Zam mahu hidung pelajar dicucuk
(Saya memang tidak berminat menulis tentang Zam ini, tetapi apabila membaca kenyataannya yang sangat dangkal dan low class itu, saya terpanggil untuk memberikan respon, jangan nanti kita jadi dangkal dan low class seperti beliau)
Hidung lembu dan kerbau dicucuk agar mudah ia diseret dan dipandu menurut kehendak tuannya. Ianya terpaksa dilakukan kerana binatang ternak ini sebagaimana haiwan lain tidak berakal.
Begitulah kalau kita baca kenyataan Menteri Penerangan Zainuddin Maidin dalam seminar Malaysiaku Gemilang: Halatuju Sepanjang 50 tahun akan datang, yang dianjurkan sempena Perhimpunan Agung Umno 2007. Seminar tersebut dihadiri 150 pelajar teramsuklah 66 orang yang merupakan perwakilan ke perhimpunan yang bermula esok itu.
Kata Zainuddin pelajar perlu tegas dan berhati-hati kerana banyak pihak cuba mengambil peluang terhadap generasi muda termasuk menawarkan wang sebagai habuan. Tepat sekali kata beliau itu, kerana itulah sebenarnya yang dilakukan Umno. Mat dan Minah Rempit diberikan habuan dan sogokan untuk mengikuti program-program Umno. Kita juga tahu anak-anak muda digula-gulakan dengan hiburan dan kewangan untuk mengikuti program Pemuda, Puteri dan Putera. Bermakna yang paling perlu mereka berhati-hati adalah terjerumus kejerat dan umpan Umno, itulah agakanya maksud ahli MT Umno itu.
Beliau juga mahu pelajar yang menuntut di luar negara agar memiliki ketahanan diri dengan mengelakkan daripada diperalat bagi tujuan memburukkan negara sendiri. Kata beliau lagi pelajar luar negara jangan jadi hero tanpa disedari mengkhianati negara sendiri.
Disinilah Zainuddin cuba memujuk pelajar-pelajar kita agar masing-masing menyerahkan sahaja hidung mereka sebagaimana lembu dan kerbau tadi untuk beliau tindik agar mudah nanti beliau seret dan pandu ke lurah dan jurang yang beliau kehendaki. Sepatutnya para pelajar digalakkan menimba pengalaman, aktif di luar dan sentiasa memiliki pandangan yang kritis. Zainuddin merasakan apa sahaja pandangan kritis dan tidak pro Umno sebagai sesuatu yang mengkhianti negara, sebagaimana tuan punya lembu dan kerbau tadi yang tidak membenarkan lembu dan kerbaunya merantau mencari makan sendiri, walaupun lapar perutnya atau dahaga tekaknya.
Kita dah 50 tahun Merdeka, malangnya pemimpin Umno bertaraf Menteri ini begitu kuno dan lapuk pemikirannya, hanya mahu para pelajar kita terdedah dan dipengaruhi propoganda dan dakyah Umno sahaja dan tidak yang lain. Para pelajar dilarang berpolitik kecuali melalui Umno sahaja, yang lain anti nasional dan buruk belaka, cuma Umno sahaja yang baik dan bersih.
Kalau begitulah pemikirannya yang jumud dan beku itu, mengapa tidak dicadangkan kerajaan haramkan sahaja parti-parti politik lain. Biar Umno sahaja yang tinggal kekal di Malaysia. Biar kita jadi negara satu parti macam Parti Kominis Cina, bukankah lebih mudah dan senang. Tak payah susah-susah mengugut dan memberi kata-dua kepada pelajar. Mereka dengan sendiri nanti akan rela mencucuk hidung mereka sendiri. Mungkin Zam boleh usulkan hal ini dalam perhimpunan partinya itu nanti.
No comments:
Post a Comment