Wednesday, January 27, 2016

Umno bersedia atau tidak rakyat tetap mahu Islam



 Ikuti ROSLAN SMS di Harakah (print) Bil. 2117 Edisi Isnin muka F17

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka membentangkan laporan penuh indeks syariah bagi mengukur tahap pelaksanaan agenda Islam di Malaysia pada 28 Mac ini. Indeks syariah yang dimaksudkan telah pun dilancarkan Februari tahun lalu dan ianya merupakan usaha untuk melihat sejauh mana kerajaan dapat mengisi agenda memartabatkan Islam di dalam program dan perlaksanaan dasarnya.

Adalah difahamkan sebanyak lapan bidang utama akan diukur menggunakan Indeks Syariah Malaysia. Lapan bidang utama berkenaan meliputi bidang-bidang perundangan, politik, ekonomi, pendidikan, kesihatan, budaya, pasaran dan persekitaran serta sosial.

Piawaian syariah yang digunakan untuk mengukur indeks ini dikenali dengan istilah syaraknya Dharuriyah al Khamsah yakni berpandukan kepada lima aspek atau matlamat syariah yang disebut sebagai Maqasid al-Syariah. Ini termasuklah dalam aspek pemeliharaan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.

Umpamanya kalaupun ada undang-undang dalam negara yang tidak berlabel Islam tetapi memenuhi tuntutan syariat di atas maka ia tetap dianggap patuh syariah.
Sejauh manakah kesungguhan pihak kerajaan dalam mahu memartabatkan Islam yang diukurnya melalui indeks syariah ini tidaklah diketahui.

Rakyat Malaysia maklum bahawa Perdana Menteri yang juga Presiden Umno semasa menyampaikan ucapan dasar di Perhimpunan Agung Umno 2015 awal Disember lalu telah berikrar dan berjanji akan komited sepenuhnya untuk memperkembang dan mempertinggikan syiar Islam di Malaysia.

Kata beliau dengan cara itu: “ Barulah, sebuah negara Islam yang digelar “Baldatun Toy-yi-batun wa Rob-bun Ghofur” akan terbangun dan terwujud jua di Malaysia”.

Dan bergerak ke arah itu beliau sendiri menyatakan dalam majlis yang sama yang disaksikan oleh para perwakilan Umno dan jutaan rakyat Malaysia: “ Dengan hati yang terbuka dan nubari yang merdeka, kita hulurkan tali silaturrahim,… kita hulurkan ikatan ukhuwah menuju kesempurnaan membina sebuah Malaysia di atas syariat Nya” yang ditujukan kepada PAS.

Dan sebagaimana kita ketahui Presiden PAS memberikan respon bahawa PAS bersikap terbuka kepada apa-apa niat untuk menggalakkan perpaduan berteraskan Islam dengan mana-mana pihak. Malah PAS akan berlapang dada kepada mana-mana suara positif yang membawa kepentingan kepada Islam, negara, dan rakyat tidak kira orang Islam atau bukan Islam.

Mungkinkah pembentangan laporan penuh indeks syariah yang dijanjikan itu sebahagian dari bukti kesungguhan Najib dan kerajaannya dalam mahu membina sebuan negara berteraskan syariat Allah swt?

Sejak dari perhimpunan Umno sehinggalah program Multaqa Serantau Alumni al Azhar Malaysia di Hotel Grand Season Kuala Lumpur 17 Disember lalu rakyat Malaysia menunggu-nunggu sesuatu yang positif yang boleh membuktikan betapa komited dan seriusnya Najib khasnya dalam mahu memartabatkan Islam selain melibatkan PAS dalam usaha-usaha ini.

Perpaduan seluruh kelompok Islam dalam berkerja ke arah perlaksanaan sebuah negara Islam sudah pastilah akan disambut baik oleh semua pihak khasnya dikalangan masyarakat majoriti Islam dalam negara.

Jika pembentangan laporan penuh indeks syariah Mac nanti merupakan salah satu usaha Najib, maka ianya wajar dialu-alukkan. Namun demikian pembinaan sebuah negara yang bercirikan “Baldatun Toy-yi-batun wa Rob-bun Ghofur” sudah pastilah tidak boleh berhenti setakat itu malah ia lebih luas lagi.

Banyak usaha-usaha lain sudah perlu diterokai dan digerakkan bagi meyakinkan seluruh masyarakat dan negara bahawa apa yang telah diutarakan oleh Najib sebelum ini bukan sekadar retorik politik atau propaganda meraih simpati semata-mata tetapi ia serius.

Umum mengetahui bahawa disaat dan ketika ini Najib dan kerajaannya sedang teruk dilanda krisis keyakinan akibat dari pelbagai isu dan permasalahan yang tidak selesai termasuklah skandal 1MDB, kenaikkan kos hidup rakyat, GST dan kini TPPA.

Kerana itu dalam berhdapan dengan realiti ini Presiden PAS pernah menegaskan: "Pas juga ingin membuat seruan, betapa kini masa yang sangat sesuai untuk Umno kembali kepada Islam dan mengamalkan cara hidup Islam dalam segenap sendi perjuangannya, samada politik, sosial mahu pun ekonomi,".

Inilah masa dan ketikanya semua ruang dan “platform” dibuka demi agenda memartabatkan Islam. Islam dan perlaksanaannya perlu dihebah dan diterangkan secara meluas kepada seluruh rakyat dalam negara supaya ia dapat diterima dan difahami kerana ianya punya roh penyelesaian yang mampu membawa negara keluar dari kemelut yang sedang melandanya hari ini angkara BN.

PAS dan para ulamaknya harus dilibatkan dalam siri-siri penerangan dan majlis-majlis forum dari ceruk dan rantau kampung dan desa sehinggalah ke pekan-pekan dan bandaraya termasuklah serambi istana. TV dan radio adalah media terbaik bagi tujuan ini, jangan lagi ada yang di gam atau disenarai hitam.

Langkah melibatkan lebih 133 penyelidik dari lima IPTA bagi menyediakan laporan indeks syariah ini dialu-alukan. PAS sendiri punya ramai bekas ahli-ahli akademik dari IPTA selain Tuan-tuan Guru yang berwibawa yang pasti bersedia memberikan input dan pandangan yang lebih komprehensif dalam menzahirkan sebuah negara berteraskan landasan yang menepati syariat Islam.

Dato Dr Harun Din (UKM), Dato Dr Mahfodz Mohamad (UM), Dato Tuan Ibrahim Tuan Man (UITM), Ustaz Idris Ahmad (UITM), Ustaz Dato Mohammad Amar Nik Abdullah (UIA), Dato Dr Ustaz Mohd Khairuddin Aman Razali (UKM), Dato Dr Mohd Fadhli Dato Hassan (UIA), Dato Dr Johari Mat (UM) adalah antara contoh nama-nama bekas pensyarah IPTA yang dimaksudkan.

Pokoknya di sini adalah sejauh manakah Najib dan kerajaan serius dalam usaha ini. PAS samada dilibatkan ataupun tidak memang berjuang untuk agenda Islam kerana itulah matlamat perjuangannya sejak ia ditubuhkan. Sebagaimana ditegaskan Presiden PAS dalam ucaptamanya di Hotel Grand Season di hadapan Najib Disember lepas, dalam apa keadaan pun “Islam dan penganutnya mesti berkuasa”.

PAS konsisten ke arah itu dan ternyata dalam suasana pancaroba ini rakyat Malaysia khasnya yang beragama Islam sudah bersedia untuk memberikan komitmen yang sama tidak kira samada Najib dan Umno sudah bersedia ataupun tidak. roslansms@gmail.com

Tuesday, January 19, 2016

Antara penfitnah dan mangsa

Pada asalanya saya menyangka tweet yang disibarkan itu “fake” atau palsu.

Mana mungkin beliau mahu “spin” keputusan mahkamah yang merekodkan penyelesaian antara dua pihak yang bertelingkah. Namun apabila saya sendiri mengunjungi lamannya ternyata ianya tweet milik Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Dalam tweetnya itu yang turut menyertakan gambar muka depan akhbar Sinar Harian hari ini beliau menulis:

“Akhirnya kebenaran dedahkan siapa penfitnah siapa mangsa. Kurang pasti …. Adakah dosa fitnah lebih berat dpd bunuh?”

Dua perkara saya petik dari tweet ini.

Pertama beliau merujuk kepada akhbar Sinar dan bersetuju dalam hal ini bahawa YB Ustaz Nasrudin Hassan telah memfitnah beliau. Kerana itu beliau melontarkan kenyataan “kebenaran” yakni keputusan mahkamah telah memutuskan siapa penfitnah dan siapa mangsa.

Jika berdasarkan tajuk Sinar itu bermakna YB Ustaz telah “sabit” memfitnah beliau.

Apakah sebenarnya keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang? Benarkah YB Ustaz di sabit memfitnah Guan Eng?

Apa yang berlaku sebenarnya, Mahkamah yang sepatutnya mendengar kes saman fitnah Guan Eng terhadap Ustaz Nasrudin itu akhirnya telah merekodkan kenyataan penyelesaian (statement of settlement) yang telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak Guan Eng dan Ustaz Nasrudin.

Bermakna kes ini tidak diteruskan sebaliknya kedua pihak setuju selesai.

Oleh itu dimanakah benarnya “tweet” Guan Eng itu bahawa “kebenaran dedahkan siapa penfitnah siapa mangsa?

Kes ini berpunca dari artikel Ustaz Nasrudin pada 6 Ogos 2014 bertajuk “Apa beza KIDEX dan Penang Tunnel”. Guan Eng mendakwa Ustaz Nasrudin telah memfitnahnya melalui artikel itu lalu mengemukakan saman fitnah.

Apabila mahkamah bersedia bersidang, berlaku proses perundingan antara kedua pihak dan hakim selain sesama mereka, akhirnya “statement of settlement” dikemukakan apabila kedua pihak bersetuju untuk tidak meneruskan kes.

Siapa fitnah siapa?

Ustaz Nasrudin tidak diarahkan untuk memohon maaf. Jika beliau “sabit” telah fitnah Guan Eng, pastinya beliau diarah memohon maaf tetapi ini tidak berlaku. Malah Ustaz Nasrudin telah menegaskan beliau melangkah ke mahkamah untuk membela diri dan tidak sekali-kali akan mohon maaf kerana yakin beliau tidak bersalah.

Lalu apakah sebenarnya yang telah berlaku?

Menurut akhbar The Star hari ini:

“……after examining the documents submitted to the court, he regretted that his statement has led to a misunderstanding with Lim”

“….selepas memeriksa dokumen-dokumen yang dikemukakan ke pihak mahkamah, beliau (Ustaz) kesal yang kenyataannya (artikel yang ditulis itu) telah mengakibatkan wujud salah faham antara beliau dan Lim”

“Misunderstanding” atau salah faham bukannya fitnah atau memfitnah.

Dan melalui penyelesaian ini juga bermakna Guan Eng juga sebenarnya bersetuju ia sekadar “misunderstanding” atau salah faham.

Kerana itu Ustaz Nasrudin sekadar menarik balik beberapa bahagian dari keseluruhan artikel beliau itu, namun bukan keseluruhannya dan beliau tidak sekali-kali diminta atau meminta maaf.

Dan tiba-tiba Guan Eng dakwa kebenaran telah mendedahkan siapa penfitnah…….. siapa?
Kalau berdasarkan huraian di atas tiada siapa memfitnah sesiapa, berbohongkah Guan Eng dalam “tweet” nya itu?

Perkara kedua dalam tweet Guan Eng yang mahu saya petik adalah apabila beliau menyebut …… “adakah dosa fitnah lebih berat drp bunuh?”

Kita tahu dalam penyelesaian ini tiada siapa diakui telah memfitnah atau difitnah. Mengapakah Guan Eng mengungkit berkenaan “dosa fitnah”?  Mengapa hukum Islam pula mahu diseret dalam polemik ini, atau terdapatkah unsur persendaan di sana?

Apa pun kes sudah selesai defendan diperintah bayar kos mahkamah RM10,000 tanpa perlu meminta maaf. Pastinya jika Guan Eng tidak berpuas hati boleh sahaja dia minta kes terus dibicarakan tetapi tidak, beliau pun setuju jangan dipanjang-panjangkan, selesai takat situ.

Mengapa defendan bayar? 

Sebab bagi saya kes ini sepatutnya tidak perlu bawa ke mahkamah pun tetapi kerana kepentingan politik ia dibawa untuk kononnya membuktikan siapa penfitnah dan siapa mangsa. Lalu jawapannya, bayar kos dan tiada siapa difitnah dan “tweet” di atas sungguh mengelirukan.




Wednesday, January 13, 2016

Aziz Bari pertikai Majlis Syura Ulamak PAS

Polemik kerjasama Umno-PAS terus menjadi bualan dan perbahasan sehingga hari ini.

Walau pun telah berkali-kali pihak PAS menjelaskan dan memberikan pendirian namun ianya terus dinyanyi dan didendangkan seakan kerjasama itu sedang menuju ke arah penyatuan politik antara Umno dan PAS.

Nyatalah betapa polemik ini mahu dimainkan oleh sesetengah pihak bagi menggambarkan bahawa PAS telah jatuh melutut ke kaki Umno. Jika mereka berjaya memutar-belitkan kerjasama ini sedemikian rupa, maka rakyat dan para pengundi pada perkiraan mereka pasti akan menolak PAS dalam PRU akan datang.
Ramai yang mahu melihat PAS jatuh dan kecundang. Ramai yang mahu lihat satu-satunya parti yang istiqamah memperjuangkan Islam ini luput dan pupus dari politik Malaysia, kerana bagi mereka PAS ini penghalang, pengacau, PAS ini musuh utama.

Dalam akhbar Sinar Harian hari ini, tokoh akademik yang telah hari ini menjadi juara“lompat” parti iaitu Dr Abd Aziz Bari turut memberi saham dalam mengadu-domba PAS. Dr Aziz ini, yang Sinar perkenalkan sebagai Pakar Perlembagaan, hari ini adalah “orang kuat” DAP dan duduk dalam JK DAP Negeri Selangor, beliau sebelumnya PKR.

Menurut beliau keputusan Majlis Syura Ulamak PAS yang hanya membenarkan kerjasama PAS-Umno dalam perkara-perkara kebaikan dan ketaqwaan adalah mengelirukan.

Katanya:
“Selama ini pun macam itu (mengelirukan) sama seperti memutuskan hubungan dengan DAP, sudah timbul kecoh, ada yang terkejut tak sangka kesannya seburuk itu.

Sekarang orang dah tahu dia (PAS) sudah berpeluk dengan Umno, jadi dia cuba nak mengelakkan kebusukkan itu, hakikatnya PAS tidak menentang Umno di Parlimen, di luar pun begitu.

Majlis Syura Ulamak kena belajar dengan Bahasa politik dengan amalan politik (sekarang) kalau tidak jangan masuk politik (baik) jadi pertubuhan dakwah dan jangan letak calon dalam pilihanraya nanti”.

Biadap sungguh Aziz Bari bila berbahasa.

Sudahlah apa yang diperkatakannya itu bohong dan fitnah. Demikianlah rendahnya nilai seorang ahli akademik apabila tersalah pilih masuk politik dengan bersekongkol bersama parti yang tidak senang dengan perjuangan Islam.
Majlis Syura Ulamak PAS tidak pernah mengelirukan, yang keliru adalah mereka yang memusuhi PAS dan perjuangan Islam. PAS putuskan hubungan dengan DAP setelah DAP terlebih dahulu bertindak demikian dibeberapa negeri selain menyerang usaha PAS untuk melaksanakan Hudud di Kelantan. DAP juga telah terang-terangan mencampuri urusan rumahtangga PAS sehingga terlibat dalam melahirkan Pan, yang sarat dengan mereka yang mengkhianati perjuangan PAS.

Kalau yang berbohong dan menipu itu orang kebanyakkan, kemungkinan kita boleh terima kerana barangkali dia itu tiada berilmu atau kurang pendidikan, tetapi alangkah hinanya apabila yang berbohong dan menipu itu seorang “pakar perlembagaan” seorang yang terpelajar dan berilmu.
Adakah kerana tidak menentang Umno di Parlimen maka boleh disabitkan PAS sebagai “berpelukan” dengan Umno? Adakah kerana seorang tokoh DAP yang pernah mengkritik isu kemasukan ahli sukan Israel ke negara kita baru-baru ini maka kita boleh tangkap muat mengatakan DAP juga sudah berpelukan dengan Israel?

Istilah “berpelukan” itu memberi gambaran suatu hubungan yang sangat intim, benarkah PAS dan Umno begitu sebagaimana DAP dan Pan?
Tebal ego Aziz sejak menyertai DAP sehingga menganggap Majlis Syura Ulamak PAS sebagai tidak cerdik, tidak pandai politik dan oleh itu tidak wajar masuk politik. Umno yang PAS musuhi zaman-berzaman pun tidak pernah memandang rendah Majlis Syura PAS, siapa pula si Aziz ini?

Apa pun bagi saya Aziz sedang berjinak-jinak untuk melonjakkan dirinya sebagai juara Melayu DAP setelah memenangi anugerah juara lompat parti.
Saya difahamkan beliau termasuk dalam senarai baru ahli majlis DAP bagi salah sebuah PBT di Lembah Kelang. Ini bagi menyediakan beliau untuk dicalonkan sebagai calon DAP bagi mencabar kerusi DUN Chempaka di Parlimen Pandan yang diwakili Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Iskandar Abd Samad.

Aziz bersungguh mahu menjadi alat bagi mencantas dan mengulingkan pengaruh PAS dan perjuangan Islam di Selangor. Dari bertanding di kerusi Parlimen Sabak Bernam yang punya pengundi bukan Melayu sekitar 18 peratus beliau lompat ke kerusi DUN yang punya hampir 47 peratus pengundi bukan Melayu.
Siapa tahu kalau DAP boleh mengalahkan Iskandar melalui beliau, untung-untung beliau boleh menjadi Menteri Besar pertama DAP di Selangor!

Semoga cahaya perjuangan Islam akan terus memancar dan gemilang walaupun dibenci oleh musuh-musuhnya.