Thursday, October 01, 2015

Bagaimana pakatan pembangkang PRU 14 ini

Ikuti ROSLAN SMS di Harakah (print) Bil. 2084 Edisi Jumaat muka F8



Bagaimanakah bentuk pakatan pembangkang yang bakal menghadapi Barisan Nasional dalam PRU ke 14 nanti belum dapat dipastikan. Yang pastinya BN berada pada tahap yang sangat kritikal kebelakangan ini. Kegagalan menyusun dan mengatur strategi yang ampuh bagi menghadapi “gergasi yang sedang nazak” ini boleh mengakibatkan ia kembali pulih dan terus berkuasa buat dekad-dekad seterusnya.

 
Baru-baru ini atas inisiatif Ketua Pembangkang Datin Seri Dr Wan Azizah, yang juga Presiden PKR, satu pakatan pembangkang yang baru yang diberi nama Pakatan Harapan telah ditubuhkan menggantikan Pakatan Rakyat yang kononnya telah mati apabila DAP mengisytiharkannya demikian baru-baru ini.

Pakatan Rakyat yang merupakan gabungan tiga parti pembangkang terbesar dalam negara iaitu PAS, PKR dan Dap telah ditubuhkan selepas PRU 2008 lalu apabila ketiga-tiga parti ini berjaya menguasai kerajaan negeri-negeri Selangor, Perak, Kedah dan Pulau Pinang selain mempertahankan Kelantan.

PR inilah yang telah digunakan dalam menghadapi BN pada PRU 2013 baru-baru ini, namun belum cukup berkesan apabila masih ada kelompok pengundi-pengundi Melayu umpamanya yang masih enggan berubah dan sebaliknya memberi pula nyawa dan keyakinan kepada BN melalui Umno.

Kini mengikut DAP Pakatan Rakyat telah “mati” dan berkubur. Namun keperluan pada satu pakatan pembangkang yang baru bagi menghadapi BN masih diperakui. 

Telah Menyedari realiti sedemikian DAP yang secara terbuka berkonfrantasi dengan PAS atas isu prinsip, berjaya melahirkan satu parti alternatif bagi menggantikan PAS dan parti inilah yang telah DAP yakinkan pada PKR agar dijadikan komponan baru dalam pakatan baru pembangkang dengan mengenepikan PAS sama-sekali.

Bagi DAP Islam yang dibawa PAS tidak bersesuaian dengan perjuangannya. DAP perlukan satu parti yang boleh memudahkan Islam yang PAS bawa demi kejayaan perjuangannya.
Lalu parti baru Amanah yang dianggotai oleh kalangan besar para pengkhianat PAS melangkah ke hadapan dengan sokongan dan dokongan DAP dan kini dengan sokongan mereka jugalah tertubuh pakatan baru iaitu Pakatan Harapan.

Walaupun peranan PAS mahu dihapuskan sama-sekali oleh DAP namun dalam sidang meja bulat yang melahirkan PH itu terdapat suara-suara yang mempertikaikan mengapa PAS tidak dilibatkan sekali. Menurut laporan terdapat wakil NGO yang membangkitkan isu ini dan kemudiannya bertindak meninggalkan majlis.

Majlis rundingan meja bulat yang melahirkan PH itu dikatakan mendapat sokongan beberapa NGO besar dan parti-parti politik lain. Rupa-rupnya dengan melangkah keluarnya Datuk Ambeega Sreneevasan bekas Presiden Majlis Peguam Malaysia dan Maria Chin penganjur BERSIH 4.0, sidang akhbar dipenghujung majlis yang menyaksikan pengisytiharan penubuhan PH, cuma dihadiri pimpinan kanan PKR, DAP dan Amanah sahaja, tidak sebagaimana dirancang.

Parti-parti pembangkang dari Sabah dan Sarawak selain PSM juga tidak dilibatkan dan ini mencerminkan betapa PH itu sebenarnya tidak mewakili suara ramai kecuali segelintir yang tergesa-gesa bersungguh mahu menghidup dan memberi pengiktirafan pada Amanah semata-mata. Bolehkah tumbang Putrajaya tanpa penglibatan semua pihak begini?

PAS sejak awal-awal telah menyatakan bahawa ia tidak akan hadir memandangkan majlis meja bulat itu melibatkan DAP, yang telah memutuskan hubungan dengannya selain Amanah yang dianggotai oleh mereka yang telah mengkhianati PAS.

Bagaimana PAS mahu berkerjasama dengan dua parti ini, satu yang memutuskan hubungan dengannya  atas dasar prinsip manakala yang satu lagi yang telah mengkhianati perjuangannya.

Namun demikian PAS bersedia meneruskan kerjasama dan hubungan politiknya dengan PKR dan terbuka dalam hubungan dengan parti-parti serta NGO lain yang boleh menerimanya. Penganjuran Kongres Rakyat baru-baru ini adalah bukti komitmen dan keterbukaan PAS yang telah menjalin kerjasama dengan hampir 200 NGO dan tokoh-tokoh masyarakat.

Dalam pada itu Wan Azizah mengakui bahawa perbezaan antara PAS dan DAP bukanlah satu perkara yang baru dan malah telah demikian sejak sebelum penubuhan Pakatan Rakyat lagi. PKR menurut beliau bersedia menjadi jambatan menghubungkan PAS dan DAP. Bagaimana perkara itu mahu dilakukan terpulanglah pada kebijaksanaan beliau.

PAS dalam pada itu terus mengatur persiapan dan melaksanakan gerak-kerja bagi memperkasakan kedudukannya, khasnya dikalangan ahli-ahlinya. PAS yang kukuh dan perkasa diyakini dapat menambat dan menguasai sokongan dan simpati masyarakat ramai khasnya orang-orang Melayu selain masyarakat bukan Melayu.

PAS akui suasana semasa paling kondusif untuk ia merihatkan Umno sama-sekali dari tampuk kuasa. Justeru semua pihak yang boleh membantu sangatlah dialu-alukan olehnya. 

Lantaran itu kerjasama dengan PKR dan NGO lain amat dihargai dan PAS bersedia bertanding disemua kerusi yang ditandinginya dalam PRU lalu selain mengintai-intai peluang di kawasan-kawasan lain yang tidak melibatkan kawan-kawannya termasuklah yang sesuai ditandingi calon-calonnya dari DHPP.

Realiti politik di Malaysia meletakkan pertarungan utama dalam mana-mana pilihanraya umum adalah diantara PAS dan Umno. PAS yang telah berada di persada politik tanahair lebih 60 tahun memiliki pengalaman, keupayaan dan jentera berhadapan dengan Umno dan ini diakui semua pihak. Adapaun kerusi-kerusi yang tidak ditandinginya diserahkan kepada rakannya PKR atau mana-mana pihak yang bersekutu dengannya.

Dengan yang demikian mana-mana pakatan pembangkang yang mahu berhadapan dengan BN mustahil boleh berjaya tanpa PAS.

Hakikatnya mana-mana parti yang cuba menggantikan PAS, seawal Berjasa, Hamim, AKIM, atau kelompok Islah semuanya telah terbukti gagal dan ditolak oleh rakyat Malaysia khasnya pengundi Melayu yang hanya mengenali dua pilihan iaitu Pas atau Umno sepanjang usia politik Malaysia. Malah sebenarnya begitulah juga nasib mana-mana pihak yang mahu menggantikan Umno, termasuklah Parti Negara, IMP, Semangat 46, semuanya kecundang dalam lipatan sejarah.

Adalah diyakini semua pihak yang menghargai peranan PAS meletakkan harapan tinggi pada PKR khasnya dengan bimbangan Datuk Seri Anwar Ibrahim agar dapat melahirkan satu angkatan pakatan pembangkang yang benar-benar tersusun dan bersedia menggegarkan BN.

Pembangkang yang bepecah dan bermusuhan sudah semestinya merugikan perjuangan dan mencerahkan harapan BN.

PAS telah menyatakan pendiriannya, dan kiranya PKR bijak mengatur langkah, PAS dan PKR berserta mana-mana sahaja pihak yang menghormati perjuangan PAS dan mahu berkerjasama dengannya akan bersama menghadapi BN dalam PRU akan datang dan mencorkakkan Malaysia yang baru dan bermakna buat semua.  roslansms@gmail.com

No comments: