Jangan hilang anak kunci itu (26/12/14)

Friday, December 26, 2014

Alhamdulillah Putrajaya dan Shah Alam telah pun membatalkan majlis perayaan sambutan Tahun Baru 2015 masing-masing. Apa guna kita berhibur, bergembira sedang saudara-mara kita berlapar, berdahaga, bertarung nyawa meredah kesusahan banjir besar 2014 ini.

Syukur diketika ini bantuan dari berbagai sumber turun mencurah-curah ke negeri-negeri dilanda banjir khasnya ke negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang. Semoga ianya terus digerakkan demi meringankan bebanan dan kesengsaraan yang ditanggung oleh saudara-saudara kita disana lantaran musibah yang menimpa mereka.

Sewajarnya juga pemimpin-pemimpin turut memberi tumpuan kepada bencana ini. Setiap kekuatan dan tenaga yang ada di peringkat kerajaan Persekutuan dan negeri-negeri harus dikerah dan disalurkan ke kawasan-kawasan malang ini.
Jangan dipolitikkan bencana dari Allah swt ini. Turunlah semua pemimpin tanpa warna parti, menghulurkan bantuan dan mengambil tahu penderitaan rakyat yang rata-rata majoriti orang Melayu beragama Islam. Tidak perlulah mendabik dada, parti ini dan itu yang turun dengan sumbangan terbesar, tetapi atas bencana Negara ini turunlah bersama-sama demi meringankan derita dan nestapa rakyat kita.

Pada hari Jumaat ini masjid-masjid seluruh Negara difahamkan bakal mengadakan solat hajat, ini satu bukti bahawa kita boleh bersatu disaat krisis. Kita batalkan semua program hiburan kerana simpati di atas kesusahan sesama warga Malaysia, syabas.
Disamping mempertingkatkan bantuan dan pertolongan ke kawasan-kawasan terjejas, tautan kita pada Allah swt jangan sekali-kali kita putuskan. Teruslah memohon kasih sayang dan pertolongan Nya. Saya mahu berkongsi tweet dari YB Ustaz Nik Mohamad Abduh, ahli Parlimen Pasir Mas, yang kawasannya turut terjejas dengan bencana ini:

“Kunci bencana banjir kini di tangan Empunya hujan. Anak kuncinya adalah doa. Walau sejuta tangan menghulur  bantuan, jangan dihilang anak kunci itu”
Dalam suasana penuh mencabar ini sama-samalah kita genggam kuat anak kunci itu.

 

Daulat Tuanku Sultan Perak (25/12/14)

Thursday, December 25, 2014

Terbaru: Astro Awani melaporkan yang Tuanku Sultan Perak ketika melawat mangsa banjir di Lenggong menitahkan agar semua majlis sambutan Tahun Baru 2015 di Negeri Perak dibatalkan dan sebaliknya diadakan majlis solat hajat.

Harian Metro online melaporkan:

Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzudin Shah menitahkan setiap masjid di negeri itu untuk mengadakan solat hajat selepas solat Jumaat esok bagi memohon pertolongan daripada Allah agar melindungi rakyat daripada musibah berikutan kejadian banjir yang melanda beberapa negeri. Dalam satu kenyataan dikeluarkan kepada media hari ini, baginda turut menitahkan agar semua acara sambutan Tahun Baru 2015 anjuran kerajaan negeri atau mana-mana agensi di negeri itu dibatalkan. Sultan Nazrin turut bertitah agar Yayasan Sultan Azlan Shah mengurniakan dua pasang pakaian dan kasut sekolah kepada setiap pelajar yang menjadi mangsa banjir di negeri itu.

Disaat rakyat dirundung malang ditimpa bencana, begitulah sepatutnya sikap pemimpin kita. Di Perak sahaja setakat ini 4,335 orang penduduk telah dipindahkan.

Daulat Tuanku dan mohon agar istana negeri-negeri lain turut mencontohi langkah Tuanku apalagi pimpinan diperingkat lain.

Ya Allah selamatkan saudara-saudara kami (25/12/14)

Menurut angka terkini dari The Staronline jumlah mereka yang telah dipindahkan ke pusat-pusat perlindungan banjir setakat jam 9 pagi ini telah mencecah 90,250 orang iaitu 32,343, di Kelantan Terengganu (28,991), Pahang (24,316), Perak (4,335) dan Perlis (265).

Angka ini disahkan sebagai bilangan terbesar dalam sejarah banjir di Negara ini dan malangnya ia dijangka terus meningkat apabila Kota Bharu dijangka terus diasak dengan air yang dijangka terus meningkat setelah Sungai Kelantan melimpahi tebingnya sejak semalam.
Mengambil kira bencana yang malang ini yang melumpuhkan sebahagian besar negeri-negeri di Malaysia, saya bersetuju dengan gesaan Ahli MT Umno yang juga ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Irmohizam Ibrahim, agar Putrajaya membatalkan sambutan ambang Tahun Baru 2015 dan sebaliknya menggantikannya dengan majlis-majlis keagamaan dan solat hajat.

Memang disaat gawat seumpama ini seluruh rakyat Malaysia perlulah bersatu bersimpati dan menghulurkan bantuan pada warga kita yang ditimpa malang itu.
Saya turut mengesyorkan agar kerajaan Negeri Selangor juga membatalkan Sambutan Ambang Tahun Baru 2015 yang dicadangkan di Shah Alam dan turut digantikan dengan majlis keagamaan dan solat hajat. Begitu juga diharapkan dengan negeri-negeri lain seluruh Malaysia.

Dalam pada itu berita dari Washington Post yang melaporkan PM Najib Tun Razak sedang bersantai bermain golf dengan Presiden Obama di Hawaii sangatlah dikesali.  http://www.washingtonpost.com/blogs/post-politics/wp/2014/12/24/in-hawaii-obama-golfs-with-malaysian-prime-minister-najib-razak/
Disaat Negara dirundung malang dan ratusan ribu rakyat malah mungkin telah mencecah jutaan keresahan, kebimbangan, ketakutan dilanda bencana banjir terbesar dalam sejarah Negara ini, Perdana Menteri tergamak bersantai-santai di padang golf ribuan batu jauh dari tanahair. Lebih malang lagi rakyat pengundinya di Parlimen Pekan turut terjejas!

Mungkin Datuk Irmohizam boleh membangkitkan perkara ini dalam mesyuarat MT Umno akan datang.
Sementara itu teruslah menghulurkan bantuan dan berdoa semoga penderitaan saudara-saudara dan sahabat-sahabat kita di sana segera diringankan dan selesai.

Kit Siang guna "peluru" percuma tembak PAS (24/12/14)

Wednesday, December 24, 2014

Beberapa jam lepas dalam posting terakhir saya “Jangan cabut nyawa PAS” saya menulis:

Tambah gawat lagi apabila ada pula pimpinan PAS, setakat ini 3 AJK Pusat (yang juga ahli Parlimen PAS) yang membangkitkan secara terbuka bahawa konon-kononnya usaha terbaru kerajaan PAS di Kelantan tidak mendapat “restu” JK PAS Pusat?! Mengapa ianya dibangkitkan secara terbuka diperingkat ini? Bagi saya tiada rasional yang dapat dijelmakan selain “pendedahan tidak matang” ini menambahkan lagi persepsi buruk terhadap PAS, seakan bukan sahaja DAP dan PKR tidak setuju malah PAS sendiri tidak sekata dalam membawa perkara ini!”
Ternyata tindakan mereka (3 AJK PAS Pusat itu)sengaja memberi peluru untuk menembak PAS, seakan suatu tindakan yang terancang, apabila sebuah portal berita melaporkan kenyataan Ketua Pembangkang DAP di Parlimen, Lim Kit Siang berkenaan isu ini. Laporan itu menyebut:

If the Kelantan assembly special meeting to push through the implementation of hudud, which even the PAS central committee is unaware of, is held, I see no purpose in my attending any future Pakatan Rakyat presidential council meetings, and I leave it to the party to decide on its next course of action," Lim said in a statement today.
(“Jika mesyuarat khas Dewan Undangan Negeri Kelantan yang bersidang bagi meluluskan perlaksanaan hudud, yang Jawatankuasa PAS Pusat pun tidak tahu menahu, diadakan, saya tidak nampak apa gunanya saya menghadiri mesyuarat majlis presiden PR yang akan datang dan saya serahkan kepada parti untuk memutuskan tindakan seterusnya,” kata Lim dalam satu kenyataan hari ini)

Pemimpin-pemimpin PAS berkenaan (ahli-ahli Parlimen Parit Buntar, Kuala Kerai dan Shah Alam) secara terbuka mendakwa kononnya tindakan kerajaan negeri Kelantan itu tidak pernah dibincang atau dibangkitkan dalam mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat. Tak lama setelah itu Kit Siang pun terbit dengan kenyataan mahu memboikot mesyuarat majlis presiden PR dan mendakwa “even the PAS central committee is unaware….” (malah Jawatankuasa PAS Pusat pun tidak tahu menahu).
Tidakkah seakan terancang tampaknya?

Diwaktu orang-orang PAS keseluruhannya sepatutnya bersatu berdiri teguh mempertahankan usaha untuk melaksanakan hukum hudud ini, tiba-tiba terbit kenyataan dari 3 “kepala” ini sengaja mahu mengeruhkan suasana dan menggambarkan seakan semuanya bagai otokratik dan kuku besi belaka dalam PAS!
Kalau pun marah dan tidak berpuas-hati dengan Presiden PAS atau Pemangku Ketua Dewan Ulamak (yakni MB Kelantan), janganlah sampai menghulurkan peluru untuk menembak parti sendiri, membantu mencabut nyawa PAS!

Anehnya salah seorang mereka itu ahli Parlimen mewakili kawasan di negeri Kelantan!
Saya sangat kesal dengan tindakan mereka itu, gelagat mahu menjatuhkan individu tertentu dalam parti kelihatan terbawa-bawa sehingga sanggup mengonarkan parti sendiri di mata umum. Saya percaya kekesalan saya ini turut dirasai oleh ramai samada di dalam mahupun diluar PAS terutama dikalangan mereka yang tertunggu-tunggu mahu melihat hukum Allah terlaksana sekurang-kurangnya buat permulaan di sebuah negeri.

Disaat para pejuang Islam seluruh Negara bermunajat dan berdoa mohon Allah memudahkan perjalanan bagi perlaksanaan hukum ini, tiba-tiba ada yang dari dalam PAS mahu mengeruhkan suasana.
Pada bulan April 2014, Tok Guru Mursyidul Am PAS dalam satu laporan media dipetik berkata:

“Tak berlaku lagi (hudud), tapi doakan mudah-mudahan pembentangan itu berjaya. Ini satu kemajuan yang sudah lama kita tunggu, bukan senang untuk Kelantan dan negeri-negeri bawa perkara seperti ini ke Parlimen,” katanya sambil menegaskan wajib bagi wakil rakyat Islam menyokong rang undang-undang ini.
http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/nik-aziz-yakin-dap-pkr-akur-pas-laksana-hudud-di-kelantan

Semoga doa dan cita-cita umat Islam di Malaysia diperkenankan Allah swt.  

Jangan cabut "nyawa" PAS (24/12/14)

Timbalan Mursyidul Am PAS Dato Dr Haron Din baru-baru ini telah dipetik media sebagai berkata:

“PAS tidak terbelenggu oleh komen lawan mahupun kawan. Hudud nyawa PAS dan ini perjuangan asas yang tidak pernah lekang.”
Kenyataan ini menegaskan pendirian, sikap dan prinsip perjuangan PAS sejak ia ditubuhkan sehingga kini. Matlamat melaksanakan sistem dan peraturan Islam tidak pernah luput atau luntur dari perjuangan PAS, samada dalam keadaan ia susah dengan suara yang kecil apalagi ketika ia kuat dan punya suara yang lantang.
Siapa pun yang bermusuh atau berkawan dengan PAS tahu bahawa itulah perjuangan PAS. Ketika PAS mula-mula menaiki pentas politik dalam Pilihanraya Persekutuan Tanah Melayu tahun 1955, itulah slogan perjuangan PAS, dan obornya terus membakar dan dijulang sehingga ke hari ini.
PAS menang cuma satu kerusi tahun 1955 melalui Almarhum Tuan Guru Hj Ahmad Tuan Hussien di Kerian, Perak (dan Almarhum Prof Zulkifli Muhammad hilang wang pertaruhan di Kelang), atas slogan yang sama. Menang di negeri-negeri Kelantan dan Terengganu Pilihanraya Umum Pertama Malaya Merdeka 1959 terus dengan slogan yang sama sehinggalah hari ini dengan suara di Dewan Rakyat, Dewan Negara dan hampir kesemua Dewan Negeri-negeri di Malaysia juga dengan slogan yang sama.
Berdasarkan kenyataan Dr Haron Din itu keseluruhan ahli dan penyokong PAS sedar dan akur bahawa PAS tanpa Hudud akan mati dan tidak lagi menepati prinsip dan dasar perjuangannya lagi.
Allah swt telah mentakdirkan PAS menang di Kelantan, atas slogan ini, sejak 1990 lagi dan kini sudah lebih 24 tahun ia berterusan berkuasa di Kelantan. Kerajaan PAS Kelantan telah pun meluluskan melalui proses demokrasi di Dewan Undangan Negeri, Kanun Undang-Undang Jenayah Syariah Kelantan II untuk memulakan tapak bagi perlaksanaan Hukum Hudud di Negeri berkenaan.
Dan baru-baru ini MB Kelantan Ustaz Dato Ahmad Yakub telah pun mengumumkan bahawa satu sidang DUN Khas akan di adakan pada 29 Disember ini untuk meminda Kanun berkenaan sebagai salah satu langkah bagi membuka ruang membawa “Private Bill” atau “Rang Undang-undang persendirian” ke Parlimen tahun hadapan bagi merintis jalan ke arah perlaksanaan hukum berkenaan di Kelantan
Saya yakin jangankan rakyat Kelantan dan umat Islam di Malaysia, malah seluruh umat Islam di dunia yang mengikuti perkembangan ini ternanti-nanti tarikh dimana hukum Islam ini akan terlaksana di Kealntan.
Namun kesungguhan PAS ini seperti dijangkakan mendapat kritikkan dan ancaman pihak-pihak tertentu. Jika dahulu musuh tradisi PAS yakni Umno lah yang akan ke hadapan menyerang cita-cita PAS ini. Dalam keadaan begitu pun PAS terus istiqomah memacu perjuangan bagi mencapai cita-citanya. Bila berkuasa kembali di Kelantan 1990, PAS tidak menoleh ke belakang lagi, samada Umno BN suka atau tidak cita-cita ini mesti diperjuangkan dan demikianlah sehingga dilulus dan digazetkan Kanun Undang-Undang Jenayah Syariah Kelantan II.
Kini kemungkinan perlaksanaannya sudah berada diperingkat akhir. Anehnya Umno kelihatan kendur tetapi rakan-rakan PAS pula bangkit mencemuh dan mengancam.
Persepsi yang cuba digambarkan bahawa kononnya jika cita-cita PAS ini diteruskan, PR akan dihukum khasnya oleh pengundi-pengundi bukan Islam, dan akibatnya jalan ke Putrajaya akan terhalang.
Sudah semestinya perkembangan ini meletakkan PAS dalam situasi “ditelan mati emak diluah mati bapa”.
Tambah gawat lagi apabila ada pula pimpinan PAS, setakat ini 3 AJK Pusat (yang juga ahli Parlimen PAS) yang membangkitkan secara terbuka bahawa konon-kononnya usaha terbaru kerajaan PAS di Kelantan tidak mendapat “restu” JK PAS Pusat?! Mengapa ianya dibangkitkan secara terbuka diperingkat ini? Bagi saya tiada rasional yang dapat dijelmakan selain “pendedahan tidak matang” ini menambahkan lagi persepsi buruk terhadap PAS, seakan bukan sahaja DAP dan PKR tidak setuju malah PAS sendiri tidak sekata dalam membawa perkara ini!
Apa pun, tolak ketepi pandangan fraksi minoriti yang sangat kecil ini, PAS mesti dilihat terus beristiqamah.
Bukan risiko kematian emak atau bapa yang berada di hadapan kita tetapi memohon dan mengharapkan keampunan dan redha Allah swt. PAS sudah berjuang dan bertarung dalam politik tanahair sekian lama, lebih lama dari rakan-rakannya, semata-mata untuk mendapat suara bagi melaksanakan Islam.
Berjuang mereka yang terdahulu (dalam PAS), memikul kesusahan dan penderitaan, bergenang-berderai airmata, bergolok-bergadai harta sehingga tercedera tubuh dan tertumpah darah semata-mata kerana yakin menegakkan panji-panji perjuangan Islam ini. Kerana itu walau susah walau menghadapi berbagai rintangan, halangan dan ancaman, mereka terus mengusung dan mengheret perjuangan ini, kerana redha Allah lebih utama dari redha manusia, ancaman Allah lebih digeruni dari ancaman manusia.
Hari ini cita-cita itu itu semakin hampir setelah diatur dan disusun dengan tertib dan teliti. Kita tidak memaksa tetapi menjunjung proses demokrasi, menang kuasa di negeri, mendapat persetujuan suara teramai dalam dewan dan memperoleh perkenan Tuanku Sultan. Hari ini kita semakin dekat dengan keampunan dan redha Allah, lalu apalah sangat rintangan dan ancaman hari ini yang boleh diatasi dengan kesungguhan dan istiqamah kita.
Teruslah PAS merestui dan mempertahankan sidang DUN Kelantan 29 Disember ini. Teruslah diangkat “private Bill” setelah itu dengan harapan sokongan semua wakil rakyat (ahli Dewan Rakyat) beragama Islam selain yang bukan Islam (kerana hukum ini kelak dikecualikan ke atas rakyat yang bukan Islam). Teruslah semua kita berdoa dan bermunajat memohon laluan sebaik-baiknya dari Allah swt.
Rakan-rakan yang menentang, kita mohon agar mereka faham dan menghormati dasar dan prinsip perjuangan kita. Itulah adat berkawan, hormat dan tolak-ansur. Kita mahu terus berkawan dan meneroka peluang politik seterusnya akan tetapi jangan sehingga memaksa kita menggadai dasar dan prinsip perjuangan yang istiqamah didokong selama ini. Kita yakin majoriti masyarakat pengundi Islam akan merestui langkah ini dan kita juga yakin masyarakat bukan Islam yang tidak terikat pun dengan hukum ini akan faham dan terus menyokong kita.
Walaubagaimanapun jika ada dalam PAS sendiri yang cuba menggagalkan atau memacu adu-domba kerana mengejar agenda peribadi yang lain, maka atas tangan ahli-ahli PAS lah untuk memperbetulkannya, kerana hudud ini sebagaimana ditegaskan Timbalan Mursyidul Am PAS adalah “nyawa” PAS. Orang lain boleh mengancam dan menggugatnya, kita sabar tetapi jika orang dalam yang mahu mencabutnya, maka biarlah dicabut nyawa politik mereka terlebih dahulu dari “nyawa” PAS ini dicabut.
 

Biar keadilan dilihat dan tampak benar-benar adil (17/12/14)

Wednesday, December 17, 2014

Mahkmah Rayuan baru sahaja memutuskan bahawa hak penjagaan anak-anak Izwan Abdullah yang dahulunya dikenali sebagai NViran, iaitu Nur Nabila @ V. Sharmila, 9 tahun, dan Nabil @ V. Mithran, enam tahun diberikan kepada bekas isterinya S.Deepa.
Pada tahun 2012 Izwan telah memeluk Islam dan turut mengislamkan anak-anaknya di atas.
Pada bulan April tahun yang sama Mahkamah Syariah telah memerintahkan agar hak penjagaan anak-anak berkenaan diberikan kepada Izwan, namun bekas isterinya yang kekal menganut agama Hindu telah membuat permohonan di Mahkamah Tinggi yang telah campuratangan dalam keputusan Mahkamah Syariah dengan memberikan hak penjagaan itu sebalikya kepada S.Deepa.
Isunya anak-anak berkenaan, yang masih belum dewasa telah di “Islamkan” secara paksa oleh Izwan.
Sekali lagi rakyat Malaysia terkedu dan tergamam dengan keputusan seumpama ini.
Kita menghormati sistem perundangan dalam Negara kita. Keputusan ini bermakna anak-anak Izwan akan kekal bersama ibunya S.Deepa sehinggalah mencapai umur dewasa. Apabila dewasa mereka nanti punya hak untuk memilih agama mana yang mahu mereka ikuti. Islam seperti ayah mereka atau kekal Hindu seperti ibu mereka.
Yang menjadi persoalan adalah, apakah jaminan bahawa anak-anak ini selama di bawah penjagaan ibu mereka nanti tidak akan diasuh membenci ayahnya dan sekaligus membenci Islam?
Anak-anak yang tidak berdosa ini pasti selama berada di bawah penjagaan ibunya akan dibesarkan dalam suasana kepercayaan ibunya. Di bawa ke Kuil, meraikan perayaan Hindu, memakan dan meminum makanan dan minuman yang dibenarkan agama Hindu.
Pada pandangan saya sudah pasti selama tempoh umur mereka sehingga mencapai dewasa, sudah semestinya minda mereka cenderung dan dipengaruhi dengan kecenderungan dan pengaruh ibunya.
Dalam hal ini kita lihat keadilan yang cuba diberikan oleh mahkamah punya kemungkinan tercemar dengan pengaruh satu pihak.
Justeru apabila mencapai umur dewasa, mahukah anak-anak ini nanti ikut kepercayaan ayahnya yang telah Islam?
Kerana itu, pihak berkuasa termasuklah ahli-ahli Parlimen kita perlu memikirkan bagaimana keadilan sebenar-benarnya dapat diberikan dalam kes-kes seumpama ini. Jika kita perlu pinda peraturan kita pinda. Kita sedar banyak lagi kes-kes seperti ini akan berlaku kerana hakikat masyarakat majmuk yang kita warisi, namun demi memberikan keadilan pada semua pihak, minda anak-anak ini dalam kes-kes seumpama ini janganlah dibiarkan dipengaurhi oleh satu pihak sahaja.
Bagi saya dalam kes-kes seumpama ini jika berlaku, sewajarnya hak penjagaan anak-anak itu diberikan kepada pihak ketiga, sebaik-baiknya pihak kerajaan sendiri samada melalui jabatan kebajikan atau mana-mana pihak yang sesuai.
Biar anak-anak ini membesar dalam suasana bebas, dengan hak melawat diberikan kepada kedua-dua ibu-bapa.
Mereka kekal begitu iaitu dalam penjagaan pihak ketiga sehinggalah dewasa dan apabila dewasa dibawa kembali ke mahkamah untuk mereka putuskan mahu mengikuti agama mana.
Perkara ini perlu difikirkan secara serius kerana ianya jika tidak dirawat dengan sempurna boleh membawa kepada suasana tegang dan sengketa yang memanjang.
Biarlah keadilan benar-benar dilihat dan tampak adil.
 
 

Anugerah Dato, agenda tersembunyi dan berita palsu (11/12/14)

Thursday, December 11, 2014

Dalam membuat laporan berkenaan pengurniaan anugerah bersempenan Hari Keputeraan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah portal berita The Malaysian Insider mahu memberi gambaran kononnya pengurniaan bintang membawa gelaran “Dato” kepada dua EXCO PAS dan tidak kepada MB Selangor sebagai langkah  “menghina” Azmin.
Apa lagi maksud yang boleh kita tafsirkan dari tajuk laporan:

“Selangor palace snubs Azmin, Datukship for 2 PAS reps Snub”
Saya tidak tahu agenda TMI yang jelasnya kedua EXCO PAS berkenaan iaitu Iskandar Samad dan Dr Ahmad Yunus adalah EXCO yang telah lama berkhidmat. Iskandar terutamanya memegang jawatan EXCO sejak penggal pertama pemerintahan kerajaan PR iaitu pada tahun 2008 lagi.

Selain itu laporan berkenaan turut menyatakan:
It is also understood that Penang Chief Minister Lim Guan Eng received a Datukship but declined it on the principle that DAP would not accept any title while in service and holding governmental positions.

Benarkah laporan ini yang berbunyi: “…..(pemimpin) DAP tidak akan menerima sebarang anugerah gelaran semasa berkhidmat dan memegang jawatan kerajaan”?
Mungkin TMI perlu mengemaskinikan arkibnya kerana setahu saya tiga orang pemimpin DAP telah pernah menerima anugerah yang membawa gelaran Dato dari istana negeri masing-masing iaitu dua di Perak semasa PR memerintah Dato Ngeh Koo Ham dan Dato Nga Kor Ming manakala di Selangor Dato Teng Chang Khim.

Saya membangkitkan isu ini kerana laporan TMI itu telah mengundang berbagai reaksi dari pembacanya yang memuji dan memuja sikap DAP sedangkan sebenarnya laporan itu tidak benar dan pemimpin DAP ada yang telah menerima gelaran dari istana sebagaimana saya nyatakan di atas.
Contohnya satu komen dari laporan itu berbunyi:

“All PR representatives just should follow DAP principle - reject all humanly titles. “
(Semua wakil PR sepatutnya mengikut contoh prinsip DAP – tolak semua gelaran kurniaan manusia)

Prinsip apa kalau telah ada tiga yang terima?
Apa pun tahniah kepada kedua pemimpin PAS yang menerima anugerah berkenaan. Ianya tidak dipinta tetapi dikurnia oleh Tuanku atas pilihannya Tuanku sendiri. Jadikan anugerah ini sebagai pendorong untuk terus berkhidmat kepada rakyat dan negeri dengan lebih baik dan gigih lagi, terus istiqomah atas dasar dan prinsip perjuangan.

Terengganu turut jejakKelantan (10/12/14)

Wednesday, December 10, 2014

Amar makruf nahi mungkar bermula dari pihak yang berkuasa. Tidak kiralah siapa yang berkuasa, tanggungjawab itu terletak atas kepala bahu mereka.

Dalam Dewan Undangan Negeri semalam, ADUN PAS Teluk Pasu, Ustaz Ridzuan Hashim (bekas Imam Masjid Darul Ehsan Subang Jaya) membangkitkan rungutan masyarakat tentang kehadiran ramai remaja yang melepak di pusat-pusat membeli-belah diwaktu solat Jumaat dikerjakan.
Akhbar The Star hari ini (muka 10) memetik YB berkenaan sebagai berkata:

“I hope the Terengganu government can emulate Kelantan by closing the malls for a few hours for the Friday prayers”
(Saya berharap kerajaan Terengganu akan mencontohi Kelantan yang menutup pusat-pusat membeli-belah buat beberapa jam untuk (memberi laluan) solat Jumaat)

Menteri Besar Datuk Ahmad Razif terus menjelaskan bahawa keputusan telah dibuat oleh EXCO kerajaan negeri minggu lepas bahawa semua pusat-pusat membeli-belah di Terengganu akan ditutup selama 2 jam bermula 12.30 tengahari, setiap Jumaat bermula I Januari 2015.
Terus Ustaz Ridzuan menyatakan:

“If that is the case, I congratulate the Trengganu government on this decision”
(Jika yang demikian saya mengucapkan tahniah kepada kerajaan Terengganu atas keputusdan itu)

Tiada siapa yang perlu ambil kredit di sini. Yang penting tugas amar makruf nahi mungkar telah dilaksana. ADUN PAS membangkitkannya atas tanggungjawab ini memandangkan PAS punya suara dalam Dewan dan kerajaan Terengganu pula, selaku kerajaan memikul tanggungjawab menguat-kuasa. MB umumkan ianya akan dikuatkuasa bermula 1 Januari ini, maka lepaslah tanggungjawab masing-masing.
Kerajaan Kelantan yang pertama melaksanakannya. Ini diikuti Terengganu. Sewajarnya begitulah kerajaan negeri-negeir lain memandangkan bidangkuasa agama merupakan bidangkuasa negeri. Sebagai umat Islam kita mahu lihat tindakan yang sama diambil oleh kerajaan negeri-negeri lain. Jangan politikkan isu ini, ia isu agama dan perlu dilaksanakan oleh semua.

Syabas YB Ustaz Ridzuan dan PAS Terengganu dan syabas kerajaan negeri Terengganu.

Hanya orang PAS mengenali PAS (9/12/14)

Tuesday, December 09, 2014

Sekembalinya saya dari luar negara baru-baru ini, saya tergamam apabila menyelak akhbar The Sunday Star, melihat terpampang foto saya di muka 29 ruangan penulis kanan akhbar berkenaan Joceline Tan :”Insight”. http://m.thestar.com.my/story.aspx?hl=Epic+fight+in+the+making&sec=opinion&id=%7B5A78854C-CCA1-410C-AE41-FA3D93C44D91%7D
 
“Epic fight in the making” tajuk komentar Joceline menafsirkan bacaannya terhadap suasana dalaman rumah tangga PAS yang menurutnya sedang bergelora dan akan memuncak dalam pemilihan parti berkenaan pada Muktamarnya tahun hadapan.
Joceline menjangka Timbalan Presiden PAS, Mat Sabu akan bertanding kali ini untuk merebut jawatan Presiden:
“It is no secret by now that Mat Sabu, as the PAS deputy president is known, is eyeing the top post”
Beliau memetik sumbernya (kalangan kawan-kawan rapat Mat Sabu) yang Mat ada memberitahu bahawa:
“I (Mat Sabu) want to be PAS President even for a few days”
(Saya mahu jadi Presiden PAS walau untuk beberapa hari)
Dan apa ada kena mengena dengan saya?
Joceline rupanya memetik posting dalam blog saya “Siapakah “si bodoh” yang dimaksudkan Nik Aziz (17/11/14 http://n32.blogspot.com/2014/11/siapakah-si-bodoh-yang-dimaksudkan-nik.html
Dimana dalam posting itu tulis beliau:
“Hadi’s former press aide Roslan Shahir recently wrote in his blog that there are attempts to mengguling or topple his former boss. Roslan said this was evident from the action of certain leaders whom he slammed as kuda tunggangan or lackeys who are being used by elements outside of PAS. They find Hadi too uncompromising, the want a President who can dance to their tune”
 
Saya berterima kasihlah pada Joceline setelah bersara dari memegang jawatan politik, masih menganggap pandangan dan buah fikir saya ada nilai untuk dilaporkan.
Walaubagaimanapun untuk menjernihkan apa yang dipetik oleh Joceline dari saya itu, “kuda tunggangan” yang saya maksudkan dalam posting itu adalah:
“ Yang terbuka pula menggunakan “kuda tunggangan” baru sebagai platform iaitu “Pasma”.”
“Certain PAS leaders”, pemimpin tertentu PAS menggunakan kuda tunggangan iaitu “Pasma” untuk menggugat kedudukan Presiden PAS. “Elements outside PAS” atau elemen-elemen diluar PAS bukannya menggunakan kuda tunggangan ini tetapi mereka yang menggunakan kuda tunggangan inilah yang turut merangsang beberapa elemen di luar PAS bagi membantu agenda mereka. Itu maksud saya.
Bagi saya siapa pun berhak bertanding merebut apa-apa jawatan hatta Presiden sekalipun jika ia merasakan dirinya layak. Dari pemahaman ahli-ahli PAS “layak” di sini bukan sekadar sebagai ahli dan menerima pencalonan tetapi sudah pastilah layak di sini menepati segala ciri-ciri kepimpinan yang digariskan oleh al Quran dan Haids iaitu sumber tetinggi hukum dalam PAS.
Kerana itu ahli-ahli PAS cenderung kepada pemimpin yang punya kualiti tertentu.
Apa pun diperingkat ini saya yakin dan percaya ahli-ahli PAS akan mempertahankan Presidennya dan Kepimpinan Ulamak, saya memetik tulisan YB Ustaz Nasrudin Hassan (AJK PAS Pusat) yang juga ahli Parlimen Temerloh:
“….kepimpinan Ulamak akan memandu jamaah agar perjalanannya tidak beralih arah dan memastikan ianya melandasi jalan perjuangan yang benar berasaskan manhaj an Nabawi, Firman Allah swt (maksudnya): “Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanKu (ugama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa. (surah Al An’aam:153)”
Kerana itulah ahli-ahli memilih duduk dalam PAS, kerana disiplin Islam nya.
Berbalik kepada tulisan Joceline, rumusan saya: hanya orang PAS yang mengenali PAS.

Rundingan damai Selatan Thai: Libatkan Hadi dan MB Kelantan (8/12/14)

Monday, December 08, 2014

Konflik di Selatan Thai yang melibatkan wilayah-wilayah majoriti Islam dari Pattani, Yala sehingga ke Narathiwat telah berlarutan berdekad-dekad lamanya. Tuntutan kemerdekaan atau sekurang-kurangnya wilayah autonomi dari rakyat tempatan telah bergema lantaran sejarah silam yang melakarkan sebahagian besar wilayah ini di dalam rumpun Melayu yang lebih dekat dengan penduduk utara Semenanjung Tanah Melayu dahulu dan kini Malaysia.
Aksara, Prayud dan Najib
Menurut sejarah Kesultanan Melayu Pattani yang memerintah dalam kurun ke 14 melibatkan ketiga-tiga wilayah ini dan sebahagian Songhkla termasuklah sebahagian Negeri Kelantan bermula 1530 di bawah pemerintahan Sultan Ismail Shah. Zaman kegemilangan pemerintahannya adalah bermula pada tahun 1584 (kerajaan Kesultanan Melayu Melaka jatuh 1511) semasa tempoh pemerintahan berturut-turut 4 orang Ratu terkemuka iaitu  Ratu Hijau (The Green Queen), Ratu Biru (The Blue Queen), Ratu Ungu (The Purple Queen) dan Ratu Kuning (The Yellow Queen) yang mempunyai hubungan akrab dengan kerajaan kesultanan Pahang dan Johor.
Konflik ini berlarutan bukan sekadar tuntutan malah melibatkan kebangkitan sehingga mencetuskan keganasan, pertumpahan darah dan kehilangan serta kemusnahan harta benda di kedua-dua belah pihak kerajaan Thai dan penduduk Islam di Wilayah Selatan.
Namun perkembangan dunia kebelakangan ini menyaksikan banyak konflik seumpama ini diperingkat antarabangsa dapat direda dan diselesaikan apabila semua pihak yang berkepentingan dapat duduk dan berunding secara rasional dan berlapang dada. Sesungguhnya pertumpahan darah dan keganasan tidak dapat menyelesaikan masalah malah sekadar mencetuskan kemarahan, kebencian dan penderitaan.
Selatan Thai wajar diamankan, konflik yang berlarutan ini perlu diselesaikan semoga tiada lagi yang menderita dan tiada nyawa yang terkorban samada dikalangan masyarakat Islam mahupun yang bukan Islam. Rantau kita biar aman, dan rakyat keseluruhannya biar terus sejahtera dan berbaik-baik.
Terbaru Perdana Menteri Thai Jeneral Prayut Chan-o-cha semasa membuat kunjungan satu hari ke Malaysia telah menegaskan komitmen kerajaan beliau, meneruskan usaha Perdana Menteri sebelumnya iaitu untuk merintis jalan perdamaian di Selatan Thai.
Dilaporkan bahawa Malaysia terus mendapat keyakinan kerajaan Thai agar menjadi orang tengah atau fasilitator dalam meneroka jalan agar konflik berkenaan dapat diselesaikan. Perdana Menteri Najib Tun Razak diberi mandat agar bertindak selaku fasilitator mewaikili kerajaan Malaysia. Jeneral Prayut dalam lawatannya itu turut memperkenalkan  Jeneral Aksara Kerdpol sebagai Ketua Perunding mewakili kerajaan Thai.
Ternyata Malaysia perlu segera menyusun langkah membawa mereka yang terlibat ke meja perundingan. Penduduk Selatan Thai yang terlibat sebagaimana rakyat di Kelantan, Terengganu dan Utara Semenanjung kuat berpegang teguh kepada agama. Malah pejuang-pejuang pembebasan samada PULO (Pattani United Liberation Organisation)  BRN dan lain-lain kesemuanya berjuang atas nama Islam.
Oleh itu sewajarnya PM Malaysia mengambil kira memantapkan pasukan fasilitatornya dengan memasukkan mereka yang mempunyai pengalaman dan latar-belakang agama jika serius mahu penyelesaian terbaik.
Konflik di Selatan Thai walaupun melibatkan Negara asing tetapi sesungguhnya dekat di hati rakyat Malaysia khasnya umat Islam kerana ianya melibatkan saudara serumpun dan seagama.
Saya mencadangkan, memandangkan isu ini isu antarabangsa dan Malaysia diberi penghormatan sebagai sebuah Negara jiran yang punya hubungan rapat dengan penduduk Selatan Thai, maka tanpa mengira kepentingan politik PM Malaysia harus menimbangkan dua tokoh yang saya yakin boleh membantu melancarkan rundingan damai ini kelak.
Pertama adalah Dato Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang, Presiden PAS dan ahli Parlimen Marang (bekas MB Terengganu) yang kini merupakan Naib Ketua Kesatuan Ulamak Sedunia. Tuan Guru pernah terlibat dalam beberapa rundingan damai konflik lain termasuklah di Aceh, Afghanistan, Iraq. Beliau juga merupakan ahli  Lembaga Amanah Muasasah Al-Quds dan ahli jawatankuasa al Taqrid Mazahib (organisasi yang mengumpulkan tokoh-tokoh ulamak Sunni dan Syiah dunia).
Kedua pula Ustaz Dato Mohammad Yaacob, Menteri Besar Kelantan yang juga Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat. Memandangkan wilayah konflik ini bersempadanan dengan Negeri Kelantan, maka MB Kelantan sangat sesuai dilibatkan.
“Team” Malaysia akan dipandang lengkap dan kukuh apabila kedua-dua tokoh ini dapat dilibatkan yang sudah pasti akan membangkitkan perasaan selesa dan senang hati kumpulan pemisah yang sememangnya menghormati dan memandang tinggi tokoh-tokoh agama lebih-lebih lagi yang dekat dengan mereka.
Ini bukan isu politik Malaysia. Melibatkan dua tokoh PAS ini bukan bermakna BN dan Umno kendur atau PAS mahu bersatu dengan BN. Itu pandangan mereka yang berpenyakit di hati.
Konflik di Selatan Thai adalah isu antarabangsa yang merangkumi isu kemanusiaan, isu perpaduan, isu keamanan. Malaysia diberi amanah berperanan dengan harapan dapat menggunakan pengaruhnya mereda dan menyelesaikan konflik ini.
Demi keamanan di Selatan Thai yang telah lama gelap dan bersengketa itu, kepentingan politik tempatan perlu diketepikan. Semoga kita semua dapat berperanan mengembalikan keamanan di Negara jiran kita itu.

Katakan "TIDAK" pada budaya melampau (1/12/14)

Monday, December 01, 2014


Menurut NST Online, penyayi serta pengubah lagu kontroversi Namawee atau Wee Meng Chee telah dijatuhkan hukuman 3 bulan “community service” atau khidmat masyarakat oleh Mahkamah Sesyen Muar.
Beliau dilaporkan oleh portal berita lain dijatuhkan hukuman kerana kesalahan mengaibkan seorang kakitangan TNB Muar dengan penggunaan bahasa lucah. Hakim telah menjatuhkan hukuman 3 bulan penjara atau 3 bulan “community service” dan Namawee telah memilih 3 bulan”community service”.

Sejurus mendapat maklumat ini saya menonton sekali lagi klip video kontroversi berkenaan. Ternyata aksi dan gelagat beliau serta susun bahasa yang digunakan sangat keterlaluan, langsung tidak mencerminkan budaya rakyat Malaysia.
Beliau kononnya mahu membayangkan betapa marahnya rakyat Muar dengan kekerapan ketiadaan bekalan letrik khasnya di waktu malam, akan tetapi pendekatan memaki hamun sedemikian sangat tidak sopan dan biadap.

Cumanya saya melihat hukuman yang dikenakan itu sangat ringan, sejauh manakah ianya boleh dijadikan iktibar dan pengajaran buat si pesalah?
Rakyat Malaysia memang dijamin hak kebebasan bersuara dan mengeluarkan pandangan akan tetapi segala-galanya bukannya mutlak. Adab, budaya dan moral membataskan hak tadi melalui undang-undang. Kita satu masyarakat bertamaddun, budaya maki-hamun ini, samalah dengan budaya mem “bully” sesama anak sekolah, “road bully” yang dewasa, adalah bertentangan sama-sekali dengan nilai masyarakat kita di Malaysia.

Semoga si Namawee tidak mengulangi kebiadaban melampaunya itu.

 

 

  

Suara hati pemilik Blog ..... (1/12/14)


Sedar tak sedar rupanya saya telah mempertahankan BLOG ini sejak 20 Mei 2004 dahulu (dengan posting saya yang pertama) sehingga kini bermakna telah lebih 10 tahun usia BLOG ini. Alhamdulillah.
Mengimbau kembali detik-detik awal sehinggalah ke hari ini saya percaya arah aliran penulisan saya tidak berubah. Gaya dan persembahan juga rasanya “maintain” walaupun dalam keadaan sedih, marah apalagi gembira. Para pengunjung blog ini adalah saksi kepada kenyataan ini.

Mempergunakan sepenuhnya kreativiti yang dikurniakan Allah swt untuk tujuan dakwah dan memperjuangkan kebenaran, terus merupakan agenda BLOG ini dan insyallah akan cuba saya pertahankan. Saya cuba sedaya upaya mengelakkan diri dari menggunakan bahasa kesat, maki-hamun dan seumpamanya dalam berhujah dan mengenengahkan pandangan di sini. Mungkin bagi sesetengah pengkarya ianya mencerminkan suara hati sebenar mereka, atau mungkin dengan bahasa-bahasa sedemikian mereka dipandang “berani” atau “cool”, bagi saya tidak.
Saya mahu berani apabila diperlukan, mahu tegas apabila terpanggil tetapi akur bahawa ianya perlulah dalam ruang-lingkup ketertiban dan melalui cara yang sopan mencerminkan keperibadiaan dan pembawaan serta pendidikan agama kita.

Saya mahu kemenangan berpihak pada yang benar, oleh itu biarlah saya khasnya BLOG ini menjadi alat ke arah itu.
Saya sedar bahawa sepanjang lebih 10 tahun ini ramai yang gemar pada pandangan saya, namun insaf ramai juga yang barangkali tidak gemar, benci apalagi marah-marah. Itu biasa dan sesuatu yang perlu diterima.

Lain padang lain belalang, rambut sama hitam begitulah makhluk bergelar manusia ini dijadikan Allah swt.
Bagi yang senang dengan BLOG saya ini dan sering mengunjunginya khasnya tidak lupa 424 “members” atau peminat setia, selain puluhan blog dan laman yang memautkan BLOG saya pada blog atau laman mereka, terima kasih saya ucapkan. Sokongan anda semua membakar semangat saya untuk terus berkarya.

Dan bagi yang selebihnya, yang sangat tidak gemar, benci atau marah-marah, tapi singgah juga untuk menambahkan sakit hati, terima kasih juga atas kunjungan saudara. Begitulah saya sebagaimana saya tidak berupaya merobah fikiran dan minda saudara, saudara juga tidak akan berupaya merobah saya, kirimlah komen atau email dan maki hamun, ianya tidak akan merobah haluan saya kecuali terpesona dengan kekotoran minda dan sakitnya jiwa tuan-tuan.
Sekurang-kurangnya saya tahu ada yang tidak senang dan sakit jiwa dengan tulisan saya, bukan senang melakukan itu.

Apa pun dengan izin Allah swt saya akan terus mempertahankan BLOG yang kecil ini, semoga Allah swt memberikan kekuatan buat saya untuk terus menyumbang ke arah kemenangan Islam.
Saya mungkin tidak boleh menjadi pemimpin, tidak pandai berpidato, tidak kaya untuk menyumbang wang ringgit yang banyak, tetapi saya punya kemampuan untuk menulis dan kemampuan ini akan terus saya asah demi menyumbang ke arah kemenangan itu, tiada maki-hamun atau gertak dan amaran dari mereka yang sakit dan kotor jiwanya yang boleh menghalang BLOG ini dari terus menyalurkan pandangan dan buah fikir saya.

Terima kasih semua.