Wednesday, January 21, 2015

Singapura pun mahu kawal peminum arak (21/1/15)

Satu ketika dahulu kecoh apabila masyarakat Islam di Selangor menuntut agar kedai-kedai serbanika khasnya 7 Eleven tidak lagi dibenarkan menjual arak di kawasan majoriti penduduk Islam. Bahana arak semua masyarakat akur, tetapi apabila ada usul untuk bertindak maka bangkitlah pelbagai alasan kononnya larangan itu menyekat hak mereka yang bukan Islam.

Akhirnya MB Selangor ketika itu mengeluarkan arahan agar dilaksanakan “self regulatory” atau kawalan sendiri, sesuatu yang kabur sehingga hari ini.
Di Kelantan sejak 1990 kerajaan negeri hanya mengeluarkan lesen premis menjual arak pada restoran atau kedai makan bukan Islam yang menjual makanan tidak halal. Arak tadi hanya dibenar dijual kepada pelanggan bukan Islam.

Hari ini saya terbaca dalam akhbar The Star, di Singapura dibentangkan Rang Undang-undang Kawalan Arak (Bekalan dan Penggunaan) di Parlimen Republik berkenaan. Rang undang-undang berkenaan mencadangkan agar semua aktiviti meminum arak di tempat-tempat awam akan diharamkan dari jam 10.30 malam hingga 7 pagi.
Tujuan pembentangan rang undang-undang ini adalah bagi mengelakkan kejadian tidak diingini seumpama insiden rusuhan yang melibatkan pekerja-pekerja asing di Negara berkenaan akibat mabuk dan merusuh tidak berapa lama dahulu.

Ianya juga berdasarkan maklum balas masyarakat tempatan yang mahukan Singapura menjadi sebuah Negara yang aman dan baik untuk bekerja dan beriadah. Tiada lagi pergaduhan dan huru-hara apabila ada yang mabuk dan bergaduh di tempat-tempat awam.
Ringkasnya Singapura mengambil tindakan demikian kerana tenyata arak ini lebih banyak mudarat dari manfaatnya. Negara yang aman boleh menjadi porak-peranda lantaran akibat meminum arak khasnya di tempat-tempat awam dan Singapura bukan sebuah Negara Islam.

Tidak pula ada yang menyuarakan bahawa langkah kerajaan Singapura itu seakan menyekat hak masyarakat bukan Islam yang merupakan majoriti di Negara berkenaan. Apa agaknya pandangan parti-parti politik di Malaysia yang lantang menentang tindakan Kelantan dan di Selangor satu ketika dahulu?
Semoga apa yang berlaku di Singapura menjadi iktibar buat kita semua, melihat ancaman arak itu sebagai satu mudarat yang merugikan masyarakat dan Negara, lalu lebih baik dikawal seumpama di Kelantan, malah diharam sahaja di kawasan penduduk majoriti Islam.

Singapura boleh mengapa kita tidak?

No comments: