Thursday, January 05, 2017

2017 tahun PAS kukuhkan kedudukan

Tahun 2017 baru sahaja melangkah masuk yang pastinya menjanjikan seribu satu kemungkinan dengan izin dan ketentuan Allah swt. 2017 gagah melangkah masuk meninggalkan 2016 yang sungguh bersejarah dan bermakna.

Sekurang-kurangnya bagi PAS saya mengira 2016 merupakan tahun yang paling mencabar buat Parti Islam ini sepanjang lebih 60 tahun usianya. 

PAS melalui cabaran dalaman terbesarnya semasa menghadapi Muktamar Pemilihannya pada tahun 2015. Muktamar yang diadakan di Kuala Selangor itu telah melihat pertandingan paling sengit dalam sejarah PAS sehingga semua jawatan tertinggi dalam parti ditandingi.

Sebagaimana yang semua ketahui bahang panas pemilihan pucuk pimpinan dalam PAS itu dimuktamadkan dengan kemahuan para perwakilan apabila Dato Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang dikekalkan sebagai Presiden dengan lebih 70 peratus sokongan diikuti Dato Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai Timbalan dan Ustaz Idris Ahmad, Ustaz Dato Nik Amar dan Dato Hj Iskandar masing-masing sebagai Naib-naib Presiden.

Keputusan muktamar lazimnya buat PAS diterima dengan hati terbuka dan masing-masing yang kalah dan menang bertaut kembali demi kepentingan perjuangan dan jemaah.

Ini walaubagaimanapun tidak berlaku ketika itu apabila pemuka-pemuka yang kalah bertindak mengkhianati perjuangan dan menubuhkan parti baru demi agenda peribadi. 

Tindakan luarbiasa itu dianggap sesetengah pihak khasnya para penganalisa sebagai paku terakhir buat keranda PAS. Ramai meramal konon-kononnya pemberontakkan terhadap PAS, dengan terjun keluar ahli-ahlinya ke parti baru itu bakal melumpuh dan menamatkan riwayat PAS.

Ramai yang percaya ketika itu.

Kerana itu 2016 penting buat PAS. Jika PAS bakal lumpuh dan tamat riwayatnya, maka 2016 adalah tahun bersejarah persemadian PAS.

Jelas PAS bukan perjuangan peribadi mana-mana individua atau kelompok. PAS adalah sebuah gerakan Islam, kekuatannya pada dasar dan aqidah perjuangannya. Perjuangannya tidak akan terkubur atau tidak mampu terpadam walaupun berlaku pengkhianatan atau permberontakkan dalaman sesengit mana pun.

2015 sekerat dua bekas pimpinannya berserta penyokong masing-masing telah mengkhianati PAS dengan nafsu dan angan-angan besar mahu menggantikan PAS, tetapi apa yang berlaku pada 2016 api perjuangan PAS bukannya malap, malah sebaliknya menjadi makin marak dan panas menyala.

Dalam tempuh yang sangat singkat semua kawasan-kawasan PAS yang terjejas dengan pemberontakkan pimpinannya telah berjaya dipulihkan dan hari ini masing-masing berdiri tegap dan teguh dengan giat membuka dan menubuhkan cawangan-cawangan baru. Kehlian PAS pun semakin mencacak naik pada tahun 2016.

Ternyata pengalaman luas dan bacaan politik yang tajam yang dimiliki Tuan Guru Presiden PAS berserta pasukan saf kepimpinan barunya berjaya mengemudi bahtera PAS menjadi parti yang semakin disegani dan diberi perhatian.

Jika sebelumya ada yang menjangkakan PAS akan lumpuh, ternyata mereka semua tersasar jauh dan tersilap. 

Malahan 2016 PAS semakin mantap dan terkehadapan dalam mencetuskan isu-isu besar sehingga ianya meniti hangat dibibir masyarakat dan rakyat.

“Budaya Politik Matang dan Sejahtera” yang diperkenalkan PAS berjaya melontarkan PAS sebagai sebuah gerakan Islam dan parti politik yang semakin disenangi ramai dan malah hujah-hujah dan pandangan pimpinan PAS khasnya wakil-wakil rakyat di Parlimen dan Dewan-dewan Negeri serta di majlis-majlis forum tempatan dan antarabangsa semakin diberi perhatian kerana kematangan dan maklumatnya.

Tiada lagi suara ahli-ahli Parlimen PAS yang celupar, terpekik-lolong dan biadap sebaliknya setiap yang bangun berhujah, pandangannya diberi perhatian dan dihormati, mencerminkan akhlak dan keperibadian sebenar wakil yang mewakili suara gerakan Islam.

RUU355 turut meletakkan PAS sebagai sebuah gerakan Islam yang serius dan tiada kompromi dalam menjuarai tuntutan perjuangan Islam. Masyarakat Malaysia khasnya rakyat yang beragama Islam melihat kesungguhan PAS itu dalam berjuang memperkasakan syariat Islam, walaupun dikritik dan dibenci pihak tertentu yang berkepentingan dan pihak-pihak minoriti yang tidak toleran.

Demi Islam PAS sanggup berkerjasama dengan sesiapa pun, suatu pendirian yang jelas dan konsisten yang sangat dihormati rakyat jelata.

2016 juga menyaksikan PAS terserlah dalam platform antarabangsa. PAS dilihat ke hadapan khasnya dalam isu penderitaan dan penindasan kaum Rohingya di Myanmar serta dalam isu Syria.

Disaat pihak lain sibuk berangan-angan merampas kerusi PAS dan negeri PAS, ahli-ahli dan pimpinan PAS terjun kepangkuan masyarakat, prihatin pada nasib dan kebajikan rakyat dengan mendengar suara dan rintihan mereka dalam pelbagai forum disamping memberi khidmat dan menyalurkan bantuan.

Sesungguhnya rakyat Malaysia melihat semua ini, dan dengan kematangan dan kemampuan berfikir mereka, insyallah mereka tahu siapa pilihan mereka apabila tiba Pilihanraya Umum nanti.

Tidak dinafikan mereka akan lebih condong dan cenderong pada kelompok yang serius dan istiqamah dalam pernjuangan mereka, dan setakat ini, dengan 2016 sebagai bukti, tiada yang menepati kriteria ini melainkan PAS.

2016 tahun yang didakwa sesetengah penganalisa sebagai tahun PAS akan lumpuh dan terkubur kononnya dengan penubuhan Pan dan putusnya hubungan politik dengan DAP ternyata satu retorik kosong.

PAS malah memposisikan dirinya semakin relevan dan diperlukan rakyat dan mana sahaja parti politik yang sedar akan kekuatan dan kemampuannya. Ini bukan omong kosong tetapi satu fakta yang sukar disangkal.

Seorang penganalisa veteran akhbar harian The Star, Joceline Tan dalam satu tulisannya memberikan kesimpulan terbaik buat PAS. Katanya:

“PAS masih kekal sebagai sebuah parti Melayu yang perlu diberi perhatian. Ia mempunyai kekuatan besar dari kalangan ulamak dan profesional yang muda dan istiqamah yang bakal membentuk masadepan partinya dan malah mungkin juga negara.”  

2016 telah melihat PAS mengukuhkan kedudukannya dan tidak mustahil 2017 pula ia akan melonjak lebih jauh ke hadapan dengan komitmen dan dokongan ahli-ahlinya yang lebih 1 juta orang itu.

Selamat Tahun baru Masehi 2017 roslansms@gmail.com

No comments: