Wednesday, October 07, 2009

PAS dan DAP terus bersatu memantapkan Pakatan Rakyat Selangor

Ada yang menganggap ia suatu persitiwa kecil, pertemuan biasa. Tetapi bagi saya ia suatu pertemuan yang sangat bersejarah. Tidak pernah dalam sejarah politik kedua-dua parti, satu pertemuan peringkat tertinggi seumpama ini diusahakan, pertemuan untuk membincangkan isu-isu semasa yang melibatkan kedua-dua pihak. Ada yang sensitif tetapi yang pentingnya ia untuk mencari jalan perdamaian. Untuk mencari ruang bekerjasama, untuk membina suatu pakatan yang boleh dihormati dan diterima oleh semua.

Petang tadi berlangsung Persidangan Meja Bulat PAS dan DAP Selangor yang julung-julung kali diadakan.






gambar merdekareview.com
Pimpinan yang sebelum ini dikatakan bertelagah dimedia, boleh duduk dengan penuh tertib, berbincang dengan penuh adab dan mencapai kata sepakat demi kepentingan rakyat dan negeri yang dicintai.

Yang pastinya Umno dan BN Negeri tidak dapat tidur lena dengan perkembangan ini. Segala usaha untuk melaga-lagakan kedua-dua parti komponan Pakatan Rakyat ini ternyata gagal dan sia-sia melalui perkembangan persidangan petang tadi. Apabila PAS dan DAP teguh sebegini bersama PKR, tiada ruang dan peluang buat BN untuk merampas kuasa kecuali melihatkan dengan penuh sayu segala sisa mereka yang tinggal rentung dari hari ke hari.

Sesungguhnya PAS dan DAP memiliki sejarah politik yang panjang di Selangor sebagaimana yang telah saya sebut dalam posting saya yang terdahulu. Bermakna masing-masing telah matang dan terdedah pada sepak-terajang politik khasnya di Selangor sekian lama. Dasar dan prinsip perjuangan masing-masing parti jelas dan ketara bezanya, namun masing-masing telah memilih untuk menjadi rakan kongsi dalam kerajaan campuran di Selangor yang berjaya menundukkan dominasi Umno/BN sejak lebih 50 tahun dahulu. Apabila menjadi rakan dalam satu kerajaan campuran, maka usaha perlu diambil bagi memastikan yang kerajaan yang didukung dapat bergerak lancar, tanpa ada unsur-unsur yang boleh meruntuh atau memecah-belahkannya.

PAS dan DAP berkongsi kerajaan seumpama ini tidak pernah berlaku dalam sejarah politik negara kecuali di Selangor (sebelum ini di Perak tetapi diculik oleh BN). Ia suatu yang baru, dibentuk atas runtuhan Umno/BN. Oleh itu cabarannya adalah pada pimpinan masing-masing parti bagi menguruskan perbezaan yang sedia ada dan melangkah ke hadapan bagi membuktikan yang mereka dapat bersama walau zahir perbezaan sesama mereka.

Ternyata kedewasaan dan kematangan kedua-dua pihak berjaya mengatasi segala ranjau dan halangan. Keputusannya petang tadi terus bersama membina sebuah Selangor yang stabil, maju, bersih dan berkebajikan. Masing-masing memelihara prinsip dan dasar perjuangan masing-masing, dan bersama memacu tenaga membuktikan yang Selangor lebih baik di bawah PR dari BN.

3 comments:

Nur12 said...

harapnya selepas ini tiada lagi 'kerja2 bodoh' seperti yang sebelum ini.

tengala said...

Masing2 mesti boleh menerima teguran barulah aman Pakatan..

Lujnah Tarbiah Dewan Pemuda PAS Hulu Langat said...

tak payahlah sebut perkataan2 yg tak sedap didengar tu.. kita pn bukannya cerdik sangat.. ada hari temometer kita pun turun..