Monday, December 08, 2014

Rundingan damai Selatan Thai: Libatkan Hadi dan MB Kelantan (8/12/14)

Konflik di Selatan Thai yang melibatkan wilayah-wilayah majoriti Islam dari Pattani, Yala sehingga ke Narathiwat telah berlarutan berdekad-dekad lamanya. Tuntutan kemerdekaan atau sekurang-kurangnya wilayah autonomi dari rakyat tempatan telah bergema lantaran sejarah silam yang melakarkan sebahagian besar wilayah ini di dalam rumpun Melayu yang lebih dekat dengan penduduk utara Semenanjung Tanah Melayu dahulu dan kini Malaysia.
Aksara, Prayud dan Najib
Menurut sejarah Kesultanan Melayu Pattani yang memerintah dalam kurun ke 14 melibatkan ketiga-tiga wilayah ini dan sebahagian Songhkla termasuklah sebahagian Negeri Kelantan bermula 1530 di bawah pemerintahan Sultan Ismail Shah. Zaman kegemilangan pemerintahannya adalah bermula pada tahun 1584 (kerajaan Kesultanan Melayu Melaka jatuh 1511) semasa tempoh pemerintahan berturut-turut 4 orang Ratu terkemuka iaitu  Ratu Hijau (The Green Queen), Ratu Biru (The Blue Queen), Ratu Ungu (The Purple Queen) dan Ratu Kuning (The Yellow Queen) yang mempunyai hubungan akrab dengan kerajaan kesultanan Pahang dan Johor.
Konflik ini berlarutan bukan sekadar tuntutan malah melibatkan kebangkitan sehingga mencetuskan keganasan, pertumpahan darah dan kehilangan serta kemusnahan harta benda di kedua-dua belah pihak kerajaan Thai dan penduduk Islam di Wilayah Selatan.
Namun perkembangan dunia kebelakangan ini menyaksikan banyak konflik seumpama ini diperingkat antarabangsa dapat direda dan diselesaikan apabila semua pihak yang berkepentingan dapat duduk dan berunding secara rasional dan berlapang dada. Sesungguhnya pertumpahan darah dan keganasan tidak dapat menyelesaikan masalah malah sekadar mencetuskan kemarahan, kebencian dan penderitaan.
Selatan Thai wajar diamankan, konflik yang berlarutan ini perlu diselesaikan semoga tiada lagi yang menderita dan tiada nyawa yang terkorban samada dikalangan masyarakat Islam mahupun yang bukan Islam. Rantau kita biar aman, dan rakyat keseluruhannya biar terus sejahtera dan berbaik-baik.
Terbaru Perdana Menteri Thai Jeneral Prayut Chan-o-cha semasa membuat kunjungan satu hari ke Malaysia telah menegaskan komitmen kerajaan beliau, meneruskan usaha Perdana Menteri sebelumnya iaitu untuk merintis jalan perdamaian di Selatan Thai.
Dilaporkan bahawa Malaysia terus mendapat keyakinan kerajaan Thai agar menjadi orang tengah atau fasilitator dalam meneroka jalan agar konflik berkenaan dapat diselesaikan. Perdana Menteri Najib Tun Razak diberi mandat agar bertindak selaku fasilitator mewaikili kerajaan Malaysia. Jeneral Prayut dalam lawatannya itu turut memperkenalkan  Jeneral Aksara Kerdpol sebagai Ketua Perunding mewakili kerajaan Thai.
Ternyata Malaysia perlu segera menyusun langkah membawa mereka yang terlibat ke meja perundingan. Penduduk Selatan Thai yang terlibat sebagaimana rakyat di Kelantan, Terengganu dan Utara Semenanjung kuat berpegang teguh kepada agama. Malah pejuang-pejuang pembebasan samada PULO (Pattani United Liberation Organisation)  BRN dan lain-lain kesemuanya berjuang atas nama Islam.
Oleh itu sewajarnya PM Malaysia mengambil kira memantapkan pasukan fasilitatornya dengan memasukkan mereka yang mempunyai pengalaman dan latar-belakang agama jika serius mahu penyelesaian terbaik.
Konflik di Selatan Thai walaupun melibatkan Negara asing tetapi sesungguhnya dekat di hati rakyat Malaysia khasnya umat Islam kerana ianya melibatkan saudara serumpun dan seagama.
Saya mencadangkan, memandangkan isu ini isu antarabangsa dan Malaysia diberi penghormatan sebagai sebuah Negara jiran yang punya hubungan rapat dengan penduduk Selatan Thai, maka tanpa mengira kepentingan politik PM Malaysia harus menimbangkan dua tokoh yang saya yakin boleh membantu melancarkan rundingan damai ini kelak.
Pertama adalah Dato Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang, Presiden PAS dan ahli Parlimen Marang (bekas MB Terengganu) yang kini merupakan Naib Ketua Kesatuan Ulamak Sedunia. Tuan Guru pernah terlibat dalam beberapa rundingan damai konflik lain termasuklah di Aceh, Afghanistan, Iraq. Beliau juga merupakan ahli  Lembaga Amanah Muasasah Al-Quds dan ahli jawatankuasa al Taqrid Mazahib (organisasi yang mengumpulkan tokoh-tokoh ulamak Sunni dan Syiah dunia).
Kedua pula Ustaz Dato Mohammad Yaacob, Menteri Besar Kelantan yang juga Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat. Memandangkan wilayah konflik ini bersempadanan dengan Negeri Kelantan, maka MB Kelantan sangat sesuai dilibatkan.
“Team” Malaysia akan dipandang lengkap dan kukuh apabila kedua-dua tokoh ini dapat dilibatkan yang sudah pasti akan membangkitkan perasaan selesa dan senang hati kumpulan pemisah yang sememangnya menghormati dan memandang tinggi tokoh-tokoh agama lebih-lebih lagi yang dekat dengan mereka.
Ini bukan isu politik Malaysia. Melibatkan dua tokoh PAS ini bukan bermakna BN dan Umno kendur atau PAS mahu bersatu dengan BN. Itu pandangan mereka yang berpenyakit di hati.
Konflik di Selatan Thai adalah isu antarabangsa yang merangkumi isu kemanusiaan, isu perpaduan, isu keamanan. Malaysia diberi amanah berperanan dengan harapan dapat menggunakan pengaruhnya mereda dan menyelesaikan konflik ini.
Demi keamanan di Selatan Thai yang telah lama gelap dan bersengketa itu, kepentingan politik tempatan perlu diketepikan. Semoga kita semua dapat berperanan mengembalikan keamanan di Negara jiran kita itu.

No comments: