Sunday, April 12, 2015

Alahai Ronnie Liu (12/4/15)

Ronnie Liu Thian Khiew adalah seorang kawan lama.

Saya terutama rapat dengan beliau ketika PAS, PKR dan DAP masing-masing memiliki cukup kerusi untuk membentuk kerajaan di Negeri Selangor pada tahun 2008. Ketika itu juga Ronnie menang kerusi DUN Pandamaran, kemenangan pertama baginya setelah berkali-kali cuba untuk menang atas tiket DAP. (Rupa-rupanya itu juga menjadi kali terakhir beliau menang kerana selepas itu beliau hanyut di pukul tsunami dalam partinya sendiri).
Banyak juga kisah Ronnie ini berada dalam benak ingatan saya, terutama ketika berunding membentuk kerajaan pertama PR di Selangor, juga ketika mesyuarat-mesyuarat PR Negeri Selangor yang mana kami berdua adalah ahlinya  selain beberapa pengalaman bersama beliau ketika beliau EXCO PBT di Selangor.

Ronnie juga sebenarnya merupakan satu-satu figura kanan DAP yang naik cepat di Selangor, sehingga menjadi EXCO setelah PR menang 2008 dan juga yang paling cepat jatuh apabila tidak lagi dicalonkan bertanding pada PRU 2013 walaupun baru berkhidmat sepenggal. Bekas SETPOL dan orang kuat Lim Kit Siang ini memiliki “musuh’ nya sendiri dalam DAP Selangor khasnya, dan memang mempunyai krisis peribadi dengan Teng Chang Khim, bekas Speaker Selangor yang kini EXCO Negeri dan Naib Pengerusi DAP Selangor.                            
Sesungguhnya begitulah orang-orang PAS banyak menjalin persahabatan terutama dengan rakan-rakan dalam DAP dan PKR setelah masing-masing kepimpinan bersetuju bekerjasama di bawah satu pakatan politik diberi nama Pakatan Rakyat.

Akan tetapi kebelakangan ini persahabatan yang dijalin kelihatan tercalar dan bermasalah. Adat berkawan memang tak sunyi dari kekeruhan dan terusik hati, kata orang sedangkan lidah lagi tergigit. Walaubagaimanapun sahabat yang sejati pasti dapat membalut luka dan mengobat duka kerana menghargai apa yang telah sedia terjalin.
Namun terakhir ini persahabatan yang terjalin kelihatan seakan semakin longgar renggang dan direnggangkan oleh kalangan anasir yang sengaja mahu membikin onar.

Ronnie sendiri tahu perkara ini kerana “ukhuwah” beliau sendiri dalam DAP sentiasa bergelombang dan bergelora. Bila DAP berjaya bersama PAS dan PKR di Selangor dahulu, beliau antara yang risau dan tak senang duduk. Beliau mahu memperkukuhkan genggamannya dalam DAP di Selangor. Kerana itu beliau bersungguh tidak mahu Teng Chang Khim duduk dalam EXCO, apabila sahaja dirundingkan pembentukan kerajaan dahlu, Ronnie lah yang vocal menolak Teng menjadi Speaker, dengan harapan Teng tiada tempat dalam kerajaan negeri.
Rupanya Teng gunakan jawatan itu membelasah Ronnie pula. Ronnie antara tokoh terawal dipanggil mengadap SELCAT bagi mempertahankan perbelanjaan di kawasan DUN nya.

Bila sahaja mesyuarat Pakatan Negeri, kalau ada pun yang tegang, bukannya antara parti-parti, tetapi yang sering bertengkar adalah antara Ronnie dan Teng.
Saya menyatakan ini semua kerana saya kesal dengan tindak tanduk Ronnie kebelakangan ini. Walaupun kita yakni PAS dan DAP berkawan, tetapi Ronnie antara tokoh DAP yang lantang menyerang Presiden dan kepimpinan ulamak PAS. Kalau serangan datang dari Gerakan atau MCA atau MIC, kita boleh terima, tetapi hari ini yang serang berlebih-lebihan adalah tokoh-tokoh DAP sendiri yang sepatutnya bernama kawan.

Semalam himpunan HINDAR atau Himpunan Derita Rakyat telah dianjurkan oleh Dewan Ulamak PAS Pusat yang turut dihadiri Presiden PAS Tuan Gur Hj Abd Hadi Awang. Ianya sempena 10 hari perlaksanaan GST ke atas rakyat Malaysia.
Mengikut akhbar Sinar Harian hari ini:

Perhimpunan HINDAR di Padang Merbok semalam berjalan dengan aman dihadiri lebih 3,000 orang dengan orang-ramai mula membanjiri kawasan itu seawall jam 3 petang.
Sinar turut melaporkan:

Antara yang kelihatan hadir di perhimpunan itu ialah Timbalan Presiden PAS Mohammad Sabu, Timbalan Mursyidul Am PAS Datuk Ahmad Yaakob, Pemangku Ketua Dewan Ulamak PAS Dato Dr Mahfodz…..”

Rata-rata akhbar media perdana yang membuat laporan menyatakan perhimpunan berkenaan berjaya tetapi apa kata Ronnie (dalam facebook nya), kawan orang PAS?

Himpunan yang tidak bermakna.
Digunakan hentam Mat Sabu dan pejuang Pas yang liberal.
Orang Pas dan
Penyokong pun kurang. ...
Padan muka Hj Hadi
Padan muka UG
Padan muka Hj Hadi.
Padan muka UG.


Apa maksud Ronnie ni? Apa masalah beliau? Hentam Mat Sabu? Pejuang PAS yang liberal?

Kalau beginilah bahasa pemimpin DAP, kenallah sangat kita akan hati  budi mereka. PAS tidak pernah pohon mahu keluar PR tetapi PAS berterusan sebagaimana dinyatakan Tuan Guru Presiden mahu kekal bersama PR.
Tetapi DAP sebagai rakan, melalui pemimpin-pemimpin mereka bebas mengeluarkan kenyataan mengadu-domba, menyerang dan menyelar kepimpinan PAS.

Ronnie seakan mahu jadi juara dalam DAP. Beliaulah yang paling kuat menghentam dan menyerang Presiden PAS dan kepimpinan ulamak dari kalangan pemimpin-pemimpin DAP yang lain. Barangkali beliau mahu mengejar habuan besar dari bos nya, mengidamkan jawatan dan kerusi yang sudah tiada dalam tangan.
Semoga ahli-ahli PAS kekal istiqamah atas landasan perjuangan di bawah kepimpinan Tuan Guru Presiden. Disaat kita diserang dan diperlekeh kerana mahu melaksanakan Islam, jelaslah kita berada di atas landasan yang benar.

Ronnie dan rakan-rakannya bolehlah terus dengan perangai kotor mereka.
PAS akan terus mengayun langkah bersama kepimpinan ulamak untuk mengejar cita-cita perjuangannya.

 


No comments: