Tuesday, April 26, 2016

BN Sarawak jangan lari dari bertanggungjawab isu nasional

Ikuti ROSLAN SMS di Harakah (print) Bil. 2142 Edisi Isnin muka F16

Sarawak merupakan negeri yang terbesar di Malaysia dan keluasannya iaitu 124 449 kilometer persegi hanya kurang sedikit dari keluasan keseluruhan Semenanjung Malaysia iaitu 130 598 kilometer persegi.

Pada 7 Mei 2016 nanti lebih 1.1 juta rakyat Sarawak yang berdaftar sebagai pengundi layak untuk keluar dan membuang undi di daerah mengundi masing-masing. Dan Dewan Undangan Negeri Sarawak kini mempunyai 82 kerusi DUN berbanding 71 pada pilihanraya yang lepas iaitu pertambahan 11 kerusi menjadikan Sarawak satu-satunya negeri yang mempunyai kerusi DUN yang terbesar di Malaysia.

Kedua terbesar adalah Sabah dengan 60 kerusi diiikuti Perak 59, Selangor dan Johor masing-masing 56 manakala Pahang 42. Terkecil adalah Perlis dengan cuma 15 kerusi DUN.

Barisan Nasional juga akan diketuai oleh Pengerusi yang baru dalam Pilihanraya kali ini setelah Tan Sri Adenan Satem menggantikan Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud sebagai Ketua Menteri.

BN Sarawak menjangkakan dengan muka baru yang memegang kemudinya, walaupun Tan Sri Adenan sudah berusia 72 tahun, ia mampu memulih imej parti berkenaan yang sedia tercalar di hati rakyat Sarawak ekoran beberapa skandal dan kepincangan Ketua Menteri dan pentadbiran yang lepas.

Namun mampukah kecurigaan dan kemarahan rakyat itu terpadam dengan hanya pertukaran individu untuk memegang tampuk pentadbiran negeri sedangkan keliling-kelalangnya masih muka-muka lama termasuklah Tan Sri Adenan sendiri dan yang kekal berkuasa adalah parti-parti komponan BN yang sama.

Dalam pada itu kenaikkan kos hidup terus menghimpit rakyat Sarawak selain bebanan GST yang terpaksa dipikul semua.

Melihatkan begitu banyak biawak hidup yang terpaksa dipikulnya yang datang dari kepincangan Pusat, Tan Sri Adenan dengan lantang cuba memberishkan dirinya apabila mencabar parti-parti lawan untuk menghadapinya dalam Pilihanraya Sarawak ini dengan hanya memberi tumpuan pada isu-isu tempatan atau isu-isu Sarawak semata-mata.

Jangan seret isu-isu nasional ke dalam pilihanraya ini katannya kerana isu-isu berkenaan dakwanya tiada kaitan dengan Sarawak. Benarkah begitu?

Bukankah kesemua parti komponan Barisan Nasional Sarawak bernaung dan merupakan anggota komponan BN Pusat? Bukankah anggota-anggota komponan BN Sarawak turut duduk dalam kabinet BN Pusat dan dengan itu merupakan sebahagian dari anggota kerajaan yang memerintah diperingkat Persekutuan.

Sarawak merupakan sebahagian dari Persekutuan Malaysia. Ketua Menteri Sarawak tidak boleh pada mata rakyat meleraikan ikatannya dalam memikul pertanggungjawaban akan apa sahaja kepincangan dan skandal diperingkat Persekutuan kerana parti-parti komponannya menyumbang kepada pembentukan kerajaan Persekutuan BN dan masing-masing duduk dalam kabinet.

Bagaimana mahu mencuci tangan yang sedia kotor sedangkan kekotoran itu masih bertepek kekal pada tangan laksana dakwat kekal?

Malah jangankan isu nasional, isu-isu negeri juga masih banyak belum selesai, dan ia tidak selesai dengan hanya penggantian Ketua Menteri sebagaimana kepincangan kerajaan Datuk Seri Najib di Putrajaya tidak boleh dihapuskan dengan semata-mata menggantikannya dengan mana-mana tokoh Umno juga.

Rakyat Sarawak berhak untuk mendapatkan penjelasan dan jawaban atas isu ketempangan dan kepincangan pentadbiran dan pengurusan negara hasil dari kepimpinan BN Pusat kerana mereka merupakan sebahagian rakyat Malaysia. Demikian juga mereka perlu diperjelaskan berkenaan segala kepincangan dan skandal melibatkan BN Negeri sejak sebelum Tan Sri Adenan menjadi Ketua Menteri lagi kerana mereka pengundi dan rakyat Sarawak.

Calon-calon PAS yang bakal bertanding di sebelas kerusi DUN dalam Pilihnaraya itu nanti akan membawa kedua-dua isu nasional dan negeri keperhatian rakyat. PAS berjuang untuk menyelematkan rakyat dari segala bentuk kezaliman yang terbit dari kepincangan dan salahguna kuasa mereka yang diamanahkan untuk berkuasa tidak kiralah mereka itu samada yang berkuasa di kerajaan Persekutuan mahupun diperingkat kerajaan negeri.

Calon-calon PAS bakal mengemukakan pendekatan dan penyelesaian Islam. Mereka dan keseluruhan jentera PAS yang bertugas akan mengajak pengundi Sarawak khasnya di 11 kawasan kerusi yang PAS tandingi untuk menerima dan kembali kepada Islam satu-satunya penyelesaian yang mampu menyelamatkan kehidupan masyarakat dan rakyat.

Rakyat Sarawak perlu diberi pilihan memilih calon-calon yang lebih baik akhlak dan keperibadiannya serta mampu membimbing dan memimpin rakyat ke arah kebaikan jauh dari kepincangan dan segala bentuk kezaliman dan kemungkaran.

Rakyat Sarawak boleh melihat sendiri usaha dan khidmat PAS di kawasan-kawasan lain sebagai bukti yang hidup yang menunjukkan keikhlasan dan kesungguhan PAS dalam berjuang untuk membela dan mempertahankan nasib rakyat berlandaskan disiplin Islam. Di negeri-negeri yang PAS kuasai dan membentuk kerajaan campuran contohnya di Kelantan dan Selangor, kedua-dua negeri bebas dari sebarang bentuk kepimpinan yang menghimpit dan menyusahkan kehidupan rakyat.

Wakil-wakil rakyat PAS bergerak dan berkerja serta menyalurkan khidmat dengan prestasi yang baik dan disenangi rakyat dimana-mana sahaja mereka berada.

Sarawak diharapkan jangan ketinggalan dalam menaikkan calon-calon seumpama ini sebagai wakil-wakil mereka nanti.

Sesungguhnya senarai calon-calon PAS yang bakal bertanding di Sarawak kesemuanya mempunyai latarbelakang dan pengalaman yang luas dan cukup cemerlang. Inilah masa dan ketikanya untuk rakyat negeri Sarawak pula mencetuskan gelombang perubahan kerana gelombang ini kiranya bermula dari bumi Sarawak, ia bakal menggunung bergelora sehinga ke pantai dan bumi Semenanjung serta seluruh negara apabila kita menghadapi pula Pilihanraya Umum ke 14 nanti.

Ayuhlah saudara-saudara di Sarawak bangkit dan cetuskan perubahan. Apa yang anda lakukan hari ini bakal menyelamatkan bukan sahaja negeri malah seluruh negara dengan izin Allah swt nanti.

Selamat berpilihanraya dan memenangkan PAS. roslansms@gmail.com

No comments: