Monday, September 29, 2014

Ayuh ubah wajah PAS (29/9/14)


Asalnya ia angin sepoi-sepoi bahasa tetapi kini semakin memukul kencang dan tidak mustahil akan memuncak membentuk menjadi ribut taufan yang bakal menggegar dan memukul hebat PAS. Cita-citanya biar jatuh terlentang, hapus dan pupus semua yang menghalang agenda dan nafsu mereka. Sasaran mereka Presiden PAS, Majlis Syura Ulamak (MSU) PAS dan semua siapa sahaja yang mendukung dan simpatis dengan individu dan institusi ini.
PAS mahu mereka bawa mengikut haluan yang baru, yang tampak lebih kononnya relevan, sesuai dengan peredaran masa pada perkiraan dan hitungan mereka. Kalau perlu liberal, biarlah liberal sikit, kalau perlu pragmatis biarlah pragmatis sikit, pinda-pinda dan tebuk sini-sana, asalkan boleh disenangi semua pihak, asalkan boleh menang, PAS perlu ditransformasikan ikut acuan mereka dari parti Tok Lebai, yang lekeh dan kuno pada mata kepala mereka kepada parti yang lebih kontemporari, “updated” kalaupun perlu kendur dan tunduk dari segi prinsip dan dasar, asalkan menang dan berjaya.

Si polan ini dan si polan itu perlu dinaikkan jadi Presiden, Timbalan, Naib-naib. Biar AJK Pusat yang sudah sebahagian mereka kuasai nanti sepenuhnya membelakangi mereka, ketika itu MSU boleh ditunjal-tunjal dan disepak terajang ikut kemahuan.
Asalnya gagasan jahat ini dicetuskan oleh sekelompok kecil. Rupa-rupanya ada yang setuju dan mahu ikut serta. Maka dicetuskan dari dalam. Dalam muktamar pemilihan sebelum ini, gerakan merobah kepimpinan PAS dinyalakan, tetapi ia sekadar membakar kecil, Dewan Pemuda contohnya masih kukuh kental berdiri dibelakang Presiden PAS dan MSU. Walaupun mereka sudah mula mencengkam di peringkat Pusat tetapi cengkaman itu masih belum berupaya memenuhi nafsu mereka.

Buktinya Mukatamr PAS baru-baru ini. Hasrat untuk mencemuh dan mengaibkan Presiden dan MSU, ternyata tidak berjaya, malah sebaliknya Presiden PAS telah muncul dengan tenaga baru mempertahankan dasar dan perjuangan PAS sehingga memukau para perwakilan mengejutkan mereka dari tidur lena sebelum ini. Habis pimpinan yang nakal dan seumpamanya ditegur dan menerima padah.
Dalam pada itu mereka sedar cita-cita rakus ini tidak akan kesampaian kiranya tiada bantuan luar. Lalu rakan-rakan dari PKR dan DAP turut dirangkul sekali untuk berkongsi agenda mereka itu.  Pakatan akan menang besar kiranya PAS tiada Hj Hadi, tiada MSU tiada lebai-lebai yang di belakang mereka.

Sebagaimana dunia Barat tertipu oleh Amerika Syarikat dengan WMD yang kononnya dimiliki Iraq dulu, maka rakan-rakan ini turut termakan bahawa demi apa sahaja, penghalang besar yang dimaksudkan perlu sama-sama dirobohkan dari luar dan dalam.
Berlaku pula krisis di Selangor. Ini peluang, jalan pintas untuk mengejar agenda dajal mereka. Tan Sri Khalid perlu dijatuhkan dan biar jatuh sekali Hj Hadi dan lain-lain tadi. Kita cetuskan biar PKR pun main peranan, DAP juga biar begitu.

Selebihnya telah diketahui. Hasil bantuan dua barua, bukannya membantu Wan Azizah menjadi MB Selangor, tetapi sebenarnya membantu mengecilkan kuasa dan pengaruh PAS di Selangor. Hari ini hasil dari bantuan dua “wira” ini PAS yang asalnya dominan bersama DAP iaitu 15-15 kini telah menjadi rakan kongsi terkecil iaitu 13 kerusi DAP 15 dan PKR walaupun 13 tetapi disokong oleh dua “wira” “barua” tadi menjadi 15. Lalu kecillah juga pegangan kuasa PAS dari 4 EXCO kini tinggal 3.
Kemudian personaliti EXCO pun menjadi mangsa asakkan DAP yang mengambil kesempatan. Asalnya DAP mahu kesemua EXCO PAS yang telah enggan meninggalkan kabinet Tan Sri Khalid agar digugurkan dalam kabinet baru kerana merupakan pengkhianat. Tak dapat semua, 2 orang pun jadilah. Dr Halimah perlu digugur kerana lambat dalam isu mengagihkan geran sekolah Cina manakala Ustaz Sallehen Mukhyi kerana tidak menangani isu Bible megikut kehendak DAP. Demikianlah DAP mencuri peluang.

Asakkan mereka berjaya, luka dari muktamar diubati dengan “power shift” di Selangor.
Dalam pada itu beranak lah pula “anak luar nikah” PASma. Kononnya tugas utamanya mahu pastikan PAS kekal dalam PR.

Anehnya walaupun diselar oleh Presiden dan ulamak PAS, ia terus didukungi oleh beberapa pimpinan PAS. Mereka sama menggerakkan biawak ini. Gunalah tenaga PAS yang di bawah genggaman mereka, kerah mereka agar keluar dan bantu, biawak ini punya tugas murni iaitu pastikan PAS kekal dalam PR. Momokkannya,kononnya  ada pihak yang lebih jinak lebih cenderung pada Umno, iaitu ulamak PAS. Walaupun telah dinafikan oleh Presiden dalam muktamar, tetapi asalkan momokkan ini boleh dibeli dan dipercayai oleh mereka yang jahil, lantaklah. Janji jatuh terguling Presiden dan MSU.
Sambil orang PAS geleng kepala lihat kedudukan mereka di Selangor tiba-tiba DAP pula main peranan, menjaja baruah-baruah Pas tadi untuk dinobatkan sebagai “wira” dalam majlis terbuka mereka. Mereka inilah yang telah menyelamatkan kerajaan Selangor dari tumbang! Bila pula kerajaan Selangor mahu tumbang? Yang dipecat MB, kerajaan masih kekal, tapi sebagaimana biawak PASma tadi asalkan boleh dibeli dan dipercayai, walaupun bohong, lantaklah.

Serangan bersepadu terus dilancarkan. Tiba-tiba muncul pula  berita dari Pulau Pinang ahli majlis dari PAS diambil tindakan oleh Ketua Menteri Lim Guan Eng kerana mengkritik kerajaan Pulau Pinang dalam Muktamar PAS. Guan Eng ini bukan baru, sebelum ini beliau mencabar malah telah pun memulakan tindakan saman ke atas AJK PAS Pusat Ustaz Nasruddin Hassan ahli Parlimen Temerloh yang mempertikaikan projek “Penang Tunnel” , jangan dikritik jangan dipersoal, melenting dan membengis, kalah Tun Dr M dulu.
PASma terus dilancar dari negeri ke negeri seolah-olah luar biasa sambutan terhadap mereka. PKR terus membelasah, DAP pun sama, disaat ini barangkali tersengeh dan mengurut-ngurut janggut mereka yang terlibat mencetuskan semua ini. Tidak mustahil PAS boleh dibebaskan dari pengaruh Hj Hadi dan MSU.

Di peringkat media khasnya media alternatif dan baru, portal berita dan laman sosial dipergunakan semaksima mungkin. Ada portal berita yang memang telah disemai tanam orang-orang mereka, ada penulis blog yang memang burung-burung tekukur mereka, menyanyi-nyanyi dan mengangguk-angguk apabila Tuannya memetik jari. Puas hati tuannya dapatlah secubit dedak.
Mampukah semua ini memuncak menjadi ribut taufan mematikan politik Hj Hadi dan MSU dalam PAS, memunggah keluar semua yang bersama kepimpinan ulamak sehingga yang tinggal dalam PAS hanyalah golongan sehaluan mereka?

Tetapi apakah PAS tanpa kepimpinan ulamak, tanpa pencinta Islam, tanpa mereka yang sanggup menggadai nyawa demi mendirikan Daulah Islam?
Ribut melanda, PAS mungkin goyang, tetapi sebagaimana tegasan Presiden PAS, yang pening yang mabuk mungkin akan gugur dan angkat kaki, tetapi majority yang istiqomah, yang konsisten mahu Islam bertapak atas bumi tercinta ini insyallah akan kekal mempertahankan PAS walau gelombang apa sekalipun melanda, samada ada Hj Hadi atau tiada tetapi Islam yang menjadi dasar dan matlamat perjuangan akan terus kekal, kepimpinan ulamak akan terus relevan, dan janji Allah terus akan dikejar.

 

 

 

 

No comments: