MCA Johor tak setuju cuti Jumaat (30/6/14)

Monday, June 30, 2014


Berkuatkuasa 1 Januari 2014 yang lalu bersempena ulangtahun keputeraan Tuanku Sultan yang ke 55 (pada November 20143) Negeri Johor telah mengisytiharkan yang cuti hujung minggu di negeri tersebut beralih dari hari Sabtu dan Ahad ke hari Jumaat dan Sabtu.
Hari Jumaat dipilih demi menghormati kebesaran penghulu segala hari tersebut selain memudahkan umat Islam di negeri berkenaan menunaikan solat Jumaat dengan selesa dan tidak tergesa-gesa.

Sejak 1 Januari seluruh sektor awam di negeri berkenaan telah mengamalkan cuti hujung minggu yang baru itu dan ternyata ia memberi kesan yang positif terhadap kehidupan rakyat. Satu yang pasti rakyat Johor boleh selesa apabila beriadah dengan keluarga atau membeli belah kerana tidak perlu lagi berasak dengan pelawat serta pengunjung ke  negeri berkenaan khasnya dari Singapura yang hujung minggunya Sabtu dan Ahad.
Saya masih ingat ketika pengisytiharan berkenaan dibuat umat Islam bukan hanya di Johor malah seluruh Negara menumpang gembira dengan langkah berkenaan khasnya apabila istana menggunakan kuasa demi membela kebajikan dan masadepan umat Islam.

Kini sudah hampir setengah tahun amalan cuti hujung minggu yang baru itu diperkenalkan namun ternyata Tuanku Sultan masih belum gembira. Mengapa?
Ketika merasmikan siding Dewan Undangan Negeri Johor baru-baru ini Tuanku Sultan bertitah:

“Ibu-bapa yang bekerja di sector swasta mengadu bahawa mereka tidak mempunyai masa secukupnya bersama anak-anak kerana terpaksa bekerja pada hari Jumaat (sedangkan anak-anak mereka bercuti)”
Atas kerpihatinan terhadap rungutan rakyat itu, Tuanku yang berjiwa rakyat menitahkan:

“Oleh itu saya menyeru kerajaan negeri untuk mengkaji semula kesesuaian menyelaraskan hari rehat kepada hari Jumaat dan Sabtu untuk semua sektor.”
Ini bermakna demi memelihara keharmonian institusi keluarga rakyatnya, Tuanku mahukan agar cuti hujung minggu Jumaat dan Sabtu diselaraskan kepada Jumaat dan Sabtu untuk semua sektor samada awam mahupun swasta.

Sudah pastilah ini bermakna semua sektor termasuklah perbankkan dan institusi kewangan juga akan berhujung minggu Jumaat dan Sabtu. Tindakan berani Tuanku ini mungkin dilihat drastik dan radikal, walaubagaimanpun skop tumpuan Tuanku adalah pada kebahagian rakyatnya, agar mereka sekeluarga dapat beristirihat dan beriadah bersama kaum keluarga, anak isteri masing-masing. Alangkah mulianya hasrat Tuanku itu!
Tiba-tiba dalam akhbar The Star hari ini dilaporkan yang MCA bahagian Kualijaya dan Johor Baru sedang berkempen mengumpulkan tandatangan dari mereka yang mahu membantah pertukaran itu untuk agensi swasta. Menurut Ketua MCA Kulaijaya Tang Nai Soon, pertukaran itu jika berlaku akan “menganggu” perniagaan di negeri berkenaan.

Kononnya perniagaan khasnya antara Johor dan Singapura akan terjejas dan operasi Iskandar Johor yang mahu memprojekkan imej antarabangsa juga akan terjejas dengan langkah ini.
Anehnya MCA yang baru dapat dua kerusi kabinet itu tidak langsung mengambil skop kekeluargaan sebagaimana yang diambil Tuanku Sultan, apatah lagi alasan asal iaitu memuliakan hari Jumaat khasnya buat umat Islam.

Bagi saya tindakan MCA ini hanya akan meminggirkan sokongan masyarakat majoriti Melayu Islam terhadapnya.
Brunei contohnya sehingga mengisytiharkan perlaksanaan Hukum Hudud namun tidak kita dengar perniagaan Negara terkaya dirantau sebelah sini itu terjejas atau terganggu.

Belajarlah hidup bertoleransi, sesungguhnya muafakat dan tolak ansurlah yang telah berjaya membentuk Negara Merdeka yang kita cintai ini hasil dari persepakatan nenek moyang kita. Jika masyakarat Melayu, Cina dan India sejak puluhan tahun dahulu boleh hidup aman damai menghormati peraturan dan undang-undang, dimana bumi dipijak di situ langit dijunjung, mengapa kita hari ini tidak boleh?
Saya mendoakan agara usaha murni Tuamku itu akan tercapai dan seluruh sektor dan agensi kerajaan mahu swasta akan bercuti hujung minggu Jummat dan Sabtu, dan semoga langkah baik ini kelak turut dapat dipanjangkan ke negeri-negeri lain.

 

 

MSO serang Presiden di bulan Ramadhan........ (30/6/14)

Alhmadulillah kita semua dapat menempuh bulan Ramadhan sekali lagi dalam kita meniti usia yang dipinjamkan oleh Allah swt ini. Semoga Ramadhan kita tahun ini lebih baik dari yang sebelumnya.

Saya petik dari sebuah kertas kerja:
Bulan ramadhan ialah bulan yang mulia dan Allah memilih bulan ini untuk menjadi sebagai salah satu daripada kurniaan yang berharga kepada hamba-hamba-Nya. Kita dapat memahami perihal anugerah Allah kepada kita melalui bulan Ramadhan jika kita mampu memikirkan beberapa persoalan iaitu apabila Allah ingin memberikan rahmat kepada hamba-hamba-Nya maka apakah Allah akan mencampakkan rahmat itu dengan begitu saja kepada hamba-hambaNya atau Allah memberikan kepada mereka PELUANG untuk mendapatkan rahmat-Nya ?

Demikianlah juga apabila Allah ingin mengampunkan dosa hamba-hambaNya maka apakah Dia akan menghapuskan dosa hamba-hamba itu dengan begitu sahaja atau Dia (Allah) memberikan PELUANG untuk hamba-hamba Nya itu mendapatkan keampunan ?
Maka datanglah Ramadhan menjawab semua persoalan ini.

Allah swt berfirman maksudnya : “Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda (antara yang hak dan yang bathil) ………. (al Baqarah: 185)
Dalam kita menyambut kedatangan bulan yang penuh barakah ini dilaporkan bahawa Presiden PAS Dato Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang sedang menerimarawatan susulan di Institut Jantung Negara IJN. Saya yakin dan percaya ramai yang mendoakan agar Tuan Guru yang kita semua sayangi itu akan cepat sembuh dan dikurniakan  kekuatan oleh Allah swt untuk terus memimpin.

Saya mengaitkan posting saya kali ini dengan Ramadhan dan keuzuran Tuan Guru kerana saya sedih apabila dalam bulan yang mulia ini ada juga insan yang Allah swt kurniakan bakat menulis menggunakan bakatnya itu dengan cara yang sungguh tidak sopan dan malah kelihatan biadap.
Allah kurniakan kita sesuatu bakat, septutnya bakat kurniaan Allah itu kita gunakan untuk kebaikan, mengajak manusia kepada yang baik dan mencegah mereka dari yang mungkar. Itulah tanda hamba Allah yang bersyukur, namun apabila kita mengunakannya bagi tujuan jahat, mengadu-domba, mencetuskan kekacauan dan kecelaruan, maka kita dikira ingkar dan tidak bersyukur dengan nikmat Allah.

Seorang penulis veteran yang saya kenali telah menulis posting berikut :


Di bulan Ramadhan, Allah buka peluang kepada kita untuk mengejar ganjarannya, sebaliknya kenalan saya ini memilih untuk berakhlak buruk, lalu saya mohon agar beliau segera ingat akan pesanan Rasulullah s.a.w:
Daripada Abu Hurairah r.a. katanya bahawa Nabi s.a.w. bersabda: “Sesiapa yang tidak meninggalkan percakapan bohong dan berkelakuan buruk sedangkan ia berpuasa, baginya tidak ada kelebihan (pahala) di sisi Allah selain dari lapar dan dahaga sahaja yang didapatinya.” (Riwayat Bukhari)

Peliharalah lidah kita, tulisan kita. Banyakkanlah zikir dengan memuji Allah, bersalawat ke atas Nabi s.a.w, bercerita tentan nikmat-nikmat syurga serta lain-lain perkara ma'ruf.
Kita biasa dengan serangan musuh dari pelbagai penjuru tetapi apabila kawan sendiri mula menyerang jelas ia kini memilih menjadi musuh dan sudah bosan menjadi kawan.

 

 

Apabila gambar MB berbasikal viral (24/6/14)

Tuesday, June 24, 2014


Gambar “simple” ini telah “viral” dan dimuat turun dengan begitu meluas terutama di media sosial dan menerima banyak reaksi dari pelbagai pihak. Sekali imbas ia sekadar menunjukkan seorang yang berusia lengkap berpakaian Melayu dan kain pelikat, berkopian putih sedang sedia menaiki basikal di perkarangan sebuah masjid.
Lihat lebih teliti, individu berkenaan sebenarnya adalah YAB Menteri Besar Kelantan, Ustaz Dato Ahmad Yakob atau Ustaz Mat.

Salah seorang yang telah memberi reaksi positif terhadap gambar berkenaan adalah bekas Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainal Abidin. Melalui facebook nya DrMAZA.com beliau menyebut:
Saya suka melihat gambar YAB MB Kelantan ini. Ia mempunyai banyak mesej yang menarik untuk ditafsirkan. Secara umumnya ia memberikan gambaran kesederhanaan cara hidup seorang pemimpin yang masih lagi ke masjid bersolat jamaah dengan 'basikal orang kampung'.

Gambar seperti ini lebih diminati rakyat dari gambar para pemimpin atau para isteri pemimpin yang menunjuk-nunjuk kemewahan kepada rakyat.
Setakat saya menulis ini posting Dr Maza di atas telah menerima 37,876 likes dan 1,130 komen.

Antara komen yang menarik perhatian saya adalah dari Tan Tar yang menyebut: “Ini orang banyak baik, jujur dan sabar. Personal experience. Lim Xilvre pula memberi komen: “dia layak mendapat segala kemudahan sebagai seorang Menteri Besar tetapi memilih untuk sederhana, syabas role model untuk dirujuk kepada yang seangkatan”, Dan Jay Ace pula “Kualiti yang macam ni patut ada pada semua pemimpin terutamanya yang nak jadi calon PM”.
Ternyata rakyat dewasa ini kagum bukan apabila melihat pemimpin mereka menaiki kereta mewah dan mahal, atau berpakaian berjenama atau dikelilingi pengawal dan seumpamanya. Rakyat dewasa ini sesungguhnya lebih kagum apabila melihat pemimpin mereka macam biasa-biasa, ringkasnya macam mereka. Macam gambar Ustaz Mat di atas.

Rata-rata Ustaz Mat semakin menonjol keperibadiannya kebelakangan ini. Bermula dengan mengambil-alih tempat Tok Guru Nik Abd Aziz sebagai MB Kelantan sehinggalah kesungguhannya mahu membawa ketengah sehingga ke peringkat Parlimen, undang-undang Hudud di Kelantan dan kini dengan gambar ini yang menyingkap kepada rakyat kesederhanaan beliau.
Bagi saya Ustaz Mat semakin mendapat tempat dan semakin dihormati pada pandangan masyarakat.

Kerana itu saya hairan apabila diberitahu baru-baru ini UMCEDEL atau University Malaya Centre of Democracy and Elections telah mengeluarkan satu kajian iaitu selepas 12 bulan PRU 13 bertajuk “Isu dan kecenderungan rakyat” yang sangat negatif terhadap Kelantan di bawah Ustaz Mat. Kononnya setelah 12 bulan kepimpinan baru di Kelantan seakan sudah tidak ada aura sebagaimana kepimpinan yang lalu. Seolah selepas Tok Guru Nik Abd Aziz, Kelantan sudah tawar dan besar kemungkinan akan mengikuti jejak Kedah iaitu jatuh ke tangan BN!
Ternyata kajian berkenaan tidak mencerminkan keadaan sebenar persepsi rakyat kini terhadap Kelantan di bawah Ustaz Mat. Kalau UMCEDEL boleh cungkil contohnya reaksi komen yang diberi dalam FB Dr Maza sahaja, mereka akan dapati betapa melesetnya kajian mereka itu.

Walaubagaimanapun, bairlah UMCEDEL dengan kajian mereka. Apa pun saya melihat Tok Guru Nik Abd Aziz telah berjaya menyusun kabinet penggantinya dengan baik. Rakyat Kelantan kini tidak merasakan vakum setelah Tok Guru melepaskan jawatannya sebaliknya merasakan suatu kesinambungan sedang berlangsung, Tok Guru diganti dengan kepimpinan yang setaraf dengannnya malah tidak mustahil lebih baik dengan izin Allah swt.
Bertuahlah rakyat Kelantan, semoga mereka terus membangun bersama Islam sampai bila-bila.

 

Apabila media ghairah jolok sarang tebuan (24/6/14)


Laporan keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak permohonan Gereja Katholik untuk mencabar KDN dalam larangan pengunaan kalimah Allah mendapat  liputan media samada yang arus perdana mahupun alternatif.
Secara peribadi saya merasakan keputusan ini suka atau tidak perlu dihormati dan jalan untuk mengelakkan sebarang konflik sewajarnya dirintis semua pihak demi mengekalkan keharmonian dan perpaduan antara agama dan kaum.

Tetapi dari pengamatan saya beberapa pihak cuba terus menghangatkan keadaan, membakar api kemarahan dan kebencian seakan mahu menyemarakkan ketegangan antara agama.
Mahkamah Persekutuan telah mencipta sejarah apabila bersidang dengan panel 7 hakim terkanan dalam Negara bagi memutuskan permohonan ini. Tampak ada inisiatif dari pihak mahkamah mahu mencerminkan keadilan saksama dalam membikin keputusan. Inisiatif ini seakan tidak hormati dan diraikan.

Saya nyatakan demikian kerana walaupun keputusan dibuat majoriti 4-3 akan tetapi sesetengah pihak lebih ghairah mahu melaporkan keputusan minoriti 3 hakim dari melaporkan keputusan 4 hakim dipihak majoriti.
Contohnya akhbar The Star hari ini sungguhpun melaporkan bahawa majoriti 4 dari hakim yang bersidang telah menolak permohonan Gereja namun yang diberikan laporan terperinci adalah keputusan yang dibuat oleh 3 hakim minoriti iaitu Hakim Richard Malanjum (Ketua Hakim Sabah dan Sarawak), Hakim Zainun Ali (Hakim Mahkamah Persekutuan) dan Hakim Jeffrey Tan Kok Wha (Hakim Mahkamah Persekutuan).

Memanglah hak masing-masing pihak mahu melaporkan apa sahaja yang difikirkannya wajar namun tidakkah tindakan demikian seakan mahu mengadu-domba tanpa memberi pembaca menilai rasional 4 hakim majoriti?
Demikian juga portal Malaysian Insider yang lebih ghairah lagi membawa laporan dengan tajuk “What the 3 dissenting judges said about Allah appeal”.

Portal berkenaan memberi liputan meluas keputusan 3 hakim yang meluluskan permohonan berkenaan.
Laporlah apa sahaja yang difikirkan akan menarik minat pembaca masing-masing, akan tetapi dalam kita meniti jalan demokrasi dan hak bersuara, keputusan majoritilah yang sepatutunya diberi liputan meluas agar pembaca dapat menghadamkan rasional dan menerima kenyataan.

Kalau media pun condong ke arah mencetuskan konflik dan ketegangan, apa lagi rakyat kebanyakkan. Jangan menjolok sarang tebuan!

Jangan nyalakan api kemarahan (23/6/14)

Monday, June 23, 2014


Pagi tadi kita dikejutkan dengan berita kematian Almarhum Ustaz Dato Abu Bakar Chik, AJK PAS Pusat, bekas ahli EXCO Kerajaan Terengganu, bekas Ketua Pemuda PAS Pusat, dalam kemalangan jalanraya. Almarhum dilaporkan hadir dalam program Pemuda di Selangor pada sebelah malamnya. Semoga Allah swt mencucri rahmat ke atas roh Almarhum.
Dan pagi ini pula media termasuklah media sosial sedang hangat memperbahaskan keputusan Mahkamah Persekutuan sebentar tadi yang telah menolak permohonan akhbar Katholik The Herald untuk mencabar keputusan pihak KDN yang mengharamkan penggunaan kalimah Allah di dalam akhbarnya.

Mahkamah yang bersidang dengan 7 panel itu memutuskan demikian dengan keputusan 4 menyokong dan 3 menentang.
Ini bermakna akhbar berkenaan perlu mematuhi larangan pihak KDN dan tidak sekali-kali menggunakan kalimah Allah dalam keluaran akhbarnya.

Sesungguhnya keputusan mahkamah di Malaysia, akan pasti ada yang kelihatan memihak satu pihak da nada yang kelihatan tidak. Mereka yang menang akan bergembira dan menyangkakan bahawa mahkamah memihak mereka, begitu juga yang kalah akan kecewa dan menyangkakan yang mahkamah tidak memihak mereka.
Walaupun proses pembuatan keputusan itu melibatkan mereka yang pakar dan mahir dalam bidang perundangan, iaitu hakim-hakim mahkamah tertinggi dalam Persekutuan, pasti aka ada pihak yang tidak berpuas-hati dan seumpamanya. Sewajarnya keputusan ke sebelah mana pun harus dihormati dan diraikan kerana itulah sikap terbaik bagi rakyat yang menjunjung kedaulatan undang-undang. Malangnya kebelakangan ini kita tidak lagi begitu, sering sahaja berbalah dan mempertikai.

Mungkin itu hak kita, selagi mana ianya tidak melanggar undang-undang, contohnya menghina mahkamah.
Masalahnya, ada yang terlalu biadap di dalam penilaian terhadap keputusan mahkamah sehingga mencetuskan pula kemarahan pihak lain apabila sensitiviti pihak lain itu dipijak dan dicaci secara terbuka. Inilah punca-punca yang akan membawa kepada perbalahan dan konflik yang lebih tegang dan rumit dalam masyarakat kita. (Contoh sila lihat petikan ulasan dari pembaca laman web yang saya petik ini)

Septutnya orang-orang besar agama yang dalam pertikaian meredakan perasaan penganut masing-masing. Bukankah agama mengajar kita berlapang dada, berkasih-kasihan.
Saya khuatir jika sikap buruk ini tidak ditangani, ia akan membusung kepada sesuatu yang lebih buruk dan merugikan kita semua.

Jangan robohkan apa yang telah kita bina selama ini (12/6/14)

Thursday, June 12, 2014


Tahun ini dah masuk 57 tahun Negara kita mencapai kemerdekaan, 51 tahun pembentukkan Malaysia.  Jika umpama usia manusia, sudah pastilah sudah begitu matang dan dewasa bukan lagi seperti keanak-anakkan tetapi sudah boleh dihormati dan dipandang tinggi.
Kemajuan ekonomi dan pembangunan fizikal memanglah ketara hasil dari kesungguhan rakyat dan sumbangan semua pihak. Begitu juga kemajuan pendidkan dikalangan rakyat tidak dapat dinafikan. Akan tetapi satu aspek yang masih belum selesai ternyata merupakan satu cabaran yang kadangkala mampu membakar sensitiviti sesetengah pihak dan jika tidak ditangani dengan baik mampu membawa natijah yang buruk.

Dalam tempuh beberapa minggu sahaja, apa yang saya maksudkan itu dapat dilihat berlaku.
Perebutan hak penjagaan anak, akibat ibu-bapa bertukar agama, anak mahu tukar agama kerana mahu berkahwin lain agama, perebutan mayat ekoran pertikaian agama terakhir si mati, semua ini sedang berlaku di hadapan kita hari ini.

Mungkin sebelum merdeka, kalau pun ada (saya tiada ketika itu) kes-kes seumpama ini berlaku rasanya ia begitu kecil dan tidaklah ke peringkat memamah perasaan dan sensitiviti. Satu kes yang kita ingat yang melibatkan pertukaran agama diwaktu penjajah sehingga mencetuskan huru-hara adalah kes Natrah pada awal tahun 1950.
Mengapa berleluasa sangat kes-kes seumpama ini kebelakangan ini? Mengapa tiada ada satu formula penyelsaian yang boleh diperkenalkan bagi mengelakkan perkara-perkara seumpama ini?

Suka tak suka Malaysia adalah sebuah Negara Islam. Suka tak suka Malaysia adalah satu-satu Negara yang punya dwi sistem perundangan satu untuk masyarakat sivil dan satu khas untuk orang-orang Islam, dan ini bukan merupakan amalan baru akan tetapi telah wujud sejak zaman awal penjajahan British dahulu.
Bagi saya semuanya berbalik kepada semangat toleransi, tolak ansur yang wujud sejak pra kemerdekaan sehingga memungkinkan orang-orang Melayu Islam, penduduk asal bumi Tanah Melayu membuka kewarganegaraan kepada kawan-kawan mereka yang bermastautin di sini khasnya orang-orang Cina dan India.

Bukan hanya orang Melayu yakni penduduk asal, tetapi orang-orang Cina dan India juga diberi peluang menjadi warganegara kepada Negara ini, berkongsi satu bumi dengan orang-orang Melayu. Pengorbanan orang-orang Melayu itu sekadar bersyarat bahawa agama mereka yakni Islam dan bangsa mereka yakni Melayu dan kemudiannya dipanjangkan menjadi Bumiputera, dihormati, diakui dan diberi tempat keistimewaannya dalam Perlembagaan. Institusi Raja-raja Melayu kekal sebagai payung di negeri-negeri dan di Persekutuan dan Majlis-majlis Agama Negeri-negeri kekal sebagai institusi menjaga kepentingan agama Islam seluruh Negara.
Walaupun demikian orang-orang Cina dan India pula diberi hak mengamalkan budaya dan kepercayaan mereka secara bebas, tidak seperti di beberapa Negara jiran dan diberi pula kesitimewaan membelajar dan mengamalkan bahasa ibunda masing-masing melalui sekolah-sekolah jenis kebangsaan.

Selalu bila kita menulis begini aka nada pengritik yang mnegatakan kita mempromosi agenda atau propaganda Umno dan seumpamanya. Bagi saya ini fakta sejarah, tidak ada kena mengena dengan Umno atau sesiapa tetapi inilah yang dipersetujui asalnya oleh sebahagian besar datuk-nenek dan moyang kita dahulu.
Berbalik kepada permasalahan asal, kenapa kebelakangan ini pertikaian melibatkan Islam ini semakin meruncing? Kenapa Islam

Jawapannya kerana kita lupa dan sengaja melupakan fakta sejarah, letak duduk Negara ini semasa awal-awal Merdeka.
Kita tidak mahu memaksa, tetapi hormatilah apa yang ada. Janganlah menyerang dan memperlekeh institusi Islam, amalan Islam, hukum Islam. Terbit dengan kata-kata seolah Islam ini tiada berbudaya, tiada tamaddun.

Selagi kita ada pemikiran seumpama ini, selagi itu kita tidak dapat bertoleransi sebagaimana datuk-nenek moyang kita dahulu. Dan kita akan terus memijak dan mencederakan sensitiviti orang lain, akibatnya kita membakar dendam sesama kita.
Mayat seorang wanita di Pulau Pinang contohnya baru-baru ini dirampas oleh pihak Jabatan Agama Islam ketika upacara keagamaan sedang dilangsungkan. Tindakan tersebut khabarnya kerana Jabatan Agama ada bukti yang si mati telah memeluk Islam sebelum kematiannya.

Tindakan ini membangkitkan kemarahan sesetengah pihak. Kita tidak sedar sesetengah pihak juga secara senyap mneyokong tindakan ini! Apa pun, biarlah penyiasatan dibuat. Ada pihak merungut kenapa baru sekarang? Kenapa tidak sebelum ini?
Masalahnya laporan dibuat, lalu tindakan diambil. Bayangkan kalau mayat telah ditanam , kemudian satu pihak dapat perintah membongkar kembali tanah perkuburan untuk ditanam di tanah perkuburan lain, pun nanti aka nada yang merungut.

Disatu pihak ada yang gembar-gemburkan masalah hak asasi, kedailan dan seumpamanya. Dalam hal ini biarlah siasatan dilakukan, kemudian pihak kehakiman memutuskan. Jangalah mengkritik sebelum siasatan selesai kalau benar kita juasa hak asasi dan keadilan.
Begitu juga dalam kes perkahwinan yang kononnya diganggu pihak JAIS baru-baru ini. Sehingga atas tekanan kerajaan negeri membuat keputusan yang terburu-buru. Kenapa juara hak asasi dan keadilan tidak memberi peluang kepada bapa si wanita berkenaan memberikan pandangan dan versinya? Berilah keadilan kepada semua pihak, benar perkahwinan itu suci dan penting, tetapi prosedur dan peraturan, perundangan mestilah dihormati, jika tidak anarki!

Begitu juga dalam kes melibatkan hak penjagaan anak-anak sehingga bertindih-tindih bidangkuasa kedua-dua mahkamah sivil dan syariah. Sebenarnya semua perlu dihormati tetapi apabila kita merendahkan satu mahkamah atas satu mahkamah yang lain inilah puncanya sedangkan dahulu tidak pernah begitu.
Apa pun bagi saya proses perundangan, peraturan dan prosedur yang kita sendiri bina perlu dihormati dan dipatuhi. Baliklah kembali kepada asal kita, hormat menghormati dan tidak memperlekeh serta memandang rendah antara satu dan lain.

Berdiri Negara ini atas sikap tolak-ansur, tetapi apabila sudah tiada begitu, kita merobohkan apa yang kita sendiri bina maka terimalah akbatnya.

Kes murtad terbaru: Selangor terburu-buru (8/6/14)

Sunday, June 08, 2014


Satu-satunya parti politik yang kekal mempertahankan kepentingan Islam dan memperjuangkan perlaksanaan syariatnya di Malaysia adalah PAS.
Tidak hairan apabila meletus atau tercetusnya isu-isu berkaitan Islam, samada melibatlkan politik antarabangsa dan dunia Islam mahupun isu-isu tempatan, maka PAS lah yang akan ke hadapan menyatakan pendirian dan membuat desakkan.

Sesuatu yang janggal jika ada isu Islam, PAS senyap membisu tidak bersuara atau menegur.
Murtad adalah tindakan seorang Muslim keluar meninggalkan Islam. Ia satu kesalahan, jenayah besar dalam Islam, kerana mampu menggugat dan mengancam kestabilan dan kekuatan Islam itu sendiri. Kerana itu sejak dari dahulu lagi samada ia punya kuasa dan suara atau tiada kuasa dan suara PAS lah yang akan ke hadapan menentang sebarang gejala murtad demi memelihara kesucian dan kedaualatan Islam.

Satu kes kontroversi yang sedang hangat diperbahaskan hari ini adalah kes melibatkan Zarena bt Abdul Majid, 32 tahun.

Ahad lalu para pegawai Jabatan Agama Islam Selangor yang bertindak atas laporan telah pergi ke Kuil Seri Sakhti Easwari di Jalan SS1/25 Sg. Way, Petaling Jaya kerana seorang Muslim, Zarena Abdul Majid dikatakan akan melangsungkan perkahwinan dengan seorang lelaki Hindu mengikut kepercayaan agama Hindu.

Tindakan JAIS itu telah mendapat kritikkan banyak pihak sehingga kerajaan Selangor sendiri melalui Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim menyatakan bahawa para pegawai JAIS yang terlibat akan dikenakan tindakan tatatertib kerana menceroboh kuil dan menganggu majlis perkahwinan.
MB dalam kenyataannya menyebut kerajaan negeri akan membantu Zarena yang kononnya dibesarkan sebagai seorang Hindu untuk memohon menukar status agamanya pada kad pengenalan beliau.

Laporan awal menyebut Zarena dan adik-beradiknya “dimasukkan” Islam oleh bapanya Abdul Majid, memetik akhbar The Malay Mail bertarikh 4 Jun 2014:
Khalid explained that he was informed by Jais this morning that Zarena had been registered as a Muslim by her father but has never practiced the faith and had been brought up by her Hindu mother her whole life .

(Khalid menjelaskan yang beliau dimaklumkan oleh JAIS bahawa Zarena didaftarkan sebagai seorang Muslim oleh bapanya tetapi tidak pernah mengamalkan ajaran Islam kerana dibesarkan sebagai seorang Hindu oleh ibunya sepanjang usianya)
Menurut akhbar yang sama lagi:

Zarena had claimed that she and her siblings were secretly converted by her Muslim convert father when they were children, but they have long been practising Hindu since their father divorced their mother and abandoned the family over 20 years ago.
(Zarena mendakwa yang beliau dan adik beradiknya telah di Islamkan secara rahsia (tanpa pengetahuan) oleh bapanya ketika kanak-kanak, namu mereka telah sekian lama mengamalkan ajaran Hindu sejak ibu-bapanya bercerai, dan ayahnya mengabaikan keluarga mereka 20 tahun lalu)

Laporan awal dan kenyataan Zarena serta tekanan politik pihak-pihak tertentu telah memaksa kerajaan negeri Selangor mengambil pendirian, iaitu tindakan JAIS itu salah dan Zarena perlu diberi laluan untuk menukar agama menjadi seorang Hindu demi melangsungkan perkahwinannya itu.
Ternyata satu hak asasi penting iaitu “right to be heard” atau “hak untuk didengari” iaitu hak pada bapa Zarena, seorang “player” penting dalam kes ini telah dinafikan. Dinafikan oleh pihak-pihak berkepentingan, dinafikan oleh kerajaan Selangor dan MB.

Mengapa Abdul Majid bin Gulam Kader, 54 tahun, bapa kandung kepada Zarena, suami kepada Vasantha, ibu Zarena yang menurut surat beranak mereka bernama Zainab dan beragama Islam, tidak dipanggil? Sudahkah kerajaan negeri, sudahkah MB memberi peluang kepada Abdul Majid untuk memberikan versi beliau dalam kes ini sebagai bapa?
Kerajaan negeri dan MB Selangor menafikan hak “right to be heard” Abdul Majid, dan telah membuat keputusan pada saya yang terburu-buru tanpa menyaisat secara terperinci kes ini. Begitu juga seorang ahli Parlimen PAS, tanpa usul periksa terus memihak kepada Zarena, dengan maklumat “half truth” dan membuat kesimpulan:

“Isu murtad mesti dibezakan antara yang asal Islam dan yang memeluk Islam kerana berkahwin atau namanya dan status agamanya ditukar menjadi Islam sedangkan dia beramal dengan agama lain….”
Saya dengan seorang sahabat, seorang Ustaz melalui bantuan seorang wartawan telah menjejaki Abdul Majid siang tadi demi mendapatkan versi seorang ayah yang merupakan individu penting dalam kes kontroversi ini.

Saya yakin ramai kita mahu tahu dari Abdul Majid sendiri, apa sebenarnya berlaku sehingga anak kandung beliau boleh mendakwa dirinya Hindu dan mahu dikahwinkan dalam upacara Hindu
Benarkah beliau sebagaimana didakwa oleh seorang ahli Parlimen PAS, nama asalnya adalah S Mahendran dan memeluk Islam dengan menggunakan nama Abdul Majid?  Benarkah ibu Zarena, Vasantha,  sebagaimana dakwa ahli Parlimen tadi ….. “sedangkan ibunya kekal pada agama asal” seorang yang kekal pada agama asal iaitu Hindu? Benarkah Zarena dan adik beradiknya tidak pernah dibesarkan sebagai anak-anak Muslim? Dan banyak lagi soalan-soalan penting.

Adapun maklumat yang dapat saya pungut dari batang tubuh Abdul Majid sendiri adalah seperti berikut:

1. Bapanya Gulam Kader berketurunan Pakistan, seorang Muslim dan ibunya berketerunan India dan memeluk Islam. Lantas menjadikan Abdul Majid seorang Muslim sejak lahir (menyanggah anggapan ahli Palimen PAS di atas tadi)

Berikut saya berikan gambar kad pengenalan Abdul Majid yang sempat saya rakamkan.

2. Beliau mengenali Vasantha (ibu Zarena) dan kemudiannya bernikah dengannya atas dasar suka sama suka setelah Vasantha di Islamkan di Ibupejabat PERKIM KL dan mengambil nama Zainab pada tahun 1979 (sekali lagi menyanggah anggapan bahawa Vasanta adalah seorang Hindu dan tidak pernah memeluk Islam).

3. Kesemua anak-anaknya iaitu Zarena, Shahull Salleh 30, Zaleha 28, dan Abdul Gulam 24 adalah Muslim kerana beliau (Abdul Majid) adalah Muslim dari lahir dan ibu mereka Zainab telah memeluk Islam apabila bernikah dengannya pada tahun 1979. Buktinya nama Zainab sebagai ibu terkandng dalam surat beranak kesemua anak-anaknya itu.

4. Semasa kecil anak-anak beliau telah disekolahkan dan bercampur dengan anak-anak jiran yang Muslim dan terdedah sedikit sebanyak kepada amalan dan pendidikan Islam memandangkan mereka masing-masing memegang surat beranak sebagai seorang Muslim.

5. Sejak berkahwin 1979 itu beliau dan Zainab tinggal sebumbung sehingga mendapat anak-anak. Pada tahun 2000 beliau dihalau keluar oleh isteri dan anak-anaknya semata-mata kerana beliau menegur anak perempuannya agar menjaga diri dan memelihara maruah. Insiden 14 tahun dahulu itu berlaku ketika Zarena sudah dewasa (berumur kira-kira 18 tahun). Sedangkan kita diberi gambaran seolah Abdul Majid tidak pernah terlibat dalam pembesaran anak-anaknya.
Abdul Majid akui isterinya sangat berpengaruh ke atas anak-anak mereka. Isterinyalah yang telah membawa anak-anaknya menjauhi Islam.

Soalnya sebagai seorang Muslim, yang tahu dan sedar bahawa anak-anaknya semua adalah Muslim, Abdul Majid enggan memberikan persetujuan sehingga memungkinkan mana-mana anak-anaknya menjadi murtad dan menukar agama.
Apakah sahih dan benar belaka kata-kata Abdul Majid ini? Pihak bertanggungjawab perlu siasat dan ruang seluas-luasnya perlu diberikan agar penyiasatan terperinci dibuat sebelum sesuatu pendirian atau keputusan dibuat. “Right to be heard” perlu dihormati dan diberikan kepada semua pihak yang terlibat.

Berdasarkan apa yang saya kaut dari Abdul Majid, beliau adalah seorang Muslim sejak lahir, isteri yang beliau nikahi, Vasantha telah memeluk Islam dan mengambil nama Zainab sejak 1979. Anak-anak mereka semua Muslim kerana beliau dan isterinya tetap Islam dan tiada permohonan murtad dari mana-mana pihak.
Jika saya dalam situasi dan suasana Abdul Majid saya juga tidak akan rela dan redha melihat anak-anak saya menukar agama.

Apa pun kebenaran mestilah dibongkar. Jangan dengar dan raikan suatu pihak sahaja dalam kes sensitif dan kontroversi ini. Keputusan yang telah dibuat oleh kerajaan negeri boleh disemak semula kiranya ada “new evidence” atau bukti-bukit baru.
Bagaikan menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus, tepung tidak berselerak.

PAS mesti ke hadapan dalam kes ini dan biarlah kebenaran terserlah sejelas-jelasnya.