Wednesday, May 10, 2017

Dari Muktamar 63 ke Tsunami HIJAU

Muktamar PAS ke 63 di Alor Setar baru-baru ini dijangkakan adalah muktamar PAS yang terakhir sebelum Pilihanraya Umum ke 14.

Saya melihat PAS telah melalui beberapa fasa penting dan kritikal dari muktamarnya ke 61 di Kuala Selangor, kemudiannya ke 62 di Kota Bharu dan kini terbaru di Alor Setar.

Fasa-fasa ini sesungguhnya mencerminkan kemampuan dan keupayaan PAS sebagai sebuah parti politik dan Gerakan Islam. Ia melibatkan proses penyaringan dalam kepimpinan dan keahlian parti sehinggalah ke proses penyatuan dan kesatuan dalaman dan berakhir baru-baru ini di Alor Setar dengan kemantapan dan kebersediaan untuk menempuh serta merempuh PRU mendatang dengan penuh gagah dan semangat yang berkobar-kobar.

Ketiga-tiga fasa ini membuktikan kematangan dan kedewasaan PAS dipersada politik tanahair sepanjang lebih 60 tahun usianya, melalui satu proses sebahagiannya dirancang dan sebahagian lain tidak dirancang tetapi berlaku dengan izin Allah swt.

Tidak dapat dinafikan yang PAS menghadapi konflik yang besar menjelang Muktamar ke 61 nya di Kuala Selangor. Ketika itu beberapa kalangan pimpinan pelbagai peringkat dalam parti merancang untuk mengambil-alih kepimpinan parti dan merobah haluan serta halu tuju parti berdasarkan agenda dan kepentingan peribadi mereka.

PAS perlu lebih lunak, PAS perlu merobah cara dan kaedah pendekatannya, mengendurkan dasar demi merintis jalan kerjasama walaupun terpaksa menggadaikan prinsip buat sementara. Demikinalah propaganda mereka kerana bagi mereka jika ianya berjaya maka PAS boleh mudah menang dan melangkah ke Putrajaya.

Mereka rupanya “underestimate” dan tersalah baca jatadiri ahli-ahli dan perwakilan PAS.
Benar kesemua yang dalam Jemaah PAS mahu melihat dan menjulang kemenangan. Namun warga PAS berpegang teguh kepada keyakinan bahawa kemenangan ini perlu dirintis atas jalan berpegang teguh dan mempertahankan dasar dan prinsip. Jika Islam ini ditakdirkan menang ia perlu menang tanpa sedikit pun dasar dan prinsipnya dikendur apatah lagi digadaikan, jika tidak biarlah kalah asal maruah dan harga diri Islam tidak tercalar dan sentiasa terpelihara.

Dalam muktamar di Kuala Selangor PAS memilih membersihkan kepimpinannya dari mereka yang tidak berkongsi matlamat yang sama. Keputusan ini dianggap oleh mereka yang dirihatkan itu sebagai usaha untuk menyingkirkan mereka, sedangkan sebelum ini ramai yang pernah bertanding dan tewas tanpa banyak masalah.

Akibatnya berlakulah pengkhianatan dalam parti apabila mereka yang berkenaan bertindak keluar parti, “mencuri” kerusi-kerusi Parlimen dan DUN millik PAS dan akhirnya atas dorongan DAP, menubuhkan parti sendiri.

Apa yang mahu saya bawa di sini adalah hasrat jahat mereka ini. Mereka menjangkakan PAS boleh sendeng dan akhrinya roboh angkara pengkhianatan mereka.

Rupanya tidak. Pengkhianatan mereka hanya dituruti beberapa kerat kecil yang taksub pada mereka dan termakan mimpi kosong mereka. Majoriti ahli-ahli PAS memilih untuk istiqamah dan kekal duduk atas bahtera perjuangan PAS.

Kerana itu Muktamar Kuala Selangor bagi saya adalah fasa penyaringan dan proses pembersihan dalaman PAS. Ia sedikit mencederakan parti tetapi tubuh yang sasa dan padu ini tetap berdiri teguh dan malah memberi kekuatan dalam bentuk keyakinan  kepada kepimpinan Datuk Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang dan “Team Istiqamah”nya.

Bergerak dari fasa itu Tuan Guru Presiden telah melancarkan proses kesatuan dan penyatuan dalaman parti. Langkah-langkah segera memulihkan kawasan-kawasan PAS yang terjejas akibat kerja-kerja pengkhianatan telah dilakukan dan dalam tempoh masa yang singkat kecederaan ringan pada PAS telah segera dirawat dan berjaya diubati.

Himpunan Fastaqim 2015 sejurus selepas Muktamar Kuala Selangor telah diatur bagi membuktikan ratusan ribu ahli PAS setia, taat dan istiqamah bersama parti dan kepimpinan Tuan Guru Presiden.

Fasa seterusnya adalah Muktamar di Kota Bharu 2016. PAS telah pulih sepenuhnya dan mula menyusun gerakannya dengan lebih mantap terutama setelah ditendang keluar oleh Dap dari Pakatan Rakyat.

BPMS atau “Budaya Politik Matang dan Sejahtera” telah diperkenalkan dan disyarah serta diperterunkan keseluruh ahli akar umbi. PAS yang dewasa dan matang tidak lagi mahu mengambil pendekatan “confrontational” atau bertegang dengan semua pihak khasnya sasarannya. PAS mahu ambil pendekatan diplomasi, rasional dan mengambi peranan penasihat berlandaskan nas.

PAS sedia berkerjasama dengan mana-mana pihak yang mahu menjaga dan memelihatra kepentingan Islam. PAS dilihat lunak dengan Umno dan kerajaan tetapi sebenarnya melalui BPMS PAS bsersungguh mahu menambat hati semua pihak agar bersama beri simpati dan sokongan pada perjuangan Islam.

Keseriusan PAS dalam bab mendaulatkan Islam ditegaskan dengan membawa RUU355 diikuti dengan Himpunan 355.

Rakyat Malaysia khasnya umat Islam terpesona, malah sejuk hati dan mula membuka diri pada PAS dan perjuangan Islamnya. Rakyat dari pelbagai sektor dan kelas secara terbuka mempamirkan kesediaan mereka bersama menobat dan mendaulatkan Islam. PAS meniti di bibir rakyat khasnya umat Islam yang sangat sensitif  dengan agama mereka.

Lalu Muktamar PAS ke 63 di Alor Setar menghimpunkan segala kekuatan PAS yang dibina sepanjang lebih 60 tahun dengan komitmen bahawa PAS sudah sedia menjadi “player” utama dalam PRU mendatang ini.

Kemenangan tanpa bertanding Presiden dan Timbalannya mengisyaratkan bahawa PAS penuh yakin dengan gandingan kedua ulamak ini yang diberi mandat tidak berbelah bahagi oleh ahli-ahli untuk memimpin mereka dalam PRU nanti.

Muktamar Alor Setar melakarkan kesediaan PAS untuk bangkit sebagai “kingmaker” setelah berubahnya lanskap politik Malaysia hari ini. PAS akan menghadapi PRU nanti bukan sebagaimana PRU 2008 dan 2013 ketika ada kerjasama dengan DAP dan PKR serta atas platform Pakatan Rakyat.

Lanskap politik baru Malaysia sudah berubah, musuh semakin lemah dan berpecah, rakyat semakin gelisah dan terbeban dengan pelbagai permasalahan, dan PAS akan mencetuskan Tsunami Hijau yang bakal melonjakkan negara dengan penyelesaian komprehensif dan efektif atas nama Islam.

PAS mahu menyelamatkan rakyat dan negara. Politik Malaysia perlu berubah dan penyelesaiannya adalah melalui “Sejahtera bersama Islam”. roslansms@gmail.com

No comments: