Sunday, May 24, 2015

Fitnah dan adu-domba tidak akan menjatuhkan kepimpinan PAS (24/5/15)

Tidak sampai dua minggu lagi dalam Muktamar PAS ke 61 di Kuala Selangor, para perwakilan PAS akan menentukan siapakah pucuk pimpinan tertinggi parti berkenaan bagi tempoh penggal yang akan datang.

Bukan hanya kalangan orang-orang PAS yang berminat untuk menentukan kepimpinan parti mereka, malah Muktamar kali ini menarik perhatian dan minat ramai dikalangan kawan dan lawan. Ada yang sekadar memerhati, ada yang meramal mengulas malah ada pula yang cuba mempengaruhi para perwakilan dengan pandangan dan kadang-kala ugutan.
Beberapa isu tertentu digunakan untuk mempengaruhi para perwakilan agar menolak atau menaikkan pihak-pihak tertentu yang bertanding.

Sesungguhnya yang akan menyaksikan pertandingan bukanlah sebuah parti biasa sebagaimana parti-parti lain yang bergerak di Malaysia, akan tetapi parti berkenaan adalah sebuah gerakan Islam satu-satunya parti yang meletakkan Islam sebagai dasar dan matlamat perjuangannya.
Oleh yang demikian menyedari dan mengetahui para perwakilan PAS, saya mengira bukanlah sesuatu yang mudah untuk mempengaruhi mereka dengan isu yang sengaja diada-adakan, apalagi yang berbaur adu-domba, ugutan apa lagi fitnah.

Perwakilan PAS nanti adalah terdiri dari Yang Dipertua PAS Kawasan-kawasan, selain biasanya pimpinan tertinggi diperingkat kawasan masing-masing kesemuanya minima 5 dari setiap kawasan seluruh Malaysia. Juga dalam perwakilan nanti adalah 15 wakil dari Dewan-dewan Pemuda, Muslimat dan Ulamak Pusat masing-masing selain perwakilan dari kalangan AJK PAS Pusat.
Secara umumnya kesemua mereka ini adalah pimpinan tertinggi PAS samada peringkat kawasan-kawasan mahupun Dewan-dewan dan AJK Pusat.

Mereka yang dari pelbagai disiplin dan latarbelakang akademik dan pekerjaan ini bukanlah orang-orang biasa yang boleh digula-gulakan apatah lagi dimomok dan diugut.
Oleh itu jangan sekali-kali cuba merendah-rendahkan bacaan politik mereka, jangan sekali-kali menyogok mereka dengan sesuatu yang melampaui kematangan dan komitmen mereka dalam PAS dan perjuangan Islam.

Saya lihat ada dua isu popular yang cuba diasak pada para perwakilan PAS.
Pertama isu mahu meninggalkan Pakatan Rakyat atau tidak mesra PR dan keduanya isu tergila mahu berbaik dan tidur sekatil dengan Umno dan BN.

Dua isu ini hebat dijadikan bahan nyanyian, lagu siulan oleh sesetengah pihak dengan harapan boleh mengguling dan menjatuhkan secara tepat Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang selaku Presiden PAS dan mereka yang berkongsi pemikiran dan harapan bersama beliau.
Kononnya politik Tuan Guru politik yang mahu memaksa PAS keluar PR. Tidak mesra PR sehingga Setiausaha Agung DAP turut campurtangan mengiyakan perkara ini selain beberapa kalangan pimpinan dalam PAS yang turut ghairah mahu merebahkan Tuan Guru.

PAS bawah Tuan Guru dikatakan sering mahu mencari masalah dalam PR. Sering berbalah dengan PKR dan DAP dan Tuan Guru seakan tidak minat dengan politik PR sehinggakan kehadirannya dalam mesyuarat PR dijadikan bukti tohmahan ini.
Benarkah begitu?

Hakikatnya PAS sejak ditubuhkan lebih 60 tahun lalu, berterusan memikul dan menjulang agenda Islam sebagai perjuangan politiknya. Untuk mengejar agenda berkenaan PAS masuk dan bertanding Pilihanraya. Dari masa kesemasa jua demi memenangkan agendanya PAS sentiasa terbuka untuk berkerjasama dengan mana-mana parti dan NGO dan ini sudah terbukti dalam sejarah panjang PAS dalam politik tanahair.
Cumanya tidak seperti parti-parti lain, PAS memiliki dasar dan prinsip yang tetap yang sekali-kali tidak boleh dikompromi atau diagadikan hanya semata-mata mahu menang pilihanraya. Dasar dan prinsip ini bagi PAS adalah sesuatu yang berharga dan ianya itulah yang mencetuskan semangat dan kegigihan perjuangandalam jiwa oramg-orang PAS  kerana tidak seperti parti dan pihak lain, ahli-ahli PAS mengejar ganjaran akhirat yang berakhir tidak sekadar di Putrajaya.

(Ini mungkin tidak dikongsi atau difahami oleh mereka yang masuk PAS dengan agenda peribadi tertentu, kerana itu mereka tak lama dalam PAS dan membawa diri keluar seperti Tamrin Ghafar dan tidak mustahil Tan Sri Muhammad Taib tidak lama lagi, silakan)
PAS boleh berkawan dan boleh berkerjasama dengan sesiapa sahaja tetapi ianya tertakluk kepada dasar dan prinsipnya yang sekali-kali tidak boleh digadaikan.

Kerana itu orang-orang PAS tahu kiranya Presiden mereka sebelum ini tampak membawa pendirian yang tegas dalam PR, membawa sikap menentang dalam isu-isu tertentu, bukannya kerana Tuan Guru mahu mengasingkan diri atau mengeluarkan PAS dari PR, tetapi sesungguhnya ia diambil semata-mata kerana memeilihara dan mempertahankan dasar dan prinsip perjuangan PAS.
Atas istiqamah itu beliau dihormati dan disanjungi oleh umat Islam lebih-lebih lagi akar-umbi PAS, dan tiada siapa samada pihak tertentu dalam PAS mahupun kawan dalam PR tambah-tambah lagi musuh dari luar yang akan berjaya menggunakan isu ini untuk memaksa perwakilan PAS menolak Tuan Guru dan mereka yang bersamanya.

Mempertahankan prinsip dan dasar perjuangan adalah ajaran para Nabi dan Rasul, dan para perwakilan PAS tidak memerlukan sesiapa pun untuk mengajar mereka sebaliknya.
Kesimpulannya saya yakin Tuan Guru tetap mahu bersama PR, cumanya kawan-kawan perlu faham dan meraikan sikap dan pendirian PAS dalam hal-hal tertentu, itulah adat berkawan.

Keduanya isu kononnya Tuan Guru mahu membawa PAS masuk menyertai BN atau bersama Umno. Gagasan "Kerajaan Perpaduan" dimain-mainkan kononnya "Unity Government" atau "UG" itu adalah antara PAS dan Umno.
Satu hakikat bagi orang-orang PAS sebut sahaja mahu bermain cinta dengan Umno, ianya sesuatu yang tidak boleh diterima kerana Umno adalah musuh tradisi PAS. (Lantaran itu saya yakin pihak berkepentingan memainkan isu ini dengan putar-bulit yang durjana)

Tetapi UG dahulu janganlah diputar-belitkan kerana ianya tidak pernah bermaksud gabungan PAS dan Umno. Ia sesungguhnya adalah cadangan Tuan Guru yang melibatkan semua parti-parti di Malaysia samada BN dan PR sehinggakan tiada lagi pembangkang kerana semua sudah duduk dalam kerajaan.
Gagasan Tuan Guru itu telah ditolak akhirnya oleh PAS Pusat, dan tidak pernah dihidupkan kembali kecuali orang segelintir tertentu yang memutarbelitkannya dengan tohmahan bahawa Tuan Guru maksudkan gabungan PAS dan Umno lalu Tuan Guru perlu ditolak kerana itu.

Jahat sungguh mereka yang ghairah kerana gilakan jawatan sehinggakan sanggup menabur fitnah dan mereka-reka cerita dengan harapan kali ini para perwakilan PAS akan terpengaruh dan menolak Tuan Guru sebagai Presiden.
Juga terbabit dalam memainkan isu ini adalah Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang berterusan menyerang Tuan Guru dengan fitnah ini. Harapan beliau biar PAS lepas ini jadi lunak buat beliau syaratnya PAS tanpa Tuan Guru.

Saya sama sekali tidak percaya para perwakilan PAS boleh tertipu dan termakan dengan racun ini sehingga berselera mahu menggulingkan Tuan Guru dan mereka yang bersamanya semata-mata kerana percaya Tuan Guru mahu berpeluk dengan Umno.
Isu rang undang-undang persendirian yang mahu membuka laluan perlaksanaan Hudud di Kelantan jangan sekali-kali dipalitkan dengan fitnah jahat ini. Dalam hal mendapatkan sokongan meluluskan Hukum Allah ini, memang PAS terutama Tuan Guru akan melobi semua wakil rakyat di Parlimen agar menyokongnya terutama dikalangan wakil-wakil rakayt Islam samada dari PR ataupun BN.

Melobi dan mendapatkan sokongan wakil-wakil rakyat contohnya dari Umno untuk menyokong  rang undang-undang ini bukanlah bermakna PAS mahu memeluk cium Umno sebagaimana adu-domba yang cuba dicetuskan oleh mereka yang tidak bertanggung-jawab yang ketandusan idea dan muflis imannya.
Bagi saya para perwakilan PAS bijak memilih antara kaca dan permata. PAS ini sudah jauh belayar dalam persada politik Negara membawa dan menjulang panji-panji perjuangan Islam secara istiqamah dengan pemimpin yang silih berganti namun berterusan istiqamah dalam mengejar matlamat perjuangan.

Siapa pun boleh berkata apa sahaja sesuka hati dan nafsu mereka, walaubagaimanapun lantaran PAS ini sebuah wadah Gerakan Islam yang mewakili lebih 1 juta ahli, para perwakilannya pasti akan dipandu oleh Allah swt untuk memilih hanya yang terbaik untuk meneruskan layaran bahtera perjuangan yang besar ini.
Yang pasti dengan izin Allah, “Kepimpinan Ulamak” akan terus menjadi teras dan kekuatan parti ini sampai bila-bila. Ayuh PAStikan ia begitu

1 comment:

pejuang solo said...

Setuju saudara..tapi ingat semakin dekat dgn muktamar semakin menggila fitnah..Saya tak heran jika ada yg keluar surat atau gambar yg dikaitkan dgn ug menjelang pengundian..cara mereka sama dgn saraf umno..mungkin org yg sama.