Wednesday, September 23, 2015

Pakatan pembangkang perlu pemimpin yang bijak

Ikuti ROSLAN SMS di Harakah (print) Bil. 2083 Edisi Jumaat muka F8

Ramai akui bahawa kedudukan Umno dan Barisan Nasional di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini sangat goyah dan rakyat semakin hilang keyakinan pada keupayaan Perdana Menteri untuk mengemudi Malaysia keluar dari pelbagai kemelut ekonomi dan politik yang tidak nampak jalan penyelesaiannya. 

Hari ini kritikkan terhadap kepimpinan Najib sebagai PM bukan hanya datang dari rakyat kebanyakkan malah kalangan pimpinan dan ahli-ahli Umno sendiri turut mempertikai kewibawaan beliau. Mana sahaja di kedai-kedai kopi, di pasar di majlis-majlis kenduri, setiap ada berkumpul rakyat Malaysia, mengkritik PM seakan satu topik wajib lantaran kekecewaan rakyat itu.

Di media sosial, tiada ruang pujian buat Najib kecuali cemuhan yang merupakan percikkan kemarahan rakyat. Kiranya media perdana Malaysia bebas sebenar-benarnya TV, radio dan akhbar media perdana juga pasti terpaksa memberi ruang, namun kawalan ketat terhadapnya sekurang-kurangnya menyelamatkan kedudukan Najib.

Dalam pada itu pihak pembangkang pula kelihatan masih tidak tersusun. Masih teraba-raba tidak seperti sebelumnya.

Lahir pula parti baru yang membariskan pengkhianat-pengkhianat PAS, tidak membantu dalam mengemaskan keudukan pembangkang untuk menghadapi musuh yang sedang tenat. Demikian juga sikap keras kepala DAP yang mahu mendominasi penentuan dasar dan haluan pembangkang, sesungguhnya menghampakan ramai.

Ahli-ahli PAS yang merupakan komponan terpenting dalam jentera pilihanraya PAS, jentera politik tersusun yang terbesar dan terbukit keberkesanannya dalam pakatan pembangkang sebelum ini, sangat kecewa dengan sikap beberapa kerat bekas pimpinan mereka yang telah mengkhianati perjuangan PAS dan menubuhkan pula parti baru.

Tindakan pihak pengkhianat ini membawa lari kerusi-kerusi yang dimenangi atas tiket PAS itu sangat disesali. Namun lebih disesali apabila secara terang-terangan DAP umpamanya terlibat secara langsung dalam memberi nyawa kepada parti baru ini. Manakala terdapat pula usaha untuk memberi pengiktirafan kepada parti ini tanpa langsung mengambil kira hati dan perasaan orang-orang PAS.

Seorang Wee Choo Keong yang dipecat DAP pada tahun 1998 tetapi diterima sebagai ahli oleh PKR dan kemudiannya menjadi calon dan memenangi keruis Parlimen Wangsa Maju atas tiket PKR, sudah pasti menghiris hati ahli-ahli DAP. Tambah sekarang beliau lompat pula dari PKR dan menjadi “BN friendly”.

Begitulah bengkaknya hati orang-orang PAS.

PAS telah menyatakan sikap tidak akan berkerjasama dengan parti baru ini. Mereka telah mengkhianati perjuangan PAS dan kepercayaan ahli-ahlinya. Lebih parah lagi mereka telah melanggar ikrar sumpah ataupun baiah yang dilafazkan atas nama Allah swt, perlanggaran yang mengakibatkan orang-orang PAS sekali-kali tidak akan menerima mereka.

Namun PAS bersedia bertahaluf dan berkerjasama dengan PKR setelah DAP memutuskan hubungan dengannya.

Di sinilah kefahaman masing-masing pihak diuji dan keupayaaan memelihara persahabatan menjadi pertaruhan.

Pakatan pembangkang hari ini mencari-cari pemimpin setaraf Tengku Razaleigh Hamzah yang memiliki karisma berupaya menyatukan parti-parti pembangkang yang berbagai ideologi ini untuk menghadapi Umno dan BN. Ku Li yang luas pengalaman politiknya sedar perbezaan ketara contohnya antara PAS dan DAP. Lalu beliau himpunkan mereka secara berasingan dengan beliau menjadi orang tengah setiap masa.

Bagi beliau pembangkang ini tidak boleh berpecah dan tidak boleh berlawan sesama sendiri jika serius mahu menghadapi BN.

Tertubuhlah Angkatan Perpaduan Ummah atau APU yang menggabungkan PAS, Semangat 46, Hamim dan Berjasa dan dalam waktu yang sama wujud Gagasan Rakyat iaitu gabungan Semangat 46, IPF, Parti Rakyat dan PBS. Kedua-dua komponan pembangkang ini dipandu oleh Ku Li bagi menghadapi BN dalam PRU 1990 dan 1995.

Hari ini PAS masih mahu menjalin hubungan dengan PKR manakala DAP hanya mahu berkerjasama dengan PKR dan tidak PAS. Sementara itu parti baru yang dimaksudkan itu cuba pula untuk mengemukakan dirinya sebagai alternatif bagi PAS untuk dipilih sebagai kawan oleh PKR dan DAP.

Dalam hal ini pakatan pembangkang perlukan ketua yang boleh menyatukan semua pihak sebagaimana Ku Li 25 tahun lalu.

Ketua tidak boleh kelihatan memihak kepada mana-mana parti. Ketua perlu terbuka dan perlu menerima kedua-dua parti tanpa bias. Di sinilah kefahaman, kebijaksanaan dan kematangan ketua tadi diuji. Di atas perbezaan kawan-kawan yang beliau akui, beliau tetap boleh menyatukan dan menjadi orang tengah demi agenda bersama yang lebih besar.

Buat masa ini bagi pakatan pembangkang Dato Seri Dr Wan Azizah adalah Ketua Pembangkang. Ini diiktiraf oleh PAS dan Dap. Oleh itu Kak Wan perlu memaparkan dirinya sebagai sebenar-benar ketua tanpa menghiris atau melukakan hati mana-mana pihak terutama memandangkan PAS dan Dap adalah kawan-kawan lama belaka.

Bagaimana Kak Wan mahu menyelesaikan krisis ini di sinilah ujian terbesarnya.

Kak Wan perlu faham bahawa PAS tidak pernah mengkhianati kawan-kawannya. Malah PAS telah banyak berkorban demi kawan-kawan. PKR dan Dap masing-masing tahu akan sikap dan pengorbanan PAS ini.

Hari ini PAS memilih untuk terus berkerjsama dengan rakan-rakan yang mahu berkerjasama dengannya. Bermakna hubungan politik buat masa ini bagi PAS hanyalah dengan PKR. 

Kebelakangan ini kita dengar akan dilancarkan pula Pakatan 2.0 kerana kononnya Pakatan Rakyat sebelum ini telah mati. Kak Wan sedang gigih mengusahakan Pakatan baru ini, tetapi adakah ianya satu-satu formula yang tinggal yang boleh menyatukan kesemua parti-parti pembangkang ini?

Masakan DAP mahu bermesra dengan Wee Choo Keong apabila beliau menyertai PKR dulu. Bagi DAP Choo Keong adalah pengkhianat. Begitulah juga buat PAS. Takkanlah mahu dipaksa PAS menerima bukan seorang Choo Keong tetapi satu parti yang penuh padat dengan mereka yang telah mengkhianati PAS.

Kak Wan diharapkan berupaya membongkar dan menyelongkar pelbagai ilmu politik untuk dapat mengekalkan parti-parti pembangkang yang bertelagah ini dengan beliau dan PKR sebagai orang tengah.

PAS sentiasa bersikap terbuka terutama dalam menghadapi musuh politik yang sama, namun kiranya tiada juga formula yang praktikal dan boleh diterima, dapat diusahakan, PAS sudah tegaskan bahawa ia bersedia berseorangan. Semoga pilihan terakhir ini dapat dielakkan oleh kebijaksanaan Kak Wan. 

Rakyat Malaysia melihat dan menunggu. roslansms@gmail.com

No comments: