Tuesday, April 14, 2015

Zairil yang terjerat atau siapa? (14/4/15)


Berkali-kali dan dengan penuh teliti saya membaca kenyataan Zairil Khir Johari, pemimpin muda Melayu Islam DAP yang juga ahli Parlimen Bukit Bendera dalam laman blognya.
Di bawah tajuk:

“Kejasama PAS-Umno umpama pelanduk melupakan jerat, tetapi jerat tidak melupakan pelanduk”
http://www.zairil.com/kerjasama-pas-umno-umpama-pelanduk-melupakan-jerat-tetapi-jerat-tidak-melupakan-pelanduk/

Mesej yang cuba dibawanya bagi saya lebih merupakan usaha memanjangkan lidah kedua-dua bosnya Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng. Beliau menyerang dengan cuba memperkukuhkan hujah  bahawa Presiden PAS Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang kononnya memang pengkhianat, tidak bermaruah dan tidak jujur.
Isunya adalah kerjasama PAS dengan Umno dalam memastikan Kanun Jenayah Syariah Kelantan dapat dilaksanakan di negeri berkenaan.

Beliau mendakwa bahawa Tuan Guru Presiden PAS seakan tidak pernah mahu belajar dari sejarah.
PAS telah berkali-kali ditipu menurutnya apabila menjalin hubungan dengan Umno. Satu contoh adalah apabila PAS menyertai BN setelah Peristiwa Hitam 13 Mei, 1969.

Bagi memperteguhkan lagi hujahnya Zairil turut membakar sentimen orang-orang PAS. Beliau cungkil kembali Peristiwa Memali 1985, seolah kerajasama ini bakal memadamkan perngorbanan dan perjuangan para syuhada Memali. Bayangkan Tuan Guru dengan sengaja mahu melupakan pengorbanan mereka yang telah terkorban ini.
Tak cukup dengan itu beliau cuba menabur lagi benih kemarahan dengan mencampakkan pula nama-nama tokoh yang disanjungi dalam PAS iaitu Almarhum Ustaz Dato Fadzil Nor dan Almarhum Tuan Guru Dato Nik Abs Aziz. Dakwa beliau kedua-dua Almarhum ini tidak sekali-kali akan bekerjasama dengan Umno hatta atas isu perlaksanaan Hudud sekalipun.

Rata-rata bagi saya kenyataan ini cuba memberi mesej kepada ahli-ahli PAS, bahawa berdasarkan kenyataan sebelum ini oleh kedua pemimpin agung beliau Kit Siang dan Guan Eng, maka orang-orang PAS perlu menolak Tuan Guru sebagai Presiden dalam Muktamar PAS nanti kerana Tuan Guru mahu membawa PAS bersekongkol dengan Umno! Tuan Guru pengkhianat, tidak bermaruah dan tidak jujur.
Sedih apabila kenyataan ini terbit dari seorang pemimpin yang beragama Islam.

Isu di sini sebenarnya adalah isu Tuan Guru Presiden PAS mahu membawa Rang Undang-undang Persendirian ke Parlimen bagi membuka laluan perlaksanaan syariat Islam yang menepati al Quran di negeri Kelantan.

Itulah punca kemarahan DAP.
Pengkhianat, tidak bermaruah dan tidak jujur, merupakan kata-kata kesat dan keras yang terbit dari lidah pemimpin tertinggi DAP terhadap Tuan Guru Presiden PAS, hanya semata-mata kerana mahu mempelopori usaha melaksanakan Islam di negeri yang PAS kuasai.

Dari kaedah demokrasi berparlimen sebarang usaha seumpama ini nanti memerlukan sokongan majoriti ahli-ahli Dewan, maka PAS terpaksa “melobi” bagi mendapatkan sokongan demi memastikan Rang Undang-undang ini nanti disokong dengan suara ramai.
Melobi tidak bermaksud menjalin kerjasama politik, tetapi sekadar persetujuan bersama atas satu isu yang spesifik.

DAP awal-awal lagi menyatakan tidak akan sokong walaupun undang-undang ini pada hakikatnya adalah merupakan undang-undang syariah yang hanya terkena pakai ke atas orang-orang Islamsahaja itu pun setakat ni hanya di Kelantan. Pelik sungguh, DAP langsung tidak memberi peluang kepada dua ahli Parlimen Islam nya termasuk Zairil untuk memilih mengikut sentiment agama masing-masing. Dan malah Zairil pula menjadi alat menolak perlaksanaan hukum Islam ini sedangkan beliau seorang Muslim dari lahir.
Sepatutnya semua ahli Dewan yang Muslim, PAS, Umno, PKR, PBB, DAP yang termasuk Zairil sama-sama menyokong isu yang spesifik ini yang merupakan tuntutan yang terkena ke atas setiap individu Muslim.

Isu kerjasama politik bersama Umno tidak berbangkit kerana PAS punya pakatan politik bersama PKR dan DAP.
Mengapa perlu Zairil yang cerdik lagi bijaksana. Merelakan dirinya menjadi alat untuk memburukkan Tuan Guru Presiden PAS dan dalam waktu yang sama memutar belit isu seolah Presiden PAS itu mahu menjalin kerjasama politik bersama Umno sedangkan beliau tahu semua itu tiada kebenarnnya.

Kenapa Zairil sebagai seorang Muslim tidak mengambil peluang menjelaskan kepada pemimpin-pemimpin besarnya yang bukan Islam. Bahawa ini kepercayaan orang-orang Islam. Ia perlu dihormati sebagaimana penganut lain dijamin oleh Perlembagaan bebas mengamalkan agama dan kepercayaan mereka, maka orang-orang Islam juga berhak mengamalkan undang-undang syariah mereka.
Mustahil Zairil tidak tahu bahawa PAS berjuang dengan matalamat mahu menegakkan Islam. Inilah perjuangan PAS ketika awal-awal lagi dahulu. Ketika Khir Johai Menteri, ketika beliau bertanggungjawab menghapuskan pembelajaran tulisan jawi di sekolah-sekolah kebangsaan, begitulah PAS dan hari ini PAS istiqamah begitu, insyallah sampai bila-bila.

Awas kenyataan Zairil bukannya membantu tetapi sebenarnya bakal membakar api kemarahan khasnya dikalangan orang-orang PAS terhadap beliau sendiri. Gunakanlah zaman muda dengan ilmu yang tinggi itu untuk kepentingan Islam dan umat Islam, jangan jadi alat adu domba dan memburukkan mereka yang telah berjuang sebelum pun anda lahir lagi.
Kalau DAP tolak Hudud, rata-rata umat Islam dan malah orang-orang PAS tidak marah, kerana DAP yang sekular dan dikuasai oleh majoriti pemimpin dan ahli-ahli bukan Islam itu memang hakikatnya sedemikian. Bangkitlah Kit Siang atau Guan Eng atau sebelumnya mendiang Karpal untuk menyerang dan memperlekeh usaha PAS untuk menegakkan Islam, orang tidak marah.

Tetapi apabila ada pemimpin dalam DAP yang beragama Islam yang memilih untuk berpendirian demikian, maka ianya sangat dikesali dan saya yakin sikap dan pendirian saudara itu akan turut dikesali dan diratapi oleh seluruh umat Islam. Saudara akan turun dalam sejarah Negara sebagai pemimpin Melayu Islam yang bukan sahaja menolak perlaksanaan Islam malah terlibat dalam mengkritik dan menyerang usaha mereka yang ikhlas yang mahu memartabatkan Islam dalam Negara.
Malulah kita kalau masih ada sifat malu itu dalam hati sanubari saudara. Kita kata orang terjerat tetapi sebenarnya kita yang terjerat.....

 

 

 

 

No comments: