Sunday, December 13, 2015

Mampukah Umno menyongsong pembawaan syiar Islam

PAS telah suarakannya berkali-kali. 

Terakhir ahli Parlimen Bachok Ustaz Ahmad Marzuk, ahli Parlimen Rantau Panjang Siti Zailah dan ahli Parlimen Pasir Mas Ustaz Nik Abduh telah membawanya sehingga ke Parlimen.

Kali ini perkara yang sama diulangi. Di Perhimpunan Agung Umno 2015 wakil Pulau Pinang Datuk Ahmad Darus ketika membahaskan usul agama dan pendidikan menyuarakan tiga perkara.

Pertama isu penghidangan arak dalam pesawat penerbangan milik negara MAS. Kata Ahmad Darus Mufti dan para alim ulamak telah menyuarakan perkara yang sama berkali-kali iaitu melarang minuman haram ini dari dihidangkan tetapi ia terus tidak dipedulikan.

Keduanya isu pakaian peramugari MAS. Katanya pakaian seragam menjolok mata yang digunakan sekarang perlu diubah ke yang lebih sempurna.

Dan ketiganya isu pakaian atlet wanita Islam yang menurut Ahmad Darus merupakan satu diskriminasi sedangkan atlit lelaki lebih sempurna pakaiannya.

Menurut beliau:

“Dalam mempertahankan Umno sebagai sebuah parti memperjuangkan Islam satu yang menjadi kehairanan saya iaity syarikat MAS milik kerajaan membenarkan lagi perghidangan arak dan pemakaian pramugari yang tidak sesuai”

Dalam kesungguhan Presiden Umno mahu menyongsong pembawaan syiar Islam, menjengah jendela Islam dan membina Malaysia di atas landasan syariat Nya (meminjam kata-kata dalam ucapan dasar PAU 2015) , buktikanlah sekurang-kurangnya dalam perkara yang turut disuarakan oleh perwakilannya, haramkan arak atas pesawat MAS, tukar fesyen pakaian seragam peramugari supaya mematuhi syarak dan demikian juga pakaian seragam atlit wanita Islam, boleh?

Kalau pun tidak menyahut seruan pimpinan PAS, kurang-kurang raikanlah kehendak akar umbi sendiri.

No comments: