Najib, siapa api dalam sekam yang dimaksudkan?

Thursday, October 29, 2015

Ikuti ROSLAN SMS di Harakah (print) Bil. 2092 Edisi Jumaat muka F8



Jumaat lepas Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Dato Seri Najib Tun  Razak telah membentangkan Bajet 2016 dengan peruntukkan 267.2 bilion ringgit iaitu 6.5 bilion ringgit lebih berbanding peruntukkan dipinda 2015 yang memperuntukkan 215.2 bilion ringgit.

Anggaran kutipan hasil kerajaan Persekutuan bagi tahun 2016 adalah sebanyak 225.7 bilion iaitu peningkatan 3.2 bilion ringgit berbanding 2015.

Unjuran hasil dan perbelanjaan ini dijangka mewujudkan defisit fiskal yang menguncup pada 3.1 peratus untuk 2016.

Tema bajet Najib kali ini berbunyi : “Mensejahtera kehidupan rakyat”.

Bajet ini nanti akan dibahaskan oleh ahli-ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara sebelum diluluskan atau sebaliknya. Sekarang ini pun ia sedang hebat dikiritik dan diperbahaskan di media sosial dan media perdana.

Menteri Besar Selangor Azmin Ali umpamanya menganggap bajet berkenaan sekadar kelihatan indah di atas kertas tetapi hakikatnya terlepas pandang isu-isu besar seperti hutang isi rumah, alam sekitar dan masalah jerebu selain penguncupan nilai ringgit dan pergantungan negara pada hasil minyak.

Selagi rakyat tidak terlepas dari beban kos hidup yang meningkat, kesejahteraan mereka tidak akan terjamin, dan selagi itulah bukan hanya bajet malah keyakinan rakyat pada kerajaan Persekutuan akan semakin terhakis dan terkikis.

Tetapi bagi pemerhati politik selain membahaskan perincian Bajet 2016 ini, satu perkara yang menarik yang terkandung dalam ucapan Najib kali ini adalah serangan sinisnya pada satu sasaran yang spesifik.

Di satu bahagian ucapannya itu Najib menyebut:

“Lalunya berbicara tentang betapa susah dan jerih payahnya membina Malaysia yang tercinta ini kita berasa kesal bahkan sebenarnya kita amat-amat kesal dengan tindak tanduk tidak bertanggungjawab oleh musuh dari dalam mahupun luar yang cuba mempalit dan merosakkan imej negara ini.

Pada kita perbuatan segelintir pihak ini akan hanya memporak perandakan sampai boleh memusnahkan apa yang terbina selama ini.

Waima wujud setengah orang yang kita sendiri kadang-kadang tidak tersangka-sangka atau terduga-duga ibarat api di dalam sekam, menjadi gunting di dalam lipatan.”

Ucapan Bajet Menteri Kewangan dan dalam hal ini  juga Perdana Menteri Malaysia secara tradisinya di tayangkan secara langsung oleh TV dan siaran langsung radio selain teksnya tersiar dalam kebanyakkan akhbar keesokkan harinya.

Apabila ucapan sepenting itu mengandungi serangan sinis pada pihak-pihak tertentu sudah pastilah ia mengundang perhatian negara, siapakah agaknya yang dimaksudkan oleh Najib itu sehingga perlu memasukkannya dalam teks bajetnya itu.

Kata Najib beliau berhadapan dengan individu atau kelompok yang merupakan api di dalam sekam dan gunting dalam lipatan. Peribahasa Melayu yang dipetik ini merujuk kepada mereka yang mencetuskan onar dan mahu memporak-perandakan suasana sehingga merugikan semua pihak.

Sudah pastilah dalam suasana negara yang pincang akibat ditadbir oleh mereka yang tempang, kehadiran pengkhianat seumapama ini tidak akan membantu sama-sekali. 

Siapakah pengkhianat yang dimaksudkan Najib itu?

Kalau beliau menuding ke arah partinya sendiri, memang kebelakangan ini serangan bertalu-talu dilontarkan oleh pelbagai pihak dalam Umno khasnya terhadap beliau dan ini bukan rahsia lagi. Rakyat sudah mendengar dan membaca betapa Timbalan Presiden berserta Naib Presidennya telah mengkritik beliau secara terbuka dan mereka pun telah dilucutkan dari jawatan kabinet masing-masing. Bekas Presiden Umno Tun Dr Mahathir juga menyerang beliau dan demikian juga bekas Setiausaha Agung Umno Sanusi Junid. Dan tidak terkecuali ahli parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah.

Selain itu beberapa pimpinan Umno di peringkat cawangan dan bahagian disamping Pergerakan Pemuda dan wanita masing-masing dilaporkan turut mensasarkan Presiden mereka.

Adakah mereka ini yang dimaksudkan Najib yang mempunyai kemampuan memporak-peranda dan memusnahkan negara?

Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin antara yang pertama memberikan reaksi menafikan beliau dalam kelompok yang dimaksudkan. Dalam satu majlis forum anjuran sebuah akhbar harian baru-baru ini beliau dilaporkan berkata:

"Saya bukan gunting dalam lipatan atau api dalam sekam, tak mungkin saya akan berbuat begitu kerana saya sayangkan Umno,"

Setelah dilucutkan dari jawatan kedua tertinggi dalam negara sudah pastilah Muhyiddin akan menafikan beliaulah pengkhianat yang dimaksudkan Najib itu. Dan saya percaya beberapa orang suspek lain turut akan membuat penafian yang sama mungkin termasuklah Tun Dr Mahathir, Shafiee Apdal, Sanusi Junid, Tengku Razaleigh dan malah MB Kedah Mukhriz Mahathir.

Kalau semua menafi, siapakah pengkhianat yang dimaksudkan?

PAS umpamanya telah mengenal-pasti siapa pengkhianat dalam partinya, dan mereka ini pun telah keluar parti melahirkan parti baru, melepaskan PAS dari api dalam sekam dan gunting dalam lipatan yang mengancam kestabliannya selama ini.

Bagi Najib bagaimana, siapakah mereka itu?

Apabila Perdana Menteri mengumumkan ada anasir seumpama ini yang mampu mengancam kestabilan negara, beliau bertanggungjawab untuk menjelaskannya. Sekurang-kurangnya jika mereka itu telah melakukan sebarang kesalahan, tindakan undang-undang boleh diambil ke atas mereka.

Dalam keadaan negara pincang dengan kos hidup yang mencengkan dan ekonomi yang tidak menentu, kita tidak mahu kestabilan negara pula terancam.

Saya mengharapkan setidak-tidaknya ahli-ahli Parlimen PAS perlu bangkit semasa perbahasan Bajet 2016 nanti, minta Menteri Kewangan dan Perdana Menteri untuk jelaskan siapakah pengkhianat negara yang beliau maksudkan itu. roslansms@gmail.com
 

Mind your own business PAN!


Dato Takiyuddin Hassan, Setiausaha Agung PAS yang saya kenali seorang yang “low profile”. Beliau tidak banyak bercakap atau ringan mulut seperti sesetengah ahli politik, tetapi sedia menyatakan sikap dan pendirian apabila perlu.

Beliau seorang personaliti yang ramah dan mudah didekati namun istiqamah dalam perjuangan, kuat berpegang teguh pada prinsip dan dasar perjuangan, walau diwaktu susah mahupun senang.

Apabila terbaca kepala berita “Mind your own business, PAS tells Amanah” (Jaga tepi kain kamu sendiri PAS beritahu Amanah) dalam sebuah portal berita, dan kenyataan itu datangnya dari Datuk Taki, saya tersenyum, kerana itulah beliau.

Datuk Taki diminta mengulas kenyataan “pengkhianat PAS” Khalid Samad yang kononnya mewakili parlimen Shah Alam, baru-baru ini yang meminta PAS menjelaskan sikap dan pendirian politiknya. Menurut Khalid PAS bebas berkerjasama dengan sesiapa sahaja tetapi sikapnya mesti jelas.

Menurut Khalid lagi ia (PAS) tidak boleh berkempen sebagai sebuah parti pembangkang tetapi apabila menang berbaik-baik pula dengan pihak parti kerajaan. Ini menurut Khalid “tidak amanah”.

PAS sebenarnya tidak ada apa kerjasama dan hubungan pun dengan golongan pengkhianatnya setelah mereka menubuhkan parti baru dengan membawa lari kerusi-kerusi yang dimenangi atas tiket PAS termasuk kerusi Parlimen Shah Alam.

Tetapi bagi mereka kelihatan tidak boleh berlalu satu hari tanpa mengulas dan menyentuh PAS.

Inilah barangkali yang mendorong Datuk Taki untuk menyatakan: “Mind your own business” kepada Khalid dan partinya.

Kata Datuk Taki lagi

“You handle your own party members, we will handle our party. Don't make noise, strengthen your party first “

(Kamu (Khalid) jagalah hal ehwal ahli-ahli parti kamu, kami akan jaga parti kami. Jangan banyak buat bising, puatkan parti sendiri terlebih dahulu)

Memang sikap jaga tepi kain orang lain ni sinonim betul dengan puak-puak pengkhianat PAS ini. Tanpa segan atau silu mereka boleh sahaja berkata sesuka hati mereka tentang parti yang telah mereka khianati seolah-olah tiada apa yang berlaku.

Dan Datuk Taki menambah, lebih baik berkerjasama dengan musuh dari bekas kawan kerana bekas kawan ini tahu segala rahsia anda.

Apa pun kamu hal kamulah dan kami hal kami. Jagalah tepi kain sendiri kalau masih berkain.

Bila tiba masanya nanti dan ditakdirkan kamu putuskan mahu bertanding di kawasan-kawasan tradisi kami termasuklah parlimen Shah Alam, kami sekali-kali tidak akan berdiam diri malah akan bangkit menentang kamu habis-habisan.

Sebanyak mana tenaga dan kekuatan PAS digunakan untuk memenangi kerusi-kerusi yang telah kamu curi itu dahulu, maka kali ini kekuatan yang sama malah lipat kaliganda lagi akan digembelingkan untuk menghapuskan kamu.

Tahniah Datuk Taki.

PAS mahu rehatkan Umno tidak syak lagi

Wednesday, October 28, 2015

Apabila Presiden PAS menyatakan dengan tegas pendirian PAS, ramai yang goyang. Dan dalam keadaan itu ramai juga yang telah memutar-belitkan kenyataannya biarkan apa yang ditegaskan Tuan Guru itu di “spin” agar kelihatan PAS sudah tiada arah lain selain berpeluk dan bersatu dengan Umno dan BN.

Apakah yang telah dinyatakan oleh Tuan Guru itu sebenarnya?

Apa yang dinyatakan Presiden PAS di lobi Parlimen itu semalam sebenarnya bukanlah sesuatu yang baru buat PAS. Beliau sekadar menegaskan semula sikap dan pendirian PAS selama ini, ia bukannya baru pun.

Beliau nyatakan PAS mengambil pendirian menerang dan bukannya menyerang antara satu sama lain. Dan beliau menegaskan sebarang perubahan yang mahu diambil oleh sesiapa pun mestilah berteraskan Islam yang merupakan matlamat, dasar dan konsep PAS.
Bermakna PAS kekal atas pendiriannya sebagai sebuah parti dan gerakan Islam namun terbuka dan demi Islam bersedia berkerjasama dengan sesiapa pun.

Bukankah sekarang PAS berkerjasama dengan PKR dan DAP dalam mentadbir kerajaan negeri Selangor walaupun hakikatnya PAS dan DAP tiada hubungan politik antara mereka.

Lalu apakah yang diherankan?

Kiranya bagi merealisasikan cita-cita PAS untuk melaksanakan Hudud di Kelantan maka di Parlimen PAS perlu berkerjasama dengan parti-parti yang dianggotai oleh orang-orang Islam termasuk Umno, apa masalahnya?

DAP sendiri dalam memanjangkan agendanya pernah menyatakan sedia memberi sokongan menukar Najib dengan mana-mana pemimpin Umno lain, asalkan Najib tidak lagi menjadi PM. Itu bukan kerjasama dengan BN/Umno?

Sekurang-kurangnya bagi PAS, ia akan pastikan apa sahaja bentuk kerjasama samada untuk satu-satu tujuan atau kerjasama politik, ia mestilah demi Islam dan menghormati dasar dan matlamat perjuangan PAS.

Dalam keadaan tiada kerjasama politik antara PAS dengan Pakatan Harapan, yang kekal cuma hubungan politik bersama PKR, PAS kini muncul sebagai suatu kuasa politik Islam yang disegani dan diperhatikan.

PAS telah membuktikan kepada rakyat Malaysia bahawa ia konsisten dan istiqamah menjunjung Islam, dalam apa keadaan sekali pun. Rakyat Malaysia khasnya umat Melayu/Islam kini nampak bahawa kiranya mereka serius dan mahu memelihara Islam sebagai sebuah pegangan aqidah dan memperjuangkan cara hidupnya untuk dilaksanakan, maka tiada pilihan lain selain memilih dan mengangkat PAS.

Umno kini sedang serabut, walaupun ia parti terbesar mewakili Melayu/Islam dalam negara, namun tindak-tanduk, sikap dan perbuatannya mula mengakibatkan orang-orang Melayu/Islam khasnya berfikir dua kali sebelum terus memberikan amanah dan keyakinan  kepada mereka lagi.

Umno telah diberi amanah dan mandat lebih 60 tahun, ternyata hari ini amanah dan mandat itu telah dipersiakan. Hidup rakyat semakin susah, ekonomi negara porak-peranda, dan sekuruh rakyat sedang meraung mahukan perubahan.

Dalam siatuasi inilah PAS ke hadapan menghulurkan tangannya untuk menyelamatkan rakyat dan negara yang tercinta.

Inilah parti yang tidak pernah tunduk pada tekanan serta menggadaikan prinsip perjuangan demi kepentingan dan agenda peribadi. Dalam senang dan dalam susah, bersama kawan atau tanpa kawan, PAS tetap berpegang teguh pada Islam yang diperjuangakannya.

Lantas, rakyat Malaysia yang dalam kelemasan yang sudah tiada pilihan selain menggantikan Umno, hari ini bolehlah meletakkan harapan pada PAS. Bangkitlah mulakan perubahan, Umno perlu dirihatkan dan gantinya sudah semestinya PAS,  tidak syak lagi.