Wednesday, March 16, 2016

PAS melonjak ke hadapan dalam arus perdana politik negara

Suka ataupun tidak hakikatnya tumpuan masyarakat ramai khususnya orang-orang Melayu Islam hari ini adalah terhadap PAS. 

Setelah rela berpisah dengan DAP demi mempertahankan prinsip dan perjuangan Islam PAS terus dipandangan dengan penuh hormat. Lebih-lebih lagi apabila ia tenang menghadapi pengkhianatan dari mereka yang berjuang untuk agenda peribadi masing-masing PAS dilihat sebagai sebuah parti Islam yang matang dan tidak mudah goyang dan goncang walau menghadapi tekanan.

Ternyata Islam yang diamal dan diperjuangkan itu telah mematangkan PAS dan menjadi kekuatan baginya dalam menghadapi pelbagai cabaran.

Ini dipersetujui oleh Prof Madya Datuk Dr Samsu Adabi Mamat, dari UKM apabila beliau berkata sebagaimana dilaporkan oleh Sinar Harian hari ini:

“….perlu diingat PAS mempunyai kelebihan memandangkan parti itu tidak dibebani masalah apatah lagi mereka tidak menjalin kerjasama dengan DAP.

Ini mewujudkan persepsi terhadap orang Melayu bahawa PAS adalah harapan mereka kerana rakyat mahukan pemimpin yang baik dan mempunyai pegangan agama. Inilah kelebihan PAS dan peluang untuk mencari pengaruh”

Berbeza dengan Umno yang terpalit dengan pelbagai krisis dan masalah dalaman rakyat kelihatan mula cenderung dan berjinak dengan PAS.

Lantaran itu saya yakin dan percaya kiranya pimpinan PAS hari ini terus meneroka dimensi baru dan berjaya melompat keluar dari kekangan politik lama ketika bersama DAP dan para pengkhianat yang telah keluar parti, hati para pengundi Melayu Islam akan semakin lembut dan terbuka terhadap PAS.

Memperkasakan DHPP, “engagement” yang berterusan dengan pelbagai sektor masyarakat termasuklah NGO dan melalui Kongres Rakyat, menerima pakai Budaya Politik Matang dan Sejahtera, menerajui blok politik ketiga yang baru (yang bakal diumumkan sebentar nanti), adalah merupakan langkah-langkah proaktif yang akan melontarkan PAS ke hadapan sebagai parti yang terulung dan dominan dalam negara apabila meluru masuk sokongan para pengundi Melayu dan Islam selain masyarakat bukan Islam yang selesa dengannya.

PAS hari ini berada atas landasan perjuangan yang betul, dengan komitmen dan sokongan padu ahli-ahli yang istiqamah. Kebijaksanaan dan jauh bacaan politik pimpinannya akan memastikan ia sampai ke destinasi perjuangan, cepat ataupun lambat.

No comments: