Tukar MB dan wakil "durhaka" di Selangor (22/7/14)

Tuesday, July 22, 2014


Antara tukar MB dan wakil durhaka itulah yang hangat berkecamuk dalam kancah politik tempatan khasnya di Slangor sedang umat Islam di fasa terakhir Ramadhan.
Daripada Abdullah bin Amru bin al-'As r.a, katanya, Bukanlah rasulullah s.a.w seorang yang bersifat keji dan baginda tidak pernah melakukan perkara-perkara yang keji. Baginda bersabda, Sesungguhnya orang-orang yang terpilih antara kamu ialah orang-orang yang mulia akhlaknya.(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Bukan senang menjadi pemimpin dalam masyarakat apalagi peringkat negeri atau Negara. Dalam amalan politik Malaysia pertamanya seseorang mestilah punya “endorsement” dari partinya, untuk dicalonkan sebagai pemimpin. Kemudian disuakan pula kepada rakyat samada mahu dipilih atau tidak dalam pilihanraya umum. Apabila terpilih maka naiklah kedudukannya sebagai seorang pemimpin yang mendapat mandat dan amanah dari rakyat.
Dari situ setiap gerak-gerinya menjadi perhatian dan tontonan umum. Kalau berakhlak mulia, jujur, berjiwa rakyat, ramah dan sopan pergaulannya, terpuji keperibadiannya, maka ia akan diberi penghormatan oleh rakyat tidak kira apa lapisan kelasnya dalam masyakarat. Dari istana sehinggalah ke rakyat biasa, pemimpin tadi akan disenangi.

Dalam Islam saya kira keperibadian 4 pemimpin agungnya iaitu barisan Khulafa ar Rasyidin dari Abu Bakar yang mulia dan berjiwa besar sehingga Omar yang tegas dan bengis, Osman yang penyabar dan merendah diri, Ali yang berilmu dan berani merangkumi cerminan sebaik-baik akhlak pemimpin iaitu yang paling agung yakni Baginda Rasulullah saw sendiri.
Mulia dan berjiwa besar itu hebat tetapi tidak cukup perlu tegas dan berani. Tegas dan berani sahaja tidak memadai perlu sabar dan rendah diri. Sabar dan rendah diri itu terpuji tetapi tidak lengkap perlu berilmu dan berani. Demikianlah Rasulullah mengaturkan sifat dan ciri-ciri yang perlu ada pada pemimpin selepasnya.

Bila kita duduk sebagai pemimpin, contohnya yang tertinggi dalam negeri umpama Menteri Besar, maka perhatian negeri akan tertumpu pada kita. Rakyat mahukan negerinya maju, rakyat mahu hidup mereka tidak susah, senang dan dijaga kebajikan. Kerana itu yang paling cocok adalah MB yang memahami karenah kemahuan rakyat ini. MB perlu tumpukan perhatiannya pada agenda pembangunan rakyat dan negeri bukannya tuntutan segelintir ahli-ahli atau pemimpin parti.
MB yang tidak mengaut keuntungan untuk kepentingan peribadinya itulah yang paling baik. MB yang jujur dan telus menjaga harta negeri tanpa curang atau gelap mata itulah MB yang paling mulia. Kerana sejarah telah membukitkan contohnya di Selangor MB yang tidak begitu paling banyak tergelincir dan ditendang atau tertendang.

Selangor yang kaya dan maju perlukan MB yang paling mulia akhlanya kerana jika naik yang sebaliknya apa lagi yang keji, yang kaya dan maju akan tergolek hancur binasa. Kesimpulannya dalam hal MB Selangor hari ini  ini sekali lagi saya tegaskan sesungguhnya Selangor dalam sejarah tidak pernah menerima seorang MB yang terpuji sebagaimana MB sekarang. Kenapa perlu tukar?
Hari ini PKR “bersendirian” mengumumkan akan mencalonkan nama Presidennya Dr Wan Azizah sebagai MB Selangor yang baru. Saya masih ingat dalam PRU lalu ketika berkempen mempertahankan Selangor rakyat diberitahu darihal kualiti kepimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim  yang berkaliber sehingga berjaya memacu Selangor ketahap pembangunan yang cemerlang walau dalam tempoh 1 penggal. Tiba-tiba hari ini “Jom tukar MB”??!!

Kembali kepada kes wakil durhaka yang dituduh bidap oleh pihak istana, ini juga sesuatu yang asing yang sepatutnya tidak berlaku apalagi apabila wakil tadi datangnya dari saf Parti Islam. Seingat saya PAS yang pernah melahirkan ratusan wakil-wakil rakyat dahulu dan kini tidak pernah dalam sejarah seorang pun yang pernah berlaga angina secara terbuka dengan Tuanku Dultan kecuali wakil ini!
Takkanlah wakil-wakil sebelum ini termasuklah MB-MB PAS di Kedah, Kelantan dan Terengganu dari sejak Merdeka hingga kini tidak pernah seorang pun terlibat dalam menyusun kata menegur menasihati Tuanku termasuklah menegur dalam hal-hal urusan dan pentadbiran Negeri. Saya tahu MB di sebuah Negeri pernah memberi nasihat berupa teguran kepada Tuanku Sultan, mungkin dengan bahasa yang baik-baik dan adab yang terpuji, Alhamdulillah Tuanku terima dengan hati terbuka.

Kita kalau berbahasa sesama kita pun, dengan anak-anak lain pendekatannya, dengan kawan-kawan lain, dengan suami-isteri lain, dengan majikan lain, dengan orang-orang berilmu termasulah Tok-tok Guru lain, dengan orang tua-tua lain,  yang berakhlak adalah yang tahu membezakan pendekatan-pendekatan ini. Sebaliknya yang angkuh, besar kepala, mudah dilihat biadap kerana tidak tahu atau sengaja buat-buat tak tahu dalam membezakan antara satu pendekatan dengan yang lain.
Benarlah apabila Rasulullah saw berkata bahawa orang-orang yang terpilih adalah yang mulia akhlaknya.

Memang dalam Islam tegur-menegur adalah perkara yang disyorkan. Tetapi Islam juga mengajar bahawa tegur-menegur mestilah dengan kesabaran.
Apa pun perkembangan di Selangor ini perlu diharungi dengan penuh berhati-hati. Kedua-dua insiden ini sudah mengundang ulasan dank omen sinis dari rakyat. Jangan sampai rakyat mual dan bosan dengan gelagat kita, diberi amanh memimpin tetapi mempersia-siakannya.

 

 

 

Kembalikan keamanan di bumi Sabah (14/7/14)

Monday, July 14, 2014


Tindakan pengganas Suluk membunuh dan menculik anggota Polis kita di Mabul bagi saya sewajarnya memaksa kita menjadi defensive dan terus “pre empt” kegiatan dan tindak-tanduk mereka. Pihak keselamatan tidak lagi boleh berlembut dan bertolak-ansur dan tiba sudah masanya kita bertegas dan berkeras.
Jika dahulu semasa ancaman pengganas kominis di Malaya, pihak Birtish telah bertindak memutuskan langsung talian hayat antara pihak pengganas dengan rakyat tempatan melalui Program Briggs, maka dalam kes ini kita juga perlu melaksanakan tindakan seumpama itu.

Pengarah Operasi zaman darurat ketika itu iaitu General Si Harold Briggs telah mengenal-pasti bahawa pihak pengganas berupaya bergerak kerana mereka menerima sokongan khasnya bekalan makanan, ubat-ubatan dan maklumat dari rakyat tempatan, maka tindakan besar-besaran telah diambil memintas dan memutuskan talian hayat ini. Briggs telah memindahkan lebih 500,000 penduduk tempatan ke penempatab-penempatan semula, iaitu kampung-kampung baru yang dikawal ketat oleh pihak keselamatan.
Mungkin sudah tiba masanay pihak keselematan kita bertindak demikian terhadap pendudk Suluk dan penempatan yang seumpamanya tidak kiralah samada mereka ini telah menerima kerakyatan Malaysia lebih-lebih lagi jika mereka sekadar pendatang.

Rata-rata rakyat Malaysia mahukan keamanan kembali ke perairan Sabah dan kita tidak mahu lagi perairan kita diceroboh oleh pengganas ini.
Pihak berwajib perlu mengkaji dan memikirkan strategi ampuh seumpama program Briggs ini agar apa yang kita laksanakana ternyata efektif dan benar-benar dapat mematikan ancaman ke atas tanahair dan rakyat.

Kita tidak mahu kelihatan ganas dan kasar namun demi mempertahankan kedaulatan tanahair kita dan demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat jika kita perlu bertindak sedemikian, maka wajarlah ianya dilaksana.
Selain itu seluruh kekuatan keselamatan dan ketenteraan kita wajar dikerahkan ke perairan Sabah. Tinggalkan yang patut-patut sahaja d Semenanjung dan Sarawak, selainny perlu dikerahkan ke Sabah memandangkan ancaman utama terhadap kedaulatan Negara sekarangnya datang dari sana. Ini demi mengisi kekurangan kekuatan yang masih dikenal-pasti di Sabah.

Semoga kembali amanlah bumi berdaulat kita.

Benarkah "Merdeka Compromise" punca kemelut hari ini? (2/7/14)

Wednesday, July 02, 2014


Seorang penulis dan penganalisa sosial Wong Chun Huat Phd dalam sebuah artikelnya di Malaysian Insider bertajuk: “1946 when it went all wrong for us” cuba mencari punca berlakunya kemelut apa yang beliau nyatakan sebagai:

“….with sensational news from Muslim-only Allah, Hudud for all, body-snatching, wedding gate-crashing, police defying the Common Law Courts, to now Muslims buying only from Muslims? –

“,,,,dengan berita-berita sensasi Allah untuk orang Islam, Hudud untuk semua, rampas mayat, majlis perkahwinan yang dicerobohi, pihak polis yang mengenepikan Mahkamah Common Law, dan kini orang Islam hanya membeli dari orang Islam?”

Sebelum mengulasnya saya perhatikan  kemelut yang beliau gariskan di atas sudah ada cacatnya. Contohnya “Hudud for all”, rasa saya apa yang cuba diketengahkan oleh kerajaan Kelantan bukannya “Hudud for all” tetapi “Hudud for Muslims in Kelantan” ataupun Hudud buat masyarakat Islam Kelantan. Masakan Wong yang berkelulusan Phd tidak sedar, melainakn beliau punya agenda tertentu.
“Body snatching” atau “Merampas mayat” yang saya yakin beliau tujukan atas beberapa kes melibatkan tindakan Jabatan Agama menangguhkan pengkebumian mayat yang dipertikaikan agama terakhirnya juga tampak seakan berlaku rampas-merampas mayat sesuka hati sedangkan sebenarnya ianya berlaku mengikut prosedur atau peraturan undang-undang.

Semuanya berakhir dengan rujukan ke mahkamah, ada kes yang mayat itu disahkan Islam dan akhirnya dikebumikan mengikut cara-cara Islam dan ada juga yang diputuskan sebaliknya. Tidak ada kes dimana mayat itu dikebumikan tanpa merujuk mahkamah. Oleh itu sekali lagi kemelut yang Wong cuba cetuskan itu sebenarnya tidaklah sebagaimana yang mahu digambarkan, cacat juga.

Begitulah yang lain-lainnya, tetapi posting saya ini lebih tertumpu kepada ulasan Wong darihal tiga asas penting “Merdeka Compromise” atau “Tolak-ansur Kemerdekaan” yang cuba beliau berikan mengikut tafsirannya.
Kelemahan tolak-ansur inilah menurut beliau membawa kita kepada permasalahan semasa sebagaimana yang beliau gariskan diawal posting ini.

Saya menghormati pandangan beliau, tambah-tambah seorang intelek yang punya Phd sudah pastilah beliau punya ilmu yang tinggi. Namun dalam kes ini sejauh mana ianya tepat dan benar bolehlah kita kaji dan bahaskan.
Satu fakta yang membawa kepada “compromise” berkenaan yang menjadi perkara pokok yang tidak pula di “highlight” kan Wong adalah bahawa orang-orang Melayu yang merupakan penduduk asal Negara ini (ketika itu Persekutuan Tanah Melayu dan sebelumnya Negeri-negeri Melayu Bersekutu dan Tidak Bersekutu selain Negeri-negeri Selat) demi mendapatkan kemerdekaan dari British telah sanggup duduk “bertolak ansur” dengan sahabat-sahabat “baru” mereka yang bolehlah dikategorikan sebagai kaum pendatang ketika itu iaitu orang-orang Cina dan India.

Orang Melayu yang merupakan penduduk asal Negara ini  ketika itu punya Raja-raja berdaulat, mengamalkan agama Islam dan punya adat budaya zaman berzaman, namun demi menebus maruah , memerintah sendiri tanahairnya telah sanggup duduk melakarkan apa yang Wong utarakan sebagai “Merdeka Compromise”.
Bagi saya lihat dari sudut mana pun, tanpa prejudis ke mana-mana pihak, orang Melayulah yang telah berbesar hati berkongsi tanah air ini dengan sahabat-sahabat “baru” mereka itu, orang Melayulah yang telah menerima kemasukkan sahabat-sahabat “baru” itu untuk diberikan sama taraf dan sama kedudukan sebagaimana mereka, iaitu warganegara tanahair ini demi mendapat perkenan British untuk mengecapi kemerdekaan.

Oleh itu “compromise” atau “tolak-ansur” itu sebenarnya dari pandangan saya adalah dari orang Melayu kepada sahabat-sahabat “baru” mereka. Yang berkorban, yang membuka ruang, yang bertolak ansur dalam hal ini sebenar dan sesungguhnya datang dari orang Melayu demi memberi ruang dan tempat kepada sahabat-sahabat “baru” itu. Jadi ianya bukanlah sangat “tolak ansur” dari “all sides” sebenarnya (sebagaimana Wong nyatakan), tetapi ia lebih pada kemurahan hati orang-orang Melayu ketika itu.
Tiga asas penting “Merdeka Compromise” yang Wong utarakan adalah:

1) berhubung kewarganegaraan: demi memberi hak kewarganegaraan kepada bukan Melayu ketika itu orang-orang Melayu diberikan beberapa Hak Keistimewaan, yang bagi Wong punca kepada permasalahan semasa.
Namun adakah Hak Keistimewaan itu sebenarnya suatu “compromise” yang ekstrim atau sesungguhnya sesuatu yang “natural” memandangkan jika tidak kerana kemurahan hati orang Melayu ketika itu tidak akan berlakulah Merdeka Compromise ini dan selama-lamanya kekal Tanah Melayu bumi ini dan bukannya Malaysia sebagaimana hari ini.

Wong dan saya tidak hadir untuk menyaksikan kemelut tahun 40an itu dan betapa besarnya jiwa pemimpin Melayu ketika itu yang tidak pula disanggah malah dirai dan diterima baik oleh masyarakat bukan Melayu yang kemudiannya menjadi warganegara.
Adilkah kita mempertkaikan isu ini hari ini sedangkan sebenarnya datuk dan nenek moyang Wong dan saya menerimanya dengan penuh kesyukuran.

2) Agama: kebebasan agama terjamin dengan dua syarat iaitu Islam yang ketika itu sudah pun agama rasmi negeri-negeri Melayu menjadi agama Persekutuan dan keduanya yang dijadikan peruntukkan dalam Perlembagaan bahawa  pertukaran agama hanya dibenarkan satu hala sahaja iaitu dari bukan Islam ke Islam dan bukan sebaliknya.
Sekali lagi Wong menjadikan isu ini sebagai punca perbalahan hari ini?!

Sedangkan beliau sendiri mengakui bahawa Islam sudah pun merupakan agama rasmi negeri-negeri Melayu ketika itu. Bermakna “Merdeka Compromise” ini seakan, “when in Rome do as the Romans do”, seadilnya sahabat-sahabat “baru” lah perlu meraikan apa yang telah ada, mereka masuk ke kandang “Tanah Melayu” maka wajar sangatlah apa yang dalam kandang berkenaan diterima secara terbuka.
Kita tidak nampak ada pertikaian atau perbalahan pun dari masyarakat bukan  Melayu ketika itu. Bukannya orang-orang Melayu minta supaya sahabat-sahabat “baru” mereka tukar agama dan jadi Islam semuanya sebagai prasyarat. Tetapi apa yang mereka minta sebagai balasan berkongsi kewarganegaraan, adalah Islam diberikan tempat dan dihormati.

Saya tidak boleh terima Wong menyalahkan datuk nenek kita sebagai punca kononnya perbalahan hari ini kerana “bertolak ansur” dalam isu agama ini.
3) Bahasa: kebebasan penggunaan bahasa masing-masing dijamin dengan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan.  Diperingkat polisi menurut Wong sekolah-sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil dibenarkan namun dengan matlamat akhirnya menyatukan semua sekolah-sekolah dengan satu Bahasa iaiatu Bahasa Melayu.

Sehingga ke hari ini kita lihat sekolah-sekolah jenis kebangsaan Cina dan India kekal beroperasi dalam Negara kita dengan bantuan kerajaan malah sekolah-sekolah Cina dilihat antara yang termaju serba-serbi hasil sokongan kuat masyarakat Cina. Tidak ada pertikaian atas kehadiran sekolah-sekolah ini dikalangan masyarakat Melayu umumnya.

Malah menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan sejak Merdeka sehingga ke hari ini juga diterima dan tanpa banyak masalah oleh rata-rata seluruh masyarakat.
Oleh itu dimanakah rasionalnya boleh Wong longgokkan masalah semasa yang beliau bayangkan di awal posting ini ke atas isu Bahasa?

Kalau benar “Merdeka Compromise” itu ada agenda untuk akhirnya me”Melayu”kan masyarakat bukan Melayu sebagaimana dinyatakan Wong terbukti ia gagal. Kita ada Menteri Melayu sebagaimana kita ada Menteri bukan Melayu hari ini, kita ada Ketua Menteri Melayu sebagaimana kita ada Ketua Menteri bukan Melayu. Kita ada CEO syarikat korporat berbangsa Melayu sebagaimana kita ada ramai CEO yang bukan Melayu. Jutawan pula malah lebih ramai yang bukan Melayu dari Melayu. Bila masa pula yang bukan Melayu ni mahu di “Melayu”kan?
Bagi saya kesimpulannya masyarakat Melayu dan bukan Melayu hari ini sudah jauh tersasar dari nilai-nilai “tolak-ansur” yang pernah dicapai oleh datu nenek moyang kita di awal kemerdekaan. Mereka telah harungi kesusahan dan keperitan zaman ketika itu, dan mereka berkorban menolak kepentingan mana-mana kaum dan akhirnya berseutju berkompromi atas kesedaran bahawa Negara Merdeka yang bakal dibina bersama nanti yang akan diwarisi oleh cucu cicit mereka akan menjadi yang terbaik di rantau ini.

Janganlah kita longgokkan masalah hari ini pada mereka, sebagaimana yang cuba didakyahkan oleh Wong. Kita yang telah dewasa yang lebih jauh maju ke hadapan dari zaman mereka sepatutnya lebih matang, menghargai perjuangan dan sumbangan yang lampau dan mengukuhkan apa yang telah dibina dengan lebih baik dan rapi.
Saya dan saya percaya rata-rata rakyat Malaysia hari ini sudah tidak lagi berbicara darihal siapa yang asal dan siapa yang pendatang. Yang penting bagi kita hari ini : “Dimana bumi dipijak di situ langit dijunjung”.

 

 

 

 

 

 

 

Agenda adu domba terhadap Islam (1/7/14)

Tuesday, July 01, 2014

Satu muka digunakan oleh Ketua Pengarang akhbar The Star Datuk Wong Chun Wai (dalam ruanggannya “Comment”), hari ini untuk menggambarkan kegiatan militat dan jihad yang melibatkan rakyat Malaysia terutama di Negara-negara bergolak dan konon kaitannya dengan PAS.

Satu persatu nama-nama radikal itu diperkenalkan selain penglibatan mereka dalam PAS.

Ternyata agenda yang jelas Wong adalah untuk mengaitkan PAS dengan kegiatan keganasan yang hari ini digeruni Barat dan dunia.
Dari nama Ustaz Lotfi Ariffin, Zainon Ismail (yang dalam PRU lalu berkempen menentang PAS), Noorashid Sakid, Ahmad Tajuddin Abu Bakar, Solihan Abd Ghafar, Alias Ngah, Abu Bakar Che Dol, Asfawani Abdullah, Ahmad Pozi Deraman sehinggalah Nik Adli Nik Abd Aziz semuanya disebut .

Bagi saya artikel Wong gagal membuktikan bahawa individu-individu yang beliau namakan itu berpengaruh dalam PAS, atau menerima arahan dari PAS atau dihantar oleh PAS. Sebagai penggiat media yang veteran sepatutnya beliau juga melaporkan bahawa PAS tidak pernah mengiktiraf atau menyokong tindakan mana-mana individu yang beliau dedahkan itu.
Malah dalam kes Ustaz Lotfi, Wong sendiri mengakui yang PAS telah memecat keahliannya. Adilkah kita mengaitkan seseorang begitu sahaja. Contohnya kalau seorang peragut atau pembunuh atau perogol itu kebetulan ahli Umno, bolehkah kita kaitkan bahawa mereka melakukan jenayah itu atas dorongan Umno?

Menteri yang rasuah, berapa ramai bekas MB Umno yang terlibat, orang-orang politik dari Umno dan BN tidak pula kita kaitkannya dengan Umno atau BN secara langsung, kenapa apbila dua tiga kerat individu ini yang dinamakan Wong yang terlibat dalam kegiatan atas pilihan mereka sendiri, tiba-tiba PAS yang mahu dicampak ke kandang orang salah?
Tetapi yang paling tidak adil apabila Wong menulis:

If there is one thing that is consistent in the PAS agenda, it is its ambition to push for the implementation of hudud laws and to turn Malaysia into an Islamic state.
But more than that, there are also members who are cheering for the militants in Syria…..

Sengaja Wong membangkitkan isu hudud dan Negara Islam bagi saya semata-mata mahu mengaitkannnya dengan militant dan kegiatan ekstrim. Berapa jahatnya tulisan ini dan dari situ kita boleh membaca kebencian yang meluap-luap dalam hati beliau sebenarnya terhadap Islam dan perjuangannya.
Wong ternyata silap apabilabeliau mengatakan bahawa perjuangan militant di Syria disambut dan disokong oleh orang-orang PAS, sebenarnya perjuangan menentang kezaliman disokong oleh semua umat Islam. Bukan hanya PAS, Umno, atau apa parti pun selagi dia Islam dan faham, pasti dia akan menyokong perjuangan yang menentang kezaliman, tetapi itu tidak bermakna ia seorang militant atau ekstrimis.

Kesimpulannya bibit-bibit kemarahan masyarakat bukan Islam terhadap agenda Islam sudah semakin kelihatan dalam Negara. Apalagi dikalangan mereka yang berpengaruh dan mempunyai kedudukan yang boleh mempengaruhi minda rakyat.
Mengapa mesti ada sikap mengadu-domba sedangkan sepatutnya kita berbaik sangka dan berkasih-kasihan.

Tulisan seperti ini mengundang kemarahan dan kebencian jika ia berterusan saya tidak nampak ia membantu dalam pembentukkan Negara dan perpaduan nasional.