MPSJ mahu lulus lesen rumah urut jika ada permintaan? (31/7/13)

Wednesday, July 31, 2013


Saya sungguh terperanjat pagi ini apabila membaca laporan akhbar bahawa pihak Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) bersedia mengeluarkan lesen-lesen rumah urut atau pusat kesihatan sekiranya terdapat permintaan. Kesediaan ini kononnya kerana kawasan perbandaran berkenaan semakin berkembang dan berkemungkinan memerlukan lebih banyak pusat-pusat seumpama ini atas dasar permintaan.
Sekarang pun MPSJ telah memberi lesen kepada 211 pusat-pusat urut (itu di Subang Jaya sahaja bukan seluruh Selangor), tidak termasuk yang tidak berlesen dan beroperasi sesuka hati.

Sebelum ini kalau kita perhatikan banyak pihak telah mengkritik kerajaan negeri Selangor kerana melalui PBT-PBT nya banyak meluluskan rumah-rumah urut seumpama ini.
Apa masalahnya rumah-rumah urut ini?

Rata-rata kecuali segelintir, pusat-pusat ini samada berlesen lebih-lebih lagi yang tidak berlesen sesungguh dan sebenarnya merupakan sarang-sarang makasiat. Refleksologi dan terapi muka kononnya menjadi hiasan luar tetapi hakikatnya pusat-pusat ini menjalankan aktiviti maksiat iaitu urut badan sehinggalah ke aktiviti seksual.
Malah perkara ini diakui sendiri oleh EXCO Kerajaan Tempatan Selangor yang baru Teng Chang Khim sehingga beliau pernah menyebut akan mengkaji samada boleh diasingkan rumah-rumah urut ini agar yang untuk lelaki memberi khidmat kepada pelanggan lelaki dan wanita untuk wanita. Tujuannya:

 …..to overcome the problem of these outlets doubling as prostitution dens.

(….bagi mengatasi masalah pusat-pusat ini menjadi sarang pelacuran)
Dalam satu kenyataan lain Teng dilaporkan :

Teng menegaskan sejak 2008 kerajaan negeri telah menetapkan dasar untuk tidak mengeluarkan lesen baru rumah urut dan dasar itu masih terpakai sehingga kini.
“Tentang bab urut saya telah nyatakan bahawa dasar kita sejak 2008 kita tak keluarkan lesen yang baru. Itu dasar yang masih terpakai,” katanya.

Oleh itu apa rasionalnya tiba-tiba pihak MPSJ mahu pusing kebelakang dan menimbang-nimbang untuk meluluskan lebih banyak lesen aktiviti ini? (apa jadi dengan dasar kerajaan yang disebut Teng itu?) Barangkali MPSJ berpuas-hati bahawa kesemua 211 pusat urut yang dilesenkannya itu semuanya “putih” menjalankan aktiviti “bersih”, apa kata sebuah badan bebas dibentuk untuk mengintip dan memberi laporan?
Sepatutnya diperingkat ini suatu perubahan besar perlu diperkenalkan dalam semangat cadangan Teng Chang Khim itu agar pusat-pusat ini jika benar masih diperlukan, maka dipastikan benar-benar mejalankan aktiviti yang sihat dan bersih tanpa ada peluang untuk menyelinap menjadi sarang maksiat. Bukannya kita terus lulus tanpa had dan kajian.

Saya musykil apa sumbangan ahli-ahli majlis dari PAS yang duduk di MPSJ dalam perkara ini? Jika dulu semasa zaman BN kita antara yang vokal menyerang isu ini sekarang kita duduk sebagai kerajaan adakah kita masih vocal atau duduk senyap mengizinkan perkara ini berlaku?
Semoga sekuarng-kurangnya pimpinan PAS bangkit menjelaskan kenyataan terbaru pihak MPSJ ini. Jangan hampakan harapan tinggi para penyokong dan mereka yang bersimpati dengan kita.

Bahana bungapi dan mercun (30/7/13)

Tuesday, July 30, 2013


Sepeti biasa menjelang Syawal berita anak-anak termasuk orang dewasa yang tercedera bermain bungapi dan mercun terus didengari. Disaat kita bergembira menyambut kedatangan Syawal, ada yang terpkasa berada di hospital menanggung derita da nada yang membawa parut dan kecacatan sehingga ke akhir hayat.
Yang anehnya semua jenis bungapi dan mercun kecuali dua jenis sahaja (happy Boom dan Pop-pop) adalah di HARAM kan pengimpotan nya.

Isunya jangan kita berbahas mengenai penyeludupan senjatapi ke dalam Negara terutama dari Negara seberang sedangkan bungapi dan mercun pun kita gagal tangani penyeludupannya.

Bungapi dan mercun ini sudah pastilah lebih besar muatannya jika mahu diseludup masuk. Jadi bagaimana ia boleh tembus masuk ke Negara?
Walaupun HARAM tetapi ia tetap laris di pasaran dan boleh didapati dimana-mana jangankan perayaan Hari Raya, apa sahaja perayaan di Malaysia, Tahun Baru Cina atau Deepavali, dentuman mercun dan pancaran bungapi tetap kedengaran dan kelihatan.

Siapakah yang mahu dipersalahkan?
Di sempadan kita ada pihak Kastam dan Unit Pencegah Penyeludupan atau UPP yang sepatutnya memantau dan mengawasi keluar-masuk barangan ke dalam Negara selain agensi penguatkuasaan yang lain, bagaimana boleh bolos?

Bolos pula bukan dengan kuantiti yang kecil, segenap ceruk Negara dari kampong ke bandar ke tanah-tanah rancangan, pulau dan tanah tinggi semuanya selamba bermain dan melepaskan mercun dan bungapi diwaktu-waktu perayaan. Bermakna berkotak-kotak, bertan-tan barangan HARAM ini dapat masuk…..!!!
Perkara ini perlu dilihat dengan serius dan satu tindakan bersungguh perlu diambil oleh pihak-pihak yang bertanggungjawab. Ini bukannya mahu menuding jari, tetapi kita mahukan komitmen semua pihak. Jika ada elemen rasuah yang terlibat, maka siasat dan ambil tindakan.

Kalau penyeludupan bungapi dan mercun pun diluar kawalan bagaimana lah kita mahu menangani yang lain termasuk penyeledupan senjatapi.

 

 

Kekal lah PAS sebagai parti yang berakhlak (27/7/13)

Saturday, July 27, 2013


Kalaulah disuruh pilih sebuah parti yang dikatakan stabil, ahli-ahlinya berdisiplin dan berakhlak, sudah pasti pilihan tadi adalah PAS. Parti yang memperjuangkan Islam sejak sebe,um Merdeka ini lagi dikenali samada oleh kawan atau lawan sebagai sebuah parti orang baik-baik, keranan bukankah sepatutnya begitu lantaran yang diperjuangkan parti ini adalah Islam.
Parti ini bermula dari sekecil-kecil gerakan, yang dipandang rendah dan lekeh, dijangka tidak panjang usianya kerana kurang diyakini dapat menambat minat dan sokongan rakyat berbandin Umno yang seakan usianya.

Tetapi lantaran istiqomah ahli-ahli dan pimpinannya yang didokong kuat oleh para ulamak PAS kekal dipersada politik tanahair sehinggalah ke hari ini. Malah kalau dikira usianya menjangkau Umno, kerana Umno dikira mati dan hidup semula akibat diharamkan Mahkamah satu ketika dahulu.

PAS jatuh dan bangun dalam politik Malaysia tetapi tetap tegap berdiri malah hari ini merupakan salah sebuah parti politik yang terbesar keahliannya dan paling tersusun organisasinya.
Walaubagaimanapun seperti parti-parti lain PAS tidak sunyi dari berbagai cabaran, dugaan dan krisis. Presidennya pernah meninggalkan parti, ada wakil rakyatnya yang pernah melompat meninggalkan parti, Presidennya ditahan ISA dikenakan tindakan sehingga tidak layak bertanding, namu PAS terus relevan bukan kerana kehebatan individu, bukan kerana kekuatan kewangan, tetapi PAS kekal bernafas saya yakin kerana ia tetap berpegang kepada Islam sebagai prinsip dan dasar perjuangan.

Jika ada usaha untuk membawa PAS keluar atau melonggarkan prinsip dan dasarnya itu, jangankan pimpinan, ahli-ahli PAS yang berkorban bermati-matian dan sentiasa istiqomah itu pasti akan bangkit dan memperbetulkan kembali keadaan.
Saya membangkitkan hal ini kerana melihat seakan ada atu arus atau gerakan untuk menggugat kestabilan dalam PAS sedang membara kebelakangan ini lebih-lebih lagi memandangkan parti itu akan menghadapi proses pemilihan dalam parti tidak berapa lama lagi.

Pemimpin naik dan pemimpin turun melalui proses pemilihan adalah satu perkara biasa termasuklah dalam PAS. Tetapi yamg menjadi luar biasa adalah apabila parti Islam ini turut melalui proses kempen memburuk-buruk dan menjatuhkan individu dan kumpulan tertentu melalui fitnah, tohmahan dan adu-domba. Proses seumpama ini tidak boleh ada di dalam PAS kerana ianya jelas bertentangan dengan prinsip dan dasar perjuangannya.
Satu artikel dalam sebuah portal berita hari ini bagi saya adalah permulaan proses kotor ini dan perlu di bendung dan diberi perhatian oleh ahli-ahli. Di bawah tajuk:

Another son in law rises this time in PAS
Atau dalam Bahasa Melayu nya:

Kebangkitan pengaruh menantu kali ini dalam PAS
http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/kebangkitan-pengaruh-menantu-kali-ini-dalam-pas

cuba memberikan gambaran buruk secara spesifik kepada pemimpin nombor satu PAS iaitu Dato Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang. Kononnya PAS kini diganggu oleh pengaruh menantu Tuan Guru dan cuba menyamakannya dengan Khairy Jamaluddin ketika Dollah Badawi Presden Umno satu ketika dahulu.
Dan dalam ruangan komen artikel berbahasa Inggeris itu dimuatkan komen berikut:

Hadi and this son-in-law are selfish people, always thinking about themselves and always thinking that they are right. Of course they are wrong! These kind are not what Malaysia needs. The Rakyat must always be careful of them - they do not have a Malaysian agenda but rather they own inward, selfish agenda.
(Hadi dan menantunya mementingkan diri sendiri, sentiasa memikirkan tentang diri mereka sahaja yang betul. Tetapi mereka sebenarnya salah! Orang seumpamam ini tidak diperlukan oleh Negara (Malaysia). Rakyat mesti berhati-hati dengan mereka, mereka tiada agenda Malaysia sebaliknya hanya mementingkan agenda peribadi mereka.)

Bukannya saya taksub atau fanatik pada Tuan Guru tetapi apabila dihamburkan fitnah dan tuduhan melulu ke atas seorang tokoh yang telah banyak menyumbang ke arah kebangkitkan semula PAS sejak awal 80an lagi (sedang ketika itu ada diantara pimpinan PAS hari ini tak kenal pun PAS lagi), saya merasakan ahli-ahli PAS yang istiqomah dan cintakan dasar dan perjuangan parti perlu bangkit mempertahankan yang hak.
Cegah unsur-unsur sekular yang mengizinkan politik adu-domba dan fitnah dari meresap ke dalam parti dan merosakkannya.

Rakyat mahu kepada PAS lantaran ia konsisten dalam memperjuangkan Islam, jangan sampai rakyat lihat tiada beza antara kita dengan yang lain.
Semoga Allah swt terus mempertahankan PAS dan pemimpinnya yang ikhlas.

 

Memelihara maruah wanita (26/7/13)

Friday, July 26, 2013


Pernah ketika saya menjadi ahli majlis bagi sebuah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor, semasa satu Mesyuarat Jawatankuasa Pelesenan nya, isu iklan yang memaparkan wanita dalam aksi yang tidak sopan dibangkitkan. Ia dibangkitkan ekoran bantahan penduduk Islam di kawasan itu.
Saya telah mengeluarkan hujah mencadangkan agar iklan itu diturunkan dan tiada lagi iklan seumpama itu diluluskan. Sesungguhnya garis panduan bagi iklan-iklan awam pun jelas melarang iklan yang sedemikian.

Semasa mesyuarat itu ada dikalangan ahli mesyuarat khasnya yang bukan Islam tidak bersetuju dengan mendakwa seolah PBT mahu mengekang dan mengawal industry pengiklanan yang didakwa sihat. Seorang ahli mesyuarat wanita Islam turut bersetuju dengan cadangan saya.
Melihatkan seakan tiada keputusan lalu pengerusi mesyuarat iaitu Yang Dipertua Majlis (YDP) telah meminta pandangan jabatan dan agensi penguatkuasaan yang turut dijemput. Ketika itu YDP meminta pandangan wakil dari Polis Di Raja Malaysia, seorang pegawai berpangkat Inspektor, wanita bukan Islam. Dengan takdir Allah, pegawai berkenaan (walaupun bukan Islam) turut bersetuju dengan pandangan saya dengan menyatakan apa pun janganlah sampai tubuh wanita diperalatkan bagi tujuan komersil.

Akhirnya keputusan diambil untuk menurunkan iklan berkenaan.
Saya membawa kisah ini kerana dalam akhbar tempatan hari ini dilaporkan Persatuan Pengguna Pulau Pinang atau CAP membantah iklan pada sebuah papan tanda elektronik di Gerogetown, Pulau Pinang yang memaparkan gambar wanita yang berpakaian tidak sopan.

iklan yang dibantah CAP di Georgetown
Menurut Presiden CAP Hj SM Mohd Idris, iklan berkenaan di Jalan Burma merendahkan maruah wanita dan perlu diturunkan.
Menurut beliau lagi peraturan atau garis panduan pengiklanan yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri jelas melarang iklan seumapam itu. Malah ia turut bertentangan dengan garispanduan yang dikelaurkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Di sinilah majlis tempatan atau PBT perlu memain peranan. Sebarang iklan yang berlesen perlu diluluskan oleh PBT sebelum boleh diiklankan. Diharapkan ahli-ahli majlis peka akan perkara ini dantidak bertindak membelakangankan peraturan yang sedia ada.

Sekurang-kurangnya di Kelantan, kita boleh menarik nafas lega apabila semua papan tanda iklan di sana sekiranya melibatkan wanita, adalah dalam keadaan berpakaian sopan.

Syabas CAP.

 

Pengislaman anak-anak yang dibatalkan (26/7/13)


Saya menipu diri jika saya mengatakan tidak terusik hati apabila membaca berita muka depan akhbar The Star hari ini:
“Conversion quashed”

(Iaitu keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh yang membatalkan sijil memeluk Islam tiga kanak-kanak berbangsa India yang telah di Islamkan oleh bapa mereka (yang sebelumnya telah bercerai dengan isterinya) pada tahun 2009)
Sebagai rakyat Malaysia yang menjunjung undang-undang saya akur suka tak suka perlu menerima keputsan ini (namun keputusanni belum muktamad kerana boleh dirayu di mahkamah yang lebih tinggi). Tetapi sebagai seorang Muslim saya pasti rasa terusik hati.

Kanak-kanak yang dimaksudkan itu kini berusia 16, 15 dan 5 tahun.
Hasil perceraian ibu-bapa, anak-anak menjadi rebutan dan apabila si bapa pula menukar agama dan memeluk Islam, situasi menjadi lebih rumit lalu naik-turun mahkamah dan inilah keputusannya, anak-anak yang telah di Islam kan oleh si bapa perlu kembali kepada agama asal kerana kata mahkamah (selain aspek teknikal) :

“….the mother has equal rights to raise her children in her own religion”
(….ibunya turut mempunyai hak yang sama menjaga anak-anaknya menurut agama kepercayaannya)

Banyak pihak sebagaimana dilaporkan oleh akhbar dan media sosial mengalu-alukan keputusan ini keranan kononnya menepati Perlembagaan Persekutuan, namun saya yakin ramai juga yang sebaliknya, cuma ketidakpuasan hati mereka tidaklah pula dilaporkan.
Sebenarnya keputusan ini pun terus boleh dibahas dan dihujah, mungkin pihak Jabatan Agama perlu mengkajinya (dari aspek dan pentafsiran Perlembagaan Persekutuan). Kalau si ibu punya hak yang sama bermkana kedua-dua ibu dan bapa masing-masing punya hak. Jika demikian apa kata anak-anak tadi dijaga tanpa agama sehinggalah mereka mencecah usia 18 tahun dan kemudian dipanggil mahkamah untuk memilih agama mana yang mahu mereka turuti, agama bapa atau ibu.

Jika si ibu diberi hak penjagaan, pastikan si ibu tidak mempengaruhi anak-anaknya mengikuti agamanya. Biarkan mereka bebas tanpa dipaksa apabila melibatkan istiadat serta majlis keagamaan. Pasti sukar.
Benar dan saya setuju apabila Hakim Lee Swee Sung dalam keputusannya semalam menyebut:

“This is not a victory for anyone but for all to be living in peace and our differences need not divide us”
(Ini (keputusan beliau) bukannya kemenangan untuk sesiapa tetapi buat semua agar hidup dalam aman dan perbezaan kita tidak membezakan antara kita)

“Regardless of our faiths we must have the highest regard  for one another”
(Tidak kira agama kita, masing-masing perlu menghormati antara satu sama lain)

Saya harapkan kaedah pengislaman melalui Jabatan-jabatan agama diperbaiki dan dikemaskini, jangan longgar sehingga memungkinkan kes seumpama ini berlaku. Konflik antara bidang-kuasa mahkamah syariah dan sivil masih belum beres dalam Negara kita dan kes-kes seumpama ini masih banyak lagi yang belum diputuskan.
Apa pun biarlah menarik rambut dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan berserak. Wallahualam.

 

 

Facebook murtad: Mohon SKMM siasat segera (25/7/13)

Thursday, July 25, 2013


Saya terbaca dalam berita terkini The Staronline bahawa Alvin Tan dan Vivian Lee pasangan kontroversial yang telah mencetuskan kemarahan rakyat Malaysia, dibenarkan ikat jamin oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebentar tadi. Mereka dikenakan ikat jamin sebanyak RM30,000 melalui dua penjamin. Dengan itu kedua pasangan tersebut kini dibebaskan dari penjara sementara menunggu tarikh perbicaraan mereka. Semoga mereka menyediakan peguam yang baik untuk membela mereka.
Membaca perkembangan itu saya cuba melihat facebook mereka untuk membaca sekiranya ada apa-apa “update” ekoran pembebasan itu. Saya lihat tiada. Cuma apa yang ingin saya ketengahkan dalam posting ini adalah facebook Vivian di https://www.facebook.com/sexychocoholicbabe

Di sudut facebook Vivian diruangan “recent activity” nya beliau meletakkan facebook “Murtads in Malaysia and Singapore” sebagai “like” nya. (Dan ada yang menyatakan pasangan ini sekadar buat lawak dan tiada maksud menghina Islam. Tapi "like" pula group "Murtad"?)
Ada facebook “Murtad” rupa-rupanya! Ianya berada di https://www.facebook.com/MurtadsInMalaysiaAndSingapore

Siapa yang tidak panas dan terguris membaca posting di dalam facebook ini yang menghina Islam dan penganutnya. Saya syak pemiliknya adalah rakyat Malaysia kerana beberapa postingnya di tulis dalam Bahasa Melayu. Antaranya:
Orang Islam sensitive... Hina Nabi bagaikan hina mak bapak dorang... padahal Nabi lebih disanjung tinggi dari mak bapak... Nabi kan hari hari kasi dorang makan, hantar mereka gi sekolah, jaga mereka waktu sakit.. Siapalah mereka kalau bukan tuk Nabi mereka... Patut ler kalau nak buat ranking kasih... Seseorang Muslim mesti mencintai Nabi Muhammad lebih dari mak bapak sendiri...

Mereka yang ada anak pun sama.... kena cinta Nabi lebih dari anak sendiri... Maklum lah... kalau tak sayang Nabi... tak dapat masuk syurga... Pandai glam kan namanya....
Satu lagi posting menyebut:

Bace quran bertarannum tidak mampu menutup kepalsuan islam. Islam mencuri irama2 tarannum dari daerah2 yg ditaklukinya. Dari 7 taranum utama, 4 berasal dari lagu kafir Parsi iaitu tarannum Ajam, Jiharkah, Rasht dan Nahawand. Bahkan Rasht dan Nahawand ialah nama bandar di Iran. Manakala irama taranum Sikah dicuri oleh Islam dari irama geraja Koptik Mesir. Islam muka tak malu.
Banyak lagilah yang sekali lagi membuktikan penyalahgunaan hak kebebasan bersuara dan memberi pendapat dalam Negara kita. Sekali lagi saya suka tegaskan bahawa kebebasan bersuara bukannya mutlak perlu ada batas dan sempadannya, jika tidak inilah malapetakanya.

Diharapkan pihak SKMM akan segera menyaisat dan mengambil tindakan.

 

Jangan mudah melatah..... (24/7/13)

Wednesday, July 24, 2013


Terbaru: Menurut Timbalan Menteri Pelajaran P.Kamalanathan isu “bilik persalinan” di SK Seri Pristana di Sg Buloh telah selesai. Beliau dipetik oleh The Staronline sebagai berkata:

"As far as we are concerned, the issue is resolved. The headmaster had good intentions but chose a poor location. He has apologised. I too apologise. It won't happen again,"
(Setahu kami isu ini telah pun diselesaikan. Guru Besar mempunyai niat baik tetapi telah memilih lokasi yang tidak sesuai. Dia telah memohon maaf dan saya pun memohon maaf. Ia tidak akan berulang)

Timbalan Menteri itu turut menjelaskan hakikat bahawa “bilik persalinan” yang dikatakan oleh akhbar The Star hari ini sebagai “Distasteful” atau “menjijikkan” itu telah digunakan sejak bulan Mac lagi.
Kalau Guru Besar punya niat baik dan telah pun memohon maaf. Timbalan Menteri pun memohon maaf bagaimana dengan mereka yang mengapi-apikan isu ini? Bagaimana dengan mereka yang memainkan isu ini sebagai isu kaum dan agama?

Satu contoh baik buat rakyat Malaysia, jangan mudah melatah.

Apabila masyarakat cepat melatah dan menghukum (24/7/13)


Satu kecenderungan kita adalah cepat melatah dan cepat jatuh hukum.
Masyarakat kita kebelakangan ini bingkas sangat melenting, isu kaum dan agama menjadi begitu sensitif dan melepaskan marah dan pertuduhan begitu pantas lantas kehadiran media sosial yang serba canggih itu termasuk media cetak yang turut menumpang ceduk.

Bukan hanya orang kebanyakkan malah yang memimpin pun terkadang terpengaruh dengan latahan ini dan akibatnya bertindak tanpa banyak usul-periksa. Termasuklah dalam senarai Menteri dan Timbalan Menteri dan tidak terkecuali pimpinan pembangkang termasuk NGO Islam yang diketuai Ulamak Umno Fathul Bari.
“Distasteful”


Atau menjijikkan demikianlah jerit akhbar The Star dalam muka depannya.
Di media sosial masyaralat Islam yang berpuasa pun menumpang cubit dan cucuk, lalu jadi mangsalah si Guru Besar, guru-guru dan PIBG.

Perkara yang kalau dijelaskan boleh selesai, telah tiba-tiba menjadi isu perkauman, orang Islam yang kolot, “Taliban”  dan macam-macam lagi penghinaan.
Tiada siapa pula mengambil peluang membantu menyiarkan penjelasan sebenar.

Saya sendiri pun pada mulanya marah, tetapi musykil. Apa yang dikatakan tandas (tetapi disebut “changing room”) kelihatan kemas dan rapi dengan meja beralas.
Apabila saya membaca kenyataan Guru Besar Mohd Nasir Mohd Nor, SK Seri Pristana, Sg Buloh, saya mula bersimpati, bukan kepada ibu-bapa yang sesuka hati memuatkan pertuduhan dan gambar di internet itu, tetapi kepada pihak sekolah.

Kata Guru Besar kantinnya tidak cukup menampung murid sekolah yang melebihi 500 orang jumlahnya itu. Ada murid yang terpaksa makan di di tepi-tepi longkang dan ada yang terpaksa duduk di atas rumput. Dan “point” yang paling penting, kata Guru Besar lagi, “changing room” atau bilik persalinan – bukannya tandas! Itu telah pun digunakan sejak bulan Mac tahun ini lantaran isu kesesakan itu.

Bulan Mac adalah hampir 5 bulan dahulu! Bukannya baru dalam bulan Ramadhan ini!
Tidak timbul isu Guru Besar dan pihak sekolah tidak membenarkan murid bukan Islam makan dikhalayak ramai dalam bulan Ramadhan lalu di suruh makan dalam bilik persalinan itu sebagaimana dituduh sesetengah pihak.

Guru Besar turut menjelaskan kantin terpaksa ditutup untuk kerja-kerja ubashsuai.
Tiba-tiba saya yakin Guru Besar, pentadbiran sekolah dan PIBG yang tiada niat memainkan sentimen. agama atau bangsa, menjadi mangsa sumpah seranah dan maki hamun pihak-pihak tertentu.

Sikap mereka melenting tanpa usul-periksa dan turut “menipu” masyarakat ramai mempercayai tohmahan mereka itu sangat dikesali.
Terbaru apabila muncul gambar guru-guru sekolah berkenaan berbuka puasa di bilik persalinan yang sama yang dikatakan “distasteful” atau menjijikkan oleh akhbar The Star, jadi bagaimana!!???

Semoga Guru Besar dan pihak sekolah tabah dalam menghadapi ujian ini. Dan semoga masyarakat Malaysia lebih banyak bersangka baik dan menyiasat sesuatu perkara itu dengan mendalam sebelum sewenang-wenang menerkam dan membuat tuduhan liar. 

Kalau 16:16 mengapa tidak Hadi? (24/7/13)


Hakikatnya “hung parliament” atau “dewan tergantung” terjadi apabila tidak ada satu parti yang memiliki majoriti mudah dalam dewan berkenaan. Apa yang akan berlaku berikutan PRK Kuala Besut kiranya PAS ditakdirkan menang adalah satu contoh “hidup” ianya berlaku di Malaysia.
Kiranya PAS menang kedudukan DUN di Terengganu akan menjadi BN 16 dan Pakatan Rakyat 16 (PAS 15 PKR 1) maka berlakulah suasana “hung parliament”. Apa yang akan terjadi jika 16:16 begitu?

Ada yang berpandangan BN tetap membentuk kerajaan kerana Speaker Dewan dari BN sudah mesti mengundi memberikan kelebihan 1 undi buat BN untuk terus memegang jawatan MB dan menerajui kerajaan.
Ada pula yang mengatakan jawatan speaker yang dilantik oleh kerajaan terdahulu (sebelum terjadi 16:16) itu dengan sendirinya terbatal oleh kerana BN tidak lagi memiliki kelebihan di Dewan. Bermakna dalam suasana 16:16, MB baru perlu dilantik, namanya dicalonkan, diperkenankan oleh Tuanku Sultan kemudian di undi di Dewan bagi membuktikan ia “command” atau menguasai sokongan majoriti ahli dewan. Jika hanya 16 menyokong dan 16 menentang, maka calon itu gagal dan nama baru perlu dikemukakan.

Sudah pasti ia mengambil proses masa kerana apa pun Dewan perlu merestui perlantikannya.

Bagaimana dengan jawatan Speaker? Oleh kerana jawatan itu kosong kerana terbatal maka hanya setelah MB baru dilantik barulah calon Spekaer boleh dikemukakan untuk persetujuan Dewan.
Lalu apa akan terjadi kalau masing-masing BN dan PR tidak dapat restu lantaran keadaan “hung parliament” atau 16:16 tadi?

Di sinilah saya bersetuju dengan pandangan Dr Aziz Bari:
Abdul Aziz berkata, mengikut pertuntukan perlembagaan negeri, yang serupa dengan peruntukan  dalam perlembagaan persekutuan, perkara itu tertakluk bawah budi bicara Sultan.

Katanya di Terengganu, seperti juga negeri lain di Malaysia dan negara-negara Komanwel, Sultan boleh melantik seseorang yang dirasakan mendapat sokongan paling banyak dalam Dewan.
"Sekiranya Sultan tidak pasti, maka saya fikir baginda boleh membubarkan Dewan agar satu pilihan raya baru boleh diadakan.

“Ini untuk membolehkan rakyat membuat keputusan dan bukannya baginda. Dari sudut monarki sebagai simbol perpaduan yang perlu berada lebih tinggi dari parti politik, mungkin ia pilihan yang lebih baik,” katanya kepada Malaysiakini.
Isunya kita tahu jika BN, maka mereka akan mengemukakan nama Datuk Ahmad Said untuk kekal sebagai MB dan pastilah sepatutnya PR menolak untuk mengambil kesempatan dari kedudukan 16:16 itu. Jika peluang atau giliran diberikan kepada PR pula untuk mengemukakan calon bagaimana?

Kerana itulah juga saya bersetuju dengan Dewan Ulamak PAS Pusat apabila Setiausa Dewan Ulamak Pusat YB Dr Khairuddin menyebut bahawa Dewan Ulamak Pusat bersetuju kiranya PAS diberi peluang mencalonkan MB maka Presiden PAS Dato Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang lah yang paling sesuai dicalonkan.
Memang sebelum ini Tuan Guru ada menyatakan yang beliau tidak berhajat untuk menjadi MB, begitulah akhlak pemimpin Islam, tidak meminta-minta jawatan tetapi hakikatnya kiranya PAS diberi peluang mengemukakan calon, memang nama beliaulah yang paling layak sebagai ADUN dan pemimpin nombor satu dalam jamaah, tamabahan pernah berpengalaman sepenggal dalam jawatan berkenaan.

Jadi saya tidak nampak salah silapnya kenyataan Dewan Ulamak PAS Pusat itu. Tetapi mungkin ada yang lebih nampak, maka mohon diperjelaskanlah mengapa ianya salah dan silap.
Apa pun kesemuanya tertakluk kepada keputusan PRK itu malam ini. Dan apa pun saya rasa kenyataan Dewan Ulamak Pusat itu perlu dihadam dan difahamkan, kerana apabila diberi peluang dan mempunyai peluang tiada sebab PAS tidak wajar naik ke atas memimpin ummah. Wallahualam.

Perlukah banduan diberi hak memilih dalam PRU (27/7/13)

Monday, July 22, 2013


Kerajaan sedang menimbangkan untuk membenarkan banduan yang menjalani hukuman di penjara untuk mengundi semasa PRU (sebelum ini mereka dinafikan hak itu).
Beberapa langkah sedang dikaji bagi mewujudkan mekanisma dimana dan bagaimana mereka ini nanti dapat menjalankan tanggungjawab mengundi itu. Menurut statistik setakat ini terdapat l;ebih 35,000 banduan yang sedang menjalani hukuman penjara dalam Negara.

Hakikat bahawa setiap warganegara Malaysia layak untuk berdaftar sebagai pengundi tidak dapat dinafikan.
Namun demikian idea untuk membenarkan banduan mengundi ini perlu dikaji sedalam-dalamnya. Perlukah mereka diberikan hak demikian?

Bukankah sebagai banduan mereka dengan sendirinya, telah dinafikan beberapa hak sehingga mereka selesai menjalankan hukuman masing-masing. Tiada lagi hak kebebasan bergerak, hubungan dengan dunia luar dikawal, mereka tiada hak berjual-beli atau berurusniaga, mudahnya angkara mereka merupakan banduan atas kesalahan sendiri maka segala hak yang diberikan kepada kewarganegaraan mereka terlucut atau tergantung buat sementara sehingga mereka selesai menjalankan hukuman.
Jika begitu, apakah rasionalnya maka mereka perlu diberikan hak untuk mengundi? Tidakkah ini nanti mendatangkan kos kepada kerajaan, risiko dan seumpamanya. Bukankah sukar nanti parti-parti bertanding mahu diberikan hak berkempen kepada mereka, dan wakil-wakil parti untuk hadir pula memerhatikan proses pengundianbanduan-banduan ini.

Warganegara biasa berhak memilih dan dipilih, tetapi mereka bukan warganegara biasa, mereka banduan. Oleh kerana mereka tidak boleh dipilih (bertanding dalam pilihanraya) maka tiada sebab mengapa mereka perlu pula diberi hak untuk memilih.
Namun demikian sekiranya mereka telah bebas menjalankan hukuman, itu perkara lain.

Secara peribadi saya berpandangan biarlah mereka menjalani hukuman, diberika pemulihan dan setelah bebas barulah dikembalikan hak memilih itu.

 

Alvin dan Vivien: Berani buat berani tanggung (19/7/13)

Friday, July 19, 2013


Pasangan Alvin Tan dan Vivien Lee semalam telah di dakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas 3 pertuduhan di bawah 3 undang-undang berbeza iaitu Akta Penapisan Filem, Kanun Kesiksaan dan Akta Hasutan yang sabit kesalahan boleh mengakibatkan pasangan berkenaan dipenjara dan didenda.
Pasangan ini menjadi popular apabila memuatkan gambar mereka memakan “bakut teh” (sup tulang rusuk khnizir) sambil mengucapkan selamat berpuasa kepada umat Islam dan mengajak umat Islam menikmati hidangan berkenaan untuk berbuka puasa.

Apa pun mahkamah lah yang akan memutuskan samada pasangan ini sabit atau tidak kesalahannya.
Diperingkat ini biarlah pendakwaan ini menjadi iktibar buat kita semua khasnya yang memiliki facebook, blog atau apa sahaja laman web sendiri. Ternyata tindakan kedua pasangan di atas telah mendapat reaksi negatif dari semua pihak termasuklah pimpinan parti-parti politik. Setakat ini tiada ada pula kedengaran mana-mana pihak yang membela atau mempertahankan tindakan kedua pasangan itu.

Bermakna rakyat Malaysia mahu memelihara keharmonian yang sedia ada yang terbina sekian lama memaut hubungan dan kesefahaman antara seluruh penduduk berbilang kaum dan agama dalam Negara ini.
Dari sejak sebelum Merdeka sehinggalah ke hari ini masing-masing kita akur dan faham akan sensitiviti masing-masing kaum dan agama. Kita tidak mahu siapa pun yang lantaran keceluparan mulut, kedangkalan perhitungan, kecelaruan nafsu, melewati batas dan pantang-larang mana-mana kaum dan agama sehingga akhirnya membawa kepada ketegangan dan porak-peranda.

Umat Islam yang membentuk majoriti penganut dalam Negara kita tidak mahu agama dan kepercayaan mereka dipermain dan dihina oleh mana-mana pihak sebagaimana kita percaya begitu juga bagi yang minoriti bukan Islam.
Kebebasan bersuara dan mengeluarkan pandangan bukanlah lesen besar bagi kita untuk menyatakan apa sahaja yang terlintas dalam fikiran kita. Pendakwaan ini membuktikan siapa sahaja yang merasakan bebas sebenar-benarnya untuk berkata apa sahaja, perlu sedar, bahawa mereka perlu bertanggungjawab atas kebebasan mereka itu.

Tulislah, sebutlah, ulaslah, naikkanlah apa sahaja gambar atau poster sesuka saudara, tetapi, berani buat berani tanggung.
Jangan apabila telah terlalu berani lantaran kebebasan tadi, tetapi apabila didakwa memberi seribu satu alasan menyelamatkan diri.

Sementara itu dalam akhbar tempatan hari ini kita turut terbaca berkenaan tuntutan agar mendakwa beberapa indidvidu dan personaliti tertentu yang sebelum ini telah turut mengeluarkan kenyataan yang dikira sensitif terhadap kaum atau agama lain dalam Negara.
Benar, tuntutan demikian itu ada asas dan perlukan perhatian pihak berwajin agar jangan dilihat ada pendakwaan berpilih atau "selective prosecution".

Walaubagaimanapun, jangan digerhanakan kes pasangan ini dengan tuntutan yang lain. Kita mahukan pembelaan dan kita mahu lihat bagaimana berani nya pasangan ini apabila mereka berfhadapan dengan pengadilan nanti.
Dalam pada itu tindakan Hakim Mahkamah Sesyen, semalam menafikan jaminan terhadap kedua pasangan di atas turut mendapat kritikan sesetengah pihak. Ada yang menganggap penafian jaminan itu (yang mengakibatkan kedua pasangan itu masuk ke penjara sementara menantikan pengadilan) sebagai satu hukuman sedangkan pasangan berkenaan belum membela diri.

Ini pun satu masalah.
Bukankah kita meletakkan keyakinan kepada sistem perundangan kita. Yang tidak berpuas hati boleh merayu, janganlah kita melompat sebelum selesai segalanya.

Saya perhatikan dalam akhbat The Star umpamanya kesemua pengkritik (yang kebanyakkannya pengamal undang-undang) menyatakan tidak puas hati dengan menyebut bahawa mahkamah boleh memberi jaminan mengikut budibicara (walaupun kesemua pertuduhan yang dibuat menafikan jaminan). Dalam kes ini semalam saya kira Hakim telah menggunakan budibicaranya itu dan keputusannya, mereka dinafikan jaminan. Oleh itu kita hormatilah keputusan itu melainkan tertuduh mahu merayu.
Semoga keadilan dicapai dalam kes yang sangat memalukan masyarakat kita ini.

Kekuatan PAS di Kuala Besut bersandar pada Islam (15/7/13)

Monday, July 15, 2013


Kenyataan Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub bahawa PAS di Kuala Besut akan berjuang berdasarkan kekuatannya dan bukan hal peribadi musuh adalah sesuatu yang wajar dibangakan (sila rujuk : http://www.thestar.com.my/News/Nation/2013/07/15/PAS-veep-We-focus-on-own-strength.aspx )
Sasaran 16:16 iaitu persamaan bilangan kerusi antara BN dan PR akan menjadi fokus PAS. Dengan kedudukan tersebut Dewan Negeri Terengganu akan berada dalam keadaan tergantung oleh kerana tiada satu parti dapat memperolehi majoriti di Dewan. Keadaan ini tidak pernah berlaku dalam sejarah Malaysia, da nada yang berpandangan dengan keadaan itu berkemungkinan Dewan akan dibubarkan bagi pilihanraya yang baru.

Dalam erti kata rakyat peluang untuk Islam kembali bertapak dan memerintah di Terengganu bermula dengan undi rakyat di Kuala Besut.
Dengan barakah Ramadhan mudah-mudahan akan terusiklah hati saudara-saudara kita di Kuala Besut untuk menyempurnakan sasaran 16:16 itu dan akhirnya memberi laluan untuk Islam kembali memimpin Terengganu sebagaimana di tahun 1959 dan 1999 dahulu.

Kekuatan PAS adalah Islam. Rakyat Kuala Besut perlu disedarkan bahawa mengundi PAS bermakna memberi nafas kepada bumi Terengganu untuk ditadbir dengan cara Islam.
Laluannya bukan mudah buat PAS, namun sekiranya PAS menyandarkan pada kekuatannya iaitu dasar dan matlamat perjuangannya tidak mustahil sekiranya kita memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan Allah swt, panji-panji Islam akan kembali berkibar di Terengganu sebagaimana di Badar dalam bulan Ramadhan al Mubarak ini.

 

Kod pakaian untuk wanita dikritik (12/7/13)

Friday, July 12, 2013


Saya sempat mendengar ucapan Ahli Parlimen Rantau Panjang YB Siti Zailah Yusoff di Parlimen baru-baru ini. Ternyata sebagai ahli parlimen yang mewakili parti yang memperjuangkan Islam, tambahan pula beliau seorang Muslimat, YB Zailah telah menjalankan tanggungjawabnya.
Di Parlimen YB Zailah mencadangkan agar Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat memperkenalkan kod pakaian untuk wanita agar dapat membenteras gangguan seksual ke atas mereka. Bagi yang Islam beliau menyarankan pakaian menurut kehendak syarak manakala bukan Islam pakaian yang sopan.

Saranan ini memang wajar kerana demikianlah perjuangan Islam yang dibawa oleh YB Zailah dan parti yang beliau wakili. Ianya tidak memeranjatkan kecualilah beliau menyatakan sebaliknya.
Untuk menyatakan sesuatu yang benar bukan mudah terutama dizaman serba mencabar pada hari ini. Kebenaran mudah diterima oleh mereka yang beriman namun bagi lain ia dilihat sebagai sesuatu yang janggal dan leceh.

Saya perhatikan ketika beliau berucap antara yang awal melenting adalah Ahli Parlimen Pengerang YB Azalina Othman Said.
Dan pada hari ini akhbar The Star contohnya menyediakan hampir separuh muka ruangan untuk menyerang dan memperlekeh cadangan YB Zailah itu. Kalau boleh disenaraikan antara yang kurang senang dan memandang rendah termasuklah:

IVY JOSIAH – Pengarah Eksekutif WAO yang menganggap YB Zailah tidak ada kefahaman berkenaan jenyah seksual
DATUK YU CHOK TOW – Ketua Wanita MCA yang menyatakan bahawa cadangan YB Zailah itu mencerminkan pemikiran konservatif PAS terhadap wanita. Beliau malah mencadangkan agar semua ahli parlimen wanita termasuk dari pembangkang agar mengutuk saranan YB Zailah itu.

NORHAYATI KAPRAWI – Penerbit Dokumentari yang menyatakan bahawa kiranya YB Zailah mewakili sikap PAS maka rakyat Malaysia khasnya wanita perlu bimbang pada PAS.
YB TEO NIE CHING – Ahli Parlimen DAP Kulai menganggap bahawa cadangan memperkenalkan kod berpakaian itu bukan hanya menghina wanita tetapi turut menghina kaum lelaki

DR HARTINI ZAINUDDIN – Aktivis Kebajikan Kanak-kanak secara sinis menyatakan : Kod berpakain untuk menghindar kejadian rogol? Kita dari planet mana?
Demikianlah reaksi yang kita terima apabila mahu mengemukakan penyelesaian cara Islam.

Apa pun saranan YB Zailah itu perlu terus diajukan dan yang penting disokong oleh mereka yang mendukung perjuangan Islam. Mungkin ada perhalusan dan penelitian yang perlu dilakukan, namun jangan sekali-kali berputus –asa dengan reaksi seumpama ini. Rakan-rakan ahli parlimen PAS yang lain perlu terus menghidupkan isu ini kerana ianya bukannnya pandangan peribadi YB Zailah tetapi kehendak syarak.
Yang kita lihat adalah reaksi mereka yang sehaluan dengan Azalina, tetapi yakinlah ramai lagi di luar sana insyallah bersetuju dan akan memberikan sokongan.

Sesungguhnya mereka yang mendukung dan bersama perjuangan Islam akan berbangga dengan apa yang telah disuarakan oleh YB Zailah. Teruskan menyatakan yang hak ketika Allah berikan kita peluang untuk berdakwah.



Jika ini tidak kurang ajar, apa lagi? (12/7/13)


Adakah kebebasan bersuara dan mengeluarkan pandangan itu bebas mutlak? Jangankan dalam Islam, dalam peraturan sivil pun kesemuanya tertakluk kepada peraturan dan perundangan. “Save in accordance with the law” adalah istilah biasa dalam undang-undang sivil Negara.
Apa lagi dalam masyarakat yang berbilang kaum dan agama di Malaysia. Sensitiviti masyarakat perlu dihormati dan dipelihara. Sekiranya tiada batas dan larangan ianya pasti mengundang bencana kerana yang terguris akan melenting tambahan jika yang diguris itu melibatkan kepercayaan dan peradaban satu-satu kaum yang lain.

Saya kira masyarakat Malaysia sudah matang dan dewasa akan hakikat ini. Kerana itu masyarakat kita yang pelbagai dapat hidup rukun dan damai dalam satu Negara, tidak seperti di Negara lain yang menyaksikan pertumpahan darah dan keganasan.
Cuba anda amati ungkapan ini:

Izinkan kami memperkenalkan cara kami memupuk semangat 1Malaysia dengan bertukar-tukar makanan antara kaum-kaum Malaysia pada musim perayaan yang mulia ini. Hak untuk menikmati juadah enak tempatan seharusnya merentasi batasan bangsa dan juga agama. Kepada saudara-saudari yang beragama Islam, selamat berbuka puasa dan Salam Aidilfitri!
-Sahabatmu, Alvin dan Vivian-

Ianya satu posting di facebook milik pasangan di atas yang dimuatkan siap dengan gambar berikut:

 

Jika ini tidak kurang ajar, apa lagi?
(Pasangan ini sedang bergambar dengan sajian popular masyarakat Cina iaitu "Bah Kut Teh" yang mengandungi daging khinzir - perhatikan logo Halal yang turut dinaikkan)
Kedua pasangan di atas yang memangnya tersohor dengan aksi lucah dalam facebook mereka sebelum ini memberi reaksi kononnya posting mereka ini sekadar suatu jenaka, bukan serius.

Jenis individu dan kumpulan seumpama inilah yang akan menggegar kestabilan Negara yang dimaksudkan lantaran cetek akal dan keceluparan mulut. Bayangkan kalau pihak yang terguris pula memberi rekasi, tidakkah ini nanti akan mengundang bencana.
Kerana itulah kebebasan apa pun sepatutnya tidak ditangkap muat sebagai sesuatu yang bebas mutlak. Yang bebas mutlak adalah mereka yang tinggal di hutan dan rimba. Makan dan musnah sesama mereka, bagi kita yang beradab dan bertamaddun biarlah berpada-pada.

Mohon pihak yang bertanggungjawab memberi perhatian kepada posting dan pasangan yang dimaksudkan. (Kepada pasangan ini: jangan bermain api, nanti terbakar tangan....)

PAS jangan sekali-kali kalut (6/7/13)

Saturday, July 06, 2013


Rata-rata hari ini PAS dilihat sebagai satu-satunya parti yang berjuang untuk menegak dan memartabatkan Islam dalam Negara. Saya masih ingat Tuan Guru Presiden PAS pernah berkata dewasa ini hanya PAS lah kekal sebagai satu-satunya parti yang memperjuangkan Islam di Malaysia, tidak seperti Negara Islam lain dimana dalam sebuah Negara hadir terlalu banyak parti Islam sehingga menimbulkan kekalutan, perbalahan dan malah sehingga melengahkan lagi kemenagan Islam.
Sesunggunya struktur parti PAS yang lengkap tersusun dengan Majlis Syura Ulamaknya sebagai badan yang menghurai, menjelas dan mentafsir dasar PAS selain Dewan Ulamak dan penyertaan berbagai golongan sebagai ahli, PAS dilihat dan diterima sebagai sebuah parti politik Islam yang sempurna.

Kerana itu masyarakat mengharapkan dalam isu-isu yang melibatkan Islam, PAS perlulah sentiasa kehadapan. PAS perlu konsisten berpegang pada Islam dan sentiasa berdakwah memahamkan masyarakat samada Islam mahupun yang bukan Islam berhubung Islam itu sendiri.
Oleh itu dalam persoalan Islam khasnya yang berkaitan dengan hukum-hakam biarlah PAS sentiasa dilihat bersatu dalam memberi dan menyatakan pendirian serta mempertahankannya. Jika dalam hal prinsip seumpama ini ada pelbagai pandangan dan malah seakan wujud konflik pula antara pihak yang lebih berwibawa mengeluarkan pandangan dengan pihak yang sepatutnya akur, maka PAS walaupun hanya satu parti yang memperjuangkan Islam di Malaysia, akan kelihatan kalut dan berserabut.

Saya ambil contoh isu Rang Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2013 yang ditarik balik atas arahan kabinet baru-baru ini. Rang Undang-undang berkenaan menyentuh isu status agama anak dalam kes ibu atau bapa memeluk agama Islam.
Setakat ini dua pemimpin PAS iaitu Ketua Dewan Ulamak Pusat dan seorang pemimpin PAS Pusat telah mengeluarkan kenyataan dan ulasan. Ketua Dewan Ulamak PAS dilaporkan berkata bahawa undang-undang syariah sepatutnya dijadikan rujukan dalam rang undang-undang ini dan menurut syarak kata beliau anak-anak yang belum baligh akan mengikut agama bapanya apabila memeluk Islam.

Biarlah PAS terbit dengan pendirian yang tetap dan bertepatan dengan syarak kerana ratusan ribu ahlinya insyallah akan mempertahankan pendirian itu demi membela dan mendaulatkan Islam.
Saya sedih apabila laman-laman portal berita alternatif contohnya Malaysian Insider di http://www.themalaysianinsider.com/malaysia/article/syariah-law-takes-priority-in-unilateral-conversion-issue-says-pas-ulama-chief/  mengangkat kenyataan Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat dan kemudian seolah cuba melagakan dan membuka pintu komen untuk mengkritik dan merendah serta mempersenda Islam.

Ulasan ikhlas menyatakan pendirian Islam menjadi bahan maki hamun yang datang dari entah manusia jenis apa.
Ini baru satu isu, saya percaya mendatang nanti akan banyak lagi isu dan cabaran.Kesimpulannya PAS mesti pantas beri rekasi dan reaksi itu wajib didokong oleh kesemua pimpinan dan ahli demi mencerminkan kesatuan jamaah dan fikrah.

 

 

Isu-isu Islam di Selangor (6/7/13)


Ucapan ADUN Sri Andalas dari PKR Dr Xavier Jayakumar di Dewan Negeri Selangor baru-baru ini telah mencuri minat banyak pihak. Sebenarnya apa yang ditonjolkan oleh beliau yang mendapat perhatian ramai adalah berkenaan dua perkara:
PERTAMA: agar satu undang-udang diperkenalkan bagi melarang perbuatan meminum minuman keras di tempat awam.

Berkenaan itu beliau dipetik sebagai berkata:
"Pejabat saya telah menerima banyak aduan dari orang ramai tentang kumpulan yang minum minuman keras di lokasi berkenaan sehingga larut malam dan kemudian meninggalkan botol kosong dan juga pecah yang berselerak di tempat tersebut. Keadaan ini menyebabkan kacau dan ganggu kepada keharmonian dan ketenteraman penduduk setempat di kawasan berhampiran,"

KEDUA: menuntut agar kerajaan mengharamkan penjualan ARAK MURAH bagi membendung gejala sosial yang menurutnya semakin serius.
Sehubungan itu beliau dipetik sebagai berkata:

"Saya juga mohon kerajaan negeri melarang dan mengharamkan jualan arak murah yang boleh diperolehi dengan mudah dan berleluasa di kedai runcit, kedai perubatan Cina dan pasaraya di seluruh negeri. Yang begitu membimbangkan, pengambilan minuman ini dilakukan oleh ramai dari masyarakat India berpendapatan rendah.Ini menimbulkan masalah gejala sosial dan menyebabkan banyak berlakunya kes jenayah dan penderaan rumah tangga di kalangan masyarakat India yang tinggal di kawasan bandar dan luar bandar.
Ternyata apa yang dibawa oleh Dr Xavier berpunca dari aduan yang beliau terima dari masyarakat di kawasan yang diwakilinya. Dalam perkara kedua beliau sangat prihatin terhadap nasib masyarakat India berpendapatan rendah yang terjebak dengan arak murah sehingga membawa kepada penyakit dalam masyarakat.

Atas semangat cadangan yang dibawa Dr Xavier itu saya kagum apabila Ketua Dewan Pemuda PAS Gombak Ustaz Syarhan terus mengeluarkan kenyataan menyokong cadangan Dr Xavier itu dan malah beliau dipetik sebagai berkata:
Cadangan ini juga selaras dengan dasar PAS supaya arak tidak dijual sewenang-wenangnya ditempat awam dan di kawasan majoriti Muslim. Jadi, Dewan Pemuda PAS Gombak (DPPG) berharap cadangan ini bukan sahaja diguna pakai di Negeri Selangor, tetapi kerajaan pusat juga turut menyambut baik cadangan ini dan diperluas ke seluruh negeri memandangkan Malaysia adalah negara majoriti Islam.

Malah amat baik sekali jika kilang arak terbesar di Malaysia dan di Asia Tenggara iaitu Carlsberg di Shah Alam dikaji semula dan seboleh-bolehnya ditutup bagi meraikan umat Islam di Malaysia.
Kita akui bahawa arak ini diharamkan oleh Islam ke atas penganutnya. Cuma dalam kes masyarakat bukan Islam sebagaimana di Kelantan, mereka dibenarkan meminumnya dengan syarat dan peraturan tertentu.

Dalam hal ini ARAK MURAH jika sudah diakui mendatangkan mudarat sebagaimana dinyatakan oleh Dr Xavier maka sewajarnyalah kerajaan sekurang-kurangnya kerajaan Selangor mengambil langkah mengharamkan penjualannya.
Berkaitan kilang-kilang arak di Selangor ianya satu isu yang berlainan.

Haram tetap haram dari sudut syarak, tetapi bagaimana PAS yang diwakili dalam kerajaan Selangor dapat mengambil peranan menerapkan “keadilan” Islam dalam mendekati isu kilang yang telah sekian lama sedia ada tersergam gagah!
PAS tidak boleh menyepikan perkara ini kerana ia hakikat. Isunya apa yang boleh PAS lakukan memandangkan ia kini duduk dalam kerajaan. Di sinilah semua pihak khasnya dalam PAS Selangor perlu mengambil serisu sebagaimana saranan Ustaz Syarhan itu.

Dalam realiti hari ini kita mungkin tiada berkepuyaaan menutup kilang-kilang tersebut, tetapi pasti di sana ada beberapa pendekatan dan langkah yang boleh kita ambil sekurang-kurangnya bagi menyelamatkan masyarakat Islam di negeri yang kita turut perintah ini.
Dahulu saya pernah bangkitkan perkara ini, tetapi dalam PRU lalu kekuatan politik PAS tidaklah sebagaimana hari ini. Lantas sesuai sangatlah perkara ini dihidupkan semula agar PAS nampak sungguh-sungguh boleh berperanan apabila diberi kuasa.

Saya pernah mengesyorkan agar kerajaan negeri sekurang-kurangnya menyelamatkan kakitangan Islam yang ramai bekerja makan gaji di Guiness Anchor Berhad, GAB dan Carlsberg. Memang mungkin sukar kerana mereka telah ada yang lama bekerja di sana . Tetapi menjadi tanggungjawab kita menyedarkan mereka dan mengambil langkah menyelamatkan mereka.
Satu majlis dialog dengan mereka perlu diusahakan. EXCO Agama dan JAIS perlu mendapatkan kerajasama kilang-kilang ini bagi menyenaraikan kakitangan Islam mereka dari buruh, drebar lori, juruteknik sehinggalah eksekutif dan pegawai kanan.

Panggil mereka dan berikan kesedaran.
Kemudian dana perlu diwujudkan bagi mengusahakan mereka keluar dari industri haram ini. Satu tabung diwujudkan mungin dari dana Baitulmal jika diizinkan, bagi menampung dan memberi pampasan kepada mereka. Kemudian satu badan diwujudkan bagi mendapatkan pekerjaan baru buat mereka samada dalam GLC milik kerajaan negeri sendiri atau lain-lain syarikat demi menyelamatkan mereka.

Kalau kita tidak berupaya menutup kilang ini sekurang-kurangnya kita dapat menjawab di hadapan Kadhi Rabbul Jalil bahawa kilang ini hanya menggajikan pekerja bukan Islam dan mengilangkan arak buat bukan Islam.
Begitu juga bagi industri hiburan, pub dan kelab-kelab yang menghidangkan arak. Atas semangat sarana Ustaz Syarhan ini, jika kita tidak berupaya menutupnya maka selamatkanlah anak-anak Islam yang bekerja makan gaji di premis-premis seumpama ini.

Saya yakin tiada pihak lain yang wajar dan wajib memikul tanggungjawab ini di Selangor selain PAS.
Diharapkan saranan ini mendapat perhatian serius PAS Selangor. Kalau Dr Xavier boleh bangun atas keprihatinan keluhan masyarakat yang diwakilinya serta kebimbangan gejala social yang melanda masyarakat India berpendapatan rendah, mengapa kita tidak boleh bangkit atas keprihatinan masyarakat Islam, agama Islam yang kita anuti dan perjuangkan.

Dimana ada kemahuan di situ ada jalan insyallah.