Nizar dan politik sondol-menyondol (31/5/15)

Sunday, May 31, 2015

Dalam keghairahan kita mahu menghambat untung, tamak mahu mengaut apa sahaja yang bergerak dan lalu di depan mata, jangan sekali-kali kita terlibat dalam angkara menabur tuba. Kerana kelak kita menjebakkan diri dalam memusnahkan segala-galanya. Kerana gelojoh kononnya mahu memutihkan susu dalam belanga, kita titiskan nila setitik.

Demikianlah saya lihat gelagat Dato Seri Nizar Jamaluddin sebagaimana dilaporkan dalam The Malay Mail online yang telah dimuat-naik dalam portal  Malaysia Today di http://www.malaysia-today.net/english-speaking-ahmad-awang-will-boost-pas-profile-claims-ex-perak-mb/
Ghairah berkempen untuk Ustaz Ahmad Awang selaku calon Presiden PAS, Nizar menyatakan bahawa Ahmad Awang punya kelebihan menguasai Bahasa Inggeris sedangkan Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang tidak.

Beliau dipetik sebagai berkata:
“He can speak Arabic very well, and so can [Abdul Hadi]. But he can also communicate and speak in English, but [Abdul Hadi] cannot,”

Menurut beliau lagi:
“There are some aspects now in this political contemporary, you need those qualities…so people can respect our party, respect our country,”

(Terdapat beberapa aspek dalam politik waktu ini yang perlukan kualiti seumpama ini…melaluinya orang akan menghormati parti dan Negara kita)
Bagi saya hujah ini sangat lemah dan tidak berasas sama-sekali, Negara-negara besar dunia seperti Jepun, Rusia dan Perancis umpamanya punya pemimpin-pemimpin yang dihormati dan penghormatan itu datang jelas bukannya kerana penguasaan Bahasa mereka yang masing-masing bertutur dengan Bahasa sendiri.

Saya hairan bagaimana profesional sepintar dan sebijak Nizar boleh sekadar menjadikan itu sebagai modal besar menundukkan Tuan Guru sebagai Presiden.
Pada mulanya saya fikirkan saya bersendirian dalam memiliki pandangan sedemkian, rupa-rupanya apabila membaca ruangan komen dalam Malaysia Today, saya dapati ramai yang berkongsi pandangan dengan saya.

Antaranya:
Shahrir Awang · Works at Jabatan Pertahanan Awam Malaysia

An ability to converse well in any language, not necessarily means an ability to convey message efficiently...and not the only pre-requisite to be a good leader.
(Keupayaan bertutur dalam pelbagai Bahasa tidak semestinya menjamin keupayaan menyampaikan mesej secara berkesan….dan ia bukanlah satu pra syarat seorang pemimpin yang baik)

Hock Lim Works at Self-Employed
Nizar has sold his Leader to the Devil.

(Nizar telah menjual pemimpinnya pada syaitan)
Jass Powercetom · Mayflower Secondary School

 ppl like Nizar make Malays look stupid to others...
(orang seperti Nizar meletakkan bangsa Melayu sebagai (bangsa) yang bodoh….)

Saya mengakui penguasaan Bahasa selain Bahasa ibunda adalah satu aset, tetapi ia bukanlah satu bukti untuk mengaitkan seseorang pemimpin itu dengan kejayaan memimpin.
Sesungguhnya ini bukanlah kali pertama Nizar kelihatan menyondol begitu sahaja dalam keghairahan beliau berkempen. Sebelum ini semasa merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Kuala Kedah beliau terang-terangan membelasah Tuan Guru dalam ucapan perasmiannya dengan harapan para perwakilan agar menolak mentah-mentah Tuan Guru sebagai Presiden.

Dengan takdir Tuhan, walaupun pekat likat asakkan Nizar itu, para perwakilan Kuala Kedah tetap mencalonkan Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang sebagai Presiden.

Dan tidak hairanlah akhirnya di kawasan beliau sendiri di Kampar, Nizar gagal pertahankan jawatannya sebagai YDP, barangkali kerana muak dengan politik sondol-menyondolnya.
Apa pun ternyata pemimpin baik bukannya naik dan lahir kerana penguasaan bahasanya, tetapi dalam kes ini mereka naik dan melonjak kerana tidak ghairah, tidak “over kill” dan tidak amalkan politik sondol-menyondol.

PAS perlukan Naib-naib Presiden bertenaga (29/5/15)

Friday, May 29, 2015

Muktamar PAS ke 61 yang akan diadakan di Kuala Selangor bermula Khamis hadapan bakal menyaksikan pertandingan diperingkat pucuk pimpinan tertinggi Gerakan Islam berkenaan. Para perwakilan PAS dari seluruh Negara akan berhimpun untuk menentukan pucuk pimpinan yang bakal menggemudi dan mengepalai bahtera besar perjuangan PAS untuk tempuh seterusnya.

Presiden PAS akan ditentukan dalam muktamar ini dan begitu juga para pembantunya dari Timbalan, Naib-naib sehinggalah ahli-ahli jawatankuasa.
Posting saya kali ini mahu memberi fokus kepada pertandingan tiga jawatan Naib Presiden. Jawatan ini penting kerana mereka diperlukan bagi memberi kekuatan kepada Presiden dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya mengepalai parti.

Mereka sesungguhnya berperanan bagaikan anggota kabinet Presiden, orang paling kanan yang terapat dengan Presiden selain Timbalannya yang boleh duduk bersama berkongsi idea dan fikiran bagi memacu PAS melangkah ke hadapan mengejar cita-cita perjuangannya dalam keadaan sentiasa mengapit dan mengiringi Presiden.
Amatlah malang kiranya jawatan yang membantu Presiden ini diberikan kepada mereka yang tidak boleh memahami apalagi menyokong aspirasi kepimpinan Presidennya. Bukan hanya begitu lebih malang lagi kiranya mereka itu bertindak pula bagaikan pembangkang dalam kabinet apatah lagi bagaikan gunting dalam lipatan.

Lantaran itu mustahak buat para perwakilan memutus dan memilih satu pasukan Naib Presiden yang mampu memain peranan berdiri bersama Presiden.
Pemegang-pemegang jawatan ini kini adalah Dato Tuan Ibrahim Tuan Man, Dato Husam Musa dan Salahuddin Ayob.

Dato Tuan telah memutuskan untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden, dimana beliau dijangka menang. Ini bermakna dua Naib Presiden kini iaitu Husam dan Salahuddin akan cuba mempertahankan jawatan mereka masing-masing.
Dalam kerangka pemahaman di atas para perwakilan mesti berupaya menilai sejauh manakah Husam dan Salahuddin memain pernanan mereka sebagi Naib dalam membantu dan menyokong tugas Presiden. Adakah mereka selama ini telah berjaya atau sebaliknya?

Penilaian prestasi ini penting kerana keputusan para perwakilan itu sesungguhnya nanti mewakili keputusan seluruh ahli PAS yang mencecah 1 juta orang itu.
Yang jelas Dato Tuan telah berjaya memain peranan sebagaimana dihuraikan di atas. Kenyataan-kenyatannya, tindak-tanduknya rata-rata selaras dengan fikrah Presiden kerana itu kita melihat beliau menerima pencalonan hampir 90 peratus dari kawasan-kawasan seluruh Negara untuk bertanding jawatan lebih tinggi bagi memantapkan lagi perananannya iaitu sebagai Timbalan Presiden pula.

Kita tidak langsung ada mendengar sebarang kenyataan atau komen dari beliau selama beliau Naib Presiden yang kelihatan menyanggah apalagi menyerang Presiden PAS. Ini tidak bermakna beliau seorang “yes man”, sebaliknya jelas beliau tahu menggunakan forum dan gelanggang yang sesuai untuk memberi pandangan dan menegur tidak dengan secara terbuka dan menyondol tanpa adab.
Calon-calon lain yang menawarkan diri untuk bertanding jawatan Naib Presiden kali ini adalah Ustaz Idris Ahmad, Ustaz Dato Nik Amar Adbullah, Dato Iskandar Abd Samad dan Dato Mahfuz Omar.

Saya melihat Ustaz Idris Ahmad, yang memiliki pencalonan terbanyak untuk jawatan ini mempunyai potensi cerah untuk menang. Beliau seorang ulamak yang disenangi ramai, beliau aktif dalam program-program parti dan majlis-majlis ilmu, malah memiliki keupayaan berhujah dengan matang dan waras umpamanya di Dewan Rakyat sehingga disegani oleh kawan dan lawan.
Ahli-ahli PAS rata-rata iktiraf beliau sebagai seorang yang istiqamah, tidak punya musuh dan “team player” yang sangat sesuai bertugas di bawah Presiden parti.

Oleh itu siapakah dua lagi yang sewajarnya digandingkan dengan Ustaz Idris bagi jawatan penting Naib Presiden ini?
Para perwakilan perlu beri perhatian bahawa kita punya dua buah negeri yang kita perintah melalui PR yang punya wakil PAS dalam kerajaan. Mereka ini perlu diperkasakan dengan jawatan kanan dalam parti demi memberikan mereka kekuatan untuk memperteguhkan lagi kedudukan parti di negeri-negeri berkenaan.

Ustaz Dato Nik Amar sebagai Timbalan Menteri Besar Kelantan dan Dato Iskandar Abd Samad sebagai EXCO kanan Selangor boleh menggunakan jawatan Naib Presiden ini untuk memantapkan kekuatan PAS di Kelantan dan Selangor. Selain itu dengan kombinasi jawatan negeri dan jawatan kanan dalam parti, bolehlah mereka membantu jentera-jentera parti di negeri-negeri lain untuk melebar luaskan lagi kekuatan PAS dengan lebih efektif.
Kedua-dua Dato Nik Amar dan Dato Iskandar dikenali sebagai pemimpin yang istiqamah, dan boleh berkerjasama baik dengan Presiden.

Dato Nik Amar cekal bersama MB Kelantan yang kini Timbalan Mursyidul Am dalam memperjuangkan perlaksanaan Hudud di Kelantan dengan Presiden memain peranan di peringkat Parlimen. Beliau “team player” yang gigih di Kelantan dan tidak pernah bermasalah dengan MB mahupun Presiden.
Begitu juga Dato Iskandar yang terserlah kekentalan semangat juangnya serta istiqamah dalam mendukung kepimpinan Presiden terutama dalam beberapa isu kritikal di Selangor. Kukuh tanpa goyang dengan pimpinan Presiden apabila berhadap dengan krisis MB Selangor dahulu membuktikan betapa bersedianya beliau memegang amanah yang lebih tinggi demi mempertahan dan melonjakkan lagi kedudukan parti.

Dato Iskandar yang saya kenali seorang profesional yang selesa berkerja bersama Kepimpinan Ulamak, beliau bangkit dari bawah dan sangat disenangi oleh semua.
Kesimpulannya PAS perlukan saf Naib Presiden yang benar-benar dapat menyerlahkan perjuangan Islam yang dijuarai PAS di bawah panduan dan kepimpinan Presiden parti. Ketiga-tiga Naib Presiden ini perlu memantapkan lagi kedudukan Presiden dan parti samada ketika meneroka jalan bersama rakan-rakan parti-parti lain mahupun ketika berhadapan dengan seteru politik.

Perjuangan Islam yang diteroka bahtera besar PAS dizaman yang penuh mencabar ini perlukan Naib-naib Presiden yang punya kualiti di atas.
Dalam hal ini para perwakilan PAS perlu berani membawa perubahan. Sudah sampai masanya kita menyumbang ke arah melakarkan kepimpinan yang benar-benar efektif dalam mendukung perjuangan PAS melalui konsep kepimpinan ulamak. Yang perlu dirihat atas sebab-sebab tertentu perlulah dirihatkan.

Bagi saya PAS memerlukan tokoh-tokoh seperti Ustaz Idris Ahmad, Ustaz Dato Nik Amar dan Dato Iskandar Abd Samad, kombinasi ulamak dan profesional yang ampuh sebagai Naib-naib Presiden yang baru.
Semoga PAS terus berjaya melakar kemenagan mencapai matlamat perjuangan yang sama-sama kita dukung dan impikan.

                                 

 

 

 

 

 

Benarkah ulamak muda dalam PAS satu ancaman? (26/5/15)

Tuesday, May 26, 2015

Seorang penganalisa politik bertanya kepada saya apa bezanya ulamak yang seangkatan dengan Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang dan ulamak-ulamak muda dalam PAS hari ini.

Bagi mereka yang tak kenal PAS sudah pastilah tidak faham akan apa yang berada di dalam bahtera PAS. Jolokkan orang-orang luar sudah pasti mudah membangkit dan merangsang perasaan ingin tahu mereka. Lebih-lebih lagi kalau yang menjolok itu dari kalangan orang-orang PAS sendiri yang sentiasa kecewa dan kacau jiwanya.
Orang PAS yang istiqamah sudah pasti akan tersenyum dengan persoalan sebegini.

Secara amnya tiada beza dikalangan para ulamak di dalam PAS. Mereka semua menerima asuhan dan pendidikan dari pelbagai institusi pengajian, samada dari dalam mahupun luar Negara. Mereka menyertai PAS dengan matlamat memperjuangkan dasar dan cita-cita PAS dan di dalam PAS mereka yang istiqamah diberi tempat melatih dan mentarbiyah ahli-ahli PAS supaya lebih memahami dan menjiwai perjuangan gerakan Islam ini.
Para ulamak merupakan teras kekuatan perjuangan PAS kerana kuatnya ikatan mereka dengan akar-umbi lantaran peranan mereka sebagai rujukan dan pembimbing ahli-ahli PAS dipelbagai peringkat saban waktu dan ketika. Oleh kerana PAS merupakan parti dan gerakan Islam sudah pastilah disiplin serta penguasaan ilmu Islam sangat dihormati oleh segenap ahli dan penyokongnya.

Samada mereka yang seangkatan dengan Tuan Guru Hj Abd Hadi atau yang baru dan muda, nama sahaja ulamak sesungguhnya begitulah tugas dan tanggungjawab mereka zaman berzaman.
Akan tetapi persepsi yang cuba diwarnai pada ulamak-ulamak muda ini, yang berus catnya barangkali dipegang oleh tangan-tangan yang punya kepentingan atau agenda tertentu, adalah bahawa jika ulamak-ulamak yang seangkatan dengan Tuan Guru kononnya kelihatan konservatif, maka ulama-ulamak muda ini pula selain “ultra” konservatif juga kononnya ekstrim dan kasar.

Biar orang benci pada Tuan Guru dan biar orang lebih benci pada ulamak-ulamak muda ini. Biar benci itu nanti bukan sekadar bersarang di dada mereka yang bukan PAS khasnya bukan Melayu tetapi lebih-lebih lagi sehingga berjaya ditabur dan bersarang pula di dada orang-orang PAS yang akhirnya memungkinkan PAS konon-kononnya dibersihkan dari pengaruh para ulamak seumpama ini.
Itu yang cuba mahu difahamkan oleh si penganalisa politik yang saya sebutkan di awal tadi.

Lalu saya memberitahu sesungguhnya PAS berada pada tahap pencapaiannya hari ini adalah hasil dari kegigihan perjuangan para ulamak khasnya yang seangkatan dengan Tuan Guru. PAS pasca Allahyarham Datuk Asri sudah berada di tahap paling kritikal. Ketika itu tiada orang mahu terlibat dengan PAS, tiada orang mahu menunjukkan yang ia PAS kecuali segelintir yang istiqamah. (Masa pemilihan pun tiada pula yang mahu berebut-rebut jawatan)
Dari kekuatan paling minima iaitu satu kerusi Parlimen dan dua DUN kedua-duanya di Kelantan, PAS berjaya dihidupkan semula, dibangkitkan dari tenatnya hasil dari kesungguhan dan gerak kerja para ulamak yang berjaya menarik kembali minat rakyat khasnya umat Islam kepada PAS.

Nama-nama yang tercatat pada lipatan sejarah PAS, bukannya bikin-bikinan, adalah Almarhum Ustaz Fadzil Nor, Almarhum Ustaz Dato Harun Taib, Almarhum Ustaz Abu Bakar Chik Almarhum Ustaz Tan Sri Azizan , Almarhum Ustaz Hassan Shukri yang semuanya seangkatan dengan Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang selain bantuan dan kerjasama yang bukan ulamak seperti Syed Ibrahim, Wan Mutallib Embong , Subky Latiff dan lain-lain.
“Road Tour” dari kampus ke kampus dan masjid-masjid serta surau-surau seluruh Malaysia termasuk ke luar Negara yang diketuai Tuan Guru di awal tahun 80an (khasnya selepas Tuan Guru menang kerusi DUN pada 1982) telah menghidupkan kembali minat rakyat khasnya anak-anak muda dalam PAS.

Malah ada yang berstatus wakil rakyat dan YB hari ini belum PAS pun ketika itu.
Kalau benar Tuan Guru dan yang seangkatan dengannya konservatif dan jumud sebagaimana yang mahu digambarkan, sudah pasti pasca era Asri, PAS akan kendur dan terus rebah ke bumi tidak seperti hari ini.

Itu Tuan Guru dan yang seangkatan dengannya. Bagaimana pula dengan para ulamak muda hari ini?
Para ulamak muda dalam PAS hari ini pula saya nyatakan rata-rata adalah merupakan anak didik Tuan Guru belaka. Mereka menghormati Tuan Guru dan mereka merupakan anak-anak didik yang beriltizam untuk meneruskan apa yang telah dibina oleh Tuan Guru. Mereka adalah galang ganti Tuan Guru dalam PAS.

Adakah benar mereka “ultra” konservatif dan ekstrim?
Saya nyatakan tidak!

Malah mereka lebih terkehadapan dalam isu-isu semasa, tidak seperti dakwaan seorang bekas MB Selangor bahawa kononnya mereka ini sekadar pandai baca al Quran tetapi buta isu semasa. Mereka sesungguhnya lebih kontemporari dalam pendekatan, ada yang boleh berbahasa Inggeris dengan baik, dan mereka lebih memahami suasana, “internet savvy” dan dari tangan didikan dan tarbiyah Tuan Guru mereka istiqamah memperjuang dan mempertahankan dasar dan matalamat perjuangan PAS sehingga disenangi dan boleh diterima masyarakat tua ataupun muda.
Hujah-hujah dan pandangan mereka punya kualiti dan ia dihormati dan malah disegani samada mereka berada di Dewan Rakyat atau Dewan-dewan Negeri, di mimbar-mimbar, di forum-forum atau apa sahaja majlis. Kerana itu hakikatnya mereka ini sangat digeruni dan dibimbangi oleh musuh luar dan dalam.

Jika personaliti seperti Nasrudin Hassan, Nik Mohamad Abduh, Mohd Khalil, Ustaz Dr Ridhuan Mohd Nor dan lain-lain yang merupakan para ulamak muda dalam PAS, adalah “ultra” konservatif dan ekstrim sudah pasti masyarakat akan menolak PAS mentah-mentah dan mustahil PAS boleh menang kerusi melalui mereka.
Realitinya mereka ini merupakan Ulamak Gen X yang bakal mencorakkan warna PAS ke arah yang lebih teguh dan diterima masyarakat di masa-masa akan datang bersama yang bukan ulamak yang berkongsi impian yang sama. Mereka sudah bersedia meneruskan pencapaian mentor mereka iaitu Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang dan yang seangkatan dengannya.

Mereka istiqamah, mereka punya tenaga dan kesungguhan, dan merekalah yang akan mengusung panji-panji perjuangan PAS seterusnya bersama seluruh ahli, penyokong dan rakyat Malaysia selepas ini.
Oleh itu saya maklumkan pada penganalisa politik tadi bersedialah melihat kebangkitan mereka dalam politik Malaysia selepas ini nanti.

 

 

Fitnah dan adu-domba tidak akan menjatuhkan kepimpinan PAS (24/5/15)

Sunday, May 24, 2015

Tidak sampai dua minggu lagi dalam Muktamar PAS ke 61 di Kuala Selangor, para perwakilan PAS akan menentukan siapakah pucuk pimpinan tertinggi parti berkenaan bagi tempoh penggal yang akan datang.

Bukan hanya kalangan orang-orang PAS yang berminat untuk menentukan kepimpinan parti mereka, malah Muktamar kali ini menarik perhatian dan minat ramai dikalangan kawan dan lawan. Ada yang sekadar memerhati, ada yang meramal mengulas malah ada pula yang cuba mempengaruhi para perwakilan dengan pandangan dan kadang-kala ugutan.
Beberapa isu tertentu digunakan untuk mempengaruhi para perwakilan agar menolak atau menaikkan pihak-pihak tertentu yang bertanding.

Sesungguhnya yang akan menyaksikan pertandingan bukanlah sebuah parti biasa sebagaimana parti-parti lain yang bergerak di Malaysia, akan tetapi parti berkenaan adalah sebuah gerakan Islam satu-satunya parti yang meletakkan Islam sebagai dasar dan matlamat perjuangannya.
Oleh yang demikian menyedari dan mengetahui para perwakilan PAS, saya mengira bukanlah sesuatu yang mudah untuk mempengaruhi mereka dengan isu yang sengaja diada-adakan, apalagi yang berbaur adu-domba, ugutan apa lagi fitnah.

Perwakilan PAS nanti adalah terdiri dari Yang Dipertua PAS Kawasan-kawasan, selain biasanya pimpinan tertinggi diperingkat kawasan masing-masing kesemuanya minima 5 dari setiap kawasan seluruh Malaysia. Juga dalam perwakilan nanti adalah 15 wakil dari Dewan-dewan Pemuda, Muslimat dan Ulamak Pusat masing-masing selain perwakilan dari kalangan AJK PAS Pusat.
Secara umumnya kesemua mereka ini adalah pimpinan tertinggi PAS samada peringkat kawasan-kawasan mahupun Dewan-dewan dan AJK Pusat.

Mereka yang dari pelbagai disiplin dan latarbelakang akademik dan pekerjaan ini bukanlah orang-orang biasa yang boleh digula-gulakan apatah lagi dimomok dan diugut.
Oleh itu jangan sekali-kali cuba merendah-rendahkan bacaan politik mereka, jangan sekali-kali menyogok mereka dengan sesuatu yang melampaui kematangan dan komitmen mereka dalam PAS dan perjuangan Islam.

Saya lihat ada dua isu popular yang cuba diasak pada para perwakilan PAS.
Pertama isu mahu meninggalkan Pakatan Rakyat atau tidak mesra PR dan keduanya isu tergila mahu berbaik dan tidur sekatil dengan Umno dan BN.

Dua isu ini hebat dijadikan bahan nyanyian, lagu siulan oleh sesetengah pihak dengan harapan boleh mengguling dan menjatuhkan secara tepat Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang selaku Presiden PAS dan mereka yang berkongsi pemikiran dan harapan bersama beliau.
Kononnya politik Tuan Guru politik yang mahu memaksa PAS keluar PR. Tidak mesra PR sehingga Setiausaha Agung DAP turut campurtangan mengiyakan perkara ini selain beberapa kalangan pimpinan dalam PAS yang turut ghairah mahu merebahkan Tuan Guru.

PAS bawah Tuan Guru dikatakan sering mahu mencari masalah dalam PR. Sering berbalah dengan PKR dan DAP dan Tuan Guru seakan tidak minat dengan politik PR sehinggakan kehadirannya dalam mesyuarat PR dijadikan bukti tohmahan ini.
Benarkah begitu?

Hakikatnya PAS sejak ditubuhkan lebih 60 tahun lalu, berterusan memikul dan menjulang agenda Islam sebagai perjuangan politiknya. Untuk mengejar agenda berkenaan PAS masuk dan bertanding Pilihanraya. Dari masa kesemasa jua demi memenangkan agendanya PAS sentiasa terbuka untuk berkerjasama dengan mana-mana parti dan NGO dan ini sudah terbukti dalam sejarah panjang PAS dalam politik tanahair.
Cumanya tidak seperti parti-parti lain, PAS memiliki dasar dan prinsip yang tetap yang sekali-kali tidak boleh dikompromi atau diagadikan hanya semata-mata mahu menang pilihanraya. Dasar dan prinsip ini bagi PAS adalah sesuatu yang berharga dan ianya itulah yang mencetuskan semangat dan kegigihan perjuangandalam jiwa oramg-orang PAS  kerana tidak seperti parti dan pihak lain, ahli-ahli PAS mengejar ganjaran akhirat yang berakhir tidak sekadar di Putrajaya.

(Ini mungkin tidak dikongsi atau difahami oleh mereka yang masuk PAS dengan agenda peribadi tertentu, kerana itu mereka tak lama dalam PAS dan membawa diri keluar seperti Tamrin Ghafar dan tidak mustahil Tan Sri Muhammad Taib tidak lama lagi, silakan)
PAS boleh berkawan dan boleh berkerjasama dengan sesiapa sahaja tetapi ianya tertakluk kepada dasar dan prinsipnya yang sekali-kali tidak boleh digadaikan.

Kerana itu orang-orang PAS tahu kiranya Presiden mereka sebelum ini tampak membawa pendirian yang tegas dalam PR, membawa sikap menentang dalam isu-isu tertentu, bukannya kerana Tuan Guru mahu mengasingkan diri atau mengeluarkan PAS dari PR, tetapi sesungguhnya ia diambil semata-mata kerana memeilihara dan mempertahankan dasar dan prinsip perjuangan PAS.
Atas istiqamah itu beliau dihormati dan disanjungi oleh umat Islam lebih-lebih lagi akar-umbi PAS, dan tiada siapa samada pihak tertentu dalam PAS mahupun kawan dalam PR tambah-tambah lagi musuh dari luar yang akan berjaya menggunakan isu ini untuk memaksa perwakilan PAS menolak Tuan Guru dan mereka yang bersamanya.

Mempertahankan prinsip dan dasar perjuangan adalah ajaran para Nabi dan Rasul, dan para perwakilan PAS tidak memerlukan sesiapa pun untuk mengajar mereka sebaliknya.
Kesimpulannya saya yakin Tuan Guru tetap mahu bersama PR, cumanya kawan-kawan perlu faham dan meraikan sikap dan pendirian PAS dalam hal-hal tertentu, itulah adat berkawan.

Keduanya isu kononnya Tuan Guru mahu membawa PAS masuk menyertai BN atau bersama Umno. Gagasan "Kerajaan Perpaduan" dimain-mainkan kononnya "Unity Government" atau "UG" itu adalah antara PAS dan Umno.
Satu hakikat bagi orang-orang PAS sebut sahaja mahu bermain cinta dengan Umno, ianya sesuatu yang tidak boleh diterima kerana Umno adalah musuh tradisi PAS. (Lantaran itu saya yakin pihak berkepentingan memainkan isu ini dengan putar-bulit yang durjana)

Tetapi UG dahulu janganlah diputar-belitkan kerana ianya tidak pernah bermaksud gabungan PAS dan Umno. Ia sesungguhnya adalah cadangan Tuan Guru yang melibatkan semua parti-parti di Malaysia samada BN dan PR sehinggakan tiada lagi pembangkang kerana semua sudah duduk dalam kerajaan.
Gagasan Tuan Guru itu telah ditolak akhirnya oleh PAS Pusat, dan tidak pernah dihidupkan kembali kecuali orang segelintir tertentu yang memutarbelitkannya dengan tohmahan bahawa Tuan Guru maksudkan gabungan PAS dan Umno lalu Tuan Guru perlu ditolak kerana itu.

Jahat sungguh mereka yang ghairah kerana gilakan jawatan sehinggakan sanggup menabur fitnah dan mereka-reka cerita dengan harapan kali ini para perwakilan PAS akan terpengaruh dan menolak Tuan Guru sebagai Presiden.
Juga terbabit dalam memainkan isu ini adalah Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang berterusan menyerang Tuan Guru dengan fitnah ini. Harapan beliau biar PAS lepas ini jadi lunak buat beliau syaratnya PAS tanpa Tuan Guru.

Saya sama sekali tidak percaya para perwakilan PAS boleh tertipu dan termakan dengan racun ini sehingga berselera mahu menggulingkan Tuan Guru dan mereka yang bersamanya semata-mata kerana percaya Tuan Guru mahu berpeluk dengan Umno.
Isu rang undang-undang persendirian yang mahu membuka laluan perlaksanaan Hudud di Kelantan jangan sekali-kali dipalitkan dengan fitnah jahat ini. Dalam hal mendapatkan sokongan meluluskan Hukum Allah ini, memang PAS terutama Tuan Guru akan melobi semua wakil rakyat di Parlimen agar menyokongnya terutama dikalangan wakil-wakil rakayt Islam samada dari PR ataupun BN.

Melobi dan mendapatkan sokongan wakil-wakil rakyat contohnya dari Umno untuk menyokong  rang undang-undang ini bukanlah bermakna PAS mahu memeluk cium Umno sebagaimana adu-domba yang cuba dicetuskan oleh mereka yang tidak bertanggung-jawab yang ketandusan idea dan muflis imannya.
Bagi saya para perwakilan PAS bijak memilih antara kaca dan permata. PAS ini sudah jauh belayar dalam persada politik Negara membawa dan menjulang panji-panji perjuangan Islam secara istiqamah dengan pemimpin yang silih berganti namun berterusan istiqamah dalam mengejar matlamat perjuangan.

Siapa pun boleh berkata apa sahaja sesuka hati dan nafsu mereka, walaubagaimanapun lantaran PAS ini sebuah wadah Gerakan Islam yang mewakili lebih 1 juta ahli, para perwakilannya pasti akan dipandu oleh Allah swt untuk memilih hanya yang terbaik untuk meneruskan layaran bahtera perjuangan yang besar ini.
Yang pasti dengan izin Allah, “Kepimpinan Ulamak” akan terus menjadi teras dan kekuatan parti ini sampai bila-bila. Ayuh PAStikan ia begitu

Rohingya dan sikap apatis Malaysia Guan Eng dan lain-lain (24/5/15)

Apakah sikap dan pendirian Malaysia dalam isu Rohingya?

Hari ini difahamkan lebih 7,000 pelarian berkenaan berada di perairan antarabangsa dan ada yang telah masuk ke perairan Indonesia dan Malaysia.
Dunia sedang memerhatikan, umat Islam sedunia turut memerhatikan.

Tetapikah apakah pendirian kita sebenarnya?
Sudahlah kerajaan Malaysia bermain silap mata dan berdolak-dalik dalam menangani isu ini, hari ini dalam akhbar The Sunday Star pula dilaporkan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng pun seakan memandang rendah penderitaan kaum Rohingya yang rata-rata Muslim itu dengan menyatakan bantahan terhadap ura-ura menempatkan pelarian politik berkenaan di Pulau Pinang.

Tanpa pun mahu mengulas isu kemanusiaan yang tercetus beliau mentah-mentah mendesak agar jika Malaysia menerima pelaruan berkenaan maka pilihalah negeri lain selain Pulau Pinang.
Apa jadi dengan perjuangan Buku Jingga yang beliau jadikan kitab politiknya yangs ecara jelas menyebut:

“Memelihara kepentingan negara dengan menjadi warga dunia yang bertanggungjawab di dalam menghormati hak asasi, memelihara prinsip-prinsip demokrasi dan menjunjung permuafakatan, perjanjian, pengisytiharaan dan persetujuan antarabangsa, yang sejajar dengan nilai-nilai keadilan. “
Dari apa yang dapat saya kumpulkan kerajaan Malaysia seakan melihat isu pelarian Rohinya ini dalam dua perspektif:

1)      Mereka mahu berhijrah kerana tekanan ekonomi ekoran kesukaran mencari nafkah di Negara mereka

2)      Mereka merupakan mangsa sindiket permerdagangan manusia
Kerana itu penyelesaian yang diutarakan adalah memberi bantuan makanan dan pakaian, atau menempatkan mereka di bumi Malaysia buat sementara, dalam tempoh tidak lebih dari setahun dan kemudiannya menghantar mereka kembali ke Negara asal.

Tiada yang mahu melihat dari perspektif tekanan politik dan “ethnic cleansing” yang sedang berlaku di Myanmar sehingga mengakibatkan kaum Rohingya yang rata-rata Muslim ini tertekan lalu nekad melarikan diri demi menyelamatkan akidah, nyawa, diri dan kaum keluarga.
Ianya sama sahaja dengan nasib yang menimpa “Boat people” Vietnam, satu ketika dahulu. Dimana bermula 1975 sehingga lewat 1979 hampir puluhan ribu rakyat Vietnam lari meninggalkan Negara mereka ekoran kekejaman regim kominis yang memerintah Vietnam selepas pengunduran AS di sana.

Saya ingat ketika itu Tun Dr Mahathir yang merupakan Timbalan PM telah mengeluarkan kenyataan akan menembak mana-mana kapal atau bot yang membawa pelarian baru dari Vietnam kerana ketika itu Malaysia atas tekanan antarabangsa sudah terpaksa menempatkan lebih 80,000 pelarian Vietnam di bumi Malaysia khasnya di Pulau Bidong.
Kaum Rohingya ini lari ke rantau sebelah sini kerana tahu bahawa kerajaan Indonesia dan Malaysia kedua-duanya adalah merupakan Negara umat Islam. Ke mana lagi mahu mereka tuju selain ke Negara yang seakidah dan seagama dengan mereka.

Kenapa kita tiba-tiba melihat seakan “pariah” saudara-saudara kita ini?
Kenapa kita mesti longgokkan isu ekonomi dan pemerdagangan manusia dalam hal ini sedang yang lebih kritikal dan mendesak adalah tekanan politik dan agama yang dikenakan oleh majoriti penganut Buddha ke atas minoriti Rohingya yang Bergama Islam.

Mereka merayu-rayu memohon pertolongan kemanusiaan sesama Muslim dari kita, tetapi kita pandangan ianya seakan isu pelarian biasa, mahu cari rezeki macam PATI Indonesia dan Filipina.
Sedang Rasulullah saw. bersabda: Perumpamaan orang-orang mukmin dalam hal saling kasih, saling menyayang dan saling cinta adalah seperti sebuah tubuh, jika salah satu anggotanya merasa sakit, maka anggota-anggota tubuh yang lain ikut merasakan sulit tidur dan demam. (Shahih Muslim No.4685)

Atas itu saya merasakan rakyat Malaysia rata-rata kecewa dan tidak puas hati dengan sikap “play safe” kerajaan Malaysia dalam menangani isu yang sangat kritikal ini. Belum pun ada sikap yang jelas PM Malaysia dengan senang hati meninggalkan Negara melawat Jepun.
Sewajarnya Malaysia serta merta menerima dan menyaring para pelarian ini. Sediakan penempatan bagi mereka dan pastikan mereka yang tertekan itu diberi penempatan, pakian, makanan dan rawatan mana perlu.

Jangan meletakkan tempoh waktu dan mereka tidak patut sekali-kali dihantar pulang ke Negara bergolak mereka kecuali atas kerelaan dan pilihan sendiri.

Sebagai sebuah Negara Islam kita wajar membantu sebagaimana kita membantu pelarian Vietnam dulu yang bukan Muslim pun.
Saya yakin rakyat Malaysia bersedia menghulurkan dana dan bantuan demi memberikan keselesaan dan meringankan penderitaan saudara-saudara se Islam kita itu sebagaimana kita segera membantu rakyat Palestin di Gaza dan dunia Islam yang lain.

Saya mengharapkan pemimpin-pemimpin Islam khasnya dari PAS akan mengangkat isu ini dan memperjuangkan nasib dan masa depan kaum Rohingya itu. Semoga Allah swt meringankan penderitaan mereka.

 

 

 

Pemilihan PAS: Adab dan pertauran dalam berkempen (22/5/15)

Friday, May 22, 2015

PAS bakal menyaksikan pertandingan untuk pucuk pimpinannya pada Muktamarnya yang ke 61 awal Jun ini bertempat di Kuala Selangor. Hampir kesemua jawatan bakal menyaksikan pertandingan dari Presiden sehinggalah Timbalan, Naib-naib serta Ahli-ahli Jawatankuasa selain diperingkat Dewan-dewan.

Bagi sesetengah pihak perkara ini merupakan sesuatu yang luar-biasa, sedangkan bagi mereka yang di dalamnya ia sesuatu yang normal yang pernah berlaku sejak di awal penubuhannya lagi sehiggalah kini membuktikan betapa amalan demokrasi subur di dalam PAS.
Pemilihan PAS adalah tertakluk kepada Peraturan-peraturan Pemilihan Parti Islam Se Malaysia (PAS)(2013) (Pindaan 2014) yang dibuat di bawah Fasal 85 Perlembagaan PAS (Pindaan 2011). Ianya merupakan suatu set peraturan yang cuab mengawal kaedah dan proses pemilihan dalam parti, suatu penambah-baikan bagi parti yang berusia lebih 60 tahun itu.

Di dalam peraturan berkenaan disebut juga Garis Panduan dan Etika Kempen yang sepatutnya dipatuhi dan dihormati oleh semua samada calon-calon yang bertanding lebih-lebih lagi mereka yang bekempen mempromosi calon-calon berkenaan. Segala-galanya diikat oleh hukum-hakam Islam selain peraturan dan undang-undang yang terpakai.
Pada asasnya semua yang bertanding dibolehkan berkempen walaubagaimanapun ianya perlulah mematuhi peraturan-peraturan ini, dan kesimpulannya dalam PAS calon-calon atau wakilnya boleh mempromosi diri mahupun mengemukakan wawasan dan manifesto masing-masing akan tetapi dilarang memfitnah, mengkeji atau mencela lawannya.

Nak kempen-kempenlah dan saya tahu ada pimpinan yang bertanding yang tidak berkempen pun, akan tetapi janganlah berkempen sehingga melanggar adab dan akhlak Islam sehingga memfitnah, mengkeji apalagi mencela lawan.
Terkadang kita dapati wakil-wakli calon samada yang rasmi dan ramai yang tidak rasmi yang berlebih-lebih seoleh-oleh kita bertanding dalam pilihanraya umum.

Saya tidak pasti apakah Jawatankuasa Pemilihan PAS punya kemampuan untuk memantau semua ini dan mengususlkan tindakan tatatertib jika berlaku kesalahan sebagaimana termaktub dalam Fasal 6.1.2 dan 6.2.2.
Contohnya seorang AJK PAS Pusat pernah mengeluarkan kenyataan berikut yang terbit dalam portal berita TMI:

Inilah wajah baharu PAS dalam konteks hubungan dengan Pakatan Rakyat jika kumpulan baharu dipilih sebagai Jawatankuasa PAS Pusat dalam muktamar PAS ke 61 Jun nanti. "Merekalah yang akan menggantikan wajah-wajah seperti Dr Dzulkefly Ahmad, Hanipa Maidin, Mujahid Yusof Rawa dan pimpinan lain yang digelar 'Jebon' dan 'Parasit'," kata ahli jawatankuasa PAS Pusat itu kepada The Malaysian Insider
Bagi Khalid yang juga ahli Parlimen Shah Alam, apa yang berlaku di Permatang Pauh juga akan berlaku di peringkat pusat jika "wajah-wajah baharu PAS" ini mengambil alih parti Islam itu di peringkat pusat. "Saya yakin inilah sikap yang akan diambil oleh orang-orang yang selama ini memburuk-burukkan kami sebagai liberal, Anwarinas dan berwala' pada Pakatan Rakyat (PR) jika mereka terpilih dalam muktamar PAS nanti sebagai AJK PAS Pusat," kata Khalid. “Sikap mereka keras dan tidak berhemah. Tiada unsur ingin berkawan dan tiada kebijaksanaan berpolitik. PAS akan kembali bersendirian, terpinggir dari politik arus perdana,” kata Khalid yang pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 1987.

Tidakkah apa yang disebut itu punya unsur-unsur yang digariska oleh Fasal 6.2 Larangan-larangan Am dalam Peraturan-peraturan PAS tadi?
Manakala dalam TMI hari ini (kebetulan TMI ini merupakan juru kempen satu pihak yang bertanding) seorang yang bertanding AJK Dewan Pemuda PAS dengan senang menyerang calon Ketua Pemuda PAS. Cuba teliti kenyataannya:

Kemenangan Ahli Parlimen Pasir Mas Nik Abduh Nik Abdul Aziz dalam persaingan ketua pemuda dibimbangi akan merencatkan agenda pembaharuan sayap itu, kata anak kepada bekas Presiden PAS Datuk Fadzil Noor. Faiz Fadzil yang juga bertanding merebut jawatan ahli jawatankuasa Pemuda PAS Pusat dalam pemilihan parti kali ini bimbang kenyataan yang dikeluarkan Nik Abduh sebelum ini akan menghalang agenda pembaharuan parti. “Saya risau kalau betul kenyataan dia semalam, dia kata hudud boleh buat di Kelantan tapi bukan di Malaysia.
“Saya risau kalau pemimpin macam ini, apa yang dia nak bawa? Kalau saya nak reform Pemuda, saya takut tak boleh nak reform sebab ketua pun tak tau apa nak buat,” katanya menerusi forum "Masa Depan PAS Pasca Muktamar" yang diadakan di Dewan Perniagaan Cina Kuala Lumpur malam tadi.

Saya yakin harapan Ustaz Nik Abduh sedikit pun tidak terjejas dengan serangan liar dan tidak berasas Sdr Faiz itu, tetapi tidakkah kenyataannya itu jelas melanggar peraturan-peraturan yang dimaksudkan?
Saya sendiri akan menggunakan blog ini untuk mempromosi calon-calon yang saya yakin boleh melonjakkan lagi agenda perjuangan Islam yang didukung oleh PAS. Blog ini memang sentiasa membuat promosi apabila berlaku pemilihan dalam parti sejak 11 tahun yang lalu berdasarkan pandangan peribadi saya.

Tawarkanlah diri untuk memimpin tetapi janganlah sampai melanggar adab dan peraturan.
Selamat berjaya.

Tukar Presiden atau Nizar (13/5/15)

Wednesday, May 13, 2015

Sebelum PRU tahun 2008 dahulu tidak ramai di luar Perak yang mengenali Datuk Seri Nizar Jamaluddin. Beliau ketika PRU 2008 itu merupakan Setiausaha PAS Perak dan apabila gabungan PAS, PKR dan DAP berjaya membentuk kerajaan Negeri Perak, beliau yang ketika itu ADUN Sg Panjang dilantik sebagai MB Perak yang ke 10 walaupun dalam gabungan itu PAS merupakan rakan yang paling kecil.

Dari situ nama Nizar yang sebelum ini tidak dikenali, menjadi sebutan ramai. Maklumlah MB Perak yang pertama yang bukan BN dari PAS pula tu.
Nizar yang menurut rekod menyertai PAS pada tahun 1995, dikira naik begitu pantas dalam PAS. Dalam tempuh 20 tahun duduk dalam PAS beliau telah menjadi ADUN, Menteri Besar, ahli Parlimen dan AJK PAS Pusat.

Sudah pasti kenaikkan mendadak ini adalah hasil dari kepercayaan dan sokongan serta dokongan ahli-ahli PAS dari pelbagai peringkat yang memberikan ruang dan laluan buatnya.
Apa pun dalam sebuah Gerakan Islam seperti PAS, setiap individu adalah merupakan soldadu, dan masing-masing memain peranan mengikut arahan dan halatuju yang ditetapkan oleh pucuk pimpinan berlandaskan sumber hukum tertinggi di dalam PAS.

Individu tidak penting, yang penting adalah kelangsungan perjuangan PAS itu sendiri dan usaha kearah mencapai matlamat perjuangan PAS iaitu terbinanya sebuah masyarakat dan Negara yang tunduk pada hukum dan peraturan Allah swt.
PAS terus relevan dalam politik Malaysia lantaran perjuangan Islam yang ia dokong. Benar ia punya pasang surut dalam sejarah politik Negara tetapi ia konsisten dan kukuh dalam memperjuangkan prinsipnya lantaran itu ia terus dihormati dan disenangi masyarakat dan rakyat Malaysia sehinggalah kini.

Oleh itu mana-mana individu yang naik dan punya kedudukan dalam PAS jangan sekali-kali menyangka yang mereka ditempat mereka itu hari ini kerana kehebatan atau bakat mereka masing-masing.
Mereka sesungguhnya disitu kerana ahli-ahli PAS yang hari ini mencecah 1 juta bilangannya yang letakkan mereka di situ. Ahli-ahli PAS yang istiqamah dan ikhlas dalam perjuangan, yang merupakan mata rantai dari mereka –mereka yang sama sejak dahulu ia ditubuhkan yang rela dan bersedia mengorbankan wang, harta, keringat, air mata dan darah kerana yakin pada perjuangan keramat ini.

PAS bukan ditubuhkan semalam atau 1995 tetapi ia wujud dan kekal sejak 1951 lagi.
Bila duduk di atas jangan pula angkuh, sombong, bongkak dengan menganggap hanya ia yang penting dalam bahtera perjuangan yang besar ini. Bila di atas jangan melihat mereka yang lain lekeh, lambat dan menjadi batu penghalang perjuangan.

Kita ini bergerak dalam satu jemaah satu gerakan Islam, jangan sekali-kali memandang kecil pengaruh dan iltizam ahli-ahli jemaah.
Kembali kepada Datuk Seri Nizar tadi, pastinya ramai tersentak apabila melihat tajuk akhbar Sinar Harian hari ini:

Presiden PAS perlu ditukar

Laporan akhbar berkenaan bersumberkan pandangan Nizar dalam satu majlis forum bertajuk “Legasi Perjuangan Almarhum Tuan Guru Nik Abd Aziz” yang dianjurkan di Teluk Intan baru-baru ini.
Nizar dipetik sebagai berkata bahawa PAS perlu melakukan perubahan besar-besaran termasuk memilih Presiden baru bagi memulihkan masalah dalaman parti dan mendapat kembali sokongan rakyat.

Selanjutnya beliau berkata perubahan perlu dilakukan dalam kepimpinan tertinggi pada Muktamar PAS Jun ini dalam usaha menarik kembali sokongan bukan Islam terhadap PAS.
Mengapakah Nizar lantang dan berani begitu? Mengapakah beliau mahu Presiden digantikan?

Bagi saya secara peribadi itu hak Nizar.
Dalam musim pemilihan ini ahli-ahli PAS bebas dan berhak berkempen bagaimana sahaja asalkan tidak melanggar peraturan yang telah ditetapkan. Hari ini pun kita boleh lihat terdapat usaha untuk mencabar Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang, dan kepimpinan pro ulamak tertentu.

Masalahnya Nizar seakan membelakangkan hakikat bahawa perubahan yang beliau tuntut itu sebenarnya sudah pun mula berlaku diperingkat akar-umbi PAS dan mengikut trend yang ada, adalah diyakini kemuncaknya nanti akan berlaku dalam muktamar Jun ini.
Cumanya mungkin gelombang yang sedang berlaku itu tidaklah sebagaimana yang Nizar impikan.

Tidakkah Nizar lihat semasa beliau hadir dan merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Kuala Kedah kali ke 41 pada 20 Mac lalu. Betapa beliau telah dengan begitu bersungguh-sungguh mendesak para perwakilan Kuala Kedah melakukan perakara yang sama, iaitu menolak Tuan Guru dan kumpulan pro Ulamak.
Apa kesudahannya?

Kesudahnnya PAS Kawasan Kuala Kedah sebulat suara kekal mencalonkan Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang sebagai calon Presiden mereka. Ini berlaku walaupun Nizar berkempen kuat semasa ucapan perasmiannya!
Begitu juga apa yang berlaku di kawasan beliau sendiri di Kampar, Perak pada 12 April lalu.

Sebagai pemimpin yang hebat yang boleh mahu menjatuhkan Presiden, sudah pastilah mimpinya itu turut akan dikongsi oleh kekuatan akar-umbinya iaitu kawasannya sendiri yang beliau ketuai selama 14 tahun.
Apa kesudahnnya?

Kesudahannya satu Malaysia telah tahu.
PAS Kampar terus mencalonkan Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang sebagai Presiden, dan lebih memeranjatkan lagi tidak cukup dengan itu, PAS Kampar turut tukar ketuanya dengan menggantikan Nizar dengan Ustaz Mohd Soffian Rejab. Nizar sekadar memperolehi 24 undi berbanding Ustaz Soffian 146 untuk jawatan Yang Dipertua PAS Kampar.

Dan begitu juga setelah pencalonan kawasan-kawasan satu Negara berakhir baru-baru ini, kita difahamkan Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang terus mendapat sokongan pencalonan dari hampir 90 peratus kawasan-kawasan seluruh Negara.
Kesimpulannya keghairahan Nizar itu malangnya kelihatan tidak dikongi oleh ahli-ahli PAS.

Lawan dan bertandinglah menentang Tuan Guur Hj Abd Hadi Awang, tiada sekatan pun dalam Perlembagaan PAS tetapi hakikatnya dari trend semasa kelihatan orang-orang PAS terus mahu agenda perjuangan PAS berdasarkan apa yang digariskan dalam Perlembagaannya kekal, diterus dan dipertingkatkan bernkahodakan Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang.
Sebagaimana keghairahan Nizar, memang kelihatan orang-orang PAS mahu perubahan besar-besaran kali ini berlaku dalam PAS.

Akan tetapi perubahan itu tidaklah sebagaimana mimpi Nizar. Perubahan yang bakal disaksikan adalah pembinaan saf kepimpinan yang lebih mantap,  yang ikhlas dan  istiqamah berpegang kepada prinsip perjuangan, bersendikan kepimpinan ulamak demi memartabatkan Islam atas muka bumi ini, insyallah.  

 

 

 

 

Apabila ADUN Umno desak larang orang Islam bekerja di premis jual arak (13/5/15)

Tuntutan untuk kembali kepada hukum dan peraturan Islam khususnya dalam mentadbir hal ehwal kehidupan umat Islam di Malaysia telah semakin lantang sejak isu perlaksaan Enakmen Jenayah Syariah di Kelantan yang melibatkan perlaksanaan Hukum Hudud hangat diperdebatkan.

Usaha Kelantan untuk memperkenalkan Hukum Jenayah Syariah ke atas umat Islam di negeri itu sesungguhnya telah membangkitkan kesedaran kepada umat Islam di Negara ini tanpa mengira fahaman atau pegangan politik masing-masing untuk kembali kepada Islam. Memartabatkan hukum dan peraturan Islam mahu dilihat sekurang-kurangya dikalangan umat Islam itu sendiri.
Perlaksanaan Hukum yang sama di Negara Brunei Darul Salam contohnya semakin memberi semangat dan kesadaran kepada umat Islam akan betapa pentingnya untuk kembali kepada formula penyelesaian Islam khasnya dalam menguruskan kehidupan bermasyarakat dan bernegara.

Semalan di Dewan Undangan Negeri Johor ADUN BN Kukup Suhaimi Salleh telah mencadangkan agar agensi negeri yang berkaitan diminta untuk melihat kemungkinan mengharamkan masyarakat Islam di Johor bekerja di kedai serbaneka 24 jam terutamanya yang menjual arak.
Beliau berkata isu penjualan arak melibatkan pekerja Melayu yang bekerja di kedai serbaneka tersebut tidak boleh dikompromi kerana mempertaruhkan soal maruah, bangsa dan agama serta berdosa di sisi Islam.

Menurutnya lagi:
"Hukum sudah jelas. Minum (arak) haram, (mereka) yang menjual (arak) haram, yang membungkus botol (arak) haram, yang mengangkut kotaknya ke 7-Eleven haram dan yang menyusunnya pun haram. Takkanlah kita hendak membiarkan perkara haram, yang nampak seperti kecil tetapi besar dosanya di sisi Allah, berlaku secara berterusan. Keuntungan akhirat adalah lebih penting. Sanggupkah kita melihat anak-anak muda yang tidak tahu apa-apa dan baharu lepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia sudah diajar dan terjebak dengan perkara ini,"

Beliau berkata demikian ketika membahaskan titah Sultan Johor di dewan berkenaan.
Saya bersetuju bahawa perkara ini adalah sesuatu yang serius yang harus diberi perhatian oleh umat Islam dalam Negara ini khasnya mereka yang memiliki kuasa dan mewakili suara umat Islam di Dewan-dewan Negeri dan di Parlimen.

Kalau atas apa sahaja sebab pertimbangan maka kita tidak mampu atau punya kuasa politik untuk mengharamkan pengilangan, pengimpotan dan pejualan arak sama sekali, sekurang-kurangnya kita mengambil prihatin dan inisiatif nasib umat Islam itu sendiri.
Allah swt mengharamkan arak, lalu apakah tindakan kita bagi menunjukkan yang kita tunduk pada pengharaman ini sekurang-kurangnya ke atas kita sesama umat Islam.

Saya percaya Enakmen Jenayah Syariah Negeri-negeri semuanya memuatkan peruntukkan larangan ini terhadap umat Islam di negeri masing-masing. Di Selangor umpamanya Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 menyebut:
Seksyen 18 (1) - Mana-mana orang yang, di mana-mana kedai atau tempat awam lain, minum apa-apa minuman yang memabukkan adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Seksyen 18 (2) - Mana-mana orang yang membuat, menjual, menawarkan untuk jualan, mempamerkan untuk jualan, menyimpan atau membeli apa-apa minuman yang memabukkan adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
Lantas pemimpin-pemimpin Islam yang duduk di Dewan-dewan Negeri dan di Parlimen, wajib mendesak agar penguatkuasaan pekara ini diberi perhatian dan disamping itu mendesak agar umat Islam dilarang bekerja dimana-mana premis ini, atau sekurang-kurangnya dilarang mengendalikan atau terlibat dalam penjualan arak ini.

Walaupun berlainan fahaman politik saya mengalu-alukan ucapan ADUN Kukup itu. Sebelum ini kita dengar Ketua Menteri Melaka juga pernah menyatakan perkara yang hampir sama khasnya melibatkan pengharaman jualan arak di kawasan majoriti Islam.

Bangkitlah kita semua atas kesedaran dan semoga dalam usia hidup kita, dapat kita lihat usaha untuk memartabatkan hukum Islam ini beransur-ansur terlaksana bermula dengan di Negeri Kelantan dan kemudiannya seluruh Negara insyallah.

 

Komplot Kit Siang dan PAS Kota Bharu (12/5/15)

Tuesday, May 12, 2015

Pada hari Ahad 10 Mei lalu, PAS Kawasan Kota Bharu dengan kerjasama PKR dan DAP Kota Bharu telah menganjurkan satu majlis ceramah umum bertempat di Padang Perdana Kota Bharu, Kelantan. Tema program ceramah berkenaan diberi nama “Kukuhkan Pakatan Hancurkan Barisan”.

Program ceramah politik adalah sesuatu yang biasa dan lumrah dianjurkan di negeri Kelantan. Ia merupakan platform bagi pimpinan parti untuk menjelaskan isu-isu semasa kepada rakyat jelata. Pada kebiasaannya itulah agenda program-program seumpama itu.
Akan tetapi program 10 Mei lalu, sedikit luar biasa.

Antara penceramah jemputannnya adalah Setiausaha Agung PKR dan pemimpin veteran DAP yang juga ketua mereka di Parlimen iaitu Lim Kit Siang.
Mengapa saya katakan luar biasa kerana setelah mendengar berulang kali rakaman ucapan Kit Siang itu saya dapati ianya bukan sekadar bermatlamat menjelaskan isu-isu semasa seperti 1MDB ataupun skandal Tabung Haji, ianya menjangkau sehingga menyentuh isu dalaman PAS! Kit Siang saya lihat punya agenda mahu campurtangan dalam proses pemilihan pimpinan PAS.

Benarkah begitu?

Beliau mulakan ucapannya dengan menggariskan harapan PR untuk menang dan menguasai Putrajaya. Kalau kita teliti betul-betul ucapannya, Kit Siang bukan maksudkan pada PRUke 14 akan datang semata-mata yang hanya akan diadakan selewat-lewatnya 2 atau 3 tahun dari sekarang , tetapi maksudnya lebih tertumpu kepada tempoh “1 bulan”.

Saya catatkan sebanyak 3 kali Kit Siang mengulangi sebutan “1 bulan” itu.
Kata beliau pra syarat untuk menang menguasai Putrajaya nanti adalah mengekal dan mengukuhkan Pakatan Rakyat. Maksudnya jika PR berpecah maka harapan besar itu akan berkecai.Disitulah beliau didapati menyebut bahawa kekal atau tidak PR ini akan ditentukan dalam  tempoh “1 bulan”!

Mengapa “1 bulan”? Apa yang akan berlangsung dalam tempuh “1 bulan” ini?
Saya mungkin salah tetapi yang terlintas difikiran saya dalam tempuh ”1 bulan” apa yang akan berlaku adalah Muktamar PAS Pusat yang akan melihat pemilihan pucuk pimpinan parti. Adakah “1 bulan” yang Kit Siang maksudkan itu adalah Muktamar PAS?

Mengapa kaitkan Muktamar dengan PR seolah akan berlaku ancaman terhadap masa depan PR semasa Muktamar nanti.
Jika apa yang terlintas difikiran saya itu benar maka inilah yang saya maksudkan luar biasa itu, PAS Kota Bharu membuka pentas buat Kit Siang untuk berkempen bagi pihak tertentu dalam Muktamar PAS yang akan berlangsung dalam tempoh “1 bulan”.

Kita tahu Kit Siang dan DAP bermasalah dengan Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang, Presiden PAS. Sehinggakan DAP membuat keputusan akan teruskan kerjasama dengan PAS dalam PR tetapi tidak lagi dengan Tuan Guru. Suatu keputusan keanak-anakkan atau “childish” yang dicemuh banyak pihak.
Oleh itu saya melihat Kit Siang di Kota Bharu seakan mahu membawa maksud bahawa ghanimah Putrajaya dalam PRU akan datang hanya akan dapat dikaut kiranya dalam tempoh “1 bulan” ini PAS menyingkirkan Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang sebagai Presiden. Kebetulan Kota Bharu merupakan kawasan yang cuba mencetuskan gelombang menggulingkan Tuan Guru, malangnya tidak disahut oleh majoriti kawasan-kawasan seluruh Negara.

Kalau benarlah bacaan saya ini, maka Kit Siang dengan cara tidak hormat telah campuratangan dalam urusan parti PAS dan Kota Bharu dengan sengaja memberikan beliau gelanggang untuk melakukan kerja-kerja tidak berakhlak itu.
Selain itu Kota Bharu juga membiarkan Kit Siang dengan senang hati memberikan alasan penolakan Hudud sedang beliau tahu beliau berada di bumi Kelantan yang rakyatnya lebih 1.5 juta orang kuat medukung cita-cita perlaksanaan hukum perundangan Islam ini termasuklah pihak Istana.

Kota Bharu mungkin bermasalah tetapi Kit Siang selaku seorang ahli politik veteran telah dengan bijak meratah peluang menaburkan racunnya demi untuk mencetuskan suatu suasana yang hanya beliau sahaja tahu akibatnya.
Biar orang PAS tumbangkan Presidennya dengan rayuan “1 bulan” aku ini. Biar orang Kelantan akur dan akhirnya tolak Hudud atas kebijaksanaan hujah ku ini.

Jika itulah mainan dan impian Kit Siang, ternyata beliau silap dan salah.
Dalam tempuh “1 bulan” insyallah PR akan lebih diperkasakan dengan saf kepimpinan PAS yang lebih dinamik dan bertaqwa yang bekerja untuk memartabatkan perjuangan Islam yang suci secara jujur demi rakyat dan Negara Malaysia. Dan dalam tempuh itu juga dengan izin Allah swt Rang Undang-undang Persendirian PAS akan dibentangkan di Dewan Rakyat dan mudah-mudahan diluluskan demi memberi ruang bagi negeri Kelantan untuk mula meperkenalkan Hukum Jenayah Islam di negeri berkenaan.

 

 

 

 

 

Arak hampir cetuskan satu lagi tragedi buat MAS (11/5/15)

Monday, May 11, 2015

Sekali lagi insiden mabuk arak telah mengancam keselamatan penumpang dalam pesawat komersil.

Menurut laporan sebuah pesawat MAS MH 179 yang dalam penerbangan dari KLIA ke Colombo, Sri Lanka Sabtu lepas terpaksa berpatah balik apabila seorang penumpangnya yang mabuk mencetuskan kekecohan dalam pesawat.
Penumpang yang mabuk berkenaan dilaporkan menganggu anak-anak kapal yang sedang bertugas semasa penerbangan.

Menurut laporan itu lagi penumpang yang mabuk dan bertubuh sasa itu hanya dapat dikawal dengan bantuan beberapa penumpang dalam pesawat.
Simabuk telah diserahkan ke pihak berkuasa sejurus kapalterbang berkenaan mendarat kembali di KLIA.

Bayangkan jika simabuk itu tidak berjaya dikawal dan terus mencetuskan huru-hara sehingga menganggu penerbangan pesawat itu.
Kerajaan sewajarnya menimbangkan semula penghidangan arak di dalam pesawat-pesawat milik Negara. Ancamannya terlalu besar, dan insiden mabuk seperti ini mampu mencetuskan kemalangan yang hanya akan merugikan rakyat dan Negara. Cukuplah sudah dengan beberapa tragedy malang yang melibatkan pesawat kita yang telah dan sedang kita tanggung.

Keselamatan penumpang dan Negara jauh mengatasi kebebasan segelintir kecil penumpang yang mahu mabuk-mabuk. Ternyata pesawat bukanlah tempat yang sesuai bagi sesiapa pun untuk mabuk-mabuk.
Semoga cadangan ahli-ahli Parlimen PAS sebelum ini agar arak ini dilarang sama-sekali atas pesawat MAS dan lain-lain pesawat tempatan difikir dan ditimbangkan secara serius oleh kerajaan.

 

Rompin rasional Teng yang tidak rasional

Friday, May 08, 2015

PRK Rompin dan Permatang Pauh telah pun selesai.

Di Rompin BN kekalkan kerusi mereka yang mereka pegang zaman berzaman namun dengan kesusutan majoriti. Begitu juga di Permatang Pauh kerusi tradisi PKR berjaya dikekalkan juga dengan majoriti yang berkurangan.
Pastinya disaat ini masing-masing jentera parti dan penganalisa politik sedang mengkaji berdasarkan angka-angka yang diperolehi, trend kecenderungan pengundi serta faktor-faktor yang mencorakkan keputusan itu.

Di Rompin umpamanya walaupun PAS tidak berjaya menundukkan BN namun majoriti kekalahannya telah berjaya dikurangkan. Jika pada PRU ke 13 lalu calon PAS tewas pada BN dengan majoriti 15 114 undi, kali ini PAS tewas dengan majoriti 8 895 undi.

Menurut Pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof. Madya, Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff sebagaimana dilaporkan dalam Sinar Harian:
Keputusan PRK Rompin menarik. Data di bawah menjelaskan hal ini.

Jumlah Pengundi (PRU 2013 53,294; PRK 2015 53,596) , perolehan undi calon BN (PRU 2013 30,040; PRK 2015 23,796) – kurang 6,244 undi, perolehan undi calon Pas (PRU 2013 14,926; PRK 2015 14,901) – kurang 25 undi.
Majoriti undi BN PRU (2013 15,114; PRK 2015 8,895) – kurang 6,219 undi, Sementara peratusan keluar mengundi (PRU 2013 85.89 peratus; PRK 2015 74 peratus)," tulis Agus pada laman sosial Facebook miliknya.

Tambahnya, BN harus memikirkan dengan segala kekuatan jentera dan pengumuman peruntukan yang diberi, majoriti undi yang menurun sebanyak 41 peratus perlu direnung dalam-dalam.
Ini kerana pengundi Rompin yang selama ini merupakan kubu BN telah menunjukkan sikap protes mereka. Walaupun belum memberikan kemenangan kepada Pas, tetapi mereka telah membunyikan loceng awal untuk menyedarkan pemimpin BN tentang dasar pemerintahannya yang perlu diperbetulkan,” katanya.

Analisa yang bersandarkan fakta dan angka-angka mudah dihadam oleh akal kita.
Walaubagaimanpun dalam keghairahan mengeluarkan analisa dan pandagan masing-masing ada juga yang terbawa-bawa dengan sentimen sehingga terbit dengan bacaan yang tempang dan kurang matang.

Salah seorang yang dimaksudkan adalah AJK DAP Pusat, yang juga ahli EXCO kerajaan Selangor, Teng Chang Khim. Beliau tanpa segan silu, tanpa memetik sebarang data atau angka terus mengatakan bahawa pengundi di Rompin tidak minat dengan isu Hudud, dan isu inilah yang telah mengakibatkan kekalahan PAS.

Harus disedari Teng lah merupakan salah seorang pemimpin parti berkenaan yang lantang menyerang usaha PAS melaksanakan Hudud di Kelantan.
Beliau berkata:

“Hudud isu panas yang dihangatkan PAS sendiri ketika ini, namun masih gagal menarik minta pengundi di Rompin”
Apakah alasan beliau sehingga terbit dengan kenyataan itu? Berapa ramaikah pengundi Melayu Islam yang telah Teng temui di Rompin sehingga berani keluar dengan kenyataan sedemikian?

Bagi beliau kemerosotan majoriti BN di Rompin semata-mata kerana faktor GST, tidak ada kena mengena dengan Hudud. Malah dipenghujung kenyataan beliau apabila ditanya tidakkah kenyataan sedemikian rupa akan mencalarkan hubungan dalam PR, Teng menjawab:
“Kalau PAS melenting bermakna parti itu menolak demokrasi. Jadi tidak perlu berjuang untuk rakyat.”

Teng berhak bercakap apa sahaja yang beliau mahu. Memang beliau seorang yang vokal terlalu vokal sehingga dalam DAP pun beliau tidaklah sangat disenangi. Tapi itu masalah beliau.
Bagi kita walaupun undi PAS merosot sekitar 25 undi iaitu dari 14 926 pada PRU ke 13 turun ke 14 901 kali ini, terdapat pencapaian yang membangakan di sana.

Menurut FMT News umpamanya:
Sokongan pengundi FELDA kepada Pas dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Rompin meningkat 12 peratus berbanding Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Peningkatan sokongan terhadap Pas itu dilihat pencapaian yang membanggakan kerana pada PRU-13, UMNO menang di kesemua 15 kawasan FELDA.
Menurut Pesuruhjaya PAS Pahang Ustaz Dato Tuan Ibrahim, undi popular PAS meningkat 10.2 peratus. Tambah beliau PAS mencatatkan kemenangan di peti undi Felda Keratong 2 dan 4 yang sebelum ini memihak pada BN. Di Keratong 5 pula walaupun tewas, bilangan undi PAS meningkat.

Kesimpulannya benarkah sebagaimana dakwaan Teng bahawa isu Hudud tidak membantu PAS?

PAS sejak Pilihanraya Persekutuan 1955 dan terus menerus tiap-tiap Pilihanraya Umum dan Kecil akan membawa isu perlaksanaan Islam termasuklah Hudud. Malah saya difahamkan semasa menyertai BN di era Tun Razak dahulu 1973 PAS tidak pernah menyembunyikan tuntutan perlaksanaan Islamnya.
Untuk mengatakan bahawa isu Hudud tidak membantu PAS adalah sesuatu yang tidak berasas sama-sekali. Pastinya 14,901 yang memangkah PAS di Rompin tahu dan faham dasar dan matlamat perjuangan PAS, mereka juga benci pada GST namun mereka senang dan tidak bermasalah apabila PAS memperjuangkan Hudud memandangkan ianya pun sebuah parti Islam.

Yang tidak faham atau lebih tepat lagi tidak senang dan tidak boleh menerima dasar perjuangan PAS adalah Teng.
Untuk kesekian kalinya, apa yang diusahakan oleh kerajaan PAS Kelantan dan nanti akan diteruskan oleh PAS di Dewan Rakyat adalah menepati sepenuhnya peraturan Perlembagaan dan Undang-undang Negeri dan Negara. Ianya suatu proses yang dibenarkan dalam amalan demokrasi berparlimen.

Undang-undang Jenayah Syariah yang mahu diperkenalkan oleh PAS di Kelantan merupakan rentetan dari dasar perjuangan PAS. Ia tidak terkena pakai ke atas bukan Islam. Sewajarnya rakan-rakan PAS membantu menerangkan kepada bukan Islam bahawa ianya sesuatu yang tidak harus dibimbangi oleh mereka kerana ia tidak akan terkena pakai atas mereka.
Rakan-rakan yang Muslim pula bertanggungjawab menyokong usaha yang menepati tuntutan syariat Islam ini.

Apa pun di Rompin kedudukannya membuktikan rakyat tiada bermasalah dengan Hudud dan begitu juga di Permatang Pauh dan saya percaya di seluruh Malaysia. Yang kita tidak faham kenapa Teng bermasalah dan tidak senang?

Apabila serangan memakan diri (1/5/15)

Friday, May 01, 2015

Walau berbagai asakkan ditalakan ke arahnya, walau berbagai tohmahan dilemparkan terhadapnya, walau bertubi-tubi serangan dilancarkan ke atasnya, samada oleh segelintir mereka di dalam PAS mahupun dikalangan pimpinan tertentu dalam Pakatan Rakyat, namun sebaik pencalonan untuk jawatan-jawatan tertinggi yang bakal ditandingi dalam Muktamar PAS Jun ini ditutup semalam, Dato Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang dipercayai terus mengungguli dan mendahalui pencalonan dengan mendapat lebih 80 peratus pencalonan dari kawasan-kawasan PAS seluruh Negara untuk mengekalkan jawatan Presiden PAS.

Dua pencabarnya iaitu Ustaz Ahmad Awang dan Husam Musa masing-masing berkongsi tidak lebih dari 20 peratus baki, itupun ada diantaranya dari kawasan-kawasan yang cawangan-cawangannya antara yang terkecil bilangannya dalam Negara.
Samada mereka berdua ini akan menerima pencalonan ataupun tidak, tidak pula diketahui kerana pada asasnya kedua-dua mereka masing-masing memperolehi lebih 2 pencalonan dan dengan itu layak bertanding.

Bagi jawatan Timbalan Presiden yang kini disandang Muhammad Sabu, satu lagi kejutan berlaku apabila beliau dipercayai menerima kurang dari 25 peratus pencalonan manakala nama yang melonjak naik dicalonkan oleh kawasan-kawasan iaitu Ustaz Dato Tuan Ibrahim Tuan Man menerima lebih 70 peratus pencalonan.
Dato Tuan sekiranya menerima pencalonan dijangka berupaya merampas jawatan nombor dua tertinggi dalam PAS itu.

Isunya, apakah yang mendorong ahli-ahli akar umbi PAS khususnya di kawasan-kawasan seluruh Negara untuk bangkit melawan arus yang cuba dicetuskan oleh segelintir tertentu dengan bantuan kuat media sosial dan rata-rata media alternatif yang besar-besar?
Mengapa nama Tuan Guru terus dicalonkan? Dan mengapa nama Muhammad Sabu dicicirkan demikian rupa?

Malah kalau dilihat pencalonan untuk 3 jawatan Naib-naib Presiden, juga dipercayai, mereka yang dikaitkkan kuat dibelakang gelombang kononnya “perubahan” yang cuba dicetuskan dalam PAS itu masing-masing goyang dan tidak mustahil boleh tumbang. Nama-nama baru yang sealiran dengan sikap dan pendirian Tuan Guru dilihat jauh mendahului yang lain, malah selebihnya dipercayai memperolehi pencalonan jika tidak setanding, ada yang jauh ke hadapan penyandang kini.
Ustaz Idris Ahmad umpamanya dipercayai mendapat pencalonan terbanyak yakni lebih dari dua penyandang sekarang iaitu Salahuddin Ayub dan Husam Musa. Manakala nama-nama baru seperti Ustaz Dato Nik Amar, Ustaz Nasrudin Tantawi dan Dato Iskandar Abd Samad dipercayai kuat mencabar bilangan pencalonan yang diperolehi Salahuddin tapi yang pasti lebih dari yang diperolehi Husam.

Bukankah sebelum ini Tuan Guru difitnah dan dicemuh tidak Pakatan “friendly”, “flip flop” dalam kepimpinan, kononnya mahu bermesra dengan Umno, membelakangkan AJK Pusat dan berbagai lagi. Ada segelintir orang dalam  PAS sehingga berkempen meminta Tuan Guru ditukarkan, dan ini mendapat bantuan mereka yang diluar PAS sehingga menyebut nama-nama pemimpin tertentu untuk menggantikan Tuan Guru yang dituduh kononnya sudah tidak layak.
Sebuah NGO juga tiba-tiba digerakkan oleh orang-orang PAS tertentu untuk membantu agenda menggulingkan Tuan Guru ini.

Mengapakah arus yang cuba dicetuskan ini seakan ditolak mentah-mentah oleh akar umbi PAS? Apakah yang mendorong mereka untuk bertindak balas menolak pimpinan yang terlibat yang cuba mencetuskan arus yang tidak menjadi itu?
Bagi para penganalisa di luar PAS berbagai alasan diberikan dan memang mereka berhak menabur sebanyak mana alasan yang boleh terpacul dari akal fikiran mereka tetapi bagi kita yang di dalam PAS, yang telah sekian lama melalui proses pentarbiyahan dalam parti, yang pernah susah dan senang bersama, ianya bukanlah sesuatu yang luar biasa.

PAS adalah sebuah gerakan Islam. Walaupun ia berdaftar sebagai sebuah badan siyasah sebagaimana parti-parti lain akan tetapi hakikatnya ia sebuah gerakan Islam terlebih dahulu.
Saya pernah sebutkan sebelum ini dan orang-orang PAS semuanya tahu dan akur bahawa cita-cita perjuangan PAS tidak sekadar terhad kepada pencapaian dunia atau menawan Putrajaya semata-mata. Ia lebih luas dan jauh. Orang-orang PAS berjuang untuk menawan ganjaran yang dijanjikan Pencipta mereka, iaitu sesuatu yang tidak masuk akal dan tidak pernah diimpikan oleh mana-mana parti dan badan siyasah lain.

Inilah yang membezakan PAS dengan yang lain-lain. Selagi parti-parti lain, kawan ataupun lawan, selagi para penggiat dan pengamal media tidak memahami faktor ini maka selagi itulah PAS tidak boleh mereka baca.
Dan malangnya selagi segelintir orang-orang PAS sendiri lupa atau terbawa-bawa dengan mimpi lain, selagi itulah mereka juga akan sukar membaca hati sanubari kekuatan akar umbi PAS, yang berkorban yang bermati-matian sejak dahulu hingga sekarang untuk mengekalkan PAS di atas landasan perjuangan ini.

Pemimpin PAS bertanggungjawab di hadapan Allah swt, bukan hanya kepada ahli-ahlinya. Mereka boleh dikritik, mereka yang menyeleweng dari landasan perjuangan boleh “digulingkan” akan tetapi mereka yang jujur dan istiqamah jangan sekali-kali dicuit atau cuba diserang.
Tuan Guru umpamanya dalam ucapan penggulungannya dalam Muktamar PAS yang lepas pernah menyebut:

“Saya tidak bersedia membawa ahli-ahli PAS ke neraka……”
Ucapan seperti ini tiada dalam kamus mana-mana pemimpin parti-parti lain kerana perjuangan semua mereka hanya terhad sekadar di Putrajaya. Kerana itu ucapan seperti ini menggelikan telinga sebahagian mereka, sesuatu yang tidak “real”, sesuatu yang melalut bagi sebahagian lain, walaubagaimanapun bagi ahli-ahli PAS, yang masuk dan menyertai gerakan Islam ini untuk mengejar redha Allah swt yang jauh mengatasi redha manusia, ianya “real” dan hanya boleh diucapkan secara ikhlas oleh pemimpin mereka yang berani, komited dan istiqamah.

Orang-orang PAS sejak dahulu walau dari berbagai disiplin dan latabelakang akademik dan profesyion termasuklah petani, nelayan dan buruh akan sentiasa selesa dan senang dipandu oleh para ulamak sebagai pemimpin mereka.
Pemimpin ulamak di dalam PAS tidak “maksum”, mereka disenangi tetapi jika menyeleweng, mereka dengan sendirinya terjatuh atau akan dijatuhkan, ramai yang telah begitu mengikut rekod dari Presiden, Timbalan sehinggalah Setiausaha Agung. Yang “laju” yang memiliki cita-cita peribadi semuanya telah tersingkir dan tergelicir.

Kerana itu apabila ada usaha untuk menyerang apa lagi “menggulingkan”seorang pemimpin ulamak yang pada mata dan kepercayaan orang-orang PAS seorang yang terbukti ikhlas dan komited, datanglah dari mana arah sekalipun serangan tadi, maka serangan itu akan dianggap sebagai sesuatu yang cuba mencabar dan mengancam keutuhan PAS itu sendiri yang pada hakikatnya berpaksi atas kepimpinan ulamak.
Apabila PAS terancam, maka tatkala itu kekuatannya yakni ahli-ahli akar umbinya tanpa banyak pengarahan dan dorongan akan bingkas bangkit bertindak balas dan menyelamatkan satu-satunya parti Islam dalam Negara ini.

Bagi saya serangan melampau dan keterlaluan terhadap Tuan Guru telah memakan diri.
Kerana itu ada yang menyangka jawatannya akan terus kekal tiba-tiba memperolehi pencalonan kecil, sesuatu yang sangat tidak masuk akal. Kerana itu ada yang memegang jawatan YDP Kawasan sekian lama, tiba-tiba boleh tergolek jatuh dijatuhkan oleh mereka yang dikira dari “gred” yang rendah berbandingnya.

Inilah makan diri namanya.
Ada penganalisa yang menyatakan bahawa bilangan pencalonan nanti tidak mencerminkan bilangan undi dalam erti kata lain ianya belum boleh diterjemahkan kepada undi bagi menjamin kejayaan mana-mana tokoh dalam Muktamar nanti. Sekali lagi, mungkin bagi parti-parti siyasah lain begitulah bacaannya, tetapi bagi saya, realitinya dalam PAS, memilih pemimpin juga merupakan sebahagian dari amalan agama dan ibadah.

Gendang ancaman tehadap keutuhan dan kelangsungan perjuangan PAS telah dipalu sejak Tuan Guru diserang secara terbuka bermula beberapa bulan lampau. Ia terus kencang bergema.
Kawasan-kawasan telah meluahkan isi hati mereka. Dalam muktamar nanti,kekencangan dentuman paluan itu akan terus dirasai, dan saya percaya, ianya akan diterjemahkan sehingga mencorakkan satu saf kepimpinan yang akan merupakan satu pasukan yang boleh bekerja dan bergerak bersama Presiden mereka.

Saf kepimpinan itu tidak harus dikhuatiri mana-mana pihak kecuali Umno dan BN. Peranan PAS dalam Pakatan Rakyat nanti semakin bermakna kerana suara Presidennya nanti itulah juga suara mereka yang sepasukan dengannya, tiada lagi suara-suara sumbang seperti sebelum ini.
Islam yang diperjuangkan PAS akan lebih difahami dan dihormati samada oleh kawan mahupun lawan.

Itulah sepatutnya wajah PAS, iaitu cerminan asas dan pinsip perjuangannya dan cerminan keinginan dan kemahuan ahli-ahlinya. Wajah ini sekali-kali tidak akan berubah kecuali orang-orang PAS sudah longlai semangat juangnya dan terbuai pula dengan mimpi orang lain.
Terima kasih suara akar umbi PAS, kekallah PAS dengan wajah Islam tulinnya insyallah.