Pakatan politik bentuk baharu hadapi PRU14?

Wednesday, March 08, 2017

PAS sedang menghadapi musim Mesyuarat Agung Tahunan bagi kawasan-kawasannya seluruh negara. Kemuncaknya nanti adalah Muktamar PAS Pusat yang akan diadakan di Alor Setar bermula 29 April ini.

Ini merupakan muktamar PAS terakhir sebelum Pilihanraya Umum ke 14 diadakan.
PAS menjadi tumpuan ramai khasnya para pemerhati politik kerana masa depan pakatan pembangkang samada akan memberikan BN cabaran satu lawan satu dalam PRU ke 14 nanti atau pertandingan pelbagai penjuru sebagaimana pada Pilihanraya Negeri Sarawak atau Pilihanraya kecil di Sg Besar dan Kuala Kangsar kini banyak bersandar pada PAS.

Yang pastinya PAS tiada lagi sebarang kerjasama politik dengan DAP sementara Pan pula, parti serpihan PAS yang bermatalamat kononnya mahu menggantikan PAS, tidak pernah dan tidak sekali-kali akan diiktiraf PAS.

Sudah pasti PAS tidak akan berunding dengan kedua-dua parti ini.

Lalu masih adakah harapan satu lawan satu sebagaimana dahulu?

PAS telah menetapkan bahawa ia hanya akan berkerjasama dengan parti yang menghormati dasar dan prinsip perjuangannya. Penetapan status seumpama ini bukanlah sesuatu yang melampau kerana sebagai sebuah parti yang memperjuangkan Islam sejak lebih 60 tahun lalu, sudah pastilah PAS berhak menetapkan perkara ini.

Berkerjasama dalam apa bentuk sekalipun dengan parti yang menentang Islam atau menolak perlaksanaan Islam walau sesama penganut Islam, adalah sesuatu yang mustahil buat PAS, kerana ia bakal menggugat kedudukannya dikalangan ahli dan para penyokongnya.

Oleh yang demikian siapa sahaja yang mahu berpakat dan berkerjasama dengan PAS wajarlah memahami kedudukan ini dan menerimanya, sebagaimana mereka juga sudah semestinya akan mengharapkan PAS menghormati perjuangan dan dasar mereka masing-masing.

PPBM masih menaruh harapan bagi membentuk kerjasama dengan PAS. Mungkinkah mereka bersedia menerima dan menghormati dasar PAS?

Sementara itu PAS setakat ini masih punya tahaluf ataupun kerjasama politik bersama PKR, namun disatu pihak lain PKR bersama DAP dan Pan membentuk Pakatan Harapan, bagaimanakah hubungan PAS- PKR nanti?

Malah sudah ada tuntutan dalam PAS agar mengkaji dan menyemak semula hubungannya dengan PKR , sesuatu yang menurut Presiden PAS akan dilakukan pada atau selepas Muktamar penghujung April nanti.

Dan dalam pada itu PAS telah pun membentuk satu pakatan politik baru yang diberi nama Gagasan Sejahtera yang setakat ini dianggotainya bersama Parti Ikatan.

Barangkali pihak pembangkang merindui seorang “arkitek politik” umpama Tengku Razaleigh Hamzah, yang sebelum ini dalam PRU 1990 telah berjaya menyatukan parti-parti pembangkang melalui dua bentuk pakatan politik yang berbeza, satu dikenali Angkatan Perpaduan Ummah yang menggabungkan Semangat 46, PAS, Hamim dan Berjasa manakala satu lagi dikenali sebagai Gagasan Rakyat yang menggabungkan Semangat 46, IPF, DAP dan PRM.

Semangat 46 menganggotai kedua-dua pakatan sebagai “penghubung” yang memastikan kesatuan pihak pembangkang dalam menghadapi BN.

Mampukah hari ini PKR memainkan peranan itu?

Menantikan kemuncak apa yang dikenali “tsunami kebangkitan Islam” dalam PRU ke 14 nanti hasil kesedaran umat Islam khususnya dalam memartabat dan memperjuangkan agama mereka yang terbukti melalui isu RUU 355, barangkali kebijaksanaan Tengku Razaleigh dahulu boleh dipertimbangkan.

Melahirkan satu pakatan politik yang menggabungkan parti-parti yang mengiktiraf dan bersedia memberi laluan buat umat Islam menganut dan mengamal agama mereka secara aman dan bebas dalam negara Merdeka ini sangat bermakna dalam mahu mematahkan pengaruh Umno, tunggak BN.

Kesediaan meneroka jalan baru ini pasti akan dapat mengutip hasil yang lumayan yang bakal dibuahkan oleh tsunami yang dimaksudkan. Umat Islam yang merupakan majoriti rakyat dan pengundi dalam negara hari ini sudah bosan dan muak dengan kuasa politik pemerintah yang sedia ada, namun mereka berhati-hati kerana mahu menentukan penggantinya nanti biar punya kemampuan membela nasib mereka dan membawa kesejahteraan pada negara.

Pengganti itu nanti jangan liberal apalagi sekular sehingga memporak-perandakan negara dan mencalarkan imej dan harga diri Islam. Kerana itu satu pakatan seumpama ini penting dan sangat relevan.

Samada PAS nanti boleh menerima kelahiran dwi pakatan pembangkang seumpama ini, terserahlah kepada kebijaksanaan pimpinannya, tetapi jika hasil tangan Tengku Razaleigh dahulu boleh diterima, tidak mustahil sesuatu yang seumpama itu hari ini boleh juga barangkali dipertimbangkan.

Timbalan Presiden PPBM Dato Seri Mukhriz Mahathir telah menzahirkan keinginan untuk menjalin berkerjasama dengan PAS, demikian juga Timbalan Presiden PKR Dato Seri Azmin Ali turut melahirkan keyakinan dapat membentuk kerjasama efektif dengan PAS kiranya diberi lebih masa.

Mungkinkah sesuatu yang positif mampu dilakarkan?

PAS sudah pasti akan mengambil kira semua aspek, dan menimbangkan semua perkembangan dengan teliti dan bijaksana berpandukan hukum tertingginya dengan bimbingan Majlis Syuranya. Apa pun keputusannya nanti, kita mahu melihat Islam mendapat kedudukan dan dinobatkan selain nasib dan masa depan kaum dan penganut lain dibela.

PAS diyakini dapat melahirkan sesuatu yang memberi pengharapan yang cerah buat rakyat dan negara khususnya dalam menghadapi PRU ke 14 nanti. Ianya bukan sesuatu yang mudah tetapi ianya tidak mustahil dilahirkan.

Semoga penyelesaian Islam yang diperjuangkan PAS menjadi formula paling kukuh dan ampuh dalam menyelesai kemelut yang dihadapi rakyat Malaysia keseluruhannya. roslansms@gmail.com

Lautan ungu isyarat jelas untuk ahli Parlimen

Sunday, March 05, 2017

Sehingga ke hari ini laman-laman rasmi DAP tidak langsung mengulas Himpunan 355 yang telah diadakan dengan jayanya di Padang Merbok dengan kehadiran lautan manusia pada 18 Febuari lalu.


Begitu juga penentang-penentang tegar Rang Undang-undang meminda Akta 355, masing-masing menyepi tanpa sepatah reaksi terhadap Himpunan 355 itu.


Baru-baru ini wartawan kanan Joceline Tan dari akhbar harian berbahasa Inggeris The Star dalam ruangan mingguannya menulis bahawa:

 “Himpunan 355 ini bukan hanya besar tetapi mencerminkan kemampuan dan keupayaan PAS dan ia bukti betapa PAS langsung tidak terkesan dengan kehadiran Pan (dalam persada politik Malaysia)”.


Beliau menambah:

“ Walaupun kemudiannya hujan lebat namun tiada yang berganjak walau seinci sekalipun sekali lagi membuktikan tingginya komitmen mereka yang hadir terhadap apa yang diperjuangkan.”


Hakikatnya himpunan berkenaan telah mencapai matlamatnya sebagaimana dicetuskan oleh ahli parlimen Marang, Dato Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang iaitu menzahirkan kekuatan umat Islam yang menyokong pindaan ini serta memberi isyarat kepada semua pihak darihal kesungguhan dan komitmen rakyat Malaysia yang beragama Islam dalam memartabat dan mendaulatkan agama mereka.


Seluruh rakyat Malaysia termasuk DAP dan pihak-pihak lain telah menyaksikan jumlah kehadiran Himpunan 355. Ada beberapa kerat termasuklah Pan cuba memperlekehkan jumlah kehadiran tetapi berdasarkan laporan Joceline Tan di atas ia tetap lautan manusia.

Realitinya himpunan berkenaan telah membuktikan betapa umat Islam boleh bersatu apabila sahaja agamanya menjadi isu. 


Saya yakin DAP suka tidak suka menerima hakikat ini, lalu mereka tidak seperti Pan sedang mencari akal bagaimana mahu mengatasi perkembangan dan fenomena politik baru ini.


Mereka dan ramai yang lain tahu bahawa Himpunan 355 membuktikan betapa PAS telah melonjakkan satu kebangkitan atau fenomena politik baru yang sekaligus telah melonjak imejnya dikalangan rakyat, khasnya dikalangan para pengundi Melayu apabila berjaya menunjukkan yang mereka sentiasa ke hadapan dalam isu-isu membabaitkan kedaulatan Islam.


Himpunan 355 mengiktiraf peranan PAS dan sokongan padu rakyat khasnya umat Islam terhadap usaha-usaha murni parti yang memperjuangkan Islam ini.


Ini bermakna cita-cita DAP untuk melihat Pan kononnya berperanan menggantikan PAS berkecai begitu sahaja apatah lagi untuk menawan Kelantan. Dan malah nafsu DAP untuk menaikkan pimpinan Melayu kononnya untuk memenangi hati umat Islam turut terbantut melalui kencangnya gelombang Himpunan 355 ini.


DAP perlu berfikir panjang, kerana umat Islam telah bersuara dan tidak akan menyepi lagi selepas ini.


Bagi mereka usaha memartabatkan agama mereka, suatu hak yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan dan inisiatif kea rah itu adalah sesuatu yang suci dan murni.


Siapa sahaja yang menentang usaha ini, akan dilihat tidak “mesra” Islam dan tambahan jika ada ahli politik tanpa mengira agama dilihat memiliki sikap yang negatif pasti tidak akan menerima undi mereka pada PRU akan datang.


DAP, MCA, Gerakan, MIC dan parti-parti lain perlu bertindak rasional dalam isu ini. Umat Islam Malaysia bukannya memaksa mereka menyokong usul ini tetapi sekurang-kurangnya janganlah menzahirkan penolakkan atau menjadi batu penghalang yang hanya akan mengundang marah orang-orang Islam.


Marah ini mampu dan boleh sahaja diterjemahkan pada undi, dan pihak yang menentang bakal kehilangan undi majoriti pengundi Islam jika mereka berterusan memilih untuk bersikap menentang. Ini bukan ugutan tetapi ini risiko pilihan sendiri yang perlu dipikul masing-masing.


Jangan lagi berhujah kononnya usul ini bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, atau ia bakal mewujudkan dwi sistem undang-undang dan pelbagai alasan lain yang dangkal lagi meleset. Hakikatnya pindaan ini sekadar satu pindaan terhadap undang-undang yang sedia ada. Ia pernah dipinda sebelum ini, dan perlaksanaannya kelak sebagaimana sebelumnya hanya terpakai atas umat Islam sahaja dan tidak yang lain.


Berterusan bersikap negatif akan dilihat sebagai mencabar hak umat Islam untuk mengamalkan agama mereka. Cukup-cukuplah sikap pertentangan seumpama itu dimain dan dipolitikkan.


Mereka yang menentang dan tidak senang boleh berhujah dan berdebat di Parlimen semasa sidang dewan nanti, itu hak mereka. Tegur dan kemukakanlah penambah-baikan jika ada tetapi berkeras mahu melawan arus dengan mengundi menentang sudah semestinya dengan sendiri memberi isyarat bahwa mereka pasif dan tidak ada keinginan untuk melihat Islam diperkasakan di Malaysia.


Dari Padang Merbuk lautan ungu akan nanti laksana tsunami menjalar dan merebak sehingga ke dewan Parlimen. 222 orang ahli Dewan Rakyat termasuk yang Islam dan bukan Islam akan memikul tanggungjawab meneliti, membahas dan mengundi usul ini nanti.


Semoga yang Islam atas kesedaran masing-masing akan menyokong usul ini manakala yang bukan Islam meraikan kehendak saudara-saudaranya yang Islam kerana usul ini tiada berkaitan mereka.


Peringatan ini bukan hanya kepada yang bukan Islam malah termasuk yang Islam. Kekalkanlah keharmonian dan bertindaklah dengan rasional jika sayang dan menghargai undi para pengundi Melayu Islam.


Lautan ungu di Padang Merbuk telah mencetuskan fenomena politik baru, iaitu semangat dan kecenderungan umat Islam di Malaysia untuk memperkasakan amalan agama mereka. Selama ini Perlembagaan Persekutuan menjamin hak berkenaan dan hari ini umat Islam mahu melihat hak itu tidak dirampas atau dicabar sesiapa. 


Mereka yang mengiktiraf kesungguhan lautan ungu ini akan selamat manakala mereka yang memilih mencabar dan menentangnya pasti akan kecundang dimamah keinginan besar umat Islam yang merupakan majoriti pengundi di Malaysia. roslansms@gmail.com