Tuesday, May 10, 2016

Istana dan rakyat berpisah tiada

Ikuti ROSLAN SMS di Harakah (print) Bil. 2146 Edisi Isnin muka F16

Sebagai Ketua Agama Islam di negeri masing-masing, dan Yang Dipertuan Agong diperingkat Persekutuan, Raja-raja Melayu dilihat sebagai payung yang memayungi nasib dan kepentingan umat Islam selain sebagai simbol kedaulatan negeri yang menyatukan rakyat di dalam sesebuah negeri.
Agama Islam serta seluruh institusi yang ditubuhkan bagi mengurus dan mengawalnya terletak dibawah bidangkuasa Raja-raja Melayu. Salah sebuah institusi penting dalam hal ini adalah Lembaga Zakat yang menguruskan wang kutipan zakat di sesebuah negeri.

Baru-baru ini dilaporkan oleh akhbar-akhbar tempatan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V dan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan melawat Projek Pembangunan Ekonomi Asnaf Lembaga Zakat Selangor di Kampung Gong Jenerah, Bukit Awang, Pasir Puteh, Kelantan.
Projek berkenaan diusahakan bersama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) dan Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Puteh dengan sokongan Lembaga Zakat Selangor (LZS) yang telah menyalurkan sejumlah RM8.3juta.

Projek yang membabitkan tiga segmen iaitu penempatan berkelompok, pembinaan infrastruktur asas dan projek agroekonomi telah membangunkan projek tanaman cili yang diusahakan oleh seramai 29 asnaf di atas tanah seluar 17 hektar dan kini masing-masing peserta dapat menjana pendapatan RM1,200 sebulan.
Tuanku Sultan berdua telah berkenan menyampaikan kunci rumah kepada para peserta membabitkan 30 buah rumah lengkap dengan perabot asas pada majlis berkenaan.

Sesungguhnya keprihatinan kedua-dua Tuanku Sultan sehingga berkenan menjalinkan kerjasama, merentas sempadan geografi negeri seumpama ini telah berjaya membuktikan betapa sistem zakat Islam benar-benar dapat membela nasib dan kebajikan umatnya lebih-lebih lagi apabila penguasanya, dalam hal ini Raja-raja Melayu sendiri dapat proaktif dan bersatu tenaga demi agama yang tercinta.
Dan kerjasama seumpama ini diharapkan tidak terhad kepada urusan zakat semata-mata tetapi boleh diluaskan sehingga melibatkan hal ehwal lain berkaitan agama Islam.

Inisiatif dan kebijaksanaan serta keprihatinan Raja-raja Melayu seumpama ini sering meninggalkan kesan yang mendalam ke atas jiwa rakyat jelata khasnya umat Islam. Hormat dan taat setia rakyat jelata terhadap institusi warisan bangsa dan negara yang disanjung ini akan semakin kental dan kukuh terutama apabila menyaksikan Raja-raja Melayu ke hadapan dalam memberikan tumpuan ketas nasib rakyat jelata.
Islam tidak syak lagi adalah merupakan agama penyatu yang menyimpul umpama ikatan yang kemas dan kuat hubungan antara Raja-raja Melayu dan rakyat jelata.

Malah menurut sejarah beberapa inisiatif Raja-raja Melayu dalam hal ini terus disebut-sebut sehingga ke hari ini.
Saya teringat membaca salah sebuah karya Allahyarham Datuk Ahmad Boestamam yang menyebut ketika beliau dalam tahanan keselmatan di zaman pemerintahan British dahulu Almarhum Sultan Pahang ketika itu telah menziarahi kem tahanan. Almarhum telah menyapa Allahyarham dan menegaskan kiranya Allahyarham rakyat Baginda, Ahmad Boestamam adalah anak Perak, pasti Almarhum akan menitahkan agar Allahyarham dibebaskan kerana berjuang untuk negara.

Selain itu menurut sejarah Istana Selangor adalah yang terkehadapan dikalangan Raja-raja Melayu khususnya dalam isu keprihatinan terhadap Islam sebagaimana yang dipamirkan oleh Sultan-sultan Selangor sebelumnya dan dicontohi Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini.
Menurut rekod Sultan Selangor yang kelima Almarhum Sultan Alauddin Sulaiman Syah bin Raja Muda Musa yang memerintah Selangor selama 40 tahun dari 1898 hingga 1938 adalah antara Sultan yang banyak menyumbang pada Islam. Ketika pemerintahan Almarhum, Baginda sangat rapat dan menerima nasihat dari Almarhum Tengku Mahmud Zuhdi bin Abdur Rahman al-Fathani seorang ulamak dari Patani.

Almarhum membina Masjid Alauddin di Kuala Langat dan Baginda sendiri beberapa kali menyampaikan khutbah Jumaat dan Hari Raya di masjid berkenaan sehingga menambat hati rakyat ketika itu.
Baginda juga turut berkarya dan diantara bait-bait puisi nukilan Almarhum berbunyi: “Agama Islam amat sebenar, peraturannya cukup benar. Tetaplah padanya jangan nanar, beroleh kebajikan yang bersinar ... ``

Keprihatinan Almarhum Sultan Alauddin dituruti pula oleh anakanda putera sulung Baginda yang kemudiannya menggantikan Baginda atas takhta iaitu Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah ibni Al-Marhum Sultan Alaiddin Sulaiman Shah yang kemudiannya menjadi Yang Dipertuan Agong yang kedua.
Antara jasa terbesar Almarhum Tuanku terhadap Islam di Selangor adalah apabila Baginda mewakafkan sebuah istana di Jalan Kota Raja Klang untuk dijadikan sebuah Kolej Islam dikenali Kolej Islam Malaya dan kini dikenali Kolej Islam Kelang salah sebuah kolej Islam yang ternama dalam negara kini.

Jasa dan inisiatif Raja-raja Melayu seumpama ini dan banyak lagi yang tidak sempat dimuatkan terus menjadi sebutan rakyat zaman berzaman. Kerana itulah ketaatsetiaan rakyat terhadap Raja-raja Melayu sukar mahu dikikis buang.
Semoga usaha murni Sultan Kelantan Sultan Muhammad V dan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah diterus dan dilipatgandakan lagi pastinya dengan dukungan dan sokongan rakyat. Dan semoga kerja-kerja baik dan bermanfaat Tuanku berdua ini dicontohi dan dituruti pula oleh pihak istana yang lain demi meyakinkan rakyat bahawa istana dan rakyat itu sebenar dan sesungguhnya berpisah tiada. roslansms@gmail.com

No comments: