Sunday, January 07, 2018

Apalah nasib dan masadepan Pan?

Nasib Pan, parti yang didukung DAP kononnya untuk menggantikan PAS kebelakangan ini tampak semakin malap dan pudar.

Bermula dengan kawasan-kawasan Parlimennya di Selangor dikatakan mahu diambil-alih PKR. Azmin ke Shah Alam, Zuraidah ke Hulu Langat, nasib Pan mula tidak menentu.

Kemudian Konvensyen Pakatan Harapan yang baru berkahir di Shah Alam tadi dikatakan diboikot Pan Johor dan Perak kerana tidak berpuas hati dengan pembahagian kerusi yang dipersetujui pimpinan tertinggi PH.

Bayangkan di Johor Pan cuma diberi dua kerusi Parlimen.

Menurut Astro Awani pula di Wilayah Persekutuan, Dr Hatta Ramli, yang melarikan kerusi Parlimen PAS Kuala Krai, dikatakan telah meletak jawatan sebagai Pengerusi Pan Wilayah Persekutuan.

Tindakan Dr Hatta itu ekoran kerusi parlimen Tititwangsa yang kononnya milik Pan untuk ditandingi PRU akan datang dikatakan diambil parti komponan lain.

Malang sungguh nasib Pan.

Jika begitulah layanan lebih baik kembalilah ke PAS, kurang-kurang boleh bantu kawan-kawan lama dalam gerak kerja pilihanraya berjemaah.

Kalau enggan, maka berpuas hatilah melukut di tepi gantang.

Wednesday, December 27, 2017

Tolak PM boneka

Sedang masing-masing parti giat memastikan jentera pilihanraya mereka tersusun, cekap dan berupaya, bagi menghadapi saingan Pilihanraya Umum ke 14 ini, ada juga parti yang masih ghairah memberi tumpuan dan fokus kepada jawatan dan kedudukan. Imbuhan jika menang jadi perebutan diwaktu ini, walaupun hakikatnya jentera mereka masih serba kekurangan dan penuh bermasalah.

Isu siapa menjadi Perdana Menteri kiranya BN tumbang dan Pakatan Harapan kononnya menang menjadi lagu yang dimainkan berulang-kali sehingga terkadang membosankan sesetengah pihak malah ada yang mula mempertikaikan adakah PH ini benar-benar mahu membawa perubahan dan menyelamatkan rakyat dan negara atau sekadar mahu merampas jawatan Perdana Menteri semata-mata?

Dalam kekalutan ini DAP yang merupakan parti dominan dalam PH buat masa ini, cuba mengambil pendirian “menikus”. Hati dan jiwa berdebar-debar mahu pastikan mereka pencaturnya jika berlaku perubahan kuasa, tapi dalam waktu yang sama bimbangkan tindakbalas dari segmen pengundi tertentu khasnya pengundi Melayu Islam, membuat mereka membisu seakan tidak “significant” dalam percaturan ini sedangkan hakikatnya merekalah penggerak agenda dan cita-cita politik PH.

PAS sementara itu terus bertegas bahawa jawatan Perdana Menteri dalam apa situasi sekalipun bagi Malaysia mestilah kekal “status quo” nya iaitu seorang Muslim.

Demikianlah kehendak hukum Islam menurut Presiden PAS Dato Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang. Dari sudut politik, Islam menegaskan bahawa kepimpinan utama negara yang terlibat dalam penentuan dasar dan konsep negara dalam hal ini Perdana Menteri Malaysia mestilah seorang Muslim.

Malaysia yang majoriti rakyatnya beragama Islam, dan dengan Islam termaktub sebagai agama Persekutuan selain memiliki Institusi Raja-raja Melayu sebagai “penjaga” agama, dan sistem pentadbiran agama Islam yang menyeluruh di peringkat negeri-negeri dan Persekutuan sudah pastilah layak meletakkan seorang Muslim sebagai Perdana Menteri.

Sebarang usaha menaikkan yang selain itu sudah pastilah boleh mencetuskan ketidak-stabilan dan membangkitkan kegelisahan dihati majoriti rakyat dalam negara.

Namun demikian Presiden PAS turut menegaskan ini tidak bermakna non Muslim tidak boleh memain peranan dan menganggotai kabinet. Sistem politik Islam dalam hal ini menurut Tuan Guru sungguh anjal sehingga mengharuskan perlantikan non Muslim dalam jawatan Wazir al-Tanfiz atau menteri ataupun anggota kabinet, sebagaimana pandangan yang diberikan oleh al Mawardi.

Dan memang selama inipun Perdana Menteri Malaysia berterusan sejak Merdeka seorang Muslim tanpa pernah dipertikaikan oleh mana-mana pihak pun terutama masyarakat non Muslim.

Akan tetapi kebelakangan ini apabila muncul DAP sebagai kuasa politik dominan dalam PH, rakyat sudah mula bimbang, mungkinkah dengan bantuan parti-parti lain komponan PH, DAP nanti akan terbit pasca PRU 14 sebagai parti paling dominan dan menguasai kedudukan dalam kabinet dan diperingkat negeri-negeri.

Mungkin menyedari kegelisahan rakyat ini DAP menafikan secara terbuka cita-cita itu, tetapi menguasai sesebuah kabinet atau kerajaan sesungguh nya tidak semestinya dengan memegang jawatan teraju atau dalam hal ini Perdana Menteri.

Dengan menguasai bilangan kerusi terbanyak umpamanya, DAP boleh menabalkan seorang “boneka” sebagai Perdana Menteri. Lantiklah siapa sahaja dikalangan Muslim samada dari parti mereka mahupun rakan komponan mereka, tetapi kabinet dikuasai dan didominasi oleh DAP, tidakkah itu juga nanti sebenarnya menjadikan DAP paling berkuasa?

Dalam hal ini Tuan Guru mengingatkan bahawa PAS tidak bersedia mengizinkan seorang Perdana Menteri “boneka” dilantik oleh kabinet bila-bila masa pun. Ini mengingatkan saya kepada wawancara Tuanku Sultan Selangor dalam akhbar The Star sempena ulangtahun Hari Keputeraan Tuanku baru-baru ini apabila Tuanku menyebut:

“Sebab saya tidak menerima Wan Azizah (Dato Seri Dr.) bukan kerana saya fikir beliau tidak layak atau beliau seorang wanita. Saya telah kata sebelum ini – Menteri Besar tidak boleh “berkawalan jauh” (remote controlled), beliau tidak boleh menjadi boneka. Anda perlu mempunyai perwatakan kukuh untuk melakukan sesuatu buat rakyat.”

Kabinet Malaysia mestilah diterajui seorang Muslim dan itulah yang akan diperjuangkan dan dituntutut oleh PAS. Namun demikian Perdana Menteri itu mestilah seorang yang berupaya mempertahankan Islam selain memberi keadilan dan memelihara hak semua kaum dan agama.

Malaysia akan kacau jika naik seorang Perdana Menteri yang tidak seperti itu, apa lagi Perdana Menteri boneka yang sebenarnya dikuasai oleh parti yang tidak senang dan malah memusuhi sebarang usaha memartabat dan mendaulatkan Islam walau cuma dikalangan penganutnya.

Kerana itu menjelang Pilihanraya Umum ke 14 ini rakyat khususnya para pengundi majoriti Melayu Islam mestilah sedar dan insaf apa yang bakal berlaku di hadapan mereka kiranya membuat keputusan yang silap dan semata-mata atas sentimen dan asakkan pihak tertentu.

Apa pun keputusan kita janganlah sampai menggadai nasib dan masa depan agama dan negara.

Semoga Malaysia kekal aman dan sejahtera, bebas dari sebarang kekacauan dan huru-hara apabila rakyatnya membuat pilihan yang bijak dan meraikan hak golongan majoriti selain menghormati yang minoriti. roslansms@gmail.com

Friday, December 22, 2017

PAS pertahan kedudukan Islam dalam pemerintahan

“Penasihat Agung” DAP Lim Kit Siang pernah menukilkan di dalam blognya bahawa jika berlaku Tsunami Melayu dalam PRU ke 14 kelak dan lonjakkan protes pengundi Melayu itu berpihak pada Pakatan Harapan, tidak mustahil gabungan politik dikepalai DAP itu mampu menguasai Putrajaya, selain memerintah 5 buah negeri di Semenanjung Malaysia.

Menurut Kit Siang lagi jika PH mampu melonjakkan sokongan pengundi Melayunya sebanyak 10 peratus berbanding PRU ke 13 dan menguasai 5 peratus lagi tambahan sokongan pengundi bukan Melayu, maka DAP dan pakatannya akan menang 113 kerusi Parlimen iaitu menguasai majoriti mudah untuk mengambil-alih kerajaan Persekutuan.

Selain itu kerajaan negeri-negeri Perak, Negeri Sembilan dan Johor akan dikuasainya selain mempertahankan Selangor dan Pulau Pinang.

Memang cita-cita PH adalah merampas dan mengusai Putrajaya dari tangan Umno dan BN,

Soalnya, parti manakah dalam PH yang akan dominan jika mereka menguasai tampuk kuasa kerajaan Persekutuan? Perkara ini penting kerana sudah pasti parti yang paling dominan dalam gabungan berkenaan yang terdiri dari DAP, PKR, Pan dan Bersatu, yang akan menentukan hala-tuju kerajaan “baru” nya nanti.

Takkanlah contohnya jika DAP memenangi 50 kerusi, PKR 35, Pan 13 dan Bersatu 15 maka jawatan Perdana Menteri diberikan kepada PKR, Pan atau Bersatu?

Masakan DAP yang paling dominan ketika itu mau melepaskan haknya untuk menuntut kerusi politik tertinggi dalam negara. Masakan Kit Siang jika benar DAP memenangi 50 kerusi tidak mahu menjadi Perdana Menteri setelah hampir 50 tahun bergelut dalam politik tanahair.

Takkanlah PM diberikan kepada PKR atau Bersatu atau Pan.

Menyedari hakikat dan kemungkinan inilah maka Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang dengan penuh tanggungjawab baru-baru ini memberi gambaran cita-cita tersirat DAP dan khasnya Kit Siang dalam PRU ke 14 nanti.

Ia sebagai satu amaran dan peringatan buat para pengundi di Malaysia khasnya para pengundi Melayu dan Islam. Kesan dan impak apabila seorang “non Muslim” bangkit dan memegang kuasa sebagai Perdana Menteri di Malaysia perlu diketahui semua.

Benar ianya bukanlah satu kesalahan atau melanggar mana-mana peruntukkan Perlembagaan Persekutuan atau mana-,mana undang-undang atau peraturan, namun kesan dan impakmnya bakal merobah dan mencabar segala “status quo” yang ada dalam masyarakat kita.

Bersediakah Malaysia yang menjoriti rakyatnya terdiri dari masyarakat Melayu yang beragama Islam dikuasai oleh seorang Ketua Eksekutif yang bukan Melayu dan bukan Islam?

Bagaimanakah Perdana Menteri baru itu nanti mahu berjaya dengan jawatannya sedangkan agama Persekutuan adalah Islam, Raja-raja Melayu sebagai pelindung agama Islam dan adat Melayu perlu diberi nasihat dari seorang Perdana Menteri. Institusi Agama, JAKIM di peringkat Persekutuan dan Majlis-majlis serta Jabatan agama diperingkat negeri-negeri selain urusan dan pembangunan sekolah-sekolah dan institusi pengajian tinggi agama, pengurusan zakat, pengurusan Haji, urusan masjid dan surau, mahkamah dan pentadbiran undang-undang Islam semuaya perlukan sinergi antara Perdana Menteri dan Yang Dipertuan Agong, Raja-raja Melayu dan negeri-negeri.

Mampukah Kit Siang melakukan semua itu?

Kerana itu PAS bertanggungjawab memperingatkan rakyat kerana tidak sanggup Islam kelak diperintah dan dikuasai oleh seorang non Muslim. Rakyat khasnya majoriti yang Melayu dan Islam perlu sedar dan diberitahu akan kesannya.

Mungkin entah atas apa sebab rakyat Malaysia khasnya yang majoriti berbangsa Melayu dan beragama Islam tiba-tiba sudah tidak memperdulikan lagi nasib dan masa depan mereka. Asal sahaja mereka boleh membawa perubahan, kuasa politik tertinggi dalam negara dipegang oleh seorang pemimpin non Muslim pun sudah tidak membimbangkan mereka, PAS tetap akan bangkit menentangnya.

Bagi PAS keutamaan mengekalkan kepimpinan Islam dalam negara, apalagi menaikkan kepimpinan Islam yang bersungguh mahu memartabat dan mendaulatkan Islam adalah kritikal dan penting.

Ini bukan isu PAS mahu kekalkan kuasa politik Umno, tetapi ini soal survival dan masa depan ummah dan Islam itu sendiri.

Cita-cita perjuangan PAS sebagaimana termaktub dalam perlembagaanyaa adalah untuk memartabat dan mendaulatkan Islam sehingga ia menjadi satu sistem kehidupan bermasyarakat dan bernegara.

Mana mungkin PAS mahu mengizinnkan atau memberi laluan kepada seorang umpama Kit Siang senang-senang naik keteraju kuasa dan melebarkan jalur sekularismanya sehingga merongkai dan memisahkan segala “status quo” berkaitan Islam yang selama ini kita pertahankan sejak Merdeka.

PAS akan pertahankan bahawa Malaysia mestilah berketuakan seorang Perdana Menteri Muslim.

Untuk itu PAS bertanggungjawab menjelaskan perkara dan kebimbangan ini kepada rakyat semoga mereka sedar dan tidak akan terjerumus dalam membuat kesilapan sehingga memungkinkan seorang yang mewakili masyarakat minoriti naik menguasai nasib dan hidup masyarakat majoriti. roslansms@gmail.com

Monday, December 18, 2017

Perhimpunan Umno dan isyarat PRU

Indikator terbaik tarikh PRU ke 14 sudah pastilah sewaktu Perhimpunan Agung Umno 2017. Kerana parti tertua dalam negara itu menghimpunkan hampir separuh anggota kabinet Malaysia termasuklah Perdana Menteri.

Dan ternyata perhimpunan di PWTC itu yang baru sahaja berakhir telah memberi isyarat melalui pidato Presiden dan pimpinannya bahawa PRU ke 14 akan diadakan sebaik selesai proses persempadanan semula bahagian-bahagian pilihanraya yang sedang dilakukan oleh pihak Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia SPR. Bermakna paling awal ianya akan diadakan sekitar Mac setelah proses berkenaan dibawa ke Parlimen untuk diluluskan dengan majoriti mudah.

Apa pun ternyata semua parti dalam negara tatkala ini sedang sibuk membega dan menyempurnakan jentera pilihanraya masing-masing bagi memastikan jentera mereka itu dalam keadaan baik dan mampu beroperasi sepenuhnya sewaktu pilihanraya nanti.

Bagi PAS, pilihanraya ini nanti akan menjadi suatu cabaran yang baru buat ia kerana setelah terputus dan memutuskan hubungan politik atau tahaluf siyasi bersama dua rakan politiknya sebelum ini iaitu DAP dan PKR, PAS akan berhadapan BN dan parti-parti ini dalam apa yang dijangkakan pertandingan pelbagai penjuru di seluruh negara.

BN sebagai musuh politik tradisi sudah pastilah akan PAS hadapi seperti biasa dan selain itu bekas rakan-rakannya iaitu DAP dan PKR yang kini telah membentuk gabungan politik baru yang dikenali Pakatan Harapan atau PH akan turut juga PAS hadapi di kerusi-kerusi yang sama. PH turut menggabungkan dua parti baru iaitu Pan dan Bersatu.

Setelah selesa dalam Pakatan Rakyat bersama PKR dan DAP dalam PRU ke 12 dan 13 lalu, kini cabaran getir buat PAS adalah menghadapi serentak musuh tradisinya BN selain bekas kawan-kawannya yang kini menganggotai PH.

Bagi menghadapi cabaran baru ini PAS juga telah mengambil inisiatif membentuk gabungan politik baru yang dikenali Gagasan Sejahtera yang menggabungkan beberapa parti politik, NGO dan individu serta tokoh masyarakat tertentu untuk berhadapan BN dan PH.

PAS tidak pernah berhajat mahu mencetuskan pertandingan pelbagai penjuru seperti yang dijangka pada PRU ke 14 ini, akan tetapi perpecahan dan perpisahan ini adalah atas kehendak dan pilihan DAP dan PKR sendiri yang mula merasakan peranan PAS sudah tidak “significant” buat mereka sedangkan sebelum ini jentera PAS lah yang banyak menghidupkan dan membuka peluang buat calon-calon mereka memenangi di beberapa kerusi khasnya di kawasan campuran dan majoriti Melayu.

Islam yang merupakan dasar dan prinsip perjuangan PAS dilihat sebagai batu penghalang ke atas mencapai cita-cita rakus mereka untuk menawan Putrajaya. Atas itu tercetuslah perpisahan ini yang memaksa PAS untuk segera mengambil posisi baru bagi meneruskan cita-cita perjuangan mereka.

Setelah tiada lagi hubungan atau ikatan politik dengan DAP dan PKR, PAS sudah pasti terpanggil untuk bertanding lebih bilangan kerusi DUN dan Parlimen. Umpamanya di Selangor sekiranya sebelum ini lantaran kerjasama PAS sekadar bertanding di 20 daripada 56 kerusi DUN. Sudah pastilah kini PAS bebas bertanding lebih dari jumlah 20 berkenaan termasuklah di kerusi-kerusi yang kini diwakili DAP dan PKR.

Agak nampak janggal di Selangor apabila PAS menyediakan pasarana untuk bertanding di kerusi-kerusi yang kini diwakili bekas rakan-rakannya itu, tetapi itulah realiti politik. Dasar dan prinsip perjuangan bagi PAS terlalu mahal dan penting mengatasi ikatan persahabatan., inilah yang membezakan PAS dengan parti-parti lain yang mendakap doktrin matlamat menghalalkan cara.

PAS istiqamah mempertahankan Islam dan meletakannya di hadapan sejak mula ia ditubuhkan dan konsisten begitu sehinggalah ke hari ini, atas itu rakyat meletakkan penghormatan yang tinggi pada PAS, satu-satunya parti yang punya prinsip dan tidak mudah goyang atau ditundukkan.

Lantaran itu jentera pilihanraya PAS di seluruh negara termasuklah di negeri-negeri yang PAS memerintah umpama Kelantan dan Selangor yang PAS perintah bersama dalam kerajaan campuran telah digembeling dan diarahkan untuk menghadapi pertandingan pelbagai penjuru.

Ada yang punya pandangan bahawa PAS bakal mencatatkan kekalahan terbesarnya kerana menggadaikan peluang apabila enggan duduk berkerjasama dengan DAP dan PKR. Tetapi sebagaimana ditegaskan oleh Datuk Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang dalam satu pidatonya di Kajang, Selangor baru-baru ini, apa juga bentuk kerjasama mestilah dalam situasi mendaulatkan Islam.

Bagi PAS kata Tuan Guru tidak ada tawar-menawar dalam bab berkenaan Islam, kerana ketegasan sikap itulah maka PAS terlalu yakin dan mengharap pertolongan Allah swt. Kekuatan mana-mana parti lain bukanlah penentu kemenangan jika kita membelakangkan Islam. PAS tidak akan menoleh ke belakang lagi setelah segala pintu perundingan ditutup rapat. Pintu itu telah dipeteri dan dimatikan kuncinya kerana Islam tidak sanggup PAS korbankan.

Jentera PAS akan bergerak ke hadapan dengan penuh komintmen dan keyakinan di bawah teraju Presiden dan kepimpinan parti, membawa rekod kepimpinan yang bersih, telus dan berkualiti untuk dikemukakan kepada rakyat sebagai alternatif dan pilihan terbaik.

Terbukti wakil-wakil rakyat Parlimen dan DUN PAS dari negeri-negeri yang ia kuasai umpama Kelantan dan Selangor serta di negeri-negeri lain yang belum ia kuasai masing-masing punya rekod perkhidmatan yang cemerlang dan terpuji juga lantara Islam yang menjadi asas pegangangan dan panduan masing-masing.

Dengan Islam insyallah rakyat dan negara selamat. PAS teraju kesejahteraan Malaysia. roslansms@gmail.com



ROSLAN SHAHIR BIN MOHD SHAHIR

Thursday, December 07, 2017

Racun politik liberal-sekular

Pilihanraya umum adalah sebahagian dari proses demokrasi. Demokrasi bermakna sistem pemerintahan yang didukung oleh suara rakyat. Sejak dari Merdeka, Malaysia mengamalkan sistem demokrasi berparlimen, dimana kerajaan khasnya badan eksekutif ditentukan melalui pemilihan wakil-wakil legislatif oleh rakyat.

Bermakna rakyat melalui sistem ini memberikan suara mereka kepada wakil-wakil mereka samada di Parlimen mahupun dewan-dewan negeri. Segala sistem dan dasar yang mahu dilaksanakan bakal dan akan dilaksanakan berdasarkan mandat rakyat itu. Jika rakyat cenderung kepada satu-satu ideologi atau fahaman, maka parti yang mewakili ideologi atau fahaman itulah yang akan diangkat dan mewakili suara mereka.

Namun mandat atau perwakilan suara itu bukanlah mutlak atau muktamad. Ia akan dikembalikan kepada rakyat setiap penghujung penggal, di Malaysia setiap penggal tidak melebihi 5 tahun. Kiranya rakyat berpuas-hati mereka boleh mengekalkan pilihan mereka sebelumnya atau boleh sahaja merobah dan menuka,  ikut pertimbangan dan pilihan mereka masing-masing.

Dalam sistem demokrasi berparlimen kita, rakyat bebas membuat pilihan dan pilihan rakyat khasnya suara majoriti harus dihormati dan diiktiraf sebagai suara tertinggi sekurang-kurangnya untuk penggal yang berkenaan. Apa sahaja dasar dan pendekatan yang dilaksana dan diambil oleh kerajaan yang diberi mandat sesungguhnya mewakili suara dan kehendak ramai.

Tugas kita setiap kali pilihanraya umum adalah untuk mengangkat mereka yang mampu membawa keadilan, kesejahteraan dan kebaikan buat semua. Jika kita mahu lihat kerajaan yang dibentuk sebuah kerajaan yang bertaqwa, yang mempunyai keupayaan mempertahan dan memartabatkan Islam sebagai suatu sistem kehidupan bernegara dan bermasyarakat dan mencorak kemajuan dan pembangunan berdasarkannya maka sudah pasti kita memilih parti yang mampu memperjuangkan Islam.

Jika kita jenis yang bebas dan tidak mementingkan usaha mendaulatkan Islam, bagi kita cukuplah Islam sebagai agama “ritual”, dibesarkan di rumah-rumah ibadah atau secara persendirian tanpa melibatkan kerajaan dan negara. Yang penting adalah negara maju dan membangun, maka layaklah kita memilih parti-parti yang liberal dan memperjuangkan sekularisma, memisahkan agama dari pemerintahan.

Kebebasan terletak ditangan rakyat dan kerajaan yang akan naik nanti melalui sistem ini adalah kerajaan pilihan rakyat. Kerana itulah kita perlu menganggap tugas kita dalam proses demokrasi sempena PRU ke 14 nanti sebagai satu tugas yang penting yang bakal melakarkan nasib dan masa depan rakyat dan negara.

Benar segala ketempangan dan kepincangan yang ada dalam kerajaan yang memberi kesan langsung kepada rakyat dan negara hari ini perlu disiasat, didakwa, dikikis dan diperbetulkan. Sistem pemerintahan yang lebih telus, bersih dan beramanah perlu dibina dengan menolak segala kemungkaran yang lampau.

Namun selain dari memusnahhkan jahiliyah yang lampau dan menegakkan keadilan yang baru turut penting Islam yang merupakan agama yang dianuti majoriti rakyat dalam negara ini juga dibela dan diperjuangkan.

Selama berdekad sebelum ini kita meminggirkan Islam atau sekadar memberi ruang sempit buatnya, maka wajar dan sampailah masanya kita umat Islam kembali meletakkan Islam di tempat yang sewajarnya iaitu sebagai teras dalam sistem pemerintahan negara.

Kita bukan membina sistem taliban, merujuk kepada kerajaan Afghanistan 1996-2001, yang naik melalui rampasan kuasa dan bukannya kaedah demokrasi. Istilah “taliban” ini popular sebagai isitlah untuk menakut-nakutkan masyrakat khasnya bukan Islam berkenaan perjuangan Islam walau dalam kerangka demokrasi.

Perlembagaan Malaysia sendiri sebenarnya memberi ruang kepada Islam untuk diketengahkan pada masyarakat Malaysia. Islam dijamin sebagai agama Persekutuan dan selain itu Perlembagaan juga menjamin hak menganut dan mengamalkan agama masing-masing secara bebas.

Sampai masanya kita membawa keadilan Islam untuk dirasai oleh masyarakat termasuk bukan Islam di Malaysia demi menyelamatkan negara yang telah teruk diperlakukan oleh sistem pemerintahan yang mungkar sebelum ini. Kita bawa Islam melalui kaedah demokrasi berparlimen. Kita tawarkan ia untuk dipilih rakyat yang ternyata menjanjikan masa depan yang cerah buat rakyat dan negara.

Ia hanya boleh ditegakkan kiranya semua rakyat khasnya yang beragama Islam bersama insaf dan berganding bahu, berpakat dan bersatu hati menegakkannya.

Kita tidak mahu dalam keghairahan menolak ketempangan dan kepincangan yang ada kita menaikkan sebuah kerajaan yang lebih meminggirkan Islam. Yang memberikan tafsiran yang liberal dan sekular pada Islam sehingga mengikis jati diri Islam dan merobah segala status quo yang ada kononnya atas nama kebebasan dan keadilan.

Umat Islam jangan sekali-kali leka dan tertipu.

Lantas bangkit dan kembalikan maruah dan pertahankan harga diri kita. Pertegaskan dengan penuh insaf dan komitmen bahawa kita tidak rela lagi dikuasai oleh mereka yang mungkar dan membelakangkan kebajikan rakyat. Mereka yang lama mahupun yang sedia ada apatah lagi yang baru, siapa sahaja yang sedemikian perlu ditolak.

Kita mahu keturunan dan anak bangsa kita kembali bermaruah, disegani dan dihormati dan kita sedar bahawa untuk itu tiada cara lain selain kita kembali mendaulat dan memartabatkan Islam. Bersama kita nafikan segala propoganda “Islamfobia” yang jahat yang mahu memomokkan Islam di mata rakyat sedang sebenar dan sesungguhnya dalam keadaan kemelut kita pada hari ini Islam lah satu-satunya formula penyelesaian.

Bertekadlah bersama menaikkan Islam melalui proses demokrasi dalam PRU ke 14 nanti. roslansms@gmail.com

Thursday, November 30, 2017

Menanti lanskap baharu pasca PRU14

Tahun 2017 sudah berarak rapat ke penghujungnya. Bermakna besar kemungkinan dengan datangnya musim tengkujuh dan monsun Timur Laut yang biasa melanda negara khasnya di Pantai Timur termasuklah Pahang dan Johor Pilihanraya Umum ke 14 tidak akan diadakan tahun ini sebaliknya tahun hadapan.  

Malangynya samada ia diadakan cepat atau lambat, satu sentimen yang kekal lekat bersarang di hati para pengundi Malaysia yang tidak berganjak hingga hari ini adalah ketidakpuasan hati terhadap pengurusan dan suasana ekonomi negara serta kos hidup yang berterusan mencengkam dan menghimpit kehidupan.

Kerajaan BN mungkin cuba merawat sentimen ini dengan pelbagai pendekatan dan gula-gula tetapi ternyata rakyat di bawah yang menanggung realitinya tidak kebah-kebah malah berterusan menympan dendam kemarahan.

Dalam kegagalan merawat sentimen ini yang menular dikalangan rakyat khasnya para pengundi Melayu, tidak mustahil apa yang dijangkakan iaitu “Tsunami Melayu”, yakni gelombang kemarahan pengundi Melayu terhadap kepimpinan yang ada tetap akan berlaku dan merobah lanskap politik Malaysia pasca PRU ke 14.

Jangkaan ini bukannya melulu tetapi turut dikongsi oleh beberapa pakar, penganalisa dan pemerhati politik tanahair.

Pemimpin teragung DAP, Lim Kit Siang sendiri pernah menulis bahawa apa yang dikatakan “Tsunami Melayu” itu yakni undi protes besar-besaran para pengundi Melayu terhadap BN berdasarkan beberapa isu semasa akan berlaku PRU ke 14 ini. Dan atas itu Lim mengharapkan sangat tsunami berkenaan berpihak pada Pakatan Harapan yang diterajui DAP.

Soalnya mahu dan berselerakah para pengundi Melayu meninggalkan Umno dan BN dengan memilih PH yang didominasi DAP yang terang-terang menentang perkembangan dan kemajuan Islam di tanahair?

Dr Ibrahim Suffian dari Merdeka Centre di dalam satu majlis forum baru-baru ini menyatakan Umno dijangka kehilangan 35 peratus dari undi Melayu yang ia kuasai sebelum ini. Sudah pastilah angka tersebut besar dan jika berlaku akan menjejeaskan dominasi kuasa Umno di dalam kerajaan khasnya di peringkat Persekutuan. Soalnya, ke manakah akan pergi 35 peratus itu?

Mengulas perkara yang sama, Ketua Pengarang Akhbar harian The Star, Datuk Seri Wong Chun Wai dalam kolumnya baru-baru ini menyebut bahawa kiranya berubah kecenderungan pengundian dikalangan para pengundi Melayu, beralih arah dari Umno ke pembangkang dalam PRU ke 14, parti yang akan dipilih mereka adalah PAS, bukannya yang lain.

Menurut Wong lagi pertarungan sebenar untuk undi Melayu hanyalah antara Umno dan PAS. Keputusan PRU ke 14 nanti tambah beliau akan ditentukan oleh 70 peratus pengundi Melayu, ke mana pergi undi mereka itulah penentu senario politik pasca PRU ke 14.
Ramai menjangkakan parti tajaan DAP iaitu Pan, tidak dapat bertahan dan malah akan berkubur dalam PRU ke 14 nanti. Matlamat kononnya mahu menggantikan PAS ternyata semakin meleset dan Wong di dalam tulisannya menyebut Pan gagal membuktikan kemampuannya dengan hanya berjaya mendaftar sekitar 10,000 orang ahli seluruh negara.

Rata-rata pengundi Melayu tidak pernah cenderung kepada parti yang tidak menentu arah tujunya dan mudah bersekongkol malah dengan musuh demi mahu mengejar agenda perjuangan. Parti menghimpunkan para pengkhianat politik biasanya tidak bertahan lama.

Parti Pribumi pula yang diterajui Tun Dr Mahathir sekadar bertenggek atas kononnya kehebatan dan ketokohan satu dua individu pemimpin. Mereka sehingga kini masih gagal menguruskan partinya sendiri dan setakat hari ini masih gagal mengadakan Mesyuarat Agungnya yang pertama.

Keculuparan Tun Dr Mahathir dalam beberapa isu termasuklah dalam kes liwat Datuk Seri Anwar dijangka lebih merugikan partinya dan PH.

Begitu juga PKR. Sejak berpisah dengan PAS ia sukar menguruskan partinya sehingga menghilangkan keyakinan ahli dan penyokong terhadapnya. Dominasi kuat DAP dalam PH telah menggerhanai sama-sekali peranan dan kekuatan mereka. Malah dalam satu forum anjuran Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS) Prof Dr Faisal Hazis menjangkakan rentetan pelabagai masalah yang dihadapinya PKR bakal kalah dihampir 50 peratus kerusi yang ia kuasai.

Ini bermakna kiranya tahap kemarahan para pengundi khasnya pengundi Melayu terhadap BN dan Umno tidak dapat dibendung, maka tercetuslah gelombang besar “Tsunami Melayu”, dan tsunami ini bakal melihat perindahan sokongan dan undi majoriti para pengundi Melayu berpindah dari Umno dan BN ke PAS buat pertama kali dalam sejarah.

PAS lah satu-satunya parti Melayu Islam yang istiqamah dan konsisten dalam perjuangannya. Ia tidak pernah berganjak dari memperjuangkan dasar dan prinsipnya. PAS terbit dengan rekod kepimpinannya yang bersih dan bebas rasuah, walau cuba ditohmah dan difitnah oleh sesetengah pihak termasuk Sarawak Report yang anti Islam itu.

Bersatulah musuh-musuh politiknya dengan pelbagai agenda dan tipu muslihat, tetapi rakyat jelata khasnya para pengundi Melayu hari ini diyakini akan mengundnyai untuk perubahan yang bermakna dan menjamin nasib dan masadepan mereka dan negara.

Rakyat mahukan kepimpinan yang bersih, adil dan bertenaga serta mampu memimpin dan menyelamatkan mereka dan negara. Rakyat bosan dengan janji-janji kosong apalagi tipu muslihat dari golongan yang menghalalkan apa sahaja cara demi mengejar kuasa.

Rakyat mahukan kesejahteraan dan kedamaian dan sesuatu yang pasti.

Ternyata PAS lah pilihan yang tinggal buat mereka dan berdasarkan bacaan politik pelbagai pihak dan sentimen yang membara di hati rakyat, lanskap baru politik Malaysia pasca PRU ke 14 akan dilakarkan oleh PAS. roslansms@gmail.com

Wednesday, November 15, 2017

Pertahankan hak majoriti

Mendakapi “Budaya Politik Matang dan Sejahtera” meletakkan PAS tidak boleh berpolitik semata-mata dalam ruang konvensional iaitu membangkang dan mengkritik semata-mata kerana berada dalam blok pembangkang.

BPMS mendesak PAS supaya memposisikan dirinya sebagai sebuah parti politik yang sentiasa konstruktif walaupun berada di pihak pembangkang khususnya di peringkat Persekutuan.

Permasalahan ummah dan rakyat perlukan jalan penyelesaian dan BPMS menuntut PAS agar tampil ke hadapan dan melontarkan penyelesaian Islam kepada pihak kerajaan semoga maruah dan nasib ummah serta rakyat dapat terbela dan terpelihara tanpa menunggu sehingga memperolehi kuasa untuk berbuat demikian.

Dalam hal ini PAS terpanggil untuk mengemukakan cadangan dan formula penyelesaian dalam kerangka “Amar Makruf Nahi Mungkar” agar kesejahteraan Islam dapat dicapai dan dinikmati oleh negara sekaligus memartabatkan Islam sebagai penyelsaian kepada permasalahan ummah, rakyat dan negara.

Dua isu semasa yang mendesak yang perlukan campurtangan PAS dipelbagai peringkat adalah pertama isu ekstradisi melibatkan tokoh dakwah antarabangsa Dr Zakir Abdul Karim Naik, yang kononnya dikehendaki oleh kerajaan India bagi siasatan berhubung keterlibatan beliau dalam isu mempromosi aktiviti keganasan. Keduanya adalah isu yang dibawa oleh Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia berhubung larangan bertudung bagi wanita Islam yang bekerja di barisan depan sektor perhotelan.

Kedua-dua isu ini mencetuskan kebimbangan dan keresahan khasnya dikalangan masyarakat dan rakyat majoriti Islam di Malaysia. Kerajaan Malaysia perlu diberi nasihat dan teguran agar mengambil langkah yang positif biar dilihat sentiasa sensitif dan memelihara maruah, kepentingan dan nasib umat Islam pada setiap masa dan ketika.

PAS perlu “engage” pihak kerajaan secara serius dengan memberi pemahaman dan pandangan konstruktif agar sebarang keputusan yang bakal diambil dapat memelihara kepentingan Islam dan umatnya.

Dalam isu Dr Zakir Naik, Ketua Polis Negara sendiri telah membuat kenyataan bahawa pihak polis sedang memerhatikan pergerakan Dr Zakir bagi memastikan beliau bebas konflik serta tiada isu yang boleh menjejaskan ketenteraman awam serta keselamatan negara.

Kerajaan India dikatakan sedang mengusahakan permohonan ekstradisi bagi meminta kerajaan Malaysia mengembalikan anak kelahiran Mumbai, India ini untuk menjalani penyiasatan kononnya terlibat dalam kegiatan memperomosi keganasan di India.

Dr Zakir difahamkan kini memiliki taraf kerakyatan tetap di Malaysia manakala menurut satu laporan lain paspot antarabangsanya telah pun dibatalkan oleh kerajaan India.

Rakyat Malaysia khasnya yang beragama Islam malah masyarakat Islam antarabangsa mengiktiraf kemampuan dan bakat Dr Zakir khususnya dalam kerja-kerja dakwah dengan kemahiran luar biasa dalam bidang perbandingan agama. Begitu besar sumbangannya kepada dunia Islam sehingga kerajaan sendiri menganugerahkannya Tokoh Maal Hijrah 2013 yang telah dikurniakan oleh Yang Dipertuan Agong.

PAS perlu menasihati kerajaan agar mengambil langkah perlu bagi menyelamatkan tokoh dakwah ini. Pertuduhan pihak India ternyata sungguh meleset dan dilihat lebih sebagai dendam untuk menghalang kerja-kerja ddakwah Dr Zakir selama ini.

Kerajaan Malaysia jangan tunduk pada tekanan tokoh-tokoh politik tertentu samada dari BN lebih-lebih lagi dari DAP yang sangat memusuhi kerja-kerja dakwah Dr Zakir itu.

Jika India sudah pun membatalkan paspot antarabangsa Dr Zakir, maka wajarlah PAS mendesak agar kerajaan Malaysia memberikan kerakyatan penuh kepada Dr Zakir, biar beliau menjadi warga Malaysia sekaligus menunjukkan  kepada dunia Islam betapa teguhnya kerajaan Malaysia dalam mempertahankan mereka yang bersungguh dan komited dalam gerak kerja dakwah.

Keduanya dalam isu larangan mengenakan tudung bagi wanita Islam yang bekerja di barisan depan sektor perhotelan, ternyata pihak Persatuan Hotel Malaysia perlu diberi kata-dua agar menghormati hak berpakaian wanita Islam lebih-lebih lagi dengan Islam merupakan agama Persekutuan.

Alasan polisi dan “standard operating procedure” atau SOP yang kononnya digunakan oleh industri hotel seluruh dunia sangatlah dangkal dan menghina agama Islam yang merupakan agama majoriti rakyat dalam negara ini. Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menjamin setiap penganut agama apatah lagi umat Islam untuk menganut dan mengamalkan agama mereka secara bebas.

PAS perlu mendorong kerajaan Malaysia agar jangan sekali-kali tunduk dalam bab yang melibatkan hak dan kepentingan umat Islam ini. Sebagaimana kita menghormati dan bersungguh dalam membela hak dan kepentingan golongan minoriti, maka lebih-lebih lagilah hak dan kepentingan majoriti jangan sekali-kali dikompromi.

Kedua-dua isu semasa yang mendesak ini perlukan sangat campurtangan PAS, biar apa sahaja keputusan atau tindakan yang bakal diambil paling penting menguntungkan Islam dan memelihara maruahnya.

Kedua-dua isu ini bukannya isu politik tetapi isu Islam dan hak kebebasan. PAS bukannya mahu mengkritik dan mengugut secara agresif tetapi mahu mengambil pendekatan diplomasi dan politik matang. Semoga apa sahaja inisiatif dan usaha yang diambil dapat menarik perhatian pihak kerajaan dan yang pentingnya Dr Zakir kekal aman dan bebas menjalankan aktiviti dakwahnya di bawah jaminan perlindungan kerajaan Malaysia dan tiada larangan bertudung olehh industri perhotelan atau mana-mana sektor dan industri sekalipun di Malaysia. roslansms@gmail.com