Friday, March 11, 2016

PAS dan blok pakatan baru

Tajuk mukadepan NST hari ini
PAS sekali lagi mendominasi tajuk-tajuk akhbar tempatan hari ini. 

NST menyebut "PAS to form new opposition bloc" manakala Sinar Harian pula "Parti mana pilhan PAS", Utusan Malaysia pula "Pakatan baharu PAS".

Semua ini berkaitan dengan kenyataan Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan semalam yang menyatakan bahawa PAS akan membentuk sebuah gabungan  baharu pembangkang pada 16 Mac ini sebagai langkah persiapan menghadapi PRU ke 14.

Sebagaimana yang dimaklumi PAS enggan menyertai Pakatan Harapan yang membariskan PKR, DAP dan Pan oleh kerana ia tiada hubungan kerjasama dengan DAP dan Pan. Walaubagaimanapun PAS kekal menjalin kerjasama politik dengan PKR.

Sudah pastilah sebagai sebuah parti yang telah berkecimpung dalam politik tanahair lebih 6 dekad lamanya PAS memahami sangat seluk-beluk dan lanskap politik Malaysia. PAS merupakan sebuah parti yang memiliki dasar dan prinsip perjuangan yang jelas yang sudah pun dikenali dan diketahui oleh rakyat Malaysia.

Ia berperanan sebagai sebuah parti yang teguh dan tetap di atas pendiriannya melalui Pakatan Rakyat sehinggalah DAP membuat keputusan untuk memutuskan hubungan dengannya dan berkawan dengan parti baru yang ditubuhkan oleh para pengkhianat perjuangan PAS.

DAP tidak boleh terima PAS setelah sekian lama menjalin kerjasama dengannya. Dan PAS pun tidak teragak-agak memutuskan hubungan dengan DAP apabila ia mencabar dasar dan prinsip parti Islam berkenaan.

Namun PAS menyedari walaupun tanpa DAP ia terus diperlu dan dialu-alukan oleh rakyat Malaysia. Lantas meraikan sokongan berkenaan  PAS mengambil inisiatif untuk menghimpunkan semua pihak yang berkongsi cita-cita dengannya melalui satu pakatan politik yang baru.

Bagaimana dengan PKR?

Melalui sifir baru ini ternyata PAS tidak memutuskan hubungannya dengan PKR malah "third force" yang baru ini dijangka memberi ruang buat PKR untuk berperanan dan menjadi anggota.

Saya kira ianya hampir sama dengan Angkatan Perpaduan Ummah yang ditubuhkan atas inisiatif Tengku Razaleigh Hamzah dahulu yang membariskan PAS, Semangat 46, Hamim dan Berjasa pada PRU 1990. Walaupun Semangat 46 merupakan anggota APU ia juga menganggotai Gagasan Rakyat yang menghimpunkannya bersekali dengan DAP dan parti-parti lain tanpa PAS.

Ideanya untuk mengelakkan parti pembangkang bertanding sesama mereka dalam menghadapi BN.

Mungkin sukar buat PKR kiranya ia menganggotai kedua-dua blok, kerana bimbang tentangan anggota PH terhadap idea berkenaan. Namun demikian sebagai salah sebuah parti yang kanan dalam blok pembangkang PKR perlu matang dan sepatutnya boleh meyakinkan pihak PH. Takkanlah kerana itu PKR mahu putus hubungan dengan PAS, parti yang paling ke hadapan membantu Datuk Seri Anwar di awal-awal kebangkitan Reformasi dahulu ketika DAP masih teragak-agak dan Pan tidak wujud lagi.

Blok baru ini akan menjadi bukti betapa bersungguhnya PAS dalam mahu membawa perubahan total buat rakyat Malaysia dengan mengemukakan satu alternatif yang lebih mantap dan meyakinkan rakyat. 

Tiada parti chavunis, ekstrim di dalamnya. Tiada anggota yang berjuang untuk agenda peribadi mahupun mengejar jawatan dan kedudukan. Yang ada adalah mereka yang ikhlas mahu menyelamatkan negara dari kancah kehancuran dengan mengemukakan alternatif yang lebih baik buat rakyat Malaysia.

 "Third force" yang baru ini dijangka membariskan beberapa parti di Semenanjung termasuk dari Sabah dan Sarawak selain NGO-NGO yang bersama dengan perjuangan PAS selama ini khasnya dari Kongres Rakyat.

Yang penting blok baru ini akan terdiri dari angoota-anggota yang saling hormat-menghormati prinsip dan dasar parti masing-masing dan tidak sekali-kali akan masuk campur dan mempengaruhi urusan dan rumahtangga parti lain.

Semoga jalan baru yang diteroka PAS ini diterima dengan baik oleh rakyat Malaysia dan seterusnya semoga ia dapat segera menyusun gerak-kerja bersama bagi menyedarkan rakyat agar berani membuat perubahan dalam PRU akan datang demi menyelamatkan agama, bangsa dan negara dari terus lumpah dan punah angkara BN.


No comments: