Sunday, February 09, 2014

Bagaimana apabila ada pemimpin yang lawan arus? (9/2/14)


Tarikh penamaan calon bagi pilihanraya kecil DUN Kajang telah pun ditetapkan pada 11 Mac ini manakala hari mengundinya pada 23 Mac 2014. Bagi PR oleh kerana kerusi DUN berkenaan ditandingi sebelum ini oleh PKR maka PKR lah diberikan peluang sekali lagi untuk bertanding dan menamakan calon. Malah calon PKR telah pun diumumkan oleh MB Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim iaitu Ketua Umum PKR sendiri Dato Seri Anwar Ibrahim.
PAS sendiri samada diperingkat negeri Selangor mahupun pusat melalui Presidennya telah mengeluarkan kenyataan dan penegasan bahawa akan membantu calon PKR mempertahankan DUN Kajang. Pada 3 Febuari lalu Presiden PAS mengeluarkan kenyataan:

“Bersesuaian dengan semangat dalam Pakatan Rakyat maka PAS Pusat dan PAS Negeri Selangor akan membantu jentera pilihan raya PKR berdasarkan kepada keperluannya dalam menghadapi PRK ini.”
Walaubagimanapun kenyataan di atas turut dikeluarkan berserta satu keratan penegasan yang merupakan sikap dan pendirian PAS mencerminkan kehendak dan kemahuan akar-umbi khasnya dari negeri Selangor sendiri apabila Presiden PAS dalam kenyataan yang sama turut menyebut:

“Dalam pada itu juga, ingin dipertegaskan bahawa isu kedudukan jawatan Menteri Besar Selangor adalah tidak berbangkit.”
Kenyataan Presiden ini dibuat setelah mempengerusikan mesyuarat Lajnah Politik dan Pilihanraya PAS Pusat, bermakna ia keputusan peringkat tertinggi parti dan dicapai secara syura sekaligus merupakan sikap dan pendrian PAS.

Malah pada malam yang sama Dewan Pemuda PAS Pusat turut bermesyuarat dan atas nada dan semangat yang sama mengeluarkan kenyataan:
“Dewan Pemuda PAS Malaysia akan turun membantu PKR dalam menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) N25 Kajang atas semangat kebersamaan dalam Pakatan Rakyat.”

Pemuda PAS Pusat turut berpendirian:
"Pemuda PAS Malaysia mendesak agar isu Menteri Besar Selangor dihentikan segera kerana rakyat Malaysia sudah muak dengan polemik politik yang tidak berkesudahan. Polemik Kajang ini tidak perlu mengheret Pakatan Rakyat membincangkan isu Menteri Besar Selangor yang baru, kerana ia akan menjejaskan isu kebajikan rakyat. Kesediaan Pemuda PAS untuk bersama-sama turun di Kajang tidak bermakna ianya turut menyokong sebarang perubahan di dalam kepimpinan kerajaan negeri Selangor khususnya kerusi menteri besar.”

Dan beberapa hari kemudian iaitu pada 7 Febuari 2014 Dewan Ulamak PAS Pusat pula telah mengadakan mesyuarat bulanannya dan mengeluarkan kenyataan berikut:
“Dewan Ulamak PAS Pusat mengalu-alukan keputusan Lajnah Politik PAS Pusat sepertimana kenyataan Presiden bahawa PAS Pusat dan PAS Selangor akan membantu PKR dalam PRK Kajang berdasarkan keperluan.”

Dewan Ulamak turut menegaskan:
“Dewan Ulamak PAS Pusat juga menegaskan bahawa isu Menteri Besar Selangor tidak perlu dibangkitkan dalam PRK Kajang dan kemenangan PRK Kajang tidak menjadi jambatan untuk pertukaran MB sedia ada”.

Kenyataan-kenyataan di atas adalah keputusan yang dibuat PAS dan oleh kerana ianya keputusan peringkat tertinggi maka sewajarnya ia dipatuhi dan dihormati lebih-lebih lagi oleh ahli dan pimpinan PAS disemua peringkat.
Meminjam kata-kata YB Ustaz Idris Ahmad yang bertanggungjawab dalam bab tarbiyah PAS:

“Sabda Rasulullah SAW “Berjamaah itu rahmat, berpecah itu adalah azab” . Demikianlah hadis Rasululah SAW yang memperingatkan kepada kita terutama kita sebagai anggota jamaah Islam yang dipayungi oleh Parti Islam Semalaysia. Hadis ini menunjukan bahawa dalam kerja Islam kita perlu buat secara berjamaah, bukan bekerja seorang diri walaupun kita bijak.”
Benar dalam kepanasan polemik menjelang PRK Kajang rakan-rakan dari PKR telah mengeluarkan apa yang dinamakan “Rencana Kajang” dimana antara agenda rencana berkenaan adalah menaikkan Dato Seri Anwar Ibrahim kelak menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai MB Selangor melalui PRK Kajang.

Ternyata rencana berkenaan mengundang pelbagai reaksi dalaman diperingkat PKR dengan Tan Sri Khalid Ibrahim berterang-terangan menafikan akan mengosongkan kerusi MB nya.
Apa pun, samada popular atau sebaliknya rencana berkenaan, itu merupakan agenda kawan-kawan kita. Bagi PAS berdasarkan keputusan dan kenyataan-kenyataan di atas, jawatan MB tidak menjadi isu. Ia kekal dan tidak wajar berlaku pertukaran hatta melalui PRK ini sekalipun.

Mungkin ada yang berpandangan yang PAS tidak sealiran dengan arus perdana yang mahukan kejayaan “Rencana Kajang” itu. Apa pun anggapan sebagai sebuah badan politik dan rakan dalam PR PAS berhak mengeluarkan pandangan dan pendriannya atas apa jua isu dan ia sewajarnya dihormati lebih-lebih lagi oleh kawan-kawannya.
Tetapi posting saya ini dibuat bukan untuk menonjolkan perbezaan sikap antara PAS dan PKR, itu lumrah dalam mana-mana pakatan politik dimana-mana pun. Bagaimana ia diselesaikan, terpulanglah pada kebijaksanaan bersama. Apa yang saya mahu bangkitkan adalah beberapa kenyataan pimpinan tertinggi PAS kebelakangan ini yang kelihatan menyokong “Rencana Kajang” sekaligus membelakangkan keputusan yang telah dibuat oleh partinya sendiri.

Dr Dzulkefly Ahmad, AJK Pas Pusat, contohnya telah mengeluarkan rencana “Mengapa saya menyokong Rencana Kajang”. Rencana ini terang-terangan membelakangkan malah tidak menghormati sikap dan pendirian PAS yang telah dibuat sebelum ini.
Sebagaimana kata YB Ustaz Idris di atas: “…..dalam kerja Islam kita perlu buat secara berjamaah, bukan bekerja seorang diri walaupun kita bijak.”

Apa pun kita perlu hormati, terima dan pertahankan keputusan sikap dan pendirian parti kita sendiri begitulah yang ditarbiyahkan oleh parti terhadap kita. Tak kiralah kita ahli tiada berjawatan dalam parti apalagi kiranya kita berjawatan.
Kesimpulannya saya kongsi seterusnya kenyataan YB Ustaz Idris Ahmad semoga menjadi iktibar kepada kita yang sayangkan parti dan jamaah PAS ini:

Rasulullah SAW sebagai manusia yang paling bijak di kalangan makhluk Allah di atas muka bumi ini, baginda tidak lupa dalam gerak kerja baginda. Baginda tetap membuat satu kerja dengan berjamaah. Sebab itu Rasulullah (SAW) telah membentuk jamaah awal di rumah al-Arqam Abi Arqam. Ini hendak menunjukkan bahawa Rasulullah SAW mengajar kita dalam melaksanakan kerja Islam ia perlu berjamaah. Sebab itu Pas sebagai sebuah jamaah yang tersusun rapi dengan mempunyai skil kepimpinan yang mantap, tidak pernah mengabaikan hal ini.

Alim macam mana sekalipun, warak macam mana sekalipun ia tidak boleh membuat keputusan secara persendirian. Kerana Pas ini parti Islam, ia bukan “parti Turperware”. Apa taraf sekalipun dan apa kelulusan sekalipun dan apa pangkat sekali pun ia tidak boleh buat keputusan secara sendiri. Inilah yang baginda ajar kepada umatnya.

 

No comments: