagai seorang Islam, dan kita sedar bahana judi ke atas masyarakat tidak kira kaum atau agama, kita akan kembali kepada rujukan utama kita iaitu al Quran dan Hadis, maka kita semua akan senafas mengatakan haramkan sahaja judi ini. Anda bagaimana?

Thursday, June 24, 2010

Umno nak atau tak nak judi?

Isu judi bolasepak yang dilesenkan kepada Ascot milik jutawan Vincent Tan terus hangat diperkatakan. Saya percaya ramai yang tidak ambil pusing jika tokok-tokoh bukan Islam atau bukan Melayu yang mengeluarkan kenyataan tak kiralah menyokong atau menentangnya.

Malah dikalangan pemimpin politik bukan Islam samada dari BN mahupun dari Pakatan Rakyat, berbelah bahagi nampaknya. Ada yang menyokong, ada yang menentang. Lebih tepat lagi rata-rata pemimpin PR meentang, manakala ada juga dari BN yang turut menentang.

Yang menjadi pelik malah mengaibkan agama dan bangsa adalah apabila pemimpin Melayu Islam yang terpacul memberi sokongan dan mempertahankan kewajaran memberikan lesen judi ini.

Alasannya konon lesen ini tidak ada kena mengena dengan orang Islam. Konon seorang Pak Menteri berkata berjudi ini hak asasi bukan Islam! Berjudi ini cara hidup bukan Islam – “gambling had always been a way of life for the non Muslims in the contry” (Rais Yatim).

Benarkah judi yang berlesen tidak mendatangkan kesan sosial kepada masyarakat? Benarkah dengan memberikan lesen bermakna kita menghapuskan kegiatan judi haram yang tidak berlesen?

Bahana judi meruntuhkan keluarga dan masyarakat dan ini adalah hakikat yang patut diakui. Rumah tangga dan keluarga berpecah-belah akibat sindrom tahi judi memang diketahui oleh semua. Magnum,Big Sweep, Sports Toto dan lain-lain telah bertahun-tahun dilesenkan tetapi kita masih mendapat berita betapa pihak polis memberkeas kegiatan ekor haram sehingga ramai yang dibuang daerah akibatnya.

Terbaru bekas Ketua Wanita Umno, Rafidah Aziz turut menyokong agar lesen judi ini diberikan kononnya ia akan memudahkan pengawalan.

Sumbangnya apabila pemimpin Islam membela kegiatan mungkar seumpama ini. Kalau benar pun kawan pada Vincent Tan, tak perlulah bertegang leher mahu mempertahankan sesuatu yang bertentangan dengan agama kita sendiri.

Kalau kita mahu bercakap berkenaan hak bukan Islam, mengapa kita tidak mempertahankan hak orang Islam. Rakyat di Kelantan contohnya melalui wakil rakyat mereka telah meluluskan hukum hudud di Kelantan iaitu suatu hak yang diberikan oleh Allah swt ke atas umat Islam. Kenapa pemimpin BN termasuklah yang beragama Islam menyekat dan menghalangnya dari terlaksana? Tidakkah ini menghalang hak asasi umat Islam?

Kita sudah punya banyak lesen judi yang telah diluluskan. Yang ada itupun terus mengundang masalah masyarakat dan tidak mengurangkan sedikit pun kegiatan judi haram tanpa lesen. Mengapa kita mahu meluluskan yang baru?

Kalau benarlah ada sehingga 100 orang ulamak yang dikatakan akan menyertai Umno beramai-ramai esok, saya harap ulamak ini menyedarkan pemimpin-pemimpin Umno betapa berdosanya mereka menjadi alat dalam menghalalkan sesuatu yang jelas haram. Kalaupun terpaksa atas alasan apa sekali pun biarlah yang beria-ia dan bersungguh-sungguh itu pemimpin yang bukan Islam. Mengapa perlu yang Islam pula memperjaungaknnya?

Tuesday, June 22, 2010

Khir Toyo sudah tidak dipercayai lagi

Saya terlepas pandang laporan MStar berkenaan Setiausaha Badan Perhbungan Umno Selangor, Satim Diman yang dikatakan menyepikan diri dari Umno Selangor kebelakangan ini.

Laporan tersebut memetik kenyataan bekas MB Khir Toyo yang mendakwa bahawa berita mengatakan ADUN Seri Serdang itu akan letak jawatan sebagai khabar angin. Khir dengan penuh yakin menyatakan:

Jika benar dia akan berbuat demikian, saya orang pertama yang tahu sebab saya sebagai Ketua Pembangkang dan kami sama-sama pembangkang di negeri ini.

Demikianlah Khir mahu membuktikan betapa Satim adalah orang beliau. Bermakna terkilas ikan di air, Khir sudah dapat baca kemana Satim! Tetapi malangnya Khir turut menyatakan:

Dia (Satim) juga AKAN HADIR mesyuarat pengurusan Umno negeri malam ni.

MalaysianInsider melaporkan:

Setiausaha Perhubungan Umno Selangor Datuk Mohamed Satim Diman TIDAK HADIR pada mesyuarat pengurusan Badan Perhubungan Umno Selangor malam tadi.

Bermakna Khir bukan hanya tidak boleh dipercayai malah orang beliau pun nampaknya tidak mempercayainya lagi. Khir kata Satimakan hadir mesyuarat semalam, hakikatnya Satim tak hadir. Khir bagaimana?
Memang Umno mesti berani..............

Saya terpegun membaca ulasan Mohd Afifi Abd Razak, Pensyarah Sains Politik dari UUM dalam akhbar Utusan hari ini. Beliau menulis di bawah tajuk “Umno mesti berani”:

Antara ujian yang dihadapi (Umno) adalah seperti berikut:

a) krisis kepimpinan dalam parti yang menyaksikan pergeseran di peringkat kepimpinan Umno di beberapa buah negeri
b) cabaran yang bertali arus dari parti-parti pembangkang - Pakatan Rakyat
c) sikap tidak ambil peduli dalam kalangan segelintir pemimpin dan penyokong Umno terhadap keadaan parti tersebut serta lupa matlamat sebenar perjuangan Umno
(beliau gariskan lima ujian, saya ambil tiga yang relevan di atas)

Sementara itu akhbar yang sama termasuk beberapa laman web melaporkan ADUN Seri Serdang , Satim Diman yang juga Setiausaha Badan Perhubungan Umno Selangor dilaporkan terus tidak hadir mesyuarat Perhubungan Umno Negeri termasuk yang diadakan semalam. Ada khabar yang mengatakan berkemungkinan beliau akan meletakkan semua jawatan politiknya termasuk ADUN Seri Serdang.

(Untuk makluman PAS tewas pada PRU lalu di DUN tersebut dengan hanya 45 undi, undi rosak 827!)

Kalau diteliti ulasan Mohd Afifi ternyata stigma yang melanda Umno khasnya di negeri-negeri yang Umno kecundang, Selangor dan Kedah, terus menghantui mereka sehingga hari ini. Umno melalui pimpinan mereka cuba memberanikan muka berdiri di atas runtuhan kekalahan mereka, tetapi ternyata gelombang yang menjatuhkan mereka itu tidak reda-reda dan terus menghanyutkan harapan mereka.

Apabila tewas, maka krisis kepimpinan pasti tidak dapat dielakkan. Masing-masing menuding jari, masing-masing mahu melangkah mayat mereka yang kecundang itu untuk naik ke atas. Sejak tewas contohnya di Selangor, kabinet Khir Toyo terus dikambing hitamkan. Hari ini Noh Omar selaku Timbalan Pengerusi berdiri di belakang kain Najib Tun Razak yang merupakan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri.

Umno mahu bangkit kembali, tetapi pemimpin PR yang menggantikan mereka khasnya dari PAS dan PKR, di tempat-tempat yang mereka tewas ternyata menggherhanai prestasi kepimpinan mereka selama ini. Nama-nama baru yang muncul menggantikan tempat Umno contohnya Iskandar Abd Samad di DUN Chempaka, Dr Abd Rani di DUN Meru, Nik Nazmi di DUN Seri Setia, Haniza Mohd Talha di DUN Taman Medan, Dr Ahmad Yunus di DUN Sijangkang berjaya menawan dan menambat hati rakyat dengan gaya kepimpinan pro rakyat.

Begitu juga tokoh-tokoh besar PAS dan PKR seperti Tan Sri Khalid Ibrahim, Dato Dr Hasan Ali dan Azmin Ali meyakinkan rakyat khasnya bekas-bekas pengundi Umno bahawa, inilah tokoh-tokoh baru Melayu yang mempunyai kualiti dan kewibawaan dan memang mampu menggantikan tokoh-tokoh Umno yang pernah diberi peluang tetapi gagal memikulnya dengan amanah.
Umno kini tiada kuasa di Selangor, Kedah, Pulau Pinang dan lebih 20 tahun di Kelantan. Kerana itu sebagaimana digariskan Mohd Afifi sudah menular sindrom “tidak ambil peduli”dikalangan mereka.

Ini berlaku kerana politik wang sudah menjadi darah daging di bawah kepimpinan Umno dahulu. Apa sahaja peluang, kayu pengukurnya adalah politik. “Budak-budak Umno” termasuklah kontraktor, usahawan hatta penjaja dan pengusaha kecil diperas dengan gula-gula politik wang ini.

Hari ini bila Umno sudah tiadakuasa, budak-budak ini lapar. Dan dalam kelaparan itu membuka mata mereka bahawa selama ini Umno telah mendidik mereka dengan budaya yang sangat tidak bermaruah dan senteng. Kepimpinan PR di negeri-negeri yang PR kuasai ini membuka peluang buat semua, berniagalah dengan telus, tertib dan bersih, amalan-amalan lama terkubur dengan terkuburnya pemimpin-pemimpin lama.

Sekecil-kecil peniaga di pasar-pasar malam boleh akui hakikat ini. Dahulu mereka perlu membayar “ufti” pada Umno cawangan, sekarang mereka bayar lesen terus pada PBT, tiada lagi pihak ketiga. Kontraktor yang sememangnya berkemampuan dan terlatih dahulunya terpaksa “sub” kerja dari kontraktor milik pimpinan Umno, kini lega kerana mereka boleh bersaing secara aman.

Perubahan ini ketara dan tidak dapat dinafikan. Inilah yang membimbangkan Umno. Di negeri yang mereka tewas, rakyat yang menikmati perubahan ini pasti tidak mahu tukar dan kembali ke zaman kegelapan. Demikian juga di negeri-negeri yang Umno masih kuasai, berita dari negeri-negeri PR pasti masuk ke lubang telinga masing-masing. Jika begitu di Selangor contohnya mengapa Negeri Sembilan tidak boleh, mengapa Pahang tidak boleh?

Saya tidak tahu apakah punca Satim bertindak menyembunyikan diri. Tetapi kiranya beliau merasai gelombang perubahan ini, beliau dan ramai rakan-rakan lain yang masih di dalam Umno harusnya sedar, bahawa perjuangan memartabatkan agama, bangsa dan negara hakikatnya telah beransur-ansur bertukar tangan. Umno tidak lagi juara perjuangan ini. Ianya telah bertukar bahtera.

Sewajarnya kita semua bangkit sedar, bahawa gelombang besar rakyat yang menuntut perubahan, yang melanda pada PRU ke 12 itu akan terus berulang. Tiada gunanya kita bertahan pada bahtera yang rapuh dan buruk, beranilah untuk melangkah ke bahtera baru yang telah pun meyakinkan rakyat. KalauMohd Afifi menyeru agar “Umno mesti berani”, maka saya mahu menambah bahawa “Pemimpin dan ahli-ahli Umno mesti berani, melangkah keluar, bersama di atas bahtera baru yang lebih meyakinkan dan diterima rakyat”.

Sunday, June 20, 2010

Mengapa Pulau Pinang sahaja, Putrajaya bagaimana?

Bahang kontroversi lesen judi bolasepak Ascot milik jutawan Vincent Tan terus diperdebatkan. Ada pemimpin bukan Melayu yang menyokong pengharamannya ada pula pemimpin Melayu yang menyokong ia dilesenkan.

Apa pun polemik ini menyerlahkan keperluan melihat semula aktiviti perjudian berlesen dan keperluan membendung atau menghapuskannya sama-sekali. Hakikatnya judi jangankan yang tidak berlesen, yang berlesen pun mengundang masalah sosial yang buruk ke atas semua kaum dalam negara kita.

Semalam di TV kita melihat seorang anak muda mengaku bertaruh ribuan ringgit melalui kegiatan judi haram “on-line”. Beliau mengaku kiranya tidak berjaya beliau terpaksa membuat pinjaman melalui “ah long” yang pastinya membawa padah pada masa depannya.

Maka boleh judi atau tidak boleh judi, perkara ini akan terus diperdebatkan.

Apa yang kita tahu sejak tahun 1990 sebuah negeri di Malaysia iaitu Kelantan telah mengharamkan aktiviti ini. Ia diharamkan apabila kerajaan negeri mengarahkan PBT nya, tidak lagi mengeluarkan lesen premis untuk syarikat-syarikat yang memiliki lesen judi dari Kementerian Kewangan. Bermakna sejak itu tiada aktiviti judi berlesen di Kelantan.

Kini perkembangan membabitkan Ascot ini melihat ada gelombang menuntut agar aktiviti judi berlesen ini disemak semula.

Saya baru pulang dari Pulau Pinang siang tadi. Semasa di sana saya sempat mengambil gambar kain rentang ini yang dinaikkan di tengah bandar Georgetown. Ia berbunyi:

Kami memohon kepada kerajaan negeri Pulau Pinang dan kepada YAB Tuan Lim Guan Eng: Haramkan segala bentuk judi di negeri ini, termasuk Magnum, Toto, Lumba Kuda dan sebagainya. Jikalau benar-benar hendak membenteras kegiatan judi, tarik balik lesen-lesen perniagaan kedai-kedai nombor ekor.

Kain rentang “layang” ini (macam surat layang kerana tidak bertuan) sah dinaikkan oleh orang atau kumpulan yang tertentu yang mahu mengambil kesempatan keputusan kerajaan negeri menolak sama-sekali sebarang permohonan dari Ascot untuk beroperasi di Pulau Mutiara itu.

Mesej kain rentang ini jelas, iaitu haramkan semua jenis judi berlesen di Pulau Pinang. Ia mungkin mahu Pulau Pinang mencontohi Kelantan.

Sebagai seorang Islam sudah pastilah kita insaf bahawa judi itu haram dan ia mendatangkan banyak mudarat kepada masyarakat. Dalam hal masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan agama ini wajar atau mungkinkah judi diharamkan sebagaimana seruan kain rentang layang ini?

Ia boleh diharamkan atas kudrat politik parti yang memerintah. Pulau Pinang contohnya kini diperintah oleh Pakatan Rakyat dengan Sdr Lim Guan Eng dari DAP sebagai Ketua Menteri, pemerintahannya baru berusia 2 tahun 3 bulan. Ia membuktikan walaupun ia belum memikirkan untuk mengharamkan semua aktiviti judi berlesen tetapi ia punya kudrat politik menolak yang baru, iaitu yang mahu dibawa oleh Ascot.

Dahulu negeri ini diperintah Barisan Nasional, Ketua Menteri terakhir adalah Koh Tsu Koon dari Gerakan. Sepanjang puluhan tahun BN memerintah kepentingan politik mereka tidak memungkinkan langsung pertimbangan pengharaman apa bentuk judi berlesen pun dipertimbangkan.

Kelantan sebagaimana saya sebut sudah 20 tahun sejak PAS memerintah mengharamkan terus semua bentuk judi berlesen. Sebelum itu semasa BN, negeri yang lebih 90 peratus penduduknya beragama Islam langsung tidak memikirkan pun darihal pengharaman kegiatan ini malah dizaman BN lah lesen-lesen premis judi dikeluarkan di Kelantan. Begitu juga tak sampai 5 tahun PAS memerintah Terengganu, 1999-2004, judi diharamkan!

Maka pokoknya di sini adalah kudrat politik. Bagi saya yang paling memiliki kudrat politik adalah kerajaan Persekutuan yang tampuknya diterajui BN sejak 1957! Perdana Menteri nya sejak itu sehingga kini berbangsa Melayu (dari Umno) dan beragama Islam. Kalau mahu, haramkan sahaja segala bentuk aktiviti perjudian yang dilesen oleh kementrian kewangan maka tiadalah susah-susah negeri mahu atau tidak mahu keluarkan lesen premis perjudian.

Saya sarankan kain rentang “layang” mungkin yang lebih besar di pasang di Putrajaya! Sarankan pada YAB Dato Seri Najib Tun Razak, pemimpin negara Islam tersohor, ketua parti Melayu terbesar di dunia, haramkan sahaja segala bentuk judi di Malaysia. Ketika itu bukan sahaja Guan Eng, malah Zambri, Ghani Othman, Ali Rustam, Adnan, Taib Mahmud, Musa Aman dan lain-lain seluruh negara semuanya akan akur. Kalau benar-benar mahu benteras judi, situlah letaknya kuasa tertinggi iaitu di Putrajaya……….


Saturday, June 19, 2010

Tukar parlimen atau tukar kerajaan?

Isu cadangan yang dibawa ke kabinet untuk memindahkan Bangunan Parlimen Malaysia ke PICC atau Putrajaya International Convention Centre terus mengundang tanda-tanya dan kemarahan ramai.

Adakah perpindahan ini kerana nak menyelamatkan “gajah putih” PICC yang dibina oleh Tun Dr. Mahathir pada kos RM600 juta yang kononnya kini kurang digunakan? Seingat saya Tun berkejar-kejar untuk siapkan PICC dahlu semata-mata supaya beliau boleh menganjurkan persidangan OIC di sana. Itulah hebatnya Mahathir!

PM Najib Tun Razak baru sahaja keluar di TV semasa saya menulis posting ini mengatakan yang Bangunan Parlimen Malaysia kini sudah tua? Sejak bilakah kita punya dasar bahawa setiap bangunan tua itu perlu diubah?

Bukankah bangunan parlimen menjadi tanda-mercu demokrasi sesebuah negara, dipelihara dan dipandang tinggi sebagaimana di UK, India,Amerika Syarikat dan lain-lain. Bangunan Parlimen kita dicadangkan dibina oleh PM pertama Almarhum Tunku pada Disember 1959 (sebelumitu Parlimen bersidang di Dewan Tuanku Abdul Rahman di Jalan Ampang yang kini menempatkan Pusat Pelancongan Malaysia - MTC), Ia siap dibina pada bulan September 1962 dengan belanja RM18 juta. Ia diresmikan oleh Yang Dipertuan Agong Ketiga pada 21 November 1963.

Kononnya kerana bangunan ini sudah tua maka lebih baik ia mengambil-alih PICC dan bangunan tua ini dikekalkan sebagai galeri warisan. Ada pula cadangan agar bangunan baru dibina di Putrajaya dengan kos RM800 juta!

Bangunan parlimen yang ada ini telah pun melalui pelbagai ubahsuai dan baik-pulih. Pada tahun 2005 sebanyak RM90 juta dibelanjakan (ketia Samy Menteri Kerjaraya) untuk memperbaiki kebocoran di bangunan berkenaan selain menambah-baik ruang dalam dan beberapa kerja ubah-suai. Kemudiannya pada tahun 2007 sebanyak RM12juta lagi dibelanjakan.

Rakyat perlu bangkit menghentikan pengurusan pasang-surut yang tidak ketahuan hala BN ini.

Cukup-cukuplah wang rakyat dibazir dan ditabur tak menentu begitu. Rakyat perlu memberikan mesej bahawa Bangunan Parlimen yang sedia ada yang merupakan simbol kedaulatan demokrasi negara perlu dikekalkan, jangan diusik atau diganggu lagi. Biar ia kekal sebagai Bangunan Parlimen sampai bila-bila. Kita perlu berjimat kalau ada keperluan untuk tukar, kita tukar kerajaan yang ada bukannya bangunan warisan kegemilangan dan kedaulatan kita ini!
Najib mungkin popular tapi rakyat tetap pilih PR

Apabila badan bebas Merdeka Centre mengisytiharkan bahawa menurut kajian mereka tahap populariti PM Najib Tun Razak meningkat kepada 72 peratus berbanding 69 pertaus pada bulan April tahun ini ramai yang memberikan pelbagai reaksi. Kajian itu dilakukan dari tempuh Mei 6 ke Mei 16 iaitu selepas kemenangan BN di Hulu Selangor (pilihanraya kecil Sibu yang berpihak kepada PR diadakan pada 16 Mei).

Menurut Merdeka Centre kajian itu merumuskan bahawa rakyat pada amnya mengiktiraf kepimpinan Najib dan mahu melihat dasar-dasar yang diperkenalkannya dilaksanakan. Dalam erti kata lain ianya nampak menggiurkan semoga berjaya.

Antara yang terawal melonjak ghairah dengan hasil kajian ini adalah bekas PM Tun Dr Mahathir. Begitu ghairahnya beliau sehingga mendesak PM agar segera mengadakan pilihanraya umum kerana katanya dengan populariti sebesar itu nanti Najib akan mampu mengembalikan dua pertiga majoriti BN di Dewan Rakyat dan barangkali merampas kembali negeri-negeri yang BN tewas (Pulau Pinang, Selangor, Kedah dan Kelantan).

Adakah dengan hasil kajian itu BN benar-benar telah bangkit dan kembali kuat sebagiamana PRU 2004?

Sekurang-kurangnya Tun Dr M berfikiran begitu. Beliau memang dikenali sebagai pakar strategi dizamannya. Tetapi beliau pun tidak sunyi dari rekod buruknya sendiri. Bukankah ditangan beliau PAS menang Kelantan dan Terengganu? Bukankah dizaman beliau Presiden PAS (dari Almarhum Ustaz Dato Fadzil Nor dan kemudian Dato Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang) muncul sebagai Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat?

Malah Umno berpecah teruk sehingga ada ahli Majlis Tertingginya ketika itu menyalahkan Tun secara terbuka, kata beliau kerana rakyat benci Tun lah maka Umno ditolak.

Ahhh kemungkinan Tun sudah lupa semua itu…….dah lama dah………

Hari ini Tun melihat prospek untuk mencetuskan fahaman bahawa BN boleh bangkit kembali ada. Hasil kajian ini tak kiralah apa mesej sebenarnya perlu dieksploitasi. Biar BN menang besar kembali. Biar anak saya diberi ganjaran lagi sekurang-kurangnya jadi Menteri penuh atau Menteri Besar Kedah.

Biarlah Tun dengan keghairahannya,bagi saya kajian ini lebih menghasilkan bacaan pengharapan rakyat. Sebab kebetulan Najib adalah PM, jadi kalau begitu hakikatnya biarlah beliau berjaya, walaupun hasilnya belum berapa kelihatan lagi pun.

Saya boleh katakan bahawa rakyat juga sudah selesa dengan PR. Dahulu apabila PR menang di lima negeri (kemudiannya kemenangan Perak dicuri secara haram), menafikan dua pertiga majoriti BN di Dewan Rakyat, juak-juak BN khasnya Umno mengatakan negara akan menghadapi masa depan yang suram dan muram. Para pelbaur asing akan lari, ekonomi akan terencat.

Hari ini negeri-negeri di bawah tangan PR terus mendapat pujian. Penafian majoriti dua pertiga BN di Dewan Rakyat disedari rakyat banyak manfaatnya. BN tidak lagi boleh membuat dan berkata sewenangnya.

Saya menyebut rakyat juga selesa dengan PR kerana lihat keadaan negara kita. Ia terus stabil, tiada kekacauan, ekonomi terus berkembang, pelabur asing tidak lari kemana.

Bagi saya ini menunjukkan rakyat mengesahkan atau “confirm”bahawa ujian mereka terhadap PR dahulu (PRU 2008) memang membawa pulangan positif.

Benar Merdeka Centre menyatakan mereka selesa dengan kepimpinan Najib (lebih selesa lagi berbanding dizaman kemuncak Tun Dr M) tetapi tidak pula mereka menyatakan yang mereka mahu menolak PR. Tidak pula mereka menyatakan yang mereka mahu melihat tokoh-tokoh rasuah, penyalahguna kuasa khasnya yang tersungkur di negeri-negeri PR perintah mahu mereka berikan kembali kuasa. Tidak pula mereka nyatakan mereka mahu Samy Vellu, Chua Soi Lek, Koh Tsu Koon, Khir Toyo yang telah mereka tolak perlu dikembalikan.

Tidak. Mereka mungkin akui bahawa Najib popular, tetapi Umno dan BN yang Najib pimpin belum tentu memikat selera mereka (buktinya setelah menang Hulu Selangor BN tewas di Sibu). Najib popular kerana kebetulan beliau PM dan boleh guna apa sahaja bawah kuasanya untuk mencorakkan yang cantik-cantik untuk dilihat dan dikagumi. Barangkali kalau Dato Seri Anwar PM atau Kit Siang atau Hj Abd Hadi, populariti mereka ini melangkaui 80 persen, siapa tahu?

Kalau nak tahu, kita kena tukar.

Saya yakin rakyat sudah bersedia untuk tukar. Mereka sudah selesa dengan PR, mereka tidak nampak kecacatan PR, mereka akan bersedia untuk melonajkkan PR ke tahap yang lebih tinggi selepas ini. Tahniah Najib kerana popular, tahniah Tun kerana berani suruh Najib panggil pilihanraya, yang lebih penting tahniah PR kerana kekal meyakinkan rakyat bahawa perubahan demi kebaikan tidak dapat dielakkan lagi.

Monday, June 14, 2010

ALFATIHAH

Ustaz Hasssan Shukri bekas Timbalan Presiden PAS dan bekas Pesuruhjaya PAS Selangor meninggal dunia di Hospital Selayang jam 2.00 petang tadi.

Allahyarham adalah guru dan pembimbing saya. Beliaulah yang banyak memberikan galakkan dan menolak saya ke hadapan berkecimpung dalam politik PAS. Saya terakhir berjumpa dengan beliau di Muktamar Pemuda Selangor di Shah Alam. Sebelum itu Allah pertemukan kami di Masjid Nabawi di Medinah ketika menunaikan Umrah beberapa bulan dahulu.

Ketika Allahyarham Pesuruhjaya Selangor, PAS buat pertama kali menang kerusi di Selangor iaitu empat kerusi pada tahun 1999. Kerusi-kerusidimaksudkan adalah DUN Sg.Burung (Dato Dr Hasan Ali), DUN Kajang (Dr Shafie Abu Bakar), DUN Gombak Setia (Ustaz Dato Ismail Kamus) dan DUN Sabak (Ustaz Sallehen Mukhyi).

Allahyarham pernah dilantik oleh kerajaan PAS Terengganu sebagai ahli Dewan Negara.

Suatu kualiti terbaik Allahyarham yang terus disebut-sebut sampai hari ini khasnya di PAS Selangor adalah "punctuality" beliau ketika menghadiri mesyuarat dan program-program. Beliau lazimnya yang pertama hadir.

Semoga Allah swt mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham.

Adinda NikAbduh mengirim SMS berikut yang mahu saya kongsi bersama pengunjung blog ini:

Semoga kegembiraan yang kita DPPP titipkan ke dalam diri Allahyarham melalui penganugerahan sebagai tokoh Pemuda itu memanjang sebagai husnul khatimah untuk rohnya. Ya Allah, syurgalah untuknya…….Allahu Akhbar Wa Lillahhil hamd.

Thursday, June 10, 2010

Malaysia tak serius menangani isu Palestin.

Satu hari kita bertempik menyatakan bantahan keras pada regim haram Israel, menuntut dunia mengutuk dan bertindak keras terhadap mereka angkara jenayah kemanusiaan mereka terhadap rakyat Palestin khasnya di Gza dan Tebing Barat, tetapi diwaktu yang lain kita menyepi apabila Israel berlabuh di bumi kita!

Kemneterian Pengangkutan bersahaja menyatakan memang selama ini kerajaan kita membenarkan kapal-kapal kargo Israel memasuki pelabuhan negara bagi urusan perdagangan.

Tidakkah inimenjadikan Malaysia satu negara hipokrit! Berlakon di pentas seolah kita juara dan jaguh. Lihat anak-anak bangsa kita sanggup merempuh tentera dan kapal perang Israel demi kemanusiaan rupanya demi keuntungan kita juga mengalu-alukan penjenayah dunia ini berdagang dengan kita asal sahaja kita untung.

Syaratnya kapal-kapal Israel jangan kibarkan bendera mereka apabila menghampiri dan berlabuh di pelabuhan kita dan anak-anak kapal mereka tidak dibenar turun. Tidakkah ini menjadikan kita satu negara tidak bermaruah dan bermoral di bawah kerajaan BN?!

Anak bangsa Palestin menderita angkara tindakan kebinatangan regim haram ini, menahan dan menyekat bantuan dunia masuk ke Palestin.Kerana itu mereka terpkasa menyabung nyawa mengorek terowong-terowong tanah, meneyeludup masuk barang-barang, memohona dan merayu bantuan dunia. Israel ini jahat, Israel ini tidak berperi kemanusiaan.

Tiba-tiba kita yang kononnya mahu menjadi jaguh isu ini senang-senang mengizinkan pedagang-pedagang negara haram itu datang berdagang ke sini. Tidakkah kita fikirkan keuntungan yang mereka raih itulah nanti yang akan memodalkan pembelian senjata yang akan menghala dan meledak ke arah rakyat Palestin?!

Kerajaan Najib Tun Razak perlu berterus-terang. Hentikan terus apa sahaja bentuk kerjasama dan perdagangan dengan Israel. Duit mereka haram di negara kita kerana mereka bukan manusia tetapi binatang. Jangan berdegar-degar bagai ayam jantan perkasa tetapi hakikatnya ekor begelumang najis yang jijik dan busuk.

Wednesday, June 09, 2010

Rakyat jimat kabinet boros

Mari tarik balik subsidi yang dinikmati rakyat Malaysia. Kita terpaksa biarkan harga barangan seperti gula, petrol dan lain-lain naik. Begitu juga perkhidmatan seperti perubatan kerajaan. Ini semua kerana jika tidak negara sebagaimana kata Pak Menteri BN akan bankrap.

Siapa mahu melihat negara tercinta ini muflis.

Seorang lagi Pak Menteri berkata melalui penjimatan ini nanti wang yang sepatutnya dibelanjakan untuk menampung subsidi boleh digunakan untuk projek-projek yang diperlukan rakyat.

Tiba-tiba hari ini kita diberitahu:

(Laporan Mstar) KUALA LUMPUR: Kabinet telah mempertimbangkan untuk membina bangunan Parlimen yang baru bernilai RM800 juta di Putrajaya, manakala bangunan sedia ada di Kuala Lumpur akan dijadikan sebagai bangunan warisan.

Perkara itu diputuskan oleh Kabinet, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz dalam jawapan bertulisnya kepada soalan Ahli Parlimen Kota Melaka, Sim Tong Him mengenai kos dan tempoh memulihara dan menaik taraf bangunan Parlimen sedia ada.

Bijaknya kabinet Malaysia, dalampada rakyat diminta berkorban, senang-senang RM800 juta mahu dibelanjakan! Malaysia Boleh!

Thursday, June 03, 2010

Wednesday, June 02, 2010

Bersama berdoa untuk Palestin

Sedang saya mengrim posting ini pasti ramai sudah mengetahui darihal kejadian di perairan Mediterannean yang melibatkan konvoi bantuan menerusi laut ke saudara-saudara kita di Gaza yang diserang tentera regim haram Zionis Israel.

19 aktivis di atas kapal Mavi Marmara dilaporkan dikorbankan manakala anak kapal selebihnya diculik dan ditenpatkan di pusat tahanan Israel di Ashdood, Israel.

Antara tawanan regim haram itu adalah 12 warga Malaysia termasuklah sahabat saya Sdr Jamaluddin Elias, ahli majlis Majlis Perbandaran Kelang, mewakili Amal Malaysia.

Sesungguhnya kita sedih dengan apa yang berlaku. Memang perbuatan terkutuk itu tidak mencerminkan budaya manusia sivil melainkan angkara haiwan yang tidak berakal.

Memang 19 yang terkorban dan puluhan yang diculik itu suatu angka yang besar dan sangat dikesali tetapi dunia perlu tahu bahawa mereka ke sana kerana mahu menonjolkan bahawa sebelum ini puluhan ribu telah terkorban syahid di bumi Palestin puluhan tahun angkara sikap kebinatangan regim haram Zionis Israel.

Mereka menafikan hak rakyat Palestin memerintah bumi mereka sendiri. Mereka tekan, mereka peras dan mereka perlakukan warga Palestin diluar batasan sivil dan perikemanusiaan. Anehnya dunia sekadar marah tetapi tiada tindakan. Amerika Syarikat negara maju yang kononnya paling bertamaddun bukan sahaja membisu tetapi melindungi syaitan bertopengkan manusia ini.

Apa pun tindakan terbaru regim haram ini tidak boleh dibiarkan dan didiamkan lagi. Dunia perlu digegar dan dikejutkan dengan kehadiran haiwan yang berlagak bagai manusia ini.

Kita di Malaysia tidak kira apa fahaman, budaya atau agama, pastinya kesal, marah dan dukacita dengan kejadian ini. Bagi kita umat Islam tidak cukup dengan membantah atau menyatakan protes dan kekesalan. Kita punya satu senjata yang perlu kita gunakan yang selebih besar dan meluas kesannya berbanding apa sahaja senjata ciptaan manusia.

Rasulullah saw bersabda:
Doa adalah senjata orang yang beriman

Allah swt berfirman:
Dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina.
(Ghaffir:60)

Allah swt berfiman:
Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan segala yang membawa kebaikan padanya, dan berdoalah kepadaNya dengan perasaan bimbang (kalau-kalau tidak diterima) dan juga dengan perasaan terlalu mengharapkan (supaya makbul). Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang-orang yang memperbaiki amalannya.
(al A’raf:56)

Untuk itu marilah kita beramai-ramai ke Stadium Malawati, Shah Alam, hari Khamis 3 Jun 2010 ini. Sama-sama kita solat maghrib, isyak, hajat dan kemudiannya bermunajat secara berjemaah. Memohon campurtangan dan bantuan Allah swt agar sengsara dan penderitaan saudara-saudara kita segera di atasi, memohon agar regim harama Zionis Israel dimusnahkan, memohon agar Al Aqsa kembali ke tangan umat Islam.

Jangan lupa semua kita ke sana, program solat hajat dan munajat perdana untuk Palestin anjuran kerajaan negeri Selangor.