Muhyuddin dicah keting di perhimpunan agung

Monday, November 30, 2015

Ikuti ROSLAN SMS di Harakah (print) Bil. 2101 Edisi Isnin muka F17



Sudah sah Majlis Tertinggi Umno telah pun memutuskan bahawa buat pertama kali dalam sejarah Umno, Timbalan Presidennya tidak akan merasmikan persidangan tahunan sayap-sayap Pemuda, Wanita dan Puterinya tahun ini.

Tan Sri Muhyiddin Yasin yang tiada lagi jawatan dalam kabinet itu setelah digugurkan, akan digantikan oleh Ketua-ketua sayap masing-masing, sekaligus memecah tradisi Umno sejak sekian lama.

Sejak memilih untuk mengkritik kerajaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak secara terbuka, Muhyiddin semakin dianak-tirikan. Dalam sekelip mata beliau kini menjadi “api dalam sekam, gunting dalam lipatan” disisihkan oleh mereka yang berkuasa dalam parti Melayu tertua itu.

Sekurang-kurangnya apabila Tan Sri Musa Hitam berundur sebagai Timbalan Perdana Menteri dahulu kerana berlaga-angin dengan Perdana Menteri ketika itu Tun Dr Mahathir Mohammad, Musa yang masih Timbalan Presiden Umno, masih dijemput merasmikan persidangan Pergerakan Pemuda dan Wanita Umno.

Bezanya Musa Hitam dahulu berundur secara terhormat, manakala Muhyiddin dipecat. Itulah barangkali yang mencetuskan kebimbangan dihati Najib, iaitu kemungkinan Muhyiddin akan menggunakan platform sebagai Timbalan Presiden membelasah Najib pula kalau dibenarkan merasmikan persidangan berkenaan.

Cuma sebagai penghias kata, Majlis Tertinggi Umno mengumumkan bahawa keputusan tersebut diambil atas kononnya permintaan ketua-ketua sayap.

Muhyiddin mengeluh dan merintih, apalah dosanya terhadap Umno sehingga diperlakukan sedemikian. Kini beliau sedar bagaimana hebatnya budaya “cah keting” dan politik cantas-mencantas dalam Umno. Dulu semasa tidak kena atas batang hidung sendiri, tidak terasa. Hari ini Muhyiddin menjadi mangsa menanggung derita dan peritnya.

Saya tidak pasti apa pula helah Umno nanti semasa Perhimpunan Agungnya selepas selesai sayap-sayap bersidang. Kerana mengikut tradisinya Timbalan Presiden akan diberikan slot dalam ucapan penangguhan sebelum giliran Presiden. Atau apakah maklumat bahawa Muhyiddin akan digantung keahlian sebelum perhimpunan benar-benar jadi nyata nanti?

Demikianlah kusut dan berkecamuk pengurusan dan pentadbiran Umno hari ini. Umno bawah Najib menjadi semakin gelabah, takut pada bayang-bayang sendiri dan secara terbuka menjadi bahan senda gurau dan dilekehkan masyarakat.

Sekurang-kurangnya PAS walau berhadapan berbagai kemelut dalaman parti, tiada pula mana-mana kelompok yang disekat atau dihalang berucap semasa Muktamarnya. Tiada pula Timbalan Presiden yang tidak sehaluan dengan Presiden dihalang dari merasmikan Muktamar Pemuda dan Muslimat. Itulah beza PAS dan Umno buat mereka yang tidak maklum.

Ternyata perkembangan yang berlaku menjadikan Umno semakin menguncup. Tiada lagi boleh ia dakwa dirinya sebagai parti pembela masyarakat Melayu yang terbuka dan prihatin. Melalui tindak-tanduknya Umno hari ini menjadi semakin eksklusif, satu kuasa politik yang dikuasai gerombolan tertentu yang memimpin secara autokratik, tiada lagi meraikan suara akar-umbi dan ahli kebanyakkan.

Kalau mahu naik dan menjadi pemimpin dalam Umno, berdasarkan pengalaman Muhyiddin ini, jangan pandai-pandai atau berani melawan arus. Kalau mahu selamat, kalau mahu kekal pada jawatan dan kedudukan, terlepas dari menjadi mangsa “cah keting” maka puji dan pujalah para pimpinan teratas sehingga melangit tingginya. Lagi tinggi lagi selamat.

Dalam pada itu Umno yang bercelaru terus mengeluarkan keputusan yang makin menyempitkan survival masadepannya.

Dalam pada menyisihkan Muhyiddin dari arus perdana parti, terbaru, Umno juga sedang menimbang-nimbangkan untuk menyaring atau mungkin menyekat pula sama-sekali liputan media dalam Perhimpunan Agungnya kali ini. Keputusan muktamad belum dibuat namun kemungkinannya sangat besar.

Kononnya menurut Setiausaha Agung Umno Tengku Adnan Tengku Mansor pihak media gemar memutar-belitkan laporannya. Beliau mungkin menjangkakan perhimpunan partinya kali ini “panas” apatah lagi berikutan tindakan yang dikenakan terhadap Muhyiddin dan tindakan semakin lantang dari cawangan-cawangan Umno seluruh negara yang mahukan Najib melepaskan jawatannya sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Najib sudah pasti menjadi sasaran utama para perwakilan dan jurucakap semasa pehimpunan Umno itu nanti.

Sesungguhnya bahang dan bahana tekanan ekonomi yang mengakibatkan mencanak naiknya kos sara hidup rakyat, bukan hanya menghantui orang bukan Umno, malah ahli dan pimpinan akar-umbi Umno pun turut sesak dan lemas angkaranya. Skandal 1MDB dan pelbagai kepincangan lain sudah menghakis dan menghilangkan kepercayaan ramai terhadap beliau.

Inilah faktor yang membimbangkan pimpinan Umno hari ini.

Mampukah mereka menyekat kebangkitan ini, atau ianya nanti akan melimpah bagaikan tsunami menghanyutkan keseluruhan pimpinan dan pasukan Najib malah dengan Umno sekali kecundang?

Kita tidak mahu kegagalan Umno ini dinisbahkan oleh rakyat sebagai kegagalan kepimpinan politk Melayu dan Islam. Kita tidak mahu ketempangan dan kepincangan kepimpinan Umno mengakibatkan ahli-ahlinya yang lebih 3 juta itu bergayut pada sistem dan ideologi lain yang asing dan hanyut jauh dari Islam.

Kerana itu PAS bangkit menghulurkan tangan sebagai penasihat atas platform kebenaran Islam. Hakikatnya orang-orang Melayu merupakan majoriti penduduk dalam negara ini dan sewajarnya kekal sebagai teraju memimpin rakyat berteraskan Islam. Namun jangan mudah kita berputus asa.

Benar pimpinan Umno sudah gagal dan tidak bertenaga lagi untuk membaik-pulih negara. Dalam keadaan demikian orang-orang Melayu dan majoriti ahli-ahli Umno sewajarnya menyahut ajakkan dan seruan Islam yang dibawa dan dikepalai oleh PAS.

Tiba masanya kita bersama menyelamatkan negara dan mengelakkan umat dari berpecah dan tidak ketahuan hala. Umno sudah gagal tetapi jangan kita hilang keyakinan kepada kepimpinan Melayu dan Islam kerana jika Umno gagal, PAS penuh dengan kepimpinan yang ikhlas, jujur dan bertenaga yang berupaya memandu umat dan negara berlandaskan Islam.

Semoga kita semua kembali kepada Islam demi kesejahteraan dan keselamatan rakyat dan negara. roslansms@gmail.com

Siapa yang sebenarnya "memperkuda" dan "diperkuda"

Tidak cukup dengan mengkhianti perjuangan PAS apabila lari menubuhkan parti baru. Tidak cukup dengan “mencuri” kerusi yang dimenangi atas tiket PAS. Tidak cukup dengan melanggar sumpah baiah yang diangkat dengan kerelaan diri. Beliau terus menyerang PAS dan kepimpinannya jika dulu dari dalam kini dengan ghairah dan bebas dari luar pula.

Khalid Samad terbaru mendakwa PAS "memperkudakan" PKR dengan meminta parti itu menghalang PAN bertanding dalam pilihan raya umum akan datang khususnya melibatkan kerusi PAS melawan Umno.

Barangkali beliau sungguh terganggu dengan hubungan baik PAS dan PKR dan kini merasakan hubungan itu bakal mengancam kedudukannya dan partinya yang baru lahir mengejut itu.

PAS dan PKR tidak pernah memperkuda atau diperkuda.

Beliau sendiri tahu betapa akrabnya hubungan kedua parti itu, tetapi hari ini kerana PAS sudah menjelma sebagai musuh pada matanya, maka segala yang dilakukan PAS perlu diserang dan diperlekehkan, beliau memang “specialist” atau pakar dalam menyerang dan memburukkan sesiapa sahaja sejak dari dulu lagi.

Apa perlu PAS “memperkudakan” PKR kononnya untuk menghalang PAN dari bertanding pada PRU akan datang. PAS telah tegaskan ia akan kekalkan “status quo” dan bertanding di semua kerusi yang diperuntukkan kepadanya pada PRU lalu, jika adapun perubahan saya yakin ianya melibatkan pertukaran kerusi atas dasar suka sama suka antara PAS dan PKR.

Siapa PAN?

PAS tiada hubungan dan tidak pernah mengiktiraf PAN.

Dan PAS sedar ia tidak boleh memaksa PKR dalam hubungan mereka dengan Pakatan Harapan, tetapi jika ditakdirkan tiada pilihan lain dan PAS perlu bertembung dengan PAN dan BN dalam pertandingan tiga penjuru, PAS tidak perlu mengadu atau berlutut pada PKR, PAS bersedia lawan siapa sahaja, termasukllah PAN yang tidak pernah ia iktiraf.

Dalam kes Parlimen Shah Alam contohnya, apa faedah PAS perkuda PKR atau sesiapa sahaja kerana sudah pasti PAS akan bertanding dan seluruh jentera PAS akan berkerja keras merampas kembali kerusi PAS yang telah dicuri secara tidak amanah itu.

Mungkin kerana sudah terlalu manja, dan lama dibelai dan diusap diberi dedak serta diperkuda oleh DAP, tiba-tiba bila nampak PAS dan PKR terus akrab, timbul cemburu dalam hati Khalid sehingga mencipta cerita baru untuk menganggu hubungan baik PAS dan PKR.

Khalid ni memang tukang karut berbakat luarbiasa mengalahkan Sabri Yunus dalam “Karoot komedia”. Mungkin jika tidak ahli parlimen lagi Astro boleh mengambil beliau ganti Sabri.

Jangankan orang PAS, orang-orang PKR pun saya percaya kenal sangat peribadi dan akhlak Khalid Samad dan tiap-tiap seorang golongan kecewa yang melukut tepi gantang dalam PAN itu.

Khalid tak perlu berlakon dan menagih simpati. Beliau dan PAN boleh bertanding dimana sahaja kerusi PAS, insyallah jentera dan ahli PAS menunggu-nunggu, tidak sabar, untuk mengajar mereka yang telah mengkhianati perjuangannya itu.

Pergilah mengadu pada DAP, pergilah melutut pada mereka kerana sesungguhnya yang jelas membenarkan diri mereka ditunggangi sejak dari dalam PAS lagi adalah kalangan mereka yang kecewa dan kini duduk dalam PAN. DAP menunggang mereka sejak sebelum PAN lagi dan kini ada PAN mereka terus ditindik hidung dan ditunggangi semahu nafsu DAP.

Cerminlah diri sebelum nak mengata orang.

Demokrasi sudah terkubur Umno bila lagi?

Saturday, November 28, 2015

Masih adakah demokrasi dalam Umno? 

Menurut Datuk Hamidah Othman bekas Ketua wanita Umno Gopeng yang dipecat oleh MT Umno baru-baru ini,  "Demokrasi dalam parti (Umno) telah berkubur".

Kata beliau buktinya adalah proses pemecatannya itu tidak mengikut prosedur yang diamalkan Umno. Selain itu katanya budaya menutup mulut ahli-ahli Umno juga tanda betapa demokrasi dalam Umno telah mati. Malah kini katanya sudah ada usaha menghalang orang-orang tertentu dari bercakap dalam Perhimpunan Agung Umno Disember ini.

Beliau dipercayai dipecat kerana menganjurkan program Diskusi Bicara Negara yang menjemput bekas PM dan Presiden Umno Tun Dr Mahathir sebagai penceramah. 

Sementara itu dalam NST online hari ini, Ketua Pemuda Umno Malaysia Khairy Jamaluddin pula mendakwa bahawa Umno lah parti yang paling demokratik dalam negara berbanding parti-parti politik yang lain. Buktinya para perwakilan di bahagian-bahagian bebas mengundi menentukan pucuk pimpinan partinya. 

Selaku Ketua Pemuda dan orang kanan Presiden Umno, sudah pastilah Khairy mahu mempertahakan "boss" nya terutama dari serangan berani Hamidah itu.

Takkanlah beliau mahu bersetuju dengan menyatakan memang demkorasi telah mati dalam Umno. Sebagai pemimpin muda Khairy tentu sahaja beliau mengidamkan jawatan lebih kanan selepas ini, jika Najib yang dulu Ketua Pemuda boleh hari ini menjadi PM, mengapa tidak Khairy satu hari nanti?

Oleh itu jangan lawan arus, ikut sahaja, jika tidak anda akan hanyut dan tersisih sebagaimana Hamidah dan selepas ini Muhyiddin dan Shafie Apdal.

Begitulah demokrasi versi Umno. 

Betullah kata Khairy para perwakilan bebas mengundi dalam Umno, tetapi barah "politik wang" yang merupakan budaya yang lahir dari perut Umno itu meletakkan kebebasan mengundi yang dimaksudkan Khairy itu bagaikan satu dongeng.

Benar perwakilan bebas mengundi tetapi undiannya sudah dipengaruhi oleh "RM" yang bukan sikit-sikit disumbatkan ke dalam kocek masing-masing.

Takut berkata benar, dan belayar ikut arus sebagaimana sikap Khairy di atas sesungguhya membenarkan hujah Hamidah.

Ketua Pemuda yang dizaman awal Umno dahulu lantang-lantang belaka hari ini tumpul taringnya, dari singa garang dizaman Allahyarham Jaafar Albar, Haurn Idris, hari ini menjadi tikus mondok yang montel tunggu diusap dan diberi makan.

Sekatan terhadap Muhyiddin merasmikan Persidangan Tahunan sayap-sayap Pemuda, Wanita dan Puteri 8 Disember ini adalah bukti kebebasan bersuara sudah tiada dalam Umno.

Hamidah yang mahu membuka peluang kepada ahli-ahli Umno mendengar versi Tun Dr Mahathir, mengulas isu-isu semasa berkaitan Umno, terkorban akibat keberaniannya. Masih adakah kebebasan dan demokrasi dalam Umno kalau begitu?

Porak-peranda dalam Umno dijangkan lebih serisu dan meruncing selepas ini.

Kalau hari ini demokrasi dalam Umno telah terkubur, barangkali Umno sendiri tidak lama lagi turut akan ditalkinkan. Sama-samalah kita tunggu.
 

Itulah sahabat saya MSO

Friday, November 27, 2015

Saya mengenali Mohd Sayuti Omar atau MSO sekitar musim Reformasi lewat 1990an ketika kami masing-masing rancak menulis. Saya lebih rapat dengan beliau sekitar tahun 2005. Sebagai seorang blogger tulisan-tulisan beliau samada dalam akhbar, buku-bukunya dan blog banyak saya baca walaupun tidak semestinya saya setujui. Saya perhatikan beliau menulis tanpa ada sempadan dan batas pantang-larang. Beliau berani kerana itu sering memijak kaki orang lainsamada secara sengaja atau tanpa disedari.

Itulah sahabat saya MSO.

Semasa saya memegang jawatan Setiusaha Akhbar Presiden PAS saya begitu rapat dengannya. MSO ini walaupun rupa fizikalnya kelihatan rock ala-ala Ramli Sarip, tetapi beliau amat memahami politik Islam dan sungguh menghormati para ulamak.

Tetapi dalam keghairahan beliau menulis, ikut apa sahaja yang terlintas dalam kepalanya, terkadang ulamak pun disasar dan diserangnya. Kerana itu saya terkilan apabila beliau banyak mengkritik Almarhum Ustaz Azizan Abd Razak dalam buku kontroversinya “Inside Story: Kejatuhan kerajaan PAS Kedah”, tetapi itu hak dan pandangan beliau walaupun saya yakin tidak ramai aktivis PAS Kedah dan saya sendiri boleh bersetuju dengannya dalam hal itu

Itulah sahabat saya MSO.

Siapa yang tidak pernah disasarkannya. Mahathir dijadikan bahan, Anwar Ibrahim pun tidak terlepas dari sindiran, begitu juga Tuan Guru Hj Abd Hadi, “Tiga Abdul”. Hari ini beliau intim dengan Husam Musa tetapi beberapa ketika dahulu beliau kuat mengkritik Husam sehingga menganggu Almarhum Tok Guru Nik Abd Aziz. Saya ada bersama beliau di Jalan Stonor apabila Almarhum nasihatkan beliau agar hentikan serangannya terhadap Husam kerana ketika itu PAS bakal berhadapan PRU 2008.

Saya dan beliau pun walau bersahabat pernah bertikam di dunia penulisan.

Sebentar tadi saya sempat mengiringi YB Ustaz Nasaruddin Hassan, Ketua Penerangan PAS Pusat menziarahi MSO yang baru sahaja selesai menjalani pembedahan thyroid di HUKM. Pertemuan pertama kami setelah tidak berkesempatan jumpa hampir 5 tahun.

Terus sahaja beliau bangkitkan isu saya pernah tuduh di rumah beliau tiada gambar Tok Guru Nik Abd Aziz satu ketika dahulu. Ketawa besar saya. Kata beliau pada YB Ustaz, dia mahu seret saya lihat rumahnya untuk tengok sendiri.

Sebenarnya isu yang dimaksudkan berkaitan dengan penilaian kami terhadap Mawi Juara Akademi Fantasia 2005. Berbeza dengan arti lain Mawi yang baru naik ketika itu lebih “Islamik” dari sudut keterampilan. Lalu apabila pihak media membuat liputan menyeluruh berkenaannya dan keluarganya, terdapatlah satu video yang menunjukkan gambar Tok Guru Nik Abd Aziz terpampang di dinding rumah Mawi.

Saya telah menulis memuji langkah kerajaan Kelantan mengundang Mawi membuat persembahan dan mengaturkannya berjumpa Tok Guru. MSO memilih untuk mengkritik langkah kerajaan Kelantan itu. Lalu bertikamlah kami di dunia penulisan.

Disitulah dalam satu tulisan saya ada saya menulis, “…sekurang-kurangnya di dinding rumah Mawi ada tergantung gambar Tok Guru, tidak pastilah ada gambar yang sama atau tidak di rumah MSO”

Lalu berbalahlah kami ketika itu.

Itulah sahabat saya MSO.

Ada orang kata MSO ini penulis upahan. Sama standard dengan Pak Habib. Saya tidak pasti tetapi pada saya MSO ini seorang yang mahu dilihat bebas dan bergerak ikut naluri dan kemahuannya. Beliau tidak mudah tunduk ikut kemahuan mana-mana pihak, kerana kalau beliau sudah bosan kawan pun boleh dilutunya.

Semasa beliau menjadi Ketua Pengarang dan penggerak akhbar Siasah dahulu, beliau berikan satu ruangan untuk saya. Katanya beliau suka cara penulisan saya (walaupun kami tidak selalu berkongsi pendapat yang sama) dan saya bebas menulis apa sahaja ikut gaya saya.

Kerana itu walaupun beliau banyak mengkritik dan menyerang pimpinan yang saya hormati dan kasihi hari ini termasuklah Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang dan MB Kelantan merangkap Timbalan Mursyidul Am PAS saya tetap hormati beliau. Walaupun nampaknya beliau lebih cenderung pada PAN dan tokoh tertentu, saya masih mengakaguminya.

Itulah sahabat saya MSO.

Apapun secara peribadi saya yakin dan percaya MSO tidak mahu melihat PAS roboh dan rebah apatah lagi di Kelantan. Perjuangan Islam PAS akan tetap disokong sehingga tercapai matlamatnya. MSO mungkin lebih rapat dan intim dengan tokoh dan individu tertentu, tetapi dalam keadaan begitu pun saya tahu jauh di sudut hatinya, sebagaimana beliau kasihkan Almarhum Tok Guru Nik Abd Aziz, beliau akan tetap bersama dan menyokong PAS.

Semoga sahabat saya cepat sembuh dan terus berkarya.

Banyak yang diceritakan kepada saya semasa mengunjungi beliau tadi dan banyak yang kami kongsi bersama tetapi lantaran hubungan kami, yang rahsia tetap rahsia, tidak akan dijadikan bahan untuk menjatuhkan sesama kami. 

Itulah sahabat saya MSO.