Tinjaun tidak mematahkan semangat PAS

Thursday, January 26, 2017

Dari Perlis hingga ke Johor membawa ke Sabah dan Sarawak ahli-ahli PAS dipelbagai peringkat sedang giat menyempurnakan Mesyuarat Agung Tahunan cawangan masing-masing diikuti dengan Mesyuarat Agung Kawasan-kawasan menjelang Muktamar PAS Pusat April nanti.

Begitu juga dengan Dewan-dewan Muslimat, Pemuda dan Ulamak.

Parti-parti lain ada yang menangguhkan proses pemilihan dalam parti kerana mahu tumpu pada Pilihanraya Umum namun PAS tabah menguruskan partinya berdasarkan Perlembagaannya. Inilah keunikkan PAS.

Selain itu program-program lain terus dianjurkan, umpamanya kempen “PAS Pilihanku” diketuai Naib Presiden Dato Iskandar Abd Samad yang setakat ini telah berjaya menerima 3,000 borang kehalian PAS baru.

Sempena Tahun Baru Cina, kawasan-kawasan PAS giat menganjurkan program berjumpa dan ziarah kaum Tionghua dimerata pelusuk. Program ceramah dan kursus-kursus dalaman parti juga berjalan lancar.

Berkebetulan dengan musim tengkujuh khasnya di Pantai Timur para pemimpin dan petugas PAS dibantu oleh Unit Amal sedang giat menghulurkan bantuan kepada mangsa-mangsa yang terjejas, ahli-ahli PAS dengan rela terjun ke gelanggang membantu sesiapa sahaja yang memerlukan,

Dan dalam pada itu seluruh jentera PAS sedang beri tumpuan pada program besar tahun ini iaitu Himpunan 355 yang bakal diadakan pada 18 Febuari nanti di Dataran Merdeka yang dianjurkan oleh Sekretariat H355 yang turut dianggotai PAS dan beberapa NGO lain.
PAS Negeri-negeri mahu menggembeling seramai mungkin ahli dan penyokong untuk menjayakan himpunan aman berkenaan, Kelantan dan Terengganu sahaja dijangka menurunkan seramai 80,000 kekuatan.

Sasaran penganjur adalah lebih 300,000 kehadiran.

Segala ini meletak dan membuktikan bahawa PAS merupakan salah sebuah parti yang paling aktif dan dinamik kebelakangan ini. Kerana itu suka tak suka tumpuan masyarakat rata-rata adalah pada perkembangan dalam PAS.

Dalam kehangatan demikian tiba-tiba muncul seorang pemimpin pembangkang mengisytiharkan satu hasil kajian terbaru yang dikendalikan oleh sebuah badan bebas yang dikenali sebagai INVOKE Centre for Policy Initiatives (I-CPI). Menurut beliau kiranya Pilihanraya Umum diadakan, dan masyarakat bukan Melayu khasnya Cina terus menolak 

BN sebagaimana PRU yang lepas, tidak mustahil BN boleh tumbang.

Yang akan naik menggantikan BN menurut beliau lagi adalah Pakatan Harapan yang terdiri daripada PKR, DAP dan Pan selain sekutunya PPBM atau Bersatu.

Menurut kajian tersebut kiranya berlaku pertandingan 3 penjuru iaitu antara BN, PAS dan PH, maka BN akan menerima sokongan yang paling rendah. Manakala PAS pula dakwa kajian itu berkemungkinan besar akan hilang semua kerusi DUN dan Parlimennya.

Anehnya kajian tersebut turut mengemukakan angka berikut, kiranya diadakan PRU, BN akan menerima 41% sokongan, PH 24%, PAS 21% manakala 14% tidak akan keluar mengundi.

Bagaimana kelompok yang menerima 24% sokongan boleh membentuk kerajaan tidaklah diketahui, kecuali ia membeli sokongan dari 41% dari kelompok BN.

Kenapa pula PAS yang memperolehi 21% sokongan walaupun bersendirian boleh tersisih?
Jelas kajian ini mahu memaksa PAS membuat keputusan, kiranya bersatu dengan PH boleh menang besar, kiranya berasingan akan kalah teruk sekurang-kurangnya itulah yang mahu diberi gambaran.

Sesungguhnya kita yang lama berpolitik tahu bahawa di sana ada beberapa bentuk kajian yang diusahakan oleh parti-parti politik. Yang jujur biasanya bersifat dalaman dan hanya dibincangkan di belakang tabir, ia mendedahkan kekuatan dan kelemahan masing-masing selain musuh. Ia membaca kekuatan sebenar satu-satu parti dan tidak menangkap muat semata-mata untuk menyeronokkan mana-mana pihak.

Namun ada juga kajian yang dibuat untuk memberi gambaran seakan parti berkenaanlah yang terbaik dan terbilang. Ini bagi mengasak dan menggelabahkan pihak lawan. Saya tidak pasti kajian INVOKE ini dalam kategori mana, tetapi ramai yang lain sudah boleh membuat andaian.

Yang paling menarik adalah ulasan dari Timbalan Presiden PKR yang juga Menteri Besar Selangor, Dato Seri Azmin Ali. Bagi beliau sandaran kekuatan sebenar adalah pada mana-mana pihak yang lebih terlibat dengan rakyat bukannya keputusan kaji selidik.
Azmin dipetik sebagai berkata: “Hanya kaji selidik, tetapi saya fikir keutamaan yang paling penting sekarang adalah semua parti-parti politik untuk turun, mendekati rakyat dan pengundi bagi menjelaskan dasar dan kedudukan kita. Kita mesti dilihat dan kita mesti bertindak bersama-sama sebagai kuasa yang kuat untuk menghadapi BN.”

Dan jika kajian di atas lebih mirip meminggirkan PAS, Azmin pula kelihatan lebih cenderung untuk mengekalkan hubungan dengan PAS bagi menghadapi BN.

Ternyata sebagaimana disebutkan awal tadi, bahawa disaat dan ketika ini satu-satunya parti yang paling giat berinteraksi dan bersama rakyat adalah PAS, bukannya di Kelantan atau di Selangor sahaja malah diseluruh negara, PAS bergerak bersama rakyat untuk memenangi sokongan mereka.
Bagi saya yang paling matang dan jauh bacaannya sahaja yang akan menyerlah dan berdiri tegak dalam suasana BN dan Umno sedang goyang akbiat hilangnya keyakinan rakyat terhadap mereka.
Hakikatnya jentera PAS sudah lama dihidupkan dan kini sedang bergerak lancar. Sesiapa sahaja yang akur, menghormati dan menerima dasar dan perjuangan PAS akan dapat menumpang jentera ini, manakala mereka yang khianat dan membenci PAS tiada tempat.
Biarlah yang ghairah dan terpaku dengan kajian, mabuk dan lemas dengan keseronokkan mereka, bagi PAS tugas dan tanggungjawab membawa mesej dakwah dan menyedarkan masyarakat tidak pernah berhenti. 

Samada satu lawan satu atau tiga penjuru, atau apa sahaja, biarlah rakyat yang menentukan. Yang pastinya PAS sudah bersedia. roslansms@gamil.com

Himpunan 355 lakar sejarah umat Islam

Wednesday, January 11, 2017

(Harakah: 2214 - Menerjang Badai)

Pengumuman rasmi telah dibuat. Himpunan penyokong dan pendukung Rang Undang-undang Akta Mahkamah Syariah atau Akta 355 sebagaimana dibayangkan oleh Dato Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang selepas sidang Parlimen yang lepas kini sudah hampir pasti diadakan.

Menurut Pengerusi himpunan Ustaz Dato Tuan Ibrahim Tuan Man, Himpunan 355 atau H355 itu akan diadakan pada hari Sabtu 18 Febuari nanti bertempat di Dataran Merdeka bermula jam 3 petang. Ianya anjuran bersama PAS dan beberapa NGO Islam dan pihak-pihak yang berkepentingan.

Sesungguhnya jarang-jarang sekali umat Islam khasnya orang Melayu pernah atau dapat berhimpun dalam skala yang besar demi mempertahan atau memperjuangkan sesuatu isu.
Antara yang terekod dalam lipatan sejarah adalah penentangan terhadap Malaysan Union sekitar 1946 dan dikuti dengan protes dan hartal peristiwa Natrah pada tahun 1950 di Singapura yang berakhir dengan rusuhan yang telah mengorbankan 18 orang dan ratusan lagi tercedera.

Itu semua sejarah dan berlaku sebelum Merdeka.

Kini kita sudah Merdeka dan berdaulat. H355 bukannya suatu protes apatah lagi bukan demonstrasi jalanan yang boleh berakhir dengan rusuhan.

H355 adalah sebuah himpunan aman. Ia meraikan suatu proses demokrasi yang dimulakan menurut lunas undang-undang yang diambil melalui inisiatif perundangan dam bakal dibentang dan dibahaskan di Parlimen bermula sesi bulan Mac nanti.

H355 merai, menegas dan mengukuhkan sokongan rakyat khususnya umat Islam terhadap satu pindaan undang-undang yang melibatkan hak dan kepentingan mereka.

Himpunan ini mahu membuktikan betapa umat Islam iaitu penduduk majoriti dalam negara begitu sensitif dan berpegang teguh pada agama mereka. Perlembagaan Negara menjamin bahawa Islam adalah agama Persekutuan dan setiap penganut agama berhak mengamalkan agama masing-masing. 

Himpunan ini bukannya mahu mencabar atau menyerang amalan penganut agama lain, tetapi sesungguhnya mahu menegaskan betapa umat Islam keseluruhannya bersatu dalam isu-isu melibatkan agama dan kepercayaan mereka.

RUU355 adalah usaha untuk memperkasa undang-undang syariah dan mahkamah syariah di Malaysia. Lalu H355 ini mahu membangkitkan kesedaran seluruh rakyat Malaysia khasnya umat Islam akan betapa pentingnya bersatu dalam menjayakan usaha-usaha seumpama ini.

Melalui H355 ini diharapkan rakyat Malaysia khasnya umat Islam akan terdedah dan dapat difahamkan betapa penting dan wajarnya RUU355 ini disokong dan diluluskan oleh Parlimen.

Sekiranya rakyat Malaysia khasnya umat Islam dapat bersatu dan keluar berhimpun  beramai-ramai pada 18 Febuari ini membanjiri Kuala Lumpur, dengan mengenepikan fahaman dan kecenderungan politik masing-masing, sudah pasti mesej yang berjaya disampaikan nanti adalah bahawa jangan sesiapa campurtangan dan menganggu hak umat Islam mengamalkan agama mereka sebagaimana umat Islam di Malaysia juga tidak sekali-kali akan menganggu kepercayaan dan amalan penganut agama-agama lain.

Malaysia diakui kekal berdaulat dan merdeka lantaran rakyatnya yang berbilang agama dan kaum sangat menghormati agama dan kepercayaan mereka antara satu sama lain. Urusan agama adalah hak dan urusan masing-masing penganut. Inilah fahaman dan amalan kita sejak berpuluh tahun yang lalu.

Oleh itu apabila ada usaha seumpama RUU355 ini, mengapa tiba-tiba pihak yang tiada berkepentingan mahu bangkit dan protes sekaligus mencetuskan kekeruhan dalam hubungan baik antara pelbagai agama dan kaum dalam negara yang telah dibina sekian lama.

Dalam hal melibatkan agama dan kepercayaan khasnya dalam kes H355 ini, saya yakin dan percaya rakyat Malaysia khasnya majoriti orang-orang Melayu dan mereka yang lain yang beragama Islam akan segera bangkit dan bersatu menyokong dan menyertai H355 ini.
Biarlah kita semua tanpa mengira apa sahaja ideologi, kelas dan kedudukan, samada para pegawai dan kakitangan kerajaan, pemimpin dan penyokong politik, nelayan, petani, peneroka, guru-guru dan pendidik, para peniaga kecil atau besar, pelajar, buruh atau majikan, keluar beramai-ramai secara aman atas nama menyuarakan sokongan kita kea rah memartabat dan mendaultkan Islam, agama kita 18 Febuari nanti.

Biar H355 ini membuka mata ahli-ahli Parlimen Malaysia khasnya bahawa umat Islam yakni yang mewakili majoriti penduduk dalam negara bertegas mahukan RUU355 ini diluluskan dengan baik.

Ini bukan ancaman, tetapi kiranya selepas H355 nanti, jika masih ada ahli Parlimen dari mana parti sekalipun bertegas mahu menentangnya, maka mereka perlu bersedia ditolak oleh para pengundi khasnya pengundi Islam dikawasan mereka masing-masing.
Itulah demokrasi dan kebebasan. 

Rakyat menyokong parti dan wakil yang faham dan sensitif akan isu dan permasalahan mereka. Jika ada parti atau wakil yang menolak kemhauan rakyat, dalam kes ini RUU355, maka mereka memberi isyarat pada para pengundi bahawa dalam isu-isu melibatkan usaha memartabatkan amalan agama Islam mereka akan tentang, maka bersedialah menerima risiko ditolak oleh para pengundi Islam.

Sebagai warganegara Malaysia kita berhak memilih dan mengundi sesiapa sahaja dan demikian juga kita berhak untuk menolak dan tidak mengundi sesiapa sahaja.
Tidaklah keterlaluan dalam hal ini jika umat Islam nanti memutuskan mana-mana wakil atau parti yang tidak “Islamic friendly” wajar ditolak dalam Pilihanraya Umum nanti, itu pengundi bijak namanya.

Bagi saya lamgkah menganjurkan H355 ini mencerminkan kematangan berfikir dan kematangan berpolitik semua pihak yang terlibat. Ini bukan himpunan untuk mengibarkan bendera dan menjuarai ideologi mana-mana pihak. Ini himpunan untuk menyokong usaha memperkasakan Islam yang bakal berlaku di Parlimen bulan Mac nanti.

Siapa yang tidak mahu melihat kesatuan dan kesepakatan umat Islam secara sivil dan berdisiplin, berhimpun menyatakan persetujuan terhadap rang undang-undang yang bakal mendekatkan lagi mereka dengan Yang Maha Pencipta mereka.

Sesungguhnya H355 nanti bakal melakar sejarah kesatuan umat Islam dan rakyat Malaysia yang tidak pernah berlaku sebelum ini kecuali sebelum Merdeka dahulu.

Pastikan anda antara yang hadir dan mencipta sejarah menyumbang ke arah memperkasakan amalan Islam dalam negara. roslansms@gmail.com

Buka mata isu Mc D

Friday, January 06, 2017

Pemuka-pemuka liberal sering memaparkan diri mereka juara hak asasi.

Piawaian hak asasi bagi mereka adalah hak sama-rata. Tanpa mengambil kira latarbelakang sejarah dan budaya bagi mereka yang penting hari ini tiada beza antara setiap individu dari segi hak.

Dan sering yang mencetus kontroversi apabila ia berlaga dengan hak dan kepentingan Islam.

Islam di Malaysia adalah agama anutan majoriti rakyatnya sejak beratus tahun lagi.
Yang sedang hangat mendapat liputan dalam media sosial hari ini adalah isu larangan membawa kek tanpa sijil halal ke restoran makanan segera Mc Donalds.

Isu ini ternyata telah di “spin” dan ditokok-tambah demi kepentingan puak-puak liberal yang berkenaan.

Ada dua isu di sini, pertama adalah premis makanan halal dan kedua premis makanan atau restoran.

Mc Donalds telah memperolehi sijil halal dari JAKIM. Ini bermakna mereka telah membuat keputusan bahawa premis mereka bagi tujuan komersil mahu menyajikan makanan dan minuman halal sahaja.

Bukankah itu hak Mc Donalds?

Sebagaimana premis tidak halal berhak menyajikan makanan dan minuman tidak halal, maka sepatutnya Mc Donalds juga berhak begitu, tidakkah mempertikaikan polisi Mc Donald situ melanggar hak asasi syarikat berkenaan?

Dan kedua isu premis makanan atau restoran. Apakah puak-puak liberal ini tidak pernah mendengar terma “no outside food allowed” ataupun “makanan luar tidak dibenarkan bawa masuk”. Ini istilah biasa yang digunakan secara universal demi mememlihara hak dan kepentingan komersil satu-satu perniagaan itu.

Jika ada pelanggan yangtetap mahu membawa masuk makanan  luar bagi tujuan khas, umpamanya kek harijadi, mereka perlu berurusan dengan pihak pengurusan, selagi tidak melanggar polisi restoran berkenaan.

Dalam kes di Mc Donalds mereka telah membuat polisi bahawa makanan luar yang mahu dibawa masuk itu mestilah juga halal selaras dengan kategori premis mereka.

Apa isunya?

Dan hari ini malangnya kerajaan negeri Sarawak dengan rakus dilaporkan mengarahkan Mc Donalds menurunkan notis yang hanya membenar membawa masuk kek halal ke premisnya.

Menurut portal FMT semua premis Mc D di Miri telah pun diarahkan menurunkan notis seumpama itu.

Kononnya Sarawak punya dasar toleran, tidak mau ada paksaan ke atas rakyatnya.
Tidakkah itu juga satu paksaan dan pelanggaran hak yang ada pada Mc D?

Kebetulan hari ini portal Malaysiakini pula melaporkan dasar yang sama rupanya sudah diamalkan di premis Mc D di Singapura yang terlebih toleran dari Sarawak.

Menurut laporannya:

McDonald's Singapore requires its customers who celebrate their birthday at its premises to provide halal certification for cakes brought in, reported Singapore's Channel 8 News. 

A McDonald's spokesperson confirmed the fast food outlet has practised this since obtaining their halal certification from the Islamic Religious Council of Singapore in 1992.

(Mc D Singapura mensyaratkan pelanggannya yang meraikan sambutan harijadi mereka di premis Mc D agar menunjukkan sijil halal bagi kek-kek yang mereka bawa masuk, sebagaimana dilaporkan Channel 8 News Singapura.

Seorang jurucakap Mc D mengesahkan bahawa restoran makanan segera berkenaan telah mengamalkan perkara ini sejak ia menerima sijil halal dari Majlis Agama Islam Singapura pada tahun 1992)

Kerajaan Sarawak patut lebih sensitif terhadap perkara ini sebelum ghairah mahu tunjuk kononnya liberal dan toleran mereka.

Janganlah mempolitkkan isu agama.

Bagaimana dengan hak umat Islam?

Berauts-ratus malah ribuan premis dan restoran tidak halal langsung tidak mendapat bantahan umat Islam di Malaysia, tetapi mengapa premis yang halal mahu diganggu?

Umat Islam Malaysia perlu sensitif perkara ini. Sedikit demi sedikit hak kita dicabar dan dihakis puak-puak liberal pro Barat ini.