Monday, February 06, 2017

Pulau Pinang jadi Wilayah Persekutuan?

Cadangan Tengku Adnan Menteri di WP tiba-tiba menarik perhatian banyak pihak.

Beliau mencadangkan Pulau Pinang diletakkan di bawah pentadbiran Wilayah Persekutuan sebagaimana Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Alasan beliau kononnya dengan cara itu kerajaan Persekutuan dapat menawarkan rumah mampu milik kepada rakyat Pulau Pinang khususnya orang-orang Melayu memandangkan harga rumah di sana hari ini mencacak naik dan di luar kemampuan ramai.

Sudah pastilah DAP yang paling berang dengan cadangan berkenaan memendangkan mereka kini memerintah kerajaan negeri.

Biarlah cadangan dan penolakkan cadangan itu dibahaskan khasnya sesama rakyat Pulau Pinang.

Cumanya hari ini pun tidak seperti negeri-negeri lain yang beraja, terdapat beberapa urusan Pulau Pinang terletak di luar bidangkuasa negeri. Umpamanya urusan agama terletak di bawah Yang Dipertuan Agong.

Dan dari segi sejarah pula Pulau Pinang dan Melaka selain Singapura di zaman British, oleh kerana masing-masing negeri tidak beraja, di letakkan terus di bawah pentadbiran penjajah British sebagai gagasan Negeri-negeri Selat atau Straits Settlement.

Dan lebih jauh lagi, negeri Kedah sehingga kini masih dianggap sebagai pemilik Pulau Pinang dengan kerajaan negeri masih membayar sewa ke kerajaan negeri Kedah.

Samada cadangan ini boleh menjadi kenyataan terlalu sukar dibayangkan, tetapi ia tetap satu isu menarik dan harus diberi opsyen kepada rakyat Pulau Pinang untuk memikirkan.

DAP pun tidaklah perlu terlalu kalut, bukankah mereka dengan rakan-rakan mensasarkan menguasai Putrajaya dalam PRU akan datang. Jika boleh berlaku Pulau Pinang diserap di bawah Wilayah Persekutuan, mereka juga kerajaan Persekutuan nanti, bukan begitu?

No comments: