Friday, May 08, 2015

Rompin rasional Teng yang tidak rasional

PRK Rompin dan Permatang Pauh telah pun selesai.

Di Rompin BN kekalkan kerusi mereka yang mereka pegang zaman berzaman namun dengan kesusutan majoriti. Begitu juga di Permatang Pauh kerusi tradisi PKR berjaya dikekalkan juga dengan majoriti yang berkurangan.
Pastinya disaat ini masing-masing jentera parti dan penganalisa politik sedang mengkaji berdasarkan angka-angka yang diperolehi, trend kecenderungan pengundi serta faktor-faktor yang mencorakkan keputusan itu.

Di Rompin umpamanya walaupun PAS tidak berjaya menundukkan BN namun majoriti kekalahannya telah berjaya dikurangkan. Jika pada PRU ke 13 lalu calon PAS tewas pada BN dengan majoriti 15 114 undi, kali ini PAS tewas dengan majoriti 8 895 undi.

Menurut Pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof. Madya, Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff sebagaimana dilaporkan dalam Sinar Harian:
Keputusan PRK Rompin menarik. Data di bawah menjelaskan hal ini.

Jumlah Pengundi (PRU 2013 53,294; PRK 2015 53,596) , perolehan undi calon BN (PRU 2013 30,040; PRK 2015 23,796) – kurang 6,244 undi, perolehan undi calon Pas (PRU 2013 14,926; PRK 2015 14,901) – kurang 25 undi.
Majoriti undi BN PRU (2013 15,114; PRK 2015 8,895) – kurang 6,219 undi, Sementara peratusan keluar mengundi (PRU 2013 85.89 peratus; PRK 2015 74 peratus)," tulis Agus pada laman sosial Facebook miliknya.

Tambahnya, BN harus memikirkan dengan segala kekuatan jentera dan pengumuman peruntukan yang diberi, majoriti undi yang menurun sebanyak 41 peratus perlu direnung dalam-dalam.
Ini kerana pengundi Rompin yang selama ini merupakan kubu BN telah menunjukkan sikap protes mereka. Walaupun belum memberikan kemenangan kepada Pas, tetapi mereka telah membunyikan loceng awal untuk menyedarkan pemimpin BN tentang dasar pemerintahannya yang perlu diperbetulkan,” katanya.

Analisa yang bersandarkan fakta dan angka-angka mudah dihadam oleh akal kita.
Walaubagaimanpun dalam keghairahan mengeluarkan analisa dan pandagan masing-masing ada juga yang terbawa-bawa dengan sentimen sehingga terbit dengan bacaan yang tempang dan kurang matang.

Salah seorang yang dimaksudkan adalah AJK DAP Pusat, yang juga ahli EXCO kerajaan Selangor, Teng Chang Khim. Beliau tanpa segan silu, tanpa memetik sebarang data atau angka terus mengatakan bahawa pengundi di Rompin tidak minat dengan isu Hudud, dan isu inilah yang telah mengakibatkan kekalahan PAS.

Harus disedari Teng lah merupakan salah seorang pemimpin parti berkenaan yang lantang menyerang usaha PAS melaksanakan Hudud di Kelantan.
Beliau berkata:

“Hudud isu panas yang dihangatkan PAS sendiri ketika ini, namun masih gagal menarik minta pengundi di Rompin”
Apakah alasan beliau sehingga terbit dengan kenyataan itu? Berapa ramaikah pengundi Melayu Islam yang telah Teng temui di Rompin sehingga berani keluar dengan kenyataan sedemikian?

Bagi beliau kemerosotan majoriti BN di Rompin semata-mata kerana faktor GST, tidak ada kena mengena dengan Hudud. Malah dipenghujung kenyataan beliau apabila ditanya tidakkah kenyataan sedemikian rupa akan mencalarkan hubungan dalam PR, Teng menjawab:
“Kalau PAS melenting bermakna parti itu menolak demokrasi. Jadi tidak perlu berjuang untuk rakyat.”

Teng berhak bercakap apa sahaja yang beliau mahu. Memang beliau seorang yang vokal terlalu vokal sehingga dalam DAP pun beliau tidaklah sangat disenangi. Tapi itu masalah beliau.
Bagi kita walaupun undi PAS merosot sekitar 25 undi iaitu dari 14 926 pada PRU ke 13 turun ke 14 901 kali ini, terdapat pencapaian yang membangakan di sana.

Menurut FMT News umpamanya:
Sokongan pengundi FELDA kepada Pas dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Rompin meningkat 12 peratus berbanding Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Peningkatan sokongan terhadap Pas itu dilihat pencapaian yang membanggakan kerana pada PRU-13, UMNO menang di kesemua 15 kawasan FELDA.
Menurut Pesuruhjaya PAS Pahang Ustaz Dato Tuan Ibrahim, undi popular PAS meningkat 10.2 peratus. Tambah beliau PAS mencatatkan kemenangan di peti undi Felda Keratong 2 dan 4 yang sebelum ini memihak pada BN. Di Keratong 5 pula walaupun tewas, bilangan undi PAS meningkat.

Kesimpulannya benarkah sebagaimana dakwaan Teng bahawa isu Hudud tidak membantu PAS?

PAS sejak Pilihanraya Persekutuan 1955 dan terus menerus tiap-tiap Pilihanraya Umum dan Kecil akan membawa isu perlaksanaan Islam termasuklah Hudud. Malah saya difahamkan semasa menyertai BN di era Tun Razak dahulu 1973 PAS tidak pernah menyembunyikan tuntutan perlaksanaan Islamnya.
Untuk mengatakan bahawa isu Hudud tidak membantu PAS adalah sesuatu yang tidak berasas sama-sekali. Pastinya 14,901 yang memangkah PAS di Rompin tahu dan faham dasar dan matlamat perjuangan PAS, mereka juga benci pada GST namun mereka senang dan tidak bermasalah apabila PAS memperjuangkan Hudud memandangkan ianya pun sebuah parti Islam.

Yang tidak faham atau lebih tepat lagi tidak senang dan tidak boleh menerima dasar perjuangan PAS adalah Teng.
Untuk kesekian kalinya, apa yang diusahakan oleh kerajaan PAS Kelantan dan nanti akan diteruskan oleh PAS di Dewan Rakyat adalah menepati sepenuhnya peraturan Perlembagaan dan Undang-undang Negeri dan Negara. Ianya suatu proses yang dibenarkan dalam amalan demokrasi berparlimen.

Undang-undang Jenayah Syariah yang mahu diperkenalkan oleh PAS di Kelantan merupakan rentetan dari dasar perjuangan PAS. Ia tidak terkena pakai ke atas bukan Islam. Sewajarnya rakan-rakan PAS membantu menerangkan kepada bukan Islam bahawa ianya sesuatu yang tidak harus dibimbangi oleh mereka kerana ia tidak akan terkena pakai atas mereka.
Rakan-rakan yang Muslim pula bertanggungjawab menyokong usaha yang menepati tuntutan syariat Islam ini.

Apa pun di Rompin kedudukannya membuktikan rakyat tiada bermasalah dengan Hudud dan begitu juga di Permatang Pauh dan saya percaya di seluruh Malaysia. Yang kita tidak faham kenapa Teng bermasalah dan tidak senang?

1 comment:

Anonymous said...

Ikut logik teng...di pmtg pauh majoriti.undi cina oegi kpd bn...so cina suka hst dan suka hudud?