Tercapaikah impian kita..... (30/4/13)

Tuesday, April 30, 2013


Dalam akhbar The Star hari ini Joceline Tan di dalam ruangan “Comment” nya mengulas pankang lebar darihal ramalannya terhadap keputusan PRU ke 13 nanti.
Mungkin bagi kita yang sedang rancak dan bertenaga mahu melangkah ke Putrajaya, pandangan negatif ini dikira sebagai sebahagian dari “perang saraf” BN. Walaubagaimanapun bagi saya elok juga ditinjau-tinjau dan dikaji demi memperbaiki kelemahan dan memastikan ianya tidak tepat dan meleset.

Joceline membayangkan lonjakkan besar sokongan terhadap PR akan datang khasnya dari pengundi Cina di bandar. Beliau anggarkan sekitar 80% pengundi dalam segmen ini sudah pasti mengundi PR. Namun bagi beliau gegaran politik yang dijangkakan bagi PRU ke 13 ini akan hanya terhad pada kawasan bandar dan sekitar yang melibatkan kehadiran pengundi Cina.
PR menang 82 dari 222 kerusi parlimen dalam PRU ke 12 lalu. Untuk menguasai Putrajaya dengan kelebihan 1 kerusi PR perlu menang semua 82 kerusi berkenaan ditambah dengan 30 kerusi lain.

Di sinilah menurut Joceline masalahnya. Menurut beliau DAP contohnya yang akan memperoleh keuntungan terbesar dari mencanaknya undi Cina terhadap PR sesungguhnya telah hampir mencapai pencapaian maksima mereka. Ada tidak pun mungkin DAP boleh mempertingkatkan pencapaian dengan beberapa kerusi khasnya di Johor, Sabah dan Sarawak. Johor satu-satunya negeri dimana MCA masih punya beberapa kerusi.
Saya sendiri sebelum ini menjangkakan pencapaian besar DAP kali ini  dimana dalam posting sebelum ini saya menjangkakan DAP bakal menang 15-0 di Selangor (iaitu menang kesemua kerusi DUN di Selangor yang ia tandingi, sebelum ini DAP menang 13 kalah 2)

Cabaran sekarang adalah undi Melayu. Sekali lagi kita terhimpit dengan delima samada pengundi Melayu akan atau tidak memihak ke PR kali ini. Joceline menjangkakan:
“The thing about this Chinese wave is that it has sent a counter Malay wave surging towards Barisan.”

(Lonjakan sokongan masyarakat Cina ini (terhadap PR) telah mencetuskan lonjakan lawan masyarakat Melayu terhadap Barisan)

Benarkah pengundi kita hari ini sudah terbelah menurut kaum sehingga begitu kritikal sekali?!
Secara keseluruhannya mungkin tidak. Penduduk di Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu mungkin tidak termasuk dalam pengaruh ini kerana kecenderungan mereka diketahui berbeza.

Joceline mendakwa PR hanya menjangkakan pertambahan tetapi tidak mengambil kira apakah ia mampu bertahan pada 82 kerusi yang ia menang, sebahagian dengan majoriti tipis dan kecil. Joceline menjangkakan ini sukar kerana Kedah hampir tumbang (menurut beliau), di Kelantan BN dijangka menang di 6 kerusi Parlimen lagi.
Apa pun itu pandangan dan pemerhatian beliau. Buat kita, sewajarnya kita kaji dan perbaiki jentera kita di hari-hari terakhir ini supaya Joceline dan yang lain-lain nanti terbukti salah. Jentera PR di peringkat akar umbi mesti gagah bekerja, jangan emosional dan jangan bersahaja.

Jika kita yakin angin kemenangan semakin kuat bertiup ke arah kita, maka pertingkatkanlah lagi usaha kita. Jangan terbuai dengan lagu yang enak-enak tetapi bergeraklah menurut realiti dan perkembangan semasa. Ternyata undi Melayu kritikal, maka usahakanlah agar ia dicapai semaksima mungkin.
Semoga Allah bersama-sama kita.

BN Selangor yakin boleh? (29/4/13)

Monday, April 29, 2013


“Barisan Nasional confident in Selangor” begitulah tajuk ruangan “GE13 The Showdown”
dalam akhbar The Star hari ini yang memuatkan temubual dengan Timbalan Pengarah Pilihanraya BN Selangor, Mohd Zin Mohamed.
Saya membaca dari hujung ke hujung laporan berkenaan, malah berkali-kali kerana mahu melihat mampukah ia meyakinkan saya sendiri berbanding dengan realiti sebenar yang saban hari sedang terbentuk diperingkat akar-umbi.

Tapi saya faham sebagai Timbalan Pengarah Pilihanraya tak kanlah Zin mahu sebut yang BN pasti kalah lagi di Selangor, itu mustahil walaupun mungkin rakyat tahu ianya hampir pasti.
Semalam saya berada di dua kawasan Parlimen iaitu Tanjung Karang dan Kuala Selangor kerana menghadiri program ceramah dan menziarahi sahabat-sahabat para petugas jentera pilihanraya. Rata-rata “mood” di kedua-dua kawasan pilihanraya ini begitu hangat. Kedai-kedai kopi dan gerai padat dengan pengunjung walaupun sudah larut malam. Saya lihat rakyat rata-rata tidak lagi segan silu menzahirkan sokongan masing-masing ke atas parti yang bertanding. Kenderaan, lencana, baju dan kemeja T terpampang lambing dan symbol pilihan masing-masing. Saya tidak mahu keterlaluan tapi rata-rata symbol PAS dan PKR lebih ketara berbanding dacing.

Parlimen Tanjung Karang punya 73.3 peratus pengundi Melayu manakala Kuala Selangor 64.4 peratus.
Dalam laporan akhbar berkenaan, Zin menyebut bahawa pengundi Melayu di Selangor kini sedar bahawa PAS tidak mampu menggantikan Umno di Selangor. Tambah beliau ramai pengundi Melayu sedar bahawa Umno lebih boleh diharapkan dalam mempertahankan kepentingan mereka.

Benarkah demikian?
11 penggal Umno menjadi tunggak di Selangor dari 1959-2008, apa yang hebat sangat sumbangan Umno pada orang Melayu sehingga orang Melayu tergiur dan termimpi-mimpi mahu Umno kembali memimpin mereka di Selangor?

Zin turut menambah bahawa kemasukkan Tan Sri Muhammad Mohd Taib ke dalam PAS pun sebenarnya tiada kesan kerana yang ghairah hanya penyokong tegar PAS, tiada pertambahan sokongan buat PAS lantaran penyertaan itu.
Benarkah demikian?

Dua kenyataan ini sahaja bagi saya menunjukkan betapa rendahnya BN-Umno meletakkan martabat keupayaan pemikiran orang Melayu di Selangor. Orang Melayu seolah dilihat bagaikan boleh diheret-heret ke sana ke mari, seolah tiada boleh mencetuskan keputusan sendiri semuanya dikawal oleh Umno!
Bagi saya orang Melayu di Selangor tahun 2013 ini bukannya sama seperti mereka di tahun 50an atau 60an. Selangor hari ini kekal sebagai negeri termaju di Malaysia, rakyatnya rata-rata bermaklumat bukan sekadar di Shah Alam, Petaling Jaya, Gombak, Ampang, Selayang, Kelang malah sampai ke Hulu Selangor dan Sabak Bernam, rakyatnya termasuk orang-orang Melayu semuanya bermaklumat dan terdedah kepada ilmu dan perkembangan semasa.

PAS mula terasa kehadirannya di Selangor sejak PRU 1999 apabila menang 4 kerusi. Selepas dari itu tiada lagi undur ke belekangan buat PAS yang sememangnya telah lahir di Selangor awal-awal penubuhan PAS pada tahun 50an dahulu. Walaupun tewas pada PRU 2004 tetapi ia bangkit kembali pada PRU 2008 dan bersama dengan rakan-rakan, DAP dan PKR membentuk kerajaan baru PR di Selangor menggnatikan BN.
Apa isitmewa Umno sehingga PAS tidak boleh menggantikannya? 5 tahun PAS duduk dalam kerajaan PR ini, rakyat khasnya orang Melayu melihat satu garis perubahan dalam pendekatan berbanding Umno. PAS dari ahli-ahli EXCO, ADUN nya, ahli-ahli parlimen, ahli-ahli majlis, Ketua-ketua Kampung, ahli-ahli JKKK berjaya menusuk dan menzahirkan pendekatan kepimpinan yang jauh lebih baik khasnya apabila unsur-unsur Islam di bawa masuk bersama.

5 tahun dalam kerajaan, tiada pimpinan PAS yang gagal dalam perlaksanaan amanah mereka. Kepimpinan lebih telus, bersih, berakhlak kalau nak dibandingkan dengan Umno, ini sesuatu yang nyata.
Umno yang duduk dalam kerajaan BN selama 11 penggal di Selangor telah meletakkan seorang MB sendiri dalam penjara! Seorang lagi sedang menunggu rayuan jika gagal akan turut terhumban dalam penjara angkara rasuah dan salah guna kuasa! Itu rekod Umno di Selangor.

Pemimpin yang terlibat dengan salah-laku moral juga boleh disenarai. Terakhir seorang bekas ahli parlimen didapati bersalah membuat tuntutan paslu dan bakal menjalani hukuman penjara juga jika gagal rayuannya.
11 penggal di Selangor, tetapi yang mewah dan senang dikalangan orang-orang Melayu di Selangor adalah kalangan yang rapat dan dikeliling pimpinan mereka. Kontrak diberi secara rundingan terus. Yang dapat, dapat lagi, yang kaya, kaya lagi. Budaya politik wang cukup sinonim dengan Umno di Selangor dan ini diakui dikalangan mereka sendiri.

Oleh itu dimanakah bangkit keyakinan Zin bahawa orang Melayu di Selangor mahukan Umno kembali berkuasa?
Siapa kata Muhammad Taib tidak memberi impak atau kesan khasnya ke atas pengundi Melayu? Beliau seorang bekas MB, bekas Naib Presiden Umno, bekas Menteri, bekas Ketua Penerangan Umno, dan ke mana-mana beliau pergi kebelakangan ini beliau yang pernah duduk ditangga tertinggi itu menyebutkan bahawa PAS lah yang terbaik buat orang Melayu, Umno gagal. Takkanlah orang Melayu akan lebih percaya Zin atau Khir Toyo atau Abd Rahman Bakri (bekas ahli parlimen Sabak Bernam) berbanding beliau?!

Kesimpulannya Umno telah diberi peluang bukan sepenggal dua tetapi sebelas penggal. Orang Melayu sesungguhnya malu dan kesal dengan Umno. Barisan calon-calon yang Umno kemukakan pun tiadalah mana sangat yang mahu dikagumi. Seorang calun DUN saya tahu SPM pun belum tentu ada sijil manakala seorang lagi di Lembah Kelang sekadar SPM.
Bukannya kelayakan akademiki penentu utama tetapi Umno yang bercita-cita mahu menggantikan personaliti seumpama Tan Sri Khalid, Iskandar Samad, Dr Ahmad Yunos, Azmin Ali perlulah kemukakan nama-nama yang lebih meyakinkan.

Bagi saya Zin boleh dan terpaksa berkata begitu namun yang jelas orang Melayu Selangor tidak lagi buta dan akan bangkit 5 Mei nanti merihatkan Umno dan BN.

 

 

Jangan "underestimate" pengundi Melayu PRU13 (28/4/13)

Sunday, April 28, 2013


Tinggal seminggu lagi, Ahad depan rakyat Malaysia akan membuat keputusan. Masa depan Negara berada dalam tangan para pengundi berdaftar.
Tempuh berkempen kini telah masuk separuh jalan, bukannya kita mahu menyedapkan halwa telinga sendiri, tetapi berdasarkan apa yang kita lihat, dengar dan alami sendiri, 7 hari pertama berkempen ini kelihatan peluang PR untuk mencetuskan kejutan semakin cerah dan meyakinkan.

Mana-mana kita kunjungi kita akan dengar bahawa PR punya harapan cerah.
Jika pada PRU lalu menurut kajian sebuah NGO yang pro BN (sejurus selepas PRU 12 itu) secara purata PR memungut 45.6% undi Melayu, 60.5% Cina dan 89.6% India. Kali ini kedengaran pengundi CIna semakin bersungguh mahukan PR dan menolak BN, ada yang sehingga menjangkakan kecenderungan pengundi Cina sekarang ini sudah memuncak ke 85% malah tak mustahil 90%!

Tidak ada isu yang boleh merobah keputusan masyarakat Cina itu, tiada isu video, tiada kes liwat, tiada Hudud, tiada apa, bagi mereka BN sudah gagal dan mereka bertanggungjawab bangkit menamatkan usia BN kali ini.
Masyarakat India pula dilihat kali ini sekitar 50-50, mungkin faktor kendurnya pengarauh Hindraf, sokongan mereka mungkin menguncup dari sebear 80an peratus pada PRU lalu ke 50% begitu.

Soalnya bagaimana dengan sokongan pengundi Melayu?
Kebelakangan ini ramai asyik memberi tumpuan kepada jangkaan mencanaknya sokongan masyarakat Cina itu, masyarakat Melayu bagi mereka mungkin tidak sebesar mana kecenderungannya, mungkin sekitar di kawasan bandar. Seorang bekas Mufti malah seolah berlepas harap pada masyarakat Melayu luar bandar yang bagi beliau taksub dan terlalu bergantung harap kepada Umno BN, benarkah begitu?

Saya kurang bersetuju.
Saya merasakan kita jangan “under estimate” kecenderungan pengundi Melayu kali ini. Seawal 1959 orang Melayu telah tolak Umno di Kelantan dan Terengganu pada PRU peratama dulu.

Lebih dekat lagi kalau kita ingat pada tahun 1999 di awal ledakkan “reformasi” dahulu, ketika itu kita dapat melihat betapa yang bangkit dan memberi respon positif kepada slogan “reformasi” itu sesungguhnya adalah orang Melayu. PRU 1999 orang Melayu di Kelantan dan Terengganu sekali lagi memenangkan PAS dan Keadilan ketika itu dan menolak keluar Umno-BN!
Di Selangor, PRU 1999, PAS menang 4 kerusi di Gombak Setia (Ismail Kamus), Sg Burung (Hasan Ali), Sabak (Sallehen Mukhyi) dan Kajang (Dr Shafiee). Keadilan menang Hulu Kelang melalui Azmin Ali dan DAP Cuma menang 1 kerusi iaitu melalui Teng Chang Khim. (Buat pertama kali PAS menjadi Ketua Pembangkan dalam DUN Selangor ketika itu)

Ini menunjukkan PRU 1999 itu pengundi Cina masih belum bersedia, begitu juga masyarakat India, hanya pengundi Melayu yang awal memberi respon.
Tetapi PRU 2004 sokongan itu menurun manakala 2008 sebagaimana kita catatkan di atas kecenderungan lonjakkan terbesar dikesan dikalangan pengundi Cina dan India.

Saya menjangkakan jika kita lihat perkembangan semasa hari ini, jika jentera PR bergerak lancer terus kekalkan “momentum” sehingga ke garis penamat, tidak mustahil PRU kali ini, iaitu 5 Mei nanti akan melihat sejarah tercipta dimana, ketiga-tiga pengundi Melayu, Cina dan India akan bangkit dan menolak BN!
Jangan “underestimate” pengundi Melayu, mereka juga bermklumat dan bijak dan mahu yang terbaik buat mereka dan Negara.

PAS tetap memperjuangkan Islam (28/4/13)


Secara dirancang atau tidak, dalam banyak-banyak isu pilihanraya sepanjang kempen PRU ini, tiba-tiba terpacul keluar juga isu perlaksanaan Hudud.
Bagi pihak musuh PAS, kelihatan isu ini sengaja dilontarkan bagi mencetuskan kebimbangan masyarakat bukan Islam dan selain itu mengkusutkan hubungan antara PAS dan rakan-rakannya dalam Pakatan Rakyat.

Umum mengetahui bahawa hanya PAS lah satu-satunya parti di Malaysia yang meletakkan Islam sebagai dasar perjuangannya. Tidak ada parti politik berteraskan agama selain PAS di Malaysia. Dan PAS telah lahir di Malaysia, dahulunya Malaya bukan setahun dua tetapi lebih 60 tahun, iaitu salah sebuah antara parti yang tertua dalam Negara.
Ahli dan penyokong PAS kita yakin akan terus mempertahankan dasar dan perjuangan PAS. Memang PAS mahukan penyelesaian Islam, memang PAS mahu perlaksanaan hukum-hukum Islam, lantaran itulah maka berbodong-bondong bersama menyokong perjuangan PAS sejak zaman-berzaman.

Syukur, dalam kekalutan berkempen pilihanraya ini apabila  isu Hudud, dimain-mainkan oleh media kononnya untuk memerangkap PAS, pimpinan PAS dari Mursyidul Am, Timbalan Mursyidul Am, Presiden dan Ketua Dewan Ulamak segera bangkit mempertahankannya. “Islam without question” itulah dasar dan perjuangan PAS.
Ya mungkin ianya bukan tuntutan perjuangan bersama dalam Pakatan Rakyat, tetapi bagi PAS sebagai sebuah parti yang dasar dan matlamat perjuangannya adalah Islam, itulah tuntutan perjuangannya.

Berdasarkan perkembangan semasa dalam tempuh berkempen ini kelihatan kecenderungan buat kemenangan besar bagi PR termasuklah PAS adalah cerah. Lantaran itu keputusan pucuk pimpinan parti  dalam isu Hudud ini sangat meyakinkan. Kita tidak boleh mendiamkannya, kita tidak boleh melarikan diri dari ia, atau kita pura-pura menafikannya kerana dalam perjuangan Islam ini matlamat tidak menghalalkan cara, tak kan kerana nak menang kita letak Islam di kerusi belakang, itu bukan PAS.
Alhamdulillah pimpinan kita istiqomah, dan Allah menyatakan kemenangan itu bagi mereka yang istiqomah.

 

Bukan Mat Taib tetapi Islam lah "PIALA" yang dijulang (26/4/13)

Friday, April 26, 2013


Hari ini rakan saya Joceline Tan di dalam ruangan “Analysis” nya dalam akhbar The Star menumpukan ulasan pada penyertaan bekas MB Selangor Tan Sri Muhammad Muhammad Taib ke dalam PAS. Semalam ketika menghubungi saya dan bertanya pandangan saya darihal kesan penyertaan Mat Taib serta impaknya ke atas PRU di Selangor, secara jujur saya menyatakan bahawa semasa saya berada di Tanjung Karang baru-baru ini, penduduk tempatan (masyarakat Kampung Melayu) begitu “excited” dengan perkembangan terbaru itu dan menanti-nantikan Mat Taib.
Pastinya ada kesan buat PAS dan PRU di Selangor khasnya dikalangan orang-orang Melayu. Kerana saya telah menyatakan sebelum ini dalam posting saya memang Mat Taib punya rekod yang berwarna-warni selama 11 tahun menjadi MB di Selangor, tetapi yang pastinya beliau seorang MB yang sentiasa ke bawah, dekat dengan rakyat. Sebagaimana Allahyarham Dato Harun Idris dahulu begitu dekat dengan rakyat walaupun beliau berakhir dengan berihat di Penjara Pudu.

Dari segi karekter dan peribadi Mat Taib disenangi khasnya  penduduk luar bandar di Selangor. Mungkin kerana pengalamannya sebagai seorang guru, yang memungkinkan beliau lebih hampir pada rakyat berbanding dengan seorang lagi bekas MB Khir Toyo contohnya.
Apa pun dari pemerhatian saya, penyertaan Mat Taib itu disambut dengan senang hati oleh penduduk luar bandar, kecuali yang Umno yang pastinya marah-marah.

Joceline menulis bahawa PAS mudah sahaja memaafkan dan menerima musuh-musuhnya, seakan PAS ini oportunis sanggup melakukan apa sahaja demi menadapat kuasa.
Beliau berhak berpandangan demikian tetapi itulah politik.

Tambah pula dalam Islam, kalau Rasulullah saw pun pernah berdoa kepada Allah swt agar membuka pintu hati Umar bin al Khattab atau Abu Jahal bin Hisham untuk menerima Islam, akhirnya ditakdirkan Umar memeluk Islam, apalah salah kita berdemikian pada Mat Taib sedang Mat Taib sudah pun Islam dan Alhamdulillah sekarang bersama pula perjuangan Islam.
Joceline tidak tahu begitu juga Rasulullah saw ketika Pembukaan Kota Mekah, dengan mudah menerima Islamnya, musuh besar Islam ketika itu, Abu Suffian dan Rasulullah telah memberikan kedudukan yang mulia buatnya walaupun beliau sebelumnya merupakan musuh.

Hal-hal ini tidak menjadikan Rasulullah oportunis tetapi itulah fiqh al harakah yang diturunkan oleh Baginda kepada umat Islam untuk dijejaki dan diikuti sehingga akhir zaman.
Joceline menganggap Mat Taib bagaikan satu piala yang diusung PAS ke hulu ke hilir, malangnya piala itu “somewhat chipped” sedikit sumbing. Bagi PAS bukan Mat Taib tetapi Islam itulah piala yang PAS julang sejak dari tarikh penubuhannya awal 1950an sehinggalah sekarang. Hari ini Mat Taib memilih untuk bersama menjulang piala yang sama.

Dan piala inilah yang akan kita julang pada 5 Mei nanti, dan dengan izin Allah jika ditakdirkan berjaya insyallah Negeri dan Negara akan menjulangnya buat selama-lamanya.

Orang Sawah Sempadan kecewa dengan Dr Hasan (25/4/13)

Thursday, April 25, 2013


Semalam saya sempat turun membantu sahabat-sahabat di Parlimen Tanjong Karang, Selangor. Di bawah kerusi parlimen ini terdapat dua DUN iaitu Sg Burung yang ditandingi calon PAS Ustaz Judi Sarjo dan Permatang yang ditandingi calon PKR Yahya Shaari. Calon PAS untuk parlimen menentang Noh Omar (BN) adalah Cikgu Rashdi Deraman.
Saya dijemput berceramah di Markas PAS Sg Sireh bersama calon DUN Ustaz Judi dan kemudiannya terus dibawa ke Blok D Sawash Sempadan untuk berceramah bersama Cikgu Rashdi.

Saya lihat para petugas PAS dan PR begitu bersemangat dan gigih berkerja menambahkan keyakinan kita lagi bahwa ketiga-tiga kerusi di sini yang kini dikuasai Umno-BN berpotensi jatuh ke tangan PR, ini kali lah!

Di Sawah Sempadan sebelum ceramah beberapa pimpinan dan penduduk tempatan telah bertemu dengan saya secara tertutup menyuarakan kekecewaan mereka terhadap pemimpin JATI, Dato Dr Hasan Ali yang baru turun ke kampung mereka beberapa hari lalu. Mereka semua akrab dengan Dr Hasan kerana beliau pernah sepenggal menjadi ADUN Sg Burung tahun 1999 dan sebelum ini merupakan pimpinan kanan PAS.
Bersama Cikgu Rashidi calon PAS Parlimen
Tg Karang, Selangor
Tetapi malam tadi mereka menzahirkan kekecewaan mereka , kerana Dr Hasan yang sebelum ini mereka julang dari kampong ke kampong, mereka raikan, mereka sokong dengan air mata dan wang ringgit kerana mendepani perjuangan PAS, telah turun ke kampong mereka menyerang dan menghina PAS, pimpinan PAS tempatan dan pimpinan masyarakat. Kata mereka malah Dr Hasan tergamak menyeru penduduk kampong di sini PRU nanti jangan beri satu undi pun pada, calon PAS, Ustaz Judi!

Sedangkan Ustaz Judi dan Cikgu Rashidilah merupakan antara tenaga terkental menyokong dan membantu beliau ketika beliau ADUN di sini dahulu. Ustaz Judi malah sehingga ditukarkan oleh kerajaan BN mengajar di Petaling kerana kuatnya menyokong Dr Hasan dan terpaksa berulang-alik dari Petaling ke Tanjung Karang semata-mata kerana perjuangan.
Mereka geleng-geleng kepala dan beristighfar ketika bercerita kepada saya. Minta sangat saya mengulas isu ini dalam ceramah saya.

Malam tadi saya kira saya telah tidak mengecewakan mereka.
Saya melontarkan satu fakta: kalau bersungguh JATI di bawah Dr Hassan ghairah mahu memperjuangkan Melayu dan Islam, sehingga PAS berkawan dengan DAP pun dikatakan merela diri menjadi kuda tunggangan, kenapa pula beliau selaku kepala JATI tanpa segan-segan turun membantu calon MCA-BN  Bandar Tun Razak sedangkan kalau betul dia juara “Melayu-Islam” di Bandar Tun Razak, beliau sepatutnya menyeru orang Mel
yu Islam yang beliau dakwa beliau wakili mengundi Tan Sri Khalid, kerana Tan Sri Melayu-Islam
Kenapa ada “double standard”? Kenapa bermuka-muka? Kenapa bila turun kampong-kampung Melayu serang PAS, seang kawan-kawan yang ikhlas dan setia, tetapi bila duduk sebelah Timbalan Presiden Umno, sokong dan lambung MCA?!
Insyallah orang Tanjung Karang istiqomah bersama PAS.

 

PAS boleh gagal di kerusi sendiri jika rekod tak baik (25/4/13)


Terdapat satu artikel dalam sebuah portal berita alternatif yang menarik dan memaparkan bagi saya realiti semasa yang perlu dihadapi dan dipikul oleh mereka yang serius berpolitik.
Artikel tersebut mengisahkan penerimaan rakyat terhadap calon Umno-BN di sana, sebuah kerusi DUN di Perak, berbanding calon PAS sedangkan kerusi tersebut adalah kerusi yang PAS menang pada PRU lalu. Alasan penerimaan rakyat terhadap calon BN adalah kerana menurut artikel berkenaan calon PAS dahulu tidak memberikan perkhidmatan yang memuaskan para pengundi.

Artikel berkenaan menerima komen dari seorang pengunjung iaitu OldCitizen1950, yang menulis :
If you don't serve the people you deserve to lose
Here was a guaranteed seat
And they blow it
How many more seats will they lose due to this attitude
Taking things for granted ...
Shame on you PAS

Ini satu pengajaran besar buat wakil-wakil rakyat PAS dan semua yang terlibat dalam PR. Benar berdasarkan arus semasa kita kelihatan melonjak ke hadapan dari sudut sokongan rakyat sehingga berkemungkinan mempunyai keupayaan menang besar kali ini. Namun senario berkenaan tidaklah muktamad kerana apabila ribut perubahan itu reda di peringkat akar umbi, iaitu dikalangan pengundi sebenar, rekod dan keperibadian calon akan tetap menjadi ukuran.
Walaupun pada keseluruhannya kita berpotensi besar kali ini, tetapi yang akan memutuskannya pada 5 Mei nanti adalah para pengundi tempatan. Kecenderungan besar kepada PR boleh cair begitu sahaja jika rekod dan keperibadian calon kita tidak memuaskan dan tewas bila dibandingkan dengan calon lawan.

Ini realiti kerana para pengundi tahun 2013 ini bukan lagi seumpama pengundi 1959 atau 1964. Mereka bermaklumat, cerdik dan tidak mudah dipatahkan.

Saya tidak tahu sejauh mana tepatnya artikel yang saya maksudkan di atas itu, tetapi memandangkan ianya datang dari sebuah portal berita yang “pro” Pakatan, berkemungkinan ia jujur dan sahih.
Semoga ia menjadi iktibar dan pengajaran buat kita semua. Tidak cukup dengan semangat dan api semata-mata, kerja dan khidmat perlu ditabur sesungguh-sungguhnya apabila amanah telah diberikan.

JATI kempen untuk MCA? (24/4/13)

Wednesday, April 24, 2013


Saya menghromati Dato Dr Hasan Ali, malah dalam PAS dahulu saya berkhidmat di bawah beliau yang saya anggap sebagai “bapa” saya sendiri. Banyak yang telah saya timba ilmu dan pengalaman dari beliau. Namun apabila beliau mengambil keputusan meninggalkan PAS (tanpa mahu merayu kepada Majlis Syura PAS setelah dipecat), saya turut memutuskan hubungan fahaman dengan beliau. Saya masih menghormati beliau namun tidak lagi berkongsi fahaman dan ideologi.
Hasan, Juanda, Muhyiddin dan Tan Kok Eng

Beliau menubuhkan sebuah NGO yang dikenali JATI atau Jalur Tiga yang mahu memperjuang dan mempertahankan Islam, Raja-raja Melayu dan orang-orang Melayu.

Itu hak beliau.
Setelah keluar dari PAS beliau juga punya hak untuk kritik dan menyerang PAS kerana beliau bukan lagi ahli dan tidak lagi terikat dengan disiplin parti.

Beliau telah menjelajah segenap pelusuk tanahair, mendedahkan kelemahan PAS, mendedahkan keburukan DAP dan PKR dan mendesak agar orang Melayu kembali kepada Islam dan perjuangan bangsa. Itu pun hak beliau.
Namun dalam PRU ini apabila beliau lebih cenderung kepada BN bermakna beliau bukan lagi “non partisan” tetapi beliau menzahirkan kecenderungan ideologi kepartian beliau kini iaitu pro BN.

Itupun hak beliau.
Cuma baru-baru ini apabila beliau berceramah atas tajuk “Selamatkan Aqidah umat Islam” di Bandar Tun Razak, tetapi dalam waktu yang sama hadir bersama Timbalan Pengerusi BN Muhyiddin Yassin dalam kempen BN untuk calon Parlimen Bandar Tun Razak, saya rasa beliau telah mendedahkan gagalnya beliau istiqomah dalam perjuangan “JATI” nya itu.

Parlimen Bandar Tun Razak menyaksikan calon PR dari PKR iaitu Tan Sri Abd Khaliid Ibrahim “anak jati Melayu Bugis” (sebagaimana Dato Hasan dan saya) bertanding mempertahankan kerusinya yang mempunyai 52.5% pengundi Melayu. Dato Hasan hadir berkempen bersama Timbalan Presiden Umno untuk calon BN-MCA Tan Kok Eng!
Tidakkah beliau berada di majlis yang salah ?!?

Puchong: Sayangi Selangor tolak BN (24/4/13)


Semalam saya turun membantu sahabat-sahabat dari PAS Puchong dan dijemput memberikan ceramah bersama calun PAS N.29 Seri Serdang  Puan Noor Hanim Ismail. Walaupun hujan baru sahaja berhenti ternyata kehadiran masyarakat berbilang kaum di sekitar Bandar Kinrara 5 semalam tidak menghampakan.
Calon PAS disini bertembung dengan calon Umno/BN. Dalam PRU ke 12 lalu calon BN ketiak itu Satim Diman menang dengan majoriti paling tipis di Selangor iaitu 45 undi mengalahkan calon PAS.

Apabila diberikan taklimat oleh pimpinan di sana, saya yakin kali ini insyallah berkat kerja kuat semua pihak dalam PR serta istiqomah sahabat-sahabat tidak mustahil calon PAS boleh menang selesa.
Salah satu faktor dari pengamatan saya,sesungguhnya kerusi ini sudah tidak lagi merupakan kerusi Umno. Mengapa? Kerana berdasarkan angka-angka terbaru bilangan pengundi Melayu di kawasan ini telah menurun iaitu dari 52.1 % pada PRU ke 12 telah turun 6 % tinggal hanya 46.1 %, Manakala pengundi Cina dan India dari 47.6% telah meningkat 5 % ke 52.6 %.

Umno secara tradisinya tidak bertanding di kerusi yang kurang dari 50 % majoriti Melayu.
Atas hakikat ini dan atas jangkaan kuatnya lonjakkan pengundi bukan Melayu selain pengundi “urban” Melayu ke arah PR kali ini, tidak mustahil calon PAS akan menamatkan riwayat Umno do Seri Serdang.

Faktor di atas adalah diyakini walaupun DUN berkenaan turut melihat pertambahan pengundi baru yang sangat besar jumlahnya iaitu seramai 23,088 pengundi ataupun lebih 45% dari 49, 757 pengundi pada PRU ke 12 lalu ke 72,845 pengundi kali ini.
Ternyata pertambahan pengundi berkenaan lebih melihatkan lonjakkan pertambahan dikalangan pengundi bukan Melayu berbanding Melayu.

Apapun kelihatan ramai yang berpuas hati dengan calon PAS, dan dengan komitmen yang tinggi dari pimpinan PAS Kawasan serta rakan-rakan dari PR, “Sayangi Selangor tolaklah BN” akan menjadi nyata di Seri Serdang kali ini.
(Selain itu calon Parlimen PR Iaitu Sdr Gobind Sing Deo dari DAP bagi kerusi P.103 Puchong dan calon N.30 Kinrara, kawan saya, Ng Sze Han, juga dari DAP (yang menggantikan Teresa Kok) dijangka menang selesa)
"Puchong: Sayangi Selangor tolak BN"

Sayangi Selangor "tolak" BN (23/4/13)

Tuesday, April 23, 2013


“Sayangi Selangor yakini BN” itulah cogankata BN kononnya untuk menawan Selangor dalam PRU ke 13 ini.
Bagi saya cogankata ini lebih akan memerangkap BN dari membantunya kalau diteliti sungguh-sungguh. Saya kira pada PRU ke 12 tahun 2008 lalu rakyat Selangor rata-rata telah menzahirkan “sayang” mereka kepada Selangor. Bagi mereka Selangor selama ini, lebih tepat lagi 11 penggal telah memberi keyakinan kepada BN. Malah dalam PRU 2004 parti pembangkang sekadar tinggal 2 kerusi iaitu melalui wakil DAP, Teng Chang Khim dan Ng Suee Lim, kerana rakyat meletakkan keyakinan mereka kepada BN.

11 penggal keyakinan diberikan, BN Selangor terus menerus menodai keyakinan itu. Terakhir dizaman Khir Toyo, lantaran terlalu selesa, keyakinan rakyat itu seolah menjadi “lesen” bagi BN untuk bermaharajalela. Penyalahgunaan kuasa dan rasuah berlaku terang-terangan. Suara rakyat tidak dihormati, nafsu politik menjadi perkiraan para pemimpin.
Ada yang membina “istana” di kawasan perumahan rakyat miskin, ada yang melanggar peraturan dan undang-undang semata-mata untuk mengaut harta, rumah rakyat dirobohkan kerana pemaju didahulukan, terakhir malah surau dan termasuk kuil Hindu dirobohkan tanpa pertimbangan. Masjid dan surau dikuasai orang politik, tapak-tapak gerai dan pasar malam pun begitu.

Maka kerana sayangkan Selangor, pada PRU ke 12 setelah 11 penggal “tertipu” rakyat Selangor bangkit menolak BN dan menyokong PAS, PKR dan DAP. Maka terbentuklah kerajaan Pakatan Rakyat dan tumbanglah BN kerana rakyat sayangkan Selangor.
Jadi setelah membuat perubahan mahukah rakyat Selangor khasnya kembali yakin kepada BN?

Kalau rakyat Kelantan sejak 1990 iaitu 23 tahun dahulu telah meng”kubur”kan BN, sampai hari ni tak bangkit-bangkit lagi, tak mustahil di Selangor kerana benar-benar sayangkan Selangor, rakyat juga akan menamatkan riwayat BN tiada akan kembali lagi berkuasa.
“Sayangi Selangor tolaklah BN”

Harapan Mat Taib dan ramai lagi terhadap PAS (22/4/13)

Monday, April 22, 2013


Saya baru sahaja mengikuti video klip ucapan Tan Sri Muhammad Taib selepas menyerahkan borang keahliannya kepada Presiden PAS sebenatar tadi. Saya kira ucapan beliau tidak banyak lari dari ucapan seorang lagi Ketua Bahagian Umno yang pernah menyerahkan borang sama kepada Pesuruhjaya PAS ketika itu sejurus PAS menang melalui PR di Selangor iaitu Kapt (B) Zahar Hashim.
Dan saya percaya begitulah juga harapan mereka yang lain yang menyertai PAS dari zaman ke zaman. Mereka semua mahu lihat Islam dimartabatkan melalui PAS. Mereka yakin hanya PAS yang mampu memperjuangkan Islam di Negara ini.

Bagi Tan Sri contohnya, yang pernah menjadi MB Selangor selama 11 tahun sebelum ini, negeri Selangor ini benar sudah menjadi negeri maju. Kata beliau sampai masanya perubahan dilakukan supaya negeri yang dinamik membangun ini ada pengisian rohnya. Dan roh negeri Selangor ini kata beliau hanya boleh diisi dengan roh ISLAM.
Dan kata beliau lagi tidak ada parti yang mampu mengisi roh ISLAM ini selain parti yang memperjuangkannya iaitu PAS. Beliau mahu melihat PAS nanti, apabila memiliki kuasa, melaksanakan segala arahan dalam al Quran sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah swt kepada Nabi Muhammad s.a.w.

Itulah “expectation” atau pengharapan beliau dan saya yakin ratusan ribu malah mencecah juta pengundi yang bakal keluar mengundi PAS terhadap PAS. Para pemimpin PAS memikul amanah besar bagaimana merealisasikan pengharapan Tan Sri dan mereka seumpama beliau.
Kita mahu lihat Islam kembali bersinar sebagaimana yang telah berjaya dibina dan didirikan oleh Rasulullah saw. Sekiranya menang semoga pimpinan PAS memenuhi impian ini yang merupakan doa dan harapan yang hidup dan ramai yang telah mendahului kita dalam perjuangan yang penuh liku dan cabaran ini.

 

 

Bila Aznil Nawawi sokong BN (22/4/13)


Sokongan dan kecenderungan politik adalah hak setiap warganegara. Dalam Negara yang mengamalkan demokrasi tiada sesiapa sepatutnya dianaktiri, disenarai-hitam atau diapa-apakan lantaran sokongan dan kecenderungan politiknya.
Di Malaysia bagaimana?

Hari ini dalam akhbar The Star pelakon Sazzy Falak dan personaliti TV Aznil Nawawi dilaporkan semalam berkempen di sekitar Pavillion Bukit Bintang, mengedarkan Tshirt dan topi menyokong “Najib for Malaysia”, iaitu mempromosi kempen BN.

Apabila Aznil ditanya pemberita tidakkah beliau bimbang yang sokongan terbukanya terhadap BN akan menjejaskan popularitinya dikalangan peminatnya yang pro Pakatan, Aznil berkata:

“Saya mahu diminati lantaran bakat saya. Sekiranya peminat menyokong saya kerana politik, saya merasakan ianya sesuatu yang sempit. Sesiapa sahaja bebas berpandangan.”
Turut disumbangkan adalah persembahan dan nyanyian oelh artis-artis lain termasuklah Altimet, Awi Rafael dan Narmi.

Sayangnya padangan Aznil itu rasa saya tidak dikongsi oleh BN. Selama yang kita tahu dasar BN kalau sesiapa yang menyokongnya dan sedia bekerja untuknya, maka selamatlah masa depan orang berkenaan tetapi jika menentang apalagi jadi calon pula macam Dayangku Intan, Aishah dan Herman Tino gelaplah masa depan.
Pada awal zaman reformasi dahulu, seorang petugas RTM pernah tunjukkan pada saya suatu surat pekeliling yang melarang DJ RTM yang bertugas dari memutarkan lagu Allahyarham P.Ramlee “Azizah”. Dan pernah juga komposer M.Nasir berhadapan masalah apabila mempertikaikan “Siapa Mahathir” di waktu kepimpinan Dr M dulu.

Sepatutnya semua individu bebas memberi sokongan dan cenderung pada sesiapa yang mereka mahu. Benar biarlah golongan artis contohnya diminati lantaran bakat mereka, begitu juga penulis, sasterawan, doktor, peguam, apa sahaja profesyion.
Jangan nanti kerana mengiringi abangnya semasa hari penamaan calon dua hari lepas, maka Azwan Ali di “gam” pula oleh stesyen TV.

Semoga semua pihak lebih terbuka dan toleran dalam hal ini kerana ia membabitkan hak rakyat. Saya yakin kiranya PR menang Aznil boleh terus berkerjaya di TV.

Tahniah Mat Taib (22/4/13)


Tan Sri Muhammad bin Hj Muhammad Taib dengan rasminya menjadi ahli PAS hari ini, dua hari selepas proses penamaan calon PRU ke 13. Beliau sebelumnya adalah Ketua Umno bahagian Kelana Jaya dan bekas Menteri Besar Selangor, 1986-1997.
Blog ini banyak mengulas berkenaan beliau sebelum ini, ternyata Tan Sri memiliki rekod yang berwarna-warni. Tetapi ditakdirkan Allah swt pada usia 67 tahun Tan Sri memilih menyertai perjuagan menegakkan Islam sebagaimana dipelopori oleh PAS, semoga beliau istiqamah dan membantu menegakkan Islam sebagaimana dasar perjuangan PAS.

Hari ini Tan Sri Muhammad adalah ahli PAS. Mulai hari ini beliau akan mencatitkan rekod sejarah saki baki hidupnya menggalas perjuangan sebagai seorang pejuang Islam. Adapun yang sebelum ini adalah sejarah lampau beliau, sebagaimana manusia biasa kita semua punya sejarah lampau, semoga ianya menjadi iktibar dan pengajaran buat beliau, dan buat kita terhadap sejarah lampau kita.
Kita mendoakan semoga Tan Sri dapat memberi sumbangan besar terhadap perjuangan Islam ini khasnya dalam tempoh berkempen PRU ke 13 ini.

Tahniah Tan Sri.

P.162 paling istimewa (20/4/13)

Saturday, April 20, 2013


Saya tidak dapat mengkategorikan mana-mana kerusi yang lebih menarik dan sewajarnya menjadi tumpuan seluruh rakyat selain kerusi parlimen P.162 Gelang Patah, Johor.
Setelah diumumkan secara rasmi oleh pihak SPR sebentar tadi, P.162 bakal menyaksikan pertembungan yang paling bersejarah dalam politik Malaysia iaitu antara Penasihat DAP Lim Kit Siang dan bekas MB Johor, Abdul Ghani Othman.

Apa istimewanya P.162?
P.162 mempunyai 106,772 pengundi berdaftar. Pecahan pengundi menurut kaum di P.162 adalah 52% Cina, 34% Melayu, 12% India dan 2% lain-lain kaum. Pada PRU ke 12 lalu calon BN-MCA Tan Ah Eng memperolehi 33,630 undi mengalahkan calon PKR Dr Zaleha Mustafa yang memperolehi 24,779 undi dengan kelebihan 8851 undi (pada PRU 2004 calon BN yang sama menang dengan majoriti 31,666 undi)

Ya apa istimewanya P.162?
Ada beberapa faktor bakal meletakkan P.162 istimewa menurut pemerhatian saya.

PERTAMA: Umno tidak pernah bertanding dikerusi bukan Melayu. Jika dijumlahkan peratusan pengundi Cina, India dan lain-lain bermakna P.162 mempunyai 66% pengundi bukan Melayu berbanding 34% Melayu. Umno TIDAK pernah bertanding dikerusi seumpama ini sejak PRU 1959.
KEDUA: Lim Kit Siang memang merupakan “hero” bagi para pengundi Cina dan kesitimewaan beliau adalah mampu bertanding dimana sahaja kerusi pilihan DAP, dan mampu mencatat kemenangan, walaupun pernah juga tewas. Pokoknya kerusi-kerusi ini lazimnya mempunyai majoriti pengundi yang besar, rata-rata melebihi 75% Cina, contohnya semasa beliau bertanding dan menang di Kota Melaka, Petaling Jaya, Tanjung dan terakhir Ipoh Timur. Kerusi seumpama P.162 tidak pernah dipertaruhkan buat “hero” DAP ini kecuali kini.

KETIGA: Umno tidak pernah bertanding lawan DAP sebegini sengit, orang kanannya bertempur dengan orang kanan DAP, tak pernah berlaku dalam sejarah PRU Malaysia.
KEEMPAT: Jika Kit Siang menang, bermakna DAP sudah boleh ditonjolkan sebagai parti berbilang kaum sebenar kerana P.162 membuktikannya. Dan Kit Siang akan ternobat sekurang-kurangnya dalam rekod DAP sebagai “hero” sebenar-benarnya kerana berjaya menumpaskan orang kuat Umno di gelanggang BN.

KELIMA: Jika Ghani memang, bermakna Ghani adalah “giant killer” sebagaimana Kadoh Agundong satu ketika dahulu merebahkan Haris Salleh (Ketua Menteri Sabah) di Sabah. Dan ini bukan calang-calang punya “kill” kerana yang terbunuh adalah “hero” DAP.
dari Malasian Insider
KEENAM: Jika Ghani menang, awas Umno, dengan kehebatannya itu Ghani layak sahaja bertanding merebut jawatan Presiden Umno, kerana tidak pernah ada pencapaian seumpama ini oleh pemimpin kanan Umno dalam sejarah.

Senarai ini boleh dipanjangkan berjela-jela lagi bagi membuktikan keistimewaan P.162. Kerana istimewanya ia maka marilah kita mengharapkan agar keputusannya juga nanti istimewa.
Rakan saya yang terlibat dengan jentera Kit Siang di P.162 berkata Kit Siang cuba membuktikan kemampuan PR, meyainkan rakyat bahawa PR sudah bersedia dari Utara ke Selatan, sehinggakan beliau sendiri sanggup mengambil risiko bertanding di sini.

Ghani juga barangkali mahu membuktikan sesuatu.
Apa pun semoga rakyat bijak membuat keputusan 5 Mei nanti.

Hari bersejarah......(20/4/13)


Hari ini adalah hari bersejarah buat Negara, iaitu hari penamaan calon PRU ke 13. Dan pada 5 Mei nanti para pengundi berdaftar di Malaysia akan membuang undi bagi menentukan nasib dan masa depan Negara dan negeri-negeri.
Rancangan saya untuk memberi tumpuan kepada hari ini berubah apabila ia turut menjadi tanggal bersejarah buat diri saya dan keluarga. Jam 3.00 pagi tadi saya menerima panggilan bahawa ibu kesayangan saya DATIN HALIJAH ABD HAMID telah dijemput oleh Allah swt, meninggal dunia di Mekah dalam melaksanakan ibadah umrah beliau.

Kesedihan melanda seluruh keluarga dengan kematian wanita yang paling penting dalam kehidupan kami ini. Namun oemergian beliau kami sambut dengan penuh redha memandangkan beliau meninggal pada hari Jumaat di bumi yang paling suci.
Semoga Allah swt mencucuri rahmat ke rohnya dan beliau ditempat dikalangan mereka yang soleh.

Ibu saya adalah pengundi bedaftar di Parlimen P.104 Kelana Jaya dan DUN N31 Subang Jaya Selangor. Pakatan akan kehilangan satu undi tetapi insyallah tidak hilang harapan untuk terus berkuasa di sini.

Al Fatihah

PRU13: Katakan TIDAK kepada keganasan (18/4/13)

Thursday, April 18, 2013


Apabila pihak polis memberi amaran kepada penyokong dan petugas-petugas parti agar jangan bawa senjata semasa ceramah dan mengiringi calon sepanjang tempoh pilihan raya umum ke-13 pasti ianya mencetuskan kebimbangan dikalangan orang ramai. Begitu juga apabila pihak polis turut menyenaraikan kerusi-kerusi yang dijangka panas dalam PRU ini, sudah pasti ada yang merasa cemas.
 Tidak dapat dinafikan hari ini pun, belum lagi hari penamaan calon, sudah ada yang ditangkap dan di bawa ke mahkamah insiden, keganasan pilihanraya.
Kita Malaysia sudah mahu masuk kali 13 berpilihanraya. Alhamdulillah kesemua pilihanraya-pilihanraya itu termasuk Pilihanraya Persekutuan 1955 berjalan dalam suasana aman. Malah PRU 1969 pun pada dasarnya berjalan lancar sehinggalah selepas keputusan pilihanraya diumumkan.

Sebagai penjaga keamanan pihak polis berhak mengeluarkan peringatan sedemikian. Akan tetapi jika ianya diulang-ulang tidak boleh tidak pasti ianya membangkitkan perasaan yang jika tidak pun cemas, sekurang-kurangnya gusar di hati rakyat Malaysia.
Disaat ini semua pihak khasnya penyokong dan petugas-petugas parti di kedua-dua belah pihak perlulah memelihara keamanan dan jangan sekali-kali mencetuskan keganasan atau tindakan yang melanggar undang-undang Negara. Kita mahu rakyat memilih dan memberi mandat kepada kerajaan pilihannya dalam suasana aman dan tenang. Oleh itu tugas kita sekarang adalah berkempen bukannya bertelagah dan berkonfrontasi secara fizikal sesama parti yang bertanding.

Saya yakin rakyat Malaysia yang matang dan berpelajaran akan memilih parti yang paling sopan dan baik akhlaknya dalam pilihanraya kali ini. Parti yang sopan dan berakhlak dicerminkan oleh penyokong dan petugasnya yang memiliki kualiti sedemikian.
Jangan tunduk kepada provokasi, jangan layan mereka yang mahu mencetuskan ketegangan dan huru-hara.

Pihak polis telah memberi komitmen akan bertindak secara adil dan bebas. Suka atau tidak maka serahkanlah kepercayaan kepada mereka dalam hal berkenaan. Bagi kita, rakyat mahu menjalankan tugas mereka memilih, kita kempen, kita pengaruhilah mereka agar menyokong dan mengundi calon serta parti kita. Tidak perlu ganas, tidak perlu samseng untuk memenangi hati rakyat.

Semoga rakyat akhirnya memilih calon-calon yang paling baik antara yang bertanding nanti untuk memimpin dan mentadbir mereka.

Katakan TIDAK kepada keganasan.

 

DAP kalahkan BN 15-0 di Selangor (17/4/13)

Wednesday, April 17, 2013


Semalam posting saya bertajuk “Calon-calon BN Umno sekali imbas” meramalkan yang PR akan kekal berkuasa di Negeri Selangor PRU ke 13 ini. Hari ini dilaporkan pula 5 calon BN Selangor termasuk seorang dari Umno dikesean memiliki ijazah “beli”! http://www.themalaysianinsider.com/malaysia/article/five-bn-selangor-candidates-alleged-to-have-fake-degrees/
Salah satu parti yang akan memberikan sumbangan terbesar kepada pengekalan kuasa PR di Selangor PRU ke 13 ini pada pandangan saya adalah DAP. DAP saya yakin dapat mempertingkatkan prestasinya berbanding PRU ke 12 lalu. Pada PRU ke 12 lalu DAP Selangor bertanding di 15 kerusi yang peratusan pengundi Melayu nya di bawah 45% . Ia menang 13 kerusi dan kalah dua iaitu di N6 Kuala Kubu Baru (tewas pada BN-Mca dengan majority 448 undi) dan N56 Sg Pelek (tewas pada BN-Mca dengan majoriti 1572 undi).

Daripada 13 kerusi yang ia menang majoriti paling besar adalah 15,355 undi di N36 Damansara Utama (82.9% Cina), N31 Subang Jaya 13, 851 (56.4% Cina) dan N22 Teratai 8,085 (55.3% Cina). Kemenangan paling kecilnya di N4 Sekinchan apabila calon Ng Sue Lim berjaya mempertahankan kerusinya itu dengan majority 190 undi (56.1% Cina).
Menggunakan formula “Gelang Patah” dimana DAP yakin Lim Kit Siang boleh menang kerusi berkenaan dengan majoriti tipis memperolehi 80% undi Cina, 40% India dan 15 % Melayu di kawasan yang pengundi Cina nya 54% saya optimis DAP Selangor kali ini akan menang di semua kerusi yang diperatndingkannya iaitu mengalahkan BN 15-0.

Satu faktor kritikal di Selangor adalah kehadiran pengundi-pengundi India yang agak besar dan rata-rata condong kepada pembangakang PRU12 lalu.
Sekiranya DAP mampu memungut 80% undi Cina (ada jangkaan mengatakan di Selangor angkanya kini mencecah 90%!) di semua 15 kerusi yang ditandinginya di Selangor, 40% India (turun dari lebih 50% dahulu) dan 15% Melayu (angka yang konservatif dari Gelang Patah, di Selangor saya melihat pengundi Melayu tidak “phobic” untuk memangkah “roket”) tidak mustahil kemenangan 15-0 itu akan dapat dicapai.

Tinggal lagi PKR dan PAS sahaja membuktikan kekuatan mereka.

 

 

Formula kemenangan menghadapi musuh (16/4/13)

Tuesday, April 16, 2013


Dalam kesibukan kita mengikuti perkembangan PRU ke 13 elok rasanya kita sentiasa ingat mengingati sesama kita kerana atas apa kedudukan kita sekalipun dalam PRU ini, tugas PRU ini adalah bagi menaikkan pemimpin dan amanah itu perlu diulang-ulang dan dingatkan kepada kita agar kita tidak terlupa dan tersasar dari matlamat asal.
Terbaru saya kagum dengan peringatan yang diberikan oleh Pesuruhjaya PAS Perak Ustaz Abu Bakar Hussain sebagaimana yang dimuatkan di :

Dalam kita sibuk bertempur, elok sangat peringatan seumapama ini:

“….wakil rakyat menanggung amanah besar yang diberikan oleh Allah. Wakil-wakil rakyat juga diingatkan agar berkhidmat dengan baik kepada rakyat dengan berusaha sedaya upaya untuk melaksanakan setiap apa yang dijanjikan secara penuh telus dan beramanah serta mandat yang diberikan oleh rakyat seharusnya tidak khianati……PAS lahir membawa perjuangan Islam berdasarkan Al-Quran serta hadis dan ianya telah menjadi sinonim kepada rakyat Malaysia. Dasar Islam yang diperjuangkan PAS tidak pernah bertukar dan ianya kekal walaupun bersama Pakatan Rakyat. Yang penting bagi kami (PAS) ialah prinsip Al-Quran itu akan dapat dijelmakan dan dirasai bersama oleh rakyat dengan keadilan untuk semua yang hidup di muka bumi ini…”
Jika kita berebut hendak menjadi calun. Ghairah menaikkan nama sendiri. Kita terlibat dalam mencantas sesama kawan, menaikkan orang yang kita suka dan menjatuhkan yang tidak, maka tidak ada beza kita dengan musuh. Jika begitu kita tidak layak menjuarai perjuangan Islam.

Almarhum Prof Zulkiflee Muhammad (bekas Timbalan Presiden PAS) pernah berkata:
“Satu daripada syarat kejayaan bagi sesuatu turunan ialah keikhlasan. Kita mungkin bodoh, mungkin jahil, mungkin tidak tahu apa-apa, mungkin tidak kuat. Tetapi kalau keikhlasan ada pada kita maka ada harapan cita-cita kita ini akan dapat kita laksanakan. Tetapi tidak ada gunanya kita cerdik, cerdas, pandai dan kuat, sekiranya kita tidak ikhlas kepada apa yang hendak kita perjuangkan.”

Semoga calun-calun PAS yang dipilih adalah dari kalangan yang baik-baik, yang ikhlas dan bersedia menjadi hamba kepada rakyat dengan menjunjung amanah Allah swt.
Satu pesanan yang paling baik kita ingati adalah pesanan Saidina Umar al Khattab, Amirul Mukminin kepada Saad bin Abi Waqqas yang merupakan Jeneral Tentera Islam semasa mahu bertempur dengan Tentera Parsi:

(Apakah persediaan yang paling baik dalam pertempuran ini? Senjata canggih? Wang ringgit?)
“Bertaqwa kepada Allah dalam semua keadaan. Maka sesungguhnya bertaqwa kepada Allah itu sebaik-baik persediaan untuk menghadapi musuh dan sebaik-baik taktik di dalam peperangan.

(Adakah kekuatan musuh yang perlu kita geruni? Kejahatan musuh?)
“Aku memerintahkan kamu dan siapa sahaja yang bersamamu supaya lebih berhati-hati terhadap diri kamu lebih daripada terhadap musuh kamu, kerana dosa yang dilakukan oleh bala tentera kita sepatutnya lebih ditakuti mereka daripada takutkan musuh. Sesungguhnya diberi pertolongan kepada orang-orang Islam itu dengan maksiat yang dilakukan oleh musuh terhadap Allah………jika kita sama sahaja mengerjakan maksiat maka mereka melebihi kita dari segi kekuatan.”

Maksiat ini luas maknanya. Bukan sekadar berzina, rasuah, mencuri. Apa sahaja yang berlawanan dengan “ketaatan” pada Allah swt adalah maksiat. Berbuat jahat, menganiaya, mengambil hak juga adalah maksiat.
Semoga Allah swt terus mengunriakan kemenangan kepada mereka yang benar-benar ikhlas dalam perjuangannya.

 

Calon-calon BN Umno sekali imbas (16/4/13)


Senarai nama calon-calon yang bakal mewakili parti masing-masing bagi kerusi Parlimen dan DUN dikeluarkan beransur-ansur oleh masing-masing parti. Terbaru BN telah mengeluarkan senarai calon-calonnya untuk negeri Selangor pagi tadi.
Saya lihat BN Selangor begitu bersungguh dan ghairah mahu menang kembali Selangor. Sejak tumbang dalam PRU ke 12 lalu, mereka bagaikan tidak boleh tidur-tidur. Agak-agak terus tertidur lepas ini?

Dengan semangat berkobar-kobar kita menjangkakan BN akan terbit dengan senarai calon-calon yang hebat-hebat, “winnable” sebagaimana impian Presiden mereka. Malangnya meneliti senarai yang dikeluarkan sekali imbas, saya menjangkakan BN akan kekal sebagai pembangkang di Selangor.

Bukannya saya berkata demikian kerana saya bukan BN, tetapi hakikatnya terpahat pada nama calon-calon yang tersenarai, yang antaranya merupakan muka-muka “recycle”, mewairisi skandal dan tak kurang yang sudah maghrib.
Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali, yang akan mempertahankan kerusi Parlimen Gombak saya jangka akan menang mudah. Melihat nama calon BN-Umno bagi kerusi tersebut adalah bekas ahli Parlimen, Datuk Dr Rahman Ismail, alahai mudah sangat pimpinan BN lupa pada cerita-cerita lama yang mengakibatkan nama Dr ini digugurkan dahulu.

Begitu juga di Kuala Selangor. Cikgu Parthiban yang pernah tewas dalam PRU lalu di DUN Bukit Malawati di “recycle” oleh BN-MIC untuk bertanding di Ijok manakala seorang “old timer” yang saya musykil kelayakan akademiknya (kerana saya kenal beliau) Jakiran Jacomah bertanding atas tiket BN-Umno untuk DUN Bukit Malawati.

Di Parlimen Ampang, Dr Rozaidah Talib yang tewas kepada Zuraidah Kamaruddin (PKR) dengan majoriti 3676 undi  di “recycle” semula oleh BN-Umno, banyak melegakan Kak Zu dan rakan-rakan di Ampang saya pasti.
Di Parlimen Shah Alam, BN-Umno saya kira membuat kesilapan yang paling besar apabila melepaskan ayam tambatannya yang baru dijerat, Zulkifli Nordin, yang “bagasi” nya terlalu berat dan isinya memualkan. Tindakan BN itu memudahkan pengundi Shah Alam membuat pilihan!

Di Sementa, Kapar pula, BN-Umno menamakan seorang lagi calon “recycle” iaitu anak kepada bekas ADUN Md Ghazali Mohd Amin. Pada PRU lalu beliau bertanding di DUN Meru dan tewas kepada calon PAS dengan majoriti 5513. Kali ini cuba pula di DUN lain, rasa-rasa nasibnya tak akan banyak berubah.
Dalam pada itu apabila nama Tengku Ridwan Tengku Mansor, adik kepada Setiausaha Agung Umno Tengku Adnan (bertanding di Putrajaya) disebut naik untuk merebut kerusi DUN Seri Setia, Kelana Jaya, sebahagian orang kuat Umno Kelana Jaya telah membikin protes di PWTC. Ridwan dikatakan orang luar yang diterjunkan tanpa izin anak tempatan, maka bergeloralah Seri Setia, sekaligus memberi nafas lega kepada sahabat saya Nik Nadzmi yang insyallah akan mengekalkan kerusi tersebut buat penggal kedua.

Demikianlah sebagaimana saya sebutkan penelitian saya sekali imbas.
Terlupa pula nak sebut, Noh Omar yang kekal bertanding di Tangkung Karang. Dari maklumat yang saya terima Noh selesa mahu terus jadi menteri kerana yakin MB tetap berada ditangan PR. Kawan-kawan di Tanjung Karang perlu buktikan Noh akan menjadi “mantan” menteri dan tidak lagi menteri selepas ini.

 

BN langgar etika guna Sultan (15/4/13)

Monday, April 15, 2013


Sebagaimana pilihanraya-pilihanraya yang lalu, media arus perdana sejurus Parlimen dibubarkan terus menjadi agen dan media rasmi BN. Kempen-kempen BN dengan dacing-dacingnya terpapar secara meluas dalam usaha memancing hati rakyat.
TV3 seperti biasa, kalau ada pertandingan akan terbit sebagai juaranya.

Dalam sibuk-sibuk kempen semua pihak perlu berhati-hati jangan membabitkan pihak dan institusi tertentu yang sepatutnya “non partisan” tidak sepatutnya memihak ke mana-mana. Siapakah mereka ini. Sudah pastilah antaranya pihak Suruhanjaya Pilihanraya sendiri. Dan yang paling utama adalah institusi Raja-raja Melayu.
Raja-raja Melayu ini punya peranan mereka ketika membubarkan Parlimen dan Dewan-dewan Negeri dan setelah selesai pilihanraya iaitu dalam menentukan ketua parti yang menguasai suara terbanyak di dewan untuk diangkat menjadi PM dan MB.

Saya perhatikan dalam keghairahan pihak BN berkempen, mereka telah menyeret pihak istana menjadi sebahagian dari bahan kempen mereka. Klip video “Sayangi Selangor yakini BN” jelas memaparkan wajah Sultan Selangor.
Kalau ya pun “desperate” mahu rampas kembali Selangor, sehingga TV3 memainkan video klip ini saban waktu, janganlah sampai mebabitkan pihak Istana.

Dalam PRU lalu BN bawah Pak Lah telah memuatkan wajah Ketua Polis Negara ketika itu dalam manifesto mereka. Pihak PAS telah membuat bantahan, saya ingat ketika itu sebagai Setiausaha Akhbar Presiden, kita mengeluarkan kenyataan rasmi membantah. Tidak berapa hari kemudian gambar tersebut dikeluarkan.
http://n32.blogspot.com/2008/02/dari-laman-web-malaysiakini-why-is-igp.html

Dalam hal kempen “Sayang Selangor” ini saya kira PR perlu buat bantahan. Jangan lihat remeh perkara ini kerana ia jelas melanggar etika.

 

Tahap sokongan terhadap PR - PAS (bahagian 2) (15/4/13)


“Benchmark” bagi Kit Siang untuk menang di Parlimen Gelang Patah adalah meraih 80% sokongan pengundi Cina, 40% pengundi India dan 15% pengudi Melayu, demikianlah sasaran kem Kit Siang di sana.
Parlimen Gelang Patah mempunyai 54% pengundi Cina 12% pengundi India dan 34% pengundi Melayu.

Saya kira inilah kali pertama Kit Siang bertanding di kawasan maoriti Cina kurang dari 70%. Ini bermakna sekurang-kurangnya DAP yakin bahawa mereka dalam PRU ke 13 ini akan berjaya mencatatkan paling tidak 80% sokongan pengundi Cina. Jika menurut kajian PRU ke 12 lalu, PR memperolehi 60.5% purata sokongan pengundi Cina, bermakna kali ini blok pengundi Cina disangka lebih ramai akan condong kepada PR iaitu dengan kenaikan sehingga 19.5%!
Bagi saya angka ini munasabah memandangkan rata-rata pengundi Cina hari ini dilihat lebih selesa kepada PR khasnya DAP dan seakan putus terus harapan pada BN.

Malah ada rakan-rakan yang menjangkakan tidak mustahil kecenderungan pengundi Cina terhadap PR itu boleh naik sehingga 90%!
Dengan kekuatan ini, sudah pastilah jika trend begini merata di semua kerusi Parlimen dan DUN, PR punya harapan cerah sekurang-kurangnya dikerusi-kerusi yang pengundi Cina melebiohi 50% sebagaimana Gelang Patah.

Dalam pada itu kecenderungan pengundi India pula dikesan akan semakin menyusut terhadap PR kali ini. Kalau menurut kajian sebuah NGO pada PRU ke 12 lalu lonjakkan pengundi India terhadap PR mengatasi kaum-kaum lain iaitu mencecah 89.6% lantaran sentimen anti BN yang kuat ketika itu. HINDRAF berjaya mencelikkan pengundi India secara meluas, selain kebebalan MB Selangor Khir Toyo dalam merobohkan sebuah Kuil Hindu di Selangor menjelang Deepavali.
Menggunakan “benchmark” Kit Siang di Gelang Patah, kem mereka di sana menjangkakan sekadar 40% pengundi India akan undi Kit Siang. Ia suatu penurunan besar berdasarkan angka PRU 12 di atas iaitu kemerosotan 49.6%.

Adakah pengundi India telah kembali ke BN?
Bagaimana pula dengan pengundi Melayu?

Hujan ribut bantuan demi bantuan, BRIM demi BRIM selain angin patriotisma yang bertiup dari insiden di bumi Sabah selain isu-isu kecil lain dijangka banyak mempengaruhi sentimen pengundi Melayu, tetapi mungkin tidak menyeluruh, namun jika tidak dikawal dan dirawat mungkin boleh menjejaskan harapan PR khasnya beberapa calon PKR dan sebahagian besar calon-calon PAS.
Pada PRU ke 12 lalu secara purata PR dianggarkan menerima 45.6% sokongan pengundi Melayu. Dalam PR Kecil Parlimen Bukit Gantang, PR yang diwakili calon PAS mengaut 43% undi Melayu dan angka ini dijangka lebih mengecil hari ini.

Kembali kepada “benchmark” Gelang Patah tadi, kem DAP menjangkakan Kit Siang mampu memungut 15% undi Melayu……..angka konservatif ini menunjukkan penurunan yang besar. Mungkin dengan formula 80+40+15 Kit Siang boleh menang di Gelang Patah tetapi bagaimana dengan kerusi-kerusi lain yang PR tandingi. Bolehkah formula yang sama digunakan?
Di Parlimen Kuala Selangor contohnya peratus pengundi adalah seperti berikut Melayu 60.96% Cina 15.64% India 23.30% (angka PRU 12). Jika formula Gelang Patah digunakan, calon PAS akan tewas di sini. Ini memandangkan kerusi ini adalah antara salah sebuah kerusi yang mempunyai pengundi India terbanyak selain Parlimen Kota Raja 28.27% (angka PRU 12).

Namun sentimen di Gelang Patah mungkin berbeza dengan di Selangor kerana di Selangor rekod kerajaan negeri PR mungkin membantu.
Walaubagaimanapun kecenderungan pengundi Melayu dan India sangat penting dan kritikal buat PR khasnya PAS samada untuk bertahan di Selangor dan untuk mencapai kemenangan di tempat-tempat lain.

Pengerusi DAP Perak Ngeh Koo Ham contohnya dalam Malay Mail 3 April lalu menyatakan bahawa PR mampu kembali memerintah di Perak dengan syarat memperolehi 50% sokongan pengundi Melayu disamping 50% sokongan pengundi India. PAS Perak (The Edge 29 Mac) pula yakin BN tumbang di Perak sekiranya PAS dapat menguasai tidak kurang dari 45% sokongan pengundi Melayu.
Manakala di Johor pula PAS Johor semasa mengumumkan senarai calon-calon menyatakan bahawa 38% sokongan pengundi Melayu dan 50% pengundi India dapat menumbang BN di Johor.

PR di Perak dan Johor yakin kepada “swing” besar pengundi Cina, mungkin sebagaimana Kit Siang di Gelang Patah iaitu sehingga 80%.
Kesimpulannya semua pihak khasnya PAS perlu bekerja keras memenangi hati pengundi Melayu begitu juga rakan-rakan lain dalam menambat hati pengundi India. Pengundi Cina nampaknya telah membuat keputusan. Jangan pula kerana senang dengan sokongan pengundi Cina tumpuan terhadap pengundi Melayu dikesampingkan.

Jika di awal-awal penubuhannya dari Pilihanraya Persekutuan 1955 sehinggalah PRU I 1959 dan berikutnya, PAS bergantung kepada undi Melayu, kini nampaknya PAS boleh meningkatkan pencapaiannya dengan syarat pengundi tradisinya, iaitu Melayu, yakin dan menyokongnya.

Tiada orag yang lebih mengenali hati dan isi perut pengundi Melayu selain orang PAS sendiri. Berhati-hatilah, pujuk dan belai mereka, jangan diluka hati mereka ketika ini, jangan diperkecilkan mereka, kekuatan Islam yang ada dalam tangan perlu digunakan sepenuhnya untuk meyakinkan mereka. Pengundi Cina tetap bersama PR, jika hati pengundi Melayu berjaya ditawan tidak mustahil suatu perubahan besar bakal tercatat dalam PRU ke 13 ini.

 

Apabila satu calon bertanding dua kerusi....(14/4/13)

Sunday, April 14, 2013


DAP setakat ini masih belum mengumumkan adakah calon-calonnya nanti akan bertanding di dua kerusi iaitu Parlimen dan Negeri sebagaimana sebelum ini atau adakah cuma Setiausaha Agungnya sahaja seorang yang diberi pengecualian, iaitu Lim Guan Eng kerana beliau Ketua Menteri Pulau Pinang.
PKR pun belum berbuat demikian.

Tetapi PAS telah pun mengumumkan calon-calon di Johor yang akan bertanding kerusi Parlimen dan Negeri.
Secara peribadi saya bersependapat dengan Karpal Singh bahawa kita mesti mempamirkan kematangan dan kedewasaan kita, dengan mengenengahkan satu calon untuk satu kerusi kerana kita punya ramai calon-calon yang berwibawa dan mampu setelah sekian lama kita berada dalam gelanggang demokrasi di Malaysia. PAS lebih kanan dari DAP dari segi usia.

Namun mungkin pimpinan parti mempunyai pandangan berbeza, wallahualam.
Mungkin ada kelebihan yang mereka fikirkan.

Saya berharap begitulah. Tetapi saya juga tidak boleh menafikan bahawa di sana turut ada kekurangannya. Dalam situasi hari ini, musuh akan memainkan isu ini. Contohnya jika calon PAS bertanding dua kerusi satu Parlimen X dan satu DUN Y. Di Parlimen X mereka akan berkempen berilah kemenangan kepada calon BN kerana calon PAS juga bertanding di DUN Y. Di DUN Y pula mereka akan berkempen sebaliknya. Kesudahannya kita bakal menjadi laksana “lebai malang” sini terlepas sana pun terlepas.
Tetapi pandangan ini sekadar pandangan peribadi saya. Saya percaya pihak yang membuat keputusan memandang lebih jauh dari itu. Semoga pandangan dan bacaan mereka benar dan tepat, dan saya salah.

(Tahniah DS Nizar kerana bertanding 1 kerusi bagi menyediakan diri menjadi MB, syabas)

Tahap sokongan rakyat terhadap PR - PAS (14/4/13)


Pada Sabtu 20 April ini parti-parti yang bertanding akan mengemukakan calon-calon secara rasmi untuk bertanding dalam PRU ke 13 yang Hari Mengundinya telah ditetapkan pada 5 Mei 2013. Kini tiada lagi teka-teki terhadap tarikh-tarikh di atas. Teka-teki kini terletak pada calon-calon selain harapan parti-parti yang bertanding.
Bolehkah PR menumbangkan BN diperingkat Persekutuan? Bolehkah PR pertahankan Selangor? Mampukah BN merampas Kelantan?

Masing-masing kalut dengan ramalan, hujah dan jangkaan.
Sesunggunya PRU ke 12 lalu telah memecahkan “berhala” khurafat yang mengatakan tiada langsung kemungkinan yang BN boleh tercabar diperingkat Persekutuan. Memang demikianlah hakikatnya antara PRU 1 hinggalah ke 11. Rupanya setelah lebih 55 tahun Merdeka barulah rakyat Malaysia yakin dan mahu mencuba-cuba kepada kemungkinan merubah parti yang memerintah diperingkat Persekutuan.

Saya teringat dalam satu forum ketika saya masih seorang siswa kalau tak silap sebelum PRU 1982 di bangunan lama DBKL, seorang aktivis PAS (Cina Muslim) yang berkobar-kobar bertanya kepada Penasihat DAP kini, Lim Kit Siang (yang merupakan salah seorang ahli panel), adakah DAP sudah bersedia mengambil-alih pemerintahan Pusat kerana menurut aktivis itu PAS sudah bersedia!
Kini setelah 30 tahun rupanya barulah soalan aktivis itu dikira relevan.

Jadi bagaimana harapan PR dalam PRU ke 13 ini? Ia suatu soalan yang subjektif kerana setiap hari ada sahaja perkembangan terbaru yang samada memihak kepada PR mahupun kepada BN dan pasang-surut ini dijangka berlarutan sehingga ke hari terkahir iaitu hari rakyat Malaysia membuat keputusan iaitu pada 5 Mei nanti.
Sejurus PRU ke 12 lalu pelbagai kajian dibuat terhadap “tsunami” PRU 2008. Yang jelas terdapat lonjakkan kuat perubahan citrasa politik rakyat ketika itu. Menurut sebuah NGO dan rata-rata saya melihat keputusan kajian ini sama dengan yang lain-lain secara purata sokongan kepada BN pada PRU itu yang ketika itu diketuai Pak Lah adalah seperti berikut:

Melayu: 54.4% Cina: 39.5% India: 10.4% atau dalam lain perkataan PR memperolehi undi Melayu: 45.6% Cina: 60.5% dan India 89.6%
Itu secara umum. Ada tempat-tempat yang melihat lonjakkan yang lebih besar terhadap PR khasnya di kawasan lebih 70% pengundi Cina dan di kawasan-kawasan bandar terutama di Lembah Kelang, Lembah Kinta dan Pulau Pinang.

Dengan pola pengundian seperti diatas BN dinafikan dua pertiga majoriti di Parlimen dan PR menang di Pulau Pinang, Kedah, Perak, Selangor dan Kelantan.
Namun di Sabah dan Sarawak bagi kerusi Parlimen DAP cuma menang satu kerusi di Sabah dan satu di Sarawak (tak termasuk Sibu yang menang dalam PR kecil) sedangkan PAS dan PKR tewas.

Bagaimanakah kecenderungan hari ini? Adakah ia semakin meningkat atau merosot atau bagaimana?
Ada yang mengatakan sokongan pengundi Melayu sudah menurun kurang dari 40%, India juga dikatakan menurun sehingga ke paras 50% manakala sokongan pengundi Cina terus mencatatkan positif sehingga mencecah 70% atau mungkin lebih.

Hari ini rata-rata pimpinan PR menjangkakan kecenderungan pengundi Melayu terhadap PR sekitar 30an peratus, terkecuali mungkin di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis serta kerusi-kerusi majoriti Melayu di bandar-bandar besar contohnya di Parlimen Gombak, Ampang di Selangor.
Di Johor contohnya kem DAP menjangkakan Lim Kit Siang mempunayi potensi untuk menang di Parlimen Gelang Patah (walaupun Ghani Othman diramalkan bertanding) yang mempunyai 54% pengundi Cina, 34% Melayu dan India 12% . Mereka menjangkakan Lim boleh menang dengan kelebihan 1.5% undi sekiranya mereka berjaya meraih 70% sokongan pengundi Cina, 38% Melayu dan 50% India. (PEMBETULAN: sekiranya mereka berjaya meraih 80% sokongan pengundi Cina, 15% Melayu dan 40% India.)

Jika ukuran kem Lim boleh dijadikan kayu pengukur bermakna begitulah purata sokongan para pengundi sekarang iaitu:
Yang bakal menyokong PR: Cina 80% Melayu 15% India 40 %.

Kalau “benchmark” ini digunakan, bagaimanakah impaknya diperingkat Persekutuan? Bagaimana di Selangor, Perak, Negeri Sembilan dan lain-lain?
Ini sekadar satu kemungkinan dan sesungguhnya angka-angka ini berubah-ubah dari masa ke semasa. Ia tertakluk kepada perkembangan semasa, persepsi rakyat dan para pengundi, kekuatan jentera parti-parti dan sudah semestinyalah kehendak Allah swt.

Saya akan cuba menggunakan “benchmark” ini untuk lihat harapan PR dan PAS khasnya di negeri-negeri lain…………….(bersambung)

PAS belanja $1661 PRU 1955 (13/4/13)

Saturday, April 13, 2013


Dalam kita bertungkus-lumus bekerja bagi memenangkan PAS dan PR menjelang PRU ke 13 ini saya mahu mengajak para pengunjung blog ini untuk merenung sejenak betapa besarnya pengorbanan dan jasa para pejuang PAS terawal dalam meniti arus perjuangan bagi mendaulatkan Islam di tanahair kita.
Sebagaimana kita ketahui pada 27 Julai tahun 1955 menjelang kemerdekaan tanahair, pihak pentadbiran British Malaya telah menganjurkan Pilihanraya Persekutuan yang pertama bagi merebut 52 kerusi Perundangan Persekutuan bagi seluruh Malaya.


ALMARHUM TUAN GURU HJ AHMAD
TUAN HUSIN
PAS masuk bertanding dalam PRU ini sebagaimana Umno, MCA dan MIC, buat pertama kalinya. Dengan kekuatan yang sangat kecil (namun semangat perjuangan yang besar) PAS turut meletakkan calon bertanding dan dengan izin Allah walaupun Perikatan : Umno, MCA dan MIC menyapu 51 kerusi, PAS menang 1 iaitu kerusi Krian di Perak melalui Tuan Guru Hj Ahmad Tuan Hussien.
Dari 1,027,211 pengundi yang keluar mengundi PAS meraih 40,667 undi atau 3.9 peratus.
Yang lebih hebatnya tahukah anda berapa perbelanjaan kempen yang ditanggung PAS ketika itu? Subhanallah….. menurut Dr Ismail Said di dalam bukunya: “Menegak agama membela bangsa – Perjuangan PAS 1951-1970” dalam PRU itu bagi seluruh Malaya PAS menerima derma sebanyak $586.00 sedangkan perbelanjaan ibupejabat PAS adalah sebanyak $1,661.00. Ini bermakna selepas PRU PAS masih berhutang sebanyak $1,076!

Dan tahukah anda bagaimanakah Tuan Guru Hj Ahmad berjaya mengalahkan calon Perikatan Umno Sulaiman Palestin? Menurut penulis yang sama aset Almarhum Tuan Guru adalah:
“…keadaan dan sikap beliau yang sederhana, tawadduk. Yang menarik dikatakan beliau tidak pernah meminta dirinya diundi sepanjang kempen PRU kecuali menerangkan tujuan PAS menyertai pilihanraya iaitu hendak menyuarakan keinginan bangsa Melayu yang mahukan kemerdekaan berlunaskan Islam…”

Semoga kita yang ada pada hari ini yang menggalas dan mewarisi perjuangan mereka yang terdahulu akan turut juga mempunyai kualiti dan keperibadian mereka terdahulu.
(YA ALLAH CUCURI RAHMAT KE ATAS ROH ALMARHUM TUAN GURU HJ AHMAD TUAN HUSSIN)

Jangan tewas pada hari "peperangan" besar (13/4/13)


Baru-baru ini seorang rakan PR melahirkan kepada saya akan kebimbangan beliau terhadap penipuan yang dijangka berlaku pada hari mengundi 5 Mei nanti. Menurut beliau ada maklumat mengatakan aka nada usaha untuk mengalahkan PR disaat-saat akhir khasnya pada hari mengundi. Saya tidaklah berhasrat menghuraikan di sini apa yang telah kawan saya itu nyatakan. Cuma jika kita bersungguh mahu melihat PR menang maka wajarlah kita sentiasa bersiap siaga.
Seringkali kita lupa bahawa sesungguhnya “peperangan” yang paling besar bukannya pada hari penamaan calon atau tempoh berkempen, tetapi yang paling memerlukan perhatian dan komitmen adalah pada hari mengundi, itulah hari “peperangan” terbesar.

Kita sering menghabiskan “peluru” semasa penamaan calon dan tempoh berkempen, apabila tiba hari mengundi kita letih dan berserah begitu sahaja, disitulah kita sering silap.
Salah satu kelemahan dan kesilapan kita adalah mendisiplinkan “wakil” kita di bilik mengundi. Senarai wakil-wakil ini sepatutnya telah lengkap pada hari ini. Mereka bukan sekadar wajar diberi latihan dan motivasi tetapi yang paling kritikal pastikan mereka hadir bertugas tepat pada waktu, bertugas dengan penuh cermat dan teliti dan tidak meninggalkan “Bukit Uhud” (bilik mengundi) sehinggalah selesai bertugas.

Dari pengalaman saya pernah lihat dalam satu bilik mengundi pada PRU 1990 dulu, dimana wakil BN tanpa segan silu “berkempen” dalam bilik mengundi! Ya kerana beliau yang dilantik itu kira saya yang paling “gedebe” di kampong berkenaan maka tanpa segan silu beliau bersuara: :Pangkah dacing ya…..”. Malangnya oleh kerana wakil kita barangkali tidak cukup terlatih atau entah apa, beliau menikus tidak langsung menegur atau membuat aduan pada Ketua Temopat Mengundi SPR.
Juga saya ada pengalaman dimana pada hari mengundi, wakil-wakil yang sepatutnya bertugas tiba-tiba tidak hadir atas pelbagai alasan yang tidak masuk akal. Akibatnya ada bilik mengundi yang tiada wakil langsung!

Lantaran itu pastikanlah, “tentera” kita yang menjadi “polling agent” dan “counting agent” pada hari mengundi itu nanti adalah terdiri dari kalangan “tentera” kita yang paling terbilang dan terlatih. Jika tidak bersedialah untuk menghadapi kekalahan.
Sia-sia tenaga dan wang ringgit yang kita belanjakan untuk memenangkan calon-calon kita tetapi pada hari mengundi, wakil-wakil yang kita tugaskan samada tidak tahu menjalankan tugas, cuai dan lebih malang lagi langsung tidak hadir!

Semoga jentera kita prihatin tentang perkara ini dan jangan kita tewas pada hari “peperangan” besar.
Kalau benar wakil-wakil kita berkebolehan dan bertugas dengan penuh dedikasi pada hari mengundi, datang tepat pada waktu dan bersengkang mata serta beri tumpuan, tiada ruang bagi pihak musuh melakukan penipuan atau cuba-cuba untuk menang secara tidak demokratik.