Biar PAS terus dipimpin ulamak (30/9/13)

Monday, September 30, 2013


Saya pernah berbual dengan seorang pimpinan kanan PAS baru-baru ini yang kebetulan seorang rakan baik. Perbualan kami sekitar sejarah PAS khasnya dizaman awal-awalnya, ketika zaman Almarhum Dr Burhanuddin al Helmi dan Prof Zulkifli Muhammad.
Saya juga teringat pernah berbual panjang dengan Allahyarham Ustaz Hasan Shukri, berkenaan gerak kerja PAS di awal-awal Merdeka. Ketika itulah Allahyraham mengesahkan bahwa Datuk Saudara saya, Allahyarham Hamidon Husin merupakan Pesuruhjaya PAS Selangor yang pertama.

Rata-rata PAS dizaman awal memang menempuh jalan yang sukar. Dalam keadaan sukar itu ia menang satu kerusi dalam Pilihanraya Persekutuan pertama sebelum Merdeka pada tahun 1955 dan menang Negeri Kelantan dan Terengganu dalam Pilihanraya Umum Persekutuan pertama 1959 selain 13 kerusi Parlimen.
Bagaimana PAS ketika itu? Faktanya ia didukung oleh para ulamak dan disokong kuat oleh mereka yang berpendapatan rendah khasnya yang tinggal di luar-luar bandar, petani, nelayan, orang-orang kampung yang cinta dan mahukan Islam sebagai tunggak pemerintahan. (malah kita yakin darah, airmata dan doa mereka inilah yang telah mengekalkan PAS dalam arus politik Negara sehingga kini)

Ustaz Hasan memberitahu saya betapa beliau mengekori pimpinan PAS ketika itu naik turun tanah air untuk membawa mesej PAS. Kesukaran ketika itu dipandang kecil kerana yakin dan istiqomah kepada perjuangan besar yang digalas.
Namun ahli-ahli PAS, tetap prihatin apabila tiba isu memilih pemimpin. Ini gerakan Islam, ini perjuangan Islam, pasti walaupun ia susah dan sukar ketika itu, hanya yang terbaik dalam prespektif perjuangan Islam sahaja yang layak dan wajar memimpinnya. Kerana itu bila tiba isu memilih pemimpin, bergelora juga.

Pada rakan baik saya di atas tadi saya pernah berkongsi maklumat bahawa pernah selepas PR Persekutuan 1955 , Presiden PAS ketika itu Allahyarham Dr Abbas Alias terpaksa kosongkan jawatan atas sebab-sebab tertentu, AJK Pusat PAS telah hangat membincangkan berkenaan pengganti yang paling cocok. Dikhabarkan berjela-jela panjangnya mesyuarat sehinggalah Allahyarham Hassan Adli memaklumkan bahawa tidak ada yang layak untuk memimpin PAS (ketika itu) dalam bilik ini (bilik mesyuarat) selain Dr Burhanuddin Al Helmi (yang ketika itu bukan pun ahli PAS).
Mesyuarat akhirnya bersetuju menghantar Hassan untuk memujuk Dr Burhanuddin.

Mengapa Dr Burhanuddin? Kerana gerakan Islam ketika itu perlukan pemimpin yang dinamik dan pada waktu yang sama faham dan berpengalaman dalam selok-belok gerakan Islam (seorang ulamak). Bukan bermakna mereka yang AJK Pusat ketika itu tidak layak, tetapi inilah bukti kebesaran jiwa pemimpin PAS ketika itu yang ikhlas dan berjuang semata-mata untuk Islam.
(Anehnya tiada yang merajuk dan apabila nama Dr Burhanuddin disebut sedangkan ia bukan ahli PAS pun)

Dan lebih hebat lagi apabila tawaran PAS diterima Dr Buhanuddin, Allahyarham menetapkan syarat bahawa beliau tidak mahu diberi begitu sahaja jawatan Presiden, tetapi mahukan pertandingan, biar ahli-ahli PAS yang berikan persetujuan melalui muktamar.
Ringkas cerita telah berlaku pertandingan antara dua tokoh besar, Dr Burhanuddin dan Prof Zulkifli, Dr Burhanuddin menang manakala Prof Zulkifli kemudiannya bertanding jawatan Timbalan dan menang.

Hebatnya lagi walaupun pernah bertarung sesama sendiri, keputusan syura diterima baik, dan akhirnya kombinasi Dr Burhanuddin dan Prof Zulkifli benar-benar membuktikan yang mereka boleh bekerja baik, berjuang bukan untuk kepentingan peribadi tetapi menumpukan pada kepentingan dasar dan prinsip perjuangan.
1956 mereka pegang kuasa, 1959 mereka berdua menang kerusi Parlimen dan PAS memang di Kelantan dan Terengganu, ketika itu PAS sangat daif, kewangan susah, ahli-ahlinya tertekan namun semangat Islam yang kental telah membawa mereka naik ke mercu yang dihormati rakyat, kawan dan lawan.

Saya membawa kisah ini untuk menyedarkan diri saya dan semua bahawa PAS ini adalah sebuah gerakan Islam. Dihormati sejak zaman berzaman kerana ia berpegang kepada prinsip dan dasar Islam.
Saya sendiri menyertai PAS kerana mahu bersama-sama dengan para ulamak yang istiqomah dalam memperjuangkan Islam. Pernah saya bertanya kepada seorang anak muda, kenapa anda menyertai PAS, dan jawapan beliau samalah dengan saya kerana yakin pada kepimpinan ulamak.

Bagaimana dengan professional? (Istilah professional ini pun sebenarnya kita ambil secara longgar, sewajarnya ia merujuk kepada mereka yang mahir dan pakar dalam satu-satu bidang atau lulusan satu-satu disiplin pengajian) Apabila diambil secara longgar siapa yang tidak ulamak dikira professional, sedangkan ada yang mendakwa dirinya professional tidak pernah ada lulusan sijil atau ijazah dari mana-mana IPT pun.
Senangnya professional, tidak professional, ulamak, petani, nelayan, penganggur, pesara semuanya sepatutnya komited dan menyumbang tenaga kepada perjuangan Islam dengan meletakkan disaf hadapan mereka yang pakar dan berilmu dalam bidang Islam yang kita perjuangkan iaitu sudah pastinyalah para ulamak.

Kerana itu ketika Dr Abbas, seorang professional, mengundur diri dari jawatan Yang Dipetua Agung PAS (Presiden), calon yang dicari-cari adalah yang ulamak. Dan ulamak yang telah mendapat tempat adalah Dr Burhanuddin yang layak, berilmu dan beramal dengan ilmunya. Gandingannya juga begitu iaitu Prof Zilkifli Muhammad.
Biarlah PAS ini kekal dipimpin ulamak dengan disokong oleh semua pihak.

Sayyidina Ali r.a pernah berkata : "Seorang alim ialah seorang yag tidak pernah melakukan maksiat, tidak jemu mengingatkan dirinya dan manusia sekalian akan azab Allah  SWT  dan tidak membelakangi al-Quran. (Al- Imam al-Qurtubi, juz 14:243)
Ibnu Abbas berkata : Ulama ialah orang-orang yang mengetahui bahawa sesungguhnya Allah Maha Berkuasa atas setiap sesuatu. Dan tambahnya lagi : Orang alim tentang Allah Maha Penyayang ialah orang yang tidak melakukan syirik dengan Allah sesuatu pun serta dia menghalalkan apa yang dihalalkan dan mengharamkan apa yang diharamkan. Dia turut memelihara wasiatNya disamping yakin bahawa dia tetap akan menemuiNya dan Dia bakal menghitungkan amalannya.

Menurut Syed Qutb mereka yang mengkaji al-Quran yang penuh keajaiban dan mereka yang mengenal Allah dan mengetahui hakikat Allah, mengetahui kesan penciptaan Allah, mengetahui kesan kekuasaan Allah, dan bertakwa kepada Allah, dan menyembah Allah dengan sebenar penyembahan. Ulama ialah orang yang mengetahui sifat Allah dan kebesarannya. Siapa yang bertambah ilmunya maka ia bertambah takut kepada Allah.( Syed Qutb, 1994:2943.)
Sudah pasti ada hikmah apabila Allah swt berfirman di dalam al Quran:

“Sesungguhnya yang paling takut kepada Allah adalah ulama.” (Surah Fathir ayat 28) 
Kalau kita takut kepada Allah, kita akan berhati-hati membawa dan memandu PAS ini. Kita akan berakhlak mulia samada dengan kawan mahupun lawan. Kita tidak sekali-kali terlibat dalam menaik-naikkan diri atau nama, tidak meminta-minta jawatan. Kita tidak menabur fitnah tidak terlibat dalam adu-domba, yang ada dalam nafas dan nadi kita hanyalah Islam, Islam, Islam.

Kerana itulah kita merasa diri kita kecil apabila berhadapan dengan ulamak, ulamak yang komited dan istiqomah serta beramal dengan ilmunya. Lalu biarlah mereka ini yang memimpin kita. Kita sokong dan dokong sepenuh tenaga insyallah.

Semak semula juga peranan ahli-ahli Parlimen PAS (26/9/13)

Thursday, September 26, 2013


Saya sedang mendengar perbahasan oleh ahli Parlimen Ampang, YB Zuraida Kamarudin sekarang ini.
Masyallah, YB PKR ini ketika membahaskan perbelanjaan tambahan untuk TV Al Hijrah menyeru agar kerajaan menggunakan TV ini sebagai satu usaha bagi menyedarkan rakyat tentang perlunya kepada perlaksaan Hukum Hudud dikalangan umat Islam dalam Negara.

Yang menarik perhatian saya, ahli parlimen PKR berhujah mengemukakan sesuatu yang positif ke arah perlaksanaan Hukum Hudud. Dah lama kita tak dengar ahli Parlimen PAS bangkitkan isu ini. Dari pagi sehingga kini dah beberapa ahli Parlimen PAS bangkit termasuklah mencelah, buat lawak, perli dan seumpamanya. Tak dengar pun sesuatu yang kukuh dibangkitkan berkenaan Islam dan perlaksanaannya.
Saya bangkitkan isu ini supaya PAS secara dalaman juga semak semula, selain hubungan dengan PKR dalam Pakatan sebagaimana tuntutan Multaqa Ulamak baru-baru ini, tetapi juga menyemak semula peranan, kedudukan dan akhlak ahli-ahli Parlimen PAS.

Apa peranan mereka di Dewan Rakyat, kita sesungguhnya melahirkan wakil-wakil untuk dibawa ke badan legislatif tertinggi Negara dengan tujuan agar suara Islam kedengaran peringkat tertinggi. Kita mahu dasar dan prinsip perjuangan kita menjadi bahan hujah diperingkat perundangan tertinggi. Kalau sekadar mahu buat bising, buat lawak saya kira ramai lagi boleh main peranan itu.
Saya mohon maaf tetapi saya percaya ramai yang menyaksikan siaran langsung di internet perjalanan Dewan Rakyat akan akui perkara ini (kadang-kadang macam saksikan Maharaja Lawak pula).

Semoga ahli-ahli Parlimen PAS lebih bertenaga, mengemukakan hujah yang lebih bernas, meyakinkan dan mampu membentuk persepsi baik terhadap Islam. Oleh itu selain memberi perhatian pada tuntutan Multaqa Ulamak itu, perhatian serius juga harus diberikan oleh PAS khasnya melalui muktamar akan datang terhadap peranan ahli-ahli Parlimen kita.

Alfatihah....pulangnya seorang pejuang (26/9/13)

Tan Sri Datuk Seri Ustaz Azizan Abd Razak, mantan Menteri Besar Kedah meninggal dunia jam 11.10 pagi tadi.

Semoga Allah swt mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham, seorang pejuang yang terbukti ikhlas dan tegas, komited dan istiqomah dalam perjuangan Islam sehingga akhir hayat.

Jangan hina "Jalur Gemilang" tapi yang lain..... (26/9/13)


Beberapa rang undang-undang telah dibentangkan di Dewan Rakyat semalam sebagai sebahagian dari langkah kerajaan memperketat dan memperkemaskan lagi pencegahan jenayah dalam Negara dikala rakyat jelata berhadapan dengan kes-kes jenayah yang semakin menjadi-jadi.
Saya percaya ianya akan lumat dibahaskan oleh ahli-ahli parlimen dan semoga sesuatu yang bermakna dapat dicapai dan yang paling penting keselamatan dan kesejahteraan rakyat dapat dijamin.

Saya sempat membaca beberapa cadangan baru yang dikemukakan, ada yang boleh diterima, ada yang barangkali perlu diperhalusi namun ada juga yang saya nampak agak “keterlaluan” dan sewajarnya ditolak.
Pindaan terhadap Kanun Keseksaan yang menjadikan satu kesalahan jenayah bagi sesiapa yang menghina, memusnahkan, memijak atau membakar jalur gemilang adalah sesuatu yang patut, memandangkan ianya merupakan bendera rasmi Negara yang sewajarnya dihormati oleh semua. Akan tetapi memasukkan juga tindakan yang sama terhadap bendera Negara asing (foreign nation) bagi saya adalah keterlaluan.

Kita hormat dan mendaulatkan Negara kita, manakala bagi Negara asing, mereka yang berdamai dan berbaik-baik dengan kita, kita hormati. Namun jika ada yang mencari masalah dengan kita, contohnya Negara “Haram” Israel yang menjajah dan menzalimi bumi dan rakyat Palestin, tidak ada sebab untuk kita menghormati mereka apalagi bendera mereka.
Kita mungkin berhadapan dengan contohnya Amerika Syarikat yang menghina agama, Negara atau rakyat kita. Ketika itu tidak ada sebab kita menghormati mereka. Sikap kita itu paling dekat kita zahirkan dalam tidak menghormati bendera mereka. Takkanlah ketika itu ianya menjadi satu kesalahan jenayah!

Kalau rakyat kita pijak dan menghina jalur gemilang, beliau itu memang biadap, dan sewajarnya diambil tindakan, akan tetapi apabila rakyat kita bertindak demikian terhadap bendera Negara asing yang memusuhi kita atau rakyat kita atau kepentingan kita atau agama kita, menjadikan tindakan memijak bendera Negara itu atau mebakarnya sebagai suatu kesalahan jenayah bagi saya “tidak masuk akal”.
Oleh itu dalam bab ini saya mohon ahli-ahli Parlimen kita samada dari kerajaan mahupun pembangkang, agar menolaknya sama-sekali, kecuali yang melibatkan bendera Negara kita sendiri.

 

PAS tak perlu simpati pada Chin Peng dan PKM (23/9/13)

Monday, September 23, 2013

Pemimpin politik akan kata apa sahaja semata-mata untuk peroleh pengaruh……betulkah begitu?
Kadangkala apa yang dikatakan sesungguhnya bertentangan dengan fakta dan malah prinsip perjuangan tetapi demi mahu popular demi mahu dilihat “jaguh” demi mahu dilihat “terbuka” konon-kononnya, ada pemimpin yang sanggup begitu.

Isu bekas Setiuasaha Parti Kominis Malaya atau mendiang Chin Peng, yang meninggal dunia pada tanggal 16 September baru-baru ini di Bangkok terus hangat dipermainkan. Upacara menghormati mayat mendiang dihadiri oleh beberapa pemimpin politik Malaysia termasuklah dari PAS. Dan dalam Negara pemimpin-pemimpin politik yang bermain atas sentimen semasa, menuntut agar abu mayat mendiang dibenarkan dibawa kembali ke tanah air untuk dimakamkan di kampong kelahirannya di Perak. Tuntutan ini turut disuarakan oleh satu dua pemimpin PAS.
Bagi yang berjuang atas landasan sosialisma, nasionalisma atau apa sahaja, jika mereka simpati pada mendiang Chin Peng dan PKM kita mungkin boleh faham, tetapi apabila pemimpin gerakan Islam turut memberikan sentimen yang sama, kita jadi bimbang dan malahan kesal, bagaimana boleh jadi begini.

Mengapa harus kita tiba-tiba simpati pada mereka yang pada asasnya berjuang mewujudkan sebuah Negara komunisma mirip Kominis Cina? Bukankah pejuang-pejuang Islam di merata dunia bangkit mempertahankan tanahair mereka dari dinodai oleh anasir yang berjuang ideologi sesat ini? Ketika Mujahideen Afghanistan berjuang menentang regim Babrak Karmal dan kemudiannya Najibullah Amin yang merupakan boneka Soviet Rusia yang kominis itu, kita di sini bangkit menyokong, menghantar dana dan bantuan malah ada yang lolos masuk ke sana berjuang bersama mereka.
Elok sahaja pemimpin nombor satu kominis di Malaysia mati, kita tiba-tiba beria-ia simpati, sewenang-wenang mengampunkan segala dosanya termasuklah membunuh ribuan anggota keselamatan dan orang awam tidak termasuk harta benda.

Tidak cukup dengan serangan dan tindakan gurila di hutan PKM yang dikepalai mendiang Chin Peng ketika itu turut mahu mencetuskan huru-hara di bandar. Terakhir kalau kita sudah lupa pada tahun 1975 pengganas PKM telah melontarkan bom tangan ke Kem Pasukan Polis Hutan (PPH) di Jalan Pekeliling, Kuala Lumpur (berhampiran pejabat Harakah hari ini) membunuh dua anggota yang sedang berbaris dan mencederakan 41 yang lain.
Sebelum itu 6 Jun 1974 Ketua Polis Negara Allahyarham Tan Sri Abd Rahman Hashim ditembak mati di Kuala Lumpur dan kemudiannya 13 November 1975 Ketua Polis Perak Tan Sri Khoo Chong Kong ditembak mati di Ipoh, Perak.

Kedua-dua kejadian dilakukan oleh pengganas PKM yang diketuai Chin Peng.
Kalau pun kita mahu meraih populariti, terfikirkah kita akan perasaan balu dan anak-anak serta kaum keluarga ribuan mereka yang terkorban itu akibat keganasan parti “haram” yang diketuai mendiang Chin Peng? Apa istimewa dan hebat sangat ketua pengganas ini sehingga kita mahu menyanjung beliau dan acap kali seakan tiada perkara besar yang lebih penting melainkan meratib nama beliau?!

Ya mungkin kita tidak menganuti ideologi sesat itu tetapi sekadar simpati atas dasar perikemanusiaan, tetapi sebagai seorang pejuang Islam lupakah kita bahawa kita ditarbiah bahawa cenderung (sudah semestinya termasuklah simpati) pada yang zalim akan mengakibatkan kita nanti disambar api neraka. Atau kita yakin bahawa mendiang Chin Peng terkecuali dari peraturan ini?!
Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang dalam Kuliah Jumaatnya  di Masjid Rusila pada 4 April 2008 ada menyatakan:

Ada manusia yang menerima akidah secara membuta tuli bukan secara mengkaji. Adakala mereka berhujah berdasarkan pegangan nenek moyang semata-mata tanpa mengkaji sumber yang benar dari satu masa ke satu masa mengikut perkembangan. Penyelewengan boleh berubah cara dan ikutan. Ini dibuktikan dengan kenyataan Allah dalam surah az-Zukhruf, ayat 22:
“Bahkan mereka itu berkata, “sesungguhnya kami mendapati datuk nenek moyang kami menurut satu jalan agama dan sesungguhnya kami beroleh petunjuk menurut jejak langkah mereka sahaja.”

Kadang-kadang, mereka tidak kenal fahaman-fahaman baru kerana namanya tidak pernah disebut dalam kitab-kitab zaman dahulu. Ini kerana fahaman-fahaman baru ini tidak ada pada zaman pengarang kitab-kitab ini. Namun al-Quran dan hadis Nabi Muhammad tetap mendedahkan secara teliti sebagai bekalan umat Islam.
Isu akidah tidak boleh dicuba-cuba atau diagak-agak. Ia tidak boleh dipilih sesuka hati kerana ia bergantung pada nasib yang memerlukan petunjuk Allah dan wahyunya. Ia juga menentukan nasib mereka di akhirat sama ada ke syurga atau negara. Ia adalah keputusan yang tidak boleh dipertikai dan diminta supaya kembali ke dunia.

Mudah-mudahan, Allah mengurniakan iman dan kekuatannya serta bersikap yang tegas pada perkara-perkara yang bercanggah dengan iman. Fahaman yang bercanggah meliputi fahaman yang pupus, yang masih berselerakan dalam masyarakat atau yang bakal tercetus. Semoga Allah memelihara umat Islam daripada fitnah di dunia, di alam kubur dan hari kebangkitan semula.
Dalam kehangatan isu Chin Peng ini kita terbaca ada mereka yang tegar mendukung fahaman anutan Chin Peng itu cuba berhujah mempertahankan dasar perjuangan mereka. Saya terbaca dalam satu blog pro kominis menulis:

Sebuah dokumen yang dikeluarkan oleh PKM pada 29 April 1985 menyebut:
Dasar PKM ialah menghormati kebebasan rakyat semua bangsa untuk menganut agama. Kepercayaan agama di kalangan massa mempunyai punca masyarakatnya yang mendalam. Kebebasan ini mesti dihormati. Hak penganut agama bagi melakukan kegiatan agama harus dibela. Dasar parti kita ini ditegakkan di atas dasar asas pandangan ilmiah Marxis yang kukuh. Dasar ini sekali-kali bukanlah satu siasat.

Dalam masalah agama, anggota PKM mengikuti garis massa parti dan menyertai kegiatan agama massa bangsanya sendiri. Komander dan perajurit Tentera Rakyat Malaya pula mempunyai kebebasan melakukan kegiatan agama dan beramal ibadat.
Apakah sebenarnya asas pandangan ilmiah MARX terhadap agama? Karl Marx yang diagungkan oleh PKM dan mereka yang mendukung perjuangannya ada menyatakan dalam manuskripnya:

Religious suffering is, at one and the same time, the expression of real suffering and a protest against real suffering. Religion is the sigh of the oppressed creature, the heart of a heartless world, and the soul of soulless conditions. It is the opium of the people.
The abolition of religion as the illusory happiness of the people is the demand for their real happiness. To call on them to give up their illusions about their condition is to call on them to give up a condition that requires illusions. The criticism of religion is, therefore, in embryo, the criticism of that vale of tears of which religion is the halo.

Criticism has plucked the imaginary flowers on the chain not in order that man shall continue to bear that chain without fantasy or consolation, but so that he shall throw off the chain and pluck the living flower. The criticism of religion disillusions man, so that he will think, act, and fashion his reality like a man who has discarded his illusions and regained his senses, so that he will move around himself as his own true Sun. Religion is only the illusory Sun which revolves around man as long as he does not revolve around himself. (Kar Marx :Critique of Hegel's Philosophy of Right)
Agama itu candu buat rakyat. Itulah fahaman Marx. Menghapuskan agama itulah sebenarnya hakikat kebahagian kerana agama dilihat mengongkong rakyat dengan pelbagai ketrbatasan. Agama itu sebenarnya sekadar khayalan yang melekakan. Rakyat perlu dipisahkan dari agama…..itulah pandangan ilmiah MARX terhadap agama. Bayangkan apa terjadi kiranya kita bebas Merdeka bawah PKM!!!

Vladimir Lenin seorang lagi pemimpin komunis Rusia yang disanjung PKM dan semua penganut ideologi komunsima pula pernah menulis:
Religion is the opium of the people: this saying of Marx is the cornerstone of the entire ideology of Marxism about religion. All modern religions and churches, all and of every kind of religious organizations are always considered by Marxism as the organs of bourgeois reaction, used for the protection of the exploitation and the stupefaction of the working class (About the attitude of the working party toward the religion)

Lenin menegaskan bahawa ungkapan “Agama itu adalah candu buat rakyat” merupakan asas penting keseluruhan fahaman MARXISMA terhadap agama. Lalu kita yang Islam ini boleh senang-senang pandang sebelah mata, dan hari ini mahu menyanjung pejuang nombor satu ideologi ini, subhanallah.
Dr Amini Amir Abdullah (UPM) menulis:

Fahaman komunis berkait rapat dengan atheisme iaitu satu fahaman yang tidak mempercayai kewujudan Tuhan atau kuasa agung. Golongan ini juga dikenali sebagai golongan mulhid. Bahkan boleh dikatakan benar juga bahawa atheisme berkait rapat dengan sekularisme. Ramai manusia sekarang ini mengaku mereka tidak bertuhan dan ada juga yang mengaku sebagai free thinker. Kemerbahayaan atheisme sudah mula menapak. 15% penduduk dunia dikatakan berfahaman atheis. Orang atheis tidak percayakan kewujudan Tuhan. Dalam konteks Malaysia, orang atheis tidak layak untuk menjadi warganegara negara ini kerana berlawanan dengan semangat dan falsafah Rukun Negara yang menyatakan kepercayaan kepada Tuhan sebagai tunggak utamanya.
Fahaman komunis juga percaya bahawa kehidupan tidak berkait dengan kerohanian dan keagamaan. Justeru, mereka berpegang kepada fahaman materialisme bahawa material itu menentukan segala-galanya dan agama tidak mempunyai signifikan dalam kehidupan. Komunisme juga menafikan hak milik individu dalam sesebua Negara berkaitan dengan aset, harta, tanah, bangunan dan seumpamanya. Mereka menyatakan bahawa dalam sesebuah negara, semua elemen ini adalah milik negara ataupun pemerintah.

Pihak komunis juga percaya bahawa semua hasil bumi dan sumber-sumber alam dalam sesebuah negara adalah hak milik negara dan bukannya individu. Komunisme juga mengagung-agungkan teori Lenin mengenai gaji bahawa seseorang boleh berusaha mencari duit mengikut kemampuannya tetapi mesti diagihkan kepada mereka yang memerlukan. Mereka juga mengagung-agungkan prinsip Machiavelli iaitu ‘matlamat menghalalkan cara’.
Abdul Qadir Djaelani (ahli DPR Pepublik Indonesia) dalam kertasnya bertajuk “Komunisma musuh Islam sepanjang sejarah” diterbitkan oleh Yayasan Pengkajian Islam Madinah Munawarrah 17 Mei 2000 menulis:

Dari uraian yang cukup panjang, tergambar dengan jelas bahwa Komunisme/Marxisme-Leninisme adalah sistem ideologi yang disusun asal jadi, sehingga unsur-unsurnya saling bertentangan satu dengan yang lainnya. Akibatnya, penerapan Komunisme di negara-negara Komunis, bukan saja gagal dalam mewujudkan "syurga di dunia", "masyarakat sama-rasa sama-rata", tetapi malah membawa malapetaka: pembunuhan, kerja paksa, ketakutan dan kelaparan.
Selanjutnya, secara pasti Komunisme/Marxisme-Leninisme di semua dimensi bertentangan diametral dengan Islam. Karenanya sikap dan rasa permusuhan antara kaum Komunis dengan umat Islam berjalan di sepanjang sejarah tanpa henti.  (sila rujuk – http://serbasejarah.files.wordpress.com/2010/02/komunisme-musuh-islam-sepanjang-sejarah.pdf

Berbalik kepada pengalaman di Afghanistan, semasa pemerintahan regim boneka komunis Rusia, Najibullah Amin di Afghanistan (yang akhirnya digulingkan oleh puak Mujahideen Afghanistan) , demi meraih sokongan rakyat, beliau telah mengisytiharkan Afghanistan sebagain sebuah Negara Islam pada tahun 1990 dengan memasukkan dalam Artikel 1 perlembagaan Negara tersebut bahawa “Afghanistan adalah sebuah Negara Islam”. Namun Mujahideen Afghanistan tidak dapat menerimanya kerana Najibullah terus dianggap seorang komunis.
Apa berlaku pada Najibullah? :

Najibullah was at the UN compound when the Taliban soldiers came for him on 27 September 1996. He was castrated before the Taliban dragged him to death behind a truck in the streets. His blood-soaked body was hung from a traffic light. (Najibullah mati ditangan Mujahideen pada 27 September 1996, dibunuh sebagai pengkhianat dan komunis).
Oleh itu kesimpulannya, saya merasakan tidak ada sebab walaupun kononnya atas dasar simpati, orang yang berjuang atas dasar Islam apalagi pemimpinnya meraikan tuntutan mendiang Chin Peng ini.

Biarlah abunya bertaburan di bumi Siam, dan semoga begitulah juga bertaburan pupus dan hilang fahaman anti Islam yang zalim ini di tanahair kita. Tutuplah bab Chin Peng dan PKM, bangkitlah kembali memperjuangkan Islam sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan PAS.
Wallahualam.

TAMBAHAN:  (dizaman PKM aktif, Timbalan Presiden PAS menegaskan PAS menentang dan menolak komunisma ....... dizaman PKM dah mati lain pula)

Dalam perbahasan parlimen yang berlangsung pada 23 April 1960, Zulkifli Muhammad menegaskan bahawa perjuangan PAS menentang keras fahaman dan gerakan komunis yang jelas bertentangan dengan ajaran Islam (Parlimentary Debates, 23 April 1960: 411). Pada 25 April 1960, beliau bukan sahaja mengkritik tindakan seorang menteri kabinet yang menuduh PAS cuba melengah-lengahkan undang-undang pencegahan komunis, bahkan menyindir menteri tersebut yang dilihat cuba menonjolkan semangat keislamannya (Parlimentary Debates, 23 April 1960: 491).

Ada pemimpin PAS yang bela Chin Peng? (17/9/13)

Tuesday, September 17, 2013


PAS menolak perjuangan komunisma kerana ianya bertentangan dengan akidah Islam. Malah mereka yang mendokong perjuangan inilah yang telah ditentang oleh kebangkitan gerakan Islam di Afghanistan satu ketika dahulu apabila komunis Rusia menaikkan kerajaan boneka di sana. Gerakan Islam inilah kemudiannya dikenali sebagai Mujahideen Afghanistan.
Gerakan Islam tidak pernah berkerjasama dengan komunis, malah mereka adalah musuh tradisi lantangan terangnya perbezaan antara fahaman keduanya.

Mana-mana regim yang menganuti faham ini sudah pasti akan menekan dan menindas rakyatnya yang beragama Islam. Ini telah terbukti dikebanyakkan Negara komunis termasuklah di Cina dimana jutaan umat Islam ditindas sehingga hampir-hampir hilang pegangan mereka kecuali dikalangan mereka yang istiqomah.
Oleh itu apabila diumumkan semalam kematian bekas Setiausaha Agung Partai Komunis Malaya atau PKM (CPM) Chin Peng di Bangkok, ramai yang menarik nafas lega.

Chin Peng dan PKM semasa berjuang samada secara aman mahupun ketika mengangkat senjata, bercita-cita mahu menegakkan Negara komunis di sini mirip sebagaimana komunis “Mao” Cina. Bayangkan jika mereka berjaya di dalam perjuangan mereka itu, apa bentuk dan rupa Negara kita hari ini? Apa nasib umat Islam hari ini?
Saya tidak boleh terima jika ada yang menganggap bahawa Chin Peng dan PKM merupakan pejuang kemerdekaan Negara. Kalau Negara ini mahu dimerdekakan ala komunis, sudah pasti umat Islam tidak dapat menerimanya dan tidak mustahil sebagaimana di Afghanistan yang pernah kita saksikan, mujahideen akan bangkit di sini.

Lantas apabila berita kematian Chin Peng itu tersebar, kita tidak hairan apabila mereka yang sehaluan dengan Chin Peng atau sekurang-kuranya ada anutan sosialisma dalam darah daging perjuangan mereka menyatakan simpati. Mereka inilah sebaris dalam menuntut agar mayat bekas pengganas nombor satu Negara itu dibenarkan dibawa pulang ke tanahair untuk pengkebuamian.
Dr Nasir, Dr Jeyakumar dari PSM telah pun mengeluarkan kenyatan simpati dan mohon agar mayatnya dibenarkan kembali, begitu juga Lim Kit Siang.

Tetapi apabila ada pemimpin PAS yang turut serta memohon agar mayat mendiang dibenarkan dibawa pulang ke Negara, saya rasa janggal. Bagaimana seorang pemimpin gerakan Islam boleh begitu, sedangkan dia pasti akur akan gerakan dan aktiviti Chin Peng dan dasar serta matlamat perjuangan mendiang!
PAS bertungkus lumus membawa masuk wakil-wakil Mujahideen Afghanistan semasa muktamarnya berdekad dahulu, semata-mata mahu menyatakan simpati dan komitednya PAS dalam perjuangan menghapuskan komunis di Afghanistan yang kejam dan zalim itu. Saya ingat pernah mendengar pidato berapi-api dari Almarhum Ustaz Dato Fadzil Nor ketika itu, mencerminkan betapa bencinya PAS khasnya Islam terhadap perjuangan komunis.

Tiba-tiba apabila pemimpin nombor satu komunis dalam Negara meninggal dalam buangan, pemimpin PAS mengeluarkan kenyataan meminta agar mayatnya dibawa pulang, apa dah jadi ni?!
Kalau kita baca akhbar The Star hari ini, seorang wartawan akhbar berkenaan yang hadir ketika Chin Peng dan beberapa pemimpin PKM menandatangani Perjanjian Damai dengan kerajaan di Haatyai, melaporkan bahawa beliau pernah bertanya Chin Peng yang ketika itu ditemanio Rashid Maidin dan pemimpin PKM Lain adakah mereka telah meningalkan fahaman komunis melalui perjanjian ini, Chin Peng berkata : “Tidak”. Mereka hanya meninggalkan perjuangan bersenjata namun ideologi komunisma kekal dalam darah daging mereka.

Kini Chin Peng telah tiada, biarlah beliau disemadikan di Thailand, tempat beliau meninggal dunia.
Pemimpin PAS tadi mesti mengeluarkan penjelasan bahawa kenyataannya itu adalah pandangan peribadi beliau dan bukan mewakili PAS sekurang-kurangnya orang-orang PAS boleh menilai beliau.

(Hairan ketika Rashid Maidin meninggal di Thailand, tidak pula pemimpin tadi minta supaya Allahyarham dikebumikan di sini)

Saya pertahankan Jalur Gemilang (2/9/13)

Monday, September 02, 2013


Akhbar The Star hari ini melaporkan darihal tindakan seorang aktivis masyarakat Hishamuddin Rais yang telah mengibarkan bendera “Sang Saka Malaysia” yang dianggapnya sebagai bendera sebenar Negara dan sebaliknya menghina Jalur Gemilang yang didakwanya bendera palsu Negara. (Orang yang sama menyokong penggulingan kerajaan sah Morsi di Mesir)
Beliau dilaporkan melakukan demikian dimalam sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Merdeka.

Secara peribadi saya merasakan tindakan sedemikian sangat bertentangan dengan semangat dan penerimaan rakyat jelata terhadap perjuangan kemerdekaan Negara dan apa yang telah dibina selama ini oleh semua kita sejak dari datuk nenek kita dahulu.
Apa rasionalnya mahu tukar “Jalur Gemilang” ini dan dikembalikans esuatu yang saya kira Hishamuddin pun tak pasti kesahihannya.

Banyak lagi perkara yang boleh kita ketengahkan sebagai perjuangan tetapi tindakan seumpama ini boleh dikira biadap dan mengenepikan apa yang telah kita terima bersama sejak zaman berzaman.
Sesungguhnya dari rekod sejarah bendera Malaysia yang ada, sebelumnya Persekutuan Malaya, telah dicipta oleh anak tempatan berdasarkan pemerahan akal fikiran dan idea banyak pihak termasuklah Raja-raja Melayu, pimpinan Negara pra Merdeka dan rakyat tempatan sendiri.

373 cadangan telah dikemukakan rakyat tempatan dari pelbagai keturunan dan kedudukan dan akhirnya 3 telah disenari pendek pada tahun 1949. Satu jawatankuasa khas telah dibentuk yang turut dianggotai Menteri-menteri Besar (termasuklah Dato Onn ketika itu MB Johor) yang kemudiannya mengemukakan cadangan kepada “Federal Legislative Council” atau Majlis Perundangan Persekutuan dan kemudiannya diperkenankan oleh Raja-raja Melayu.
Pada tanggal 26 Mei 1950 di perkarangan Istana Selangor, di Kuala Lumpur, bendera berkenaan telah dinaikkan buat pertama kalinya disaksikan oleh Raja-raja Melayu.

On 19th April 1950, with advice from the Federal Legislative Council and upon the agreement from the Royal Federation of Malaya, the Malaysian flag was chosen to represent the Federated Malaya.
Originally, crescent and star were in white, however with the advice from Sultan of Kedah, along with remaining Rulers’, the white is to be replaced with the yellow, to symbolically represent Royal sovereign.

It was the first time Federation of Malaya flag was raised in an official procession, which was organized by the British High Commission on the 26th May 1950, within the confines of the Sultan Selangor’s palace that was attended by the D.Y.M.M Raja-Raja Melayu and the royal officers of King George VI.

At 9:38 am, the Federation of Malaya flag was raised by Sir Henry Gurney (British High Commissioner in Malaya) on behalf of statesmen.It was from that moment, Federation of Malaya had its very own flag,proudly stood for a new country that is united.
Bendera inilah pada malan 31 Ogos 1957 telah dikibarkan mengantikan “Union Jack” dan hari ini setelah dikemaskini dan diperbaiki, “Jalur Gemilang” berkibar sebagai panji-panji Negara yang kita kasihi.

Ini bukan soal politik Umno atau PAS, BN atau PR, ini soal jati diri dan patrotisma terhadap Negara oleh rakyat Malaysia keseluruhannya.

Saya secara peribadi tidak boleh terima cadangan Hishamuddin Rais itu, dan wajarlah jika da peraturan dan undang-undang, beliau diambil tindakan kerana menghina panji kebangaan Negara.
Sementara itu PAS sendiri pernah aktif terlibat dalam Parlimen penggal pertama 1959, apabila berbahas menetapkan “bunga kebangsaan” Negara pada 20 Jun 1961. Dalam “Memoir Khatijah Sidek” (Ketua Kaum Ibu Umno yang kemudiannya menjadi ahli Parlimen wanita pertama dari PAS) , beliau menulis bahawa PAS mencadangkan bunga orkid Kinta sebagai bunga Kebangsaan, tetapi ditolak. “Bunga Raya” telah diterima sebagai bunga kebangsaan.

Ini menujukkan sebagaimana bendera Malaysia, bunga kebangsaan juga melalui proses penyertaan rakyat dalam memutus dan menerima yang terbaik dari kalangan cadangan yang ada.
Oleh itu wajarlah kita menerima apa yang telah diputuskan oleh mereka yang terdahulu dari kita dengan hati yang terbuka. Jangan jadi pencetus “porak-peranda” sedangkan hidup kita sendiri pun kelihatan kusut dan tidak terurus .