Wednesday, July 11, 2018

PRK Sungai Kandis: Satu lawan satu

Pilihanraya Umum lebih dua bulan telah berlalu. Calon-calon yang 
memenangi kerusi-kerusi negeri mewakili parti masing-masing 
(termasuklah yang menang dan khianat serta lompat parti kemudiannya) 
telah pun mengangkat sumpah sebagi Ahli Dewan Negeri di negeri 
masing-masing, manakala yang memenangi kerusi Dewan Rakyat dijangka 
mengangkat sumpah mereka bulan Julai ini.

Barisan kepimpinan negeri-negeri telah pun dibentuk demikian juga diperingkat 
Persekutuan.

Walaupun tempoh mereka masih diperingkat terlalu awal, ditakdirkan Allah swt 
berlaku kekosongan di DUN Sg Kandis, Parlimen Kota Raja, Selangor apabila ADUN 
kawasan yang mewakili PH-PKR meninggal dunia.

Dengan kekosongan ini bermakna akan berlaku Pilihanraya Kecil iaitu yang pertama 
selepas PRU ke 14 dalam waktu yang terdekat.

Dengan perubahan besar pasca PRU ke 14 lalu sudah pasti “padang permainan” 
PRK ini berbeza sama-sekali dengan senario diwaktu sebelum dan semasa menghadapi 
PRU ke 14. Umum mengetahui “upset” terbesar PRU ke 14 adalah kalah dan tersungkurnya 
BN diperingkat Persekutuan dan sebahagian besar negeri-negeri kecuali Perlis dan Pahang 
sahaja.

PAS walaupun tidak lagi sebahagian kerajaan di negeri Selangor, namun PRU ke 14 
membuktikan PAS masih relevan dan terus diterima rakyat khasnya di utara Semenanjung dan 
di Pahang serta Pantai Timur Semenanjung. Walaupun PH cemerlang di Pantai Barat dan Johor 
 namun di Kelantan dan Terengganu PH gagal memenangi walau satu kerusi DUN mahupun 
Parlimen dan PAS berjaya mempertahankan Kelantan serta menawan kembali Terengganu.

Ternyata politik Malaysia terbelah pada 3 penjuru sokongan iaitu PH, BN dan PAS yang 
menganggotai Gagasan Sejahtera, namun pasca PRU 14 baru-baru ini, BN khasnya Umno teruk 
“tercedera” dengan parti-parti komponannya berderu-deru berpaling tadah menjauhi gabungan 
tersebut yang kini hanya dianggotai Umno, MCA dan MIC, itupun entah berapa lama boleh bertahan.

Umno sendiri terus goncang apabila berlaku pengkhianatan dalam parti, dan pertandingan peringkat 
 kepimpinan baru-baru ini melihatkan parti Melayu tertua dalam negara ini terus berhadapan dengan 
pelbagai masalah dan delima.

Dan kini bakal berlaku pula PRK di DUN Sg Kandis.

Sg Kandis mempunyai 50,800 pengundi berdaftar dengan pengundi Melayu merupakan pengundi 
terbesarnya iaitu 73.11% diikuti India 14.7% dan Cina 12.8%. PRU ke 14 lalu meyaksikan berlaku 
pertandingan 4 penjuru di DUN ini iaitu antara calon PAS, PH-PKR, BN-Umno, PAS dan PRM. 
Calon PH Allahyarham Mat Shuhaimi Shafie menang dengan majoriti 12,480 undi.

Ternyata sebagaimana di kerusi-kerusi DUN yang lain yang majoriti pengundi Melayu di Selangor, 
pertandingan 3 penjuru atau lebih antara calon-calon PH, BN dan PAS telah menyaksikan sokongan 
pengundi Melayu itu berpecah tiga.

Kerana itu bagi menghadapi PRK Sg Kandis kali ini PAS melalui Mesyuarat Jawatankausa Pusatnya 
telah memutuskan hanya akan meletakkan calon kiranya berlaku pertandingan satu lawan satu iaitu 
antara calon PH dan PAS. Sikap ini penting kerana jika berulang pertandingan tiga atau lebih penjuru 
maka besar kemungkinan keputusan PRU 14 akan berulang kembali dan PH akan menang mudah.

Umno walaupun memperolehi 11,518 undi di Sg Kandis pada PRU14 lalu, iaitu kedua terbesar, namun
 ia hari ini berbeza dari Umno sebelum PRU 14. Umno hari ini berhadapan dengan pelbagai masalah 
dan krisis, mereka ditolak rakyat pada PRU lalu dan bekas Presidennya pasca PRU ini telah diseret ke 
mahkamah dan akan menghadapi pelbagai pertuduhan bersabit skandal 1MDB yang banyak mencoteng 
arang ke wajah Umno.

Akaun Umno diperingkat pusat dan beberapa negeri termasuk Selangor pun telah dibeku pihak berkuasa 
yang sudah pasti melumpuhkan operasi Umno.

Lantaran itu, PRK Sg Kandis sepatutunya bukanlah masa sesuai buat Umno sertai. Dan tepatlah keputusan 
PAS Pusat bahawa sewajarnya PAS lah diberi laluan untuk menghadapi PH dalam PRK ini memandangkan 
PAS kekal relevan dan punya rekod yang baik serta masih boleh diterima rakyat, tidak seperti Umno diwaktu ini.

Hari ini setelah 2 bulan berkuasa, beberapa dasar dan program serta tindakan yang diambil kerajaan PH samada 
diperingkat Persekutuan mahupun Negeri Selangor mula digusari rakyat dan mula dipertikaikan.

PH menang Dewan Negeri Selangor pada PRU 14 lalu dengan begitu selesa iaitu menguasai 51 dari 56 kerusi 
DUN. BN-Umno menang 3 kerusi dan PAS cuma 1. Oleh itu PRK Sg Kandis ini adalah peluang buat rakyat untuk 
melontarkan wakil yang dapat bersuara mempertahan dan memperjuangkan hak dan kepentingan mereka agar tidak 
dieksploitasi dan didominasi oleh PH yang punya penguasaan dua pertiga di Dewan Negeri.

PAS dengan rekodnya yang diketahui rakyat Selangor berupaya menjadi benteng suara rakyat khasnya dalam 
mempertahankan kepentingan Melayu Islam sebagaimana yang pernah ia lakukan sejak PRU 2008 semasa di dalam kerajaan.

Semoga pihak lain khasnya Umno berbesar hati memberi laluan kepada PAS dalam PRK ini agar PAS dapat mengembeling 
kekuatannya menghadapi calon PH-PKR. Namun jika opsyen ini tidak berhasil, maka sebagaimana ditegaskan PAS Pusat, ketika 
itu suatu keputusan drastik perlu diambil demi kelangsungan masa depan dan perjuangan PAS.

Monday, July 09, 2018

Ayuh undi PAS di Sg Kandis

Ditakdirkan Allah swt baru dua bulan PH menang di Selangor, seorang ADUN nya, Tuan Hj Mat Shuhaimi
Shafie meninggal dunia. Akibatnya satu pilihanraya kecil terpaksa diadakan bagi mengisi kekosongan di 
DUN N.49 Sg Kandis.

Menurut pihak SPR penamaan calon akan diadakan pada 21 Julai ini manakala sekiranya ada 
pertandingan, hari mengundi adalah pada 4 Ogos, 2018. Sg Kandis mempunyai 50,800 orang pengundi 
berdaftar dan terletak di bawah Parlimen Kota Raja. Menurut rekod 73.11 % pengundinya atau 37,138 
orang merupakan pengundi Melayu. Selebihnya 14.7 % pengundi India dan 12.18% pengundi Cina. Pada 
PRU ke 14 lalu, Sg Kandis menyaksikan pertandingan 4 penjuru iaitu antara PH-PKR, BN-Umno, PAS dan 
PRM. Allahyarham wakil PKR memperolehi 23,998 undi mengalahkan 3 calon parti lain tadi yang masing-
masing memperolehi: BN 11,518 undi, PAS 7,573 undi dan PRM 76 undi. Undi rosak 305 undi. Ini bermakna 
PKR menang dengan majoriti 12,480 undi.

Itu PRU ke 14 lalu. Banyak faktor dan isu sudah berubah sejak dua bulan lalu. Jelasnya PH telah menang 
besar khasnya di Selangor dengan memenangi 51 dari 56 kerusi iaitu lebih ⅔ majoriti. Umno cuma 4 dan 
PAS 1. PH turut menguasai kerajaan Persekutuan dengan menumbangkan BN yang menguasainya lebih 60 tahun.

Bagaimana dengan PRK ini?

PAS merasakan peluang pembangkang lebih baik kiranya berlaku pertanding satu lawan satu iaitu antara PAS
dan PKR. Pertandingan 3 atau lebih penjuru hanya akan mengulangi keputusan yang lampau dan  menyulitkan 
harapan pihak pembangkang.

Lantaran itu Umno disyorkan agar tidak bertanding dan memberikan laluan pada PAS dalam PRK ini.

Mengapa Umno perlu berbuat demikian?

Kerana pasca PRU ke 14, Umno teruk terkesan. Ia kalah di peringkat Persekutuan dan hanya mampu bertahan 
di dua buah negeri sahaja iaitu Perlis dan Pahang. Pasca PRU ke 14 menyaksikan parti-parti komponan BN angkat
 kaki meninggalkan BN kecuali MCA dan MIC (itupun entah berapa lama). Begitu juga beberapa ADUN dan ahli 
Parlimen Umno sendiri, yang menang atas tiket BN turut berpaling tadah apabila melihat BN hilang tanpuk kuasa.

Umno goncang dan goyang, dan ditambah pemilihan partinya sejurus PRU lalu melihatkan Presiden Umno kini 
Datuk Seri Zahid Hamidi hanya memenangi jawatan Presiden dengan sokongan sekadar separuh dari bahagian-
bahagian Umno yang berpecah antara meyokong beliau, Khairy Jamaluddin dan Tengku Razaleigh.

Dan lebih  parah lagi kerajaan PH terus menyeret bekas PM dan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak ke 
pengadilan angkara skandal 1MDB yang teruk mencalar dan mencoteng arang ke wajah Umno. Pihak berkuasa 
turut membekukan akaun-akaun Umno termasuklah Umno Pusat dan Selangor.

Ringkasnya Umno tenat dan dalam keadaan demikian lebih baiklah ia tumpu pada merawat semangatnya. Terjun
masuk ke PRK ini apalagi dengan mengwujudkan pertanding tiga penjuru hanya akan memusnahkan partinya.

Kenapa perlu beri laluan ke PAS?

Kerana ternyata PAS kekal relevan pasca PRU ke 14. Walau ia kalah teruk di Selangor dengan tidak lagi duduk 
dalam kerajaan namun pencapaian PAS secara keseluruhan dalam PRU lalu tetap baik iaitu dengan memenangi 18
kerusi Parlimen dan 90 kerusi DUN termasuk menguasai kerajaan negeri Kelantan dan Terenggganu.Pencapaian 
buruk khasnya di pantai barat Semenanjung dikaitkan dengan asakkan fitnah yang dilancarkan pihak parti lawan 
sehingga mendorong pengundi yang ghairah mahu menjatuhkan BN dan PM Najib untuk turut menolak calon-calon 
PAS atas dasar kononnya PAS bersekongkol dengan Umno dan menerima wang Umno.

Calon-calon PAS yang berwibawa dan cemerlang di Selangor ditolak semata-mata kerana termakan propoganda pihak 
musuh. Kini rakyat sudah mula sedar. Dan PRK ini adalah peluang buat mereka untuk menebus kembali segala tohmahan 
dan persepsi jahat terhadap PAS.

Ternyata nasib dan masa depan Melayu dan Islam hanya mampu diperjuangkan PAS, dan ianya terbukti sejak PAS menjadi 
sebahagian kerajaan di Selangor sejak 2008 lalu.

PH sudah memiliki majoriti terlalu besar dalam DUN Selangor. Apa yang kurang adalah suara pembangkang yang perlu kuat 
khususnya dalam menjalankan tugas semak dan imbang terhadap kerajaan negeri ini.PAS satu-satunya parti pembangkang 
yang bersih dan komited dalam menjalankan tugas-tugas ini dan para pengundi juga tahu.

Kerana itu PAS perlu diberi laluan bertanding satu lawan satu menentang PH tambahan kerusi Sg Kandis ini mempunyai majoriti 
besar pengundi Melayu. PAS sendiri sudah lama bertapak di sini dan mempunyai lebih 20 cawangan dan kekuatan keahlian yang 
agak besar.

Kita yakin dan percaya para pengundi di Sg Kandis tertunggu-tunggu untuk mengundi PAS demi memastikan PH tidak memilik 
penguasaan mutlak di Selangor sehingga tidak memperdulikan suara dan kepentingan rakyat lantaran majoriti besar itu.

Jika berlaku pertandingan satu lawan satu, kekuatan seluruh jentera PAS dari seluruh pelusok negara akan dikerahkan ke Sg Kandis 
dan tidak mustahil PAS boleh mencetuskan “upset” di sini.

Yang penting rakyat harus diberi peluang bersuara dan pertandingan PRK ini terjamin bebas dan adil tidak sebagaimana semasa 
kerajaan yang lampau.

Ayuh undi PAS di Sg Kandis

Wednesday, July 04, 2018

Apa yang boleh diharapkan lagi?

Pilihanraya Umum ke 14 lalu sudah jauh meninggalkan kita hampir 2 bulan. Kita telah menyaksikan runtuhnya kerajaan BN diperingkat Persekutuan yang telah berkuasa sejak 6 dekad lalu. Melainkan kerajaan negeri-negeri Perlis, Pahang, Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan, yang lain-lain turut menyaksikan robohnya penguasaan BN di negeri-negeri berkenaan termasuklah Terengganu yang kini digantikan PAS.

Bukan mudah merebahkan BN yang laksana menongkat langit itu, tetapi akhirnya atas asakkan persepsi dan fitnah selain tempang dan pincangnya BN itu sendiri, ia menjadi realiti dan ramai masih terlonjak-lonjak gembira hingga ke hari ini, selain ada yang berterusan meratap-tangis.

Itulah keupayaan demokrasi, melalui suara rakyat, ia boleh meroboh dan menegakkan sesebuah kerajaan, asalkan berjaya dan bijak mempengaruhi pemikiran rakyat samada dengan fakta dan kebenaran atau sebaliknya.

Kini 2 bulan telah berlalu. Segala asap dan debu yang berkepul-kepul menyelubungi udara hasil pertembungan dan pertarungan sengit PRU ke 14 itu telah pun reda dan berlalu di bawa angin.

Hari ini kita medakap realiti kerja tangan dan kehendak hati kita masing-masing. Keghairahan demokrasi membawa kita ke situasi semasa, apa yang ada hari ini adalah cetusan kehendak sebahagian besar kita.

PAS sesungguhnya telah melahirkan kebimbangan jauh sebelum PRU ke 14 dahulu bahawa sebarang perubahan yang mahu dilakukan janganlah sampai merobek dan mencacatkan “status quo” yang ada.

Kedudukan Islam yang diletak tinggi dan diiktiraf Perlembagaan Persekutuan, selain Institusi Raja-raja Melayu dan kedudukan orang-orang Melayu dan Bumiputera jangan sampai diancam, apabila desakkan perubahan politik langsung tidak mengambil-kira status quo yang ada.

Orang Melayu Islam, suka ataupun tidak merupakan majoriti penduduk dalam negara. Jika kuasa politik mereka tergugat atau mengecil hasil keghairahan mengejar sesuatu agenda peribadi maka tatkala itu status quo yang ada akan tergugat

Apabila perubahan politik memberi kuasa kepada golongan minoriti mengatasi golongan majoriti, kita sesungguhnya telah membuka pintu pagar mengorbankan status quo tadi kerana taksub mengejar kepentingan dan agenda peribadi.

Hak demokrasi adalah hak yang dijanjikan buat rakyat, tetapi jangan sampai hak tadi terguna sehingga kita menggadaikan pula segala hak utama yang ada dalam tangan.

Akhirnya kita serupa si Kitol dan Pak Kaduk, perahu telah terlajak, maka rasalah azabnya kerana tidak panjang berfikir dan telah terpesona dengan fitnah dan persepsi jahat serta janji-janji kosong.

Pasca PRU14, kerajaan Persekutuan Malaysia kini berubah bentuk. Dari 222 ahli di Parlimen, kerajaan baru ini menguasai 124 kerusi (angkanya berubah-ubah kerana fenomena politik “lompat katak” yang diterima sebagai amalan biasa), Dari 124 itu, 58 diwakili ahli-ahli Parlimen beragama Islam manakala 66 yang lain pula bukan Islam.

Ini bermakna buat pertama kali dalam sejarah kerajaan Persekutuan Malaysia adalah kerajaan yang anggotanya majoriti bukan Islam. Ia tidak salah dan tidak melanggar Perlembagaan Persekutuan, tetapi ini bermakna segala status quo yang melibatkan kepentingan dan hak yang disebutkan di awal tadi kini berada di tangan mereka.

Kalau di zaman BN dahulu pun banyak usaha untuk memartabatkan Islam dan memperjuangkan nasib masyarakat majoriti Melayu dan Bumiputera ketinggalan dan ditinggalkan, apakah yang boleh diharapkan dari kerajaan baru seumpama di atas?

Mungkinkah agenda melahirkan sebuah negara Malaysia yang lebih sekular dan liberal akan menjadi kenyataan kerana blok terbesar dalam pakatan parti pemerintah hari ini terdiri dari parti yang mempunyai agenda sedemikian?

Mungkinkah agenda “Malaysian Malaysia” yang sesungguhnya mengenepikan segala kontrak sosial yang lampau semata-mata kerana mahu menyama tarafkan semua kaum dalam negara akan menjadi realiti? Meritokrasi menjadi amalan dan kriteria penting kelayakan seseorang bukan lagi hak kaum atau golongan yang tercicir?

Ini bukannya hasutan atau usaha mengadu-domba, tetapi ini satu hakikat yang perlu disedari dan diinsafi terutama oleh masyarakat Melayu Islam, kerana apa yang ada hari ini adalah atas kehendak sebahagian besar kita.

Kita mahu meguji dan mencuba, lalu pikullah hasil ujian dan cubaan kita itu.

Sewajarnya kita insaf dan kembali bertaut mempertahan dan nanti mengembalikan status quo yang telah kita pelihara sekian lama. Mujurlah proses demokrasi berpilihanraya dalam negara berjalan setiap 5 tahun.

Bertahanlah kita atas kelalaian dan kealpaan ramai, tetapi jangan sesekali berputus-asa, bila tiba masanya nanti jangan lagi kita ulangi kesilapan yang sama. Biar si Kitol dan Pak Kaduk sahaja yang berterus-terusan menanggung derita kecelaruan nafsu mereka. Kita kekallah sebagai bangsa dan penganut yang berilmu dan bermaruah.

Perbetulkan kesilapan kita dan pastikan benteng dan maruah agama dan bangsa sentiasa berdiri kukuh dan teguh selepas ini, tiada lagi tergugat. roslansms@gmail.com

Friday, April 27, 2018

Baiah dengan kerelaan

Tiba musim pilihan raya satu syarat penting yang diwajibkan ke atas semua calon-calon PAS adalah tanggungjawab melafazkan baiah. Isu baiah ini pernah menjadi kontroversi apabila berlaku beberapa siri pengkhianatan terhadap PAS yang menyaksikan beberapa kerat wakil-wakil rakyatnya bertindak khianat dengan melompat parti dan ada yang menubuhkan parti baru.

Mereka nekad mengkhianati PAS walaupun mereka tahu sebelumnya mereka telah melafazkan baiah dengan bersumpah menyebut nama Allah sebelum bertanding dalam pilihan raya sebagai calon-calon PAS.

Saya berkesempatan buat pertama kali menyaksikan baiah yang dilakukan oleh calon-calon PAS Selangor di hadapan Pesuruhjaya PAS Selangor Ustaz Sallehin Mukhyi baru-baru ini bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke 14.

Baiah ini sebenarnya sumpah taat setia untuk mengikat calon-calon PAS agar istiqamah dengan perjuangan PAS dan tidak mengkhianati parti ini sewenang-wenangnya apabila telah diberi mandat dan kepercayaan oleh rakyat. Melalui baiah ini adalah diharapkan calon-calon PAS ini punya satu ketahanan mengawal diri dari bertindak liar kerana sumpah telah dilafazkan atas nama Allah.

Dengan cara ini masing-masing calon dibendung oleh disiplin dan ketaatan pada PAS.

Harus diingat satu hakikat penting baiah PAS ini adalah ianya dilakukan dengan rela diri tanpa paksaan oleh setiap yang dicalonkan oleh parti. Tidak ada seorang pun yang ingkar  atau enggan melafazkan baiah setelah dipilih sebagai calon.

Bermakna dalam keadaan waras dan sedar, tanpa paksaan mereka ini melafazkan nama Allah dan berikrar  tidak akan khianat pada PAS kecuali mereka dengan rela membiarkan diri dilaknat oleh Allah, Rasul Nya dan para malaikat serta sekalian makhluk yang boleh melaknat.

Bagi mereka yang sedar serta akur akan betapa beratnya implikasi melafaz baiah ini, mereka akan sebak, sedih malah ramai yang akan menitiskan airmata sebagaimana saya saksikan sebahagian calon-calon PAS Selangor yang melfazkan baiah baru-baru ini.

Mengapa demikian, kerana mereka sesungguhnya tahu yang mereka terikat dengan ikatan langsung pada Allah swt atas kerelaan diri mereka masing-masing dan saya pasti tidak seorang pun dari mereka akan bersedia mengkhianati parti kerana insaf akan impilkasi ke atas setiap mereka.

Baiah ini secara langsung membina saf pimpinan PAS yang bermoral, berdisiplin serta sedar dan faham akan tanggungjawab mereka masing-masing samada kepada parti mahupun kepada rakyat jelata yang memilih mereka. Melalui baiah jualah para ahli dan penyokong PAS dapat diberikan keyakinan bahawa apa sahaja cabaran yang bakal berlaku dan mendatang, setiap wakil rakyat PAS akan akur dan menerima pandangan parti serta meletakkan kepentingan jemaah mengatasi kepentingan peribadi.
Oleh hal yang demikian datang pilihan raya umum ke 14 ini rakyat jelata perlu prihatin dan peka pada bekas ahli-ahli Parlimen dan ADUN-ADUN PAS yang datang menawarkan diri mereka sebagai calon-calon atas nama perbagai parti pilihan mereka selain PAS.

Jangan sekali-kali kita mengizinkan mereka ini mendapat undi dari masyarakat Islam, kerana ternyata mereka bukannya sekadar telah mengkhianati PAS tetapi lebih penting mereka telah mempermain dan mempersenda  lafaz baih mereka yang menyebut nama Allah swt.

Apalah yang boleh diharapkan dari mereka, jenis yang sanggup merongkai dan mensisihkan diri dari ikatan yang mereka bentuk sendiri dengan kerelaan hati, tanpa paksaan dari sesiapa. Lebih parah nama Allah swt telah digunakan sebagai sumpah, namun dengan mudah mereka mengkhianatinya demi mengejar agenda dan kepentingan peribadi.

Wajarkah mereka yang seumpama ini diberikan peluang lagi untuk naik sebagai ahli Parlimen atau ADUN?

Pepatah Melayu menyebut jika kerbau dipegang pada talinya, manusia dipegang melalui mulutnya. Kerbau yang haiwan sudah tentu tidak berakal, itupun jika diikat pada tali ia boleh dipegang dan dipandu, tetapi manusia walaupun berakal tetapi jika mulutnya melafazkan janji tetapi boleh berdoalk-dalik dan dipermain-main, ketika itu manusia tadi lebih hina dari haiwan kerbau.

Mereka yang mudah melanggar janjinya pada Allah, adalah jenis yang paling bahaya kerana ia tidak langsung punya sifat gerun dan takut pada Allah swt, Tuhan  yang Maha Kuasa lagi Perkasa. Calon-calon PAS Selangor yang melafazkan baiah baru-baru ini ternyata sangat gerun sebaik melafazkan kalimat waullahi, wabillahi, wataullahi, kerana baiah yang mereka ikrarkan itu tersemat atas janji pada Allah swt.

Sesungguhnya pilihan raya umum yang ke 14 ini adalah gelanggang yang paling baik buat kita untuk mengajar kesemua pengkhianat yang mempersendakan baiah mereka pada Allah dengan pakat-pakat kita menolak mereka beramai-ramai.

Biarlah mereka menanggung laknat dari Allah, Rasul Nya dan para malaikat serta sekalian makhluk yang melaknat kerana mereka sendiri dengan sedar diri sesungguhnya mengundang laknat itu.

Semoga calon-calon PAS bukan sahaja di Selangor, malah diseluruh negara akan belajar dari insiden pengkhianatan yang dilakukan oleh bekas wakil-wakil rakyat PAS ini. Janagan sesekali kita pula yang terpalit dengan pengingkaran dan dosa yang sama.

Allah swt bersama mereka yang benar dan memelihara janji mereka pada Nya. roslansms@gmail.com

Thursday, April 12, 2018

Pilihan di tangan kita

Parlimen kini dengan rasminya telah dibubarkan. Tindakan ini memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke 14 yang dijangka hari mengundinya sekitar minggu pertama bulan Mei nanti.

Dengan perkembangan ini rakyat Malaysia khasnya para pengundi berdaftar yang berjumlah 14.9 juta orang akan diberikan hak untuk menentukan wakil mereka yang kelak bakal membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan dan negeri-negeri kecuali Sarawak.

Adakah Barisan Nasional akan kembali berkuasa di peringkat Persekutuan atau akan berlakukah satu perubahan pentadbiran negara buat pertama kali dalam sejarah?

Bagaimana nasib parti-parti lain, Pakatan Harapan dan PAS serta parti-parti di Sabah dan Sarawak?

Proses memilih pemimpin yang bakal mencorak dan menentukan nasib serta masadepan kita, negara kita, adalah penting dan bukannya main-mainan. Ia tidak seharusnya dipengaruhi oleh mana-mana sentimen sempit, agenda peribadi, atau ditentukan oleh nilai sogokan dan janji-janji kosong.

Rakyat harus juga menimbang dan memikirkan kesan serta impak kiranya kita cenderung dan memilih satu-satu parti setelah hampir 61 tahun negara Merdeka ini. Kita malah boleh menilai dan malah cukup berpengalaman dengan kebanyakkan parti-parti yang bakal bertanding ini.

Masalah di hadapan kita bukannya untuk menyelamat dan menjamin survival politik satu-satu pihak, bukan juga untuk mengembalikan individu tertentu ke tampuk kuasa atau menaikkan suku dan kroni atau anak-beranak, adik-beradik sesiapa untuk memegang kuasa. Masalah kita, rakyat jelata hari ini adalah bagaimana kita terbit keluar dari kemelut kehidupan yang serba terbeban hari ini angkara kenaikkan kos hidup yang begitu menghimpit diri dan keluarga masing-masing, serta bagaimana negara kita bersih dari anasir pimpinan yang rasuah dan menyeleweng sehingga memporak-perandakan urusan negara dan negeri-negeri.

Lantaran itu keterbukaan dan kematangan sangat-sangat diharapkan dari kita. Jika kita terlalu taksub dengan satu-satu parti sedangkan kita tahu merekalah punca permasalahan kita hari ini, atau kita sedar mereka punya kepimpinan yang bakal mengulangi permasalahan yang kita tanggungi sebelum ini, kita undi juga mereka, maka kita sesungguhnya menyumbang ke arah keruntuhan dan kemusnahan negara.

Mentimun dan pisau di tangan kita pada peringkat ini, parti-parti politik sekadar mampu berkempen dan menyogok kita dengan wang dan pelbagai janji, tetapi kitalah kelak yang memutuskan siapa pilihan kita tanpa paksaan.

Barisan Nasional yang diterajui Umno telah berkuasa sejak Merdeka diperingkat Persekutuan dan sebahagian besar negeri-negeri di Semenanjung selain Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor. Dengan mereka diteraju, suka tidak suka sebahagian besar permasalahan yang dibebani kita hari ini adalah kesan langsung dari ketempangan dan kepincangan kepimpinan mereka. Terakhir dari Tun Dr Mahathir kepada Tun Abdullah Badawi dan kini Dato Seri Najib Tun Razak, segala serba tidak kena, hutang negara makin mencacak naik, kos hidup rakyat semakin membebankan, dan rasuah serta salah guna kuasa seakan tidak dapat dibendung lagi.

Mahukah rakyat terus bersama mereka sedangkan rekodnya telah semua kita ketahui?

Pakatan Harapan menggabungkan PKR, DAP, PBBM dan Pan. Pakatan mereka ini kini diteraju Tun Dr Mahahtir, tokoh yang sama yang punya 22 tahun pengalaman sebagai pemimpin negara dahulu semasa beliau Umno. Hampir 60% rekod BN sejak tahun 1981 dipengaruhi oleh kepimpinan beliau. Bermakna Tun tidak boleh melepaskan diri dari turut bertanggungjawab dan menyumbang dalam malapetaka yang kita tanggung hari ini.

Selain Tun, PH juga menghimpunkan pimpinan rasis dan sangat prejudis terhadap Islam khasnya dari kalangan DAP. Mereka juga kaya dengan pimpinan yang tidak berjuang atas mempertahankan prinsip tetapi sungguh liberal dan menganuti fahaman “matlamat menghalalkan cara”. Asal sahaja boleh menang dan berkuasa, mereka ini sanggup melakukan apa sahaja. Sikap sebegini harus diawasi dan dijauhi.

Mahukah kita serahkan nasib negara pada mereka?

Demikanlah BN dan PH yang sewajarnya rakyat telah sangat kenal dan waspada. Dalam tempuh berkempen ini masing-masing boleh berkata dan berjanji apa sahaja, tetapi rekod yang sedia ada jelas untuk diberi perhatian dan diingati rakyat. Jangan sekali-kali kita cenderung pada mereka yang terbutki mempunyai kemampuan memunahkan masa depan kita.

Berhadapan dengan dua pilihan yang sama berat dan sama memudaratkan itu, maka PAS datang ditengah-tengah, menghulurkan tangan untuk menyelamatkan rakyat dan negara, membela serta memperjuangkan nasib dan masa depan semua ke arah yang lebih sejahtera dan terjamin.

Negara kita yang Merdeka dan berdaulat ini perlukan saf kepimpinan yang berintegriti, berprinsip dan paling penting bertaqwa agar segala kepincangan dan ketempangan yang ada dapat ditangani dan dipulihkan, serta rakyat boleh mengecap dan merasai nikmat kesejahteraan negara tanpa perlu menderita di bumi sendiri. PAS lah pilihan anda.

Biar keadilan dapat dijamin dan diberikan pada semua, biar juga kekayaan negara dapat dikongsi dan dirasai semua tanpa perlu menyogok dan meraikan kroni dan kaum keluarga. Biar Islam kekal sebagai agama rasmi sehingga dapat diamalkan sebagai satu cara hidup oleh umat Islam dengan jaminan keadilan dan kesaksamaan diberikan pada semua. Biar semua warganegara dapat hidup aman damai tanpa berprasangka antara satu sama lain.

Kita perlu berani dan tegas dalam menjalankan tanggungjawab memilih dalam PRU ke 14 ini. Nasib dan masadepan negara terletak ditangan kita. Jalankanlah tanggungjawab dengan tanggungjawab dan amanah. Ke arah Malaysia yang sejahtera. roslansms@gmail.com

Wednesday, April 04, 2018

Tsunami Melayu pasti berlaku

Berlaku atau tidak “Tsunami Melayu” dalam Pilihan Raya Umum ke 14 ini terus diperdebatkan banyak pihak.

Adakah para pengundi Melayu yang paling teruk terkesan akibat kenaikan kos hidup, akan bangkit menyatakan protes mereka melalui peti undi, mengulangi mungkin pada skala yang lebih besar protes pada tahun 1999 dahulu yang telah menyaksikan PAS kekal di Kelantan dan menawan Terengganu serta menguasai bangku pembangkang di Dewan Rakyat dengan 27 kerusi mengatasi DAP dan PKR.

Bagi Umno, apa yang dikatakan tsunami itu hanyalah rekaan, tetapi bagi kebanyakkan penganalisa, ianya sesuatu yang “real” yang boleh mengakibatkan Umno kehilangan sehingga 30 peratus sokongan terhadapnya khasnya dari kalangan para pengundi Melayu.

Dimana-mana sahaja termasuklah di lubuk Umno, pada hari ini isu rasuah, GST, kenaikan harga barang dan perkhidmatan terus menjadi bualan hangat dan panas. Ianya lebih panas dari 1999 dahulu, kerana ketika itu isunya sekadar kronisma, korupsi dan nepotisma regim Mahathir serta kezaliman terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim dan beberapa siri kezaliman Perdana Menteri waktu itu.

Hari ini isunya periuk nasi masing-masing yang teruk terjejas kerana kepincangan dan ketempangan pentadbiran Umno dan BN, dan kesannya mengena secara langsung atas setiap individu rakyat, satu kesan mendalam yang sukar dimaafkan.

Dalam pada itu proses persempadanan semula bahagian-bahagian pilihanraya telah pun diluluskan Parlimen. Sempadan baru ini khususnya di Pantai Barat melihatkan sempadan sesuatu kawasan Parlimen atau DUN itu banyak samada secara kebetulan atau dirancang dipengaruhi oleh satu-satu kaum.

Kalau di Selangor rata-rata kerusi negerinya kini samada adalah kawasan majoriti Melayu ataupun bukan Melayu. Kerusi-kerusi campuran yang dahulunya banyak diwujudkan sewaktu Tun Dr Mahathir Perdana Menteri kini samada dikurang atau ditiadakan.

Mereka yang merupakan arkitek terhadap sempadan baru ini mungkin mahu memberi “advantage” kepada sesuatu pihak, dilebihkan kerusi Melayu supaya lebihlah kuasa politik Umno dengan dikurangkan kerusi-kerusi campuran yang merupakan ancaman buat survival Umno.

Mereka lupa orang-orang Melayu ini sejak Merdeka terbelah dua kecenderungannya iaitu samada mereka Umno ataupun PAS. Kalau dilebihkan kerusi Melayu dengan dileburkan kerusi campuran, bermakna ianya bukan sekadar membuka peluang pada Umno, hakikatnya PAS juga boleh mencuri peluang dan kesempatan.

Dan berbalik kepada isu “Tsunami Melayu” tadi, masakan para pengundi Melayu samada di bandar mahupun luarbandar yang terluka dan parah akibat bahana kenaikan kos hidup tadi mahu terus memperjudikan pula undi mereka dengan mengulangi memangkah Umno sedangkan BN dan Umnolah punca permasalahan mereka.

Mungkin tidak sepenuhnya, tetapi unjuran kemerosotan 30 peratus undi penyokong Umno itu, jika berlaku, sudah barang pasti ianya akan beralih ke PAS sebagaimana pada tahun 1999 dahulu.

Kenapa tidak Pakatan Harapan, kenapa mesti PAS?

PH yang diketuai Tun Dr Mahathir dijangka  sukar menimba dan mengambil manfaat tsunami ini kerana beliau itu sesungguhnya penyumbang besar ke atas permasalahan yang ada. Anwar dan Lim Kit Siang atau Mat Sabu demi mahu menangguk kemenangan sanggup dan tergamak melupakan pelbagai “jenayah” dan skandal Tun semasa beliau PM dahulu, tetapi orang Melayu kebanyakannya termasuklah sebahagian bukan Melayu dikatakan sukar melupakannya.

Anak beranak dan kaum kerabatnya kaya raya lantaran kedudukannya, isu ini pernah didedahkan berulang kali bukan oleh orang lain tetapi Anwar, Kit Siang dan Mat Sabu juga satu ketika dahulu. Itu tidak termasuk kezalimannya mengekang kebebasan bersuara dan berhimpun, menyalahgunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri atau ISA, memecat Ketua Hakim Negara dan mengancam institusi kehakiman dan senarai 22 tahun itu terlalu panjang jika mahu diperincikan.

PH juga didominasi DAP, parti kaum bukan Melayu, yang kini lantaran sokongan besar masyarakat bukan Melayu terhadap mereka merasakan mereka boleh melonjak lebih tinggi lagi dengan menguasai sokongan orang-orang Melayu pula dengan cara memijak kepala parti-parti Melayu dalam PH. DAP bercita-cita menguasai Putrajaya dengan memperkenalkan ideologi sosialis sekular mereka dan menjadi ancaman pada status quo yang ada khususnya yang melibatkan kepentingan Melayu dan Islam.

Lantaran itu jika benar dikatakan bakal tercetus tsunami itu, maka persempadanan baru yang diluluskan ini bakal melakarkan lanskap baru buat negara dan negeri-negeri.

PH yang dianggotai parti-parti yang lebih besar ancamannya pada survival umat Melayu dan Islam dijangka diketepikan begitu sahaja dalam PRU ini khususnya oleh pengundi Melayu. Takkanlah orang Melayu mahu mengundi BN yang merupakan punca masalah mereka, dan takkanlah mereka mahu cenderung pula pada PH yang dikuasai DAP yang punya Tun Dr Mahahtir sebagai peneraju.

Tsunami Melayu tidak syak lagi bakal bangkit bergelombang membawa orang Melayu khasnya sekali lagi menolak semua pihak yang bermasalah. Mereka akan tegak dan bertaut serta meletakkan keyakinan mereka pada satu-satunya parti yang terbukti istiqamah dan tidak pernah mengabaikan kepentingan serta nasib mereka iaitu PAS. Parti Islam yang bersih, yang amanah dan penuh berintegriti inilah bakal menjadi pilihan para pengundi Melayu dan rakyat Malaysia pada PRU ke 14 ini. roslansms@gmail.com

Thursday, March 29, 2018

Katakan TIDAK kepada DAP-PH

Tugas dan tanggungjawab memilih dan memberi mandat kepada para pemimpin untuk mewakili rakyat dan seterusnya membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan dan Negeri akan berulang pada Pilihan Raya Umum ke 14 nanti. Kuasa sekali lagi dipulangkan kepada rakyat dan rakyatlah nanti yang akan memutuskan siapa bakal menerajui negara untuk tempuh 5 tahun yang akan datang menurut kehendak dan citarasa mereka.

Siapa pun boleh naik memegang tampuk kuasa dengan syarat mereka memiliki suara majoriti melalui jumlah kerusi terbanyak di peringkat Parlimen dan Negeri-negeri nanti berdasarkan pilihan rakyat. Itulah kaedah demokrasi yang kita amalkan di dalam negara sejak bebas dari kuasa penjajah.

Sudah tentulah umat Melayu Islam yang merupakan majoriti penduduk dalam negara bakal memainkan peranan penting dalam menentukan corak pemerintahan negara pasca PRU nanti kerana 60 peratus dari 222 kerusi Parlimen seluruh Malaysia iaitu kira-kira 134 kerusi merupakan majoriti pengundi Melayu dan selebihnya iaitu 88 kerusi merupakan kerusi majoriti bukan Melayu.

Kerana itu mana-mana kelompok dan blok yang mahu menguasai tunggak kuasa khususnya diperingkat Persekutuan perlu memperolehi perwakilan dari kalangan kerusi-kerusi majoriti Melayu bagi memastikan mereka punya peluang membentuk kerajaan. Pergantungan pada kerusi majoriti bukan Melayu semata-mata tidak memungkinkan satu-satu blok itu berupaya membentuk kerajaan Persekutuan melainkan ia turut menang dan menguasai sebilangan kerusi-kerusi Melayu.

Kebelakangan ini salah sebuah parti yang gigih dan ghairah mahu merampas tunggak kuasa diperingkat Persekutuan adalah DAP. Parti yang hampir 50 tahun usianya itu walaupun menggambarkan dirinya sebagai sebuah parti berbilang kaum, tetapi hakikatnya ia sebuah parti majoriti Cina.

Bagi DAP berdasarkan keputusan PRU ke 13 yang lalu ia telah hampir menguasai keseluruhan kerusi majoriti bukan Melayu di Semenanjung. Secara total DAP memasuki PRU ke 14 dengan penguasaan ke atas 37 kerusi Parlimen seluruh negara.

Dengan prestasi ini ia yakin ia boleh melonjak ke tahap maksima mengusai hampir sepenuhnya kerusi-kerusi majoriti bukan Melayu dan campuran dengan menguasai sekuruang-kurangnya 50 kerusi Parlimen dalam  PRU akan datang dan mtidak mustahil lebih dari itu.

Jika ia dapat menguasai 50 kerusi, DAP menjangkakan kerabatnya dalam PH iaitu PKR, Bersatu dan Pan akan memenangi baki sekurang-kurangnya 62 kerusi (PKR kini punya 28 kerusi Pan 6 dan Bersatu 1) menjadikan jumlah 112 kerusi paling kurang bagi mereka merampas kuasa di Putrajaya.

Dalam akhbar The Sunday Star baru-baru ini malah DAP dikatakan sedang menimbang meletakkan pemimpin paling kanannya iaitu Lim Kit Siang bertanding di Parlimen Johor Baru menentang calon Umno Datuk Shahril Abd Samad walaupun kerusi berkenaan punya majoriti 53% pengundi Melayu.

Di sinilah penting DAP punya “kuda tunggangan” Melayu yang boleh membantunya dengan
menguasai undi Melayu, ditambah dengan penguasaan mutklaknya atas undi bukan Melayu, dalam kes Johor Baru sebagai contoh jika DAP menguasai 47% undi bukan Melayu ditambah dengan sekitar 10% undi Melayu, tidak mustahil Umno pun boleh ditumbangkan DAP!

Jika ini berlaku berubahlah lanskap politik negara apabila DAP muncul sebagai parti paling dominan dan berkuasa dalam kerajaan Persekutuan yang baru. Cita-citanya untuk melahirkan sebuah negara Malaysia yang sekular, iaitu negara yang memisahkan urusan agama dari urusan kerajaan pasti berjaya.

Pentafsiran agama mengguna kaedah liberalisma, dengan kebebasan dan hak untuk semua tanpa mengira adat, budaya dan status quo akan menjadi keutamaan kerajaan baru. Bayangkan keadaan negara dan nasib Islam ketika itu?

DAP pasti mahu lihat meritokrasi menjadi asas utama pengangihan peluang, kekayaan dan kebajikan negara. Tiada lagi hak istimewa buat mana-mana kaum dan kelompok, ketika itu bersainglah semua pihak untuk mendapat perhatian dengan keutamaan diberikan kepada yang paling layak, yang paling tinggi pencapaian tanpa mengira agama, bangsa atau samada sesuatu bangsa itu paling ramai atau tidak.

Kita mungkin bimbang dan gusar dengan hakikat ini tetapi ada sebahagian yang sanggup ditunggangi DAP demi mencapai agenda dan cita-cita peribadi mereka.

Dalam satu ceramah DAP di Alor Setar baru-baru ini, seorang pemimpin DAP menyebut: “Kita akan menunggangi Tun Mah (Tun Dr Mahathir) untuk memusnahkan si ayam (Datuk Seri Najib Tun Razak).”

Kerana itu masyarakat pengundi Melayu Islam yang merupakan kelompok pengundi terbesar dalam negara kena meneliti perkembangan ini dan menimbang semasak mungkin sebelum membuat sesuatu keputusan. Tun Dr Mahathir sangat bersedia membantu DAP asalkan tercapai cita-cita politiknya.

Adakah kita akan membantu Tun Dr Mahahtir yang mahu membantu DAP untuk nanti mencorakkan negara Malaysia yang baru atau macam mana?

Nasib agama, bangsa dan negara kita menjadi pertaruhan. Jika kita lalai apa lagi terpengaruh dengan janji-janji manis dan helah politik mereka yang rakus mabukkan kuasa ini tatakala itu tergadailah apa yang kita pertahankan selama ini dan bersedialah melangkah masuk ke Malaysia baru yang lebih sekular dan liberal dengan DAP parti yang paling dominan dan berkuasa di Putrajaya.

Katakan TIDAK pada DAP dan PH. Selamatkan Malaysia dengan memilih PAS. roslansms@gmail.com