Sunday, October 16, 2016

RUU 355: DAP adu domba rakyat Malaysia



Kata tokoh DAP, Lim Kit Siang sekiranya RUU 355 ini dibenarkan dibawa dan diluluskan di Dewan Rakyat akan berlaku:

"tectonic shift" to the fundamental basis of the Merdeka constitution and the Malaysian agreement.

(Anjakan tektonik terhadap asas Perlembagaan Merdeka dan Perjanjian Malaysia)

Nampaknya ancaman dan ugutan Kit Siang terhadap RUU 355 ini semakin berani dan lantang. Beliau cuba mencetuskan kebimbangan seolah RUU 355 ini jika diluluskan boleh mengancam hak khususnya masyarakat bukan Islam termasuklah rakyat di Sabah dan Sarawak.

Bagi Kit Siang RUU 355 ini suatu ancaman.

Bagi Kit Siang membenarkan RUU 355 ini bermakna merobah asas Perlembagaan Persekutuan yang kononnya menjamin Malaysia ini sebagai sebuah negara sekular.

Yang Kit Siang tidak jelaskan bahawa RUU 355 ini sebenarnya meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) dan jika diluluskan memberikan kuasa kepada 

Hakim-hakim mahkamah berkenaan menjatuhkan hukuman atas kesalahan tertentu menepati hukum syarak sebenar.

Yang Kit Siang sorok dan sembunyikan bahawa Mahkamah Syariah di Malaysia hanya mengadili orang Islam.

Malaysia adalah sebuah Negara Islam, itu dinyatakan secara jelas dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan. Orang Islam sebagaimana penganut agama lain berhak mengamalkan agama mereka sebagaimana diperuntukkan dalam Perkara 11(1):

 “Tiap-tiap  orang  berhak  menganuti  dan  mengamalkan agamanya”

Apa yang RUU 355 bawa adalah bagi memperkasakan mahkamah syariah bagi membenarkan umat Islam di Malaysia mengamalkan agama mereka yang sebenar sebagaimana yang dijamin Perlembagaan.

Kesimpulannya tindakan penentangan Kit Siang dan DAP ini sebenarnya cuba menafikan hak umat Islam sebagaimana dijamin Perlembagaan.

Anjakan tektonik sebenarnya adalah apabila masyarakat bukan Islam cuba ditipu oleh Kit Siang dan DAP dengan kebimbangan dan fitnah yang bukan-bukan. Jika sebelum ini masyarakat Malaysia masing-masing hormat menghormati antara amalan agama, kepercayaan dan budaya masing-masing, hari ini Kit Siang dan DAP cuba mengadu-domba biar kita masing-masing punya syak wasangka antara sesama kita rakyat Malaysia.

RUU 355 ini tiada kaitan dengan masyarakat bukan Islam. Masyarakat Islam yang majoriti dalam negara ini sedang berusaha untuk dekatkan diri mereka pada agama mereka melalui saluran yang dibenarkan oleh undang-undang, mengapa yang minoriti perlu menentang?

Berubah ke arah kebaikan atau kekal musnah dalam kemungkaran

(Menerjang Badai : HARAKAH Bil . 2189)
 
Pulangnya ke rahmatullah Almarhum Dato Dr Haron Din, Mursyidul Am PAS, sesungguhnya merupakan satu kehilangan besar yang sangat dirasai bukan hanya oleh PAS malah oleh seluruh umat Islam di Malaysia.

Bagi PAS Almarhum merupakan seorang tokoh yang terbilang dan besar peranan, pengorbanan serta sumbangannya pada parti sehingga ke akhir hayat.

Beliaulah perisai yang telah melindungi dan memberi kekuatan kepada kepimpinan parti khususnya dalam mendepani pelbagai cabaran dalaman dan luaran dan beliaulah juga pendorong dan pembimbing yang sentiasa memberi suntikan semangat dan daya juang pada para ahli dan akar umbi PAS dipelbagai peringkat.

Bagi sesetengah pemerhati luar ketiadaan Almarhum kononnya akan mencetuskan kelompangan dalam saf kepimpinan tertinggi parti dan PAS dikatakan akan tempang tanpa tokoh sehebat dan sekaliber Almarhum.

Ternyata mereka tidak mengenali PAS.

Walaupun diakui ketiadaan Almarhum adalah satu kehilangan besar pada PAS, namun PAS bukannya sebuah parti setahun jagung. Ia telah wujud lebih enam dekad lamanya dan ia merupakan satu-satunya parti Islam terbesar dalam negara dengan memiliki ahli dan kekuatan parti kedua terbesar selepas Umno.

Kekosongan jawatan Mursyidul Am tetap mampu diisi dan PAS ternyata punya barisan kepimpinan yang berwibawa, terlatih dan masing-masing mampu untuk mengisi apa sahaja kekosongan dalam parti membuktikan PAS sentiasa serius dalam mahu memimpin ummah dan negara ke arah kecermerlangan mengikut acuan prinsip dan perjuangannya.

Tuan Guru Hashim Jasin telah diumumkan oleh Majlis Syura sebagai Mursyidul Am PAS yang baru menggantikan Almarhum Dato Dr Haron Din dan Menteri Besar Kelantan Ustaz Dato Ahmad Yakob kekal sebagai Timbalan.

Begitulah PAS, patah tumbuh hilang berganti, namun agenda untuk memartabatkan Islam dan menyelamatkan negara tidak sekali-kali berganjak dan akan kekal utuh sampai bila-bila.

Individu dan kelompok lebih-lebih lagi yang khianat dan punya agenda peribadi, besar mana sekalipun mereka, pemergiannya langsung tidak mampu menjejaskan bahtera perjuangan PAS kerana PAS sarat dengan pimpinan dan individu yang ikhlas dan kukuh berkongsi satu matlamat perjuangan ke arah menuntut redha Allah swt.

PAS hari ini membuktikan bahawa ia mampu kekal relevan dan mencabar walau apa tribulasi dan dugaan besar atau kecil yang ia tempuhi.

Ramai tokoh-tokoh besarnya direhatkan oleh Allah swt terbaru Almarhum Dato Dr Haron Din dan sebelumnya Tuan Guru Nik Abd Aziz, Ustaz Tan Sri Azizan Abd Razak, Ustaz Dato Harun Taib, Ustaz Dato Abu Bakar Chik dan ramai lagi. Namun setiap kekosongan telah segera diisi dan bahtera PAS terus tenang belayar.

Begitu juga dikhianati ia apabila bekas-bekas pimpinannya yang kecewa telah melompat parti bersekali dengan kerusi-kerusi yang “dicuri”, namun bahtera PAS tidak terkesan dan terus belayar menuju destinasi besarnya.

Kerana itu dikalangan parti-parti politik yang ada khususnya yang mewakili masyarakat Melayu Islam, PAS dilihat jauh ke hadapan dengan keupayaan untuk mengaut keyakinan rakyat dalam skala yang besar kerana ia kelihatan sentiasa konsisten dalam perjuangannya dan tidak mudah menggadaikan prinsip semata-mata kerana mengejar sesuatu yang tidak menentu.

Dosa dan pahala menjadi garis pemandu buat PAS dan ini tidak lagi dipentingkan oleh mana-mana pihak lain.

Selain itu kekuatan PAS tidak bertenggek pada mana-mana individu tetapi sebaliknya tersandar pada prinsip perjuangannya yang agung lagi suci. Tokoh dan negarawan datang dan pergi namun Islam yang diperjuangkannya terus semakin marak dan menjulang tiada kelihatan akan layu apatah lagi padam.

Orang Melayu Islam kini sudah mula menuntut pimpinan yang berkualiti dan ikhlas membela dan mempertahankan nasib dan masadepan mereka. Bukannya pemimpin yang rasuah, zalim apalagi khianat dan pembelot.

Sesungguhnya dewasa ini rakyat khasnya masyarakat majoriti Melayu Islam cenderung kepada parti yang bersih dan sentiasa mampu mengenengah dan melahirkan pimpinan yang jujur dan bertaqwa.

Satu-satunya parti yang memiliki kualiti seumapam ini sudah semestinyalah PAS yang masih istiqamah kekal kukuh berdiri di atas paksi Islamnya.

Malah seorang penganalisa politik dalam sebuah akhbar tempatan menulis:

PAS is still very much a Malay party to watch.
It has a huge cache of young and committed professionals and religious scholars who will shape the future of the party and perhaps even the country.

Maksudnya:

PAS mashi merupakan (satu-satunya) parti Melayu yang perlu diberi perhatian.
Ia sarat dengan pimpinan muda dari kalangan profesional dan ulamak yang bakal melakar masa depan partinya dan malah juga negara.

Demikianlah tidak syak lagi majoriti umat Melayu Islam akan kekal mulia dan dihormati ramai apabila ia mampu memilih dan mengangkat pimpinan  yang terbaik dari kalangannya untuk memimpin.

Masa depan negera terjamin stabil dan sejahtera kiranya ia dipimpin oleh saf kepimpinan yang gerun dan takutkan Allah swt dan bukan yang sebaliknya.
PAS mengemukakan pilihan ini buat masyarakat.

Berubah ke arah keselamatan dan kebaikan atau kekal musnah dengan kemungkaran. roslansms@gmail.com

Saturday, September 24, 2016

Hodohnya lidah bercabang DAP

Isu persempadanan semula bahagian-bahagian pilihanraya yang sedang dilakukan oleh pihak SPR sebenarnya membuka tembelang kekalutan DAP khasnya di negeri Selangor.

Sejurus cadangan persempadanan semula ini dipamerkan, pimpinan DAP antara yang terawal melontarkan komen.

Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua umpamanya mendakwa bahawa tindakan sewenang-wenang SPR mengubah dan meminda sempadan-sempadan pilihanraya di Selangor akan membuka peluang BN kembali berkuasa di negeri ini.

Pua mendakwa sekurang-kurangnya 7 kerusi DUN akan dikuasai oleh BN melalui proses persempadanan baru ini kiranya pilihanraya diadakan selepas ia diluluskan. Kerusi-kerusi berkenaan adalah:

1.       Sabak (PAS)
2.       Hulu Kelang (PAS) (dicuri Pan)
3.       Sementa (PKR)
4.       Selat Kelang (PAS)
5.       Pelabuhan Kelang (PKR) (kini Bebas)
6.       Sejangkang (PAS)
7.       Morib (PAS) (dicuri Pan)

Manakala 10 lagi kerusi (yang tidak disebutkan) mempunyai potensi majoritinya dikurangkan malah boleh juga dirampas BN.

Atas dasar ini Penasihat Agung DAP, Lim Kit Siang kemudiannya mencadangkan agar Dewan Negeri Selangor dibubarkan supaya Pilihanraya Negeri dapat dilakukan sebelum proses persempadanan ini diluluskan.

Cadangan ini ditolak dengan tegas oleh MB Selangor Dato Seri Azmin Ali yang menyatakan bahawa kerajaannya tidak akan mengkhianati mandat besar yang diberikan oleh rakyat Selangor pada PRU ke 13 lalu dengan mengangkat PKR. PAS dan DAP untuk memerintah.
Pilihanraya awal tidak akan dipanggil kata Azmin dan sebaliknya kerajaan negeri akan menggunakan proses undang-undang bagi memperbetulkan tindakan pihak SPR itu.

Kemudian seorang lagi pemimpin kanan DAP Liew Chin Tong yang mengulas laporan akhbar Nanyang Siang Pau yang mendakwa ada kerjasama politik antara Umno dan PAS untuk merampas Selangor melalui proses persempadanan semula ini berkata:

“Sukar untuk pastikan sejauh mana kebenaran laporan tersebut tetapi kebarangkalian wujudnya perjanjian sedemikian tidak boleh dipandang ringan. Malah, ia merupakan andaian yang paling logik ekoran hubungan UMNO dan PAS yang semakin kuat,”

Sekali lagi DAP menjadikan PAS sebagai mangsa, mereka dengan jahat cuba mencetuskan keraguan rakyat terhadap PAS, apabila melemparkan fitnah kononnya ada kerjasama PAS dan Umno dalam proses persempadanan semula SPR ini.

Kalau kita teliti kenyataan Tony Pua di atas dan bandingkan dengan kenyataan Liew Chin Tong, disitu sahaja terbukti betapa bercabangnya lidah para pimpinan DAP ini.

Tony mendakwa 7 kerusi DUN Selangor boleh dikuasai BN dalam proses persempadanan ini. Dari 7 kerusi itu kalau kita perhati 5 adalah milik PAS. Bermakna PAS lah pada pandangan Tony yang akan rugi besar melalui proses persempadanan semula ini.

Tiba-tiba Liew pula mendakwa keberangkalian wujudnya perjanjaian atau kerjasama PAS dan Umno untuk menentang PKR dan Pan.

Kalau ada kerjasama PAS dan Umno, kenapa proses persempadanan pilihanraya ini yang Tony dakwa mahu membuka peluang buat BN kembali berkuasa di Selangor mengakibatkan PAS bakal kalah 5 kerusi.

Kerjasama apanya kalau BN menang dan PAS kalah?

Ketua Penenragan PAS Pusat, UStaz Nasrudin Hassan Tantawi m=dalam kenyataan akhbarnya menyebut:

Bukannya pendirian dan sikap politik PAS yang tidak jelas sebaliknya cara dan matlamat berpolitik DAP lah yang sudah tidak relevan. Kenyataan berasaskan persepsi dan propaganda jahat bukanlah cara yang sihat dalam berpolitik. Namun adalah amat dikesali apabila cara itu masih digunakai sebahagian pemimpin DAP bagi melaraskan peluru dendam terhadap PAS.

PAS sendiri telah menyatakan bantahannya terhadap proses persempadanan semula SPR ini. Tak perlulah DAP menunjukkan kepada awam lidah bercabangnya itu.

DAP jagalah tepi kainnya sendiri serta anak kelahirnanya PAN. Tak perlulah sibuk hal pasal apatah lagi terus menyanyikan lagu fitnah kerjasama PAS dan Umno.

PAS istiqamah dengan agenda perjuangan Islamnya. Ia akan terus dijunjung dan dijulang samada DAP suka ataupun tidak.