Jasa dan warisan pemerintahan Mahathir

Thursday, August 27, 2015

Ikuti ROSLAN SMS di Harakah (print) Bil. 2075 Edisi Jumaat muka F8

Kalau di Amerika Syarikat mantan Presiden mereka diberikan penghormatan yang tinggi oleh rakyat dan negara. Mereka diiktiraf sebagai negarawan dan waktu persaraan mereka sering dipenuhi dengan kerja-kerja yang bermanfaat buat negara setimpal dengan kedudukan mereka sebagai bekas ketua negara.

Mengikt tradisinya mantan Presiden sering digunakan oleh Presiden yang berkuasa untuk mewakilinya dalam tugas-tugas khas diplomatik melibatkan negara lain seringkali sebagai wakil terutama dalam upacara-upacara rasmi luar negara termasuklah istiadat pengkebumian ketua negara, ulangtahun hari kebangsaan negara lain dan seumpamanya.
Mereka juga kadangkala terlibat diperingkat antarabangsa sebagai pemerhati pilihanraya, wakil damai dan yang setaraf dengannya.

Ringkasnya mantan Presiden biasanya bebas politik dan sejurus bersara mereka sering memelihara waktu persaraannya itu dengan tidak melibatkan diri dalam sebarang aktiviti, isu-isu apalagi masalah politik yang melibatkan negara mereka.

Di Malaysia kita punya lima orang bekas Perdana Menteri. Empat bersara manakala seorang iaitu Allahyarham Tun Abd Razak, meninggal semasa dalam perkhidmatan.

Almarhum Tunku Abd Rahman umpamanya sepanjang persaraannya telah benar-benar meletakkan dirinya untuk dihormati sebagai seorang negarawan. Mana sahaja ketua-ketua negara asing yang berkunjung ke tanahair biasanya akan mengambil kesempatan menziarahinya selaku Bapa Kemerdekaan Negara. Beliau demikian sehinggalah ke penghujung usianya apabila Umno diharamkan pada tahun 1988 dan Tunku mengambil sikap politik dengan menyebelahi Tengku Razaleigh Hamzah.

Begitu juga Allahyarham Tun Hussien Onn, kekal sebagai negarawan sepanjang 11 tahun persaraannya sehinggalah meninggal dunia pada tahun 1990.

Tun Abdullah Ahmad Badawi yang bersara sebagai PM Malaysia yang ke lima pada tahun 2009, pun begitu juga sehinggalah ke hari ini. Kehidupan persaraannya dipenuhi dengan aktiviti sosial dan kemasyarakatan walaupun menantunya terlibat secara langsung sebagai Ketua Pemuda Umno.

Ini berbeza sama-sekali dengan Tun Dr Mahathir Mohammad yang bersara sebagai PM pada tahun 2003 jauh sebelum Tun Abdullah. Tidak sebagaimana mantan PM yang lain-lain, Dr Mahathir kebelakangan ini semakin vocal, aktif berpolitik dan seolah ke hadapan dalam mengkritik dan campurtangan dalam urusan politik dan pentadbiran negara.
Ada yang mengatakan semakin lanjut usianya semakin kuat dan ligat beliau menyerang kerajaan.

Isunya jika pandangan-pandangan beliau itu jujur dan membina sudah pasti ia dihormati dan wajar diberikan perhatian. Cumanya Dr Mahathir ini seorang personaliti yang punya banyak sejarah yang silam yang tidak pernah disenangi banyak pihak. Jangankan PAS sahaja, PKR, DAP, NGO malahan mereka yang dalam Umno dan BN juga banyak menyimpan parut kerana terluka dizaman 22 tahun Dr Mahathir sebagai PM dahulu.

Dan hari ini ramai melihat Dr Mahathir memiliki kepentingan peribadi apabila beliau beria-ia menonjolkan diri untuk membelasah kepimpinan negara. Bukannya kita kasih atau mempertahankan kemungkaran pimpinan negara, malah kita juga terlibat dengan desakkan dan tuntutan merobohkan kemungkaran dan membina yang makruf atas runtuhan kemungkaran itu akan tetapi bagi Dr Mahathir ketara sangat agendanya.

Pertalian darah yang pekat bersama MB Kedah, Mukhriz berkemungkinan menjadi punca besar kesungguhan Dr Mahathir “berperang sabil” bersama PM dan kabinet.

Terbaru Dr Mahathir mengeluarkan kenyataan menyeru agar pihak pembangkang mencari formula agar Dato Seri Najib Tun Razak dapat diturunkan dari jawatan Perdana Menteri. Walaubagaimanapun syaratnya menurut beliau Barisan Nasional kekal memegang teraju negara.

Demikianlah licik, cerdik dan pintarnya Dr Mahathir. Seakan beliau putih bersih bagaikan malikat sepanjang 22 tahun sebagai PM dahulu.

Dalam hal ini Timbalan Presiden PAS Dato Tuan Ibrahim Tuan Man dengan tegas berkata bahawa cadangan Dr Mahathir itu “separuh masak” dan tidak sekali-kali akan membawa kepada penyelesaian masalah yang dihadapi negara. Rakyat mahu diberi perhatian dan diselamatkan.

Isu rasuah, GST, kenaikan kos hidup, mata wang ringgit yang merudum jatuh, skandal 1MDB dan isu penyaluran dana asing sebanyak RM2.6 bilion ke akaun PM adalah antara isu-isu hidup yang sedang menyengat dan menghantui kehidupan rakyat dan ia bukan hanya berpunca dari PM seorang, ia berpunca dari kepincangan dan ketempangan parti yang memerintah iaitu Umno dan BN zaman berzaman.

Menurunkan Najib semata-mata, bukanklah penyelesaian malah membuka peluang bagi masalah baru pula diangkut masuk sedang yang lama belum tentu selesai kerana Umno dan BN masih berkuasa.

Sebagaimana kenyataan Dato Tuan Ibrahim, budaya dan sistem pentadbiran negara yang korap dan pincang ini diwarisi oleh Najib bukannya dari orang lain tetapi dari Dr Mahathir jua.

Bermakna kita turunkan Raja Ketam tetapi menaikkan ketam juga sebagai Raja, akhirnya sampai bila-bila kita tidak akan mampu berjalan lurus.

Krisis keyakinan terhadap PM hari ini tidak akan selesai jika sekadar menukar beliau dengan yang lain namun dari parti memerintah yang sama. Ianya hanya boleh berkesan jika parti yang memerintah digantikan dengan yang lebih komited dan bersih.

Bagi PAS itulah yang telah dilakukannya di Kelantan. Setelah rakyat tertekan dan resah dengan pentadbiran Umno di sana sekian lama, maka pada tahun 1990 perubahan total dilakukan rakyat Kelantan dan Pas kekal selama 25 tahun menawarkan  rakyat dengan kepimpinan yang istiqamah dan bersih.

Berbalik kepada gesaan Dr Mahathir yang separuh masak itu bagi saya rakyat perlu fikirkan penyelesaian yang lebih praktikal dan bermakna.

Dato Tuan Ibrahim menyimpulkan bahawa dalam hal ini PAS mengemukakan dasar Islam sebagai asas perubahan kerana ia bersifat lebih menyeluruh dan sesuai dengan suasana dan keadaan.

Lama sudah rakyat terperangkap di bawah parti memerintah yang ada, bukan Najib seorang malah termasuklah Dr Mahathir dan yang lain-lain. Krisis dan masalah terus-menerus melanda tanpa petanda akan reda. Oleh itu tibalah masanya kita berfikir secara waras dan matang.

Dr Mahathir bolehlah mengeluarkan pandangan dan cadangan tetapi dalam hal kepincangan negara ini, beliau terlupa bahawa sumbangannya bukan sedikit. Menerima nasihat beliau dalam hal ini hanya akan terus menyiksa kita.

Jangalah kita jadi orang Melayu yang mudah lupa sebagaimana yang sering dimadahkan oleh Dr Mahahtir satu ketika dahulu.

Harapan "curi" parti

Wednesday, August 26, 2015

Sebelum ini kita dengar bahawa gerombolan kecewa dalam PAS mahu menubuhkan parti baru yang kononnya mahu perjuangkan Islam juga. Mereka dikatakan akan mengambil-alih sebuah parti yang sedia ada dan akan mengerakkannya sebagai parti baru yang “DAP friendly” yang akan bersaing secara terbuka dengan PAS.

Kearah itu mereka sedang mengerah dan menggerakkan penyokong-penyokong mereka meletakkan jawatan dalam PAS secara beramai-ramai. Satu demi satu kawasan dan cawangan-cawangan PAS akan lumpuh dakwa mereka dan apabila itu berlaku, dan sejurus usaha mereka menghidupkan sebuah parti berjaya, kesemua mereka akan berbondong menyertai parti baru itu.

Ghairah sungguh mereka menjelajah seluruh negara bagi mencapai matlamat ini walaupun banyak pihak sangsi dengan keupayaan mereka. Ramai mengatakan parti yang diasaskan oleh orang-orang yang kecewa ini keseudahannya nanti akan kecewa juga dan terbengkalai begitu sahaja.

Tiba-tiba hari ini The Staronline melaporkan rungutan Setiausaha Agung Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (Kita) iaitu Azmi Othman yang mendakwa kumpulan kecewa ini yang menamakan diri mereka Gerakan Harapan Baru sedang berusaha mengambil-alih parti mereka tanpa pengetahuan beliau dan Presiden partinya.

Dan bukan itu sahaja Azmi mendakwa terdapat penipuan yang dilakukan oleh pihak tertentu yang dikatakan telah menyerahkan minit mesyuarat palsu parti beliau ke pihak Pendaftar Pertubuhan ROS.

Azmi mendakwa beliau telah pun membuat laporan polis berkenaan kejadian di atas.

Apa dah jadi ni?

Pihak yang mendakawa diri mereka profesional dan kononnya amanah kini terlibat pula dengan kerja-kerja merampas sebuah parti yang sah dengan cara yang amat buruk dan memalukan. Kalau benar dakwaan Azmi ini sebagaimana laporan polis yang beliau buat, ini satu petanda buruk buat pemuka-pemuka GHB.

Sudahlah kerusi DUN dan Parlimen yang dimenangi atas tiket PAS mereka rampas dan bawa lari tanpa peduli, kini parti pun mereka mahu  “hijack”!

Kata Dr Dzul, yang mendakwa dirinya setiausaha GHB, parti baru akan diumumkan Isnin ini.

Kalau pihak polis dah dilibatkan melalui laporan polis Azmi itu masih adakah harapan pada harapan baru atau bagaimana?



http://www.thestar.com.my/News/Nation/2015/08/26/kita-sec-gen-report-over-non-member-hijacking-party/

Jangan kerana Umno Melayu jadi bangsat

Monday, August 24, 2015

"Saya pernah kata bahawa seandainya Umno hilang kuasa, apa akan terjadi kepada bangsa Melayu dan umat Islam? Dalam banyak-banyak perkataan dalam Kamus Dewan Bahasa, ada orang kata, orang Melayu akan tersungkur, orang Melayu akan terkecundang dan ada yang kata orang Melayu akan tertiarap. Saya pilih perkataan orang Melayu akan terbangsat kalau Umno hilang kuasa. Terbangsat, ..tidak ada perkataan yang boleh menggambarkan untung nasib yang cukup tertekan, hilang segala-galanya, hilang kuasa, hilang maruah dan hilang masa depan,"

Demikianlah secara “verbatim”sedutan ucapan Presiden Umno Najib Tun Razak ketika merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Padang Besar, Kangar dan Arau di Dewan Wawasan 2020

Untuk berlaku adil dan bersangka baik pada beliau, pastinya beliau telah membuat kajian atau sekurang-kurangnya para pegawainya telah membuat kajian, bagaimana untuk beliau memberikan satu ucapan yang mampu memberikan kesan ke atas mereka yang hadir agar bersama dan menyokong kepimpinannya.

Najib mahu memberi ingat dan amaran kepada orang-orang Umno bahawa jangan sekali-kali bertindak sehingga mengakibatkan mereka hilang kuasa politik. Kalau Umno hilang kuasa politik tegasnya maka BANGSAT lah orang-orang Melayu.

Najib berkata demikian sebab orang-orang Umno sendiri kebelakangan ini kelihatan sudah mula meragui kepimpinannya. Isu dan skandal melibatkan kepimpinan beliau semakin timbun-menimbun sehingga bukan sahaja orang-orang Umno, rakyat lebih-lebih lagi, sudah mula rasa mual dan lemas.

Kemarahan dan derita rakyat ini sedar tak sedar turut dirasai tekanannya oleh orang-orang Umno. Dan kemuncaknya apabila Najib bertindak memecat Timbalan nya sendiri dari jawatan TPM. Ini dilakukannya semata-mata kerana Muhyiddin dan kelompoknya sudah mula berani buka mulut, sudah mula khianat terhadap kepimpinannya.

Dalam Umno budayanya apabila ada pemimpin yang mula goyang dan lemah, maka yang lain di bawah akan ambil kesempatan dan melancarkan serangan dari pelbagai arah dengan harapan pemimpin itu tadi akan tergolek jatuh, lalu atas kejatuhannya itu naiklah pula kellompok lain ke takhta kuasa.

Najib sedar musim persidangan Umno ini akan digunakan oleh musuh-musuhnya untuk menyerangnya habis-habisan. Ini terbuklit apabila para perwakilan Umno dalam persidangan-persidangan ini sudah mula berani menyerang Presiden mereka dengan kata-kata yang barangkali tidak pernah terbayang Najib.

Lalu di Perlis beliau merasakan perlu satu mesej dihantar, biar terkedu orang-orang Umno semua, biar terbangkit mereka dari sakan ghairah  menyerang beliau, sehingga sedar dan insaf bahawa tindakan mereka itu jika dibiarkan berterusan Umno akan hilang kuasa. Dan apabila Umno hilang kuasa, maka mereka semua khasnya orang-orang Melayu akan bangsat dan merana di bumi sendiri.

Samada mesej ini menangkap perhatian orang-orang Umno atau tidak, tiadalah dapat dipastikan, namun yang pastinya ramai khasnya yang bukan Umno tersenyum sinis dan malah terhibur dengan ugutan Najib itu.

Bangsatkah orang-orang Melayu jika Umno hilang kuasa?

Jika ugutan ini dibuat 50 atau 60 tahun dahulu mungkin ianya boleh mempengaruhi sentimen orang-orang Melayu, akan tetapi hari ini sentimen orang-orang Melayu bukan lagi boleh buta-bita dipengeruhi. Orang-orang Melayu bukan lagi ayam daging yang boleh ditangkap begitu sahaja, tidak bergelut atau lari lalu disembelih.

Sebagaimana orang lain, jangankan Melayu di Lembah Kelang, Melayu di pedalaman Baling, di Hulu Kelantan, di Hulu Tembeling di pedalaman Rompin, semua rata-rata sudah bijak dan matang. Mereka cerdik dan boleh melihat disekeliling mereka.

Di Kelantan Umno kalah, PAS yang menang. Bangsa Melayu tidak bangsat malah terpelihara maruahnya dan semakin kuat semangatnya dibentuk dengan kesedaran dan pemahaman Islam. 25 tahun sejak 1990 orang-orang Melayu di Kelantan telah menolak Umno berterus-terusan.

Begitu juga di Selangor sejak 2008. Kalah Umno di Selangor yang menang wakil-wakil PKR dan PAS dikalangan orang-orang Melayu. Tiada pula laporan orang Melayu menjadi terhina dan bangsat.

Tidak pernah Umno tewas yang menang wakil berbangsa Cina atau India dari mana parti sekalipun. Kecundang MB Melayu Kelantan dari Umno ditahun 1990 dahulu yang naik MB Melayu Kelantan dari PAS iaitu Almarhum Tok Guru Nik Abd Aziz dan disambung hari ini oleh Ustaz Datuk Ahmad Yakub, juga Melayu.  

Oleh itu ancaman Najib sekadar dilihat sebagai ugutan yang kosong yang langsung tidak membimbangkan mana-mana pihak pun.

Jatuh Umno di Selangor yang naik MB baru iaitu Tan Sri Khalid Ibrahim dari PKR dan kini Azmin Ali, kedua-duanya Melayu juga.

Barangkali yang dimaksudkan Najib adalah Umno. Jika Umno tiada kuasa maka bangsatlah pemimpinnya. Orang-orang Melayu tidak sekali-kali akan bangsat, malah orang-orang Umno pun sekali-kali tidak akan bangsat sebagaimana ancaman Najib itu dengan syarat orang-orang Umno berani beralih pilihan.

Umno sudah demikian angkara pemimpin-pemimpinnya. Maka langkah sebaiknya buat menjamin nasib dan masa depan yang baik buat bangsa Melayu adalah bagi orang-orang Umno meninggalkan parti pimpinan Najib itu, berhijrahlah ke arah yang lebih baik. PAS opsyen terbaik buat orang-orang Umno. Yakinlah berjuang Islam ini tidak sekali-kali menjadikan bangsa dan keturunan kita bangsat, samada kita menang mahupun kalah.

Ayuh tinggalkan Najib dan mari kita bersama PAS memperjuangkan Islam yang pasti akan menyelamat dan memuliakan bangsa dan keuturunan kita.