Friday, April 15, 2016

PAS sebagai alternatif terbaik buat rakyat




Ikuti ROSLAN SMS di Harakah (print) Bil. 2139 Edisi Jumaat muka F16


Satu perhimpunan aman membantah perlaksanaan DLP iaitu “Dual Language Programme” ataupun  Program Dwibahasa yang mula diperkenalkan secara rintis melibatkan 300 buah Sekolah Menengah Kebangsaan bermula 2016 ini telah diadakan di Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Saya sempat menghadiri himpunan berkenaan yang dianjurkan oleh NGO Kongres Rakyat, Gerakan Mansuh PPSMI (GMP) dan Gerakan Isu-isu Pendidikan Kebangsaan (GIPK) dengan kerjasama PAS.

Himpunan membantah perlaksanaan DLP ini turut dihadiri oleh tokoh-tokoh Bahasa dan akademik selain para pendidik dan bekas pegawai-pegawai kanan kementerian yang berkaitan. Saya kagum dan terharu melihat tokoh-tokoh pejuang dan pengamal Bahasa Melayu yang hebat-hebat ini boleh bersama berhimpun dalam satu majlis anjuran PAS, semata-mata untuk meluahkan protes dan bantahan mereka terhadap DLP ini.

Menurut mereka pihak kerajaan tidak pernah melibatkan mana -mana diantara mereka pun dalam membincang perlaksaan program ini sedangkan merekalah merupakan pakar dan tokoh-tokoh akademik ternama yang seharusnya menjadi rujukan dalam apa-apa sahaja isu atau program yang melibatkan Bahasa Melayu.

Mereka rata-rata bimbang setelah kegagalan program PPSMI ataupun “Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris” pihak kerajaan seakan enggan mengambil iktibar dan terus memperkenalkan pula program baru yang kesannya terus mengancam kedudukan dan status Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan.

Mereka yang berhimpun bukannya menolak kepentingan Bahasa Inggeris, namun pembelajaran bahasa berkenaan jangan sampai merugikan rakyat terutama dalam menguasai ilmu yang disasarkan selain melarikan tumpuan terhadap penguasaan Bahasa Kebangsaan itu sendiri.

Mereka yang berhimpun sedar bahawa pihak kerajaan tidak kelihatan mahu kendur dalam perlaksanaan program ini namun himpunan berkenaan adalah permulaan dan protes secara aman dalam berbagai bentuk yang melibatkan lebih ramai pihak berkepentingan khususnya para NGO akan terus dipertingkatkan sehingga perkara ini diberi perhatian serius oleh pihak kerajaan.

Malah antara cadangan yang dilontarkan dalam himpunan berkenaan termasuklah menyembahkan protes sehingga ke pengetahuan Raja-raja Melayu demi menyelamatkan keutuhan Bahasa kebangsaan kita.

Apa pun saya melihat penyertaan PAS dalam menjuarai isu ini selain beberapa isu kemasyarakatan yang lain sebelum ini membuktikan bahawa PAS sesungguhnya adalah sebuah parti yang benar-benar memahami dan bersama denyut nadi rakyat. PAS kelihatan telah terjun ke dalam lubuk permasalahan rakyat dan bersedia menjadikannya sebahagian dari perjuangannya.

Selain bantahan DLP ini PAS turut bersama rakyat dalam mengharungi keperitan mereka dalam baba kenaikkan kos hidup melalui gagasan Kongres Rakyat sebelum ini, selain membantah perlaksanaan GST, menyuarakan rintihan penoreh getah di Sik, Kedah dan dalam banyak isu lagi.

Sikap proaktif PAS jujur dan ikhlas dalam menjuarai isu-isu masyarakat ini selain istiqamah memperjuang dan mempertahankan prinsip dan dasar Islam meletakkan PAS sebagai pejuang rakyat yang benar-benar mewakili kepentingan dan kebajikan rakyat.

PAS perlu terus komited dalam mendepani isu-isu seumpama ini kerana rakyat yang sedang kecewa dan hilang keyakinan pada Umno dan BN pasti sedang teraba-raba mencari-cari alternatif yang berupaya menjadi pilihan terbaik mereka bagi menggantikan parti yang semakin goyang dan malap itu. 

Dalam himpunan di Taman Tasik Titiwangsa itu sendiri kita boleh melihat betapa tokoh-tokoh pejuang dan pengamal Bahasa Melayu yang hadir begitu berbangga dan berbesar hati dengan kesudian PAS melibatkan diri dalam isu kepentingan rakyat ini dan malah mereka secara terbuka menyatakan kesediaan untuk memberikan sokongan politik pada PAS dalam membawa perubahan menjelang Pilihanraya Umum akan datang.

Begitulah kedudukan PAS pada hakikatnya hari ini.

Hasil dari kesabaran, komitmen dan kesungguhan ahli-ahli dan pimpinannya sejak berdekad-dekad lamanya, hari ini rakyat sudah mula mengenali dan terbuka hati mereka pada PAS dan tambahan pula diketika parti tunggak yang memerintah negara yakni Umno mula menunjukkan tanda-tanda bermasalah dan goyah, rakyat termasuklah ahli-ahli dan penyokong Umno semakin berlembut dan sejuk hati untuk mendekati dan bersama PAS.

Politik perkauman, politik agresif, politik yang beragendakan kepentingan peribadi dan kelompok tertentu sudah tidak ada tempat di hati rakyat Malaysia. Apatah lagi politik yang mahu mencetuskan huru-hara dan penglibatan serta campurtangan kuasa asing dalam permasalahan negara pastinya ditolak rakyat.

Politik PAS lah dewasa ini yang paling siuman dan dilihat paling relevan dan disenangi rakyat. Atas hakikat itu kita turut yakin rakyat di Sarawak contohnya yang bakal menghadapi Pilihanraya Umum Negerinya akan turut meletakkan PAS sebagai alternatif dan pilihan terbaik buat mereka khususnya di 11 buah kerusi DUN yang akan PAS tandingi dalam pilihanraya di Bumi Kenyalang itu.

Bantahan DLP ini diikuti dengan isu-isu lain yang menjejas dan membebankan kehidupan dan masa depan rakyat perlulah terus diberi perhatian oleh PAS dan kepimpinannya. Dengan kekuatan jentera PAS diseluruh negara PAS bakal terbit sebagai alternatif terbaik buat rakyat Malaysia dalam Pilihanraya Umum yang akan datang.
Semoga Blok Ketiga yang dipelopori PAS akan terus dimantapkan, semoga tahaluf siyasi PAS-PKR diperkasakan, rakyat Malaysia bakal melihat perubahan ke arah kebaikan berlaku dalam waktu yang terdekat. roslansms@gmail.com

No comments: