Thursday, January 26, 2017

Tinjaun tidak mematahkan semangat PAS

Dari Perlis hingga ke Johor membawa ke Sabah dan Sarawak ahli-ahli PAS dipelbagai peringkat sedang giat menyempurnakan Mesyuarat Agung Tahunan cawangan masing-masing diikuti dengan Mesyuarat Agung Kawasan-kawasan menjelang Muktamar PAS Pusat April nanti.

Begitu juga dengan Dewan-dewan Muslimat, Pemuda dan Ulamak.

Parti-parti lain ada yang menangguhkan proses pemilihan dalam parti kerana mahu tumpu pada Pilihanraya Umum namun PAS tabah menguruskan partinya berdasarkan Perlembagaannya. Inilah keunikkan PAS.

Selain itu program-program lain terus dianjurkan, umpamanya kempen “PAS Pilihanku” diketuai Naib Presiden Dato Iskandar Abd Samad yang setakat ini telah berjaya menerima 3,000 borang kehalian PAS baru.

Sempena Tahun Baru Cina, kawasan-kawasan PAS giat menganjurkan program berjumpa dan ziarah kaum Tionghua dimerata pelusuk. Program ceramah dan kursus-kursus dalaman parti juga berjalan lancar.

Berkebetulan dengan musim tengkujuh khasnya di Pantai Timur para pemimpin dan petugas PAS dibantu oleh Unit Amal sedang giat menghulurkan bantuan kepada mangsa-mangsa yang terjejas, ahli-ahli PAS dengan rela terjun ke gelanggang membantu sesiapa sahaja yang memerlukan,

Dan dalam pada itu seluruh jentera PAS sedang beri tumpuan pada program besar tahun ini iaitu Himpunan 355 yang bakal diadakan pada 18 Febuari nanti di Dataran Merdeka yang dianjurkan oleh Sekretariat H355 yang turut dianggotai PAS dan beberapa NGO lain.
PAS Negeri-negeri mahu menggembeling seramai mungkin ahli dan penyokong untuk menjayakan himpunan aman berkenaan, Kelantan dan Terengganu sahaja dijangka menurunkan seramai 80,000 kekuatan.

Sasaran penganjur adalah lebih 300,000 kehadiran.

Segala ini meletak dan membuktikan bahawa PAS merupakan salah sebuah parti yang paling aktif dan dinamik kebelakangan ini. Kerana itu suka tak suka tumpuan masyarakat rata-rata adalah pada perkembangan dalam PAS.

Dalam kehangatan demikian tiba-tiba muncul seorang pemimpin pembangkang mengisytiharkan satu hasil kajian terbaru yang dikendalikan oleh sebuah badan bebas yang dikenali sebagai INVOKE Centre for Policy Initiatives (I-CPI). Menurut beliau kiranya Pilihanraya Umum diadakan, dan masyarakat bukan Melayu khasnya Cina terus menolak 

BN sebagaimana PRU yang lepas, tidak mustahil BN boleh tumbang.

Yang akan naik menggantikan BN menurut beliau lagi adalah Pakatan Harapan yang terdiri daripada PKR, DAP dan Pan selain sekutunya PPBM atau Bersatu.

Menurut kajian tersebut kiranya berlaku pertandingan 3 penjuru iaitu antara BN, PAS dan PH, maka BN akan menerima sokongan yang paling rendah. Manakala PAS pula dakwa kajian itu berkemungkinan besar akan hilang semua kerusi DUN dan Parlimennya.

Anehnya kajian tersebut turut mengemukakan angka berikut, kiranya diadakan PRU, BN akan menerima 41% sokongan, PH 24%, PAS 21% manakala 14% tidak akan keluar mengundi.

Bagaimana kelompok yang menerima 24% sokongan boleh membentuk kerajaan tidaklah diketahui, kecuali ia membeli sokongan dari 41% dari kelompok BN.

Kenapa pula PAS yang memperolehi 21% sokongan walaupun bersendirian boleh tersisih?
Jelas kajian ini mahu memaksa PAS membuat keputusan, kiranya bersatu dengan PH boleh menang besar, kiranya berasingan akan kalah teruk sekurang-kurangnya itulah yang mahu diberi gambaran.

Sesungguhnya kita yang lama berpolitik tahu bahawa di sana ada beberapa bentuk kajian yang diusahakan oleh parti-parti politik. Yang jujur biasanya bersifat dalaman dan hanya dibincangkan di belakang tabir, ia mendedahkan kekuatan dan kelemahan masing-masing selain musuh. Ia membaca kekuatan sebenar satu-satu parti dan tidak menangkap muat semata-mata untuk menyeronokkan mana-mana pihak.

Namun ada juga kajian yang dibuat untuk memberi gambaran seakan parti berkenaanlah yang terbaik dan terbilang. Ini bagi mengasak dan menggelabahkan pihak lawan. Saya tidak pasti kajian INVOKE ini dalam kategori mana, tetapi ramai yang lain sudah boleh membuat andaian.

Yang paling menarik adalah ulasan dari Timbalan Presiden PKR yang juga Menteri Besar Selangor, Dato Seri Azmin Ali. Bagi beliau sandaran kekuatan sebenar adalah pada mana-mana pihak yang lebih terlibat dengan rakyat bukannya keputusan kaji selidik.
Azmin dipetik sebagai berkata: “Hanya kaji selidik, tetapi saya fikir keutamaan yang paling penting sekarang adalah semua parti-parti politik untuk turun, mendekati rakyat dan pengundi bagi menjelaskan dasar dan kedudukan kita. Kita mesti dilihat dan kita mesti bertindak bersama-sama sebagai kuasa yang kuat untuk menghadapi BN.”

Dan jika kajian di atas lebih mirip meminggirkan PAS, Azmin pula kelihatan lebih cenderung untuk mengekalkan hubungan dengan PAS bagi menghadapi BN.

Ternyata sebagaimana disebutkan awal tadi, bahawa disaat dan ketika ini satu-satunya parti yang paling giat berinteraksi dan bersama rakyat adalah PAS, bukannya di Kelantan atau di Selangor sahaja malah diseluruh negara, PAS bergerak bersama rakyat untuk memenangi sokongan mereka.
Bagi saya yang paling matang dan jauh bacaannya sahaja yang akan menyerlah dan berdiri tegak dalam suasana BN dan Umno sedang goyang akbiat hilangnya keyakinan rakyat terhadap mereka.
Hakikatnya jentera PAS sudah lama dihidupkan dan kini sedang bergerak lancar. Sesiapa sahaja yang akur, menghormati dan menerima dasar dan perjuangan PAS akan dapat menumpang jentera ini, manakala mereka yang khianat dan membenci PAS tiada tempat.
Biarlah yang ghairah dan terpaku dengan kajian, mabuk dan lemas dengan keseronokkan mereka, bagi PAS tugas dan tanggungjawab membawa mesej dakwah dan menyedarkan masyarakat tidak pernah berhenti. 

Samada satu lawan satu atau tiga penjuru, atau apa sahaja, biarlah rakyat yang menentukan. Yang pastinya PAS sudah bersedia. roslansms@gamil.com

No comments: