Selangor "Negeri PAS" : YB Iskandar (28/5/13)

Tuesday, May 28, 2013


Saya kagum melihat dan membaca kenyataan akhbar berikut yang dikeluarkan oleh YDP PAS Kawasan Pandan, Selangor yang juga ADUN Cempaka YB Iskandar Abdul Samad:
Ahli dan pimpinan PAS di seluruh negara mesti menganggap Selangor sebagai sebuah "negeri PAS" sepertimana selama ini mereka menganggap Kelantan, Kedah dan Terengganu.

PAS di Selangor pada Pilihan Raya Umum Ke 13 telah memenangi 15 kerusi Dewan Negeri, sama banyak jumlah kerusi PAS di Terengganu dan melebihi kerusi PAS di Kedah.

 Selangor adalah unik kerana selain dari menjadi "negeri PAS" ia juga "negeri DAP" dan "negeri PKR". Tidak ada parti yang boleh mengakui negeri ini "negeri mereka" kerana jumlah kerusi Dewan Negeri setiap parti adalah hampir sama. Ianya adalah "negeri Pakatan Rakyat" yang sebenar.
Oleh yang demikian, pimpinan PAS terutamanya pimpinan tertinggi parti mesti memberi tumpuan yang sama kepada Selangor sepertimana tumpuan yang mereka berikan kepada Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Isu-isu negeri Selangor mesti turut dibincang dan dibahas secara panjang lebar pada mesyuarat pimpinan tertinggi dan Muktamar sepertimana dilakukan pada mesyuarat pimpinan tertinggi dan Kongres PKR atau DAP.
Dengan ura-ura perlantikan Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution sebagai "political liaison" atau pegawai perhubungan politik di Pejabat Menteri Besar Selangor, seorang Naib Presiden PAS juga mesti ditugaskan untuk memantau urusan-urusan harian di Selangor.

Ahli-ahli telah bekerja keras untuk mengukuhkan dan mengembangkan pengaruh PAS di Selangor, mereka mengharapkan perhatian yang lebih dari pimpinan tertinggi
Sememangnya kemenangan di Selangor kali ini adalah luar biasa buat PAS. Peningkatan bagi PAS jauh mengatasi rakan-rakan lain dalam PR. Selangor adalah kes pertama buat PAS dalam mengamalkan tahaluf siyasi dimana bilangan wakil PAS seimbang dengan DAP dan PKR dengan 14 kerusi.

Uniknya di Selangor walau kedudukan kerusi PAS dan DAP iaitu 15 masing-masing mengatasi kerusi PKR iaitu 14 namun PAS dan DAP memberi laluan kepada PKR menjadi MB. Ia tidak boleh disamakan dengan insiden di Perak pada PRU lalu apabila Ir Nizar menjadi MB sedangkan PAS rakan kongsi terkecil, kerana di Perak ianya masalah Perlembagaan.
Saya setuju dengan YB Iskandar, bahawa PAS perlu beri tumpuan kepada Selangor kerana ia kini Negeri PAS sebagaimana Kelantan. Cuma teraju sahaja bukan PAS. Dan saya juga setuju bahawa jika PKR meletakkan pemimpin kanannya sebagai “political liaison” di Pejabat MB Selangor, PAS juga perlu mengambil langkah yang sama. Malah PAS lah yang sepatutnya ke sana. Mungkin YB Takiyuddin Hasan yang kini Penolong Setiausaha Agung PAS, bekas EXCO Kelantan boleh menjadi wakil PAS di Pejabat MB.

PAS dengan kedudukannya yang besar di Selangor sedar tak sedar kini sudah menggantikan Umno sebagai tunggak kuasa politik Melayu/Islam di negeri ini (Umno cuma tinggal 12 kerusi). Sudah pastilah pengharapan rakyat khasnya dalam isu berkenaan sangat tinggi dan malah PAS perlu membuktikan bahawa dalam isu-isu Islam di Selangor khasnya, PAS jauh lebih mampu dari Umno.
Saya tahu ada dikalangan pimpinan entah lantaran apa, apabila kita sebut sahaja isu Melayu/Islam boleh jadi fobia, kononnya mahu meniru agenda JATI Hasan Ali!

Bagi saya PAS suka tak suka tidak boleh lari dari agenda Melayu/Islam selain memperjuangkan hak semua rakyat. DAP tidak pernah segan silu apabila memperjuangkan hak sekolah jenis kebangsaan, hak peniaga-peniaga kecil Cina, hak rumah ibadat bukan Islam dan dalam waktu yang sama mereka juga memperjuangkan hak semua rakyat.
Orang Melayu di Selangor sudah mula pindah dari Umno ke PAS sebagaimana rakyat di Kelantan. Oleh itu sudah pastilah mereka mahu melihat sesuatu yang isitimewa dijuarai oleh PAS bagi menggantikan Umno yang sudah semakin tidak relevan.

Sebagaimana yang diluahkan YB Iskandar:
Ahli-ahli telah bekerja keras untuk mengukuhkan dan mengembangkan pengaruh PAS di Selangor, mereka mengharapkan perhatian yang lebih dari pimpinan tertinggi.

Justeru kita harapkan dalam pembahagian EXCO nanti pun PAS diwakili setimpal dengan kekuatannya. Kalau sebelum ini MB umumkan 4 EXCO buat PAS yang memang 15 kerusi, kita harap begitulah, tanpa dikurang-kurang terutama dengan salah seorang memegang portfolio Agama Islam.
Diharapkan PAS mampu mengisi kemenangan ini dan muncul lebih teguh dalam PRU berikutnya insyallah.

PAS kekal kuat bawah kepimpinan Tuan Guru Presiden (29/5/13)


Kebelakangan ini ramai membicarakan darihal keperibadian dan kepimpinan Presiden PAS Dato Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang. Ini barangkali ekoran keceluparan mulut seorang pemimpin muda dari kalangan Pakatan baru-baru ini yang telah menyerang Tuan Guru dalam ucapannya.
Memang hanya jauhari yang mengenal manikam.

Ilmu, ketokohan dan keperibadian Tuan Guru bagi saya yang pernah berkesempatan berkhidmat di bawah beliau jauh mengatasi mana-mana pemimpin tempatan dan pemimpin politik yang ada pada hari ini. Beliau memiliki keupayaan untuk melihat secara mendalam dan jauh satu-satu isu dan permasalahan yang saya percaya anugerah dari ilmu dan kewarakkannya yang tiada pada yang lain.

Pernah pada satu hari sebelum PRU ke 12, seorang pemimpin datang menemui beliau dengan beberapa helaian kertas yang menunjukkan analisa pemimpin itu terhadap jangkaan prestasi PAS bagi PRU ke 12 (saya tidak pasti pemimpin itu ingat atau tidak kerana dengan takdir Allah beliau juga kemudian menang satu kerusi Parlimen di tempat yang PAS tidak pernah menang). Ternyata bacaannya menunjukkan PAS tidak mempunyai harapan yang baik ketika itu.
Tuan Guru dengan tenang melihat kertas berkenaan dan mendengar hujah pemimpin itu. Kemudian katanya itu analisis pemimpin berkenaan yang dibuat berdasar angka-angka fizikal yang ada. Bagaimana dengan bantuan langit yang tidak dapat kita hitung dan jangka, kata Tuan Guru terus tenang. Benar bacaan itu tetapi kata Tuan Guru beliau juga percaya pada janji-janji dan bantuan Allah (lebih kurang begitulah kerana saya hadir ketika itu).

Dengan kuasa Allah swt, dalam PRU ke 12 PAS menang besar bersama PR selain mengekalkan Kelantan, PAS dan PR tumbangkan BN di Kedah, Selangor, Perak dan Pulau Pinang!
Itu mukadimmah saya berkenaan Tuan Guru. Cuma dalam posting ini saya mahu kaitkan dengan satu lagi persitiwa yang lebih rapat dengan saya kerana kebetulan kita membincangkan ketokohan beliau selain dalam masa yang sama kita berhadapan dengan sitiuasi dimana PAS hai ini mencatatkan prestasi terbaik di negeri Selangor. PRU ke 12 lalu kita menang 8 kerusi, kali ini 15.

Pada penggal yang lalu PAS bersama PKR dan DAP buat pertama kali berkongsi kuasa memerintah Selangor. Ketika itu sudah pastilah pengalaman baru ini membawa pelbagai cabaran dan dugaan baru. Dalam sejarah PAS tidak pernah berkongsi memerintah dimana ia bukan blok yang dominan seperti di Kelantan, Terengganu atau Kedah.
PAS Selangor ketika itu diketuai Dato Dr Hasan Ali, yang semua tahu dipenghujung penggal ke 12 itu telah dipecat dari parti.

Dr Hasan berhadapan pelbagai permasalahan diperingkat pentadbiran negeri diperingkat awal yang yang pada pandangan beliau sukar diselesaikan. Berbagai forum digunakan untuk meleraikan kekusutuan, namun tidak memuaskan hati. Beliau buntu dan ramai yang lain turut buntu sehinggalah saya dan Setiuasaha Perhubungan mencadangkan agar kita mendapatkan nasihat dan pandangan pemimpin kita, iaitu Tuan Guru Presiden sendiri yang saya yakin akan memberi bimbingan berasaskan ilmu dan pengalaman beliau.
Lalu disusunkan pertemuan tertutup. Saya dan Setiausaha Perhubungan hadir. Tuan Guru mendengar luahan hati Dr Hasan dan apabila tiba giliran beliau Tuan Guru berhujah berdsasarkan kisah riwayat Salahuddin al Ayubi.

(Untuk mengetahui kisah terperinci saya syorkan kita masing-masing mengimbas semula kisah Salahuddin yang berkenaan melalui bacaan masing-masing)
Menurut Tuan Guru apabila diperintahkan oleh Khalifah (Nururddin Zanki) untuk menjadi wakilnya, ke Mesir, Salahuddin menerima amanah tersebut dengan penuh kegusaran serta tidak selesa. Kerana apa? Kerana kerajaan Mesir ketika itu di bawah pemerintah Fatimiyyah yang pro Syiah. Salahuddin gelisah namun menerima juga amanah berkenaan dan yang paling penting menurut Tuan Guru, Salahuddin BERSABAR. (banyak amalan Syiah dipraktikkan di Mesir ketika itu termasuk yang ekstrim dan bertentangan dengan amalan Ahli Sunnah).

Akhirnya (pada 567H) Al-Adid yang memimpin Kerajaan Fatimiyyah ketika itu meninggal dunia. Salahuddin al Ayubi terus dilantik menjadi pemimpin Mesir, menandakan tamatnya pemerintahan Fatimiyyah yang pro Syiah itu.
Dari situ dengan kuasa yang ada, Salahuddin telah bangkit membersihkan amalan Syiah dan membina Mesir sebagai salah sebuah kuasa Sunni sehinggalah ke hari ini.

Pengajaran dari kisah Tuan Guru ini, bahawa dalam berhadapan dengan situasi seumpama ini dalam kes Selangor, Dr Hasan selaku pemimpin harakah Islam di negeri berkenaan, sewajarnya bersabar. Gunakan waktu yang ada membina kekuatan dalaman dan menyibarkan dakwah Islamiyyah. Kata kuncinya BERSABAR!
Itulah nasihat terakhir Tuan Guru Presiden buat beliau sebagai pemimpin nombor satu PAS Selangor, saya hadir dan mengiakan nasihat itu. Malangnya barangkali dalam kamus Dr Hasan ketika itu SABAR tiada wujud sebagai satu formula penyelesaian. Dr Hasan tidak sanggup menjadi Salahuddin, kesudahnnya kita semua telah tahu akan nasib yang menimpa Dr Hasan.

Hari ini saya berani menyatakan bahawa pandangan Tuan Guru Presiden kita itu Subhanallah memang tepat. PAS semakin kuat di negeri Selangor, kiranya SABAR menjadi formula yang digarap oleh Dr Hasan ketika itu, hari ini barangkali suasananya persis Salahuddin al Ayubi di Mesir!
Kesimpulannya itulah keistimewaan Tuan Guru Presiden PAS dan sudah tentu banyak lagi pengalaman, insiden dan cerita yang boleh dikhabarkan berkenaan kredibiliti dan karisma beliau. Orang lain atau orang luar mungkin pandang rendah atau mudah menghina dan merendah-rendahkan beliau (termasuklah tidak terkecuali segelintir dari dalam). Tetapi orang yang kenali dan rapat dengan beliau sangat menyayangi dan mengkagumi tokoh ulamak ini.

PAS insyallah akan kekal relevan dan kuat selagi ia bernaung di bawah kepimpinan ulamak samada ada yang suka atau tidak kerana kekuatannya bukan semata-mata bersandar pada kekuatan fizikal dan angka, tetapi apabila menepati syarat-syaratnya maka akan turut sertalah kekuatan bantuan dari langit!

 

Dewan Sarawak naik 300% Dewan Rakyat bagaimana? (22/5/13)

Wednesday, May 22, 2013


Dalam kita menuntut agar elaun dan ganjaran ahli-ahli Parlimen kita disemak semula, Dewan Negeri Sarawak telah pun mendahuluinya. Semalam satu rang undang-undang telah dibentangkan oleh Menteri Kewangan Negeri Kedua Sarawak, bagi menaikkan elaun 71 ADUN dan Kabinet Negerinya sebanyak 300%. Semakan terakhir dilakukan di Sarawak adalah lebih 33 tahun dahulu iaitu pada tahun 1980.
Cuma yang lajunya di Sarawak, elaun Ketua Menterinya setelah disemak semula melalui rang undang-undang berkenaan kini lebih tinggi dari elaun Perdan Menteri sendiri. Elaun PM Malaysia kini adalah sebanyak RM22,826.65 manakala elaun Ketua Menteri Sarawak dengan rang undang-undang berkenaan bakal mencecah RM39,000 iaitu lebih RM16,173.35 dari PM.

Begitu juga elaun bulanan ADUN Sarawak bakal naik RM15,000 (dari RM4,500) berbanding elaun ahli Parlimen Malaysia sekitar RM6,508.59 iaitu lebih RM 8,491.41!
Bagaimana dengan cadangan kenaikkan buat ahli-ahli Parlimen kita?

Kalau 300% dijadikan “benchmark” maka ahli-ahli Parlimen kita juga sepatutnya menerima elaun bulanan RM19,525.77 sebulan.
Sebenar-benarnya adakah tinggi RM19,525.77 itu jika dibayar kepada ahli-ahli Parlimen kita?

Dua hari lepas akhbar The Star menyiarkan pendapatan dua orang tokoh korporat yang meninggalkan jawatan korporat mereka kerana menyertai kabinet. Senator Datuk Paul Low contohnya menerima elaun RM560,000 setahun dari pelbagai jawatan korporat yang disandangnya iaitu bersamaan RM18,666.66 sebulan. Manakala Senator Datuk Seri Abd Wahid Omar bekas CEO Maybank pula menerima RM4.68 juta iaitu bersamaan RM390,000 sebulan!
Bagi saya memandangkan peri pentingnya tugas dan tanggungjawab ahli-ahli Parlimen kita serta status mereka dalam masyarakat tidaklah keterlaluan kalau apa yang berlaku di Sarawak turut dinikmati oleh mereka.

Mudah-mudahan jika ia dipertimbang dan menjadi realiti, mereka akan memberikan khidmat yang lebih fokus dan baik buat Negara, dan yang akan menikmati kesejahteraannya nanti adalah rakyat jua.
Padan-padankanlah tugas dan tanggungjawab mereka dengan imbuhan yang dibayar. Mungkin ada pula nanti kalangan mereka yang menolak, kalau tolak terpulanglah kepada individu berkenaan tetapi saya yakin yang selebihnya akan menerimanya dengan nita akan memartabatkan lagi tugas dan pengorbanan mereka.

 

Antara himpunan aman dan keganasan (22/5/13)


Saya mungkin jadi tidak popular kerana posting ini. Tetapi saya sebagaimana anda semua masing-masing punya hak dan kebebasan bersuara. Hak dan kebebasan itu sewajarnya dihormati kecualilah sekiranya ia bertentangan dengan undang-undang dan peraturan Negara.
Kerana itu selaku seorang blogger contohnya, beliau perlu bertanggungjawab di atas segala yang ditulis dan diterbitkannya. Jika melanggar sebarang undang-undang atau peraturan, blogger tadi perlu berani bertanggungjawab sebagaimana ia berani mengeluarkan pandangannya itu.

Politik keganasan contohnya, adalah sesuatu yang ditolak rakyat Malaysia. Perhimpunan aman walaubagaimanapun yang menyuarakan hak dan tuntutan tidaklah termasuk dalam kategori ini. Jenis politik keganasan adalah menghasut hadirin bangkit menentang dengan cara tidak demokratik, menggunakan tangan dan tidak undang-undang.
Kebelakangan ini kita membaca kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin-pemimpin muda PAS yang kini masing-masing bakal duduk dalam Dewan Rakyat. Antaranya Nik Abduh, ahli Parlimen Pasir Mas yang menyatakan dalam facebooknya bahawa:

 Anda terfikir untuk 'spring' dan memperolehi kerajaan melalui ledakan di jalan raya?
Itu adalah gopoh. Fikirkan kemenangan melalui kesabaran. Kesabaran adalah kunci yang membuka. Apa perlu kemenangan yang isinya belum ranum?

Orang muda perlu insaf, semangat tidak boleh meminggirkan ketuanan sifat sabar dalam memburu kemenangan.
Kesedaran rakyat baru bermula. Kita masih ada masa dan masa itu sedang bersama kita.

Itu pandangan seorang anak muda pemimpin Islam yang waras. Pandangan itu turut dikongsi oleh Ustaz Nasruddin Hassan Tantawi, ahli parlimen Temerloh yang juga Ketua Pemuda PAS. Kata beliau:
Kami berjuang untuk masa depan agama, negara dan rakyat.

Kami tidak akan turun ke jalan raya untuk mencetus keganasan dan keresahan rakyat sebagaimana yang telah ditegaskan Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas, Nik Mohd. Abduh Nik Abdul Aziz semalam
Dan kedua-dua kenyataan ini disahut secara positif oleh Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat Ustaz Dato Harun Taib apabila beliau menyatakan:

Memang sudah lama, sejak dulu lagi hingga sekarang Pas pilih demokrasi dan perkara ini kekal menjadi pegangan kita (Pas), mungkin sampai bila-bila.
Bagi Pas, amalan demokrasi adalah yang sebaik-baiknya, bukan bertindak mengikut emosi sehingga berlaku huru-hara. Dalam Islam juga tak mahu berlaku huru-hara.

Biarlah semuanya dalam keadaan aman damai untuk kesejahteraan rakyat. Perlu ingat, Pas tak suka buat huru-hara.
Saya membangkitkan hal ini ekoran insiden yang melibatkan aktivis pelajar Adan Adli yang ditahan polis di bawah Seksyen 4 Akta Hasutan dan Seksyen 124(b) Kanun Keseksaan kerana ucapannya dalam satu majlis di Dewan Perhimpunan Cina Selangor baru-baru ini.

Antara kandungannya:
Kalau ada polis, SB (cawangan khas), ejen Umno, ejen Barisan Nasional di sini, nama saya Adam Adli Abd Halim... ambil butiran saya, buat laporan polis kerana hari ini saya mahu mengajak semua rakyat, kita susun dan kita akan turun ke jalan raya untuk merampas balik kuasa.

Kita tidak banyak masa lagi, kita akan turun ke jalan raya sebab dalam dunia ketiga seperti negara Malaysia ini, pilihan raya tidak akan menumbangkan kerajaan, yang boleh hanyalah kuasa rakyat. Ini sahaja peluang kita ada,
Adam telah mengeluarkan kenyataan mengajak rakyat menumbangkan kerajaan yang ada melalui kuasa selain demokrasi. Lalu beliau didakwa. Jika benar kenyataan ini jelas ia bertentangan dengan kenyataan-kenyataan di atas. Apa pun Adam kini akan dihadapkan ke mahkamah dan beliau akan di adili. Di sana beliau berhak mempertahankan diri dan proses undang-undangnlah yang akan menentukan nasibnya.

Bagi saya kenyataan seperti ini dan kenyataan-kenyataan lain yang hampir serupa yang dinukilkan oleh blogger tertentu dalam blog mereka adalah keras dan tajam dan dalam proses politik berpilihanraya, ianya sangat bertentangan.
Apa pun sesiapa sahaja layak menyatakan apa sahaja yang tertunjam dibenak hatinya, kalau mahu dikongsi dengan orang-ramai, asalkan ia sanggup bertanggungjawab.

Saya sekali lagi menegaskan bahawa saya setuju dengan kaedah perhimpunan aman dan bantahan secara terbuka namun apa sahaja yang berunsur ketegangan dan kekerasan perlu ditolak oleh semua, wallahualam.

Rogol dinafikan dengan nikah! (21/5/13)

Tuesday, May 21, 2013

Saya kesal membaca berita berkenaan insiden ini (saya percaya semua ibu-bapa yang punya anak perempuan juga akan turut begitu). Ia amat memalukan dan tambahan apabila si penjenayah dan mangsa merupakan orang Islam, maka bertambah sedih kita membacanya.

Riduan Masmud (kiri) 40 tahun dituduh merogol mangsa 14 tahun di dalam sebuah kereta di Inanam, Sabah pada 28 Febuari lalu. Beliau didakwa di mahkamah atas tuduhan merogol, namun kini dengan perkembangan terbaru tertuduh dilaporkan mengahwini mangsa dan ekoran itu laporan terhadap beliau telah ditarik balik. Semalam mahkamah memutuskan 1 Julai untuk tarikh menimbangkan samada akan meneruskan pendakwaan terhadap tertuduh atau mengguhurkan kesnya.
Adalah difahamkan mangsa adalah dari keluarga misikin dan apabila bapa mangsa ditanya adakah beliau menerima perkahwinan anaknya dengan tertuduh beliau menjawab:

Ia adalah terbaik buatnya (anak beliau). Apa lagi yang boleh saya lakukan.

Benar kalau mangsa telah baligh, beliau boleh bernikah, itu peraturan agama.

Tetapi dalam hal ini seksyen 375 Kanun Keseksaan Malaysia menetapkan apabila berlaku hubungan seks antara seorang dewasa dengan gadis di bawah 16 tahun samada dengan kerelaanya atau tidak, maka ia dikira jenayah rogol.
Apa pun hujah bagi saya tertuduh telah melakukan jenayah. Saya yakin gadis ini tidak sedar apa yang berlaku dan apa yang bakal beliau tanggung. Jenayah seksual ini telah berlaku dan ia tidak boleh diampunkan dengan menutupnya melalui pernikahan!

Semalam di mahkamah beberapa NGO khasnya badan-badan wanita turut hadir bagi menyatakan simpati terhadap insiden yang berlaku terhadap gadis malang ini. Tidak disebut pula sebarang nama NGO Islam atau parti Islam kecuali Sister in Islam yang saya tak kategorikan sebagai NGO Islam!

Gadis ini dan keluarga beliau perlu diberi faham dan perlukan pembelaan.
Kenapa kita diam?

Semak semula elaundan ganjaran ahli Parlimen (21/5/13)


Akhbar The Star semalam menyiarkan darihal elaun dan ganjaran yang diterima oleh ahli-ahli Parlimen Malaysia. Dan dalam akhbar yang sama hari ini disiarkan laporan susulan di bawah tajuk:
“MPs: Money goes to the people”

Menurut laporan semalam seorang ahli parlimen di Malaysia menerima elaun RM6,508.59 sebulan selain elaun-elaun dan keistimewaan lain. Antara elaun yang diterima adalah keraiaan RM1,500 sebulan, pemandu RM1,200 sebulan, perjalanan RM1,500 sebulan dan telefon RM900.00 sebulan. Mereka juga menerima elaun persidangan Parlimen RM200 sehari dan RM150 apabila mereka menghadiri majlis-majlis anjuran kerajaan.
Selain itu turut disiarkan elaun Perdana Menteri Malaysia iaitu RM22,826.65 sebulan berbanding RM442,075 untuk PM Singapura!

Secara peribadi saya berseutuju dan merasakan imbuhan yang diterima oleh ahli-ahli Parlimen termasuklah Menteri Kabinet dan MB serta EXCO Kerajaan Negeri-negeri kita adalah rendah. Semakkan semula supaya ia sejajar dengan perkembangan semasa sangat-sangatlah dialu-alukkan.
Dalam laporan The Star hari ini beberapa ahli Parlimen menyuarakan masalah yang mereka hadapi dalam menyempurnakan tugas sebagai wakil rakyat. Ini lebih-lebih lagi bagi kawasan-kawasan yang luas seperti di Sabah dan Sarawak.

Kebanyakkan ahli Parlimen juga menyuarakan agar imbuhan diberikan untuk mereka bagi menyediakan pejabat, kakitangan dan petugas penyelidikkan bagi memudahkan tugas-tugas mereka.
Saya kira wajar sangat pihak kerajaan menyemak semula struktur elaun dan ganjaran buat ahli-ahli parlimen kita termasuklah senator, serta menteri-menteri kabinet. Agar hasil semakkan ini dapat pula diturutui oleh kerajaan-kerajaan negeri.

Setahu saya ahli-ahli Parlimen contohnya sebahagian besar dari PAS memang memberikan tumpuan sepenuh masa kepada tugas mereka. Kita mahukan agar mereka ini juga punya ruang untuk memikirkan hal-hal lain termasuklah keluarga dan masa depan masing-masing. Saya difahamkan ketika Singapura menyemak semula struktur elaun yang sama banyak tahun dahulu ianya dilakukan bagi meletakkan PM dan ahli-ahli Parlimen setaraf dengan tokoh-tokoh di sector korporat selain membenteras gejala rasuah.
Biarlah kepentingan jawatan ini serta status kedudukan mereka di masyarakat setimpal dengan elaun dan ganhjaran yang diterima. Kita cuma ada 222 ahli Parlimen yang memikirkan darihal nasib dan masa depan lebih 23 juta rayat Malaysia. Wajar sangatlah mereka diberi ganjaran yang selesa dengan disediakan kemudahan yang sewajarnya bagi membantu mereka melaksanakan tugas-tugas dengan baik dan sempurna buat rakyat Malaysia.

Semoga PAS peroleh Exco Agama Selangor (19/5/13)

Sunday, May 19, 2013

Menurut kenyataan Tan Sri Khalid Ibrahim komposisi EXCO kerajaan Paktan Rakyat negeri Selangor pasca PRU 13 nanti akan terdiri dari 4 PAS 3 DAP dan 3 PKR. PAS dengan kejayaan 15 kerusi DUN berbanding 8 PRU lalu dijangka memperolehi 1 kerusi tambahan.

Walaubagaimanapun portfolio ahli-ahli EXCO dijangka diumumkan kemudian. Siapa pun yang menjadi ahli EXCO nanti saya kira bagi PAS diperingkat ini yang lebih penting adalah portfolio Hal Ehwal Agama Islam.

Selepas PRU12 dahulu PAS memegang portfolio ini tetapi apabila Dato Dr Hasan Ali dipecat dari PAS dan digugurkan dari ahli EXCO jawatan ini dipegang sendiri ole Menteri Besar.

Saya masih ingat semasa memegang jawatan Setiusaha Akhbar Presiden PAS dahulu, portfolio inilah yang menjadi "concern" Presiden PAS dan saya yakin begitu juga hari ini.

Diharapkan portfolio ini dikembalikan kepada PAS memandangkan calon yang berkelayakan juga ramai antaranya Timbalan Pesuruhjaya PAS yang juga ADUN Sabak Ustaz Sallehen Mukhyi (yang pernah menjadi ADUN kawasan sama pada PRU1999 dahulu). Semoga banyak agenda Islam dapat dimartabatkan nanti

Kenapa masih bertelagah tentang kalimah "ALLAH" (16/5/13)

Thursday, May 16, 2013

Sebuah portal berita terus menerus memainkan isu kalimah “Allah” seakan menyalakan api provokasi agar isu ini terus hidup dan memaksa pada pandangan saya agar umat Islam di Malaysia mengalah dan akhirnya mengizinkan kalimah ini dikongsi dengan bukan Islam.

Terbaru satu kenyataan dari Persekutuan Kristian Malaysia diterbitkan yang antara lain menyebut:
Sesetengah umat Islam mendakwa berulang kali bahawa orang Kristian di Malaysia enggan berhenti menggunakan kata “Allah” kerana mahu mengelirukan umat Islam dan memurtadkan penganut Islam, sekali gus menimbulkan ancaman kepada keselamatan negara. Tuntutan itu adalah tidak berasas kerana tiada bukti penggunaan kata ini membawa ancaman keselamatan negara. Tuduhan ini kekal sebagai tidak berasas.

Sebaliknya, keadaan sebegitu dibuat kerana jahil dengan hakikat bahawa apabila orang Kristian menggunakan Al-Kitab, ia adalah khusus untuk umat Kristian berbahasa Malaysia. Gereja-gereja di Malaysia tidak pernah mencadangkan untuk mengubah kata “Allah” dan “Lord” kepada “Allah” dan “Tuhan”, begitu juga bahasa-bahasa lain dalam Al-Kitab.
Janganlah disuakan lagi isu ini untuk dijadikan perdebatan umum, seakan menggerakkan “gergasi” yang sedang tidur!

Kenyataan Persekutuan Kritian Malaysia ini apabila diketahui umum pasti akan mengundang reaksi dan akan dibalas pula oleh kenyataan dari badan dan pertubuhan Islam. Lantas akan jadi hangat membara dan mencetuskan pelbagai kemungkinan.
Umat Islam di Malaysia, tanpa mengira fahaman politik, memandang isu ini sangat sensitif. Yang sangat dibimbangi adalah kecenderungan berlakunya insiden murtad. Pihak gereja tidak boleh menyapu kebimbangan ini begitu sahaja dengan menyatakan ia tidak berasas sedangkan luka menghadapi kes Lina Joy, Aishah Bukhari, Joshua Jamaluddin, masing berdarah dan terpahat dalam ingatan umat Islam Malaysia.

Sebaiknya jangan dokocak air yang tenang. Pihak media khasnya media alternatif jangan sekali-kali ada agenda menyalakan kembali api yang semakin padam.

Batu nisan buat Umno Selangor (16/5/13)


Kehancurannya datang timpa-menimpa buat Umno Selangor. Pertama apabila keputusan muktamad PRU 13 menunjukkan mereka cuma bertahan di 12 kerusi DUN sedangkan dahulunya Umno Selangor menang 18 dan MCA 2. Itupun di 2 DUN yang mereka menang, kemenangannya dikira kemenangan “default” kerana pertarungan sesame rakan Pakatan iaitu di Semenyih dan Kota Damansara. Jika tidak mungkin mereka tinggal 10 kerusi dalam tangan.
Kemudian berita kecundangnya “Jeneral” mereka iaitu Zin Mohamad di kerusi parlimen Sepang. Kalau dalam peperangan, apabila “Jeneral” yang kecundang, pasti bala tentera akan porak-peranda dan keadaan menjadi kelam dan kacau bilau.

Ternyata begitulah nampaknya bagi Umno Selangor, apabila dalam pengumuman pembentukan Kabinet semalam, nama seorang lagi hulubalang mereka iaitu Noh Omar pula digugurkan! Tiada lagi wakil Umno Selangor dalam kabinet buat pertama kali dalam sejarah!
Ternyata Pengerusi BN dan Presiden Umno tidak boleh memaafkan kelemahan dan kedangkalan orang-orang kanannya di Selangor. Dengan merosotnya keyakinan itu bermakna terkuburlah Umno di Selangor bersekali dengan MCA dan Gerakan yang sudah pun mendiang belaka.

Di Pulau Pinang Umno berbaki 3 kerusi parlimen dan 10 DUN manakala di Kelantan 5 parlimen 12 DUN (seiras Selangor).
Ada yang meramalkan Umno dan BN tidak mungkin bangkit-bangkit lagi di Selangor sebagaimana nasib rakan seangkatan mereka di Pulau Pinang dan Kelantan. Kesimpulannya batu nisan boleh dipacakkan di pusara Umno di Selangor. Rakan-rakan yang tinggal bolehlah berkira-kira berhijarh samada menyertai PAS, PKR atau DAP.

Perjuangan belum berkahir.....(6/5/13)

Monday, May 06, 2013


Tsunami Cina atau Tsunami rakyat namakanlah ia apa sahaja, hakikatnya rakyat telah bersuara. Suaranya bingit dan gemuruh namun ia belum cukup kuat menenggelamkan BN. Apa pun ia sesuatu yang telah menggementarkan BN dan ia jelas tercermin pada wajah Najib Tun Razak ketika menerima keputusan PRU ke 13 dan disaksikan sendiri oleh seluruh rakyat Malaysia.
Banyaklah kajian dan penelitian serta “post mortem” yang akan dilakukan oleh berbagai pihak untuk membaca natijah dari PRU ke 13 ini.

Bagi saya sebagaimana posting saya sebelum ini, Tsunami kali ini seakan boleh dibaca, itupun bagi mereka yang mahu membaca sedemikian.
Saya ada membuat posting umpamanya DAP akan menang 15-0 di Selangor, ternyata ia benar. DAP sapu bersih semua kerusi yang ia tandinginya di Selangor menamatkan terus saki baki penguasaan MCA di Selangor!

Saya menjangkakan lonjakkan besar masyarakat Cina kali ini kerana ini telah dapat dilihat dari hari-hari sebelum tempoh berkempen membawa sehingga hari-hari terkahir berkempen. Tindakkan berani Lim Kit Siang berhijrah ke Johor, sebuah negeri yang tidaklah subur buat DAP sebagaimana Pulau Pinang, Perak dan Selangor, melihatkan bacaan mendalam Kit Siang, seorang yang masak dalam sepak terajang pilihanraya.
Saya juga menjangkakan masyarakat Melayu walaubagaimanapun akan lebih “sejuk” berbanding rakan-rakan masyarakat Cina. Masyarakat Melayu lebih terpisah-pisah menurut segmen daerah dan kelas dalam masyarakat. Mereka yang di Kelantan dan Terengganu lain pandangan dan persepsinya berbanding di Perlis dan Kedah. Masyarakat Melayu bandar dan berkelas menengah atas dijangka searus dengan masyarakat Cina.

Di Selangor contohnya Tsunami ini seakan Tsunami pelbagai kaum kerana PAS contohnya menang besar di sini, iaitu 15 dari 20 kerusi, pencapaiannya yang terbaik dalam sejarahnya. Melayu di Sabak iaitu luar bandar, Melayu di Gombak, Melayu di Dusun Tua, Melayu di Shah Alam semua bangkit meninggalkan BN kecuali beberapa kerat. Tinggallah BN Selangor dengan harta pusaka 12 kerusi dari 20 kerusi sebelumnya.
Rata-rata kalau dilihat jika lonjakkan orang Melayu terhadap PR sekuat masyarakat Cina sebagimana Melayu di Kelantan dan Terengganu berkemungkinan keputusan PRU ini berbeza tetapi begitulah kehendak rakyat.

Saya tertarik dengan kenyataan awal Ketua Pemuda DAP Anthony Loke yang positif menyarankan agar usaha berterusan dibuat mulai hari ini untuk meyakin dan memenangi masyarakat luar bandar.
Saya juga ada menaikkan posting berkenaan kemenangan awal 2 kerusi buat PAS iaitu di Shah Alam dan Pasir Mas. Ini kerana masyarakat Malaysia menolak politik ekstrim perkauman dan melampau. Ternyata Zul Nordin dan Ibrahim Ali tergolek dan tidak akan bangun-bangun lagi.

Juga saya naikkan satu posting yang mungkin tidak popular iaitu berkenaan pimpinan PAS yang bertanding di dua kerusi. Saya puji tindakkan Nizar Jamaluddin kerana fokus pada satu kerusi (ternyata beliau berjaya dan dipuji kerana tindakannya itu). Dengan cara ini kita memberi keyakinan pada rakyat bahawa parti kita bertenaga, punya ramai calon berkaliber, suatu cadangan yang dibuat oleh Karpal Singh dan diikuti parti berkenaan dengan pengecualian buat Setiausaha Agungnya. Saya menegaskan apabila kita bertanding di dua kerusi dewasa ini musuh mudah mengeksploitasi, dan ternyata kesudahannya tidak banyak menguntungkan kita.
Kesimpulannya PRU kali ini biarlah menjadi pengajaran besar buat kita. Sahabat-sahabat di Terengganu hampir mengembalikan kuasa, di Kedah pula tewas dan di Perlis gagal. Di Selangor kita teruslah beri tumpuan kepada masyarakat luar bandar.

Dari 21 ahli Parlimen PAS kita lihat gandingan lebih mantap antara ulamak dengan bukan ulamak diketuai Tuan Guru Presiden. Semoga kita terus memain peranan memperjuangkan Islam.
Tahniah buat semua petugas parti, calon-calon yang berjaya dan belum berjaya. Perjuangan belum berkahir……

Seomga kebimbangan kita tidak menjadi nyata (5/5/13)

Sunday, May 05, 2013


Tempoh membuang undi telah pun tamat kira-kira jam 5 tadi. Kini masing-masing petugas SPR dan wakil-wakil parti sedang bersedia untuk proses penjumlahan undi di masing-masing tempat mengundi.
Keputusan rasmi dijangka mulai masuk selepas jam 8 malam nanti.

Secara peribadi saya melihat dan bersetuju bahawa pengundi Cina kali ini memberikan sokongan terbesar mereka pada calon-calon Pakatan tanpa memilih. Bermakna kesemua komponan PR samada DAP, PKR mahupun PAS akan mendapat undi mereka. Ini juga bermakna DAP akan menang sekitar 40 ke 45 kerusi Parlimen.
Fenomena ini akan mencipta sejarah kerana adalah dijangkakan lonjakkan kali ini tidak mustahil mencecah sehingga ke paras 90% di kawasan-kawasan tertentu.

Cuma yang saya terus bimbangkan sehingga ke saat ini adalah kemanakah perginya undi Melayu?
Saya berani menyatakan undi Melayu di kawasan bandar khasnya yang melibatkan masyarakat Melayu kelas pertengahan ke atas dijangka cenderung kepada PR.

Maslahnya kemanakah pergi sebehagian besar pengundi Melayu yang lain? Adakah mereka akan ikut jejak rakan-rakan masyarakat Cina atau mereka kembali kepada BN?
Artikel di Malaysiakini yang ditulis oleh Prof William Case, dari City University of Hong Kong bertajuk “Pakatan not likely to win, Malay support lukewarm”  http://www.malaysiakini.com/news/229197 sangat menggusarkan. Jika ia benar, maka musnahlah impian kita.

(Beliau menjangkakan Kit Siang tewas nipis, begitu juga Salahuddin Ayob dan kita juga tewas di Parlimen Putrajaya)
Ini kerana harapan kita terletak pada gabungan mantap sokongan dari ketiga-tiga kelompok kaum terbesar dalam Negara dengan sekurang-kurangnya 30% sokongan masyarakat Melayu dan tidak kurang dari itu.

Walaubagaimanapun keputsan muktamad hanya akan diketahui dalam 2 jam lagi.
Bagi saya keputsan muktamad nanti dijangka bercampur-campur. Keputusan di Kelantan mungin berbeza dengan Kedah yang juga berbeza dengan Selangor dan Johor. Ianya akan bersandarkan segmen-segmen dan kelompok tertentu. Teruslah berdoa dan menambatkan harapan pada Allah swt.

 

 

Tok Guru pun beratur.......(5/5/13)

Dalam posting saya terakhir "SPR terlepas pamdang" saya menyentuh berkenaan laluan yang diberikan kepada PM "caretaker" Najib Tun Razak untuk memotong "que" dan mengundi terdahulu dari mereka yang telah berbaris.

Saya sebut ini janggal kerana teringat semasa Tun Hussien PM dahulu beliau pun beratur.

Di bawah saya berikan gambar terbaru yang saya terima dari Kelantan, renungkanlah:

SPR terlepas pandang? (5/5/13)


Baru sebentar tadi “live” di TV3 menunjukkan PM “caretaker” Najib Tun Razak mengundi di Pekan, Pahang bersama isteri beliau.
Saya saksikan betapa ketibaan beliau terus diiringi masuk ke bilik mengundi. Beliau dibawa potong “que”, mengingatkan saya semasa Tun Hussien Onn Perdana Menteri akhir tahun 70an dahulu, betapa beliau dengan bersahaja beratur dengan rakyat kebanyakan tanpa sebarang istimewa kerana meskipun beliau PM tetapi beliau juga adalah pengundi biasa.

Najib tadi dikerumuni pihak media, ini sesuatu yang boleh diterima kerana pimpinan PR juga dijangka akan menerima suasana yang sama semasa mengundi nanti.

Cumanya sesuatu yang dirasakan tidak kena adalah apabila pihak RTM dan TV3 menemuramah beliau terus dalam kawasan mengundi iaitu dalam perkarangan sekolah dicelah-celah pengundi yang sedang beratur.
Sepatutnya pihak SPR menasihatkan agar temuramah itu dibuat di luar perkarangan sekolah iaitu 50 meter di luar, kerana kawasan berkenaan adalah kawasan larangan sepatutnya.

Semoga insiden seumpama ini tidak diulangi pada PRU ke 14 lima tahun lagi sapa pun yang menjadi PM nya nanti.

Ya Allah perkenankanlah (5/5/13)

Ya Allah permudahkanlah urusan kami.
Ya Allah perkenankanlah doa kami.

Hanya kepada Mu kami tunduk dan hanya kepada Mu kami mohon pertolongan........

Setelah berusaha dan berikhtiar kami redho dengan segala ketentuan Mu.....


Bersinarkah Malaysia baru pagi 6 Mei nanti? (4/5/13)

Saturday, May 04, 2013


Akhbar The Star hari ini terbit dengan “pullout” khas 16 mukasurat yang memberi tumpuan kepada PRU 13.
Terdapat 7 analisa yang diberikan oleh penulis kanan dan penulis jemputan akhbar berkenaan yang menarik perhatian saya dan yang telah saya baca dengan penuh teliti untuk melihat apakah gambaran yang dapat kita cungkil darinya.

7 analisa berkenaan masing-masing disediakan oleh:
1) Wong Chun Wai – Ketua Pengarang Kumpulan The Star 2) Wong Sai Wan – Pengarang Eksekutif The Star 3) Johnson Chong 4) Michael Yeoh CEO ASLI 5) Dr Denison Jayasuria UKM 6) K. Baradan dan 7) Razak Ahmad.

Rata-rata dua penemuan yang dikira dikongsi oleh kesemua mereka adalah:
PERTAMA: pengundi Cina “solid” di belakang Pakatan Rakyat

Kata CW Wong – ramai (masyarakat Cina ) yang yakin bahawa 5 Mei nanti perubahan akan berlaku dan mereka mahu menjadi sebahagian dari sejarah itu kerana pimpinan Pakatan akan berkuasa. Menurut MICHAEL YEOH – kemungkinan sehingga 80% (masyarakat Cina) akan mengundi DAP dan calon-calon Pakatan. K.BARADAN pula berpandangan – masyarakat Cina yang memiliki majoriti di 40 kerusi Parlimen bersungguh akan mengundi DAP selain PKR dan PAS.
KEDUA: pengundi Melayu dijangka menjadi penentu

Dan bagi pengundi Melayu pula mereka menjangkakan kecuali mereka yang berada di kawasan Bandar, masyarakat Melayu di luar bandar dijangka kekal bersama BN.
Cumanya CW Wong contohnya masih belum dapat membaca adakah segmen pengundi Melayu ini kali ini akan kekal sebagai “fixed deposit” BN atau akan beralih kali ini. DR DENISON menjangkakan masyarakat India juga kali ini dijangka condong kembali kepada BN sebagaimana pengundi Melayu. Menurut BARADAN sebagaimana DAP dijangka menang besar dikalangan pengundi Cina, pengundi Melayu juga dijangka bertaut di belakang Najib dengan memerikan kemenangan besar kepada BN.

Memanglah berdasarkan analisa mereka masing-masing, yang mengakui PRU kali ini genting, namun semua membuat kesimpulan BN akan kembali berkuasa. Barangkali kesimpulan itu dibuat bukan untuk menyedapkan diri sendiri tetapi orang lain.
Apa pun tiada yang berani mengatakan BN akan kembali dengan majority 2/3 majoriti. BN mereka laporkan akan menang tetapi menang kecil seolah menyatakan yang jika tidak menang kemungkinan Pakatan pula yang menang!

Majoriti 2/3 akan diperolehi bagi mana-mana parti yang menang 148 kerusi dan lebih dari 222 kerusi yang dipertandingkan peringkat Parlimen.
CW WAI menjangkakan BN akan menang membentuk kerajaan Persekutuan dengan 138 kerusi, iaitu dalam keadaan DAP mungkin menang semua 45 kerusi majoriti Cina (selebihnya antara PKR dan PAS)

Begitu juga BARADAN menjangkakan BN menang di 145 kerusi (kalau kita biasa ikuti tulisan beliau dalam akhbar The Star, beliau tidak pernah langsung punya simpati selain terhadap BN).
DR DENISON pula menjangkakan BN menang tetapi dengan prestasi di bawah PRU 12, kata beliau mustahil BN dapat majoriti 2/3. Dan beliau membuat kesimpulan PAS akan menang di Shah Alam dan Pasir Mas (kerana Najib silap pilih calon), DAP kalah di Gelng Patah tetapi PKR menang di Segamat. Juga PR kekal di Selangor, Pulau Pinang, Kelantan dan menang kembali Perak.

JOHNSON CHONG pula lebih berimbang dengan menyatakan samada BN atau PR yang menang di Federal kelak, pemenang akan menang dengan kelebihan antara 8 ke 22 kerusi (iaitu menang dengan 119 ke 133 kerusi)!
RAZAK juga menjangkakan BN menang tetapi tidak capai majoriti 2/3 .

Yang penting di sini kemampuan PR tidak ditolak malah kemungkinan PR menang diperingkat Federal jelas tersirat dalam tulisan kesemua mereka. Yang kritikal adalah kemanakah akan perginya undi pengundi Melayu kerana undi pengundi Cina sudah seakan muktamad iaitu buat PR.
Oleh itu bagi saya esok jika calon-calon PR selain di bandar-bandar, selain di Lembah Kelang, Lembah Kinta, Pulau Pinang dapat meraih sebahagian dari sokongan pengundi Melayu, pengundi Cina lebih 80% menyokong PR dan masyarakat India tidak kembali kepada BN, Putrajaya insyallah akan beralih tangan.

Tetapi jika sebaliknya, PR akan menanggung banyak rugi termasuklah di negeri-negeri yang ia kuasai.
Kuasa penentu adalah pada rakyat, jika setelah sekian lama kita bertarung ini rakyat yakin dan bersungguh bersama kita insyallah bersinarlah Malaysia baru menjelang pagi 6 Mei……

Henti kempen jam 12 malam ini (4/5/13)


Siang tadi terbit di TV Pengerusi SPR yang mengingatkan semua pihak yang bertanding dalam PRU ke 13 ini agar menamatkan kempen pilihanraya masing-masing tepat jam 11.59 malam ini. Ini kerana hari berikutnya bermula tengahmalam ini iaitu 5 Mei adalah Hari Mengundi.
Seksyen 26(1) Akta Kesalahan Pilihanraya menghuraikan “batasan” pada Hari Mengundi yang dengan jelas melarang sebarang bentuk kempen pada hari berkenaan.

Kita harapkan semua pihak akan akur dan menjunjung undang-undang Negara.
Cumanya pihak SPR kena beri perhatian adakah pihak BN yang menguasai media arus perdana khasnya media elektronik iaitu TV dan radio akan turut berbuat demikian. Adakah pihak BN akan memastikan semua siaran TV dan radio tiada lagi mengandungi unsur kempen bermula jam 12 tengah malam ini. Semua klip video termasuklah “Sayang Selangor Yakini BN” seharusnya tidak lagi dimainkan bermula jam berkenaan.

Adakah pihak SPR akan saksama dan memastikan TV dan radio tidak digunakan oleh mana-mana pihak kerana mematuhi semangat Akta di atas?
Seksyen 26 berikutnya menggariskan:

(2) Mana-mana orang yang melanggar mana-mana peruntukan subseksyen (1) boleh, apabila disabitkan, dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan dan didenda kedua-duanya.
(3) Sesuatu kesalahan di bawah subseksyen (1) ialah kesalahan boleh tangkap mengikut pengertian Kanun Tatacara Jenayah.

Mampukah pihak SPR menguatkuasakan peraturan ini?

PAS mendahului yang lain dengan 2 kerusi Parlimen (4/5/13)


Tinggal lagi 11 jam sebelum tempuh berkempen bagi PRU ke 13 ini berakhir.
Berbagai bacaan, ramalan dan jangkaan terkeluar dan terbit khasnya dalam akhbar-akhbar tempatan hari ini, menggambarkan bagaimanakah agaknya keputusan PRU ke 13 itu esok. Menurut SPR keputusan pertama dijangka keluar seawall jam 7.30 petang esok.

Apa pun yang mahu dikatakan saya kira satu yang pasti adalah rakyat Malaysia era 2013 ini rata-rata menolak politik ekstrim dan “ultra”. Tak kiralah Melayu, Cina atau India, siapa pun tidak lagi tertarik atau gemar bermain politik seumpama ini khasnya apabila ia berbau perkauman dan agama yang keterlaluan sehingga memecahbelahkan perpaduan sesama kaum dalam Negara.
Atas alasan itu sebelum pun rakyat keluar mengundi jam 8.00 pagi esok dan sebelum pun keputusan terawal diumumkan jam 7.30 petang esok, emnurut pengamatan saya PAS bakal menang “mudah” di 2 kerusi Parlimen. Bermakna perkiraan PAS untuk kerusi-kerusi Parlimennya sudah bermula +2.

Mengapa, kerana di dua kerusi ini lawannya adalah calon yang ditolak rakyat Malaysia kerana dikenali sebagai juara politik ekstrim seumpama ini.
Kerusi itu adalah Parlimen P.22 Pasir Mas, Kelantan dan P. 108 Shah Alam, Selangor. Calon-calon PAS dikedua-dua kerusi ini bagi saya sudah hampir pasti dengan izin Allah menang di kawasan masing-masing lantaran lawannya yang tidak memenuhi citarasa dan selera pengundi Malaysia. 

Keputusan meletakkan IbrahimAli di Pasir Mas dan Zul Nordin di Shah Alam bagi saya adalah kesilapan terbesar Najib Tun Razak dalam PRU ke 13 ini! 

Roslan SMS mengundi Ahad ini (3/5/13)

Friday, May 03, 2013


Saya seperti anda semua insyallah akan memikul tanggungjawab sebagai warganegara Malaysia keluar membuang undi pada hari Ahad 5 Mei ini. Semoga seluruh rakyat Malaysia begitu juga akan keluar melaksanakan tanggungjawab penting ini pada hari berkenaan.
Saya berdaftar sebagai pengundi di Parlimen P98 Gombak dan DUN N.17 Gombak Setia, Selangor. Semakan saya menurusi laman web SPR menyatakan bahawa saya dikehendaki mengundi di Sekolah Kebangsaan Gombak Setia. Juga tertera dalam carian itu adalah nombor siri 1226. Saya tidak pasti apakah maksud nombor siri ini, tetapi apa pun saya tidak akan terganggu dalam melaksanakan tugas saya pada hari Ahad ini.


Parlimen Gombak menyaksikan pertandingan 3 penjuru, iaitu antara calon-calon PKR Mohamed Azmin Ali, BN Raman Ismail dan calon Bebas Said Nazar. Manakala DUN Gombak Setia akan menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon PAS Hasbullah Mohd Ridzwan dan calon BN Said Anuar Said Ahmad.

Oleh kerana saya berpuas hati dengan pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor sejak tahun 2008, dan saya bertekad jika boleh mahu lihat pula kebaikan pentadbiran ini turut berlangsung sehinggalah diperingkat Putrajaya maka saya dengan penuh yakin insyallah akan mengundi seperti berikut :

 
 
 
 
 
 
Semoga anda juga khasnya para pengunjung blog ini akan berbuat demikian juga di kawasan masing-masing! Selamat mengundi untuk perubahan.

Buktikan keyakinan Najib itu meleset (3/5/13)


Berita terkini The Staronline melaporkan bahawa Pengerusi BN dan Presiden Umno Najib Tun Razak menyatakan keyakinan beliau bahawa BN akan kekal memerintah Putrajaya. Kenyataan ini dibuat dalam kunjungannya ke Dengkil, Selangor, pagi tadi.
Ini menurut Najib kerana sepanjang lawatannya ke seluruh Negara dalam tempuh berkempen ini kehadiran rakyat meyakinkan beliau bahawa rakyat terus yakin dan menerima BN.

Najib berhak untuk membuat apa sahaja bacaan dan tafsiran. Dalam pada itu pimpinan PR juga turut melahirkan keyakinan bahawa PR contohnya bukan sekadar dapat mempertahankan Selangor, malah akan nanti berjaya menjejakkan kaki sehinggalah ke Putrajaya dalam PRU ke 13 ini.
Kalau kehadiran rakyat menjadi ukuran, sudah pastilah kehadiran rakyat dalam ceramah-ceramah besar PR jauh menenggelami kehadiran dalam ceramah BN.

Kerana itu biarlah mereka yang minat hadir dalam ceramah-ceramah PR sepanjang baki 32 jam ini terus hadir. Tapi kita yang memegang panji-panji jangan sekadar tepaku dan kagum dengan jumlah kehadiran. Yang penting adalah interaksi antara satu dan satu dengan setiap pengundi berdaftar. Menangi hati mereka, tambatkan keyakinan mereka, biar 5 haribulan ini nanti mereka dengan yakin melangkah kaki ke pusat-pusat mengundi dan dengan senang hati memangkah calon-calon PR, itu yang penting.
Disaat-saat akhir bermacam taktik tak kiralah kotor atau bersih akan digunakan untuk menjatuhkan lawan dan menaikkan nama dan imej masing-masing.

Terbaru sehingga “Baitullah” pun menjadi bahan pancing undi, sehingga meletakkan Islam begitu rendah martabatnya dalam kekalutan lobi-melobi dan memancing undi ini.
Mungkin akan berbagai lagi bahan dihamburkan dalam tempuh akhir ini.

Kuatkan jati diri kita, terus bekerja, terus merayu undi. Yang ramai hadir ceramah kita terus kita raikan tapi yang penting adalah “pangkah” mereka pada hari Ahad nanti. Ayuih buktikan yang keyakinan Najib itu meleset.

Masyarakat Melayu Johor kekal bersama BN? (2/5/13)

Thursday, May 02, 2013


Dalam akhbar The Star hari ini terdapat satu laporan berkenaan “dingin”nya sambutan masyarakat Melayu Johor terhadap PR. Menurut laporan berkenaan tidak dapat dinafikan bahawa sambutan terhadap PR di kawasan-kawasan majoriti Cina di Johor begitu luarbiasa, terbaru adalah ceramah PR di padang letak kereta Sutera Mall di Skudai yang padat dipenuhi para pendengar.
Walaubagaimanapun menurut laporan berkenaan ceramah yang diadakan di kawasan-kawasan Melayu agak dingin dan tidak berjaya mencatatkan kehadiran besar sebagaimana di kawasan-kawasan majority Cina.

Lantas laporan berkenaan membuat kesimpulan:
“….the Chinese are responding to the opposition purported ubah (change) while the majority of the Malays remain steadfast with Barisan.”

(…masyarakat Cina kelihatan memberi reapon terhadap ubah, sedangkan majority masyarakat Melayu kekal bersama Barisan)
Sejauh mana berasas dan tepatnya laporan serta pemerhatian di atas, tidaklah diketahui. Adakah ia sebahagian dari perang saraf BN, juga tidak dapat dipastikan.

Walaubagaimanapun adalah wajar, samada benar atau tidak, jentera PR di Johor memberi perhatian, begitu juga jentera PR di negeri-negeri lain khasnya di Selangor. Kita sudah menghampiri garisan akhir, tetapi jika pengundi Melayu belum berjaya kita pengaruhi sekurang-kurangnya sebahagian, maka impian PR untuk ke Putrajaya mungkin tidak kesampaian.
Kerana itu undi Melayu ini suka tak suka adalah kritikal.

Tiga hari mulai hari ini hingga tengah malam Sabtu nanti, tumpuan sewajarnya diberikan ke arah mempengaruhi dan memenangi hati masyarakat Melayu. BN mungkin sedar kesukaran PR dalam hal ini, kerana itu banyak “senjata” mereka di talakan ke arah PAS khasnya kerana PAS mengharapkan sokongan pengundi Melayu.
Kita jangan leka dengan sokongan masyarakat bukan Melayu terhadap PR, sewajarnya kita bersyukur tetapi jangan leka. Kerana hakikatnya tiada kemenangan tanpa dokongan masyarakat Melayu, begitulah di Johor dan begitulah di negeri-negeri lain termasuk Selangor.

Gunakanlah 59 jam terkahir ini bagi menjamin tercapainya impian kita semua.