Sunday, January 11, 2015

Jadilah ahli PAS yang sempurna (11/1/15)

Tidak seperti ahli parti-parti politik lain, ahli-ahli PAS melengkapkan diri mereka untuk memikul tanggungjawab yang lebih besar selain sekadar menjadi ahli pemanas kerusi dan pemenuh mesyuarat bagi parti-parti lain. Rata-rata sesiapa sahaja yang siuman yang menyertai PAS sedar dan akur bahawa mereka sesungguhnya memanjangkan pertanggungjawaban yang dikenakan atas mereka oleh agama iaitu untuk turut serta dalam perjuangan memartabat dan mendaulatkan Islam sebagaimana dituntut agama apabila sahaja mereka melangkah masuk dalam PAS.

PAS parti yang memperjuangkan Islam. Bagi mencapai matlamat perjuangan itu PAS lengkap dengan disiplin dan sistem pentarbiyahan yang menyediakan ahli-ahlinya ke arah berjuang bagi mencapai cita-cita demikian.
PAS bukan parti sorak dan angguk, parti populis, parti ikut rentak agenda individu atau kelompok tertentu. PAS bukan juga parti yang menghalakan cara demi mengejar matlamat perjuangan.

PAS berjuang mengharapkan kemenangan dunia dan akhirat sesuatu yang tidak ada dalam agenda mana-mana parti, kerana itu PAS sangat berbeza dengan badan siasah dan parti-parti lain.
Contohnya ketaatan PAS terhadap pemimpin sebagaimana diajar oleh Islam adalah selagi mana pemimpin tadi tidak membawa ke arah kemaksiatan dan kejahatan, namun selagi ia benar dan membawa ke arah kebenaran wajar pemimpin tadi diberikan ketaatan.

Kerana itu juga pemimpin lain tidak bercakap tentang dosa dan pahala, syurga dan neraka, isitlah dan ungkapan ini hanya terbit dari hujah dan kata-kata pemimpin yang memperjuangkan Islam, iaitu PAS.
MB Kelantan contohnya Datuk Ahmad Yakob pernah ditanya pemberita mengapa beliau tidak menerima jawatan MB ini sebelumnya, jawab beliau kerana beliau takut memikul dosa. Tuan Guru Hj Abd Hadi dalam ucapan penangguhannya ketika Muktamar PAS yang lalu berkata:

“Saya tidak bersedia nak membawa ahli-ahli PAS ini ke neraka jahanam…….”
Demikianlah betapa jauh bezanya antara PAS dengan yang lain-lain.

Saya menyatakan ini semua kerana sangat terkilan apabila membaca laporan akhbar Sinar harian hari ini bawah tajuk :
Cadang Abdul Hadi tidak dicalonkan semula

Terkilan kerana cadangan ini bukan datang dari orang lain, tetapi datang dari seorang yang mendakwa dirinya bekas EXCO Pemuda PAS Pusat.

Cadangan itu kononnya kerana:
1.  Abdul Hadi lebih layak menggantikan Tok Guru Nik Aziz (yang uzur) sebagai Mursyidul Am

2. Memegang jawatan Presiden dan duduk dalam Majlis Syura (badan uyang lebih tinggi) akan mengakibatkan pertindihan kepentingan dalam menjalankan tugas
Kita menghormati kebebasan bersuara, siapa sahaja boleh bercakap apa sahaja sesuaka hati dan nafsunya. Tetapi bagi orang-orang PAS, kerana menerima perjuangan PAS, ia tidak berkata selain yang diajar dan dituntut Islam. Mungkin yang berkata itu belum sempat kenal PAS semasak-masaknya PAS namun berbangga dengan jawatan bekas EXCO Pemuda PAS Pusat.

Untuk pengetahuan beliau (yang pernah duduk tinggi dalam PAS itu) ahli-ahli biasa PAS yang duduk dalam hiraki yang paling bawah dalam parti, yang merupakan penoreh getah, pekerja sawah, buruh, nelayan, mereka ini merupakan kekuatan akar umbi PAS, mereka masuk dan terus berkorban harta benda untuk perjuangan PAS ini bukan kerana orang seperti beliau (yang pernah sekejap menjadi EXCO Pemuda Pusat) tetapi kerana kepimpinan ulamak, tokoh-tokoh seperti Tok Guru Nik Abd Aziz dan Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang.

Ilmu dan keperibadian seta akhlak pemimpin-pemimpin ini jauh lebih mahal dari agenda dan nafsu politik peribadi orang-orang tertentu. Apabila pemimpin-pemimpin ini mengangkat tangan bedoa contohnya, mereka berebut-rebut mahu mengaminkan doa itu kerana yakin keberkatan yang terpancar dari tokoh-tokoh ini lantaran ilmu dan perwatakan mereka.
Kerana itu sehingga hari ini ramai di luar sana tidak faham dan mengerti halehwal urusan dalam PAS, dan barangkali adalah segelintir dalam PAS seperti bekas EXCO Pemuda ini.

Kerana itu juga As Syahid Syeikh Ahmad Yassin, walaupun uzur, berkerusi roda, namun terus dijulang sebagai pemimpin Gerakan Islam di Palestin.
Tiba-tiba bangkit cadangan agar Abdul Hadi tidak dicalonkan, betapa tidak saya dan saya percaya ramai di luar sana terkilan dengan cadangan itu.

Disaat dan ketika yang penuh dugaan dan mencabar inilah sesungguhnya PAS perlu dan mengharapkan sangat akan kepimpinan dan kebijaksanaan kepimpinan ulamak dalam memimpin jemaah menghadapi gelombang dan arus tribulasi ini, bukan dengan menaikkan mereka yang tidak ada persediaan apa lagi jauh dari ilmu dan disiplin Islam.
Di akhir ucapan penggulungannya dalam muktmar yang lalu (ahli-ahli PAS diajar mengambil panduan dan iktibar dari ucapan penting ini) Tuan Guru Presiden PAS berkata:

“Percayalah masa depan masih ada untuk Islam. Bersabarlah, tutuplah muktamar yang hangat ini dengan menghayati firman Allah swt (surah ali Imran ayat 200) ….Wahai orang-orang yang beriman, bersabarlah kamu menghadapi diri kamu dan dalaman kamu sendiri, dan bersabarlah kamu menghadapi musuh yang mengelilingi kamu, dan bertugaslah kamu di tempat masing-masing. Bertakwa kepada Allah supaya kamu mendapat kemenangan.”
Tuan Guru Hj Abd Hadi masih relevan dan diperlukan sebagai pemimpin nombor satu dan Presiden PAS. Urusan melantik Mursyidul Am bukan urusan ahli-ahli PAS tetapi tugas jelas dalam Perlembagaan PAS diberikan kepada mereka yang tertentu iaitu Fasal 8 (6) Perlembagaan PAS:

“Seorang Ketua Majlis Syura 'Ulamak yang dikenali sebagai Mursyidul 'Am dan seorang Timbalannya yang dikenali sebagai Timbalan Mursyidul 'Am hendaklah dipilih di dalam dan dengan persetujuan mesyuarat Majlis Syura 'Ulamak tersebut dari kalangan ahli-ahlinya dan akan memegang jawatan itu selama lima tahun dengan syarat dia boleh berhenti sebelum cukup tempoh tersebut dan boleh diberhentikan dengan persetujuan dua pertiga daripada ahli-ahli Majlis Syura 'Ulamak itu dan boleh diperbaharui perlantikannya setelah tamat tempoh dia memegang jawatan itu.”

Biarlah kita jadi ahli PAS yang melalui aturan tarbiyah, akur kepada adab dan disiplin jemaah serta faham Perlembagaan, jangan jadi yang pegang jawatan tinggi tetapi longgar dan kosong yang disenarikan tadi.

No comments: