Monday, February 09, 2015

Bersihkan PAS dari pengkhianat (9/2/15)

Fasal 26 Perlembagaan PAS menetapkan tugas-tugas Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, iaitu dari jawatan Presiden sehinggalah ke Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja.

Selain Presiden, Timbalan dan Naib-naib, terdapat satu jawatan penting yang duduk di bawah Jawatankuasa ini iaitu jawatan Ketua Pengarah Pilihanraya, bidang tugasnya digariskan oleh Fasal 26 (8) a hingga c. Jawatan ini sebagaimana Setiausaha Agung, Ketua Penerangan dan Bendeharai adalah dilantik oleh Presiden.
Antara bidang tugas beliau adalah:

(a) Bertanggungjawab atas kesempurnaan seluruh urusan pilihan raya PAS.
(b) Menyedia, menyusun dan menyelaraskan aktiviti-aktiviti pilihan raya PAS.

(c) Bertanggungjawab melaporkan kepada Presiden dan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat atas segala usaha dan tindakan berhubung dengan kegiatan pilihan raya.

Penyandangnya adalah Dr Mohd Hatta Ramli, yang juga ahli Parlimen Kuala Krai.
Berdasarkan pendedahan terkini yang mendapat liputan penuh akhbar-akhbar tempatan dan media beliau didakwa terlibat dalam kerja-kerja sabotaj mahu menjatuhkan Presiden PAS dan kepimpinan ulamak dalam PAS.

Semalam telah diedearkan kepada pihak media beberapa keratan “printscreen” grup Whatsapp yang sarat dengan maki-hamun dan sumpah seranah serta komplot jahat untuk memburuk-burukkan Presiden dan Majlis Syura PAS. Kumpulan itu turut merancang dan menghebahkan program dan gerak-langkah Pasma, sebuah NGO yang tidak diiktiraf PAS.
Bagaimana seorang yang memegang jawatan kanan dalam parti, yang sepatutnya bertanggungjawab dalam kerja-kerja pilihanraya melibatkan parti, boleh terlibat malah dikatakan mengetuai gerombolan untuk menyerang dan menggulingkan Presiden yang melantiknya?

Betapa besarnya amanah dan tanggungjawab yang PAS berikan kepada beliau, tetapi jika benar beliau menggunakan jawatan itu untuk “belasah” Presidennya sendiri, ianya suatu pengkhianatan yang amat dikesali.
Benarkah grup Whatsapp berkenaan yang dikenali “Hawaii Five 0” merupakan kumpulan cyber trooper bawah Pasukan Gerak Saraf (PGS) di bawah Jabatan Pilihanraya PAS Pusat?

Pertuduhan dari Ketua Pemuda PAS Kuantan tersebut semalam adalah suatu yang sangat serius. Jika ia tidak betul maka ia suatu fitnah yang serius dan Ustaz Fadhli wajar diambil tindakan.
Walaubagaimanapun jika ia benar maka kubu PAS sudah dikhianati dari dalam. PAS perlu membersihkan rumahnya kerana ternyata ia sudah dicemari dari dalam.

Pertuduhan ini bukan suatu yang boleh disapu ke bawah karpet begitu sahaja. Ia serius dan membabitkan maruah dan rahsia parti. Sewajarnya PAS boleh bertindak dengan memanggil segera Ustaz Fadhli untuk memberi keterangan. Jika ada asas di atas pertuduhan beliau, maka seleuruh Jabatan Pilihnaraya PAS Pusat perlu dibekukan. Ketua Pengarahnya perlu digantung tugas dan mengosongkan pejabatnya sementara siasatan dijalankan.
PAS tidak pernah berpengalaman menghadapi isu pengkhianatan seumpama ini diperingkat yang paling tinggi, jika benarlah dakwaan Ustaz Fadhli itu.

Dalam hal ini saya percaya ahli dan pendukung PAS mengharap sangat agar tindakan segera diambil. Telah terpalit arang di wajah PAS akibat pendedahan ini. Ia yang suci bersih telah tercemar, dan berbagai pertanyaan serta syak wasangka timbul daripadanya.
Bagi saya secara peribadi, Ustaz Fadhli, samada benar atau tidak dakwaan beliau, telah berani bangkit mengemukakan bukti-buktinya yang telah memeranjatkan politik Malaysia terutama dalam PAS.

Kini atas PAS lah untuk bertindak.
Jangan tanya Dr Hatta atau Mustafa Ali (kerana nama beliau juga dilibatkan oleh Hawaii Five 0), kerana mereka ada kaitan atau terkait secara langsung atau tidak dengan pertuduhan ini. Presiden PAS juga tidak boleh bertindak.

Sebaiknya serahkan kepada Jawatankuasa Disiplin PAS.  Siasatan dan tindakan perlu dilaksana segera demi memelihara nama baik PAS sebagai sebuah gerakan Islam.
Yang menuduh telah mengemukakan bukti, apakah ianya terhenti apabila yang tertuduh sekadar berkata:

 “Tidak ada, tidak ada. Hari ini tidak akan komen,” katanya ringkas (petikan Sinar Harian 9 Feb 2015)
Ayuh segera bersihkan PAS dari sebarang pengkhianatan.

 

 

No comments: