Tuesday, May 26, 2015

Benarkah ulamak muda dalam PAS satu ancaman? (26/5/15)

Seorang penganalisa politik bertanya kepada saya apa bezanya ulamak yang seangkatan dengan Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang dan ulamak-ulamak muda dalam PAS hari ini.

Bagi mereka yang tak kenal PAS sudah pastilah tidak faham akan apa yang berada di dalam bahtera PAS. Jolokkan orang-orang luar sudah pasti mudah membangkit dan merangsang perasaan ingin tahu mereka. Lebih-lebih lagi kalau yang menjolok itu dari kalangan orang-orang PAS sendiri yang sentiasa kecewa dan kacau jiwanya.
Orang PAS yang istiqamah sudah pasti akan tersenyum dengan persoalan sebegini.

Secara amnya tiada beza dikalangan para ulamak di dalam PAS. Mereka semua menerima asuhan dan pendidikan dari pelbagai institusi pengajian, samada dari dalam mahupun luar Negara. Mereka menyertai PAS dengan matlamat memperjuangkan dasar dan cita-cita PAS dan di dalam PAS mereka yang istiqamah diberi tempat melatih dan mentarbiyah ahli-ahli PAS supaya lebih memahami dan menjiwai perjuangan gerakan Islam ini.
Para ulamak merupakan teras kekuatan perjuangan PAS kerana kuatnya ikatan mereka dengan akar-umbi lantaran peranan mereka sebagai rujukan dan pembimbing ahli-ahli PAS dipelbagai peringkat saban waktu dan ketika. Oleh kerana PAS merupakan parti dan gerakan Islam sudah pastilah disiplin serta penguasaan ilmu Islam sangat dihormati oleh segenap ahli dan penyokongnya.

Samada mereka yang seangkatan dengan Tuan Guru Hj Abd Hadi atau yang baru dan muda, nama sahaja ulamak sesungguhnya begitulah tugas dan tanggungjawab mereka zaman berzaman.
Akan tetapi persepsi yang cuba diwarnai pada ulamak-ulamak muda ini, yang berus catnya barangkali dipegang oleh tangan-tangan yang punya kepentingan atau agenda tertentu, adalah bahawa jika ulamak-ulamak yang seangkatan dengan Tuan Guru kononnya kelihatan konservatif, maka ulama-ulamak muda ini pula selain “ultra” konservatif juga kononnya ekstrim dan kasar.

Biar orang benci pada Tuan Guru dan biar orang lebih benci pada ulamak-ulamak muda ini. Biar benci itu nanti bukan sekadar bersarang di dada mereka yang bukan PAS khasnya bukan Melayu tetapi lebih-lebih lagi sehingga berjaya ditabur dan bersarang pula di dada orang-orang PAS yang akhirnya memungkinkan PAS konon-kononnya dibersihkan dari pengaruh para ulamak seumpama ini.
Itu yang cuba mahu difahamkan oleh si penganalisa politik yang saya sebutkan di awal tadi.

Lalu saya memberitahu sesungguhnya PAS berada pada tahap pencapaiannya hari ini adalah hasil dari kegigihan perjuangan para ulamak khasnya yang seangkatan dengan Tuan Guru. PAS pasca Allahyarham Datuk Asri sudah berada di tahap paling kritikal. Ketika itu tiada orang mahu terlibat dengan PAS, tiada orang mahu menunjukkan yang ia PAS kecuali segelintir yang istiqamah. (Masa pemilihan pun tiada pula yang mahu berebut-rebut jawatan)
Dari kekuatan paling minima iaitu satu kerusi Parlimen dan dua DUN kedua-duanya di Kelantan, PAS berjaya dihidupkan semula, dibangkitkan dari tenatnya hasil dari kesungguhan dan gerak kerja para ulamak yang berjaya menarik kembali minat rakyat khasnya umat Islam kepada PAS.

Nama-nama yang tercatat pada lipatan sejarah PAS, bukannya bikin-bikinan, adalah Almarhum Ustaz Fadzil Nor, Almarhum Ustaz Dato Harun Taib, Almarhum Ustaz Abu Bakar Chik Almarhum Ustaz Tan Sri Azizan , Almarhum Ustaz Hassan Shukri yang semuanya seangkatan dengan Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang selain bantuan dan kerjasama yang bukan ulamak seperti Syed Ibrahim, Wan Mutallib Embong , Subky Latiff dan lain-lain.
“Road Tour” dari kampus ke kampus dan masjid-masjid serta surau-surau seluruh Malaysia termasuk ke luar Negara yang diketuai Tuan Guru di awal tahun 80an (khasnya selepas Tuan Guru menang kerusi DUN pada 1982) telah menghidupkan kembali minat rakyat khasnya anak-anak muda dalam PAS.

Malah ada yang berstatus wakil rakyat dan YB hari ini belum PAS pun ketika itu.
Kalau benar Tuan Guru dan yang seangkatan dengannya konservatif dan jumud sebagaimana yang mahu digambarkan, sudah pasti pasca era Asri, PAS akan kendur dan terus rebah ke bumi tidak seperti hari ini.

Itu Tuan Guru dan yang seangkatan dengannya. Bagaimana pula dengan para ulamak muda hari ini?
Para ulamak muda dalam PAS hari ini pula saya nyatakan rata-rata adalah merupakan anak didik Tuan Guru belaka. Mereka menghormati Tuan Guru dan mereka merupakan anak-anak didik yang beriltizam untuk meneruskan apa yang telah dibina oleh Tuan Guru. Mereka adalah galang ganti Tuan Guru dalam PAS.

Adakah benar mereka “ultra” konservatif dan ekstrim?
Saya nyatakan tidak!

Malah mereka lebih terkehadapan dalam isu-isu semasa, tidak seperti dakwaan seorang bekas MB Selangor bahawa kononnya mereka ini sekadar pandai baca al Quran tetapi buta isu semasa. Mereka sesungguhnya lebih kontemporari dalam pendekatan, ada yang boleh berbahasa Inggeris dengan baik, dan mereka lebih memahami suasana, “internet savvy” dan dari tangan didikan dan tarbiyah Tuan Guru mereka istiqamah memperjuang dan mempertahankan dasar dan matalamat perjuangan PAS sehingga disenangi dan boleh diterima masyarakat tua ataupun muda.
Hujah-hujah dan pandangan mereka punya kualiti dan ia dihormati dan malah disegani samada mereka berada di Dewan Rakyat atau Dewan-dewan Negeri, di mimbar-mimbar, di forum-forum atau apa sahaja majlis. Kerana itu hakikatnya mereka ini sangat digeruni dan dibimbangi oleh musuh luar dan dalam.

Jika personaliti seperti Nasrudin Hassan, Nik Mohamad Abduh, Mohd Khalil, Ustaz Dr Ridhuan Mohd Nor dan lain-lain yang merupakan para ulamak muda dalam PAS, adalah “ultra” konservatif dan ekstrim sudah pasti masyarakat akan menolak PAS mentah-mentah dan mustahil PAS boleh menang kerusi melalui mereka.
Realitinya mereka ini merupakan Ulamak Gen X yang bakal mencorakkan warna PAS ke arah yang lebih teguh dan diterima masyarakat di masa-masa akan datang bersama yang bukan ulamak yang berkongsi impian yang sama. Mereka sudah bersedia meneruskan pencapaian mentor mereka iaitu Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang dan yang seangkatan dengannya.

Mereka istiqamah, mereka punya tenaga dan kesungguhan, dan merekalah yang akan mengusung panji-panji perjuangan PAS seterusnya bersama seluruh ahli, penyokong dan rakyat Malaysia selepas ini.
Oleh itu saya maklumkan pada penganalisa politik tadi bersedialah melihat kebangkitan mereka dalam politik Malaysia selepas ini nanti.

 

 

No comments: