Wednesday, May 24, 2017

PAS kekal dalam kerajaan Selangor demi kestabilan



Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat baru-baru ini telah memutuskan yang PAS Selangor akan kekal menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri sehinggalah suatu keputusan baharu dicapai. Ini bermakna ketiga-tiga EXCO PAS dalam kerajaan Selangor iaitu Dato Iskandar Abd Samad, Dato Dr Ahmad Yunus Hairi dan Zaidi Talib kekal dengan portfolio masing-masing dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor dan tidak akan meletakkan jawatan.

Ini juga bermakna seluruh lantikkan politik di Selangor yang mewakili PAS termasuklah yang duduk dalam badan-badan berkanun, para pegawai dalam kerajaan negeri, ahli-ahli majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sehinggalah Ketua-ketua Kampung akan kekal dalam jawatan masing-masing.

Walaupun Majlis Syura Ulamak PAS telah mengisytiharkan bahawa tahaaluf siyaasi antara PAS dan PKR telah terbatal atas sebab-sebab tertentu namun pada tafsiran PAS, ini tidak bermakna yang hubungan dalam kerajaan juga turut terputus.

Menurut Timbalan Presiden PAS Ustaz Dato Tuan Ibrahim Tuan Man, PAS mengambil sikap sedemikian kerana tidak mahu menganggu perjalanan pentadbiran kerajaan negeri di Selangor yang sepatutnya tamat penggalnya sebelum pertengahan tahun hadapan.

Sementara itu Pesuruhjaya PAS Selangor Ustaz Sallehen Mukhyi dalam satu portal berita dilaporkan berkata: "Bagi saya tiada masalah untuk PAS berunding, (dengan) Menteri Besar Selangor, rundingan itu ialah dalam konteks taawun. Rundingan yang PAS boleh bekerjasama dengan PKR dalam perkara-perkara kebaikan, jadi bukan dalam konteks tahaluf perundingan konteks taawun iaitu bertolong-tolongan.”

Walaupun terdapat pelabagai tekanan dari PKR sendiri termasuklah rakan-rakan komponannya dalam Pakatan Harapan agar PAS “ditendang” keluar sahaja dari kerajaan kerana tidak ada lagi hubungan dengan DAP dan PKR, namun sehingga tarikh artikel ini ditulis, tiada apa keputusan seumpama itu yang telah dicapai khasnya oleh MB Selangor sendiri Dato Seri Mohd Azmin Ali yang juga Timbalan Presiden PKR.

Malah dalam satu sidang akhbar di penghujung Kongres Nasional PKR, Dato Seri Azmin dilaporkan berkata bahawa setakat ini kedudukan ketiga-tiga EXCO PAS itu masih kekal “status quo”.

Dalam isu ini, masing-masing parti sedang diuji tahap kematangan berpolitik mereka. Dalam kontek negeri Selangor, semua pihak khasnya rakyat negeri Selangor sendiri sesungguhnya sedang memberi tumpuan dan memerhatikan sejauh manakah ketiga-tiga komponan yang membentuk kerajaan Selangor sejak PRU 2008 lalu iaitu PAS, PKR dan DAP dapat menghargai dan menghormati mandat besar yang diberikan kepada mereka oleh rakyat.

Kerana itu ketika DAP mensisihkan PAS dan kemudiannya masing-masing memutuskan untuk berpisah, kedua-dua parti masih kekal dalam kerajaan negeri Selangor dengan mengenepikan segala perselisihan politik antara mereka semata-mata kerana menghargai mandat rakyat sekaligus memastikan urusan pentadbiran kerajaan negeri berjalan lancar tanpa sebarang gangguan.

Sekiranya sebarang keputusan drastik diambil, khususnya jika umpamanya atas apa sebab sekalipun PAS dipecat dan di”tendang” keluar dari kerajaan, sudah pasti ia bakal memberi kesan dan impak besar pada rakyat.

PAS dalam PRU 2013 bukan menang 8 kerusi sebagaimana PRU 2008, tetapi PAS menang 15 iaitu setanding dengan DAP manakala PKR cuma 14. Memisahkan PAS keluar sebagai sebuah komponan kerajaan negeri sudah pasti akan meninggalkan satu kelompongan yang besar dan ketara.

Ianya bukan sahaja ketara dari segi tiada lagi kehadiran PAS semata-mata akan tetapi baki 29 kerusi, tanpa PAS, yang membentuk kerajaan Selangor ketika itu sesungguhnya juga turut beralih dari segi komposisinya.

Sekarang ini dengan 13 wakil dari PAS, 14 DAP, 13 PKR dan 2 dari Pan yang “mencuri” kerusi PAS, kerajaan negeri terbentuk dengan 42 kerusi berbanding 11 pembangkang dari Umno/BN dan 2 Bebas iaitu Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang dipecat dari PKR dan wakil DAP Teluk Datuk yang dipecat dari partinya.

Komposisi kini iaitu dari 42 wakil kerajaan, 25 adalah Muslim/ Melayu manakala 17 adalah bukan Muslim.

Jika PAS diterajang keluar dari kerajaan bermakna cuma ada 29 wakil kerajaan dan dari 
angka itu cuma 12 adalah Muslim manakala baki 17 adalah bukan Muslim. Ini akan menjadikan buat pertama kali dalam sejarah, kerajaan negeri Selangor terbentuk dengan komposisi wakil yang majoriti bukan Muslim, adakah ini mencerminkan keadaan sebenar rakyat di negeri Selangor?

Memang dari sudut demokrasi dan Perlembagaan Negeri ianya tidak cacat, cumanya kerajaan yang majoriti bukan Muslim dalan negeri yang majoriti penduduknya beragama Islam suka tidak suka pasti mencetuskan keadaan cemas dan bimbang di hati rakyatnya.
Mungkin PKR dan DAP ketika itu tidak menganggap ianya sebagai isu besar, yang penting PAS boleh disishkan dan mereka kekal berkuasa. Akan tetapi dari sudut politik apabila dominasi majoriti terhakis dengan penguasaan minoriti, pasti kestabilan asal akan tergugat. Bayangkan Negeri Pulau Pinang punya Ketua Menteri berbagsa Melayu dengan majoriti EXCOnya orang-orang Melayu belaka.

Saya yakin semua pihak khususnya PAS dan PKR khasnya Dato Seri Azmin sendiri memikir dan mengambil kira perkara ini sebelu membuat sesuatu kesan yang bakal berikan impak besar pada Selangor.

Kerana itu apabila Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor menyarankan agar konsep taawun mengikat kerajaan negeri ini menggantikan tahaaluf siyaasi PAS dan PKR, beliau sebenarnya meletakkan keutamaan kestabilan dan ketenteraman negeri di atas mengatasi kepentingan dan agenda politik masing-masing parti.

Namun kita boleh sahaja bersikap ego dan keras kepala dengan meletakkan kepentingan negeri dan rakyat di belakang, yang penting lita kejar kuasa dan cita-cita politik, tetapi bersedialah memikul risikonya.

PKR akan dilabel sebagai sebuah parti yang gelojoh dan membuka pintu kepada ketidakstabilan dalam negeri.

Bolehkah negeri Selangor terselamat dan keluar dari kemelut ini tanpa mencetuskan sebarang kerisauan apatah lagi ketegangan atau adakah ia akan terjun ke kancah kemelut politik yang hanya merugikan semua pihak?

Biarlah rasional dan kebijaksanaan menjadi perhitungan dalam membuat keputusan khasnya bagi negeri Selangor yang maju ini kerana bagi PAS jika tahaaluf siyaasi telah terbatal, dan tawaran taawun pula ditolak, maka ia bersedia dengan berat hati untuk berpisah. Dan jika berlaku juga perpisahan maka ketika itu PAS pula bebas menentukan nasib dan masa hadapannya.

Kita lihat siapa yang untung siapa yang rugi nanti. roslansms@gmail.com

No comments: