Inilah Presiden PAS...inilah ketua kami (26/3/15)

Thursday, March 26, 2015


Diketika PAS mahu berusaha melalui lunas dan peruntukkan demokrasi dan undang-undang untuk membawa dan memperkenalkan perlaksanaan syariat Islam ke atas umat Islam, diketika itulah ia menerima serangan, kritikkan dan cemuhan pelbagai pihak, kawan dan musuh , luar dan dalam.
Di Negeri Kelantan, bumi bertuah pertama di Malaysia yang akan menyaksikan perlaksaan sistem keadilan Islam itu segala proses demokrasi dan undang-undang telah pun lengkap diambil.

Malah Tuanku Sultan turut bertitah bersetuju untuk menjadikan Negeri Serambi Mekah itu negeri pertama yang mendaulatkan hukum Allah swt di Malaysia.
Ternyata PAS istiqamah dalam mahu melihat cita-cita perjuangannya dapat dilaksanakan.

Almarhum Tok Guru Nik Abd Aziz, yang mengambil inisiatif pertama membawa usul ini ke Dewan Negeri lebih 20 tahun dahulu telah melaksanakan tanggungjawabnya dan kini tiada lagi bersama kita.
Beban amanah ini terus digalas dengan cekal dan berani oleh Presiden PAS Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang.

Disaat memikul amanah inilah Tuan Guru berhadapan pelbagai ujian dan cabaran. Sehingga kini semuanya beliau lalui dengan penuh tabah dan gagah. Tidak goyang tidak goyah beliau lantaran tuntutan perjuangan dan janji Allah swt yang mahu dikejar oleh seluruh umat Islam dimana sahaja.
Menerima tentangan dari seteru politik bukanlah sesuatu yang asing. Umno yang sekian lama berseteru digelanggang politik dengan PAS, di Kelantan telah dapat menerima hakikat, dan memberikan persetujuaan terbuka, kerana ini peraturan Allah, bukannya bikinan tangan PAS atau pimpinannya.

Ahli-ahli Parlimen Umno, masih belum diduga, dan diharapkan atas nama Islam mereka akan menurut rakan-rakan mereka di Kelantan. Tetapi rakan-rakan komponan mereka khasnya yang bukan Islam secara terbuka telah menyatakan penentangan.
Bagi Tuan Guru dan PAS, apa pun ianya perlu diperkenalkan dan dibawa juga ke Dewan Rakyat untuk membuka laluan perlaksanaannya di Kelantan.

Menerima tentangan dari kawan, itu yang agak mengecewakan, tetapi atas nama kebebasan bersuara dan berpandangan, Tuan Guru selaku Presiden Parti Islam Se Malaysia teruskan juga.
Alangkah baik jika kawan-kawan faham. Berbahaslah di Dewan secara berhemah. Arahkan kawan-kawan ahli Parlimen yang beragama Islam agar menyokong kerana ini bukan ciptaan PAS tetapi tuntutan agama Islam, tuntutan ke atas mereka semua yang Muslim. Tetapi kelihatan kawan-kawan juga menolak.

Bagi Tuan Guru, selaku Presiden PAS ianya wajar diteruskan dan malah beliau sendiri akan membawa Private Bill bagi tujuan ini, jauh di sudut hati bukan hanya beliau tetapi semua ahli-ahli PAS dan saya percaya majoriti umat Islam Malaysia meletak harapana tinggi agar syariat Allah akan mendapat tempat, semoga semua yang beragama Islam, Umno, PBB, DAP, PKR atau mana sahaja akan menyokong.
Teringat ucapan beliau semasa Muktamar lalu:

“Jangan ingat majoriti yang besar selama-lamanya tanpa keredhaan Allah. Yang penting mencari keredhaan Allah…….”
Paling terguris hati sekali adalah apabila ada yang dalam jemaah sendiri yang seakan menghalang-halang. Beri keutamaan pada pemulihan banjir lah, apa perlu disegerakanlah, perlu dapat persetujuan dan sokongan PR dululah……

Bukan hanya Tuan Guru, semua kita yang cinta dan bersungguh menyumbangkan harta dan nyawa untuk perjuangan ini pasti terguris hati apabila berhadapan dengan anggota jemaah sendiri yang sedemikian. Tak pernah terfikir di benak kepala kita akan ada orang PAS lebih malang yang bertaraf pimpinan yang tergamak bersikap sedemikian diwaktu pancaroba ini.
Sekali lagi teringat pesanan Tuan Guru dalam Muktamar lalu:

“Ahli-ahli wajib beristiqamah. Wajib beramal, berdakwah, berjihad dengan ilmu, dengan fekah. Bukan ilmu sahaja, fekah, faham ilmu itu dan ikhlas. Menjaga adab berjemaah, bersatu dalam perkara dasar dan matlamat. Kita tidak berpecah walaupun berbeza pendapat.”
Hari ini seluruh kekuatan PAS berdiri dan memberi keyakinan kepada Tuan Guru Presiden untuk meneruskan kerja besar ini. Nakhoda yang mengemudi bahtera besar perjuangan kita ini perlu diberikan semangat, perlu diiringi, disokong dan diberikan kekuatan, kerana apa yang mahu beliau bawa adalah Islam. Ini bukan perjuangan peribadi beliau ini perjuangan kita semua.

Hari ini melalui FB nya Tuan Guru memberikan penjelasan sejelas-jelasnya “Isu Hudud” yang dikeliru dan dipesongkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.
https://www.facebook.com/abdulhadiawang/posts/788939631191157:0

Sehingga ada yang takut ada yang cemas angkara kerja-kerja jahat mereka yang tidak bertanggunmgjawab itu, begitulah apabila kita tidak patuh pada adab berjemaah.
Ayat penutup kepada penjelasan panjang-lebar Tuan Guru Presiden PAS itu perlu difahami

“Dalam masa yang sama, apa yang ingin dicadang dan akan dibawa oleh PAS menerusi Private Members Bill nanti pula bukanlah rang undang-undang hudud, tetapi pindaan dalam akta Mahkamah Syariah untuk membuka sedikit ruang bagi membolehkan satu-dua aspek syariah itu dilaksanakan terhadap penganut Islam sahaja.
Kita adalah makhluk yang berilmu, bertamadun dan matang. Maka dengarlah dahulu apa yang ingin dikemukakan. Jangan terus melompat dan bertempik gegak gempita memberikan kritikan tanpa mengetahui hujung pangkalnya.”

Saya secara peribadi bangga yang gerakan Islam PAS di Malaysia ini punya ketua atau Presiden seumpama Tuan Guru yang terserlah menzahirkan akhlak dan keperibadian pemimpin Islam diketika Islam dicaci dan dicemuh.
Semoga Allah swt merestui dan memberkati perjuangan ikhlas kita semua.

DAP tidak minta tukar Presiden PAS? (25/3/15)

Wednesday, March 25, 2015

DAP telah membuat satu keputusan baru-baru ini yang ramai anggap sebagai “childish” atau keanak-anakkan, apabila CEC nya memutuskan untuk terus bersama PAS dan PKR dalam Pakatan Rakyat namun memutuskan hubungan dan kerjasama dengan Presiden PAS yang mereka kononnya anggap sebagai “tidak jujur” dan “tidak bermaruah”.

Rata-rata ahli-ahli PAS yang masih yakin dengan perjuangan PR kesal dengan kenyataan DAP itu. Menuduh Presiden kami sedemikian, sangatlah kasar dan biadap. Tidak layak bagi seorang kawan bertindak begitu.
Lalu apa bacaan atau rasional dari keputusan “childish” itu.

Banyak tafsiran yang boleh diberi dan berbagai persepsi yang melayang-layang.
Saya sendiri dalam posting saya sebelum ini menyebut:

“Dan ada pemerhati yang menyatakan kenyataan Guan Eng ini sekaligus merupakan campurtangan terus DAP dalam urusan PAS apabila dilihat memberi isyarat kepada ahli-ahli PAS agar tukar Presiden dalam muktamar yang akan datang.
Mungkin idea ini cetusan benak kepala Guan Eng sendiri atau mungkin juga ia dibisikkan kepada beliau oleh orang tertentu dalam PAS yang turut mahu menukar Presidennya.Mana tahu melalui kenyatan sebegini orang PAS akan geletar lalu berlumba menjatuahkan Tuan Guru sebagai Presiden.”

Itulah bacaannya.
Ustaz Nasrudin Hassan, AJK PAS Pusat yang juga ahli Parlimen Temerloh mengulas dalam FB nya:

“Kesimpulan yang boleh saya rumuskan ialah, DAP tidak mahu pemimpin yang sukar mengikut rentak dan kehendak mereka seperti Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang. Sebaliknya DAP mahu pemimpin atau Presiden PAS yang boleh mengikut kemahuan dan telunjuk mereka. Tentu sahaja hasrat DAP itu tidak boleh ditunaikan sekarang, kerana Tuan Guru Hj Abdul Hadi masih memimpin PAS. Ertinya DAP mahukan Presiden PAS yang akan datang adalah Presiden yang boleh memenuhi citarasa DAP.”
Tiba-tiba hari ini sebagaimana dilaporkan oleh The Star Online, http://www.thestar.com.my/News/Nation/2015/03/25/DAP-ticks-off-nasrudin-over-dap-friendly-hadi/
pimpinan DAP melenting.

Ia menyebut:
“Several DAP leaders ticked off Temerloh MP Nasrudin Hassan for accusing the party of trying to influence members to install a "DAP-friendly president" in the June party elections.”
(Beberapa pimpinan DAP menegur AP Temerloh Nasrudin Hassan kerana menuduh parti itu cuba mempengaruhi ahli-ahlinya agar mengangkat “Presiden yang mesra DAP” dalam pemilihan parti itu Jun ini)

Kenapa melenting, bukankah itu jelas maksudnya?

Menyerang dan menghina peribadi Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang, Presiden PAS dan memutuskan hubungan dengannya tetapi dalam waktu yang sama mahu berkawan terus dengan PAS, membawa hanya satu mesej, tukar Presiden anda kepada seorang yang lebih mesra DAP, itu sahaja.

Cuba lihat dan teliti kenyataan Dr Ong Kian Ming, ahli parlimen DAP Serdang dalam laporan yang sama:
“We can’t influence how PAS members vote. We have just declared that it is difficult for us to work with Hadi at this point of time. PAS members have to decide for themselves,”
(Kami tidak boleh mempengaruhi para perwakilan PAS. Kami hanya mengisytiharkan bahawa buat masa ini kami sukar mahu bekerjasama dengan Hadi. Ahli-ahli PAS perlu memutuskan sendiri.)

Sudah terang tak perlu bersuluh.
Rasa saya kami semua termasuk Ustaz Nasrudin Hassan, tidak silap lagi, begitulah gamaknya.

Kerana itu kami menyelar keputusan itu.
PAS dan ahli-ahlinya tetap yakin dan percaya dengan Pakatan Rakyat, tetapi tindakan DAP jelas mahu memaksa kami samada tukar Presiden untuk kekal dalam PR atau menerima padahnya. Itu satu ancaman.

Mesej jelas dari berbagai kenyataan pimpinan dan ahli-ahli PAS kebelakangan ini adalah bahawa jangan sentuh Presiden kami, jangan sentuh urusan parti kami.
PAS tidak syak lagi mahu kekal berkawan dengan semua dalam PR. Peliharalah adab dan sopan dalam berkawan. Kawan tidak campurtangan hal rumahtangga kawannya, dan kawan tidak sekali-kali akan gigit dan cederakan kawan sendiri.

 

Apa keputusan DAP ini? (24/3/15)

Tuesday, March 24, 2015

Setelah keluar dengan berbagai ancaman terutama mengatakan bahawa hari-hari PAS dalam Pakatan Rakyat bakal berkahir, tiba-tiba DAP terbit dengan suatu keputusan yang agak membingungkan.

Mesyuarat Jawatankuasa Pusat atau CEC DAP semalam memutuskan akan meneruskan hubungan bersama PKR dan PAS dalam Pakatan Rakyat. Akan tetapi ia turut memutuskan, sebagaimana dinyatakan Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng : The Star Online:

“The DAP has lost trust and confidence in Hadi as a Pakatan Rakyat leader and will end ties and cease to work with him.”
(DAP telah hilang keyakinan dan kepercayaan pada Hadi sebagai pemimpin Pakatan Rakyat dan akan memutuskan hubungan dan kerjasama dengan beliau.)

Dan dalam TMI pula Guan Eng dilaporkan berkata:
“DAP tidak boleh bekerjasama dengan Presiden PAS seperti Hadi yang tetap bertindak secara tidak jujur dan tidak bermaruah”

Bermakna DAP mahu berkawan dengan PAS tetapi tidak mahu berkawan dengan Presiden PAS.
Sebagaimana ramai kita mengalu-alukan keputusan DAP untuk terus kekal dalam Pakatan Rakyat, namun demikian keputusan memotong Tuan Guru Presiden PAS begitu, ternyata merupakan satu “disrespect” atau penghinaan yang tidak sewajarnya dikenakan ke atas ahli-ahli PAS yang telah mengangkat Tuan Guru sebagai Presiden mereka.

Dan ada pemerhati yang menyatakan kenyataan Guan Eng ini sekaligus merupakan campurtangan terus DAP dalam urusan PAS apabila dilihat memberi isyarat kepada ahli-ahli PAS agar tukar Presiden dalam muktamar yang akan datang.
Mungkin idea ini cetusan benak kepala Guan Eng sendiri atau mungkin juga ia dibisikkan kepada beliau oleh orang tertentu dalam PAS yang turut mahu menukar Presidennya.Mana tahu melalui kenyatan sebegini orang PAS akan geletar lalu berlumba menjatuahkan Tuan Guru sebagai Presiden.

Apa pun ternyata setelah sekian lama berkawan Guan Eng tidak langsung mengenali peribadi dan personaliti Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang. Beliau tidak punya agenda peribadi, bukan mahu berebut jawatan atau tergila mahu menjadi PM. Beliau istiqamah dalam perjuangan menegakkan Islam sebagaimana ditegas dan digariskan oleh Perlembagaan PAS.
Segala yang diperjuangkan Tuan Guru, samada dalam krisis MB Selangor, mahupun isu perlaksanaan Hudud di Kelantan, segalanya menepati tuntutan perjuangan PAS, tidak lari dan terpesong beliau dari jalan lurus yang diterokai PAS zaman-berzaman.

Kiranya kerana perjuangan ini maka Guan Eng anggap Tuan Guru tidak jujur dan tidak bermaruah, maka tidak jujur dan tidak bermaruahlah seluruh kekuatan ahli dan penyokong PAS yang mendukung perjuangan ini.
Walaubagaimanapun keputusan Guan Eng dan DAP itu hak mereka, bagi kita ianya sesuatu yang “childish” atau keanak-anakkan dan lebih sebenarnya ke arah mahu campurtangan membantu menurunkan Presiden PAS dari jawatannya.

Kepimpinan Ulamak dalam PAS akan kekal samada Guan Eng setuju ataupun tidak.
Kenyataan beliau yang “childish” itu sesungguhnya akan membakar lagi semangat akar-umbi PAS untuk bangkit pertahankan Tuan Guru Presiden mereka yang mereka yakin berada atas landasan Islam yang sebenar.

Terima kasih Guan Eng.

 

 

 

 

Demi penentangan Kit Siang terhadap Hudud (23/3/15)

Monday, March 23, 2015


Hari ini kita mendengar apa yang tidak pernah sebelum ini kita jangkakan akan terbit dari lidah pemimpin veteran DAP yang juga ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang.
Demi marah dan tidak-puas hatinya terhadap usaha kerajaan PAS Kelantan untuk melaksanakan hukum Hudud di negeri berkenaan, Kit Siang hari ini sanggup membakar kelambu.

Pimpinan PAS dan kerajaan Kelantan sebelum ini dengan konsisten telah menjelaskan pendirian, dan sikap mereka dengan jelas dan nyata. PAS sendiri sebuah parti yang memperjuangkan Islam, hakikat ini diketahui semua rakyat Malaysia sejak parti ini ditubuhkan lebih 60 tahun dahulu.
PAS akan berusaha menggunakan kuasa politiknya yang diberi rakyat untuk memperkenal dan melaksanakan hukum dan peraturan berlandaskan Islam.

Itupun ianya mahu dilaksanakan bukannya secara paksa, tetapi berdasarkan peraturan dan acuan demokrasi yang turut dijunjung dan disanjung DAP.

Itupun ianya mahu dilaksanakan hanya ke atas rakyat Kelantan yang beragama Islam. Masyarakat bukan Islam yang dijuarai Kit Siang, tidak terlibat apa sekalipun.

Tetapi usaha PAS ini ditentang sekeras-kerasnya oleh Kit Siang dan rakan pimpinannya dalam DAP. Berbagai alasan direka.
Antaranya ia kononnya cuba memperkosa semangat Perlembagaan Negara yang kononnya menetapkan Malaysia ini sebagai sebuah Negara sekular. Kononnya peraturan ini jika diluluskan akan mengakibatkan terhakisnya hak asasi individu. Kononnya ia akan menghasilkan dua sistem perundangan yang berbeza yang hanya memisahkan sesama rakyat atas batas agama.

Presiden PAS Dato Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang diserang secara terbuka dan bertubi-tubi sebagai pengkhianat dan penipu.

Kenapa Kit Siang jadi begini?
Bukankah beliau seorang “statesman” seorang negarawan seorang ahli politik Negara yang veteran dan disegani. Beginikah PAS diperlakukan, beginikah Presiden PAS diperlakukan hanya semata-mata kerana mahu melaksanakan dasar perjuangan mereka menepati amalan dan lunas demokrasi?
Tidak cukup dengan penentangan terbuka, Kit Siang turut mendesak ahli-ahli Parlimen lain, bukan hanya dari parti beliau tetapi juga dari Pakatan Rakyat dan malah termasuk dari BN untuk bangkit bersama beliau menghalang perlaksanaan hukum Islam yang cuba diperkenalkan PAS.

Kit Siang membakar sentimen kebencian terhadap usaha PAS ini tanpa menyedari bahawa persepsi terbuka di luar sana menunjukkan beliau bangkit menyerang Islam samada di sedari ataupun tidak.
Dan hari ini dilaporkan dalam akhbar, setelah membakar kelambu, Kit Siang sanggup pula naik katil lain dan beradu dengan musuh-musuh politiknya sebelum ini, demi bersungguh mahu memanjangkan penentangannya terhadap usaha memperkenalkan peraturan Islam dikalangan rakyat yang beragama Islam.

Kata Kit Siang kiranya PM Najib Tun Razak mengumumkan sokongan Umno terhadap usaha PAS ini di Parlimen nanti, maka tiba masanya untuk suatu gagasan baru “Selamatkan Malaysia” ditubuhkan yang mengumpulkan ahli-ahli Parlimen dari berbagai parti samada PR atau BN termasuk dari Sabah dan Sarawak untuk bangkit mempertahankan Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-undang dengan melantik seorang Perdana Menteri baru yang memimpin sebuah kerajaan yang baru.
Bagi saya usaha kecil Kelantan ini, yang rata-rata disokong oleh umat Islam melewati batas politik telah menzahirkan Kit Siang yang sebenar.

Ini bukan tuduhan. Ini bukan sangkaan buruk. Tetapi inilah yang boleh dibaca dari kenagkuhan dan tindak-tanduk beliau kebelakangan ini.
Hanya semata-mata kerana kita mahu melaksanakan tuntutan Islam ke atas sesama penganut kita, berdasarkan peruntukkan Perlembagaan dan peraturan undang-undang, Kit Siang berang dan seakan mengisytiharkan perang ke atas usaha ini.

Biar pecah berderai Pakatan Rakyat, biar kita tubuh satu Pakatan baru, BN dan DAP dan rakan sekutu yang mahu, asalkan kerajaan ini terjamin tidak memberi ruang kepada usaha mendaulatkan Islam sebagai satu sistem hidup bermasyarakat.
Seorang pemimpin PAS sebelum ini telah mengeluarkan kenyataan alangkah baik jika Kit Siang dan DAP menasihatkan sahaja masyarakat bukan Islam bahawa Hudud di Kelantan itu hanya terkena ke atas orang Islam, oleh itu masyarakat Islam tidak perlu cemas dan gusar.

Kami mahu mengamalkan kepercyaan kami, suatu langkah yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan yakni akan kebebasannya, tetapi mengapa Kit Siang menentang?
Bakar kelambu, naik atas katil lain untuk beradu hanya semata-mata kerana masyarakat Islam Kelantan mahu mengamalkan agama mereka, apa ni Kit Siang?

Seorang “statesman” seorang negarawan, perlu mewakili kepentingan semua rakyat Malaysia, dan bukan mudah baran dan membuka ruang untuk berbalah dan bertelagah.
Saya berharap agar angin toleransi dan kasih sayang akan segera bertiup ke arah wajah DAP dan Kit Siang. Biar semua kembali rasional dan berpijak atas realiti semasa.

Jika tidak dan sebaliknya angin amarah terus menggenggam jiwa, maka sebagaimana marahnya Kit Siang dan DAP, maka beliau dan DAP juga perlu bersedia menanggung risiko, kesan sikap mereka dan tindak-balas yang bakal diterima akibatnya.

 

Kuala Kedah tolak agenda Pasma? (22/3/15)

Sunday, March 22, 2015

Kuala Kedah merupakan kubu kuat PAS sejak zaman berzaman.

Ianya terus dipertahankan apabila pada PRU lalu Pakatan sapu bersih semua kerusi-kerusi dalam kawasannya. Kerusi Parlimen yang dahulunya milik PAS dimenangi calon PKR manakala 3 kerusi DUN nya iaitu Anak Bukit, Kubang Rotan dan Pengkalan Kundor semuanya dimenangi calon-calon PAS dengan majoriti lebih dari 1,000 undi belaka.

Kerana itulah apabila Yang Dipertua PAS Kawasannya menjadi peneraju dan penggerak utama Pasma, sebuah NGO yang kini dilihat lebih memecah-belahkan PAS dari dalam, ramai menjadi tergamam.
Phahrolrazi ADUN Pengkalan Kundor yang dahulunya EXCO PAS semasa PAS memerintah Kedah, secara terang-terangan memperjuangkan Pasma atas alasan kononnya mahu mempertahan dan memperkukuhkan Pakatan Rakyat.

Akhirnya NGO ini lebih dilihat sibuk mencaturkan pucuk pimpinan dalam PAS, menyerang Presiden PAS dan bertarung dengan Ulamak PAS.
Ramai kalangan ahli dan penyokong PAS kesal dengan tindak-tanduk Pasma ini sehinggalah Majlis Syura Ulamak mengeluarkan pengarahan agar ahli-ahli PAS tidak terlibat dengan sebarang program dan aktiviti NGO ini.

Sejauh mana jayanya agenda Phahrolrazi dan Pasma, kita serah pada Allah swt.
Apa pun yang pasti PAS Kawasan Kuala Kedah telah pun selamat melangsungkan Mesyuarat Agung Tahunan baru-baru ini. Phahrolrazi khabarnya melepaskan jawatan YDP atas alasan mahu aktif dalam Pasma (khabarnya juga penyandang yang baru menerima lebih pencalonan dari cawangan-cawangan berbanding beliau).

Dan yang menariknya PAS Kawasan Kuala Kedah kekal mencalonkan Dato Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang sebagai Presiden PAS dalam Muktamar Agung PAS ke 61 nanti (walaupun Tuan Guru diserang serata pelusuk oleh Phahrolrazi sebelum ini).
Kuala Kedah kekal istiqamah bersama Tuan Guru Presiden walaupun perasmi mesyuarat mereka AJK PAS Pusat, Nizar Jamaluddin dalamucapannya ddengan lantang mendesak dilakukan perubahan pucuk pimpinan.
Tahniah PAS Kuala Kedah.

(Mungkin Nizar pun boleh ikut jejak Phahrolrazi)
 

 

HUkum Hudud pasti diterima umat Islam Malaysia (22/3/15)


Pada tanggal 15 Syawal tahun ke 3 Hijrah berlakulah Perang Uhud.
Apa yang mahu saya sentuh di sini betapa agenda pihak musuh ketika itu adalah untuk membunuh batang tubuh Rasulullah s.a.w. Dakwah dan risalah Baginda tidak boleh mereka terima. Islam satu ancaman besar buat Semenanjung Tanah Arab.

Disatu peringkat peperangan pihak musuh hampir berjaya jika tidak kerana keberanian beberapa anggota tentera Islam termasuklah dari kalangan wanita yang telah bertindak menjadikan tubuh badan mereka perisai mempertahankan Rasulullah s.a.w

Akibat asakkan yang keterlaluan menurut riwayatnya Rasulullah s.a.w telah mengalami kecederaan, pipinya luka dan gerahmanya tercabut.
Dalam persitiwa berkenaan Rasulullah s.a.w telah bersabda:

“Bagaimana boleh berbahgia sesuatu kaum yang melukai wajah Nabi mereka dan mematahkan gigi gerahmnya padahak dia menyeru dan mengajak mereka kepada Allah”
(Hadis Riwayat Muslim dari Anas bin Malik r.a)

Uhud akhirnya merupakan “catalyst” atau pemangkin ke atas kejayaan perjuangan Rasulullah s.a.w, seruan dan ajakkan Baginda kepada umat Arab ketika itu untuk menerima Islam sebagai satu cara hidup akhirnya berjaya apabila pada tanggal 10 Ramadhan tahun ke 8 Hijrah, Kota Mekah telah dapat ditawan. Dari situ Islam terus tersibar luas sehinggalah ke seluruh dnia hari ini.
Apa pegajarannya hari ini?

Hari ini Islam sebagai sebuah cara hidup cuba disemarkkan kembali. Hari ini satu Malaysia memperkatakan darihal Hukum Hudud, iaitu hukum dan peraturan Allah swt, yang cuba mahu dilaksanakan di negeri Kelantan melalui kaedah perundangan dan demokrasi berparlimen.
Namun kita bukan Rasulullah s.a.w, kita juga bukan tentera Islam di Uhud yang sedang menghadapi seranggan dan asakkan pihak kuffar.

Apa yang sama cuma kita diperingkat menyeru dan mengajak manusia khasnya umat Islam untuk menerima peraturan yang diperjuangkan dengan nyawa, darah dan airmata oleh junjungan besar kita Rasulullah s.a.w.
Rasulullah s.a.w dilukai batang tubuhnya, cedera di pipi dan tercabut giginya. Apalah sangat kita sekadar diserang dimedia dan diancam oleh kawan dan musuh. Ada yang memperlekehkan kita, ada yang mempersendakan kita.

Kita mungkin hilang kuasa, kita mungkin hilang kawan, kita mungkin dicabar di mahkamah dan seumpamanya, itu semua kerja Allah swt.  
Namun kerana kita yakin dan dididik oleh Rasulullah s.a.w untuk terus yakin mengejar kemenangan Islam yang luas ganjarannya melebihi dunia dan isinya, mohon pimpinan kita disemua peringkat terus istiqamah.

Umat Islam disemua peringkat kecuali segelintir kecil akan terus menyokong dan bersama dibelakang perjuangan yang diasaskan Rasulullah s.a.w ini. Hari ini pun kita lihat ramai yang sudah keluar, yang dahulunya diam dan tidak campur, hari ini apabila liht jalan menuju perlaksanaan Islam cuba diganggu dan digugat, mereka telah bangkit.
Perjuangan ini pasti dibantu Allah swt.

 

Hukum Hudud: Jangan sampai dilihat anti Islam (19/3/15)

Thursday, March 19, 2015


Sedang saya menulis posting ini EXCO Agama Negeri Kelantan, iaitu ADUN Meranti YB Ustaz Nassuruddin Daud sedang menggulung perbahasan pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II (1993) (pindaan 2015) di Dewan Undangan Negeri Kelantan.
Enakmen ini dijangka diluluskan sebulat suara dalam Dewan.

Susulan dari kelulusan yang dijangka itu, satu Private Bill atau Rang Undang-undang Persendirian akan dibawa oleh wakil PAS dalam Parlimen untuk meluaskan bidang kuasa Mahkamah Syariah dengan meminda Akta 355 iaitu Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.

Satu aspek penting pindaan ini adalah ia mengecualikan sama-sekali mereka yang bukan beragama Islam dari dikenakan tindakan. Ini bermakan rakyat Kelantan yang bukan beragama Islam tidak lagi diberikan pilihan sebaliknya dikecualikan sama-sekali dari didakwa atau dikenakan tindakan di bawah Enakmen ini.
Dengan pindaan ini bermakna sebarang kebimbangan masyarakat bukan Islam selama ini, sepatutnya tersingkap oleh kerana mereka tidak lagi terbabit atau dibabitkan dengan perundangan ini.

Tajuk muka depan akhbar The Star hari ini memaparkan:
“The enemy within”

Dimana dilaporkan parti-parti politik bukan Islam seakan bimbang dan berazam mahu menggagalkan kelulusan enakmen ini.

DAP iaitu rakan komponan PAS dalam Pakatan Rakyat menuduh PAS menikamnya dari belakang. Gerakan pula iaitu komponan Umno dalam BN telah mengemukakan saman di Mahkamah Kota Bharu untuk mengisytiharkan Enakmen Kelantan ini batal kerana bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

MCA juga dilaporkan akan mengambil tindakan malah seorang pemimpinnya dipetik dalam akhbar berkenaan sebagai berkata kiranya ahli-ahli Parlimen Umno nanti menyokong pindaan ini, mereka tidak akan reragak-agak akan keluar dari BN.
Mengapa begitu kalut sekali sedangkan ianya tidak terkena ke atas masyarakat bukan Islam?

Malah EXCO Agama Kelantan semasa menggulung perbahasan tadi memetikPerkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang menyebut Islam adalah agama Persekutuan tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai dimana-mana Bahagian Persekutuan.
Sebagaimana Perkara ini menjamin kebebasan agama-agama lain mengamalkan kepercayaan mereka dengan aman dan damai, maka enakmen ini juga bagi umat Islam merupakan sebahagian dari amalan kepercayaan mereka, maka demi meluhuri Perlembagaan Persekutuan berkenaan, wajar sangatlah masyrakat Islam diberikan kebebasan buat mereka mengamalkan agama mereka.

Bagi saya masyarakat bukan Islam perlu terima kerana kepentingan mereka langsung tidak terjejas.
Manakala bagi parti-parti politik pula, keghairahan mereka menentang dan menolak enakmen ini samada mereka sedar atau tidak sesungguhnya akan memberi persepsi, atas semangat Perlembagaan Persekutuan yang disebut, bahawa mereka sebenarnya menentang Islam dan anti Islam.

Jangan jadikan persepsi demikian menyala, akhirnya ia akan membakar peluang dan masa depan politik anda masing-masing.
Tahniah Kelantan, semoga jalan melaksanakan hukum-hukum Allah ini akan terus terang dan lancar.

Hari bersejarah buat Kelantan dan Islam (18/3/15)

Wednesday, March 18, 2015


Hari ini bukan hanya hari paling bersejarah buat negeri Kelantan tetapi sesungguhnya ia suatu hari yang bersejarah buat Malaysia dan buat mereka yang menyokong dan mendukung perjuangan Islam.
Pagi tadi Ustaz Dato MB Kelantan telah membentangkan Pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II (1993) 2015 di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan.

Pindaan enakmen berkenaan kiranya diluluskan akan membuka jalan bagi perlaksanaan Hukum Hudud di negeri “Serambi Mekah” itu. Proses seterusnya selepas memperolehi kelulusan adalah membawa satu Private Bill ke Parlimen untuk mendapat kelulusan dan akhirnya akan menyaksikan Kelantan sebagai negeri pertama dalam Malaysia yang melaksanakan hukum jenayah Islam berlandakan al Quran.
Persidangan dewan telah ditangguhkan tengahari tadi dan akan disambung pagi esok.

Ustaz Dato Ahmad Yakob semasa pembentangannya pagi tadi dilaporkan oleh media sebagai berkata:
“….. pihak yang masih mengkritik enakmen hudud yang dibentangkan hari ini adalah “golongan yang tidak beriman”.
Jelas golongan yang dimaksudkan oleh MB itu adalah dikalangan orang-orang Islam, kerana yang bukan Islam memang telah tidak beriman.
Satu fakta ketara dalam pindaan ini adalah bahawa ianya menidakkan sama sekali perlaksanannya ke atas rakyat Kelantan yang tidak beragama Islam. Malah tiada opsyen atau pilihan pun buat mereka untuk memilih diadili di bawah undang-undang ini.
(Oleh itu tidak ada sebab samada Gerakan, MCA, DAP atau sesiapa sahaja yang kononnya menjuarai kepentingan bukan Islam mahu meneruskan penentangan mereka, ini hal dan urusan orang Islam)
Maka layaklah apabila MB berkata, yang terus mengkritik undang-undang ini sesungguhnya golongan yang tidak beriman.
PAS Kelantan memikul tanggungjawab meluluskan undang-undang ini kerana itulah janjinya sejak memperoleh kuasa pada tahun 1990. Malahan itulah janji PAS setiap kali menyertai pilihanraya umum, iaitu bergerak untuk melaksanakan hukum dan peraturan yang diredhai Allah swt.
Ia diluluskan di Kelantan dan telah pun diluluskan di Terengganu semasa penggal PAS memerintah negeri berkenaan selepas PRU 1999.
Oleh itu saya merasakan amat tidak adil apabila ada pihak-pihak menggunakan bencana banjir sebagai alasan untuk Kelantan tidak mengambil inisiatif ini.
Sesungguhnya Kelantan memang sedang pesat memulihkan negeri berkenaan setelah menghadapi bencana banjir paling buruk akhir tahun lalu. Namun usaha untuk meluluskan undang-undang dan peraturan yang merupakan perintah Allah swt ini, tidak seharusnya dilontar ke belakang semata-mata atas alasan pemulihan banjir.
Kerja-kerja pemulihan banjir perlu diteruskan dan dalam waktu yang sama, kerja-kerja memungkinkan negeri berkenaan memperoleh redha Allah swt juga perlu diteruskan.
Hari ini kita bukan mahu menguatkuasakan hukum berkenaan, ianya perlu diluluskan dibanyak peringkat lagi.Hari ini kita sedang bertarung mahu memungkinkan undang-undang ini mendapat kelulusan dan akhirnya nanti dapat dikuatkuasa dan dilaksanakan. Prosesnya belum selesai, lantas pemulihan banjir boleh sahaja berjalan beriringan, tidak perlulah menjadi juara mengajar orang Kelantan mana satu keutamaan.
Diperingkat ini tidak ada orang Islam yang istiqamah dan komited pada agama mereka yang tidak berbangga dan bersyukur dengan insiatif saudara seagama kita di Kelantan.
Marilah kita berdoa agar usaha murni PAS Kelantan dan rakyat Kelantan ini nantinya berjaya, dan Kelantan bakal menjadi “Serambi Mekah” sebenar lengkap sebagai sebuah Negeri Madrasah Ilmu dan negeri yang mendukung dan melaksanakan hukum dan peraturan Allah swt untuk dicontohi yang lain.

 

 

 

 

 

 

Berseronok meraikan kemenangan pra matang (16/3/15)

Monday, March 16, 2015


Mari jatuhkan Tuan Guru Presiden PAS. Mari pastikan beliau bukan lagi Presiden dalam Muktamar PAS ke 61 di Kuala Selangor nanti. Mari kita ubah teraju dalam PAS, agar haluan bahtera PAS ini pun dapat diubah.
Berita 17 orang AJK PAS Kawasan Batu, Wilayah Persekutuan, diketuai Yang Dipertuanya, Ishak Surin, meletak jawatan secara “en bloc” atau berkelompok kerana protes terhadap kononnya kelemahan kepimpinan Presiden PAS bukanlah sesuatu yang mengejutkan pun.

Demikian juga pencalonan beberapa tokoh oleh PAS Kawasan untuk mencabar Tuan Guru Presiden PAS dalam muktamar akan datang, juga bukan sesuatu yang tidak dijangka.
Bermula dengan Kota Bharu, yang mencalonkan Ustaz Dato Tuan Ibrahim (yang kemudiannya menolak pencalonan berkenaan kerana ingin kekal ber”Presiden”kan Tuan Guru) diikuti Kota Tinggi yang mencalonkan Datuk Husam. Dan di Shah Alam , berlaku pengundian kerana perwakilan terikat dengan dua calon iaitu antara Tuan Guru dan Ustaz Ahmad Awang (akhirnya pencalonan Tuan Guru menang dengan kelebihan 6 undi).

Saya menyatakan demikian kerana gelagat beberapa kerat pimpinan PAS sebelum ini memang menandakan seakan ada usaha ada komplot secara senyap atau terbuka yang memang mahu melihat perubahan pucuk pimpinan PAS, khasnya Tuan Guru Presiden dan beberapa kalangan ulamak yang dikatakan menjadi batu penghalang besar terhadap agenda peribadi mereka.
PAS di bawah Tuan Guru Presiden dikatakan kononnya terlalu “exclusive” terlalu ketinggalan dari sudut pendekatan, ringkasnya tidak “open” tidak anjal sebagaimana mereka inginkan. PAS di bawah Tuan Guru bagi mereka membawa imej Islam yang “unfriendly”, mereka mahu Islam PAS biarlah bersifat lebih “friendly” lebih moderat, mudah di bawa berbicang, ditolak ke sini dan ke sana.

Dan dimanakah musim yang lebih baik untuk menzahirkan kempen mereka untuk menolak Tuan Guru Presiden selain semasa musim pemilihan PAS sekarang ini.
Kita sudah dengar seawal beberapa bulan lalu, asakkan indoktrinasi bahawa Presiden PAS ini tidak semestinya ulamak walaupun PAS ini parti Islam yang menjunjung konsep kepimpinan ulamak.

Ianya menjadi lebih gegak-gempita apabila ada yang memainkan-mainkan rekod lama, lagu-lagu lama diputar kembali, demi mahu menyogok agenda mereka, kononnya Tuan Guru cenderung pada Umno lebih dari rakan-rakan dalam Pakatan. Kononnya Tuan Guru bersungguh mahu membelakangkan Pakatan dan membentuk kerajaan campuran Umno-PAS satu ketika dahulu. Malah dalam meniti krisis MB Selangor pun, puak-puak inilah yang menuduh Tuan Guru berkemungkinan mahu membentuk kerajaan campuran PAS-Umno di Selangor, apabila mengarahkan keempat-empat EXCO PAS kekal dalam kerajaan Tan Sri Khalid dulu.
Lagu-lagu lama yang sudah sumbang ini dijaja kemerata pelusok Negara.

Apabila terdedah rakaman audio yang dikatakan perjumpaan Timbalan Presiden PAS, Muhammad Sabu,  dengan beberapa pengikutnya, yang transkripnya berbunyi:
Dalam dua tiga hari ni saya cuba buat ‘counter attack’ (serang balas) dalam bentuk bertemu individu. Semalam saya ke Tanjong Karang bertemu dengan YDPnya, bertemu dengan Sungai Besar, bertemu dengan YDP dan jawatankuasanya dua tiga orang. Secara umumnya Presiden dianggap ulama hebat dan maksum perlu ‘denied’ (dinafikan). Bila kita memberi penjelasan secara agak detail apa yang berlaku dalam mesyuarat keputusan- keputusan yang dibuat tentang hal Selangor, bagi mereka, mereka dengan dalam bentuk ‘hearsay’ (khabar angin), tak dapat maklumat yang betul, sampai ke bawah. Bagi saya ‘counter offensive’ (serang balas) ini perlu digerakkan dalam masa sebulan dua ini. Bukan dalam bentuk ceramah, bukan dalam bentuk blog, dalam bentuk menemui yang dipanggil pimpinan yang berkemungkinan menjadi perwakilan. Secara ringkasnya kita tengok, mereka mendahului……

Semakin zahir cita-cita puak-puak ini.
Apabila ada pemimpin lain pula secara terbuka melekehkan kepimpinan Presiden sendiri. Seperti Hanipa Maidin yang kebelakangan ini menolak apa sahaja yang dating dari Presiden, termasuk soal puasa sunat dan solat pun disentuh.

Ada pula yang merendahkan contohnya keutamaan kerajaan Kelantan mahu melaksanakan Hukum Hudud, yang disokong kuat oleh Tuan Guru dan Almarhum bekas Mursyidul Am. Dr Zulkifli Ahmad dan Dr Mujahid umpamanya secara terbuka menyatakan asakkan terhadap ini sesungguhnya bukan keutamaan diwaktu ini.
Selain itu dakwaan skandal “Hawaii Five O” turut menyumbang dalam mencetuskan tanda-tanya.

Memang segala pendedahan, kelantangan, dan penerjahan pihak-pihak di atas yang rata-rata mahu mencuit dan merebahkan kepimpinan Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang, sebenarnya sedang asyik diperhatikan.
Yang vokal penuh bernafsu menunjukkan ketaksuban terhadap gagasan baru ini, menunggang NGO PasMa, mengadakan forum dan terbaru meletak jawatan “en bloc, semuanya mahu memaksa pandangan bahawa memang PAS perlukan Presiden baru yang lebih “open” dan moderat.

Akan tetapi mereka ini menafikan suara “silent majority’ dalam PAS yang sesungguhnya kecewa, malu dan mual dengan tindak-tanduk ini.
“Silent majority” ini masih mahu meniti adab dan akhlak menjadi ahli gerakan Islam. Mereka sedih apabila melihat seorang ulamak tersohor umpama Tuan Guru diperlakukan demikian rupa oleh anak-anak didik, anak-anak buahnya sendiri, lantaran keghairahan mereka masing-masing tergesa-gesa mahu memetik buah yang belum ranum.

“Silent majority” ini menyertai PAS kerana mahu berjuang Islam.

Kepimpinan Ulamak yang menerajui PAS lebih 3 dekadlah yang telah menarik minat dan pesona “silent majority” dalam PAS untuk berjuang dan bersama-sama menyumbang keringat, tenaga, darah dan airmata untuk memenangkan Islam.
Biarlah yang vokal dan bernafsu ini mencetuskan momentum untuk menghakis keyakinan para perwakilan kononnya terhadap Tuan Guru, orang-orang PAS yang sejati lebih tahu dan faham.

Saya yakin dan percaya “silent majority” yang merupakan sebahagian besar akar umbi dan kekuatan PAS dari utara ke Selatan termasuk Sabah dan Sarawak, yang sejati, yang mahu Islam terus menjadi agenda perjuangan PAS dibimbing oleh ulamak yang ikhlas dan bertaqwa, akhirnya pada Mukatamr ke 61 nanti akan bersuara dengan lantang menegakkan yang hak dan merebahkan yang batil.
Biarlah satu-dua yang berbeza pandangan, berbeza pendekatan dan terkadang berbeza agenda ini merayakan “kemenangan” pramatang mereka, umumnya yang “silent majority” insyallah senang dan setia dengan apa yang telah dibina sekian lama, dan akan terus istiqamah mempertahankan Tuan Guru, kepimpinan ulamak, dan perjuangan PAS yang asal dan sejati.

 

Apabila gelanggang demokrasi dibuka dalam PAS (15/3/15)

Sunday, March 15, 2015


Gelanggang ataupun pentas demokrasi sudahpun di buka dalam PAS.
Ayuh kita bertarung.

Kini musim kawasan-kawasan PAS seluruh Negara mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan masing-masing. Agendanya selain memilih pimpinan kawasan adalah mencalonkan pula nama-nama untuk diangkat sebagai calon-calon pimpinan Pusat dalam Muktamar bulan Jun nanti.
Bukan pun janggal proses pemilihan dalam PAS.

Semasa Almarhum Dr Burhanuddin al Helmy menyertai PAS pada tahun 1956 berlaku pertandingan untuk jawatan Yang Dipertua Agung PAS (sekarang Presiden). Almarhum bertanding melawan Almarhum Prof Zulkiflee Mohammad.
Kemudiannya kita juga pernah menyaksikan jawatan Timbalan Presiden dipertandingkan beberapa kali demikian juga Naib-naib Presiden.

Tiada halangan dalam Perlembagaan PAS untuk mana-mana ahli PAS bertanding mana-mana jawatan yang dipertandingkan tertakluk kepada pencalonan kawasan-kawasan.
Kerana itu bukannya kejutan pun apabila PAS Kawasan Kota Bharu mencalonkan Ustaz Dato Tuan Ibrahim sebagai calon Presiden (walaupun ia kemudiannya ditolak secara terbuka oleh Dato Tuan kerana mahu terus ber” Presiden” kan Dato Seri Tuan Guru). PAS Kota Tinggi pula calonkan Dato Husam Musa. Dan entah mana kawasan lain akan mencalonkan orang lain.

Ini semua bukti bahawa amalan demokrasi “hidup” dalam PAS.
Begitu juga apabila ada pimpinan mahu mengeluarkan kenyataan menolak pencalonannya sebagaimana Dato Tuan Ibrahim, itu juga demokrasi. Dan apabila Mursyidul Am PAS yang baru Ustaz Dato Dr Harun Din meminta supaya Dato Seri Tuan Guru dikekalkan sebagai Presiden, itu pun demokrasi. Begitu juga kenyataan PAS Selangor diikuti kenyataan MB Kelantan, itu semua demokrasi.

Namun PAS adalah sebuah gerakan Islam. Demokrasi diterima pakai, dan dalam waktu yang sama amalan serta disiplin Islam dijunjung dan dihormati.
Dalam hal ini Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang dalam bukunya: “Islam dan Demokrasi” telah memetik kata-kata Imam Syafiee yang pernah menegaskan:

“Tiada politik tanpa hukum syarak”
Tuan Guru turut dengan jelas menghuraikan dalam bukunya itu perbezaan ketara antara demokrasi Barat dan Islam. Antara lain perbezaan yang sewajarnya menjadi pemisah amalannya dalam PAS berdemokrasi adalah:

1)Hubungan agama dan politik. Islam tidak sama sekali memisahkan politik dengan agama berbanding demokrasi barat memisahkan kuasa pemerintahan dengan kuasa paderi(agama).
2)Permesyuaratan. Dalam demokrasi barat hanya menekankan aspek politik sahaja. Manakala dalam Islam ditekankan seluruh aspek termasuk ibadah.

3)Ketuanan atau kekuasaan rakyat. Dalam Islam tiada kuasa mutlak, kerana ia hanya milik Allah.
4)Demokrasi barat tidak terikat dengan agama dan akhlak, bahkan dikuasai hawa nafsu.

5)Hanya menghormati pandangan majoriti, tetapi Islam mengambil berat juga dengan pandangan minoriti yang berilmu.                                                                                                                                                                                            
Disitulah sepatutnya beza amalan demokrasi khasnya berkaitan pemilihan dalam PAS berbanding keseluruhan parti sekular yang lain dalam Negara.

Dalam proses pemilihan ini PAS dilihat berpecah dua atau tiga atau berapa sekalipun. Namun ianya persaingan untuk menaikkan yang terbaik yakni yang paling baik antara yang baik-baik belaka. Yang mahu diisi adalah saf kepimpinan gerakan Islam PAS, yang punya dasar dan matlamat serta cita-cita perjuangan yang jelas.
PAS mahu berjuang atas pentas demokrasi sehingga mampu melaksanakan Islam sebagai satu cara hidup bernegara dan bermasyarakat.

Sewajarnya mereka yang paling berilmu dan berpengalaman serta mahir dan faham akan seluk-beluk inilah dinaikkan ke atas sebagai pemimpin tertinggi. Pemimpin yang boleh dan sanggup membawa Islam ke tengah, yang tidak akan tunduk kepada tekanan dan ancaman.
Kita mahu pemimpin-pemimpin kita nanti jenis yang menyumbang kepada kesuburan Islam, Brunei contohnya telah menjadi Negara moden pertama di rantau sebelah sini yang telah berjaya melaksanakan sistem perundangan Islam sebagaimana diperintah oleh Allah swt dan Rasul Nya s.a,w. PAS mahu jadi begitu.

Lalu bijak-bijaklah kita memilih.
Yang penting diperingkat ini amalan demokrasi yang membuka pintu pagar pertarungan untuk jawatan-jawatan tertinggi dalam PAS ini biarlah mematuhi dan menuruti prinsip dan peraturan syarak.

Selepas selesai, sebagaimana pada tahun 1956 dahulu, Almarhum Dr Burhanuddin al Helmy dan Prof. Zulkiflee Mohammad, telah berganding tenaga Yang Dipertua Agung (sekarang Presiden) dan Timbalannya, boleh bersatu tenaga meletakkan kepentingan Islam di hadapan mengegar Malaya dengan politik Islam yang diperjuangkan PAS.
Ia telah pernah berlaku pada tahun 1956 dahulu dan kita percaya nilai dan semangatnya akan terus bercahaya dan memancar dalam PAS pada pemilihan 2015 ini, insyallah.

Dr Haron Din tonggak kepimpinan ulamak (22/3/15)

Wednesday, March 11, 2015


Berita Ustaz Dato Tuan Ibrahim Tuan Man, Naib Presiden PAS menolak pencalonan PAS Kota Bharu untuk bertanding jawatan Presiden terus meniti di bibir ramai khasnya para pejuang Islam termasuklah mereka yang selama ini tidak pernah senang dengan para ulamak.
Ketegasan Dato Tuan mahu terus berpresidenkan Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang seakan memberi isyarat langsung kepada seluruh akar-umbi PAS bahawa, kepimpinan ulamak di dalam PAS perlu terus dipertahankan. Malah dari ulasan-ulasan dan komentar yang diterima ramai dijangka bukan sekadar akan menyahut seruan beliau malah sudah melihat beliau sebagai calon berpotensi untuk jawatan nombor dua iaitu Timbalan Presiden, bagi terus menyokong dan membantu Tuan Guru dalam mengemudi bahtera besar perjuangan PAS ini.

Dalam pada itu hari ini diumumkan pula bahawa Majlis Syura Ulamak PAS telah pun memutuskan pengganti Almarhum Tuan Guru Dato Nik Abd Aziz sebagai Mursyidul Am. Beliau tidak lain dan tidak bukan salah seorang tokoh yang paling luas ilmu dan pengalamannya iaitu Dato Dr Harun Din yang sebelum ini merupakan Timbalan Mursyidul Am.
Nampak cantik tersusun peralihan kuasa dikalangan para ulamak. Yang dahulu di dahulukan dan yang paling layak dan terbaik mengatasi lain-lain yang layak-layak dan baik-baik belaka.

Pemilihan Dato Dr Harun Din saya yakin akan makin membuka hati masyarakat Islam yang lain untuk terus senang dan mendekati PAS memandangkan besarnya pengaruh beliau serta  begitu ramainya anak-anak murid dan pengikut setia beliau di seluruh Negara, dari celah-celah bendang dan kampong nelayan sehinggalah di kilang-kilang, syarikat korporat dan serambi Istana.
Dato Dr Harun Din yang boleh berbahasa Inggeris itu turut akan membantu dalam meluaskan lagi hubungan dan ikatan PAS dengan masyarakat bukan Islam khasnya dalam memberi kesedaran dan kefahaman kepada mereka tentang Islam dan dasar serta tuntutan perjuangan PAS.

Cantik sungguh tampak kombinasi kepimpinan ulamak yang ada, bagi mereka yang ikhlas dan bersungguh mempertahankan Islam dan perjuangan PAS sudah pasti berasa lega dan sejuk hati dengan kombinasi ini.
Kita difahamkan Pemangku Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat yang juga MB Kelantan Ustaz Dato Ahmad Yaakob pula dipilih sebagai Timbalan Mursyidul Am.

Kesimpulannya dengan terlantiknya Mursyidul Am PAS yang ketiga ini, maka tiada lagi kekosongan bagi jawatan bekenaan. Bermakna fokus para perwakilan terus pada jawatan tertinggi. Omong-omong kononnya Tuan Guru Hj Abd Hadi mahu di “konar” ke jawatan Mursyidul Am sekarang sepatutnya tidak berbangkit lagi.
Kata Dato Tuan, seeorang Naib Presiden dan ulamak yang disegani termasuk oleh musuh:

“Setakat ini tiada siapa yang dapat dipadankan secra dekat dengan kepimpinan dan juga ketokohan Tuan Guru di dalam PAS.”
Semoga terus kekal lah kepimpinan ulamak di dalam PAS dengan izin Allh swt sampai bila-bila.

Setakat ini tiada siapa yang dapat dipadankan secara dekat dengan kepimpinan dan juga ketokohan TGHH di dalam PAS.

Terima kasih Kota Bharu terima kasih Tuan Ibrahim (10/3/15)

Tuesday, March 10, 2015


Apabila PAS Kawasan Kota Bharu mengisytiharkan bahawa mereka mencalonkan Naib Presiden PAS Ustaz Dato Tuan Ibrahim Tuan Man bertanding jawatan Presiden PAS dalam Muktamar PAS yang akan datang, ia telah mencetuskan perbahasan dan tanda-tanya pada ramai samada pemerhati politik mahupun ahli-ahli PAS sendiri.
Pihak media terus menggongong berita berkenaan, lalu terpampanglah mesej bahawa keputusan Kota Bharu itu satu langksh permulaan untuk mengenepikan Dato Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang sebagai Presiden PAS.

Betapa gembiranya sesetengah pihak yang memang berusaha mahu merobah kepimpinan dalam PAS. Betapa terhiburnya mereka yang sudah “bosan” dengan Hadi sebagai Presiden parti. Langkah Kota Bharu itu (macam Langkah Kajang pula bunyinya) dilihat sebagai satu cetusan gelombang yang berani yang berkemungkinan akan menggunung melambong kawasan-kawasan lain untuk bangkit turut-serta melakukan perkara yang sama.
Yang Dipertua PAS Kota Bharu, Datuk Wan Rahim, yang dinisbahkan sesetengah pihak sebagai pakar strategi PAS dalam kempen pilihanraya dan politik, bijak dan licik dalam menyusun kata-katanya dalam mempertahankan keperluan meletakkan Tuan Ibrahim sebagai calon dengan katanya:

“Kami berkeyakinan ulama masih perlu memimpin parti”
Bermakna Hadi perlu ditukar tetapi demi memastikan ianya berjaya, kalau perlu seorang ulamak yang dinaikkan juga, maka naiklah Tuan Ibrahim, asal sahaja Hadi jatuh dan berjaya dinyahkan.

Gelombang keghairahan Kota Bharu itu dicetuskan disaat PAS menghadapi penamaan calon bagi mengisi kerusi DUN yang dikosongkan Almarhum Tok Guru Nik Abd Aziz. Dan ia juga dicetuskan disaat Hadi berada di Tanah Suci Mekah atas beberapa urusan termasuklah menjayakan Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah yang dijadualkan di Rusila bermula 19 Mac ini.
Walaubagaimanapun belum sempat gelombang Kota Bharu itu menerjah, memuncak mengumpul tenaga, ia tiba-tiba kempis terkulai begitu sahaja , orang yang bijak dan licik pun rupsnys belum tentu masak dan matang.

Sebentar tadi orang bukan lagi berkata berkenaan penamaan calon di Chempaka yang bakal melihatkan pertandingan 5 penjuru antara calon PAS dan empat orang calon Bebas. Akan tetapi berita yang lebih sensasi yang mengakibatkan pihak media terkejar-kejar mendapatkan pengesahan dan penjelasan  dan Kota Bharu pula tergamam dan pastinya terkedu adalah kenyataan yang dikeluarkan oleh Tuan Ibrahim, tokoh yang mahu Kota Bharu lagakan melawan Hadi bagi jawayan Presiden PAS.
Tuan Ibrahim menyatakan bahawa beliau menolak pencalonan Kota Bharu bagi beliau bertanding jawatan Presiden PAS.

Antara lain beliau berkata:

Saya melihat alangkah manisnya jika kita yang mendokong Kepimpinan Ulamak, seperti yang dinyatakan Datuk Wan Rahim, untuk terus mengekalkan budaya tersebut.
PAS mencapai zaman paling gemilangnya di bawah kepimpinan TGHH. Di peringkat antarabangsa pula, Kesatuan Ulamak Sedunia mengangkat beliau sebagai orang nombor dua. Setakat ini tiada siapa yang dapat dipadankan secara dekat dengan kepimpinan dan juga ketokohan TGHH di dalam PAS.

Dalam PAS, jawatan bukanlah sesuatu menjadi rebutan sebagaimana parti lain. Pertandingan berlaku hanyalah di atas sifat 'fastabiqul khairat'( berlomba melakukan kebaikan).
Atas pencalonan dari PAS Kawasan Kota Bharu, saya mengucapkan terima kasih di atas kepercayaan yang diberi.

Namun, saya tidak dapat menerima pencalonan tersebut kerana saya akan terus mendokong TGHH sebagai Presiden PAS dan membantu beliau.
Penolakan Tuan Ibrahim terhadap pencalonan  Kota Bharu itu bukanlah atas alasan beliau tidak bersedia akan tetapi ianya ditolak kerana Tuan Ibrahim percaya Hadi masih diperlukan dan bahawa tiada sesiapa memiliki kepimpinan dan ketokohan seumpama beliau dalam PAS.

Demokrasi memang diraikan dalam PAS, tetapi ianya bukanlah mutlak membuta tetapi bersandarkan adab dan disiplin perjuangan.
Sebagai pembantu setia Hadi beliau mengakhiri kenyataan beliau itu dengan menyebut:

"Biarlah orang lain kata tak setuju dengan ayah kita, tapi jangan pula anak-anak kata begitu.”
Bagi saya kenyataan terakhir ini merupakan nasihat dan panduan paling tajam dan penuh makna dari seorang ulamak yang sangat istiqamah dan komited dalam perjuagan. Bagi sesiapa yang mengaku sayang dan mahu terus di pimpin para ulamak., faham dan akurlah akan nasihat itu.

Terima kasih Tuan Ibrahim kenyataan beliau bukti betapa kepimpinan ulamak dalam PAS masih relevan dan terus diperlukan.

 

 

 

Salah pilih Ketua Pasukan atau ahli-ahli pasukan (9/3/15)

Monday, March 09, 2015


Sekarang ini adalah tempoh kawasan-kawasan PAS mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan masing-masing. Oleh kerana tahun ini adalah tahun pemilihan maka masing-masing kawasan akan menyaksikan proses pemilihan diperingkat masing-masing untuk pucuk pimpinan parti.
Demikian juga menurut peruntukkan perlembagaan PAS, tiap-tiap kawasan tadi akan membuat pula pencalonan untuk jawatan-jawatan tertinggi parti diperingkat Pusat, untuk pertandingan pucuk pimpinan tertinggi dalam Muktamar PAS ke 61 nanti.

Sudah pastilah para pemerhati politik dan pihak media akan memberi tumpuan pada PAS bagi menyaksikan proses pemilihan pucuk pimpinannya yang tertinggi.
Penyandang jawatan Presiden kini adalah Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang, menyandang jawatan ini sejak 2002 berikutan kematian Presiden terdahulu Almarhum Ustaz Dato Fadzil Nor.

Hari ini PAS kelihatan sedikit kalut berhubung jawatan ini. Beberapa kalangan pimpinan mahukan penyandang yang ada kekal memimpin PAS manakala ada satu pihak pula menjaja agar diadakan pertandinga.
Bertanding atau tidak jawatan Presiden ini,sesungguhnya bukanlah satu masalah besar pun buat PAS. Tokoh PAS yang silam sehebat Almarhum Dr Burhanuddin Al Helmy pun pernah berentap dengan Almarhum Prof Zulkiflee Mohamad. Hakikatnya jawatan tertinggi ini memang sedia untuk dipertandingkan.

Seorang AJK PAS Pusat, Mujahid Yusof Rawa, yang jawatannya pun sedia menyaksikan pertandingan dilaporkan sebagai berkata:
“Tetapi masa berlalu, ahli (PAS) lebih matang. Apabila ada satu pencalonan untuk kerusi presiden, walaupun dianggap tidak pernah dibuat, tetapi secara perlembagaan ia bukan satu kesalahan kerana PAS mengamalkan demoraksi.”

Seluruh ahli PAS tahu bahawa pemilihan pucuk pimpinan tertingginya adalah melalui proses demokrasi. Siapa nak bertanding jawatan mana pun tiada masalah hatta jawatan Presiden sekalipun. Kalau cukup pencalonan, dan terima penawaran, Mujahid pun boleh bertanding bagi jawatan tertinggi ini.
Kalau nak kira matang, semasa zaman Almarhum Dr Burhanuddin dahulu pun sudah ada pertandingan. Sesungguhnya ahli-ahli PAS dahulu dan kini semua sama belaka. Beri pencalonan untuk jawatan Presiden selain Hadi atau mengekalkan Hadi, semuanya keputusan matang belaka.

Hakikatnya ahli-ahli PAS mahu meneruskan perjuangan dengan Hadi kekal sebagai Presiden.
Mengapa?

Sebab Hadi punya latarbelakang akademik dan ilmu khasnya berkenaan Islam, yang tinggi dan disegani. Beliau memiliki pengalaman yang luas dalam perjalanan parti disamping hubungan dengan rangkaian gerakan Islam global.
Akhlak beliau akhlak Tok Guru.

Pada para ahli Hadi merupakan benteng mengekal dan mempertahankan dasar dan prinsip perjuangan PAS sebagai sebuah gerakan Islam. Beliau terbukti teguh dan unggul dalam mempertahnakan dasar PAS dan tidak sekali-kali akan beralah atau memberi laluan apabila prinsip perjuangan PAS dipertaruhkan.
Mungkin ada yang lain yang merasakan mereka setanding jika tidak lebih dari Hadi dari kemahiran dan keupayaan memimpin PAS. Jika benar ada, maka silalah Mujahid atau rakan-rakannya mencalonkan satu atau dua nama. Mungkin PAS Kota Bharu mahu menjadi kawasan pertama mencalonkan pencabar.

Memandangkan nak sangat melihat Hadi dicabar kali ini, maka pastikan cukup pencalonan dan calon tadi tidak pula “angkat kaki” sebelum pertandingan.
Saya yakin Tuan Guru tidak keberatan malah bersedia menghadapi sesiapa sahaja untuk bertanding jawatan ini, sebab akhirnya yang akan membuat keputusan muktamad adalah para perwakilan PAS, yang rata-ratanya semuanya matang dan lebih penting lagi isitiqamah dalam meenjunjung perjuangan Islam ini.

Mujahid punya pandangan bahawa Tuan Guru Presiden PAS kini tidak “mesra” Pakatan. Beliau dilaporkan berkata:
Faktor Pakatan Rakyat (PR) juga mempengaruhi trend pencalonan seolah-olah ada dalam PAS yang melihat PR perlu dikekalkan dan untuk mengekalkannya, ia memerlukan pemimpin yang dinamik, terbuka dan boleh bekerjasama dengan rakan sekutu.

Mujahid lupa bahawa Muktamar PAS memang sedia telah memutuskan bahawa PAS perlu memain peranan mengukuhkan PR. Tidak pula Tuan Guru menjadi alat mahu membawa PAS keluar dari PR. Tak perlulah dikelirukan di situ.

Masalahnya menegaskan bahawa dasar dan prinsip PAS perlu dihormati sebagaimana PAS menghormati dasar dan prinsip PKR dan DAP, itu tidaklah bermakna mahu keluar PR. Dengan Tuan Guru sebagai terajulah PAS menyertai PR dan kini terus kekal dalamnya.
Seorang pemimpin yang dinamik, tidak akan menggadaikan dasar dan prisnip partinya, ringkasnya menjual partinya, semata-mata kerana mahu dilihat terbuka. Sebaliknya ia perlu faham perbezaan yang sedia ada diantara rakan-rakan komponan, dan mengenal-pasti serta memandu parti dan PR ke arah melakarkan jejak persamaan dan bergerak dari situ tanpa membahaskan perbezaan sehingga boleh membawa rebah.

PAS laksana satu pasukan bolasepak dengan Presidennya sebagai Ketua Pasukan. Yang sebenar-benarnya apa yag berlaku bukanlah masalah pada Ketua Pasukannya, apa yang merupakan masalah besar hari ini adalah apabila para perwakilan telah tersilap perhitungan memilih anggota pasukan di bawah Presidennya yang tidak boleh bekerjasama dalam satu pasukan. Disangkanya mereka ini professional yang akur pada ketua, rupanya masing-masing bernafsu besar belaka mencari peluang dan ruang untuk menerkam dan membaham ketua.
Masing-masing mahu jadi Ketua, masing-masing ego mahu menujukkan ia lebih hebat.

Penyelesaiannya dalam suasana mengamal demokrasi dalam PAS ini, para perwakilanlah kena bangkit, bukan tukar Presiden tetapi tukar ahli-ahli pasukan Presiden yang tidak boleh menyesuaikan diri bergerak dalam satu pasukan ini. Itulah puncanya.
Oleh itu bijaklah menggunakan demokrasi untuk Islam bukannya mendemokrasikan Islam.

 

 

 

 

Kota Bharu oh Kota Bharu .... (7/3/15)

Saturday, March 07, 2015


Berita Mesyuarat Agung PAS di Kota Bharu, Kelantan sudah pun mula mendapat liputan media. The Star Online melaporkan:
"Kota Bharu PAS set to name Hadi’s challenger”

(PAS Kota Bharu bersedia mencalonkan pencabar Hadi)
Dato Wan Abdul Rahim, personaliti yang terbabit aktif dengan NGO PasMa menang tanpa bertanding bagi jawatan Yang Dipertua PAS Kawasan sekaligus melonjakkan persepsi seolah PasMa sedang membolot terjau kawasan-kawasan PAS seluruh Negara.

Pastinya mereka yang bekerja kuat untuk NGO berkenaan tergiur dan terpesona dengan berita dari KB itu. Mana tahu lebih lima puluh peratus kawasan-kawasan seluruh Negara nanti akan turut jejak langkah mereka.
Biarlah mereka terjun dengan labu-labu mereka.

Bagi saya yang lebih menarik perhatian dari kemenangan tokoh yang pernah penulis pro PasMa kini, Mohd Sayuti Omar babitkan dengan skandal “Tiga Abdul” satu ketika dahulu, adalah ucapan dari perasmi Mesyuarat Agung KB itu.

Takkan KB yang kental cenderung PasMa mahu jemput Tuan Guru Presiden atau Dato Tuan Ibrahim, apa lagi Dato MB Kelantan jauh sekali Dato Dr Harun Din. KB telah dirasmikan mesyuaratnya oleh tokoh sensasi Dr Hatta Ramli, yang kes “Hawaii Five 0”nya masih dalam siasatan di Pejabat Agung.

TMI dalam laporannya menyebut:
Seorang pemimpin kanan PAS yang menjadi mangsa keganasan parti itu meminta pucuk pimpinan tertinggi parti agar jangan terus berdiam diri dan membiarkannya begitu sahaja.

Pengarah Pilihan Raya PAS, Dr Mohd Hatta Ramli, yang keretanya dibakar baru-baru ini berkata, beliau bimbang jika ia terus didiamkan, pelaku menganggap tindakan itu direstui.
"Kalau diam, mereka akan naik tocang terutama bila tidak ada isyarat daripada kepimpinan utama. "Senyap ini maknanya teruskan. Jadi pemimpin kena tegas," kata Dr Hatta yang dipercayai menujukan kenyataan itu kepada pucuk pimpinan utama parti, khasnya Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang sehingga kini masih berdiam diri dengan beberapa insiden melibatkan ahli parti Islam itu.

Mudah betul logik dan rasional seorang profesional umpama beliau.
Bukankah Pesuruhjaya PAS Selangor, negeri dimana kedua-dua  insiden kereta beliau dibakar dan dimana Dr Dzul didakwa dipukul, telah mengeluarkan kenyataan meminta polis segera menyaisat dan menyelar tindakan berkenaan.

Tidak ada sesiapa mahu mengaitkan kedua-dua insiden ini dengan suasana yang sedang bergolak dalam parti apalagi menuduh mana-mana pihak.
Apa perlu Dr Hatta menekan dan menuntut Presiden PAS mengeluarkan kenyataan, tak cukupkah dengan kenyataan Dato Iskandar?

Apa pun barangkali ada pihak-pihak memang mahu mensensasikan insiden berkenaan lalu kebetulan Dr Hatta instrument yang sesuai. Kita tidak hairan.
Tetapi yang lebih menarik bagi saya adalah apabila membaca dua komen di bawah laporan berkenaan dalam TMI. Iaitu:

Seorang menggelarkan dirinya PENJAGA KUBUR menulis:

Dr. Dzul kata biar polis siasat dan polis akan menentukan siapa sebenarnya tapi Dr Hatta sebelum ini buat kenyataan sama. Tapi bila masuk mesyuarat agung di kubu PASMA suara Dr Hatta lain pula terus menuduh PAS. Macam mudahlah kerja saraf UMNO untuk memecah belahkan PAS. Saya pun hairan sedangkan Dr Hatta mengetui PGS PAS (saraf) takkan saraf PAS begitu lemah dalam hal ini.
RuhaizamAhmad2 pula menulis:

Dr Hatta harus meminta pimpinan PAS menggerakkan usaha rekonsiliasi parti dan mengambil tindakan terhadap pihak yang mengambil jalan berbeza pendapat tidak mengikut akhlak Islam. Tetapi Dr Hatta tidak harus memberi gambaran dua insiden tersebut dilakukan oleh ahli PAS tanpa siasatan yang konklusif. Jangan jump the gun
Semoga kita semua dapat menyaksikan siapa “culprit” atau “penjenayah” sebenar. Kita semua mahu tahu apa hasil penyiasatan pihak polis sebagaimana kita semua mahu tahu apa hasil penyiasatan dakwaan pengkhianat “Hawaii Five 0”, gerakan “counter offensive” dan lain-lain.

Tahniah Kota Bharu, calonkanlah sesiapa yang anda mahu, semoga yang dipilih perwakilan nanti yang paling baik yang terbaik, antara yang baik-baik.

Bila orang PAS tuduh PAS (5/3/15)

Thursday, March 05, 2015


Pasti tiada siapa dalam PAS yang merestui tindakan kekerasan yang dilakukan ke atas AJK PAS Pusat Dr Dzulkifly Ahmad. Tindakan sedemikian diselar semua pihak, dan sebagaimana kenyataan PAS Selangor, kita mahukan siasatan dilakukan pihak polis dan yang berkenaan didakwa segera.
Walaupun PAS sedang menghadapi musim pemilihan, peringkat cawangan-cawangan diikuti kawasan-kawasan dan kemuncaknya diperingkat pimpinan tertinggi pertengahan tahun ini, kita yakin apa yang berlaku ke atas Dr Dzul dan sebelumnya ke atas kenderaan Dr Hatta Ramli tiada yang berkaitan samada antara satu dengan lain mahupun dengan bahang pemilihan.

Mungkin pihak musuh mahu ia dilihat begitu.

Mungkin anasir-anasir tertentu mahu ia dikaitkan begitu. Biar PAS ini dilihat ganas, biar PAS ini dilihat kecoh sedangkan komponan BN lebih parah lagi suasana pemilihan, bukankah insiden Allahyarham Datuk Taha di Gemencheh dulu dan Allahyarham Datuk Mazlan di Batu Talam semuanya berkaitan pemilihan Umno.

Begitu juga halnya dengan MIC sekarang sehingga berlaku ugutan bunuh ke atas seorang Timbalan Menteri.
Malah bukan hanya BN, dalam rakan PR pun lebih tegang. Siapa boleh lupa insiden pemilihan PKR yang siap ditayangkan stesyen TV perdana. Ugut-mengugut, melontar kerusi meja, menerajang peti undi, dan dakwaan politik wang semuanya telah disaksikan.

Lantas mengapa dibiarkan PAS lepas bebas.
Apa yang menyedihkan dalam menghadapi serangan terhadap PAS ini, adalah kenyataan beberapa pimpinan PAS yang menyokong pula bahawa memang PAS ini sudah menganuti budaya ganas.

Bermula dengan bekas Ketua Pengarang Harakah, Zul Sulong dalam laporannya di portal berita TMI di bawah tajuk:
Violence, dirty tactics making PAS as bad as MIC in its heyday

Tajuk bahasa Melayunya:

PAS kini setaraf MIC, sah lebih teruk berbanding zaman Asri
(berbeza sungguh tajuk bahasa Inggeris dan Melayu, yang bahasa Inggerisnya lebih membimbangkan seolah mahu gambarkan pada pembaca bukan Melayu bahawa sah PAS ini kotor dan ganas)

Seorang ahli PAS dan bekas orang kanan Harakah boleh mengaitkan insiden-insiden ini tanpa bukti dan usul periksa dengan budaya baru orang PAS!
Kemudian dalam laporannya beliau menyebut:

Bekas Setiausaha Agung PAS Datuk Kamarudin Jaffar dalam ulasan spontan selepas apa yang berlaku kepada Dzulkefly yang dipukul dalam keretanya berkata: "Sebagaimana saya katakan, PAS sekarang sudah lebih teruk dari zaman Asri lagi."
Kamarudin Jaffar terangan-terangan mengaitkan terus kedua insiden ini dengan budaya orang PAS sekarang yang dakwanya lebih teruk dari zaman Asri lagi.

Adakah Datuk punya bukti bahawa orang PAS yang mencetuskan kedua-dua insiden berkenaan? Adakah Datuk cuba menyatakan bahawa tindakan entah siapa itu sebenarnya mencerminkan budaya orang PAS hari ini?
Beginikah sepatutnya sikap seorang AJK PAS Pusat dan bekas Setiausaha Agung?

Atau Datuk memang mahu menggunakan kedua-dua insiden ini sebagai alasan untuk melonjakkan agenda tertentu dalam PAS, meraih simpati dan sokongan untuk orang-orang tertentu?
Saya secara peribadi yakin dan percaya jika ada blok yang pro Presiden yang pro ulamak, mahu bertanding dan menang dalam pemilihan parti nanti, mereka tidak perlu mencetuskan insiden bodoh membakar kereta dan membelasah Dr Dzul untuk meraih sokongan perwakilan.

Begitu juga yang mahu menggantikan Presiden, yang mahu melancarkan “counter offensive”, yang mahu merobah pendekatan politik PAS, takkanlah mahu menang melalui insiden bodoh bakar kereta dan belasah Dr Dzul.

Kedua-dua insiden ini dikesali, tetapi tanpa sekelumit bukti, apalagi mendahului siasatan polis, janganlah menuduh secara umum sehingga mencemarkan rekod dan nama baik PAS. Kerja-kerja begitu yakni menuduh dan mencemuh serta memfitnah tanpa bukti biasanya kerja Umno dan BN bukan orang PAS.

Atau sudah ada orang PAS mahu mengambil-alih kerja-kerja Umno dan BN (maklumlah pernah menjadi Umno sebelum ini)?