Sunday, August 16, 2015

PAS tetap istiqamah dengan prinsip perjuangan

Ikuti ROSLAN SMS di Harakah (print) Bil. 2072 Edisi Isnin muka F15
 
 Berbanding parti-parti politik lain di Malaysia, PAS ternyata mengejar satu matlamat yang sama-sekali asing, yang tidak dikongsi atau diimpikan oleh mana-mana parti lain. Semua parti politik memilih untuk menyertai proses demokrasi yang diamalkan iaitu melalui sistem berpilihanraya bagi memperolehi kuasa, PAS tidak terkecuali.

Bezanya apa yang diperjuangkan oleh PAS khasnya dalam beberapa perkara tertentu tidak langsung disentuh atau diberi perhatian oleh mana-mana parti lain. Lebih-lebih lagi jika parti berkenaan menganut fahaman sekular yang memisah dan mengasingkan bab agama dari urusan politik dan pentadbiran ataupun mereka yang menganut faham “Machiavelli”dimana matlamat menghalalkan cara.

Setelah berada dalam kancah politik tanahair lebih 60 tahun tidaklah keterlaluan kalau dikatakan bahawa rata-rata rakyat Malaysia tahu dan faham bahawa PAS berjuang dengan dasar Islam dan bercita-cita mahu memperkenalkan sistem hidup bernegara dan bermasyarakat yang selari dengan Islam dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan.

Dan PAS selama 60 tahun kebelakangan ini konsisten dan berterusan memperjuangkan perkara ini tanpa sedikit pun berkompromi atau melonggarkan tuntutannya itu. Malah semasa berada dalam Barisan Nasional sekali pun dasar dan prinsip perjuangan PAS kekal sebagaimana hari ini.

Kerana itu berkawan dengan PAS tiada masalah. PAS sedia berkawan dengan sesiapa sahaja asalkan matlamat dan prinsip perjuangannya tidak disentuh atau diganggu-gugat dan saya percaya begitulah juga parti yang mahu berkawan dengan PAS, sudah pastinya tidak akan menerima kiranya hal rumahtangga mereka diambil tahu apalagi dicerobohi.

Dari pengalaman PAS telah menjalin persahabatan dengan banyak pihak termasuklah BN sepanjang enam dekad usianya. Bermula dengan  Parti Negara dalam Pilihanraya Umum pertama 1959, dan berbagai lagi termasuklah HAK atau Haraklah Keadilan Rakyat, APU atau Angkatan Perpaduan Ummah, Gagasan  Rakyat, Barisan Alternatif dan terakhir Pakatan Rakyat.

PAS menjadi kawan yang menguntungkan kerana ia antara parti yang terbesar selepas Umno, dengan jentera yang teratur dan luas pengaruhnya meliputi seluruh negeri-negeri dalam negara. Malah HAK, APU, Gagasan Rakyat, Barisan Alternatif dan kemudiannya Pakatan Rakyat, kesemuanya mampu dimobilisasikan secara berkesan hasil dari kekuatan akar-umbi yang ada pada PAS.

PAS membukadan menyediakan  gelanggang, markas dan kekuatan jenteranya untuk digunakan oleh kawan-kawannya dan dalam kes-kes tertentu beberapa kerusinya pun diserahkan kepada kawan-kawannya atas nama persahabatan politik yang sebenar. Demikianlah PAS apabila berkawan.

Ringkasnya keikhlasan dan kejujuran PAS tidak pernah dipertikaikan,

Contohnya selepas Pilihanraya Umum 1959, walaupun PAS yang menguasai blok pembangkang dengan 13 kerusi melalui Almarhum Dr Burhanuddin, Prof Zulkifli, Khatijah Sidek dan lain-lain, atas nama persahabatan, PAS bersetuju agar Allahyarham Dato Onn Jaafar yang menjadi ketua blok pembangkang di Parlimen (ketika itu tiada lagi peruntukkan untuk Ketua Pembangkang) walaupun Dato Onn wakil tunggal partinya.

Begitu juga bersama Parti Melayu Semangat 46 dan kemudiannya PKR, PAS tidak ada masalah, menamakan Tengku Razaleigh Hamzah dan Dato Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri kiranya pakatan pembangkang menang peringkat Federal atas dasar kerjasama.

Dan terbaru selepas PRU 2013 lalu, walaupun PAS punya 15 kerusi DUN di Selangor, PAS tetap beri laluan kepada PKR yang punya 14 kerusi menjadi MB Selangor, tanpa sebarang tuntutan.

Begitulah mudah apabila berkawan dengan PAS. Dalam hal-hal bukan prinsip PAS amat anjal. Syarat utamanya, prinsip dan dasar perjuangan PAS perlulah dihormati, walaupun tak semestinya diterima, itu sahaja. Tidak pernah ada paksaan atau tekanan dari PAS.

Hari ini robohnya Pakatan Rakyat, terus-menerus menjadi isu dan bualan ramai. Kerjasama politik yang telah berjalan dengan baik dan lancar, mengikat ketiga-tiga tunggak politik pembangkang dalam negara, iaitu PAS, DAP dan PKR, terus menjadi sesuatu yang dikagum ramai sehinggalah ia roboh.

Kerjasama inilah yang telah menggugat kekuatan BN, khasnya apabila masing-masing parti menunjukkan disiplin dan kekuatan perpaduan masing-masing mengatasi disiplin komponan BN yang acapkali longgar dan bertelagah sesama sendiri.

Amalan hodoh politik rasuah, kronisma dan nepotisma yang berakar-umbi dalam BN termasuklah antara parti-parti komponannya telah menjejaskan selera rakyat terhadap mereka, dan akhirnya kebangkitan rakyat melalui kesepaduan pembangkang ini telah menafikan BN dari penguasaan dua pertiga majoriti di Dewan Rakyat selain gagal menguasai negeri-negeri Kelantan, Selangor dan Pulau Pinang.

Kini Pakatan Rakyat telah tiada, walaupun PAS masih menjalin hubungan dengan PKR, tetapi DAP bertegas memilih “menceraikan” PAS. Dan PAS sendiri pun melalui keputusan Majlis Syura Ulamak nya atas dasar prinsip kerjasama yang dinodai turut memutuskan hubungan dengan DAP.

Puncanya bagi saya, DAP enggan dan tidak pernah mengiktiraf PAS. DAP mahu berkawan dengan PAS dan mahu mengaut keuntungan politik dari persahabatannya dengan PAS akan tetapi DAP tidak mahu mengiktiraf dasar dan prinsip perjuangan PAS. Bukannya menerima, tetapi menghormati, itupun terlalu berat buat DAP.

Sedangkan DAP kenal dan tahu tentang PAS dan perjuangannya sejak sebelum berkawan dengan PAS lagi.

Menurut Presiden PAS sebagaimana ditegaskannya dalam ucapan penangguhan Muktamar PAS ke 60 di Batu Pahat tahun lalu, beradab dalam berbeza pendapat adalah kritikal bagi parti-parti yang berkawan. Perbezaan pandangan pasti ada dalam mana-mana hubungan, tetapi perbezaan itu haruslah diraikan dan bukannya diasak sehingga menjadi punca perbalahan dan perpecahan.

Parti-parti kawan tidak harus campurtangan dalam urusan dan masalah parti lain yang berkawan. Ini sesuatu yang perlu dihormati dalam apa jua hubungan pun. Kita lihat ketika krisis memuncak, DAP secara terang-terangan telah melibatkan diri dalam proses pemilihan pimpinan dalam PAS dan ini bukan rahsia lagi. Sedangkan PAS tidak pernah sama-sekali terlibat apalagi memberi ulasan terhadap masalah rumahtangga DAP.

Dan bagi PAS jatidiri Islam adalah keutamaannya dan parti kawan tidak berhak memaksanya bertolak-ansur dalam perkara dasar seumpama ini. Dalam kes Hudud umpamanya, ianya bukan perkara baru, ianya telah melalui banyak proses dialog dan perbincangan sehingga PAS memutuskan bahawa masyarakat bukan Islam terkecuali daripadanya. Namun bagi DAP, ianya bukan hanya telah ditolak mentah-mentah tetapi ditentangnya secara terbuka dan dalam skala yang besar.

Penasihat NGO SUARAM, Dr Kua Kia Soong, seorang bekas pemimpin dan ahli parlimen DAP dalam satu artikelnya di laman Malaysia Today menyebut bahawa rakyat Malaysia bersedih apabila DAP mengisytiharkan Pakatan Rakyat telah berkubur atas alasan DAP tidak lagi boleh berkerjasama dengan PAS. Pemerhatian Dr Kua ini sesungguhnya tidak dapat dinafikan.

Dr Kua kesal bagaimana DAP boleh mudah memutuskan hubungan dengan PAS begitu sahaja sedangkan usaha mendekatkan PAS dengan DAP ini telah dilakukan lebih 30 tahun dengan inisiatif dan kerjasama banyak pihak termasuklah Kesatuan-kesatuan Masyarakat Cina dan pelbagai NGO Cina.

Anehnya menurut Dr Kua lagi DAP lebih mudah mahu bekerja dengan Tun Dr Mahathir, orang yang sama yang telah melumpuhkan demokrasi sepanjang 22 tahun pentadbirannya sebagai PM kononnya hari ini kerana mahu menyelamatkan Malaysia.

Bagi Dr Kua DAP lah punca perpecahan ini bermula dari “Langklah Kajang” yang telah membelakangkan pimpinan PAS sehinggalah kenyataan-kenyataan kasar dan tuduhan liar yang dikeluarkan oleh pimpinan kanan DAP terhadap Presiden PAS lanjutan dari itu.
Apa pun kini nasi sudah menjadi bubur dan oleh kerana berpegang pada dasar dan prinsip, PAS menerima hakikat ini dan bersedia untuk berhadapan dengan apa sahaja kemungkinan.

Bagi PAS persahabatan dan kerjasama politik itu penting tetapi kepentingan Islam mengatasi segala-galanya. Ramai yang tidak boleh memahaminya termasuklah segelintir ahli-ahlinya yang terpesona dengan DAP, tetapi bagi kebanyakkan ahli-ahlinya yang komited apabila Tuan Guru Presiden mereka menyatakan: “Saya tak bersedia nak bawa ahli-ahli PAS ini ke neraka jahanam”, mereka insaf, akur dan faham.

Di sinilah titik tolak perbezaan antara PAS dan parti-parti lain, ahli-ahli PAS mendambakan redha Allah swt dan berpolitik dengan mengejar balasan di Hari Kemudian, sesuatu yang asing dan tiada dalam kamus politik mana-mana parti pun.

Atas dasar itulah PAS istiqamah sehingga hari ini dan atas dasar itu jugalah rakyat jelata menghormati dan insyallah terus menerima PAS walaupun dibenci dan telah “diceraikan” oleh DAP.

Islam dan PAS tidak boleh dipisahkan apatah lagi oleh DAP.

No comments: