Almarhum Ustaz Dato Harun Taib: Peringatan buat semua

Wednesday, January 29, 2014


Jadi adik abang tinggalkan yang keras kepala (7/1/14)

Tuesday, January 07, 2014


Tadi di Bangunan SUK Shah Alam, EXCO Agama Selangor Ustaz Sallehen Mukhyi telah mengadakan sidang akhbar berhubung isu panas “serbuan JAIS ke atas premis Bible Society of Malaysia di PJ baru-baru ini. Turut dipanggil adalah Father Lawrence Andrew, yang dalam posting saya sebelum ini saya namakan sebagai pencetus kontroversi ini.
Menurut laporan media, Exco Agama menjelaskan bahawa serbuan berkenaan menepati SOP JAIS yang sedia ada. Cumanya SOP berkenaan akan dikemaskini. Dan dalam pada itu menurut beliau:

"Pendirian kerajaan negeri adalah kita bersama titah Tuanku dalam penggunaan kalimah Allah (iaitu larangan penggunaannya di negeri Selangor oleh agama lain).”
Saya kira penjelasan EXCO Agama Selangor itu sudah boleh diterima yang selainnya kita serah kepada proses undang-undang.

Yang saya musykil adalah kehadiran Father Lawrence Andrew yang sebelum ini mengeluarkan kenyataan akan terus menggunakan kalimah Allah di Selangor walaupun dilarang. Saya difahamkan beliau hadir untuk diberi kata dua oleh EXCO dan semoga beliau menghormati dan faham akan titah Tuanku Sultan serta peraturan dan undang-undang yang sedia terpakai di Selangor.
Rupa-rupanya beliau memilih untuk terus “membantah” kononnya atas nama Hak Asasi!!!

The Star online melaporkan:
In the same press conference, Father Lawrance said that whatever he had stated with regard to the Allah issue was based on Article 11 of the Federal Constitution that granted the freedom of religion.

"Each religion has the right to manage itself. Another religion cannot come in and tell another religion what to do," he said.
Menurut The Malaysian Insider:

Sementara itu, Lawrence tetap dengan pendiriannya gereja di Selangor akan terus menggunakan kalimah Allah dalam upacara keagamaan mereka.
"Kenyataan saya adalah berdasarkan Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan. Setiap agama boleh melakukan upacara keagamaan mereka. Saya tidak boleh beritahu Islam, Buddha, Hindu, apa perlu mereka buat.”

Nampaknya paderi ini terus meluap-luap dengan kontroversi. Sepatutnya sebagai orang agama yang bijaksana, setelah bertemu dengan wakil kerajaan negeri ini dan difahamkan tentang titah Tuanku dan peraturan serta undang-undang negeri beliau akur tetapi rupanya tidak.
Saya petik penghakiman bertulis Hakim Mahkamah Rayuan Dato Mohd Zawawi Salleh bertarikh 14 Oktober 2013 lalu (Mahkamah ini telah menolak rayuan The Herald yang mana Father Lawrence adalah Pengarangnya):

The upshot from the foregoing discussion is that the usage of the word “Allah” in the Malay version of the Herald to refer to God is not the essential or integral part of the religion of Christianity. Therefore, such usage does not attract constitutional guarantee of Article  11(1)  of  the  Federal  Constitution.     The  question  of translating God as “Allah” is still being hotly debated among Christians worldwide.  It is also doubtful whether the opinion of the Respondent  on  the  usage  of  the  word  “Allah”  reflects  that  of Catholic majority.
Tuanku Sultan melarang, enakmen negeri menegah, Mahkamah memutuskan penggunaannya tidak dilindungi oleh Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan, namun paderi ini terus berkeras kepala, siapa yang mencetuskan kontroversi dan dalang provokatur dalam hal ni? Ayuh kita bina jambatan seperti adik dan abang dengan meninggalkan mereka yang tidak boleh menerima peraturan dan nasihat.

Perbalahan bermula dari pimpinan agama yang provokatif (6/1/14)

Monday, January 06, 2014


Kita mahu Malaysia kekal aman. Siapa pun tidak mahu mengundang perbalahan dan ketegangan antara agama setelah sekian lama kita menikmati perpaduan kaum dan agama khasnya dikalangan rakyat Malaysia. Kita tidak sekali-kali boleh menerima demonstrasi atau rusuhan di hadapan rumah-rumah ibadat yang dilakukan oleh mereka yang berlainan kepercayaan. Jangan sekali-kali mencetuskan sesuatu yang tidak pernah berlaku di bumi kita.
Asas atau kekuatan keakraban hubungan ini adalah bersandarkan toleransi beragama serta sikap hormat-menghormati antara sesama kaum dan agama. Ringkasnya kami hormat dan tidak ganggu pegangan dan kepercayaan kamu sebagaimana kamu hormat dan tidak ganggu pegangan dan kepercayaan kami.

Kekuatan ini telah sedia terjalin sejak beratus tahun dan masing-masing kaum dan agama mengharagai dan memelihara asas ini kerana itu tidak seperti di Negara-negara lain, Malaysia tidak pernah menyaksikan rusuhan atau perbalahan yang tercetus angkara isu agama dan kepercayaan.
Lihat sahaja di Kelantan contohnya, negeri yang majority umat Islam, agama lain bebas mengamalkan kepercayaan masing-masing. Gereja, tokong dan kuil tidak diganggu dan penganut masing-masing agama bebas keluar masuk mengamalkan kepercayaan masing-masing. Malah begitu juga sebenarnya di negeri-negeri lain.

Hari ini, biarlah kita berhadapan dengan realiti tanpa perlu berselindung disebalik “hak asasi” dan apa saja yang mungkin mahu dijolok ke dalam tekak kita oleh pihak-pihak yang tidak menghargai apa yang sedia terbina sesama rakyat di Malaysia.
Sekiranya ketua-ketua agama boleh bertolak ansur demi mengekalkan apa yang telah sekian lama terbina niscaya selama-lamanyalah tidak akan tercetus ketegangan agama.

Isu kalimah “Allah” ini saya lihat sudah seakan mahu dijadikan bahan untuk menguji kesabaran sesetengah pihak. Mengapa perlu diuji dan diprovokasi sesuatu yang sekian lama tidak pernah kita lakukan begitu.
Kalau semua pihak serahkan keputusan pada proses undang-undang, menghormati undang-undang dan titah Raja saya kira semua aman. Penganut Kristian yang beratus tahun masuk keluar gereja dengan aman di sini dapat melakukannya dan mereka yang suka cetuskan huru-hara sebagaimana sesetengah NGO pun tidak akan ada “modal” untuk berbuat sesuatu.

Masalahnya bermula apabila kita pandai-pandai mahu “test the waters” kononnya baeangkali atas nama “kebebasan”.
Saya salahkan Pengarang akhbar mingguan Katholik “The Herald” Father Lawrence Andrew kerana mengeluarkan kenyataan bahawa gereja di Selangor akan terus menggunakan kalimah “Allah” dalam upacara dan majlis mereka. Tidakkah ini berbau provokasi. Sedangkan proses undang-undang masih diperingkat rayuan, sedangka di Selangor punya enakmen yang melarang, sedangkan Tuanku Sultan Selangor pernah menitah melarang penggunannya di negeri ini?!!

Sekiranya beliau bijak, beliau tidak akan mengeluarkan kenyataan di atas, kini di atas pilihan beliau, orang-ramai yang selama ini tiada bermasalah sudah mula bertanya dan mengeluarkan pandangan. Penganut agama Islam dan Kristian sudah mula tidak selesa.

Ada pihak mengancam mahu berdemonstrasi di hadapan gereja, ada pihak pula mengambil inisiatif menunjukkan mereka lebih “Islam” dengan berkumpul di hadapan gereja memberi sokongan.
Dan dalam pada itu menurut laporan Malaysiakini:

“Bapa Tuhan Allah berkumandang di gereja Kelang”  


“Kalimah 'Allah' itu berkumandang di gereja Our Lady of Lourdes dalam bentuk lagu pujian (hymn) dan doa upacara keagamaan (mass) menggunakan bahasa Melayu.
Kira-kira 200 orang yang hadir itu antara lainnya mengulangi pujian "Bapa Tuhan Allah" dan "Tuhan kami yang kudus, Allah" sekurang-kurangnya sebanyak empat kali dalam nyanyian lagu dan juga doa sebelum ucapan utama.

Kalimah 'Allah' yang digunakan itu merujuk kepada konsep triniti dalam kepercayaan Kristian.
Inilah contoh provokasi yang tidak menghargai kekuatan keakraban sesama kaum dan agama yang telah sekian lama terbina. Mengapa perlu kita terus-terusan menggunakannya sedangkan ada pihak yang tidak senang dengannya.

Terbaru Majlis Syura Ulamak PAS mengeluarkan kenyataan bahawa:
Kalimah ALLAH adalah kalimah khusus yang ALLAH menamakan diri Nya ALLAH. Kalimah itu tidak boleh diterjemahkan ke dalam mana-mana bahasa dunia kerana tidak menepati kehendak sebenar dari kalimah ini. Demikian juga tidak boleh kalimah asing hendak diterjemahkan kepada kalimah ALLAH.

Oleh kerana itu menterjemahkan kalimah God atau Lord dari mana-mana kitab agama bukan Islam kepada perkataan ALLAH tidak dibolehkan kerana ianya salah dari segi makna dan salah guna, tidak menepati kehendak sebenar yang boleh membawa kekeliruan yang nyata. Oleh kerana itu ia hendaklah dicegah.
Kenyataan ini dikeluarkan oleh Mursyidul Am PAS Dato Tuan Guru Nik Abd Aziz Nik Mat dan Timbalannya Dato Dr Haron Din.

Kesimpulannya elakanlah perbalahan, dan ia perlu mula dari pimpinan agama, semoga kita kekal aman insyallah.

Ayuh berkejar-kejar masuk syurga (3/1/14)

Friday, January 03, 2014


Baru-baru ini saya hadir dalam satu majlis bersama sahabat-sahabat seperjuangan. Dalam sessi ta’aruf seorang pemimpin muda menyebut bahawa beliau menyertai PAS kerana mahu masuk syurga. Tambah beliau penyertaannya itu dalam PAS kerana yakin bahawa para ulamak yang mendukung PAS boleh membimbing dan membawanya ke syurga.
Bagi mereka yang tidak pernah terdedah kepada perjuangan Islam sudah pastilah akan menggeleng kepala , mual atau tertawa pada kenyataan seperti itu. Orang yang jahil sudah semestinya begitulah reaksinya. Tetapi saya mendengar berasa begitu sayu campur terhayu, lama sudah tidak dengar ungkapan sebegitu.

Sesungguhnya teras kekuatan PAS adalah pada ahli-ahlinya yang berbondong menyertainya lantaran yakin pada matlamat dan dasar perjuangannya. Tambahan pula dengan slogan “Kepimpinan Ulamak” menjadikan PAS satu-satunya parti atau gerakan Islam yang terus dan masih diterajui ulamak bukan hanya di rantau ini malah diperingkat dunia.
Malah siapa sahaja yang berjuang dengan matlamat mahu mendaulatkan Islam sebagaimana yang termaktub di dalam al Quran dan Hadis akan berjuang dengan matlamat mengejar syurga. Hambatan syurga itu lebih bermakna apabila dipimpin dan dibimbing oleh golongan yang takutkan Allah swt yakni para ulamak.

Saya sengaja membawa posting sebegini pada hari Jumaat ini kerana kebetulan menerima keratan akhbar lama bertarikh 24 Mac 2010 (yang dah banyak diulas sebelum ini oleh rakan bloggers lain) yang pada saya boleh membantu kita dalam memahami tuntutan perjuangan mengejar syurga ini. Keratannya bertajuk:

“Brunei lebih takut laknat Allah”

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
(Kepentingan Allah mengatasi hak asasi dan kepentingan pihak-pihak tertentu yang lain)

Kemudian lihat pula pengisytiharan perlaksanaan hukum Hudud di Brunei oleh Sultan Brunei tahun lalu:

Titah Sultan Hasanal Bolkiah “Siapakah kita di hadapan Allah untuk berkata tidak atau tangguh dahulu (dalam perlaksanaan hukum-humu Nya)…..”
Semua ini adalah manifestasi mahu masuk syurga belaka.

Bayangkan Brunei yang satu ketika dahulu dikenali sebagai anak didik British. “Lackey” atau “budak suruhan British” kata setengah-setengah pihak, tiba-tiba dengan takdir dan kuasa Allah, Bruneilah menjadi Negara pertama di rantau ini menghidupkan kembali perlaksanaan Undang-undang Islam setelah dimatikan oleh penjajahan Barat dirantau ini bermula dengan kemasukan Portugis, Belanda dan kemudiannya Inggeris.
Kesimpulannya tuntutan perlaksanaan Islam secara syumul ini adalah merupakan kewajiban ke atas semua umat Islam. Samada kita hidup untuk menyaksikannya atau tidak sempat, yang penting kita berjuang ke arahnya dan berada di atas bahtera yang memperjuangkannya.

Ayuh kita berkejar-kejar untuk masuk syurga.

 

Biarlah kami dengan kalimah "Allah" (2/1/14)

Thursday, January 02, 2014


Kontroversi meletus hari ini ekoran tindakan pihak Jabatan Aagama Islam Selangor menyerbu premis Persatuan Bible Malaysia dan merampas sejumlah kitab yang dikatakan mengandungi kalimah “Allah” di dalamnya. Sebelum itu dilaporkan pihak polis akan merekod kenyataan pengarang akhbar mingguan Katholik The Herald iaitu Father Lawrence Andrew yang pada 27 Disember lalu mengeluarkan kenyataan bahawa gereja seluruh Selangor akan terus menggunakan kalimah “Allah”.
Di Selangor terdapat peruntukkan yang melarang penggunaan kalimah “Allah” dan selain itu Tuanku Sultan juga telah menitahkan agar kalimah berkenaan tidak digunakan oleh mana-mana agama lain bagi mengelakkan perselisihan dan ketagangan antara agama.

Sekiranya semua tindakan di atas dilakukan menurut peraturan dan undang-undang yang sedia ada, biarlah proses undang-undang berjalan.
Apa pun saya merasakan selama ini tiada gangguan dan halangan terhadap mana-mana agama untuk menjalankan aktiviti dan kegiatan mereka samada di Selangor mahupun seluruh Negara. Isu tercerus apabila ada pihak yang mahu menggunakan kalimah “Allah” dalam kegiatan dan aktiviti mereka.

Demi keharmonian dan keamanan semua apalah salahnya jangan disentuh perkara sensitive seumpama ini. Selama ini bebas dan aman pun kegiatan agama mereka tanpa menggunakan kalimah berkenaan, mengapa hari ini berkeras mahu digunakan sehingga mengundang tindakan seperti di atas.
Biarlah orang Islam Malaysia dengan kalimah “Allah” mereka.

Kelantan dan Tahun Melawat Malaysia 2014 (2/1/14)


Sempena Tahun Melawat Malaysia 2014 pihak media memetik kenyataan MB Kelantan Ustaz Dato Ahmad Yakob yang menyebut bahwa Kelantan tidak melarang aktiviti kebudayaan selagi mana ianya tidak bertentangan dengan hukum dan peraturan Islam.
Seni budaya Kelantan contohnya Makyong dan Wayang Kulit kata beliau sekiranya memiliki nilai-nilai pendidikan dan tidak bertentangan dengan Islam boleh terus dipentaskan di Kelantan.

Kelantan ternyata “consistent” dengan slogan “Membangun Bersama Islamnya” dan begitu prihatin memastikan yang segala yang berkenaan dengan urusan dan kuasa dan negeri tunduk dan selari dengan matlamat dan cara Islam yang diperjuangkan Dari sejak Tok Guru Nik Abd Aziz menjadi MB sehinggalah kini diganti oleh Ustaz Ahmad, ternyata Islam terus menjadi agenda kerajaan negeri walaupun berhadapan dengan berbagai cabaran, halangan dan tentangan samada dalam bentuk politik mahupun bukan politik.
Rakyat mahu melihat sejauh mana kesungguhan PAS dalam memperjuang dan mendaulatkan Islam, lantas Kelantan menjadi model. Perlaksanaan Islam bukan sesuatu yang mudah kecuali memerlukan komitmen dan kesungguhan semua pihak dari MB, EXCO, ADUN dan ahli parlimen sehinggalah rakyat jelata di bawah.

Oleh itu kenyataan MB di atas adalah cerminan kelangsungan komitmen Kelantan dalam hal ini. Islam tidak boleh menjadi penumpang dan duduk di “seat” belakang kenderaan, dipandu dan dibawa sesuka hati pemandu, sebaliknya ia mestilah menjadi pemandu yang memandu kenderaan berkenaan ke arah destinasi keredhaan Allah swt.
Semoga terus kekal berjaya.

 

 

2014 dan berikutnya.....realiti yang perlu dihadapi (2/1/14)


Turun tak turun hakikatnya hidup ini perlu diteruskan dan oleh itu bebanan dan tanggungjawab terus perlu dipikul.
Dalam akhbar The Star hari ini Ketua Ekonomis Maybank Investment Bank menyatakan dengan realiti yang ada, para pengguna perlu mengawal corak perbelanjaan hidup mereka masing-masing dengan membeli hanya yang perlu dan mengelakkan dari sebarang pembelian tidak perlu.

Menurut beliau 3 tahun yang mendatang ini akan menyaksikan tekanan kenaikan harga barangan akibat perlaksanaan GST pada bulan April tahun hadapan selain penarikan balik subsidi.
Dan beliau menjangkakan bagi sebuah keluarga 4 orang ahli di Kuala Lumpur jumlah pendapatan isi rumah yang dikira boleh menampung tekanan ini dengan mampu berjimat sedikit untuk simpanan adalah mereka yang mempunyai pendapatan isi rumah sekitar RM7,000 ke 10,000 sebulan. Andaian ini berdasarkan kedua ibu napa bekerja, mempunyai 2 buah kereta, pinjaman perumahan selain perbelanjaan asas yang lain.

Bagaimana dengan mereka di bawah paras itu? Di bawah paras itu dengan keluarga yang lebih ramai?
Kesimpulannya tahun mendatang ini akan perit buat rakyat kebanyakkan yang jatuh di bawah kelompok ini. Ia realiti dan ia bukan rekaan.

Bagi mereka yang kreatif, punya kekuatan luar dalam, barangkali boleh merancang untuk melakukan kerja tambahan, cari pendapatan tambahan. Mungkin ada yang telah pun  memulakannya, tetapi ramai yang terus gelisah saya pasti.
Serabut dan penuh tekananlah hidup masing-masing keluarga yang terjejas. Masing-masing berhadapan dengan bebanan masing-masing. Apa pun selain berusaha teruslah berdoa dan memohon bantuan dari Allah swt.

Mereka yang cekal dan sabar serta istiqomah dalam ibadahnya pasti akan berjaya menghadapinya, semoga kita berada dalam kelompok berkenaan.