Tuesday, May 05, 2009

Gawatkah suasana dalam PAS?

Kata orang suasana tampak makin gawat dalam PAS. Sehingga Harakah edisi terbaru, para kolumnis dan penulis jemputan pun tumpang menyala dan memadamkan apinya menurut selera masing-masing. Itu belum pun mengambil kira luahan perasaan dalam blog dan alam maya.

Begitulah senarionya, tetapi adakah ia menggawatkan PAS?

Semalam semasa mengunjungi Karangkraf, syarikat yang menguruskan akhbar harian Sinar Harian, Presiden PAS Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang menyebut bahawa apa yang berlaku ini perkara biasa, malah katanya pernah lebih gawat lagi di zaman Asri, tetapi ia tidak menjejaskan parti, sekadar masing-masing mahu menonjolkan calon masing-masing, yang pentingnya PAS sebagai sebuah parti dan gerakan Islam perlu terus unggul dalam menjalan dan melaksanakan tugas dan amanahnya.

Lantas saya turut tertarik apabila adinda Nasrudin Tantawi menulis dalam posting di blognya:

Kem kita satu iaitu PAS . Kumpulan kita satu iaitu kumpulan pejuang . Line kita satu iaitu jihad fi sabilillah .

Adapun kumpulan yang macam - macam istilah hari ini saya kira seperti kumpulan basuh pinggan , kumpulan menyedia dan menambah makanan , kumpulan penyambut tetamu dan kumpulan berbual untuk menceriakan suasana namun semuanya untuk menjayakan majlis kenduri tadi . Habis kenduri nanti kumpulan tu akan bubar dengan sendirinya . Setuju tak ?

Siapa yang boleh tidak setuju?

Sesungguhnya tugas dan tanggungjawab kita masih besar di hadapan. Agenda perjuangan yang kitra warisi sejak dari zaman junjungan besar Nabi Muhammad saw dan diperkasakan oleh para pengasas PAS lebih 50 tahun lalu dengan doa, darah, airmata dan hartabenda perlu terus dinobatkan.

Yang penting kita membuktikan bahawa proses pemilihan dalam PAS tidak seperti dalam parti-parti lain. Ia dijalankan dalam suasana penuh kasih-sayang dan hormat-menghormati. Kita mengharapkan calon yang kita calonkan menang, dan kita berusaha ke arah itu, tetapi kita sekali-kali tidak akan menyerang dan menggunakan fitnah untuk memburukkan lawan calon kita. Kerana kita akur daninsaf bahawa kita semua duduk dalam satu jemaah yang sama.

Belajarlah dari orang lama, saya kagum melihat bagaimana Dato Mustafa Ali contohnya boleh mempengerusikan Jawatankuasa Pemilihan parti dan boleh duduk mesra dengan Ustaz Hasan Shukri dalam satu jawatankuasa sedangkan mereka berdua pernah bertarung menantang satu sama lain satu ketika dahulu. Lihatlah juga betapa Almarhum Dr Burhanuddin al Helmy dan Almarhum Prof Zulkifli Mohammad, pernah bertanding jawatan yang sama. Tetapi selepas keputusan gandingan keduanya dapat membawa PAS memenangi Kelantan dan Terengganu pada pilihan raya umum pertama 1959.

Kita kini berada pada tahap yang lebih baik dari itu, hasil pencapaian bersama. Marilah kita syukuri apa yang Allah swt berikan pada kita ini, ia mungkin kekal dan mungkin juga buat sementara, yang pentingnya kita istiqomah dalam perjuangan, amalkan adab dan disiplin Islam. Jalan menuju kejayaan masih jauh di hadapan.

Saya yakin kita sudah matang melalui dan menempuh ini semua dan akhirnya akan ikhlas menyambung perjuangan sehingga kita menempuh syahid atau kemenangan.

3 comments:

Zawir Al-Hamidi said...

Saya sangat bersetuju dengan pendapat saudara. Seharusnya kepimpinan parti perlu diperkukuhkan agar dapat melaksanakan perjuangan Islam yang syumul. Namun, golongan orang muda pula tidaklah dipinggirkan, sebaliknya mereka perlu bekerja bersama-sama untuk membangunkan ummah.

pro kebenaran said...

tok guru hadi pernah ibaratkan ketika mana dikatakan berpecahnya pakatan rakyat (ketika itu barisan alternatif).

antara lainnya berbunyi;

:: kita sebenarnya sedang mengemas rumah kita, orang luar dengar bunyi bising-bising.
Sedangkan bunyi itu adalah ketika itu kita sama-sama mengalih almari, memindah kerusi, mengemas meja yang mana orang luar tidak nampak (faham) ::

Don Balon said...

Lan,
Tidak dapatlah hamba tidak bersetuju dengan artikel tuan hamba dan 2 rakan seperjuangan yang turut memberikan ulasan sebelum hamba. Menegakkaan agama Allah tetap menyatukan kita semua, Ameen.