Friday, April 15, 2016

PAS tidak pernah lupa



 Ikuti ROSLAN SMS di Harakah (print) Bil. 2138 Edisi Isnin muka F17



Gerakan “Deklarasi Rakyat” yang dikepalai bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahahtir Mohamad bercita-cita untuk mengumpul 1 juta tandatangan dari rakyat Malaysia bagi mendesak agar Datuk Seri Najib Tun Razak melepaskan jawatannya sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Menurut Tun kiranya angka itu diperolehi petisyen diberi slogan “Selamatkan Malaysia” itu akan disembahkan ke Majlis Raja-raja bagi mendapatkan perkenan Duli-duli Tuanku agar tekanan dikenakan ke atas Najib untuk melepaskan jawatannya.

Tidak pula dinyatakan adakah Tun sendiri akan memohon mengadap Majlis Raja-raja atau akan berhimpun dan berarak ke Istana Negara dengan penyokong-penyokongnya. 

Begitulah agenda politik Tun setakat ini dan sejauh manakah gerakan “mengikut pintu belakang” ini diterima rakyat atau sebaliknya tidak pula diketahui. Yang pasti blok pembangkang Pakatan Harapan kelihatan bersungguh berkongsi agenda Tun walaupun ada kalangan pimpinan parti berkenaan yang kurang berkenan dan menjauhkan diri.

Malah ahli-ahli Umno yang didakwa kononnya akan berbondong bersatu di belakang Tun, Tan Sri Muhyuddin Yasin, Datuk Seri Mukhriz Mahathir menyokong agenda politik Tun ini rupa-rupanya tidak ramai kelihatan kecuali yang telah pencen dan memegang jawatan di zaman Tun iaitu lebih sekadar indah khabar dari rupa semata-mata.

Tambah ironinya lagi Tun dizaman beliau berkuasa sebagai Perdana Menteri dahulu telah terlibat dalam mengekang dan mengawal kuasa Raja-raja Melayu, pindaan perlembagaan dibuat ditambah dengan “roadshow” ke seluruh negara yang mengajak orang-orang Melayu khasnya bangkit memperlekehkan pihak istana.

Ini diperakui sendiri oleh Dr Aziz Bari yang dipetik dalam sebuah blog apabila beliau menyatakan:

“….pada 1983, Mahathir meminda perlembagaan supaya undang-undang boleh digubal tanpa persetujuan Yang di-Pertuan Agong. Selain itu, kuasa menggistiyharkan darurat juga dipindahkan daripada Seri Paduka kepada Perdana Menteri. Semua pindaan itu mencetuskan krisis.

Pada 1993, Dr Mahathir juga melucutkan kekebalan raja-raja Melayu dan mahu peruntukan undang-undang supaya baginda boleh diheret dan dibicarakan di mahkamah khas. Semua pindaan itu juga menimbulkan krisis. Dalam kedua-dua peristiwa itu, beliau juga menganjurkan perhimpunan di seluruh negara bagi membidas raja-raja (agar rakyat bangkit menyokongnya).”

Agaknya sebagai seorang Melayu, Tun telah lupa apa yang beliau lakukan berdekad-dekad dahulu.

Apa pun cita-cita Tun untuk melibatkan pihak istana dalam memanjangkan agendanya untuk menjatuhkan Perdana Menteri adalah merupakan suatu amalan yang asing yang tidak pernah digerakkan di Malaysia yang mengamalkan demokrasi berparlimen.

PAS enggan bersama sebarang usaha menjatuhkan Perdana Menteri selain dari yang mematuhi proses atau amalan demokrasi yang diterima pakai rakyat Malaysia selama ini. Sebagaimana ditegaskan Datuk Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang baru-baru ini bahawa perubahan kepimpinan perlulah melalui proses demokrasi dan bukan sebaliknya.

Menurut amalan demokrasi yang diguna-pakai, seorang Perdana Menteri boleh diturunkan samada melalui proses undi tidak percaya di Parlimen ataupun dalam proses Pilihanraya Umum setiap lima tahun sekali.

PAS bukannya mahu mempertahankan Najib malah PAS akui kepimpinan beliau penuh dengan kepincangan yang mengakibatkan negara dan rakyat berada di dalam suasana kemurungan. Najib diakui memang wajar ditukar. Namun demikian keharmonian dan kestabilan rakyat dan negara perlu didahulukan.

Pihak Istana tidak perlu dilibatkan dalam sebarang usaha seumpama ini kerana sebagai sebuah institusi “Raja Berperlembagaan” Duli-duli Tuanku mempunyai peranan Baginda masing-masing dalam hal-ehwal negara.

Dalam hal ini kuasa yang sewajarnya dilibatkan adalah rakyat sendiri. Rakyatlah yang akan menentukan nasib dan masa depan Perdana Menteri dan kerajaan sebagaimana rakyat jugalah yang menentukan survival politik BN dan blok pembangkang.

Di luar pilihanraya, wakil-wakil rakyat berkuasa menjatuhkan Perdana Menteri kiranya mereka punya suara majoriti di Parlimen, jika tidak maka mereka perlu berkerja meyakinkan rakyat agar membuat perubahan apabila tiba Pilihanraya Umum yang akan datang.

Ada pihak yang menuduh PAS bersekongkol dalam mengekalkan pemimpin yang zalim semata-mata kerana PAS tidak menyokong Deklarasi Rakyat yang dibawa Tun. Tuduhan seumpama itu ternyata tidak berasas kerana PAS punya hak untuk memilih pendekatannya sendiri. Memaksa PAS untuk menyokong agenda Tun itu bermakna tidak memberi kebebasan untuk PAS membuat pilihan, itu pun sesuatu yang zalim.

Bagi PAS yang lebih penting bukannya sekadar berubah dengan menjatuhkan Najib, sebagaimana yang diinginkan Tun, tetapi perubahan yang PAS tuntut dan kejar adalah perubahan total yang melibatkan penghapusan sistem dan amalan yang sedia ada dan digantikan dengan alternatif yang lebih baik dan efektif.

PAS tidak mahu menjatuhkan Najib tetapi melihat Umno kekal berkuasa sebagaimana dihajati Tun, mengekalkan suasana sedemikianlah sesungguhnya suatu kezaliman yang tidak boleh diterima rakyat.

PAS berbeda pendekatan dengan Tun dan konco-konconya. Perbedaan berkenaan bukannya bermakna menyokong Najib dan Umno serta BN untuk kekal berkuasa tetapi sebenarnya kerana mahukan penyelesaian yang lebih komprehensif, bukannya yang separuh masak dan semakin berserabut.

PAS kenal dan pernah berhadapan dengan Tun berdekad-dekad lamanya, sebagaimana PAS kenal Najib hari ini. Tun dan Najib masing-masing punya saham dalam mencetuskan suasana politik, ekonomi dan yang sosial yang kelam dan tidak menentu hari ini sebagaimana mereka masing-masing punya saham dalam menzalimi Datuk Seri Anwar Ibrahim dan PAS tidak pernah lupa.

PAS tidak akan tergiur melepaskan sesuatu yang ia pegang dengan penuh taat dan setia semata-mata kerana mahu memeluk pihak lain yang ia tahu pincang dan tempang. roslansms@gmail.com

No comments: